17 Sep 2013

Akhbar Bermata Satu Malaysia, Utusan, Diperintah Bayar Husam RM40K


Mahkamah hari ini memerintahkan akhbar Utusan Malaysia menarik kembali satu laporan bertarikh 31 Mei 2009 yang didapati memburuk-burukkan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Akhbar itu juga diperintahkan untuk menyiarkan pengumuman penarikan balik rencana itu pada halaman 9 akhbar edisi hujung minggu Utusan, Mingguan Malaysia pada 22 September ini.

Peguam Husam Balan Nair Dahmodaran berkata akhbar milik Umno itu juga diperintahkan membayar kos sebanyak RM40,000 kepada Husam

Balan ketika dihubungi Malaysiakini berkata, keputusan itu dibuat oleh Hakim Siti Khadijah S Hassan Badjenid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.

Husam sebelum ini menamakan Utusan Malaysia, penulis rencana Zulkiflee Bakar dan Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak dalam tuntutannya.

Ia berhubung rencana bertajuk 'Menilai hujah Husam' yang disiarkan akhbar itu yang dianggap memburuk-burukkan Husam sewaktu pemilihan PAS semakin hampir pada masa itu.

Menurut Husam, rencana itu memberikan gambaran beliau tidak setia kepada PAS dan idealismenya, tidak boleh dipercayai, berniat untuk membahayakan kepentingan PAS, serta merupakan musuh kepada PAS. -mk


Utusan tarik balik fitnah terhadap Husam, bayar kos RM40,000


Hari ini mungkin hari yang paling mengembirakan bagi Datuk Husam Musa kerana beliau berjaya menyelesaikan fitnah terhadapnya menjelang muktamar empat tahun lalu apabila Mingguan Malaysia bersetuju untuk menarik balik fitnah itu dan membayar kos RM40,000 kepadanya.

Persetujuan ini dicapai melalui penyelesaian damai yang dibacakan di depan Hakim Siti Khadijah S Hassan Badjenid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Mingguan Malaysia, versi mingguan kepada akhbar Utusan Malaysia, bersetuju untuk menyiarkan penarikan balik itu dalam keluarannya 22 September ini dan bersetuju membayar kos sebanyak RM40,000 kepada Husam.

Utusan juga berjanji tidak akan menyiarkan kembali perkataan fitnah itu dalam mana-mana penerbitannya.

Husam diwakili peguam Malik Imtiaz melalui Tetuan Thomas Philip manakala Mingguan diwakili Tetuan Shafie and Mohan. Penasihat Undang-undang Kanan Utusan, Shirad Anwar menandatangi persetujuan hari ini bagi pihak Utusan. Turut berada di mahkamah ialah Zulkiflee Bakar, penulis rencana berkenaan.

Menjelang muktamar PAS pada 2009, Mingguan Malaysia menyiarkan satu tulisan bertajuk 'Menilai Hujah Husam' ditulis Zulkeflee yang mengandungi penyataan fitnah terhadap Husam.

Antaranya, akhbar milik Umno itu menyiarkan tulisan:

"Ahli-ahli PAS tidak boleh membenarkan kehadiran mana-mana pemimpin yang dilihat suatu hari kelak boleh menjadi 'makhluk perosak' atau melakukan 'kerja-kerja bodoh' dalam parti itu."

"Mereka tidak boleh menyiarkan ada pemimpin daripada golongan profesional merelakan diri mereka diperalatkan oleh orang luar bagi meruntuhkan kepimpinan ulama dalam PAS."

"Kalaulah puak-puak Erdogan dipilih, ahli-ahli PAS harus bersedia melihat kedudukan ulama dalam parti itu berada dalam keadaan bahaya. Ini kerana agenda golongan profesional daripada puak Erdogan untuk menguasai PAS tidak akan berakhir di situ. Mereka akan melakukan perancangan yang lebih teliti untuk memastikan agenda pihak tertentu di luar PAS bagi menguasai parti berkenaan tercapai. Oleh itu mereka perlu menghapuskan sebarang golongan yang boleh bertindak sebagai musuh dalam selimut kepada PAS."

