22 Jan 2010

Khalid Lebih Layak Pimpin PAS Selangor

Wanita PKR menyokong gesaan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad supaya pentadbiran Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ditukar dengan ulama yang "bebas daripada fahaman politik".

Ketuanya, Zuraida Kamaruddin berkata, gesaan Khalid itu senada dengan pandangannya yang pernah disuarakan pada 1 November lalu di Parlimen, termasuk meminta kedudukan Pengarah Jais Datuk Mohd Khusrin Munawi dinilai semula.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini hari ini, ahli parlimen Ampang itu membayangkan dua badan agama itu 'menganiayanya' berikutan cadangannya dua bulan lalu itu.

Beliau mendakwa, Jais menyenaraihitamkan namanya, termasuk mengeluarkannya sebagai ahli panel daripada sebuah forum keagamaan malam esok di Klang.

"Saya difahamkan oleh penganjur bahawa nama saya dikeluarkan oleh Jais tanpa alasan, dan mereka enggan menyatakannya dalam bentuk hitam-putih (bertulis)," katanya.

"Bagaimanapun, saya akan tetap hadir dan lihat apa yang terjadi. Saya percaya Jais kembali kepada saya ekoran penglibatan saya dalam kes bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin."

Zuraida antara pemimpin politik yang menghadiri kuliah mufti kontroversi itu ketika beliau ditangkap atas dakwaan mengajar tanpa tauliah hujung tahun lalu.
Rancang menghadap Sultan Selangor

Zuraida selepas itu konsisten mengecam tindakan tersebut.

Zuraida juga berkata, seperti Khalid, beliau juga merancang menghadap Sultan Selangor dalam masa terdekat bagi mencadangkan pertukaran pentadbiran Jais dan Mais.

Semalam, Khalid mengulangi desakan supaya pentadbiran Jais dan Mais ditukar dengan mereka yang berpengetahuan agama, yang bebas dari kefahaman politik selain politik Islam.

Katanya ramai ulama yang berpengalaman seperti Daeng Sanusi Daeng Mariok, Datuk Ismail Kamus dan Datuk Haron Din, boleh diberi peluang untuk menerajui pentadbiran baru.

Khalid yang juga bekas timbalan pesuruhjaya PAS Selangor mengadap Sultan Selangor pagi ini. Isu itu dijangka dibangkitkan dalam pertemuan empat mata dengan baginda. -malaysianinsider


Khalid Samad
oleh Datuk Zaid Ibrahim

Khalid Samad dari PAS adalah seorang pemimpin politik yang saya hormati kerana beliau berani mempertahankan perkara atau prinsip yang benar walau pun mungkin ada orang anggap ia akan rugi dari segi politik. Itulah yang membezakan ahli politik yang ada intelek dan integriti dengan orang politik yang bersifat murahan dan oportunis. Orang yang rakus biasanya tak faham isu yang diperkatakan, atau kalau pun dia faham isu, orang jenis itu akan terus berdrama dan berlakon untuk mendapat sokongan orang ramai dengan diperalatkan melalui ucapan sensasi dan penuh emosi.

Saya melihat Khalid sebagai seorang manusia yang berani apabila beliau mengatakan Enakmen Agama Islam Selangor 1988 yang membuat larangan penggunaan perkataan-perkataan seperti ilahi, nabi, wahyu, masjid dan sebagainya kepada orang bukan Islam adalah tidak lagi sesuai dan perlu rombakan. Cadangan bernas beliau sebaliknya telah memberi ruang kepada kumpulan NGO Islam untuk membuat laporan polis terhadap Khalid atas alasan kononnya menghina Islam dan Sultan. Inilah reaksi kumpulan yang tidak biasa dengan muzakarah dan musyawarah serta perbezaan pendapat. Mereka hanya mahu Khalid dihukum dan ditutup mulut dan mindanya. Usaha untuk memahami dan membincangkan pandangan beliau tidak penting langsung bagi kumpulan NGO Islam. Yang penting bagi mereka, Khalid mesti dihukum.

