28 Mac 2009

Video - Laungan "Khairy Rasuah" Berkumandang Di Perhimpunan UMNO

KKhairy Jamaludin memenangi jawatan Ketua Pemuda Umno yang baru kerana Lembaga Disiplin Umno telah membenarkannya bertanding walaupun didapati bersalah di bawah Artikel 10.1 Tataetika Ahli UMNO yang melibatkan politik wang.

Sudah tentu, mereka yang mendapat habuan daripada Khairy akan mengundinya ; lagi pula Lembaga Disiplin Umno seolah-olah merestui gejala politik wang terus berlaku.

Lantaran itu, kemenangan Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda UMNO yang baru, nyata mengundang rasa tidak puas hati di kalangan penyokong Mukhriz.

Mereka menggelarkannya ‘Khairy Rasuah’. Itulah gelaran yang diberikan kepada Ketua Pemuda yang baru dilantik dengan gelaran yang baru pula.

Reaksi bantahan tersebut ketara apabila penyokong ahli Parlimen Jerlun itu meninggalkan Dewan Tun Hussein Onn tempat perhimpunan pergerakan tersebut diadakan. Dalam pada itu sekumpulan penyokong Mukhriz yang berada di luar dewan berkumpul dan bersorak menyatakan perasaan bantahan mereka.

Antara sorakan yang jelas kedengaran ialah 'Khairy rasuah'. Sekumpulan anggota polis juga berkawal di sekitar kawasan ruang legar kaunter pendaftaran perwakilan di Pusat Dagangan Dunia Putra bagi mengawal sebarang kemungkinan.

- alhusseyn


Muka Lama UMNO Tak Akan Bawa Perubahan

Umno yang dahagakan perubahan untuk menguruskan pentadbiran Negara dengan lebih cekap dilihat masih bergantung kepada muka-muka lama yang diberi kepercayaan dalam perhimpunan agungnya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Ezzah Anwar berkata, perubahan hala tuju baru yang dijelaskan dalam amanat Pak Lah selaku presiden pada perhimpunan itu, ternyata tidak memberi imput yang membina di kalangan perwakilan.

Malah tokoh-tokoh Umno yang telah didapati bersalah atau disabitkan dengan politik wang dan rasuah, masih mempunyai tempat dan dipilih untuk memikul tanggungjawab sebagai pemimpin.

Katanya, pemilihan Sharizat Abdul Jalil sebagai Ketua Wanita Umno menggantikan Rafidah Aziz dikatakan tidak akan membawa sebarang perubahan dalam membela nasib rakyat dan akan kekal dengan cara lama.

“Menang ini menunjukkan ahli-ahli Umno dahagakan perubahan. Selama menjadi wakil wanita yang sama bertahun-tahun, apa yang penting di sini kita lihat, mereka adalah pemimpin yang lama dan muka-muka lama dan ini menjadikan mesej transfomasi itu sesuatu yang hambar bagi saya,” ujarnya.

Malah muka-muka yang telah didapati terlibat dengan politik wang serta rasuah tidak segan silu untuk mendapatkan sokongan daripada para perwakilan.

“Sebelum pertandingan, isu mereka yang dijatuhkan sebagai pesalah, tapi menang. Sebelumnya, ada kes rasuah, politik wang, lepas (pemilihan) masih berjaya walaupun jatuh bersalah. Jadi inilah yang akan memberi kerisauan yang amat sangat, sedangkan mereka ini akan memegang teraju kepimpinan Negara,” katanya.

Nurul Ezzah ditemui selepas mewakili ayahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim membaca ucaptama Wacana Ekonomi Ummah dan Gerak Usahawan Siswa 2009 di Universiti Industri Selangor (Unisel), Seksyen 7 Shah Alam, hari ini.

-tvantara


UMNO dan Rasuah Tidak Boleh Dipisahkan - Perwakilan

Seorang perwakilan UMNO hari ini secara terus terang telah membuat pengakuan bahawa UMNO memang sebuah parti yang mengamalkan politik wang.