Husam ketika ditemui The Malaysian Insider hari ini berkata, beliau gembira dengan keputusan yang dicapai dalam mahkamah hari ini.

"Isu ini berlangsung selama empat tahun tanpa penyelesaian dan menjadi isu yang menyerang saya ketika itu," katanya ketika ditemui selepas keputusan dibacakan.

Pada tahun berkenaan, Husam bersama Mohamad Sabu bertanding untuk jawatan sebagai timbalan presiden PAS namun beliau dan Mohamad Sabu kalah kepada Nasharudin Mat Isa yang disokong Utusan.

Ekoran itu, beliau menyaman Utusan, ketua pengarangnya serta penulis, Zulkeflee kerana memfitnahnya.

"Hari ini ia selesai. Saya harap tuduhan sebegini tidak berbangkit lagi," katanya.
-TMI

,br> ULASAN GB

Alhamdulillah.

Baru semalam GB sudah ulas mengenai Utusan, akhbar bermata satu di Malaysia ini. Petikan:

Demikianlah hukum kebenaran dan keadilan apabila ia berjalan.

Apabila akhbar berkenaan terus-terusan dengan corak pemberitaan mereka yang sarat dengan fitnah, lucah dan perkauman, mereka akan terhukum dengan sendirinya.

Bodoh sebodoh-bodohnya, Tak pernah mahu belajar dari kesilapan, tak pernah belajar dari hukum alam. "Sunnatullah" itu hendak didilawannya.

[WASPADA] Aplikasi Novel Lucah Versi BM Berleluasa Di Telefon Pintar


.Awas jika melihat anak-anak anda leka bermain telefon bimbit, mungkin mereka sedang asyik membaca novel lucah.

Novel elektronik berahasa Melayu dikesan boleh dimuat turun secara mudah dan percuma menerusi telefon dan tablet pintar sejak 28 Ogos lalu dan sejak kewujudannya, 100,000 orang sudah dicatatkan memuat turun aplikasi tersebut.

Kurang tiga minggu wujud, aplikasi itu mendapat reaksi negatif pelbagai pihak terutama ibu bapa yang bimbang anak mereka menggunakan aplikasi itu sekali gus menjejaskan akhlak dan moral anak-anak mereka.

Seorang bapa empat anak yang juga penjawat awam, Salleh, 49, berkata, beliau risau remaja yang sedang meningkat dewasa terdedah dengan bahan tidak bermoral seperti itu.

Katanya, anak-anak moden sekarang bukan lagi seperti kanak-kanak zaman dahulu, mereka kini masing-masing memiliki telefon bimbit sendiri malah ada di antaranya memiliki telefon dan tablet pintar yang mencecah ribuan ringgit.

“Golongan ini lebih arif tentang gajet dan mereka sudah tentu mengetahui kewujudan aplikasi ini, lebih-lebih lagi ia diletakkan dalam mekanisme yang sangat mudah untuk diperolehi,” katanya ketika ditemui, semalam.

Beliau memohon pihak berkuasa memantau perkara ini dan memikirkan semula kewajaran membenarkan aplikasi itu.

“Jangan memandang perkara ini sebagai isu remeh kerana ia babitkan moral dan anak-anak kita kelak,” katanya. -SH

Mustafa Ali: Tindakan Harun Taib Kurang Bijak


Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib sepatutnya tidak perlu bercakap mengenai strategi parti kepada umum kerana boleh memberikan mesej yang salah berdasarkan persepsi rakyat.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, tahaaluf siyaasi adalah strategi dalam perjuangan dan perlu dibincangkan secara dalaman, bukannya dihebohkan kepada umum.

