21 Mei 2009

UMNO Degil Sangat Nak Pertahan Kubu Rapuh Di Perak

Umno tidak seharusnya terus berdegil mempertahan kubu yang rapuh di Perak, memandangkan kedudukan Barisan Nasional (BN) belum selamat dengan bilangan Adun yang ada sekarang.

Ini kerana BN dan Pakatan Rakyat masing-masing ada 28 kerusi. Dan tiga kerusi lagi mewakili Bebas, selepas keluar daripada Pakatan.

Oleh itu banyak pihak tampil mendesak supaya Dun Perak dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya peringkat negeri diadakan.

Bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Ahmad Rusli Ibrahim berkata, pandangan pengerusi Suhakam, Tan Sri Abu Talib Osman dan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah amat jelas mengenai krisis di Perak.

Katanya, jalan penyelesaian paling sesuai dilakukan ialah membubarkan Dun bagi membolehkan rakyat diberi semula mandat bagi menentukan kerajaan yang lebih stabil.

Ditanya kemungkinan wujud kerajaan perpaduan di Perak beliau yang juga anggota Dewan Negara beliau berkata, tidak timbul soal penyatuan di antara dua parti.

"Perkara itu hanya timbul semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri. Memang pada masa itu ada cadangan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan.

"Namun sekarang jelas isu tersebut sudah berakhir. Lagi pun Dato' Seri Najib Razak dari awal lagi menolak kerajaan campuran di Perak. Maka jalan yang ada sekarang ialah bubar Dun," ujarnya ketika ditemui di sini.

Mengenai pertandingan dalam PAS pada muktamar yang akan diadakan bulan depan katanya, demokrasi terus dipertahankan dalam parti itu.

Menurutnya pertandingan yang sihat bagi merebut jawatan timbalan dan naib presiden memperlihatkan sikap keterbukaan dalam usaha memantapkan lagi organisasi parti.

"Ini adalah menunjukkan sesuatu yang sihat dan baik. Pelaksanaan demokrasi sepenuhnya berlaku dalam PAS.

"Kita berharap semua pihak tidak memberikan gambaran yang negatif terhadap penyertaan beberapa tokoh yang menawarkan diri bagi membantu presiden," katanya. -harakahdaily

Nizar Yakin Akan Menang Esok

Kami bukan menyanggah kuasa Duli Yang Maha Mulia Sultan tetapi adalah tidak masuk akal untuk mengatakan Nizar sudah hilang kepercayaan dan terus menyuruhnya meletakkan jawatan, demikian diantara hujjah Peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Mohammad Nizar.

Mahkamah Rayuan akan memutuskan esok berhubung rayuan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Md Raus Shariff yang bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop akan membacakan keputusan itu pada pukul 3.30 petang esok.

Mahkamah mula bersidang pada pukul 9.40 pagi tadi dengan mendengar hujah daripada peguam, Datuk Cecil Abraham yang mewakili Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Sebelum mahkamah berhenti rehat, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail turut mengemukakan hujahnya sebagai pencelah.

Dr Zambry telah membuat rayuan berhubung keputusan itu pada 12 Mei lalu dan Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi sehingga rayuan Dr Zambry terhadap keputusan itu selesai.

Isu perundangan melibatkan Dr Zambry dan Mohammad Nizar telah bermula sejak Februari lalu apabila Dr Zambry telah dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Mohammad Nizar selepas Barisan Nasional (BN) mengambil alih pemerintahan Perak daripada Pakatan Rakyat.

Berikutan itu, pada 13 Februari lalu, Mohammad Nizar memfailkan permohonan untuk mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.

Kemudiannya pada 11 Mei, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Dr Zambry bagaimanapun membuat rayuan berhubung keputusan itu pada 12 Mei dan Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi sehingga kes rayuan Dr Zambry selesai.

Mohammad Nizar keesokannya pula membuat permohonan bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu bagi penangguhan pelaksanaan itu.

Sementara itu Datuk Seri Nizar Jamaluddin menaruh keyakinan kepada keputusan mahkamah esok.



Najib Altantuya Mengaku Beliau "Penyamun Paling Besar"

PPerdana Menteri Najib Razak berkata beliau adalah penyamun terbesar apabila ditanya mengenai sama ada kepimpinan dan ahli Umno yang dipimpin beliau benar-benar faham akan keperluan melakukan reformasi dalam dasar-dasar ekonomi dan pentadbiran negara.

