18 Jun 2010

Felda, Kebebalan Ahmad Maslan Terdedah, Najib Perlu Lepaskan Cengkamannya Terhadap Felda

Menteri gagal urus wang Felda – Zaid

PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Mohd Zaid Ibrahim hari ini menyelar kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan mengenai kerugian rizab wang Felda.

Mengulas mengenai jawapan yang diberikan Ahmad dalam Dewan Rakyat kelmarin mengenai rizab tunai Felda menyusut daripada RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion pada tahun 2009 menunjukkan kerugian sebanyak RM2.73 bilion dalam tempoh lima tahun.

"Kenyataan beliau jelas menunjukkan kecetekan pemikiran Timbalan Menteri mengenai Felda berdasarkan jawapannya di Parlimen.

"Ahmad gagal menjelaskan keuntungan Felda melalui pelaburannya, tapi hanya menggambarkan penggunaannya seperti belanja membeli-belah dan untuk tujuan kebajikan sahaja," katanya.

Zaid berkata, jumlah RM2 bilion itu merupakan jumlah besar jika Ahmad mendakwa Felda membelanjakannya untuk program tanaman semula.

Timbalan Menteri sepatutnya secara terperinci menjelaskan peruntukan wang RM2 bilion itu kepada jumlah peneroka yang terlibat, kawasan tanah, jika ini termasuk dalam kos sara hidup dan bayaran pendahuluan kepada peneroka mengikut piawaian penanaman semula yang ditetapkan, katanya.

Bagaimana RM253 juta dibelanjakan

Tambahnya, Timbalan Menteri juga tidak menjelaskan mengenai bagaimana RM253 juta dibelanjakan dan manfaatnya kepada generasi lain.

"Adakah wang itu pergi terus kepada peneroka miskin, atau adakah ia disalurkan kepada kerajaan negeri Sabah?

"Jika ini dianggap sebagai ‘kebajikan awam’, kita mesti tertanya-tanya jika Akta Felda termasuk membantu kerajaan negeri dibawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang kini mengalami kekurangan tunai," katanya.

Zaid turut mempersoalkan Ahmad tidak menjelaskan mengapa Felda membayar deposit 40% (berbanding jumlah biasa sebanyak 10%) kepada Naza TTDI untuk membina bangunan ibu pejabatnya sejumlah RM662 juta, jumlah yang jauh melebihi harga pasaran.

Selain itu katanya, syarikat Felda Rubber, Sutera Jaya dan Felda Herbal sudah pun gulung tikar.

"Perlu ada satu penjelasan terperinci jika penutupan syarikat itu ada kaitan dengan kelemahan salah guna urus tadbir," terang beliau.

Sehubungan itu, Zaid mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatannya dalam Felda dan biarkan organisasi lain menguruskan Felda secara profesional dan telus.

"Menteri, dan bukannya Timbalan Menteri yang perlu menjawab persoalan ini di Parlimen terutamanya apabila membabitkan hasil cukai daripada wang rakyat digunakan," katanya. -FMT


Zaid: Najib perlu lepaskan Felda

Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim menuntut supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melepaskan cengkamannya ke atas Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi membolehkan organisasi itu diuruskan secara telus dan profesional.

Bekas menteri di jabatan perdana menteri itu juga menuntut supaya penjelasan lanjut diberikan berhubung kemerosotan jumlah rizab tunai Felda yang menjunam daripada RM4.08 bilion pada 2004 kepada hanya RM1.35 bilion pada tahun lalu.

Zaid meminta supaya penjelasan lanjut diberikan terhadap jawapan timbalan menteri di jabatan perdana menteri (JPM) Datuk Ahmad Maslan di Dewan Rakyat bahawa jumlah rizab berkenaan susut sebanyak RM2.73 bilion dalam tempoh lima tahun.

"(Ahmad Maslan) gagal menjelaskan apa hasil yang boleh diperolehi Felda melalui pelaburannya, sebaliknya menggunakan wang tersebut untuk berbelanja sakan untuk 'tujuan kebajikan', seperti yang ditakrifkan.

"Menteri itu sendiri, bukan timbalannya, yang patut memberikan jawapan ini di Parlimen. Akauntabiliti awam adalah paling utama apabila duit pembayar cukai digunakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara yang dibangkitkan oleh Zaid ialah bayaran pendahuluan sebanyak 40 peratus kepada syarikat pemaju Naza TTDI untuk membina ibu pejabat baru lembaga itu, dengan kos keseluruhan RM662 juta.