Perwakilan dari Pendang Kedah menyatakan bahawa masuk politik UMNO umpama bermain bolasepak di padang dan mencabar ahli-ahli UMNO untuk menunjukkan ahli UMNO yang mana yang tidak terlibat dengan politik wang.

"Saya nak tanya siapa yang main bola duduk dalam padang tak sepak bola? Kalau tak sepak bola jangan main bola," katanya dengan merujuk bahawa politik wang sebagai satu gejala yang memang telah mendarah-daging di dalam UMNO.

Sementara itu wakil Pemuda Umno, Syahrin Jamaluddin berkata Umno gagal membentuk persepsi di kalangan rakyat mengenai apakah yang sebenarnya diperjuangkan oleh parti tersebut.

Beliau yang juga pengerusi Forum Perdana Islam di RTM berkata, maklum balas tersebut diperolehi melalui forum berkenaan.

Berucap membahaskan usul agama di perhimpunan agung Umno di PWTC hari ini, Syahrin berkata, maklum balas menunjukkan Umno tidak dilihat memperjuangkan Islam.

Sehubungan itu, Syahrin menyarankan supaya Presiden baru Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak menzahirkan imej agama dalam Umno.

Untuk tujuan itu, katanya, media massa perlu memainkan peranan penting untuk merealisasikan matlamat tersebut.

"Program dalam saluran-saluran di televisyen tidak mencerminkan perjuangan agama yang hendak kita bawa," ujarnya.

Beliau menyarankan supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Tabung Haji menaja program berkenaan untuk ditayangkan pada waktu perdana.

Beliau juga menyarankan supaya ditubuhka panel syariah di stesen televisyen swasta kerana kebelakangan ini "banyak cerita-cerita Indon yang pelik-pelik disiarkan".




Bukit Selambau : Kemenangan Pertama Pakatan Rakyat

Bernama melaporkan seorang peniaga yang sudah menyatakan hasratnya bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau menarik diri sehari sebelum hari penamaan calon.

Mohd Reduan Md Isa, 52, berkata beliau membuat pengumuman untuk bertanding pada tiga minggu lalu, tetapi kemudiannya menukar fikiran selepas berbincang dengan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

"Masa saya umumkan bertanding misi saya ialah untuk membela rakyat dan menerusi perbincangan dengan Anwar Ibrahim baru-baru ini, saya dapati misi kami sama iaitu untuk membawa perubahan dan oleh kerana itu saya tidak bertanding untuk memberi sokongan pada calon PKR," katanya kepada pemberita di bilik gerakan PKR di sini, hari ini.

Beliau menafikan dakwaan kononnya mendapat inisiatif daripada pihak tertentu untuk menarik diri.

Bekas Ahli Jawatankuasa PKR Bahagian Merbok itu, berkata beliau akan memberikan sokongan kepada calon PKR S Manikumar yang akan bertanding.

Sementara itu, Pengerusi Perhubungan PKR Kedah, Ahmad Kasim berharap lebih ramai calon Bebas menarik diri dan memberi laluan kepada PKR dan Barisan Nasional (BN) bertanding bagi satu lawan satu.

"Jika calon bebas itu mempunyai latar belakang daripada PKR, maka calon itu akan menarik sedikit sebanyak pengundi PKR. Jadi kalau ramai yang jadi calon Bebas daripada PKR, maka rugilah kita," katanya.

Setakat ini, 10 calon bebas sudah membayar deposit untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Mengenai hari penamaan calon esok, beliau menganggarkan kira-kira 10,000 penyokong PKR akan memberikan sokongan kepada calon mereka iaitu Manikumar.

Pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau diadakan berikutan peletakan jawatan V Arumugam daripada PKR pada 8 Februari lalu.

PPSMI: UMNO Berbalah Pendirian

Mstar melaporkan bahawa Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang menguasai sesi bahas Perhimpunan Agung Umno pagi ini dengan perwakilan berbalah pendian mengenainya.