Beliau membuat kenyataan tersebut dalam satu temuramah dengan akhbar Singapura, The Straits Times semasa lawatan beliau dua hari ke Singappura bermula hari ini.

"Tidak apa... hanya penyamun kecil. Sayalah penyamun paling besar," kata Najib secara sinis.

Lawatan beliau ke negara pulau itu adalah bagi membincangkan isu dua hala antara kedua negara seperti pembangunan Iskandar di Johor.

Bahagian Isi. Ini adalah bagian yg hanya muncul jika link 'Baca selanjut' diklik.

TGNA : Rakyat Tak Selera Nak Undi UMNO BN

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pemimpin Barisan Nasional (BN) boleh memberikan pelbagai dalih untuk tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti pada hujung bulan ini.

Namun hakikatnya, kata Mursyidul Am Pas itu, keputusan yang dibuat membuktikan parti itu tidak lagi menjadi pilihan rakyat.

“BN memberikan bermacam-macam dalih. Masyarakat sudah tidak berselera untuk memilih atau mengundi BN sekarang.

“Selera masyarakat sudah hilang untuk pilih BN. Tidak kira apa bangsa sekalipun Cina, India dan Melayu sendiri pun sudah banyak beralih pada parti lain,” kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco negeri di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan BN yang tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil DUN Penanti selepas penyandang kerusi itu, Mohamad Fairus Khairuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang melepaskan jawatannya bulan lalu.

Minggu lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan BN tidak akan meletakkan calon bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Penanti.

Sementara Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan calon mereka iaitu Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, manakala bekas ketua wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah bertanding sebagai calon Bebas.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Menteri Besar Kelantan itu turut menyarankan supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap mat rempit.

Menurutnya, negara perlu mempunyai undang-undang lebih berat sehingga mereka yang terbabit takut melakukan jenayah itu.

Beliau mengulas cadangan polis agar istilah mat rempit ditukar kepada samseng jalanan dan kesalahan itu dikenakan hukuman berat.

Kelmarin, Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, gelaran samseng jalanan lebih sesuai kerana kelakuan ganas mat rempit mengancam nyawa orang lain.

PAS UMNO : Tiba-tiba Daud Iraqi Akan Dipanggil SPRM

Memang aneh kerja-kerja Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ini.

Apabila parti pembangkang baru mengesyaki pemimpin mereka ada melakukan rasuah, yang mebuat kenyataan ituakan dipanggil untuk disoal siasat sedangan parti pemerintah, UMNO yang terang-terang telah mendapati ahli-ahlinya terlibat di dalam politik wang semasa pemilihan yang lepas, SPRM memejamkan mata dan memekakkan telinga terhadap desakan dan laporan mengadu salah laku dan poliytik wang yang melanda parti itu.

Berita Harian melaporkan SPRM akan memanggil Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud Iraqi untuk memberi keterangan berhubung dakwaan rasuah dalam pemilihan Pas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Ahmad Said Hamdan, berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutup Program Jati Diri Rakan Muda di Membakut, hari ini.

Inilah akibat apabila petamanya: SPRM masih lagi menjalan siasatan secara berpilih dan tidak profesyenal di dalam mengendalikan kes-kes yang diadukan kepadanya dan kedua pengajaran kepada pemimpin parti pembangkang, kususnya PAS di dalam konteks ini, supaya jangan terlalu cepat mengeluarkan kenyataan yang tidak berfakta dan berunsur fitnah justeru ia akan diambil kesempatan musuh.

GB telah menyatakan berkali-kali dengan memetik ayat ini:

Sambil bersikap sombong takbur di muka bumi dan berusaha merancangkan rancangan-rancangan jahat, sedang rancangan yang jahat itu tidak menimpa melainkan orang yang merancangnya sendiri. Fathir :43




NIZAR VS ZAMBRY : TERKINI DI MAHKAMAH RAYUAN

MStar melaporkan Mahkamah Rayuan pagi ini akan mendengar permohonan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bagi mengetepikan keputusan mahkamah itu yang membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan beliau sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir telah membuat rayuan berhubung keputusan itu pada 12 Mei lalu dan Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi sehingga rayuan Dr Zambry terhadap keputusan itu selesai.

