30 Okt 2009

Era Najib Altantuya : Penduduk Pelabuhan Klang Gesa Badrul Hisham Letak Jawatan

Beliau tidak bertanggungjawab, jarang bergaul dan tidak langsung prihatin terhadap masalah rakyat.

Itulah sungutan penduduk Pelabuhan Kelang terhadap Badrul Hisham Abdullah, adun kawasan itu yang bertindak keluar dari parti Keadilan Rakyat untuk menyokong Umno-Barisan nasional.

Badrul mengambil tindakan itu setelah Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor mengusulkan supaya beliau meletak jawatan sebagai Adun kerana gagal melaksanakan amanah yang diberikan.

Namun Badrul enggan melepaskan kerusi ADUN itu dan kini mencari sokongan daripada Umno untuk melanjutkan karier politiknya.

Semua akhbar dan media eletronik arus perdana memuatkan tindakan Badrul keluar dari PKR sebagai tajuk utama.

Malah mereka cuba memaparkan tindakan itu sebagai tanda PKR tengah bergolak.
Media kawalan umno-BN tidak pun cuba menyiasat prestasi Badrul sebagai ADUN pelabuhan Kelang.

Malah mereka memperkecilkan rasional Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim disebalik tindakan kerajaan negeri mengusulkan Badrul meletak jawatan.

Tindakan berani itu diambil kerana penduduk pelabuhan Kelang hilang kepercayaan terhadap adun yang dipilih mereka pada pilihanraya umum 2008.

Susulan keluhan penduduk Pelabuhan Kelang, Pakatan Rakyat, khususnya Parti Keadilan Rakyat mengambil pendirian tidak akan melindungi Adun yang gagal membela rakyat
Badrul enggan berjumpa dengan kepimpinan parti mahupun kerajaan negeri untuk membincangkan prestasinya.

Susulan itu Tan Sri Khalid mengambil inisiatif mengusulkan supaya Badrul meletak jawatan supaya memberi laluan kepada pihak yang lebih ikhlas tampil membela penduduk Pelabuhan Kelang.



Era Najib Altantuya : Badrul Persia Bantuan Kerajaan Negeri Selangor

Keputusan Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah untuk keluar dari PKR sememangnya dinanti-nantikan pemimpin tertinggi PKR Selangor setelah beliau gagal menunjukkan prestasi baik dalam memberi perkhidmatan sebagai wakil rakyat.

Tindakan beliau meninggalkan parti dilihat sebagai membantu Kerajaan Selangor untuk membersihkan pemimpin Pakatan Rakyat dari dibelenggu wakil rakyat yang bermasalah.

Setiausaha Polilitik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata tindakan ini disambut baik setelah Badrul enggan menerima sebarang bentuk bantuan dari kerajaan negeri dan parti bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“Kita selama ni cuba untuk perbaiki selepas dapat banyak respon tentang rekod dia, tentang prestasi dia sebagai seorang wakil rakyat dan kita cuba berjumpa, kita cuba membantu tetapi dia nampak dia tidak mahu menerima bantuan kita, dia dah tutup pusat khidmat dia, kita bergerak lama tanpa dia jadi kita ucapkan selamat jalan lah pada dia sebab kita pun kalau boleh tidak mahu sampai ke tahap macam nie, tetapi dia yang memilih jalan macam ni, kita dah bagi peluang dia menjadi wakil rakyat, bila timbul masalah kita cuba bantu tapi inilah pilihan yang dia ambil”, katanya.

Bercakap kepada Tv Selangor ketika diminta mengulas tindakan Badrul keluar PKR melalui telefon hari ini.

Nik Nazmi menyelar kenyataan Badrul bahawa beliau hilang kepercayaan kepada parti. Sebaliknya Nik Nazmi berkata PKR terlebih dahulu hilang kepercayaan kepada Badrul setelah beliau gagal menjalankan tugas sebagai wakil rakyat di situ.