Sebenarnya maksud Khalid, pada hemat saya, adalah begini: Larangan terhadap orang bukan Islam daripada menggunakan perkataan tertentu oleh Majlis Agama Islam di mana-mana negeri sekali pun mestilah difahami dalam kontek sabenar. Apa pun prinsip atau peraturan mesti dilihat dan dikaji dalam kontek tertentu. Kontek larangan untok orang bukan Iswlam dari menggunakan perkataan tertentu mesti dilihat dari kontek larangan Perlembagaan Persekutuan yang tidak membenarkan orang agama lain memujuk dan berusaha untok “convert “ atau menukar agama Islam itu. Jadi tujuan Enakmen itu ialah secucok dengan dan berasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang negeri termasuk Enakmen Islam tidak sah kalau ia melanggar undang-undang Persekutuan. Di bawah Perlembagaan kita memang orang dari agama lain tidak dibenarkan memujuk atau mempengaruhi orang Islam untuk peluk agama mereka. Ini larangan yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan. Jadi kalau mereka berniat nak pujuk atau dakwahkan agama mereka kepada orang Islam, maka sebab itulah mereka tak boleh gunakan perkataaan yang diwartakan di bawah Enakmen itu.

Maksudnya larangan menggunakan perkataan yang disenaraikan itu termasuk nama Allah hanyalah dalam konteks apabila seseorang itu cuba mempengaruhi orang Islam. Sebagai contoh, jika seorang paderi atau sami yang beberapa kali bertemu dengan seorang Islam memperkatakan tentang bagaimana agama Kristian itu sesuai dengan sanubari si polan Islam itu dengan menggunakan perkataan Allah, nabi dan wahyu, maka di situlah asas larangan yang sah. Ini adalah kerana perkataan itu digunakan dalam konteks untuk menarik orang Islam menukar agamanya. Itu lah maksud Enakmen itu.

Tetapi penggunaan perkataan Allah, wahyu, nabi, masjid dan sebagainya dalam konteks percakapan biasa tidak boleh dilarang. Contohnya, kalau anak Ah Chong menyanyikan lagu negeri Selangor atau Johor yang memohon Allah melanjutkan usia Sultan atau Sami Velu bertanya jirannya “Ahmad, kamu nak ke masjid ke petang ini?”, maka itu tidak boleh menjadi kesalahan. Mana ada undang-undang dalam dunia yang sah boleh melarang orang awam menggunakan sesuatu perkataan. Apa asas larangan itu? Apa rasa orang Melayu kalau orang India kata jangan gunakankan nama Iswara pada kereta Proton kerana Iswara adalah salah satu nama tuhan Hindu? Begitu juga jika orang Melayu diminta jangan menggunakan perkataan Sanskrit seperti syurga, neraka, dosa, pahala dan sebagainya.

Jadi Khalid memang patut dipuji kerana mahu menegakkan kebenaran. Kerana mahu memperjelaskan dan kemaskini Enakmen itu. Orang Islam kena faham apa tujuan larangan itu dan apa tujuan Enakmen yang tidak jelas itu. Kumpulan NGO Islam sepatutnya menyokong usaha supaya Ebnakmen 1988 itu diperkemas dan diterangkan dengan jelas . Barulah orang kata kita orang Islam ini faham agama sendiri dan faham undang undang Negara.. Jika ikut sentiment dan emosi dengan menolak kebenaran, maka jangan salahkan orang lain jika mereka tuduh orang Islam takut kepada bayang bayang. Takut kapada dialog dan diskusi, dan hanya suka hukum orang saja. Samoga Khalid menang lagi di Selangor



Kalimah Allah: Kenyataan Khalid Samad Disokong
Oleh ydppasputrajaya.blogspot.com

PUTRAJAYA; Bantahan demi bantahan telah dilakukan oleh pelbagai pihak ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penggunaan kalimah ALLAH oleh penganut kristian termasuk dalam penerbitan akhbar Herald-The Catholic Weekly. UMNO telah menjadi juara dalam hal ini yang akhirnya membuatkan banyak pihak terutama pihak Menteri Agama, KDN dan lain-lain terpaksa bertindak membuat rayuan semula di Mahkamah. Namun umpama kata pepatah 'nasi sudah menjadi bubur' tindakan berani membakar gereja adalah kemuncaknya.

Yang DiPertua PAS Putrajaya Ustaz Mohamad Nazir dalam kenyataannya berkata; "Kita hairan bagaimana pelbagai pihak khususnya badan-badan, NGOs, persatuan-persatuan yang mewakili orang melayu rata-rata membantah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tanpa membawa alasan dan dalil yang jelas kenapa mereka menentang penggunaan kalimah Allah oleh agama lain. Kenapa pemimpin-pemimpin khususnya dari UMNO begitu bersungguh-sungguh membantah perkara ini, hanya dengan alasan pihak kristian mempunyai agenda yang tersembunyi.

