31 Mei 2010

Intifada Diistiharkan. UMNO Masih Berpelukan Dengan APCO

Serang Konvoi Bantuan Kemanusiaan, KEADILAN Desak Kerajaan Batal Kontrak APCO

KEADILAN hari ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim zionis Israel yang menyerang konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa (Freedom Flotilla) ke Gaza yang mengakibatkan 16 orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera.

Ketua Penerangan Latheefa Koya berkata serangan kejam itu terhadap sebuah daripada enam kapal yang membawa bekalan perubatan, makanan, bahan binaan dan lain-lain keperluan asas menuju Gaza.

"Pembunuhan terhadap aktivis konvoi bantuan itu merupakan satu tindakan yang kejam dan salah sama sekali.

"Tiada justifikasi di bawah undang-undang antarabangsa yang membolehkan rejim zionis itu bertindak sedemikian," kesalnya.

Tambahnya, konvoi kapal tersebut turut membawa Ahli Parlimen dari Eropah, pemegang Nobel Peace Prize, wanita dan beratus-ratus aktivis keamanan.

"KEADILAN menyeru dunia mengutuk dan mengambil tindakan terhadap rejim zionis itu dan mendesak kerajaan membatalkan kontrak APCO dengan segera," tegas Latheefa lagi.


Mesyuarat tergempar, Hamas isytihar 'intifada'

Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa, memanggil mesyuarat tergempar bagi membincangkan tindakan perkumpulan 22 negara Arab terhadap apa yang disifatkan "tindakan keganasan" Israel terhadap kapal misi bantuan antarabangsa ke Gaza.

"Setiausaha Agung Liga Arab sudah memanggil mesyuarat tergempar peringkat wakil bagi membincangkan jenayah kejam tentera Israel terhadap orang awam tidak bersenjata yang menyebabkan ramai terbunuh dan cedera.

"Liga Arab mengutuk tindakan keganasan itu," menurut kenyataan pertubuhan itu yang dipetik oleh Reuters.

Sementara itu, AFP pula melaporkan Hamas hari ini menyeru rakyat Arab dan umat Islam supaya 'berhimpun' di kedutaan-kedutaan Israel di seluruh dunia bagi membantah serangan maut rejim itu terhadap kapal-kapal yang membawa bekalan bantuan ke Semenanjung Gaza.

“Kami menyeru semua rakyat Arab dan umat Islam supaya berkumpul di kedutaan-kedutaan rejim Zionis itu di seluruh dunia,” kata jurucakap Hamas Sami Abu Zuhri sambil menggunakan perkataan Arab 'intifada'.

Perdana Menteri Hamas Ismail Haniya di Gaza mengecam 'serangan' berkenaan dan turut meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melindungi aktivis yang mengikuti misi penghantaran bekalan bantuan itu.


Karpal : Najib, Ezam Boleh Didakwa Tidak Membuat Laporan Polis

Perbicaraan kes Fitnah 2 Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bersambung semula pagi ini.

Peguambela, Karpal Singh sekali lagi memohon bagi membekalkan pihaknya dengan senarai saksi.

Perbicaraan dimulakan Karpal dengan memberitahu pihaknya telah menghubungi pemilik kondominium di mana penuduh yang juga saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan mendakwa tempat dia diliwat tetapi gagal menghubunginya.

"Kami perlukan bantuan daripada pihak pendakwaan. Saya pasti dia (pemilik kondo) itu juga akan dipanggil (sebagai seorang saksi).”

Namun Peguam Cara II Negara yang juga ketua pendakwa, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden memaklumkan mahkamah bahawa beliau hanya mengetahui berhubung permohonan senarai saksi pendakwaan telah dibuat hari ini.

Perbicaraan pagi ini ditangguhkan sebentar selepas sesi soal balas (cross examine) diadakan di antara Karpal terhadap Saiful.

Berikutan itu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memanggil peguam ke dalam kamar untuk mengadakan perbincangan.

Dalam perbincangan itu, Karpal memohon kepada hakim untuk pergi ke kondominium itu yang terletak di Bukit Damansara di mana lokasi Saiful dakwa diliwat Anwar. Permohonan itu bertujuan bagi membuat pemeriksaan alibi.