Pergerakan Puteri Umno mahu kerajaan meneruskan dasar PPSMI tanpa sebarang keraguan dan kebimbangan sementara Umno Johor dan Kedah pula mahu Umno mengambil ketetapan tegas memansuhkan dasar tersebut yang diperkenalkan lapan tahun lalu.

Wakil Puteri, Seriwani Sabtu dari Bahagian Setiawangsa berkata, di samping memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, "kita tidak boleh melupakan kepentingan bahasa lain terutamanya bahasa Inggeris."

Justeru usaha-usaha memberi kesedaran terhadap orang Melayu terutamanya betapa penting bahasa ini di peringkat global, kata beliau yang merupakan pembahas ketiga menyentuh usul pendidikan dan agama hari ini - hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2008.

Tujuh perwakilan membahaskan usul sebelum ucapan penggulungan mulai 11 pagi ini.

Tambah beliau, PPSMI harus diteruskan tanpa ada keraguan dan kebimbangan bahawa bahasa ibunda akan terjejas.

"Sekurang-kurangnya dengan ada PPSMI pelajar-pelajar kita terutama bangsa Melayu telah mendapat pendedahan terhadap bahasa global ini dan di peringkat awal lagi.

"Ini dapat memberi mereka persediaan yang lebih mantap untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Dalam pada itu, perwakilan dari Johor, Ayub Rahmat menegaskan, Umno negeri tersebut mahu Majlis Tertinggi (MT) mengambil tindakan tegas untuk memansuhkan PPSMI.

"Jika MT boleh memutuskan untuk laksanakan dasar ini, badan ini juga harus bertindak tegas mansuhkan dasar PPSMI," kata beliau.

Jelas beliau, pendirian Umno Johor bukan bermakna pihaknya menghalang penggunaan bahasa Inggeris tetapi mahu bahasa kebangsaan dipertahan martabatnya.

Perwakilan dari Pendang, Kamal Saidin turut persoalkan mengapa mahu mendaulatkan bahasa penjajah sedangkan kebanyakan ilmu yang tersebar di dunia sebelum ini tidaklah menggunakan bahasa Inggeris.



Sekali Lagi Khairy Diboo

Pastinya Ketua Pemuda Umno yang baru, Khairy Jamaluddin masih perlu bekerja kuat untuk memantapkan kedudukannya dalam menerajui pergerakan tersebut.

Jelas, dari reaksi para perwakilan di perhimpunan agung Umno hari ini, ia menunjukkan kejayaannya memenangi jawatan tersebut, belum dapat diterima sepenuhnya.

Ini kerana setiap kali nama beliau disebut, jelas kedengaran laungan 'boo' dari kalangan perwakilan.

Khairy memenangi jawatan tersebut Rabu lalu, dengan menewaskan dua lagi calon - Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Beliau memperolehi 304 undi manakala Dr Mohd Khir mendapat 254 undi dan Mukhriz memperolehi 232 undi.

Pada malam pengumuman dibuat, ratusan penyokong Mukhriz tidak puashati dan berkumpul di luar dewan persidangan.

Sebelum ini, Khairy didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin kerana ejennya terbabit dalam rasuah dan sokongan politik.

Bagaimanapun, beliau dibenarkan bertanding jawatan ketua Pemuda Umno.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam tidak bernasib baik seperti Khairy.

Beliau juga didapati bersalah kerana ejennya terbabit dalam sogokan politik, tetapi beliau dilarang bertanding jawatan timbalan presiden.

Malah semalam, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak menghadiri majlis perasmian perhimpunan agung Umno Khamis lalu, kerana Pemuda Umno secara langsung dan terbuka, merestui politik rasuah.

- malaysiakini


BUKIT GANTANG : Mohammad Nizar Pilihan Amat Tepat

Pemilihan Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai calon untuk pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang 7 April depan disifatkan sebagai pilihan terbaik.

Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Kapt (B) Usaili Alias berkata, meletakkan Mohammad Nizar sebagai calon untuk pilihan raya itu adalah langkah terbaik sebagai meluahkan perasaan rakyat terhadap pentadbiran di Perak sekarang.

“Itu adalah satu langkah bagi mewakili rakyat untuk meluahkan apa yang dimahukan dan siapa pemimpin sebenar yang mereka mahukan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, jika dilihat selama 11 bulan Pakatan Rakyat (PR) memerintah Perak, banyak pembangunan yang telah dibuat.

“Sebagai contoh, PR telah menambahkan peruntukan pembangunan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebanyak RM200,000 berbanding kerajaan dahulu hanya sebanyak RM75,000 sahaja setahun.

“Ini menunjukkan kerajaan dulu tidak prihatin kepada keperluan rakyat berbanding dengan PR yang menggunakan kebijaksanaan untuk memerintah bagi memenuhi kehendak rakyat,” katanya.

Usaili berkata, pihaknya mendapat respons yang cukup baik daripada kaum lain di negeri ini dan mereka menyokong gagasan pemerintahan PR yang sememangnya membela nasib semua rakyat tidak kira bangsa.

Ketika ditanya mengenai kebanjiran calon Bebas yang akan turut bertanding pada pilihan raya itu nanti, beliau berkata, itu adalah strategi parti lawan untuk memecahbelahkan undi PR.

“Itu adalah amalan biasa parti lawan untuk memecahbelahkan undi PR bagi menyekat peluang kemenangan kepada PR.

“Mereka cukup takut dengan kekalahan sendiri sedangkan gelombang kekalahan itu telah ada pada mereka,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Belanja, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan berkata, peletakan Mohammad Nizar sebagai calon untuk pilihan raya berkenaan adalah hak parti itu.

“Mereka boleh meletakkan sesiapa sahaja sebagai calon dan UMNO sendiri telah bersedia untuk menghadapi sesiapa sahaja calon yang akan bertanding.

“Kami mempunyai harapan untuk menang dan berdasarkan tinjauan yang dibuat penduduk akan mengundi Barisan Nasional (BN) kerana kami meletakkan calon anak tempatan,” katanya.

- sinarharian


Pembubaran Balkis : JPPN Selangor Ditegur

Tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri (JPPN) Selangor yang menurut anggota Selcat, Mohamed Azmin Ali, tidak memberi nasihat dan ulasan yang tepat kepada jabatan di peringkat pusat berhubung pembubaran Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis) dikesali.

Azmin berkata sebagai satu badan di peringkat negeri, JPPN Selangor seharusnya bertanggungjawab memandangkan ia yang telah meluluskan perlembagaan Balkis.

“Mengapa JPPN Selangor ambil inisiatif meluluskan perlembagaan (Balkis), tetapi tidak mengambil inisiatif untuk memastikan sama ada perlembagaan itu dipatuhi atau tidak?,” katanya.

Menurut Azmin, juruaudit bagi Balkis turut mengesahkan yang Balkis tidak memberi penyata kewangan bagi tahun 2007 untuk diaudit walaupun telah diminta beberapa kali.

“Adakah Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya telah melanggar peruntukan dan perlembagaan?,” soal Azmin.

Apa yang menjadi persoalan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan atau Selcat ialah bagaimana permohonan Balkis untuk dibubarkan diberi kelulusan walaupun penyata kewangan mereka tidak diaudit.

Hadir memberi keterangan hari ini saksi kesembilan Pegawai Pendaftar Pertubuhan JPPN Selangor, Tairah Yusof.

Pengerusi Selcat, Teng Chang Khim pula berkata selepas pembatalan pendaftaran Balkis, semua harta akan diuruskan oleh Jabatan Insolvensi. Ini katanya membawa maksud yang penyata kewangan Balkis yang dihantar ke jabatan itu sudah terlebih dahulu dihantar ke JPPN Selangor.

Menjawab soalan itu, Tairah berkata beliau tidak tahu mengenai perkara itu.