Kenapa mereka sangat takut aqidah orang-orang melayu tergugat padahal merekalah yang menggubal dasar pendidikan negara, berbangga dengan sumbangan mereka dalam bidang pendidikan. Apakah mereka sudah lupa, bahawa merekalah yang telah mempunahranahkan tulisan jawi dari orang-orang melayu sedangkan tulisan jawilah yang banyak membantu orang-orang melayu memahami agama mereka.

Ternyata setelah 53 tahun UMNO memerintah negara, dasar pendidikan agama dikesampingkan. Mereka gagal memberi pendidikan agama yang secukupnya kepada rakyat untuk menjadi benteng mempertahankan aqidah mereka. Hari ini ilmu aqidah berada di mana? Sedangkan menurut hiaraki ilmu maka ilmu tauhidlah berada di kemuncak persada berbanding ilmu-ilmu lain. Namun apa yang berlaku hari ini ialah sebaliknya ilmu-ilmu tentang keduniaan lah mengambil tempat utama dalam hearaki ilmu. Maka sekarang mereka berkokok takut aqidah umat melayu diselewengkan dari penggunaan perkataan Allah oleh pihak lain.

Kenapa kita takut sekiranya ilmu aqidah yang diajar di sekolah-sekolah rendah kebangsaan dan menengah kebangsaan begitu mantap diajar kepada anak-anak kita. Masalahnya sekarang mereka yang bangkit menentang tidak pernah bangkit mempertahankan aqidah umat melayu, malah mereka sendiri tidak tahu ujung pangkal tentang aqidah. Mufti-mufti pula asyik mencampuri urusan politik kepartian dan tidak lagi menjadi seperti mufti-mufti terdahulu yang bertungkus lumus mengajar aqidah kepada umat. Malah ada mufti yang pandai mendedahkan bilangan sejumlah 250,000 umat Islam telah murtad tetapi tidak pandai memperbetulkan dasar pendidikan hari ini yang telah menjauhkan umat dari mengenali Allah yang sebenarnya, hingga ada di kalangan umat yang sanggup mempermain-mainkan hukum Allah.

Berbalik kepada isu perkataan Allah yang menjadi kontroversi hari ini, sepatutnya tidak menjadi sebarang masalah kepada kita membenarkan sesiapa sahaja menggunakan perkataan Allah untuk merujuk kepada Tuhan yang Esa yang menjadi kemuncak kepada pegangan murni umat manusia. Sesesat dan sejahat mana pun mereka naluri bertuhankan Tuhan Yang Sebenar (ALLAH) wujud di dalam jiwa mereka. Bahkan di dalam al-Quran sendiri ada menjelaskan bagaimana manusia yang ditimpa musibah seperti dilambung ombak yang dahsyat, pada ketika itu tidak ada yang lain yang mereka harapkan selain pertolongan Tuhan Yang Sebenar (ALLAH).


Ulasan GB

Khalid Samad adalah seorang tokoh pemimpin sekalipun kini sedang menunggu keputusan jawatankuasa disiplin PAS terhadap kononnya melakukan dua kesalahan iaitu pertama, membuat ucapan terbuka mengkiritik pesuruhjaya PAS Selangor yang mengkritik isu tatatertib oleh jawatankuasa pilihan khas mengenai keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan (Selcat).

Kedua, kerana Khalid telah menulis dalam blognya, mendedahkan minit mesyuarat badan perhubungan PAS selangor pada 27 September 2009.

Kedua-dua kesalahan tersebut semacam sengaja dibawa ketengah untuk mengimbangi seorang lagi yang dihadapkan ke jawatankuasa disiplin parti iaitu Pesuruhjaya PAS Selangor sendiri iaitu Datuk Hassan Ali.

Khalid dalam banyak hal lebih mendapat sokongan dari majoriti ahli Pakatan Rakyat, samada PAS, PKR atau DAP.

Yang tidak suka kepada Khalid ialah UMNO dan fraksi UMNO dalam PAS (biar kita berterus terang saja).