Sebelum itu, prosiding soal balas masih lagi berkaitan laporan perubatan ke atas Saiful.

Saiful menceritakan bahawa ayahnya bercerai dengan ibunya semasa dia berada dalam darjah satu.

Karpal kemudian bertanya mengenai adik perempuan Saiful iaitu Saidati yang dikatakan mengikut seorang lelaki dan berkahwin di Thailand.

Beliau kemudiannya menyemak semula keterangan awal Saiful mengenai perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Rodwan Mohd Yusof (ketika itu pengarah Jabatan Siasatan Jenayah yang sekarang ini Ketua Polis Melaka) dan bekas olahgarawati negara, Mumtaz Jaafar yang merupakan sahabat akrab isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Karpal kemudian bertanyakan kepada Saiful sama ada Najib, Mumtaz, Rodwan, Ezam ada membuat laporan polis berhubung dakwaannya yang dia diliwat oleh Anwar.

Saiful memberikan jawapan bahawa dia tidak tahu.

Kemudian berlaku pertikaman lidah di antara Karpal dan Mohd Yusof sebaik Karpal berhujah Perdana Menteri dan yang lain boleh diheret ke mahkamah kerana tidak membuat laporan polis berhubung dakwaan Saiful diliwat.

"Di bawah Seksyen 13, Kanun Prosedur Jenayah adalah satu prosedur bagi seseorang untuk membuat laporan polis. Jika ini tidak dilakukan, ia adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 202, Kanun Keseksaan,” jelas Karpal. -SK

ADUN BN Bakal Letak Jawatan Atau Lompat Parti

Sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim akan mengosongkan kerusi (meletak jawatan ADUN) atau melompat parti, akan diketahui selewat-lewatnya petang ini.

Ini kerana, Naib Ketua UMNO Bahagian Padang Terap itu dijangka akan membuat pengumuman pada hari ini, seperti apa yang beliau janjikan sebelum ini.

Ketika dihubungi petang semalam, Syed Sobri mengingatkan wartawan supaya menunggu pengumuman yang akan dibuat.

“Saya tidak mahu cakap apa-apa lagi sekarang. Makin banyak saya bercakap, semakin jadi kelam kabut. Tunggulah pengumuman yang akan saya buat,” katanya.

Ditanya sama ada keputusan sudah dibuat, Syed Sobri berkata, segala-galanya akan terjawab.

Agak aneh apabila Timbalan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah ketika ditanya sama ada beliau sudah mendapatkan penjelasan Syed Sobri berhubung isu itu, berkata beliau masih tidak dapat menghubungi wakil rakyat berkenaan.

Ketua Pembangkang DUN Kedah yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid pula meminta semua pihak bersabar dan menunggu kenyataan Syed Sobri sendiri.

“Buat masa ini, elok saya diam daripada membuat kenyataan berhubung khabar angin Syed Sobri akan letak jawatan. Kita tunggu esok (hari ini) sahaja,” katanya.

Menurut sumber terdekat wakil rakyat itu, Syed Sobri diyakini akan keluar daripada Barisan Nasional dan menyertai Pas kerana tidak berpuas hati terhadap kepimpinan parti itu.

“Ada beberapa perkara yang perlu dibereskan dahulu sebelum Syed Sobri membuat pengumuman itu. Biasalah, perlu melalui beberapa proses seperti menghantar borang keahlian sebelum dipersetujui Jawatankuasa Pas Negeri, dan perlu menepati syarat-syarat ditetapkan,” katanya.

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada Syed Sobri akan melepaskan jawatannya sebagai ADUN, sumber itu memberitahu, ia belum pasti.

“Sama ada beliau akan melepaskan kerusi yang disandang, atau membawa sekali kerusi bersama-samanya dalam Pas, masih samar,” katanya.

Sekiranya Syed Sobri membuat keputusan menyertai Pas, tindakannya itu akan meningkatkan kerusi Pakatan Rakyat (PR) dalam DUN Kedah kepada 21 sekali gus mengurangkan kerusi BN daripada 13 kepada 12. Bebas diwakili dua ADUN.

