27 Apr 2008

Kami berperang dengan pelepah tamar!

Menyedari hakikat bahawa dunia siber sentiasa berkembang, teknologinya sentiasa berubah, kami TKO sentiasa mengikuti perkembangan ini dan mencari jalan alternatif agar kami sentiasa berada dihadapan dalam penyampaian maklumat dan sumber.

Rata-rata telah tahu bahawa TKO.fm 6 bulan telah beroperasi dan cuba mengubah cara gaya persembahan maklumat kepada pengunjung. Al Hamdulillah komitmen DJ akhie Greenboc setakat tidak boleh dipertikaikan.

Dalam kesempatan kemampuan yang ada dengan serba kedaifan kami mengorak langkah menghadapi pilihan raya ke-12 dengan serba kekurangan. Walaupun server beberapa kali down kami tidak pernah berputusan asa, apa sahaja yang ada akan dijadikan alternatif. Kami seolah-olah berperang dengan pelepah tamar, melawan musuh.

Suara DJ berteriak untuk memadam fitnah media arus perdana seban masa, seolah-olah kami menyalak bukit. Walaupun apa peribahasa diungkap, kami tidak mati semangat. Kami lawan dengan masa yang ada, walaupun kami semua adalah pegawai kerajaan yang juga ada komitmen kerja.

Kita bertaut dengan apa sahaja ketika kami hampir rebah, www.tunasislam.net dijadikan tapak untuk bertahan, walaupun kami tahu dia juga adalah pelepah tamar! Kami bina www.tkodaily.net sebagai ampungan kedua untuk bertahan. Kami amat-amat memerlukan bantuan pada ketika itu tetapi jiwa, rohani dan kekuatan yang Allah bagi kepada kami membuatkan kami tidak akan merintih untuk minta...

Allah Maha Kaya, kami mendapat sokongan daripada mereka yang daif. Kami dan mereka yang membantu tanpa dikenali melalui sumbangan adalah kekuatan untuk kami menyerang musuh dengan pelbagai maklumat serta sumber. Al Hamdulillah kami berjaya walaupun www.tunasislam.net binasa!!

Memang peperangan perlu tipu daya, mencipta pelbagai rangkaian adalah satu kaedah mengelirukan musuh hingga musuh tidak tahu dari mana atau mana satu kubu utama!!

Pilihan raya ke-10 yakni pada 1999, internet memainkan peranan yang cukup baik. Laman Mahazalim, Mahafiraun, Harakahdaily, Minda Rakyat, RPN dll adalah tongak kepada serangan media internet.

Pilihan raya ke-11 yakni pada tahun 2004, internet tidak memainkan peranan yang penting. Ada beberapa faktor yang turut menjadi penyebab yang saya boleh ketengahkan sebagai pandangan peribadi saya.

Pilihan raya tersebut berlangsung selama 8 hari, tempoh kempen. Harakahdaily down selama 4 hari. TranungKite tidak dikemaskini, webmaster mengambil tugas misi untuk menjayakan satu projek di Dungun. Ini tidak disenangi oleh ramai pihak, termasuk satu e-mel yang berbunyi “hang tu webmaster, yang hang pi tampal poster buat apa. Orang lain boleh buat”.

Saya tak nafikan webmaster pada masa itu telah menghabiskan masa sepenuhnya untuk projek berkenaan dan kebetulan pada masa itu isterinya melahirkan anak dan dia berjumpa isteri dan anaknya dalam keadaan enjin kereta tidak dimatikan kerana ‘berkejar’ masa.

Pilihan raya ke-12, saya sebagai webmaster mengambil keputusan untuk bekerja sepenuhnya dengan TKO meninggalkan tugas saya sebagai SU Peti Undi sehingga ada masej “sedap mung tidur orang lain jaga malam di markaz”. Saya tidak mahu mengulangi kesilapan TKO pada pilihan raya ke-11.

Dua laman utama Harakah dan TKO tiada pada pilihan raya ke-11 dan dua laman ini beroperasi dengan baik pada pilihan raya ke-12. Selain daripada Malaysiakini, MalaysiaToday, Marhaen dan semua bloggger reformasi.

Inilah jawapan saya kepada tulisan-tulisan yang menepikan peranan TKO dalam pilihan raya kali ini. Walaupun jawapan saya terlalu lambat. Ada banyak fakta yang perlu kita tahu. Saya tegaskan bukan ini yang kami mahu dan kami sebenarnya tidak pernah memikirkannya. Sekadar mengulas dan yang amat penting sejauh mana peranan kita di alam siber ini untuk menghadapi masa-masa yang akan mendatang yang pasti lebih mencabar dan kronik...

tulisan akhi SongkokPutih
Webmaster Tranungkite