Di dalam isu kalimah Allah misalnya, Khalid telah memberikan pandangan awalnya yang kemudian dilihat lebih menepati keputusan dan pendirian yang diambil oleh parti.

Apa yang dikatakan kesalahan yang dilakukan oleh Khalid sebenarnya bukan kesalahan tetapi keberaniannya mendedahkan kebenaran, dan kesanggupannya untuk berkata benar tanpa gentar. "Berkata benar di hadapan pemimpin yang zalim adalah jihad yang afdhal" - mafhum hadith.

Tidak dinafikan bahawa Khalid lebih layak memimpin PAS Selangor.

Jawapan ‘Siapa Pembunuh Altantuya’ - Minggu Depan

Jawapan kepada pembunuhan Altantuya Sharibuu akan diketahui umum pada hujung minggu hadapan apabila buku 'Siapa Bunuh Altantuya' diedarkan kepada umum. Buku ini mampu merungkai misteri dan membuat rakyat berfikir kebenaran disebalik kisah pembunuhan yang menjadi isu panas negara.

Menurut penulisnya, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Badrul Hisham Shaharin, sebelum menulis buku ini beliau sudah memikirkan risiko dan kemungkinan yang bakal dihadapi apabila terbitnya buku tersebut.

"Kita mengambil tanggungjawab ini untuk melihat kebenaran dan membawa masyarakat berfikir di landasan yang betul mengenai isu ini," tegas Badrul Hisham.

Beliau berkata, isu Altantuya dibangkitkan bukan sahaja kerana popularitinya, malah kerana isu itu merupakan jenayah yang besar dan melibatkan pembohongan yang terpaksa ditutup oleh pihak yang berkepentingan.

"Kita tiada pilihan selain berdepan dengan negara yang 'dilihat' mengamalkan demokrasi ini. Negara ini dikatakan kelihatan adil dan kerana itu kita akan mengandakan usaha untuk membongkar segalanya.

"Kita jangkakan buku ini akan dihalang penerbitannya. Namun kita akan mengatur pelbagai strategi dan tidak lagi menggunakan cara konvensional untuk mempromosikannya. Kita juga akan mempromosikan isu ini dalam media baru," jelas beliau.

Buku yang bertajuk 'Siapa Bunuh Altantuya' ini dijangkakan akan berada di pasaran pada hujung minggu hadapan dengan 3000 terbitan eksklusif dan akan dijual dipasaran dengan harga RM15.00. -erapakatan

Presiden PAS Nafi Kenyataan Pak Lah

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa Muzakarah Pakar anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) semalam sebenarnya tidak membuat apa-apa resolusi, demikian lapor harakahdaily.

Penjelasan tersebut sekaligus dilihat berbeza dengan berita 'God bukan Allah -Ikim' seperti yang dilaporkan akhbar arus perdana bahawa ahli muzakarah sebulat suara bersepakat penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan bagi ganti nama 'God' atau 'Tuhan' adalah tidak tepat.

"Ya, muzakarah itu tidak mempunyai apa-apa resolusi, laporan itu tidak betul," jelasnya ketika dihubungi petang ini.

Pun begitu, beliau menegaskan bahawa kalimah Allah tidak boleh disalah guna untuk mengelirukan umat Islam.

"Penggunaan kalimah Allah oleh umat Islam secara dalaman jelas mengEsakan Allah, penggunaan yang boleh mengelirukan orang Islam tidak dibenarkan sama sekali," jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut mengulangi ketetapan PAS seperti yang diputuskan oleh Lajnah Politik dan tulisannya sebelum ini.

"Pandangan kita (PAS) seperti yang saya tulis sebelum ini, seperti yang diputuskan (dalam Lajnah Politik) sebelum ini," jelasnya.

"Kita tidak boleh melarang mereka (penganut agama samawi) menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri walaupun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita," dipetik dari kenyataan rasmi Ustaz Abdul Hadi pada 7 Januari lalu.


Dua hari sebelum itu, Lajnah Politik PAS Pusat mengingatkan semua pihak supaya tidak menyalahgunakan nama Allah untuk mengelirukan atau meraih sokongan politik murahan daripada rakyat.

Semalam, dilaporkan Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Dr Mohd Nur Manuty, bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin, Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Ikim Dr Mohd Sani Badron dan Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik Ikim, Md Asham Ahmad.