“Mana boleh tidak tahu, kamu yang proses, bila (permohonan untuk pembubaran) sudah lengkap baru hantar ke Putrajaya,” soal Teng.

“Kami ingat ia (penyata akaun) yang betul,” jelas Taira.

Menurutnya lagi, selepas mengemukakan permohonan berkenaan kepada pengarah untuk ditandatangani, beliau tidak tahu perkembangan perkara berkenaan selepas itu.

“Ia bukan bidang kuasa kita untuk mengkaji sama ada penyata itu telah diaudit atau belum. Pada saya, kalau dia (Balkis) bagi (penyata) yang tak betul, itu kesalahan dia,” katanya.

Teng berkata jabatan itu seharusnya menyemak dengan teliti permohonan Balkis yang minta dibubarkan, termasuk penyata kewangannya yang perlu diaudit oleh juruaudit yang dilantik mengikut perlembagaan.

“JPPN langsung tak tengok, lebih baik kita musnahkan sahaja Akta Pertubuhan kalau tak semak,” kata Teng.

Tairah berkata urusan penyemakan diuruskan oleh unit kawalan jabatan itu.

selangorkini


Siapa Lebih Berjasa, Antara: Petualang dan Pengkhianat Bangsa?

Cucu Dato Onn, anak Tun Hussein yang disingkirkan Dr. Mahathir Mohamed, Timbalannya, bekas (bukan mantan) Ketua Pemuda UMNO, menyelar kehadiran petualang dalam politik Malaysia yang menurutnya menentang semua yang dipropagandakan oleh UMNO.

Ketua Pemuda ini menyenaraikan perkara-perkara yang kita dengar dan baca setiap hari yang ditujukan kepada parti bukan UMNO. Antara yang sering disebut ialah mereka (para petualang) menentang dan melanggar Perlembagaan Negara, mempersetankan undang-undang negara, menderhaka kepada raja-raja Melayu, menentang ketuanan Melayu.

Dengan lagak seorang raja besar, Ketua Pemuda ini dibawakan sebilah keris panjang, lalu ditarik dari sampirnya, dicium seperti Agong mencium keris kerajaan pada upacara rasmi. Sungguh hebat Ketua Pemuda UMNO ini. Lepas mencium keris itulah beliau membelasah para petualang yang tidak disebut namanya, tetapi dikomen oleh juru hebah TV beliau maksudkan Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat.

Orang ini nampaknya sudah lupa daratan tidak ingat lagi datuk dan bapanya keluar UMNO kerana tidak bersetuju dengan prinsip-prinsip UMNO. Sampai hati orang ini mengutuk datuk dan ayahnya sebagai petualang, pengkhianat bangsa Melayu kerana meninggalkan UMNO waktu kedua-duanya diperlukan oleh UMNO.

Hussein Onn ketika itu jadi Ketua Pemuda. Sekarang kedua-dua tokoh UMNO yang pernah lari dari UMNO ini menjadi ikon di Bangunan UMNO dalam lukisan potret a la Hang Tuah yang cukup menarik. Lagak lupa diri, lupa daratan, lupa taraf peribadi, lupa pendeknya lompat katak, lupa ceteknya semburan seranah, adalah gambaran jelas nyata kualiti tanpa kualiti para “pemimpin” (jangan tinggal koma pengikat kata pada perkataan “pemimpin”) UMNO yang hebat, tetapi tidak menggerunkan. Bandingkan dengan lembutnya Dr. Burhanuddin, yang menggerunkan sesiapa juga yang tahu erti karamah, ketika beliau memberi ucapan memperingatkan bangsanya supaya jangan mengkhianati perjuangan mereka.

Dr. Burhanuddin tidak mencabut keris panjang-panjang ketika berucap, tetapi tiap patah kata yang lahir dari mulutnya adalah keris pendek yang tajam bagi orang yang tahu bahasa bersopan. Itulah watak negarawan bertamadun. Sungguh ajaib bagaimana bekas Ketua Pemuda UMNO begitu bangga dengan watak tidak bertamadunnya. Adakah itulah watak para “pemimpin” UMNO?