"Tidak bijaksana dihebohkan. (Jika dihebohkan) maksud kajian boleh disalah tafsir dan akibatnya kita menghantar mesej yang salah, bukan sahaja kepada rakan PR tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya penyokong Pas dan Pakatan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Harun, dalam ucaptama Multaqa Ulama Semalaysia baru-baru ini, menyarankan Majlis Syura Ulama mengkaji semula tahaaluf siyaasi dalam PR berdasarkan garis panduan syura atas alasan pengaruh parti itu semakin lemah.

Sementara itu Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub menyifatkan kenyataan Harun bukan bertujuan melemahkan parti, tetapi mahu memastikan Pas lebih konservatif dari segi hala tuju parti itu dalam PR.

“Bagi mana-mana organisasi parti dan badan korporat, mengkaji (semula) sesuatu strategi adalah perkara biasa.

“Saya yakin, beliau berkata demikian untuk menjadikan Pas lebih kuat daripada sekarang,” katanya.

Salahuddin berkata, perkara itu tidak sepatutnya dianggap negatif, sebaliknya perlu memahami apa yang cuba disampaikan.

“Kenyataan beliau itu supaya Pas bekerja lebih kuat ke arah memanfaatkan pengaruhnya dalam PR.

“Apa sahaja kekurangan dan masalah perlu diperhalusi demi memanfaatkan melalui kerjasama dalam PR, selain mahu melihat peranan Pas bagi menjana kekuatan dalam PR,” katanya. -SH

Mana Lesap RM52 bilion Saham Bumiputera?


Datuk Seri Najib Razak perlu jelaskan ke mana lesap RM52 bilion saham Bumiputera sebagaimana diakui Perdana Menteri itu pada 24 Mac 2011.

“Berapa bilion wang rakyat lesap kerana rasuah dan salah tadbir kerana tiga tahun lalu, Najib mengakui daripada RM54 bilion nilai saham diperuntukkan kepada Bumiputera, hanya RM2 bilion kekal di tangan masyarakat itu.

“Persoalannya ke mana hilang RM52 bilion saham itu,”
kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan.

Beliau merujuk pengumuman Najib sebelum itu yang mengunjurkan beberapa langkah kononnya untuk memperkasa ekonomi Bumiputera.

Antara lain, Najib mengumumkan dana tambahan berjumlah RM700 juta kepada Tekun Nasional dan tambahan pembiayaan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebanyak RM300 juta, serta memperkenal Skim Permulaan ‘Entrepreneur’ Baharu Bumiputera (Superb).

“Sudah tentu mengangkat martabat Bumiputera cabaran besar buat Malaysia, namun PM dan Timbalannya perlu menjawab mengapa Bumiputera kekal lemah di bawah Umno yang memerintah sejak lebih 50 tahun lalu,” tegas Nik Nazmi.

“Najib juga harus menjelaskan mengapa jurang sosioekonomi masyarakat semakin melebar,” kata beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Beliau mendesak Najib tidak menyalahkan Bumiputera ekoran kegagalan golongan itu mencapai ekuiti 30 peratus dalam Dasar Ekonomi Bumiputera (DEB).

Katanya, ini kerana Umno seringkali mendakwa hanya parti itu layak memerintah Malaysia, manakala bagi yang menolak dianggap pengkhianat.

“Hakikatnya, Umno bertanggungjawab atas kelemahan Bumiputera. Rakyat sering menjadi mangsa kegagalan dasar Umno BN kerana parti itu mementingkan retorik.

“Pendekatan mereka hanya membelanjakan wang untuk semua masalah dengan harapan masalah itu kononnya selesai,” katanya.