Ini bukan kali pertama ADUN Kuala Nerang itu dikaitkan dengan isu letak jawatan. Pada awal 2009, beliau pernah berada dalam situasi yang sama sehingga Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membuat kenyataan mengumumkan Syed Sobri tidak akan melepaskan jawatan setelah mereka berbincang hati ke hati pada 28 April 2009. Pada 3 November 2008, Mahkamah Tinggi Alor Setar mengisytiharkan Syed Sobri muflis berikutan kegagalan wakil rakyat itu menjelaskan hutang RM150,000. Namun pada 15 November tahun yang sama, Syed Sobri mengumumkan telahpun menjelaskan hutang berkenaan dan peguamnya telah pun mengesahkan beliau tidak lagi diisytiharkan muflis. -SH



Kemungkinan BN hilang satu lagi DUN

by:SHAMSUL MUNIR SAFINI

ALOR SETAR-Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO/BN negeri Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah menafikan kononnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim ingin meletakkan jawatan dalam parti sebelum melepaskan kerusinya itu.

Menurut beliau, Syed Sobri tidak akan melakukan perkara sedemikian kerana belia merupakan seorang ahli UMNO yang mempunyai pertimbangan yang tinggi terhadap parti.

“Beliau tidak boleh mengecewakan pimpinan parti dengan mengambil tindakan seperti itu.

“Kesemua ahli UMNO bersama-sama membina parti dan saya yakin beliau tidak akan dengan mudah meletak jawatan dan melepaskan kerusi itu,” katanya.

Beliau menambah, beliau masih belum mendapat tahu perkara terbabit secara terperinci dan masih dalam usaha untuk berhubung dengan beliau.

Menurutnya, beliau akan berjumpa Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shafie Afdal bagi membincangkan perkara ini, dan akan meneliti secara terperinci tentang perkara ini.

Beliau menambah, Syed gagal dihubungi dan kini dia berada di Kuala Lumpur namun tidak mengetahui urusan beliau di sana.

Semalam, sebuah akhbar arus perdana menyiarkan bahawa kerusi tersebut mungkin dikosongkan oleh Syed Sobri setelah dipercayai beliau tidak dapat meneruskan tanggungjawab sebagai ADUN berkenaan masalah tertentu.

Sementara itu, Speaker DUN Kedah, Dr Abdul Isa Ismail ketika dihubungi Sinar Harian menyataka sehingga hari ini tidak menerima sebarang surat perletakan jawatan dari beliau(Syed Sobri).

“Saya masih belum menerima sebarang surat, dan tidak tahu menahu perkara ini,” ujar Abdul Isa lagi.

Pada 3 November yang lalu, Mahkamah tinggi Alor Setar mengisytiharkan Syed Sobri muflis berikutan saman dari pihak bank setelah gagal membayar hutang tertunggak melebihi RM150,000.

Beliau kemudian memberi kenyataan bahawa hutang tersebut telah diselesaikan dan telah memfailkan rayuan berkenaan keputusan muflis tersebut.

Khairy Gagal Ketepikan Saman Fitnah RM100juta DSAI

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini, gagal dalam permohonannya untuk mengenepikan penghakiman ingkar yang diperoleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam saman fitnah RM100 juta yang difailkan ketua pembangkang itu.

Penghakiman ingkar itu dikenakan ke atas Khairy pada 4 Disember 2008, selepas beliau gagal memasukkan kehadiran dalam kes itu selepas writ saman diserahkan kepadanya.

Khairy memfailkan permohonannya pada 20 Februari 2009 lalu untuk mengenepikan perintah itu.

Mengumumkan penghakimannya di kamarnya, penolong pendaftar Mahkamah Sivil Kuala Lumpur, Nazri Yahya juga mengarahkan Khairy untuk membayar kos.

Anwar, 63, menfailkan saman terhadap Khairy pada 7 Mac 2008 kerana dakwaan Khairy pada ketika itu Naib Ketua Pemuda Umno telah mengucapkan dan telah menyebabkan penerbitan di laman sesawang termasuk Malaysiakini.com. satu rakaman klip video bersama sebuah artikel bertajuk "Anwar and kin no threat".

Anwar mendakwa rakaman klip video itu dalam Malaysiakini mengandungi kata-kata fitnah yang diucapkan oleh Khairy di satu ceramah di Lembah Pantai, Kuala Lumpur pada atau sekitar 20 Feb 2008.