Barisan baru kepemimpinan UMNO yang diketuai Najib Tun Razak yang menolak Abdullah Badawi dengan cara memalukan (kata orang UMNO itulah tradisi UMNO kerana Tun Razak buat begitu kepada Tunku Abdul Rahman, Dr. Mahthir sendiri pun berbuat begitu terhadap Hussein Onn), dengan arahan Dr. Mahathir Mohamed, adalah barisan Malayan Union.

Bagi orang yang tidak faham tentang rahsia Malayan Union dalam politik UMNO, tentulah terasa agak pelik bagaimana tiba-tiba muncul balik Malayan Union dalam barisan kepemimpinan baru UMNO? Inilah kemenangan Dr. Mahathir Mohamed yang membawa bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu untuk orang Malaysia, khususnya orang Melayu, melalui PPSMI yang dikutuk oleh para pejuang bahasa itu.

Kemenangan besar cucu Dato’ Onn sebagai Naib Presiden UMNO dengan undi besar membuktikan UMNO, melalui perwakilannya, menerima bahasa Inggeris dan Malayan Union sebagai warisan UMNO yang mesti dipertahankan “hingga ke titisan darah terakhir”.

Begitu hebat komitmen mereka terhadap bahasa Inggeris dan semangat kolonial (penjajah) ini, sehingga semangat dan komitmen itu dijadikan asas “kemajuan Malaysia” dalam abad 21 yang mesti dipertahankan walaupun UMNO ditolak oleh orang Melayu dan akan dihumban ke Laut China Selatan dalam PRU 13 nanti.

Memang benar gesaan Prof. Emeritus Nik Safiah Karim, bahawa PPSMI hanya dapat dihapuskan dengan menolak UMNO dalam pilihan raya nanti, dengan menghumbannya ke dalam laut. Adakah perwakilan UMNO tidak berjiwa Melayu atau pura-pura berjiwa Melayu dengan menerima PPSMI?

Mereka tentu tidak bodoh untuk mengkhianati perjuangan mereka membela bahasa Melayu, seperti yang mereka sering laungkan sambil mencium keris, dengan memilih PPSMI sebagai asas kekuatan UMNO di bawah Najib Tun Razak. Sekiranya orang Melayu belum sedar dan belum lihat erti barisan baru ini, maka mereka, orang Melayu yang sudah hilang Tanah Melayunya, akan hilang bahasa Melayunya dan budaya Melayu yang telah dijadikan prinsip utama dalam Kongres Kebudayaan Melayu 1971.

Tentu saja para pemimpin UMNO sudah lupa semua ini kerana mereka sudah kaya dan mereka tahu bahasa Inggeris akan lebih mengayakan mereka lagi, oleh itu mesti diperjuangkan sebagai bahasa baru untuk orang Melayu.

Kini timbul persoalan: Siapa petualang, siapa pula pengkhianat bangsa Melayu? Adakah dua kumpulan ini sama taraf? Menurut cucu Dato’ Onn, mereka bukan petualang, bukan juga pengkhianat walaupun mereka memperjuangkan bahasa Inggeris dengan jujur untuk memajukan orang Melayu. Mereka adalah pewaris Malayan Union yang diberi wajah baru dalam PPSMI yang disokong penuh oleh Najib Tun Razak, ahli-ahli MT UMNO yang baru, dan seluruh perwakilan UMNO.