Sedangkan, kata Zaid lagi, bayaran deposit pada kebiasaannya hanya pada kadar 10 peratus sahaja.

"(Ahmad Maslan) juga tidak mendedahkan mengapa harga (RM662 juta) itu sangat tinggi berbanding harga pasaran," katanya lagi.

Tambahnya, Felda juga telah menutup tiga buah syarikat yang dikuasainya - Felda Rubber, Sutera Jaya dan Felda Herbal, dalam tempoh lima tahun lalu.

"Sepatutnya ada penjelasan terperinci mengapa penutupan dibuat, dan sama ada tindakan ini disebabkan salahurus yang lebih teruk," katanya.

Katanya lagi, penjelasan juga perlu dilberikan berhubung perbelanjaan antara RM4 juta sehingga RM5 juta untuk menganjurkan pertandingan futsal dan sokongan kepada Kelab Bolasepak Felda.

"(Sedangkan), kebanyakan persatuan bolasepak kebangsaan mengurangkan perbelanjaan untuk pasukan mereka, termasuk pasukan yang layak ke Piala Dunia," katannya.

Zaid juga berkata, perbelanjaan sebanyak RM2 bilion untuk program tanaman semula Felda adalah satu jumlah yang terlalu besar bagi program tersebut.

Katanya lagi, kerajaan perlu mendedahkan jumlah peserta rancangan terlibat, keluasan tanah, bayaran sara diri dan pendahuluan pendapatan kepada peserta program berkenaan.

Selain itu, turut dibangkitkannya ialah dana sebanyak RM253 untuk program pembasmian kemiskinan di Sabah.

"Timbalan menteri tidak menjelaskan bagaimana RM253 juta itu disalurkan, atau memperincikan semua penerimanya.

"Adakah wang tersebut disalurkan terus kepada peserta miskin, ataupun disalurkan kepada kerajaan negeri Sabah yang sedang pokai?" soalnya. -mk


Kes Norza : Sandiwara SPRM?

Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria dan ejennya, Halimi Kamaruzzaman, daripada tuduhan rasuah.

Hakim Azuar Che Yusof membuat keputusan itu setelah Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Abdul Razak Musa menyatakan pihaknya tidak akan mengemukakan keterangan lanjut selepas saksi-saksi yang dikemukakan sebelum ini berpaling tadah.

Terdahulu, Abdul Razak berhujah pihak pendakwaan sentiasa berharap saksi-saksi bercakap benar bagi menegakkan keadilan.

"Tanpa keterangan yang boleh dipercayai, usaha untuk menghapuskan rasuah dan penyelewengan tidak akan berjaya," katanya.

Peguam Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang mewakili Halimi kemudian memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk melepas dan membebaskan tertuduh mengikut Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah.

Katanya, pihak pendakwaan juga telahpun diberi peluang memanggil 18 saksi sepanjang perbicaraan itu yang sudah memakan masa lama.

Mahkamah kemudian menerima hujah itu.

Mohamad Norza, 43, yang juga bekas anggota Majlis Tertinggi Umno, dituduh memberi suapan RM1,500 kepada Khadri Musa menerusi Halimi untuk diagihkan kepada anggota perwakilan sebagai dorongan untuk mengundinya bagi jawatan MT pada Perhimpunan Agung Umno pada Mac tahun lepas.

Beliau juga menghadapi satu lagi pertuduhan memberi suapan RM1,900 kepada Mohammad Anuar Yunus menerusi Halimi bagi tujuan sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan pada 6.30 petang, 20 Jan tahun lepas di No 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh di sini.

Halimi, 47, dari Bandar Indera Mahkota, Kuantan, pula menghadapi dua pertuduhan memberikan suapan itu kepada Khadri dan Mohammad Anuar bagi pihak

Mohamad Norza pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Sepanjang perbicaraan sejak Mac tahun lepas itu, sembilan saksi pendakwaan dituduh di Mahkamah Majistret Temerloh kerana memberi keterangan palsu.

Mohamad Norza, yang ditemui di luar mahkamah, melahirkan rasa syukur kerana dapat membersihkan namanya daripada tuduhan rasuah.

Katanya keputusan itu juga diharap dapat menamatkan spekulasi berhubung kredibilitinya.