Beliau berkata kata-kata fitnah itu antara lain bermaksud beliau terlibat dengan aktiviti berlawanan dengan Islam, tidak mempunyai akhlak mulia dan tidak sesuai memegang jawatan politik atau mana-mana jawatan.

Beliau memohon ganti rugi pampasan RM100 juta, teruk, teladan, kos dan relif-relif lain oleh mahkamah. -mk

GAS Beri Tempoh Seminggu Kepada Samy Vellu

Samy Turun!" Kira-kira 3,000 orang menghadiri majlis pelancaran Gerakan Anti Samy (GAS) semalam, mendesak agar Presiden MIC yang memegang jawatan untuk 31 tahun ini berundur dalam tempoh seminggu.

Penggerak GAS, V.Mugilan berkata, biarpun wujud sabotaj untuk mengurangkan bilangan orang yang hadir, namun "yang penting itu semangat, bukan bilangan orang". Beliau mendakwa bahawa aktiviti pada hari Ahad ini berjaya, malah telah menjangkau matlamat gerakan ini.

Majlis Perlancaran GAS dijadualkan bermula pada jam 2 petang, di Putra World Trade Centre (PWTC) semalam, tetapi dibatalkan sewaannya kepada GAS tiga hari yang lalu. GAS akhirnya mengadakan majlis ini di Malaysia International Exhibition & Convention Centre (MIECC).

Penganjur menangguhkan permulaan majlis lantaran kelewatan mereka yang hadir, sehingga jam 3 petang. Kira-kira 3,000 orang hadir pada hari semalam, termasuk ahli MIC yang tidak berpuas hati dengan Samy Vellu yang masih enggan melepaskan tampuk pimpinan kepada pewarisnya, dan mereka yang prihatin terhadap keadaan Maju Institute of Education Development (MIED).

Antara yang hadir termasuklah V. Govindaraju, bekas ahli parlimen Pelabuhan Klang-MIC yang pernah menjawat Naib Presiden MIC. V. Govindaraju juga "penasihat" di sebalik GAS.

Penceramah menuduh Samy berbohong

Sebagai penceramah pertama, V. Govindaraju meminta maaf kepada semua orang, apabila mengakui bahawa dirinya yang menbawa Samy Vellu untuk masuk ke MIC. V. Govindaraju menuduh Samy berbohong dalam hal "tarikh hari jadi"-nya.

Selain V. Govindaraju, K.P. Samy yang turut dipecat Samy Vellu, mengumumkan data pungutan yuran parti untuk membuktikan bahawa Samy Vellu berbohong kepada orang awam kerana mendakwa MIC mempunyai enam juta orang ahli.

Menurut maklumat dalam parti, MIC telah memungut jumlah yuran keahlian sebanyak RM615,550 pada tahun 2009. Jika dibahagikan RM1.50 setiap orang, maka akan didapati bahawa ahli yang membayar yuran hanyalah kira-kira 410,000 orang. Malah, dalam belanjawan parti tahun 2010, daripada yuran yang dianggarkan, jumlah penambahan ahli baru, kesemuanya tidak melebihi 500,000 orang.

Namun demikian, K.P. Samy enggan mendedahkan sumber pemberi maklumat ini, cuma memaklumkan bahawa dirinya memperolehi maklumat ini dua minggu yang lalu dari pusat.

Ketika berucap, K.P.Samy menuding jari kepada Samy Vellu sebagai punca yang memecah-belahkan komuniti India, yang kini menyertai PPP, Gerakan malah PKR dari Pakatan Rakyat. Beliau menyeru agar Samy Velly berundur untuk menyelamatkan MIC dan menyatu-padukan orang India di Malaysia.

Pukul gambar Samy dengan kasut

Biarpun lokasi ditukar, tetapi kehadiran tetap melebihi 2,500 orang. Malah, seorang warga emas berumur 70-an yang berjalan dengan tongkat, gagal menahan kemarahan yang meruap, lalu menyarung tongkatnya dengan kasut, dan memukul ke arah gambar Samy Vellu pada poster besar. Tindakan ini menggemparkan orang ramai.

V.Mugilan menjelaskan bahawa mereka tidak bersetuju dengan perbuatan sedemikian, malah meminta maaf kepada Samy Vellu dalam sidang media yang diadakan kemudiannya. Namun, beliau menambah, penguasaan Syarikat Maika Holding Berhad oleh Samy Vellu mencetus kemarahan warga emas tersebut, yang memikirkan masa depan generasi yang akan datang.

