31 Jul 2015

Isu Kertas Pertuduhan Hangat, AG Baru Dakwa Ia Konpirasi Jatuhkan Najib...

AG baru tak tahu menahu tentang 'kertas pertuduhan' terhadap PM

Peguam Negara (AG) yang baru dilantik Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak tahu menahu mengenai satu draf yang dikatakan berupa satu kertas pertuduhan yang didakwa disediakan oleh AG sebelum ini terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

"Saya tidak tahu apa-apa mengenai laporan itu, jadi saya tidak boleh komen, okay?" katanya kepada Malaysiakini.

Ditanya sama ada beliau menganggap ini satu perkara yang serius, beliau menjawab: "Saya tidak tahu, bukan untuk saya komen."

Menjawab satu lagi soalan sama ada beliau akan meneliti perkara itu, Apandi, yang memegang jawatan peguam negara sejak hari Isnin, berkata: "Saya penat sangat. Jadi boleh saya berehat? Terima kasih."

Beberapa orang, seperti ketua biro undang-undang PKR Latheefa Koya dan peguam Lawyers for Liberty, Michelle Yesudas, telah tweet dokumen yang muncul di Sarawak Report.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar meminta rang ramai menghentikan sebarang penyebaran khabar angin.

“Laporan-laporan sebegini yang tidak sah asal usulnya akan mengelirukan orang ramai,” katanya di Twitter.

Selain Najib, kertas tuduhan itu menamakan seorang bekas pengarah urusan yang ditahan oleh pasukan petugas khas 1MDB dan kemudiannya dibebaskan dengan jaminan, dan Nik Faisal Ariff Nik Othman Kamil.

Pasukan petugas itu masih dalam proses mengesan Nik Faisal yang juga pengarah urusan bekas anak syarikat 1MDB - SRC International.

Berikutan penamatan secara tiba-tiba perkhidmatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai peguam negara, wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin, yang rapat dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, telah bertanya di blognya sama ada ini kerana beliau (Gani) di ambang mendakwa individu tertentu.

Apabila berita tersebar bahawa perkhidmatan Abdul Gani telah ditamatkan kerana masalah kesihatan, bekas AG itu sendiri nampaknya tidak tahu menahu mengenainya.

Bagaimanapun, Abdul Gani enggan mengulas sama ada ianya ada kaitan dengan siasatan pasukan petugas khas.

Walaupun membuat beberapa percubaan, Malaysiakini tidak dapat menghubungi Abdul Gani untuk mendapatkan komen beliau mengenai dakwaan berhubung draf kertas pertuduhan itu.

Mengulas mengenai perkara itu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, yang telah melihat draf kertas pertuduhan itu, berkata ia mengandungi tuduhan yang paling serius terhadap perdana menteri.

Manakala pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang juga menggesa kerajaan untuk menjelaskan isu kertas pertuduhan itu.

"Hakikatnya adalah khabar angin telah tersebar sejak beberapa hari bahawa tindakan akan diambil terhadap pihak berkuasa paling tinggi yang terlibat dalam siasatan 1MDB itu.

"Dengan apa yang dipanggil sebagai eksklusif dari Sarawak Report ini, AG (baru) dan PM mesti tampil menjawabnya,"
katanya kepada Malaysiakini.

Perdana menteri telah menafikan menggunakan dana awam untuk tujuan peribadi. -mk


AG: Kertas pertuduhan palsu menunjukkan konspirasi untuk jatuhkan PM

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata apa yang didakwa draf kertas pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Abdul Razak yang disiarkan di laman web pemberi maklumat Sarawak Report adalah palsu.

Beliau juga berkata, kertas pertuduhan itu menunjuk ke arah satu konspirasi untuk menjatuhkan perdana menteri dan memberi amaran tindakan tegas terhadap pelakunya.

Ia, katanya, menunjukkan satu ancaman terhadap demokrasi Malaysia dan beliau akan arahkan semua tindakan diambil untuk menyiasatnya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas tengah malam tadi, beliau berkata, undang-undang akan digunakan sepenuhnya tanpa pengecualian terhadap sesiapa yang didapati bersalah.

Semalam, Malaysiakini melaporkan kertas pertuduhan itu telah disebarkan di media sosial berserta dakwaan yang ia ada kaitan dengan penamatan secara tiba-tiba perkhidmatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai peguam negara pada hari Isnin.