Muzakarah tersebut dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Ikim, Nik Mustapha Nik Hassan itu turut disertai oleh Pengerusi Ikim yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pensyarah dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Kamar Ainiah Kamaruzzaman, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Dr Abdullah Md. Zain.


Muzakarah: Penggunaan Kalimah Allah Sebagai Terjemahan Kepada 'God' Tidak Tepat

KUALA LUMPUR: Muzakarah Pakar, yang disertai tujuh ilmuwan Islam, anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini bersetuju bahawa penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan atau ganti nama kepada "God" adalah tidak tepat.

Pengerusi IKIM Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata muzakarah itu merumuskan bahawa terjemahan kalimah Allah sebagai "God" juga menyalahi hakikat sebenar kerana bercanggah dengan konsep Tuhan yang dianjurkan oleh agama Islam di Malaysia.

"Dalam perbincangan ini, kita semua setuju bahawasanya kita perlu menghormati dan menjunjung Perlembagaan Malaysia yang memberikan kebebasan beragama diteruskan dalam suasana aman dan harmoni," katanya pada sidang akhbar selepas muzakarah itu.

Tujuh pakar itu ialah Prof Madya Dr Kamar Oniah Kamaruzzaman dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa; Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zin; Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang; anggota Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Mohd Nur Manuty; bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan IKIM Dr Mohd Sani Badron dan Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik IKIM Md Asham Ahmad.

Muzakarah bertajuk "Terjemahan God Sebagai Allah: Mengenalpasti Punca Permasalahan dan Penyelesaiannya" berlangsung selama lapan jam dari pukul 8.30 pagi, dipengerusikan Ketua Pengarah IKIM Datuk Nik Mustapha Nik Hassan.

Abdullah berkata muzakarah itu berjaya mencapai matlamat penganjurannya iaitu mengenal pasti punca dan penjelasan latar belakang permasalahan daripada perspektif agama, bahasa, sosial dan undang-undang.

"Muzakarah ini juga dapat menegaskan kefahaman dan konteks penggunaan Allah dalam Al-Quran, memurnikan tafsiran ke atas sumber-sumber hukum Islam berkaitan kebenaran penggunaan kalimah Allah oleh agama dan budaya selain Islam dan membentuk kesatuan fikiran di kalangan tokoh agama serta pemimpin umat Islam," katanya.

Abdullah berkata pendirian muzakarah itu akan dibawa kepada perhatian kerajaan dan akan dibincangkan dalam siri muzakarah akan datang bertajuk "Mengurus Krisis Antara Agama" anjuran IKIM pada 25 Januari ini.

Beliau berkata muzakarah yang membabitkan semua pemimpin agama serta Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST)bertujuan mengenalpasti krisis, jalan penyelesaian dan mencari persefahaman untuk keharmonian semua kaum di negara ini.

Abdullah berkata IKIM berharap agar semua penganut agama menghormati batas-batas agama masing-masing agar tidak berlaku lagi kekecohan seperti yang berlaku pada masa ini. BERNAMA


Ulasan GB

GB mengucapkan terima kasih dan tahniah di atas penjelasan Presiden PAS hari ini terhadap laporan BERNAMA yang jelas cuba untuk mengelirukan orangramai mengenai isu kalimah Allah.

Bernama melaporkan bahawa Pengerusi IKIM Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata muzakarah itu merumuskan bahawa terjemahan kalimah Allah sebagai "God" juga menyalahi hakikat sebenar kerana bercanggah dengan konsep Tuhan yang dianjurkan oleh agama Islam di Malaysia

Ahli PAS pula diharap tidak perlu terkeliru lagi dengan penjelasan dan penafian Tuan Presiden sendiri mengenai laporan berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut mengulangi ketetapan PAS seperti yang diputuskan oleh Lajnah Politik dan tulisannya sebelum ini.

"Pandangan kita (PAS) seperti yang saya tulis sebelum ini, seperti yang diputuskan (dalam Lajnah Politik) sebelum ini," jelasnya.

"Kita tidak boleh melarang mereka (penganut agama samawi) menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri walaupun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita," dipetik dari kenyataan rasmi Ustaz Abdul Hadi pada 7 Januari lalu.


Nasib Hassan Ali & Khalid Samad. Bagaimana?