Menurutnya, Badrul tidak seharusnya bertindak menutup Pusat Khidmat DUNnya, sekiranya beliau hilang keyakinan kepada pucuk pimpinan parti.

“Sebenarnya saya rasa kita yang hilang keyakinan dengan dia dulu, selama ni kenapa dia tak keluar, kalau dah lama dia begitu kenapa dia tak keluar dan dia hilang keyakinan kepada parti tetapi tidak bermaksud dia patut tutup pusat khidmat dia, dia perlu hentikan berhubung dengan rakyat, tak pergi program, program Tuanku tak pergi, program kerajaan negeri jadi sama ada dia percaya kepada parti itu perkara lain. Yang penting dia jalankan tugas sebagai seorang wakil rakyat”, jelasnya.

Tambahnya, Pilihanraya Kecil hanya boleh dibuat setelah Badrul meletak jawatan sebagai wakil rakyat Pelabuhan Klang sepertimana yang disyorkan Menteri Besar ekoran beliau gagal menjalankan tugasnya.

“Dia belum letak jawatan sebagai wakil rakyat, itulah yang kita nak minta kalau dia tak boleh buat kerja patutnya dia letak jawatan sekarang dia cerita hilang keyakinan pula, jadi itu kena tanya Badrul lah”, tegasnya.

Nik Nazmi turut menafikan dakwaan Badrul bahawa beliau tidak menerima peruntukan kawasannya berbanding wakil rakyat lain.

Katanya, sebaliknya kerajaan negeri sudah menawarkan pelbagai bentuk bantuan termasuk bantuan kewangan kepada Badrul bagi membolehkan beliau menjalankan program untuk masyarakat.

“Kita ambil alih pengurusan peruntukan saya sendiri maklumkan pada dia sebab waktu timbul banyak sangat aduan, rakyat minta tak dapat, ada aduan wujudnya penyelewengan dan sebagainya, kita nak selamatkan dia”, ujarnya. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN



Nizar Gesa Hishamuddin dan Musa Hassan Letak Jawatan

Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meletakkan jawatan.

Menurutnya Hishammuddin dan Musa gagal menunaikan janji bagi memastikan keselamatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bersindang di DUN termasuk ADUN Pakatan Rakyat terjamin.

Katanya, apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila polis bertindak kasar ke atas ADUN Pakatan Rakyat terutamanya Speaker Dewan, V. Sivakumar sehingga dicekik.

“Sebabnya dia berjanji bahawa anggota polis akan menjaga keselamatan seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri termasuk Pakatan Rakyat di ipoh masa persidangan 28 hari bulan. Tetapi apa yang berlaku di tempat letak kereta itu adalah disebaliknya.

“Bukan hanya di tempat letak kereta bahkan di tempat hendak masuk Dwan Undangan Negeri pun kami dikasari sehingga YB Sivakumat dicekik dan dihimpit kumpulannya untuk merampas jubahnya sehinga koyak rabak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan ganas polis terhadap ADUN Pakatan Rakyat 28 oktober lalu.

Polis bertindak ganas dengan mengasari ADUN Pakatan Rakyat bagi menghalang mereka memasuki Dewan.

Polis turut mengasari Speaker Dewan, V. Sivakumar dengan mencekik beliau bagi merampas jubah yang dipakainya mengakibatkan jubah berkenaan koyak rabak.

Nizar berkata, pihaknya mempunyai bukti berhubung tindakan ganas polis yang mencekik Sivakumar.

Katanya, institusi polis tercemar kerana diperalat Umno-Barisan Nasional.

“Saya minta apa yang dinyatakan polis akan menjaga keselamatan, polis tidak akan menggunakan kekasaran. Tetapi apa yang berlaku mereka terlalu kasar dengan kami.
Mereka cuba merampas jubah Sivakumar itu sebabnya saya menyatakan dia tidak pegang kepada apa yang dinyatakan, dia kena berhenti termasuk Ketua polis Negara sekali.