"Saya adalah pemimpin Umno yang dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan rasuah oleh Lembaga Displin Parti dan juga mahkamah," katanya. -Bernama

Ulasan GB

Dari perspektif masyarakat, banyak ekkalahan SPRM di mahkamah adalah kerana ia tidak lain dari sandiwara-sandiwara kononnya SPRM bebas dan berkecuali di dalam penahahan dan pendakwaan. Hakikatnya pesalah dari UMNO BN akan lepas bebas dengan pelbagai cara dan helah.

PAS Sudah Siap Hadapi BN Di Kelantan

Nik Aziz: Nyatakan Tarikh, Pas Sedia Hadapi BN Bila-Bila Masa

PAS bersedia menghadapi pilihan raya umum bila-bila masa dari sekarang, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Walaupun kuasa mengumumkan tarikh pilihan raya itu terletak di tangan Perdana Menteri untuk membuat suatu kejutan, Menteri Besar Kelantan itu berkata kerajaan seharusnya memberi tempoh tertentu sebelum mengadakan pilihan raya bagi membolehkan parti bertanding membuat persediaan.

"Sebagai negara yang mengamalkan demokrasi, pilihan raya tidak patut diadakan secara mengejut dan perlu diisytiharkan lebih awal seperti tiga bulan atau sebagainya supaya kita sama-sama boleh bersedia,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan Jumaat di Dataran Ilmu, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa tarikh pilihan raya tidak akan diadakan dalam masa terdekat dan pengumuman mengenainya akan dibuat sebagai suatu kejutan.

Bercakap kepada pemberita di Tumpat dua hari lepas, Najib berkata kerajaan tidak akan membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum akan datang semata-mata berdasarkan kepada satu pendapat bahawa semakin ramai rakyat menyokong beliau.

Menteri Besar Kelantan berkata soal cepat atau lambat pilihan raya diadakan, bagi PAS ia tidak menimbulkan masalah kerana parti itu sentiasa dalam keadaan bersedia. -- BERNAMA

Ulasan GB

Bukan cakap besar, tetapi itulah prinsip sebuah gerakan Islam. Sentiasa bersedia, sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi pilihanraya bila-bila masa.

Ayuh, BN... ada berani?

Tian Chua Gigit Tangan Polis, Hilang Kelayakan Sebagai MP, Polis Tembak Dan Bunuh Orang Awam Terlepas

Denda RM2,000 memadai Tian Chua gugur status MP

KUALA LUMPUR, 18 Jun — Ahli Parlimen Batu dari PKR, Tian Chua dilihat sudah hilang kelayakan untuk menyandang kerusinya walaupun mahkamah yang mendengar rayuannya semalam telah mengurangkan denda daripada RM3,000 kepada RM2,000.

Melainkan keputusan semalam diubah oleh Mahkamah Rayuan selepas ini, jika rayuan peringkat kedua dibuat, dan menerima pengampunan diraja, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan pilihan raya kecil.

Seorang bekas pegawai kanan SPR memberitahu The Malaysian Insider, undang-undang sedia ada dengan jelas memperuntukkan bahawa jika dikenakan denda RM2,000 dan ke atas boleh menyebabkan wakil rakyat terbabit hilang kerusi disandangnya.

“Perkara ini dengan jelas dinyatakan dalam Perkara 48(1) Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau.

“Dalam kes ini, mahkamah telah menjatuhkan hukuman RM2,000, bukannya kurang daripada itu... oleh itu jelas bahawa dalam kes ini, Ahli Parlimen (Batu) sudah hilang kelayakan memegang kerusinya.

“Melainkan Ahli Parlimen berkenaan (Tian Chua) membuat rayuan (di Mahkamah Rayuan) dan jika rayuan ditolak, kemudian memohon pengampunan (jika mahu),” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Mengenai pandangan hakim bahawa keputusannya akan membolehkan pilihan raya kecil dapat dielakkan dan menjimatkan kos, bekas pegawai SPR itu memberitahu, mahkamah tidak seharusnya menyentuh perkara-perkara di luar perlembagaan.

“Hakim tidak boleh mengetepikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa seseorang anggota Dewan Rakyat boleh hilang kerusi dimenanginya jika dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang RM2,000 dan ia tidak mendapat pengampunan
.