Dua pemimpin PAS Selangor yang “bertembung” sejak lebih setahun lalu iaitu Datuk Dr Hasan Ali dan Khalid Samad diperlukan untuk hadir secara fizikal petang ini sebelum penghakiman dibuat.

“Selepas meneliti segala dokumen, kami mahu kedua-dua mereka hadir (di hadapan Jawatankuasa Disiplin) sebelum keputusan diumumkan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kata beliau pihaknya sudah menghubungi kedua-dua Hasan dan Khalid sebentar tadi.

“Tetapi setakat ini (2 petang) belum ada kepastian sama ada mereka akan hadir ataupun tidak... kamu menunggu respons mereka dulu,” kata beliau semasa dihubungi sebentar tadi.

Jawatankuasa itu yang dijadual membuat keputusan hari ini bersidang sejak 10 pagi.

Hasan merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor manakala Khalid merupakan bekas timbalannya.

Hasan berhadapan dengan tuduhan membuat kenyataan yang merugikan Pakatan Rakyat dan sebagai Exco Kerajaan Negeri sepatutnya menggunakan saluran rasmi untuk melahirkan rasa tidak puas hati.

Tuduhan ini dirujuk kepada kenyataan beliau mengenai Selcat dan pelantikan pemangku pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor awal tahun lalu.

Dalam pada itu Khalid, yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam dan ahli Parlimennya berhadapan dengan tuduhan mempertikaikan Hasan sebagai pesuruhjaya PAS Selangor dengan membuat kenyataan terbuka meminta beliau dipecat.

Selain itu Khalid juga dikenakan tuduhan mendedahkan maklumat mesyuarat perhubungan kepada publik.

Jawatankuasa Disiplin menyiasat mereka selepas PAS mengadakan mesyuarat khas Nov lalu ekoran gesaan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar diadakan muktamar agung khas.

Pada akhir bulan lalu awatankuasa disiplin PAS mengesahkan pihaknya sudah mengenal pasti adanya kes kukuh terhadap Hasan dan Khalid.

Khalid dan Hassan masing-masing telah dipanggil menghadap anggota jawatankuasa disiplin pada 7 dan 9 lalu.

Jika disabitkan kesalahan boleh merayu kepada jawatankuasa pusat dan majlis syura ulama. -MI

Ulasan GB

GB akan ulas selepas keputusan diumumkan.

Pelik betul Jaaatankuasa Disiplin ni, itu saja yang dapat GB utarakan setakat ini.


Pemergian Allahyarham Bekas Timb. KPN - Semuga Menjadi Pengajaran

Bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Sedek Ali, yang koma akibat kemalangan jalan raya pada 1 Sept tahun lepas, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi ini.

Allahyarham berusia 60 tahun.

Penguasa Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Supt Rasdi Ramliberkata Allahyarham, yang cedera parah di bahagian otak, meninggal dunia kira-kira 7.30 pagi di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di Jabatan Neurologi.

Beliau berkata jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Bukit Aman untuk dimandi dan disolatkan sebelum dibawa pulang ke kediamannya di Taman Mesra Tambahan Kajang, Selangor.

Jenazah beliau akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kajang selepassolat Jumaat.

Dalam kemalangan itu, Mohd Sedek cedera di kepala setelah kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum merempuh sebuah kereta lain di KM17, Lebuh Raya Grand Saga berhampiran stesen minyak Petronas.

Allahyarham dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 13 Jan 2004dan bersara kira-kira setahun kemudian. - BERNAMA

Ulasan GB

Semuga pemergian Allahyarham menjadi pengajaran kepada kita yang masih hidup. Tertama kepada polis-polis yang sedang berkhidmat, bahawa Allah boleh memanggil kita pada bila-bila masa.

Apatah lagi jika dipanggil di dalam keadaan kita sedang berlaku zalim dan dipanggil pula dalam keadaan mengejut...

Alfatihah untuk Almarhum..

Pegawai SPRM Salahi Undang-undang Gelidah Tanpa Waran

Kerajaan Selangor berharap beberapa serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke pejabat exco kerajaan negeri baru-baru ini, tidak bertujuan untuk menjatuhkan maruah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kerajaan negeri memberi sokongan penuh terhadap usaha membendung rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan ahli politik mahupun kakitangan lainnya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri tidak bersedia bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja cuba mengganggu kelancaran pentadbiran kerajaan negeri menerusi pelbagai cubaan untuk memalukan kakitangannya.