Orang Melayu harus bersyukur dan gembira kerana kini mereka tahu dengan jelas siapa UMNO sebenarnya. Adakah mereka mahu kekalkan UMNO dalam politik Malaysia setelah mengetahui hakikat sebenar parti warisan Malayan Union itu? Bodohlah orang Melayu jika mereka masih mahu menerima kumpulan PPSMI yang mengkhianati seluruh cita-cita politik dan aspirasi mereka selama ini untuk mendaulatkan bahasa dan budaya Melayu di Tanah Melayu yang sudah hilang itu. (27/3/2009)

Mohd Affandi Hassan

Khir Toyo Bukan Saja Wajar Kalah, Malah Wajar Dipenjarakan

Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo menyalahkan Pakatan Rakyat sebagai salah satu punca kekalahannya dalam persaingan merebut jawatan ketua Pemuda Umno Rabu lalu.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra pagi ini - tempat berlangsungnya perhimpunan agung Umno -Dr Mohd Khir berkata kerajaan siasatan Pakatan Rakyat Selangor terhadap isu Balkis telah mempengaruhi pengundian perwakilan.

Bagaimanapun, bekas menteri besar Selangor itu bertegas bahawa beliau tidak bersalah kerana siasatan pihak polis mendapati beliau dan pertubuhan tersebut, tidak melakukan sebarang kesalahan.

Kontroversi membabitkan Balkis tercetus apabila dilaporkan dana miliknya dipindah ke akaun lain apabila Selangor jatuh ke tangan Pakatan dalam pilihanraya umum 8 Mac 2008.

Bekas presiden Balkis, Datin Seri Zaharah Kechik, yang juga isteri Dr Mohd Khir, dilaporkan telah mengadakan mesyuarat tergempar pada 11 Mac tahun lalu untuk membubarkan pertubuhan itu dan menutup akaunnya sehari kemudiannya.

Sementara itu, Khir Toyo mungkin digantung dari menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri, manakala isterinya, Datin Seri Zaharah Kechik akan dikenakan tindakan undang-undang kerana enggan hadir di perbicaraan awam Selangor.

Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chang Khim berkata, kedua-dua mereka didapati ingkar terhadap perintah dewan untuk memberi penjelasan pada mesyuarat jawatankuasa pilihan khas mengenai keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan (Selcat) bermula Isnin lalu.

Teng hairan kerana Khir Toyo mempertikaikan kesahihan jawatankuasa yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Selangor, Mei tahun lalu.

“Apabila Selcat ini dibentang untuk diluluskan pada bulan Mei 2008, tidak ada bantahan daripada mana-mana ahli, termasuk Khir Toyo sendiri. Beliau tidak membangkitkan apa-apa bantahan terhadap penubuhan Selcat ini.

“Saya tidak tahu mengapa beliau mengambil 10 bulan mengatakan beliau tidak setuju dengan penubuhan badan ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Selcat hari ini.

Teng memberitahu, beliau menerima surat daripada Khir Toyo dan isterinya melalui peguam mereka pada petang Isnin lalu, iaitu pada hari pertama siasatan awam Selcat dijalankan.

Sembilan orang telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis) pada siasatan awam Selcat yang pertama kali diadakan di Negara ini.

Antaranya, bekas Pengurus Besar, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Datuk Harun Salim, Presiden Kumpulan Darul Ehsan Berhad, Datuk Abdul Karim Munisar, Pengurus Besar Prebadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Haji Nordin Md Dahan dan Ketua Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad, Datin Khairiyah Abu Hassan.

Mengenai tindakan yang boleh dikenakan ke atas Khir Toyo yang enggan hadir pada perbicaraan awam itu, Teng memberitahu;

“Kalau mengikut bidang kuasa yang ada, mengikut amalan dalam Dewan Undangan Negeri Selangor, hukuman yang boleh dikenakan ke atas mana-mana ahli yang telah melanggar hak dan kebebasan dewan, boleh digantung kerja dan boleh dirampas elaun Adun.”

Manakala bagi isteri Khir Toyo, Datin Seri Zaharah Kechik, Teng berkata Setiausaha Dewan Undangan Negeri Selangor, akan membuat laporan polis kerana Zaharah didakwa melakukan kesalahan melanggar perintah dewan.

Laporan polis itu akan dibuat selepas siasatan awam Selcat itu tamat, Rabu depan.