“Ini mencemarkan institusi polis setelah mereka diperalat Umno-Barisan Nasional, tiba-tiba apa yang dijanjikan tidak berlaku dan polis cukup kasar kepada kami. Kita boleh buktikan gambar di mana Sivakumar dicekik,” katanya. -TVS



Era Najib Altantuya : JK Disiplin Jangan Jadi SPRM

Setelah Mesyuarat Khas PAS memutuskan untuk mengheret PAS Selangor (sahaja) ke Lembaga Disiplin, ia dilihat oleh kebanyakan ahli PAS sebagai satu tindakan yang lembab serta tidak memadai.

Ini kerana ia telah menjadi isu yang diketahui umum. Sementelah lagi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini telah pun menunjukkan bahawa tindakan-tindakannya belum benar-benar bebas, telus dan adil.

Ini adalah kerana perlantikan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin dilakukan oleh Tuan Presiden sendiri dan bukanlah sebuah jawatankuasa yang benar-benar beringtegriti dan bebas untuk menyiasar apa jua kemelut dan perbuatan salahlaku ahli atau pimpinan parti.

Satu contoh jelas ialah apabila Tuan Ibrahim mengeluarkan arahan supaya ahli PAS dan pimpinan "menutup mulut" mengenai isu "Kerajaan Perpaduan" satu ketika yang belum terlalu lama dulu.

Arahan itu dikeluarkan sebaik sahaja tulisan Dr.Dzulkefli Ahmad, Ahli PArlimen Selangor diterbitkan di dalam Harakah (yang kemudiannya dikeluarkan dari cetakan di atas arahan pihak tertentu) dimana di dalam tulisan tersebut Dr.Dzulkeli telah memberikan pandangan secara akademis tentng kebejatan Kerajaan Perpaduan yang turut diberikan dalil-dalil aqli dan naqli sekalipun Dr.Dzulkeli bukanlah merupakan seornag ahli ugamawan sepertimana ustaz-ustaz yang ramai di dalam PAS.

Tidak ada sesiapa yang mampu menghujjah semula segala keterangan dan penjelasan Dr.Dzulkefli, lantas pihak yang terpukul lantarannya, mengambil sikap untuk mengikat tangan semua para penentang UG dengan mengeluarkan satu arahan blanket, "tutup mulut" dengan beralsan isu itu telah dikuburkan!

Saya katakan arahan itu tidak adil kerana ianya dilihat dihalakan hanya kepada kumpulan penentang UG. Apa yang jelas pemimpin-pemimpin yang diketahui mendokong gagasan UG terus-teruskan mengambil sikap malah mengeluarkan kenyataan yang dilihat masih tegar memperjuangkan gagasan UG termasuk Timbalan Presiden PAS dan seorang Pesuruhjaya PAS Negeri.

Tidak pula Jawtankuasa Disiplin PAS bertindak pantas untuk menegur dan mengambil tindakan terhadap mereka itu.

Persoalan kini, mengapa Jawatankuasa Disiplin hanya bertindak apabila "diarahkan" berbuat demikian oleh Presiden parti setelah Presiden sendiri didesak untuk mengambil tindakan ke atas "petualang-petualang" parti?

Apakah sewaktu "kejadian-kejadian" perlanggaran etika itu dilakukan oleh pemimpin-pemimpin parti, Jawatankuasa tidak berbuat apa-apa sepertimana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak melakukan apa-apa setelah dibawa ke pengetahuannya tentang pelbagai isu yang melibatkan pemimpin parti pemerintah?

Dan jika ada pun tindakan dilakukan, ianya hanya sebagai pewujudan kambing-kambing hitam bagi menunjukkan yang kononnya mereka adil, telus dan berwibawa?

Saya secara terus terang menyatakan saya kurang yakin mengenai peranan Jawatankuasa Disiplin parti dan jangan marah saya kerana Jawatankuasa itu sendiri bukan sebuah badan bebas, sepertimana yang kita sendiri laungkan untuk SPRM. Cuma saya yakin Jawatankuasa Disiplin PAS belum sampai ke tahap "lembu-lembu" tunggangan golongan pro-UG yang terdiri dari pemimpin tertinggi parti untuk menekan dan menzalimi kumpulan ahli yang anti-UG yang bilangannya jauh lebih ramai. Tapi nampaknya macam nak jadi ke arah itu jika langkah UMNO yang diikutinya.