Walaupun sebab rasmi yang diberikan ialah masalah kesihatan, tetapi Abdul Gani sendiri nampaknya tidak tahu menahu mengenainya dan enggan mengulas sama ada ia ada kakitan dengan siasatan pasukan petugas khas terhadap 1MDB.

Lewat malam tadi, ketua bahagian pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Tun Abdul Majid Tun Hamzah, melalui twitter, menafikan berhubung kertas pertuduhan itu.

Sementara itu, Mohamad Apandi berkata kertas pertuduhan yang didakwa itu, "tidak di dalam dan tidak pernah sampai" kepada jabatan tersebut.

Tambahan pula, katanya, format kertas tuduhan itu adalah tidak betul atau ditulis oleh jabatannya.

Peguam negara yang baru dilantik itu juga menegaskan bahawa memandangkan pasukan petugas khas itu belum menyelesaikan siasatan, maka tidak mungkin di segi perundangan, bagi kertas pertuduhan dirangka lebih awal.

Menurut kertas pertuduhan yang dikatakan itu, yang didakwa didraf oleh Abdul Gani, perdana menteri akan didakwa atas tuduhan rasuah, dengan tuduhan alternatif melakukan pecah amanah.

Ini dikatakan berkaitan dengan pemindahan RM27 juta oleh SRC International, yang ketika itu anak syarikat 1MDB, ke dalam akaun bank Najib.

Selain Abdul Gani yang ditamatkan perkhidmatannya sebagai AG, perkembangan pada minggu ini juga menyaksikan Najib menggugurkan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada kabinet.

Turut digugurkan ialah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal, yang merupakan bekas menteri pembangunan luar bandar dan wilayah.

Kedua-dua Muhyiddin dan Shafie kritikal terhadap 1MDB.

Najib juga melantik empat daripada lapan ahli Parlimen BN yang menganggotai Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), termasuk bekas pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed, sebagai menteri dan timbalan menteri.

Ini mencetuskan spekulasi bahawa ia adalah satu percubaan untuk menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan oleh PAC terhadap dalam 1MDB.

Saga 1MDB memuncak awal bulan ini selepas Sarawak Report dan Wall Street Journal, yang memetik maklumat yang diperolehi daripada sumber-sumber Malaysia, mendakwa bahawa RM2.6 bilion dana berkaitan 1MDB telah didepositkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.

Berikutan itu, Najib menafikan menggunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi dan menuduh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di belakang usaha untuk menyingkirkannya dengan bekerjasama dengan pihak seperti Sarawak Report.

Pada hari Rabu, satu video muncul yang menunjukkan Muhyiddin memberitahu beberapa tetamu di rumahnya, termasuk anak Mahathir yang juga menteri besar Kedah, Datuk Mukhriz, mendakwa Najib mengaku wang itu dipindahkan ke dalam akaunnya.

Perdana menteri belum lagi mengulas mengenai video tersebut. yang telah tersebar luas.



Gani Patail perlu bersuara jika kertas pertuduhan PM benar, kata PKR

Tan Sri Abdul Gani Patail perlu mengesahkan kesahihan draf kertas pertuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata PKR hari ini.

Ketua Biro Guaman dan Undang-undang PKR Latheefa Koya berkata, selagi bekas peguam negara belum menafikan atau mengesahkan kesahihan dokumen disiarkan Sarawak Report itu, adalah salah untuk membuat kesimpulan.

"Demi kepentingan umum, diharapkan Gani untuk tampil ke depan dan menjelaskan perkara ini," kata Latheefa dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, pagi ini.

"Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak boleh membuat kesimpulan dengan mendakwa terdapat satu plot untuk menjatuhkan PM semata-mata kerana rupa kertas pertuduhan yang didakwa ini. Di manakah bukti bagi apa-apa rancangan jahat?," katanya.

Semalam Sarawak Report mendedahkan kertas pendakwaan dikatakan disediakan bekas peguam negara terhadap perdana menteri dan bekas pengarah urusan yang ditahan pasukan petugas khas dan kemudiannya dibebaskan dengan jaminan Nik Faisal Ariff Nik Othman Kamil.

Pejabat Peguam Negara menafikan mereka mendraf kertas pendakwaan terhadap Najib seperti didedahkan laman Sarawak Report, kata Datuk Tun Abdul Majid Hamzah.

Timbalan peguam cara negara II itu berkata demikian melalui akaun Twitternya malam tadi: "Draf kertas pendakwaan seperti disiarkan Sarawak Report tidak dikeluarkan Pejabat Peguam Negara," katanya melalui akaun Twitter @TAMajid.