Barisan peguam kedua-dua pihak mula memasuki mahkamah pada pukul 9 pagi tadi.

Mohammad Nizar tiba kira-kira 15 minit kemudian bersama isteri dan beberapa penyokongnya.

Pasukan polis kelihatan mula melakukan kawalan sejak awal pagi.

Isu perundangan melibatkan Dr Zambry dan Mohammad Nizar telah bermula sejak Februari lalu apabila Dr Zambry telah dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Mohammad Nizar selepas Barisan Nasional (BN) mengambil alih pemerintahan Perak daripada Pakatan Rakyat.

Berikutan itu, pada 13 Februari lalu, Nizar memfailkan permohonan untuk mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.

Kemudiannya pada 11 Mei, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Dr Zambry bagaimanapun membuat rayuan berhubung keputusan itu pada 12 Mei dan Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi sehingga kes rayuan Dr Zambry selesai.

Mohammad Nizar keesokannya pula membuat permohonan bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu bagi penangguhan pelaksanaan itu.

Lupakan Saja Satu Malaysia Apabila Satu UMNO Pun Gagal

Penindasan sesama Umno sehingga menyebabkan ramai yang bertindak keluar dari parti itu adalah bukti awal yang jelas tentang kegagalan hasil mengelamun Perdana Menteri yang diriuh-riuhkan sebagai konsep Satu Malaysia, kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Dalam Umno pun (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) gagal mewujudkan Satu Umno, tidak perlu cakaplah tentang Satu Malaysia," katanya mengulas tindakan ahli-ahli Umno di Perlis yang bertindak keluar dari parti itu dan menyertai menyertai pembangkang.

Dengan apa yang berlaku itu, Ahli Parlimen Pokok Sena menggesa rakyat segera sedar tentang sifat sebenar Umno.

"Sesama Umno, sesama Melayu pun ditindas, dipecat dan dizalimi, tidak ada lagi keadilan yang boleh diharapkan dari Umno yang kelihatan semakin bersungguh-sungguh mempelopori penindasan ke atas sesiapa sahaja yang tidak disukainya," kata beliau.

Mahfuz mengalu-alukan kebijaksanaan ahli-ahli Umno yang keluar dari parti itu dan menyertai Pakatan Rakyat (PR).

"Dengan penuh ketulusan kita menghulurkan tangan kepada mereka dan saya yakin tindakan mereka itu pasti mengukuhkan lagi tali silaturrahim antara sesama umat Islam dan rakyat Malaysia," kata beliau.

Mengulas apa yang berlaku itu, bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, mereka yang keluar Umno itu termasuk ketua cawangan dan bekas ketua cawangan parti itu di Perlis yang tidak puas hati dengan tindakan kerajaan negeri membuang mereka dari jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK).

Menurut beliau, pemecatan ahli JKKK itu berlaku di Pauh, Kuala Perlis, Titi Tinggi, Santan, Mata Air dan Beseri.

"Setakat ini 16 atau 17 ketua cawangan dan bekas ketua cawangan telah dibuang dari JKKK, menyebabkan mereka dan yang lainnya, tidak puas hati.

"Ketua cawangan dan bekas ketua cawangan Umno dipinggir dan kerajaan negeri tidak mengambil kisah perkara tersebut.

"Pembangkang pula telah mengambil kesempatan daripada perkara tersebut," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, bekas Ketua Penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh berkata, tindakan ahli Umno menyertai pembangkang bukan sahaja berlaku di bahagian Kangar tetapi juga di Padang Besar.

"Saya kenal mereka itu semua. Mereka adalah bekas pemimpin Umno di Kangar.

"Betullah angka itu," katanya ketika diminta mengulas laporan Malaysiakini semalam bahawa 1,000 ahli Umno di bahagian tersebut menyertai PKR.

Hashim juga sedang memikirkan sama ada akan kekal dalam Umno atau menyertai pembangkang.

"Saya sedang menilai hala tuju politik saya, ke manakah arah politik saya.

"Takkan saya hendak tunggu saya naik ke atas. Apa yang berlaku ini sedang menjadi perhatian saya.

"Bukan soal saya menunggu tawaran, jika keadaan sudah tidak sesuai, mahu tunggu apa lagi" katanya.

Sementara itu, seorang pemimpin Umno bahagian Padang Besar, ketika dihubungi Malaysiakini, juga mengakui ramai ahli Umno di bahagian itu yang keluar parti.