Dalam hubungan ini, Abdul Khalid mengingatkan bahawa pekeliling kerajaan negeri bertarikh 28 Julai 2009 menyatakan jika sekiranya SPRM berhasrat melakukan siasatan terhadap kakitangan kerajaan negeri, maka ia boleh diadakan dari jam 8 pagi hingga 6.30 petang, dan dengan kehadiran peguam dilantik oleh kerajaan negeri.

Tegasnya, bantahan tentang kesahihan kandungan pekeliling tersebut oleh Peguam Negara Tan Sri Gani Patail, masih dalam kes mahkamah.

“Maka dalam hal ini pegawai-pegawai SPRM sewajarnya menghormati pekeliling kerajaan negeri itu, yang melindungi hak seluruh kakitangannya,” katanya lagi.

Abdul Khalid berkata, sehingga saat ini beberapa siasatan SPRM terhadap segelintir pegawai kerajaan Selangor termasuk menteri besarnya “dilihat hanya berfokus pada isu-isu remeh”.

“Ini sebagaimana diperlihatkan pada serbuan kelmarin di pejabat YB Yaakob Sapari dengan penahanan reman terhadap pembantu eksekutif beliau, Haji Hussein Ahmad.

“Kerajaan negeri juga terkejut dengan perkembangan terakhir siasatan tersebut di mana SPRM telahpun menggeledah rumah Haji Hussein tanpa waran geledah yang sah.

“Kerajaan negeri mahu SPRM Selangor memberi penjelesan mengapa perkara boleh berlaku,”
kata Abdul Khalid.

Tambahan pula, katanya, penyiasatan SPRM melibatkan sebuah syarikat yang tidak tersenarai dalam pemberian kontrak aktiviti pelombongan pasir.

“Tuduhan SPRM bahawa pemergian seorang pegawai ke China ditanggung oleh kontraktor tertentu, juga tidak benar kerana kerajaan negeri yang sebenarnya membiayai kos kunjungan dua hari Haji Hussein itu yang menelan belanja sebanyak RM3,295.

“Justeru itu, kerajaan negeri berhak meragui akan motif dan integriti siasatan pegawai SPRM terhadap isu-isu remeh yang berlaku dalam kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor.

“Sedangkan pegawai SPRM sewajarnya menggunakan masa dan tenaga yang sangat berharga untuk menyiasat penyalahgunaan wang rakyat yang bernilai ribuan juta ringgit termasuk RM1.7 juta oleh mantan menteri besar Selangor dan rombongannya semasa melancong ke Disneyland di Amerika Syarikat dan di Perancis.


“Jadi, apakah keutamaan SPRM? Badan ini sepatutnya menentukan keutamaan dan lantas menyiasat isu-isu besar yang melibatkan penyalahgunaan ribuan juta ringgit wang rakyat atau penyalahgunaan kuasa oleh pihak-pihak tertentu yang sudah sekian lama berlaku dalam negeri atau negara Malaysia seluruhnya.

“Hal ini mesti diutamakan oleh SPRM agar tindakan SPRM dilihat tidak sebagai alat politik untuk memuaskan hati pihak-pihak tertentu di Putrajaya sahaja.

“Dalam hal ini, sekiranya SPRM bertindak secara profesional dan bebas, kerajaan negeri dengan senang hati bersedia memberikan bantuan yang sewajarnya, “ kata Abdul Khalid. -malaysiakini


Presiden Pesatuan Pegawai Wakil Rakyat Pakatan (Selpora), Razak Ismail berkata, beliau dimaklumkan oleh anak Hussein yang pegawai SPRM datang mengeledah rumahnya sekitar jam 4.15 hingga 4.30 petang ini.

Namun pihak SPRM gagal mencari cenderahati yang dibeli Hussein di China yang dipercayai antara barang bukti siasatan.

Razak berkata, beliau juga dimaklumkan yang pegawai SPRM berkenaan juga tidak menunjukkan waran geledah.

Rumah Hussein terletak di Seksyen 27, Shah Alam.

Sementara itu, anak perempuan Hussein, - Faridah - memberitahu, tiga pegawai SPRM datang ke rumahnya di Seksyen 27, Shah Alam pada kira-kira jam 4 petang. Bagaimanapun, dia tidak ada di rumah ketika itu.