Bagaimanapun, Pejabat Peguam Negara menafikan kewujudan kertas pertuduhan terhadap Najib, dan dakwaan itu menunjukkan ada konspirasi untuk menjatuhkan perdana menteri menggunakan kesalahan jenayah, kata Apandi.

Peguam negara yang baharu dilantik itu berkata plot menjatuhkan Najib adalah ancaman kepada demokrasi rakyat Malaysia dan siasatan akan dijalankan.

“Kertas pertuduhan yang dikatakan itu menunjukkan ada konspirasi menjatuhkan perdana menteri sedang berkhidmat dengan membabitkannya dengan jenayah, dan kaedah itu termasuk membocorkan maklumat,” kata Apandi dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pasukan petugas khas yang menyiasat skandal syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih belum melengkapkan siasatan maka tidak mungkin kertas pertuduhan dapat disediakan lebih awal.

"Tuduhan warga asing Clare Rewcastle-Brown dalam blog politik Sarawak Report tidak benar," katanya.
-TMI









IKLAN BERBAYAR







[BERGAMBAR] Beg Pakaian Ditemui Di Kawasan Serpihan Disyaki MH370 Dijumpai


Gambar sebuah beg pakaian yang telah rosak teruk telah ditemui oleh seorang pekerja pembersih pantai di Reunion berdekatan dengan tapak di mana serpihan dipercayai dari penerbangan MH370 yang hilang tahun lalu ditmeui.

Julien Delarue, seorang wartawan yang bekerja dengan akhbar tempatan Journal de L'île de la Réunion, melaporkan di Twitter bahawa ada barangan yang kelihatan seperti sebuah beg pakaian telah ditemui di Saint-André.

Pagi ini, dia telah pergi semula ke tempat dimana beg yang rosak itu ditemui dan menjumpai sebahagian lain dari beg pakaian yang menggunakan roda itu di kawasan di mana serpihan pesawat ditemui, demikian laporan dari Le Journal de la Reunion.

Sekalipun rosak teruk namun bag pakaian itu masih terkunci dengan mangga. Ianya kemudian diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.


Johnny Begue, ketua pasukan pembersihan, terdapat serpihan pesawat yang kelihatan semakin mungkin dari penerbangan Malaysia Airlines yang telah hilang sejak 8 Mac 2014.

Di dalam perkembangan berkaitan, Airlive.net telah melaporkan kod yang tercatat di serpihan yang ditemui semalam menyamai kod Flaperon yang terdapat di manual Boeing 777.

Sekeping foto yang menunjukkan nombor siri 657BB tercatat di serpihan pesawat berkenaan dan ia dikaitkan dengan pesawat Boeing 777.


AirLive.net melaporkan satu daripada kod yang tertera di serpihan itu menyamai dengan sayap Boeing 777, jika dirujuk kepada manual penyelenggaran Boeing.




Sementara itu di Kuala Lumpur, Bernama melaporkan empat pakar daripada Jabatan Penerbangan Awam, Malaysia Airlines dan Kementerian Pengangkutan akan bertolak ke Paris malam ini bagi membuat pengesahan sama ada serpihan pesawat yang ditemui di La Reunion island di Lautan Hindi milik Malaysia Airlines Penerbangan MH370.

Perkara itu disahkan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi yang menyatakan pasukan itu akan terus ke Paris, dan tidak akan pergi ke pulau berkenaan, yang terletak di bawah pentadbiran Perancis, berhampiran Madagascar.

"Kita dah berhubung dengan Biro Siasatan dan Analisis (BEA) iaitu agensi penyiasat kemalangan pesawat udara Perancis mengenai penemuan ini.

"Kami mencapai persetujuan bahawa mereka akan membawa serpihan sayap itu ke Paris, jadi pasukan kami akan bekerja bersama-sama dengan mereka untuk melakukan penetusahan di Paris," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Dilaporkan serpihan daripada sayap pesawat itu dihanyutkan ke pulau tersebut awal pagi ini yang berkemungkinan milik MH370 yang hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal pada awal Mac tahun lepas.


Seorang mekanik dari syarikat penerbangan di Reunion, Air Austral, memberitahu jurnalis bahawa serpihan itu dicop dengan kod 657-BB. Manakala laporan lain berkata kod diserpihan itu adalah BB670.





IKLAN BERBAYAR