Menurutnya, pengumuman Najib pada 14 September lalu sekadar menunjukkan kelemahan Bumiputera yang dimanipulasi Presiden Umno itu sebagai kempen menjelang pemilihan Umno Oktober ini. -KD

Lanjutan Darurat Untuk Kembalikan Rejim Mubarak, Jutaan Rakyat Mesir Teruskan Demontrasi


Ikhwanul Muslimin pada hari Ahad kelmarin (15/9/2013) mendakwa bahawa lanjutan tempoh darurat selama dua bulan lagi hanya akan mengembalikan semula rejim Hosni Mubarak dan menterbalikkan prinsip-prinsip dan tujuan dari Revolusi 25 Januari.

Di dalam satu kenyataan yang diterbitkan di halaman Facebook mereka, Ikhwan mengkritik Presiden sementara Adly Mansour yang telah melanjutkan tempoh darurat, mendakwa bahawa langkah itu sepatutnya dikenakan hanya dalam tiga situasi: semasa perang, serangan wabak atau perselisihan awam.

“Kami tidak tahu alasan apa ketika ini yang membuat hakim menandatangani keputusan melanjutkan keadaan darurat,” tambah Ikhwan.

Selanjutnya, kenyataan itu juga mengkritik apa yang dianggap mereka sebagai ketidakpedulian pengambil keputusan dengan kondisi ekonomi Mesir yang mengerikan ketika ini.

Presiden sementara Mesir Adly Mansour pada hari petang Khamis minggu lalu memutuskan untuk melanjutkan keadaan darurat selama dua bulan.

Keadaan darurat dikenakan awalnya pada 14 Ogos semasa berlaku demonstrasi yang mengakibatkan pembubaran paksa 2 kemah protes pendukung Mursi di Kaherah yang mengorbankan lebih dari 1000 orang dan lebih dari 40 tentera juga terbunuh.

Sementara itu demontrasi para pendukung Mursi terus diadakan di Lapangan Rab'ah, selepas Solat Jumaat (13/9) yang dilanjutkan Sabtu (14/9). Demonstrasi itu diadakan bagi memperingati satu bulan pembantaian di Rab'ah Al Adawiyah dan Nahdah oleh tentera Mesir.

Demonstran yang menamakan diri mereka pro legitimasi dan antikudeta sebelumnya telah menyeru rakyat Mesir untuk turun ke jalan secara besar-besaran. Rangkaian tindakan yang disebut 'Jutaan Massa Menuntut Darah Syuhada' itu telah tersebar luas di berbagai kawasan Negeri Piramid tersebut.

Di Kaherah tindakan demonstran dan 'long march' tersebar di sekitar 200 tempat. Mereka bergerak selesai Solat Jumaat dan melakukan aksi demontrasi aman menentang kudeta serta menuntut keadilan untuk darah para syuhada. Di Nasr City, demonstran cuba memasuki kawasan Rab'ah dari berbagai penjuru. Namun, mereka tersangkut kerana sejak Jumaat pagi seluruh akses menuju kawasan Rab'ah telah ditutup seluruhnya dengan penjagaan tentera, kubu pasir dan kawat berduri, 50 meter dari Rab'ah al Adawiyah.

Walaupun tidak berupaya untuk menerobos, demonstran tetap berarak dan bertahan di jalan-jalan sekeling kawasan Rab'ah berhadapan dengan pihak keselamatan. "Sementara di kawasan Heliopolis demonstran memenuhi jalan-jalan Istana Ittihadiyah sambil mengangkat simbol Rab'ah," demikian lapor berita Sinai Mesir (15/9).

Tindakan serupa juga berlangsung di berbagai wilayah seluruh Mesir. Mereka berhimpun di jalan-jalan sambil mengangkat foto-foto mereka yang terkorban semasa pembantaian rejim kudeta. Demonstrasi Jumat (13/9) merupakan aksi terbanyak sepanjang aksi 'gerilya' yang diterapkan demonstran pascapembantaian pada 14 Ogos lalu. Sekurang-kurangnya terdapat 320 masirah (gelombang demonstran) di seluruh penjuru Mesir yang melibatkan 16 juta pendemo.