Seorang ahli MIC, Rohn Rajen berkata, beliau menolak jadual perletakan jawatan yang ditentukan oleh Samy Vellu sendiri. Beliau menuntut agar Samy Vellu berundur dengan segera, "Saya tidak tahu siapakah orang yang sesuai untuk menjadi pemimpin, tetapi apa yang pasti, orang itu bukan Samy Vellu!"

Kata-katanya disahut dengan laungan agar Samy Vellu berundur.

Mugilan bersumpah

Anak Samy Vellu, S.Vell Paari yang pernah menuduh bahawa UMNO adalah dalang di sebalik GAS, telah memohon maaf lantaran kenyataan tersebut. Bagaimanapun, Mugilan tetap bersumpah dengan Tirukural (kitab Hindu) bahawa gerakan ini tidak didalangi mana-mana kuasa atau individu yang lain.

Pada masa yang sama, beliau berkata, terdapat orang yang sanggup membelanjakan RM 5 juta untuk menggangu kelancaran aktiviti ini, dengan cara-cara termasuk mengugut dan menakut-nakutkan orang yang berniat hadir. Malah, aktiviti ini dikatakan akan dikacau oleh samseng, dan tiada polis hadir untuk mengawal ketenteraman, bertujuan untuk menambah keresahan orang yang ingin datang.

Malah, RM 5000 dibayar kepada pemandu bas yang bakal membawa penumpang dari Johor, Pulau Pinang, Kedah dan sebagainya, bahkan ada yang dibayar terus kepada mereka yang berniat hadir, menurut Mugilan.

Mugilan menjangkakan kehadiran semalam mencecah 15,000 orang, tetapi dewan ini hanya dapat menampung 5,000 kerusi, dan hanya separuh daripadanya diisi, mengikut pengamatan wartawan. Beliau menjangkakan kehadiran melebihi 20,000 orang seandainya tiada sabotaj.

Had tempoh 7 hari

Mugilan adalah Timbalan Ketua Pemuda MIC yang dipecat oleh Samy Vellu, berikutan gesaannya agar Samy berundur pada 19 Mei 2010. Sebelum ini, Mugilan ialah calon cadangan yang terhangat untuk MIC-BN dalam PRK Hulu Selangor, namun akhirnya terpaksa memberi laluan kepada P.Kamalanathan.

Isu ini dipercayai punca perbalahan antara Mugilan dengan Samy Vellu. Mugilan mengehadkan tempoh 7 hari agar Samy berundur secara sendiri, dan beliau akan mengumumkan formula GAS untuk menggulingkan Samy Vellu sekiranya Samy enggan berbuat demikian. "Samy adalah beban BN dan kerajaan, kalau beliau tidak berundur, BN pula yang akan diheret."

Di samping itu, Setiausaha Agung MIC S. Murugesan yang menyokong GAS telah dipecat pada petang, semalam. -MR

Ezam, Pelacur Senator Yang Tak Lengkap Tarbiyah

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali menyifatkan Senator Mohamad Ezam Mohd Noor, yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai orang yang “tidak lengkap tarbiyah.”

Ahli Parlimen Gombak ini melabelkan Ezam “tidak habis menjalani tarbiyah” dengan merujuk kepada tempoh menjadi setiausaha politik kepada Anwar, ketika itu memegang jawatan menteri kewangan, cuma dua tahun.

Itu sebabnya beliau tidak mempunyai idealisme yang kuat bagi mempertahankan PKR, kata Azmin.

Ezam baru sebulan dilantik oleh Umno-BN sebagai anggota Dewan Negara.

Beliau menyertai Umno pada 2008, dua tahun selepas meninggalkan PKR.

Azmin berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada Kongres Nasional Keenam PKR di sini petang ini.

Dalam ucapannya Azmin tidak menyebut nama Ezam secara langsung, yang merupakan bekas ketua Angkatan Muda Keadilan.

Sebaliknya beliau menyentuh isu lompat parti yang ditimbulkan oleh perwakilan dalam sesi perbahasan.