Dan kini sekali lagi arahan "tutup mulut" dikeluarkan. Betapa jelasnya jawatankuasa tersebut tidak benar-benar bebas malah melakukan siasatan terpilih sama seperti SPRM.

Demi kebenaran dan keadilan, saya meminta disiasat sama Timbalan Presiden dan Setiausaha Agong parti yang ada diantara tindakan dan kenyataan mereka lebih dasyat dari tindakannya dari Pas Selangor, sekurang-kurang itulah persepsi kebanyakan ahli. Malah mereka juga disebutkan bersama di dalam blog Mursyidul Am PAS yang kerananya mesyuarat khas telah dipanggil!

Era Najib Altantuya : Saya Tak Peduli Jika Badrul Lompat Parti - Khalid

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau tidak peduli jika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah menjadi wakil rakyat Bebas atau melompat ke mana-mana parti.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri tidak akan menyimpan sesiapa juga yang tidak tahu membuat kerja kerana beberapa masalah akan timbul dan menyukarkan kerajaan untuk membangunkan kebajikan dan sosial rakyat.

“Saya tak kira... dia wakil rakyat, dia mewakili semua rakyat sebab dia sudah terpaksa buat kerja ... nak jadi Bebas, Keadilan, UMNO, MCA itu terpulang kepada dia, yang penting dia buat kerja,” katanya, semalam.

Abdul Khalid, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor berkata demikian ketika ditenui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor di sini, semalam.

Menurutnya, PKR hanya sanggup menerima Badrul jika beliau sanggup bekerja menyempurnakan amanah yang diberikan rakyat kepadanya.

“Masalah dia kenapa dia ingin masuk pilihan raya berjanji kepada rakyat untuk tolong rakyat lepas tu dia tak nak buat kerja? Masalah dia nak pergi ke mana-mana tidak kira,” katanya.

Sebelum ini, Abdul Khalid menasihatkan Badrul supaya berhenti daripada menjadi wakil rakyat Pelabuhan Klang sekiranya tidak lagi mempunyai keinginan untuk berkhidmat kepada masyarakat yang diwakilinya.

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Kerajaan Negeri tidak akan bertolak ansur dengan pemimpin yang tidak bertanggungjawab kerana menggagalkan usaha meningkatkan taraf ekonomi dan sosial rakyat.

“Kerajaan Negeri prihatin terhadap aduan penduduk di Pelabuhan Klang berkenaan dengan ketidakupayaan ADUN mereka dalam menjalankan kewajipan sebagai wakil rakyat.” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurutnya, sejak surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada Badrul pada 20 Ogos yang lalu, beliau tidak mengambil sebarang langkah untuk memperbaiki prestasi kerja beliau.

Nik Nazmi berkata, dalam surat jawapannya, Badrul telah menyatakan kesudian untuk berjumpa dengan pimpinan negeri dan parti. -SH

Era Najib Altantuya : ADUN Pel Kelang Digesa Letak Jawatan

Adun Pelabuhan Klang, Badrul Hisham disaran meletakkan jawatan kerana ketidakmampuan menjalankan tugas menjejaskan perkhidmatan kerajaan negeri Selangor.

“Menteri Besar akan maklumkan pada Majlis Tertinggi Pimpinan Pusat Keadilan Rakyat bahawa beliau mahu Adun Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah meletakkan jawatan kerana kegagalan beliau menunjukkan prestasi dan sebelum ini kita sudahpun menghantar satu surat tunjuk sebab yang dihantar oleh pihak pimpinan PKR dan beliau sudah pun membalas surat tunjuk sebab itu dengan mengatakan beliau bersedia untuk bertemu kita pada bila-bila masa saja dan sampai hari ini kita cuba hubungi beliau masih tiada jawapan.Manakala Pusat Khidmat Dun beliau telah pun ditutup dan tidak dapat dihubungi oleh rakyat,”katanya.