Bagaimanapun pemimpin yang enggan namanya disiarkan itu tidak dapat memberi angka sebenar ahli Umno yang keluar parti.

Katanya, mereka bertindak demikian kerana marah kepada pemimpin MCA bahagian yang membuang ahli JKKK di beberapa tempat di Padang Besar.

"Mana boleh pemimpin MCA memecat ahli JKKK yang terdiri daripada ahli-ahli Umno," katanya.

PAS UMNO :Menjelang Pemilihan - Apabila Husam Difitnah

Muktamar PAS lebih 2 minggu lagi dan sudah tentu yang menarik dan tertarik adalah pemilihan pucuk pimpinan PAS. Perkara yang tak pernah jadi isu akan jadi isu besar (politiklah katakan). Sebelum ini pena ini pernah merakamkan betapa Ulamak PAS tiba-tiba bersuara dan bernada seolah-olah kepimpinan ulamak yang menjadi nadi perjuangan PAS sudah terpinggir dan perlu pembelaan.

Ulamak PAS khususnya Dewan Ulamak PAS membisu dalam banyak isu tiba-tiba mengusulkan satu gagasan supaya Presiden dan Timbalan Presiden PAS adalah ulamak. Tetapi isu itu terhenti apabila TGNA menyatakan nak jadi ulamak tak perlu masuk pondok dengan sentiasa mengikuti pengajian dan mendampingi ulamak pun kita boleh jadi ulamak.

Tiada siapa yang mengikuti perkembangan ini dapat menafikan isu ini timbul apabila Haji Husam dicalonkan sebagai Timbalan Presiden walaupun Hj Muhamad Sabu juga turut dicalonkan tetapi tempiasnya hanya Haji Husam sahaja yang menerimanya. Yang lebih melucukan lagi Dato Haji Mustapha Ali yang pernah melawan ulamak untuk jawatan Timbalan Presiden pun lupa pada sejarah turut mengatakan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden hanya sesuai untuk ulamak.

Ingatkan serangan pada Haji Husam dah berakhir apabila TGNA memberi pendapat tentang ulamak, sekali lagi Ketua Dewan Ulamak menyerang Haji Husam walaupun secara tidak langsung. Ustaz daud Iraqi berkata terdapat gejala rasuah seperti mengadakan jamuan dan membeli baju telah berlaku dalam PAS. Sekali lagi Ketua Dewan Ulamak memberi bahan berita yang cukup sensasi kepada media. Apa motif sebenarnya? Walaupun secara tidak jelas ditujukan kepada siapa tetapi isu ini telah lama dibawa oleh beberapa penulis blog dan pemimpin PAS. Ustaz Abu Bakar Chik (Dato) contohnya banyak bercakap bahawa Haji Husam banyak tabor duit kepada PAS kawasan untuk pastikan beliau terpilih. Dengar cerita Haji Husam mintak Dato’ ABC bersemuka dan memberikan bukti.

Begitu jugak bila dibangkitkan secara terbuka oleh Ust Daud Iraqi Haji Husam minta dibawa bukti jangan hanya pandai membuat tuduhan. Sekarang orang yang menuduh itu perlu membawa bukti. Haji Husam pernah dikatakan bermain dengan politik wang apabila beliau banyak menggunakan wang dalam pilihanraya kecil di Kelantan sedangkan wang itu digunakan untuk menggerakkan jentera bukan beli undi. Pilihanraya dimana-mana sekalipun memerlukan wang untuk jentera walaupun jentera sukarela tetapi makan minum perlu difikirkan.

Apa yang saya nak cerita sebenarnya apabila ada YB yang cemerlang macam Husam bukan setakat berkhidmat dalam kawasan diwakilinya atau negerinya sahaja bahkan merentasi sempadan tetapi berdepan dengan kononya memberi sogokan. Beliau dinista membelanjakan banyak wang untuk meningkatkan populariti dalam parti PAS walaupun tidak dinyatakan secara terus tetapi ramai yang mengatakan semuanya itu dituju kepada Datuk Paduka Husam Musa. Apabila Haji Husam minta Ustaz Daud Iraqi memberi bukti terhadap adanya tuduhan rasuah kepada segelintir orang PAS atas kapasiti beliau sebagai Naib Presiden PAS ada yang secara sinis menuduh Haji Husam melenting kerana terasa panas dengan tuduhan tersebut.