Azmin mendakwa, Anwar ketika memegang jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan pernah ditawarkan ganjaran sebagai balasan tidak menekankan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam jawatan kerajaan dan parti.

Ketika itu Anwar juga merupakan timbalan presiden Umno.

“Jangan dengar senator yang melacurkan dirinya, saya tahu sebagai setiausaha sulit dia (Anwar) ketika itu, hampir setiap perkara, (bekas menteri kewangan) Datuk (kini Tun) Daim Zainuddin akan menghubungi saya untuk menemui Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama dengan (Allahyarham) Peguam Negara Datuk Mohtar Abdullah untuk membincangkan strategi Dr Mahathir untuk ketepikan jawatan kerajaan dan parti, tetapi memberikan imbuhan dan pulangan yang cukup besar asalkan tidak sentuh Dr Mahathir dalam jawatan parti dan kerajaan.

“Tetapi insan yang bernama Anwar bin Ibrahim menolak semua sogokan Dr Mahathir untuk mempertahankan rakyat dan prinsip,” kata Azmin dengan berkata, “siapa pelacur senator ini? saya tak sebut.”

Bagaimanapun kedengaran perwakilan menyahut dengan berkata, “Ezam.”

Beliau seterusnya berkata, “baru berkhidmat tidak lebih dua tahun, tetapi mengaku dia adalah anak didik Anwar Ibrahim,” katanya.

“Proses tarbiyah (pun) tak habis... yang paling lama (berkhidmat) ialah Khalid Jaafar, yang berkhidmat selama 13 tahun, Dr Mansor Othman (kini Timbalan Ketua Menteri I), dan sudah tentulah (saya) dari Gombak,” kata Azmin yang juga bekas setiausaha politik Anwar.

Azmin menambah, ini menunjukkan beliau, Khalid dan Mansor telah melalui proses tarbiyah yang sempurna dan lengkap serta tidak kehilangan idelisme perjuangan.

“Tetapi kalau satu tahun, nak berlagak macam... bila kita bertempur, ini yang lari ke luar negara kerana tidak berani berdepan dengan kezaliman Umno dan BN.

“Hari ini dapat senator, tak mengapa. Lihat Senator Dr Syed Husin (Ali), ada kualiti, ada prinsip, ada idealisme, dia tetap bersama dengan mempertahankan idealisme,” katanya.

Azmin berkata, Pakatan Rakyat mahu kuasa yang diberikan oleh rakyat diterjemahkan dalam bentuk amalan dan tindakan bagi melakukan agenda reformasi termasuk pembaharuan ekonomi.

“Pada 1995, saya masih ingat Anwar melontarkan idea ketika membentangkan belanjawan, tentang pesanan tujuh tahun yang subur dan akan diikuti dengan tujuh tahu yang gersang.

“(Bagaimanapun) Dr Mahathir tidak berani dan tidak bersedia untuk melakukan reformasi ekonomi kerana mempertahankan kronisme dan nepotisme sehingga berlaku krisis ekonomi.

“Dr Mahathir dengan mudah menyalahkan (George) Soros dan IMF (Dana Kewangan Antarabangsa).

“Tidak mahu mengaku bahawa kegagalan kepimpinan, tidak mahu melakukan reformasi ekonomi.

“Akhirnya bila berlaku pertembungan, pejuang (Anwar) kita disumbat dalam penjara, bukan kerana (bekas pemandu Anwar) Azizan Abu Bakar,” katanya.

Dalam ucapannya, Azmin juga berkata, beliau mengharapkan satu dokumen ekonomi Pakatan Rakyat yang jelas dirangka walaupun agenda ekonomi baru telah diutarakan sebelum ini.

Beliau juga mencadangkan agar pegawai-pegawai kerajaan negeri turut menghadiri setiap kali PKR mengadakan kongres tahunan.

“Saya hendak usulkan setiap kali kongres parti bersidang, mesti diwajibkan ketua agensi kerajaan khsusunya pegawai UPEN hadir bersama.

“Walaupun ia melibatkan kongres parti politik, tetapi ia juga menyentuh soal dasar (kerajaan negeri).

“Kita adalah pemimpin akar umbi yang membincangkan, harus ada pegawai-pegawai kerajaan dengar, pulang serta laksanakan keputusan yang diputuskan oleh kongres,” katanya. -TMI