Dalam buku bertajuk “Penjalanan Pilihan Raya Malaysia”, bekas setiausaha dan pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, “kehilangan kelayakan di bawah Artikel 48 Perlembagaan Persekutuan, jika timbul keraguan perlu diputuskan oleh Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri di bawah Perkara 53(1) Perlembagaan

Persekutuan dan perkara yang sama dalam Perlembagaan Negeri.”

Sebagai contoh katanya, dalam kes Ahli Parlimen DAP kerusi Menglembu Fan Yew Teng mengemukakan kes saman ke atas setiausaha Dewan Rakyat pada 1975.

Pada 13 Jan 1975 Fan telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi atas kesalahan di bawah Akta Hasutan dan telah didenda RM2,000 atau enam bulan penjara.

Pada hari yang sama, beliau telah membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun setelah diberitahu oleh Dewan Rakyat bahawa Fan telah hilang kelayakan di bawah Perkara 48(1) Perlembagaan Persekutuan dan sesuai dengan Perkara 50(1), kerusinya telah menjadi kosong dan dengan demikian SPR telah mengambil tindakan yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya kecil.

Fan telah membawa kes ini untuk ditentukan oleh mahkamah dan mahkamah mendapati bahawa sungguhpun beliau telah didenda, menyebabkannya hilang kelayakan, tetapi berhak menggunakan hak perundangan sepenuhnya. Hak itu diakui oleh mahkamah dan dengan demikian pendapat mahkamah ialah bahawa pilihan raya kecil itu tidak boleh diadakan sehingga rayuannya selesai dibicarakan.

Dalam kes yang berkaitan juga iaitu Fan melawan kerajaan Malaysia, di mana beliau telah memohon pengisytiharan mahkamah mengenai keahliannya dalam Parlimen yang telah terlucut disebabkan oleh kesalahan tersebut, mahkamah antara lain telah memutuskan bahawa dalam kes yang dirujukkan ini, keputusan yang telah dibuat oleh Dewan Rakyat bahawa ahli berkenaan hilang kelayakannya berasaskan Perkara 53 Perlembagaan Persekutuan adalah muktamad dan tidak boleh disoal di mahkamah.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengetepikan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 terhadap Tian Chua atau nama sebenarnya, Chua Tian Chang dengan menggantikannya kepada hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara kerana mencederakan seorang anggota polis pada 2007.

Bagimanapun Hakim Datuk Ghazali Cha menolak rayuan Tian Chua terhadap sabitan atas tuduhan itu setelah mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.

Ghazali berkata, penghakiman Majistret pada 22 Oktober lalu yang berdasarkan penemuan fakta adalah betul dan pemakaian undang-undang juga adalah tepat dan tidak perlu lagi diganggu.

Ghazali berkata, soal hukuman merupakan budi bicara sepenuhnya hakim perbicaraan berkenaan kecuali yang melibatkan hukuman mati.

“Dalam kes ini perayu adalah pesalah pertama. Tidak dapat dinafikan juga bahawa tiada keistimewaan patut diberikan kepada beliau sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

Bagaimanapun, katanya jika hukuman yang dijatuhkan boleh menjadikan Tian Chua, 47, tidak layak menjadi seorang Ahli Parlimen, satu pilihan raya kecil terpaksa diadakan.

“Seperti yang diketahui pilihan raya kecil ini memerlukan perbelanjaan yang besar dan memberi kesan kepada keseluruhan rakyat negara ini begitu juga kesejahteraan dan keharmonian di antara berbagai-bagai bangsa.

“Di atas alasan ini, saya berpendapat suatu hukuman yang setimpal yang tidak melibatkan banyak pihak adalah merupakan suatu hukuman yang adil.

“Hukuman yang dijatuhkan oleh Majistret diketepi dan digantikan dengan hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara,” katanya.

Tian Chua didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Konstabel Rosyaidi Anuar, 22, dari Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di jalan masuk ke Bangunan Parlimen.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff berkata pihak pendakwaan masih belum memutuskan sama ada merayu keputusan itu. -TMI


Ulasan GB

Tu dia! Tian Chua baru sekadar gigit tangan seorang anggota polis dikenakan hukuman sedemikian rupa sehingga hilang kelayakan sebagai seorang ahli parlimen.

Sedangkan di dalam banyak kes di mana anggota polis mencederakan orang awam, malah sehingga menyebabkan kematian, tidak pula diambil tindakan.