Kemudian, katanya, mereka pergi ke rumah isterinya (isteri Hussein) di TTDI Jaya, Shah Alam.

Pegawai berkenaan, katanya, tidak menunjukkan sebarang waran geledah walaupun diminta oleh keluarganya.

Pegawai SPRM itu mencari foto dari China. Tetapi, mereka tidak menemuinya. Mereka kemudiannya mengambil buku bank ibu dan adik bungsunya. Mereka berada di rumah itu selama kira-kira 45 minit.

Katanya, beliau tidak faham mengapa pegawai SPRM mengambil buku bank tersebut dan ia akan menyukarkan ibunya untuk mengeluarkan wang.


Ulasan GB

Rakyat mengutuk keras tindakan SPRM yang bertindak secara tidak professional dan Pengerusi SPRM perlu diheret ke mahkamah kerana membiarkan pegawai-pegawainya bertindak biadab apabila mereka gagal untuk menunjukkan waran yang sah semasa menggelidah rumah Haji Hussein.

Di dalam negara yang mendaulatkan undang-undang, sebarang penggelidahan walau oleh sesiapa sekalipun tanpa waran, maka ia aalah satu kesalahan di bawah Undang-undang pencerohohan (Common Law of Trespass).

Kita berharap rakyat Malaysia menyedari hal ini dan hak mereka dan tidak membiar sesiapa pun melakukan apa-apa pencerobohan terhadap tanah dan bangunan (land and building) mereka.

Dan Pengerusi SPRM perlu dipertanggungjawabkan di atas kebiadaban para pegawainya.

Khalid Nafi Laporan Polis 16 NGO

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menafikan bahawa beliau tidak menghormati Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan mengheret instutusi di bawah naungan baginda, ke kancah politik.

"Saya ingin menafikan tuduhan tersebut, dengan sekeras-kerasnya. Pada hakikatnya ucapan saya bertujuan untuk menghalang golongan yang berkepentingan daripada menggunakan institusi di bawah naungan DYMM Sultan Selangor untuk tujuan politik mereka.

"Peringatan dan teguran saya bertujuan untuk menghalang nama baik baginda Sultan dari tercemar atas perbuatan yang tidak bertanggngjawab ini.

"Usaha untuk mengheret institusi di bawah naungan Sultan Selangor, dilakukan oleh golongan ini, bukan saya," katanya dalam satu sidang media di pejabatnya.

Khalid berkata demikian ketika mengulas laporan polis yang dibuat terhadapnya pada 18 Januari lalu oleh 16 NGO di Shah Alam yang menuduhnya tidak menghormati Sultan Selangor sebagai pemerintah dan sultan di negeri.

Khalid yang juga yang dipertua PAS Shah Alam turut mengulangi desakan supaya pentadbiran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) ditukar dengan mereka yang berpengetahuan agama, yang bebas dari kefahaman politik selain politik Islam.

Khalid Samad berpendapat enakmen agama yang melarang penggunaan kalimah Allah dan perkataan-perkataan lain berkaitan Islam sudah ketinggalan zaman.

Justeru, ia perlu dibuka kepada perbincangan semula.

“Bagi pandangan saya, ya (ketinggalan zaman). Dan ia bercanggah sebenarnya dengan semangat di sebalik usaha dakwah Islam. Saya menyeru untuk ia dibincang, untuk dibuka untuk dibincang,” kata Khalid.

“Bukan kata sudah buat, okeylah semua ikut sahaja, lepas itu tidak boleh kaji balik sama sekali. Itu satu kaedah dan pendekatan yang jumud dan tidak harus ada pada umat Islam.

Beliau diminta mengulas sama ada undang-undang itu sudah ketinggalan zaman apabila berkata Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 boleh dikaji kembali sekiranya kefahaman umat Islam semakin mantap.

Bercakap pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam, Khalid berkata, pada masa undang-undang itu diluluskan, mungkin tahap kefahaman umat Islam terhadap agama begitu lemah sehingga perlu dilindungi.

'Enakmen bukan hukum bersifat qatii'

“Namun, enakmen-enakmen merupakan undang-undang pentadbiran keagamaan dan bukan hukum yang bersifat qatii (putus) yang tidak boleh berubah,” katanya yang juga bekas pesuruhjaya PAS negeri.