Sebenarnya susah jugak jadi orang yang bernama Husam, naik dalam barisan pimpinan secara mendadak atas kebolehanya sendiri bukan atas proksi mana-mana pihak. Haji Husam seorang yang bekerja kuat untuk PAS dan beliau akan berada dimana sahaja bila diperlukan. Beliau begitu peka dengan isu masyarakat. Saya sendiri pernah ikut beliau (secara kebetulan) masa dia turun ke Kedah atas urusan PAS di SRIDU, sebelum terbang balik ke KL beliau minta kami membawa beliau menziarahi keluarga Cikgu Cina yang jatuh dari tingkat atas akibat lantai kayu yang reput, pada masa itulah baru orang tahu bahawa SRJK© perlu dibantu. Haji Husam ziarah keluarga cikgu tersebut dan member sedikit sumbangan, katanya sumbangan dari kerajaan negeri Kelantan. Mana pemimpin PAS lain pada yang menziarahi keluarga mendiang?

Slogan memasyarakatkan PAS hanya seronok dibahaskan di markas atau hotel-hotel sahaja. Bila di lapangan terbang, pada masa itu kebetulan ramai pelajar nak ke Mesir, bila mereka Nampak Haji Husam masing-masing tak lepas peluang bersalam dengan Haji Husam tetapi sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat dan nak tunjuk pemurahnya pemimpin PAS, pelajar tersebut bukan bersalam dengan tangan kosong, Haji Husam selok poket bagi RM50 seorang katanya buat makan atas kapal terbang. Kalau orang UMNO ada pada masa tu mereka akan lihat betapa pemurahnya pemimpin PAS.

Kalau kita banyak berjalan dan mendengar, dikalangan pemimpin PAS, Haji Husamlah yang banyak memberi bantuan samada kepada sekolah agama mahupun PAS-PAS kawasan. Yang terbaru, Pondok Pak Ya (yang terpinggir dalam pemerintahan PAS di Kedah), apabila pihak pengurusan berjumpa Haji Husam, beliau tidak mengecewakan dan usahakan bantuan sehingga RM50,000.00. Malah Harakah sendiri apabila hendak mengadakan sisipan KHAS sempena PRU12 baru-baru ini tak cukup peruntukan, Sdr Lutfi sendiri turun jumpa Haji Husam dan Haji Husam tetap tidak mengecewakan pihak Harakah dengan memberi peruntukan.

Soalnya orang kata Haji Husam bolehlah dia pegang duit kerajaan tapi semasa PAS memerintah Terengganu yang kaya, apa pemimpin PAS Terengganu bagi sumbangan untuk PAS negeri lain? Cikgu Pa yang menjadi exco kanan dan dikatakan mempunyai kuasa pemutus melebihi kuasa MB pada masa itu, apa yang Cikgu Pa sumbang? Ada kawan dari PAS Tanjung Karang masa tu Dato’ Dr Hassan Ali orang kuat PAS Tanjung Karang tengah memprojekkan projek KOMPAS pergi jumpa Cikgu Pa di Pejabat Exco, kawan tersebut rasa macam peminta sedekah pulak dan tidak dilayan.

Soalnya sekarang, salahkan Haji Husam mencari dana bagi membantu perjuangan PAS? Salahkah Haji Husam membantu PAS kawasan yang hendak menjalankan aktiviti parti? Di sini kalau kita lihat orang lainlah duduk tempat Haji Husam sudah tentu kepentingan diri adalah agenda diutamakan. Berapa buah Bungalow yang telah haji Husam dirikan untuk dirinya, rumah asal yang didirikan pun tidak diperbesarkan, kereta pun pakai kereta rasmi Marcedes yang lama. Beliau dituduh memperkayakan kroninya di Kelantan, siapa?

Tetapi ramai yang memusuhi beliau di Kelantan kerana tidak mendapat balak. Bermusuh dengan Husam kerana balak. Kalaulah Husam nak bina pengaruh mengapa beliau perlu tolak permohonan balak oleh beberapa pemimpn PAS di Kelantan? Kalau dia nak bina pengaruh bagi sahaja balak tuh bukan milik dia pun tetapi disinilah amanah seorang pemimpin. Dia perlu pastikan hasil balak itu masuk ke kantung kerajaan dan akan digunakan untuk faedah rakyat.