Badrul Hisham menjadi wakil rakyat setelah memenangi kerusi Dun Pelabuhan Klang dalam PRU 12 tahun lalu.

Walaubagaimanapun prestasi Adun PKR ini merosot ekoran masalah peribadi.

Menurut Nik Nazmi, PKR memandang serius kes ini kerana kerajaan negeri mengharapkan komitmen seratus peratus dari wakil rakyat.

“Jadi macamana kita hendak bergerak ke depan kerana seorang pemimpin perlu komited dalam menjalankan amanah dan tugas beliau dan jalan terbaik adalah kita minta beliau letak jawatan,”jelasnya.

Sementara itu Adun Sri Andalas Dr Xavier Jayakumar menggesa Badrul Hisham supaya akur dengan keputusan kerajaan negeri.

Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana wakil rakyat atau pegawai yang gagal menjalankan tugas dengan baik.

“Kita tiada masalah dengan beliau dan saya ingat beliau ada masalah peribadi sama ada masalah kesihatan atau masalah kerja,tetapi jika beliau ada masalah kerja beliau boleh berbincang dan kita boleh bantu.Tetapi beliau tidak mahu langsung bertemu atau menghadiri sebarang majlis kerajaan negeri.Jadi saya fakir beliau memang menghadapi masalah peribadi dan kita sebagai satu pasukan perlu mangambil tindakan,”jelasnya.

Sementara itu, Kerajaan negeri memandang serius kepada mana-mana wakil rakyat atau pegawai yang gagal melaksanakan tugas yang telah diamanahkan.

Semua wakil rakyat dan pegawai harus menjunjung tinggi amanah yang telah diberikan oleh rakyat.

Menurut Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat Selangor, Haniza Talha, tindakan tegas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim adalah wajar bagi mereka yang gagal menjalankan tugas.

“Saya kira saranan itu adalah wajar sebab Adun Pelabuhan Klang dipilih oleh rakyat kerana rakyat mahu beliau berkhidmat untuk rakyat, tetapi sekarang ini jika beliau tidak mampu melaksanakan tanggungjawab tersebut beliau hendaklah melepaskanya secara terhormat. Jadi letak jawatan dan kita boleh pilih wakil rakyat yang mampu laksanakan tugas tersebut,”jelasnya.

Menurut Haniza lagi tindakan Tan Sri Khalid ini menunjukkan beliau bertanggungjawab keatas kelicinan pentadbiran negeri Selangor.

“Sebagai Menteri Besar yang bertanggungjawab keatas negeri Selangor sudah tentu Tan Sri Khalid wajar .mengambil tindakan sedemikian, tindakan yang bijaksana.Kalau dibiarkan seorang wakil rakyat yang tidak berkemampuan berkhidmat untuk rakyat ini akan menjejaskan prestasi pentadbiran negeri dan ini adalah tanggungjawab Menteri Besar dalam memberikan yang terbaik untuk rakyat,”katanya.

Sementara itu Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Selangor,Khairul Anuar Ahmad, menyokong penuh tindakan Menteri Besar untuk melepaskan Adun Pelabuhan Klang dari tugasnya.

“Inilah tanggungjawab yang harus kita ambil daripada rakyat, mandat yang telah diambil dari pengundi dari pilihanraya yang lalu.Sekalipun sukar tetapi tanggungjawab itu lebih penting ataupun amanah rakyat itu yang penting. Jjadi kalau kita dapati ada Adun-adun yang tidak dapat memberikan khidmat terbaik kepada kerajaan negeri dan rakyat walaupun setelah dibantu dan dinasihati, tetapi masih lagi gagal melaksanakan amanah itu maka kita perlu mengambil keputusan dan tindakan yang bertanggungjawab .Walaupun sukar tetapi amanah rakyat itu adalah yang penting,”katanya. -TVS