Kadang kita hairan, kalau wakil rakyat yang gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing dan ada setengah tu jarang-jarang turun kawasan tetapi isu ini tidak diperkatakan malah ada wakil rakyat yang cukup kedekut. Balik kawasan jarang-jarang, tumpang kereta kawan dan balik kawasan tinggal kat rumah kawan. Musim cuti sekolah tak Nampak muka takut dijemput makan kenduri duit habis. Bila tumpang kereta orang, sampai dekat tol buat-buat tidur, berhenti stesen minyak pun buat tidur dan bila singgah makan sanggup tidur dalam kereta macamlah penat sangat jadi YB tetapi dah dasar kedekut. Tetapi YB macam ini tidak dipedulikan orang sebaliknya YB yang bertungkus lumus menaikkan bendera PAS ke seluruh Negara dihgeletek denagn isu rasuah pulak? Mana kewarasannya? Apakah khidmat dan tanggyungjawab itu rasuah? Jangan kita suka sangat bercakap sehingga kita tidakk sedar percakapan kita boleh mendatangkan fitnah pada jemaah? Ku buat salah, tak buat salah, jadi semua serba salah. - Kopi Janda

Ulasan GB
Cukuplah ayat-ayat Allah ini jadi sandaran:


Sesungguhnya mereka yang memfitnah orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka jahannam (kerana perbuatan buruk itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api Yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat). Al-Buruj : 10


Sambil bersikap sombong takbur di muka bumi dan berusaha merancangkan rancangan-rancangan jahat, sedang rancangan Yang jahat itu tidak menimpa melainkan orang Yang merancangnya sendiri. Fathir :43



UMNO BN N9 Hadapi Penyakit Kronik - ADUN SIKAMAT

Hari ini kita sama sama membaca berita yang di paparkan didalam Berita Harian dan New Straits Times yang menyatakan "MB says two PKR reps want to quit".

NST juga ada menyatakan bahawa ADUN yang dimaksudkan adalah Dun Sikamat dan Dun Ampangan, iaitu melibatkan saya dan Sdr Rashid Latiff.

Saya sebenarnya telah menafikan perkara tersebut selepas ucapan Mohammad Hassan di Rembau, 19hb May 2009, setelah saya dihubungi oleh wartawan Berita Harian.

Kenyataan yang tidak bertanggungjawab oleh MB serta memperolehi maklumat dari jalanan menunjukkan bahawa beliau seperti mempunyai masalah dalaman UMNO yang cukup kronik sekarang. Semua di Negeri Sembilan tahu bahawa sebilangan besar Ketua Bahagian UMNO amat kecewa apabila beliau dilantik semula sebagai Pengerusi Badan Perhubungan. Rata rata Ketua Bahagian tidak bersama dengan beliau sekarang.

Kenyatan yang tidak bertanggungjawab itu juga ingin menunjukkan bahawa kami gagal dalam memberikan perkhidmatan kepada pengundi dan penduduk dikedua-dua Dun tersebut. Saya berharap agar MB tidak menjadi hakim, tetapi seperti saya ingatkan dalam setiap persidangan dewan, serah kepada rakyat pada pilahanraya ke 13 nanti untuk menentukan.

Kenyataan juga menunjukkan bahawa MB hari ini cukup khuatir, jika kami benar benar meletakkan jawatan. Beliau khuatir akan diadakan pilihanraya kecil di negeri ini kerana ini akan menguji kewibawaannya yang sudah cukup tercalar.

Dalam riak, ini menunjukkan beliau takut akan kalah lagi serta memalukan dirinya. Saya percaya beliau tahu bahawa kedua kawasan tersebut sukar untuk beliau menangi semula.

Bukan setakat itu, beliau hari ini mulai khuatir bahawa calon calon PKR mempunyai peluang untuk menang di Dun Dun yang lain pada pilihanraya akan datang. Kekhuatiran ini dibuktikan dengan menyerang PKR khususnya kami berdua.

Akhirnya, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih khususnya kepada pengundi saya di Sikamat dan teman teman yang awal awal lagi menyatakan bahawa kenyataan tersebut tidak benar. Mereka juga tidak mempercayai bahawa saya akan membelakangkan kepercayaan mereka. -YB Hj Aminuddin Harun - ADUN SIKAMAT