19 Mac 2009

Isu Bukit Selambau : Rafidah Perlu Cermin Diri

KKetua Wanita Barisan Nasional (BN) Tan Sri Rafidah Aziz hari ini membuat kenyataan bahawa kegagalan wakil rakyat pakatan pembangkang untuk berkhidmat dan menyelesaikan sebarang masalah tempatan seharusnya menjadi panduan kepada para pengundi kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau menilai parti berkenaan.

"Kita telah membuat bancian terhadap pengundi di kawasan ini (Bukit Selambau) dan kebanyakan mereka membangkitkan masalah-masalah tempatan yang tidak diselesaikan seperti sistem perparitan dan sebagainya," kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jentera pilihan raya Wanita BN di sini hari ini.

Banyak pihak menyifatkan kenyataan rafidah itu sebagai modal basi yang sering berlaku didalam setiap kali musim pilihanraya.

"Sudah tak ada apa nak cungkil lagi, jadi Pidah (Rafidah) merapu soal kecil-kecil untuk diperbesarkan," kata seorang penduduk berketurunan India di Bukit Selambau.

"Kami amat menyukai dan menyayangi Arumugam, kerana beliau memang ambil berat masalah penduduk tempatan terutama di lokaliti dimana penduduk India ramai. Tapi apa nak buatkan, beliau menhadapi tekanan hebat dari orang-orang TPM yang gila kuasa suruh dia lompat ke BN. Dia tak nak. Dia amat malu dengan semua kawan-kawan dalam Pakatan Rakyat jika di buat macamtu. Itu sebab dia letak jawatan," tambahnya.

"Kalau nak cakap pasal parit, longkang, jalanraya dan sebagainya, tempat orang BN pun sama jugak malah ada tempat lagi teruk apa," jelasnya.

Seorang penganalisa politik berpendapat kenyataan Rafidah itu sebenarnya cuba untuk mendapatkan publisiti untuk dirinya yang kini menghadapi saingan sengit untuk merebut jawatan Ketua Wanita UMNO di dalam pemilihan minggu depan.

Merdeka Center di dalam kajiannya baru-baru ini telah menyatakan bahawa Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil disenaraikan sebagai tiga calon yang paling mendapat sokongan untuk memenangi jawatan Ketua Wanita dalam pemilihan Umno.

Populariti Rafidah semakin hari semakin menurun. Apa yang jelas Wanita mahukan perubahan. Hampir majoriti Wanita menolak pelan peralihan kuasa anjuran Rafidah. Ada yang takut untuk memberikan sokongan secara terbuka dan tidak ketinggalan ada yang menterjemahkan dengan mengundi Sharizat sebagai Ketua bagi mengantikan Rafidah.

Pada yang masih ingat, ketika Tun mengumumkan perletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dahulu, Rafidah adalah yang terawal meluru kepada Tun menyarankan supaya ia ditarik balik.

Dengan linangan air mata Rafidah ketika itu begitu bersungguh-sungguh memujuk Tun sehinggakan patah tumit kasutnya. Antara ayat Rafidah ketika itu ialah, tiada calon lain yang layak mengantikan Tun.

Namun apabila Pak Lah mengambil alih teraju kepimpinan UMNO, Rafidah melenting apabila ditegur oleh Tun. Begitu hebat Tun dikritik olehnya seolah-olah apa yang dikatakan oleh Tun itu tiada benarnya. Hilang semua jasa Tun kepadanya selama ini. Itulah diri Rafidah sebenarnya, semua tindakannya tak ditegur dan dikritik.

Isu Ke Bukit Gantang : Pak Lah Salah Lantik Menteri Luar

Sekali lagi Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Rais Yatim mencemarkan nama negara apabila membuat tafsiran sendiri berhubung dengan isu tuntutan Limbang oleh Brunei yang pada "anggapannya" Brunei telah menggugurkan tuntutan terhadap Limbang apabila pertukaran surat-surat perjanjian yang dimeterai oleh Brunei Darussalam dan Malaysia berkaitan sempadan negara dimuktamadkan.

Akibat salah tafsir itu kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah dipersoalkan oleh Brunei yang menafikan bahawa isu tuntutan ke atas Limbang telah dibincangkan semasa mesyuarat antara Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Isnin lepas.

Abdullah pada sidang akhbar dengan wartawan Malaysia selepas upacara menandatangani LoE pada Isnin berkata Brunei telah secara rasmi menggugurkan tuntutannya ke atas Limbang, bahagian yang terletak paling utara di Sarawak.

Kenyataan Abdullah itu dipercayai dilakukan dengan nasihat dan laporan dari Menteri Luarnya yang turut serta di dalam rombongan berkenaan.

Dengan cuba untuk memutarbelitkan kenyataan lagi, Rais telah menggunakan ungkapan "pandangan umum" dan "banyak pihak beranggapan" sedangkan apa yang sebenarnya berlaku ia hanyalah pandangan dan anggapannya sendiri yang selama ini kerap menunjukkan pandainya di dalam mentafsirkan undang-undang dan perlembagaan.

"Sememangnya perkataan Limbang itu tidak ada di dalam perbincangan persempadanan tetapi pandangan umum apabila kelima-lima perjanjian ukur ini dimeterai dan dilaksanakan maka soal semua persempadanan akan selesai dan ayat bahawa dengan pelaksanaan kelima-lima perjanjian ini, maka selesai semua isu yang berkaitan dengan sempadan.

"Maka ini telah diterima. Konsep itulah banyak pihak beranggapan bahawa kedudukan Limbang juga pada masa itu akan selesai," katanya kepada pemberita seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Menteri Hal Ehwal Brunei Dato Seri Setia Lim Jock Seng berkata, apa yang sebenarnya dirundingkan ialah berkenaan dengan sempadan darat seluruhnya dan isu Limbang tidak dibincangkan semasa mesyuarat antara Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dengan Abdullah.

Beliau berkata perenggan tiga kenyataan akhbar bersama yang dikeluarkan petang semalam menyebut kedua-dua pihak bersetuju kepada asas-asas bagi penyelesaian isu-isu yang telah berpanjangan seperti menggunakan perjanjian-perjanjian yang telah lama wujud sebagai asas dan prinsip-prinsip watershed.

Selepas itu satu kumpulan petugas (working group) yang akan melibatkan Juru Ukur Agung kedua-dua pihak akan menetapkan aspek-aspek teknikal untuk menyelesaikan sempadan darat, jelasnya.

Apa yang nyata Malaysia telah dimalukan dengan penjelasan Menteri Luar Brunei berkenaan yang menampakkan begitu jelas Menteri Luar Malaysia telah cuba menipudaya rakyat Malaysia dengan pemahaman dan tafsiran songsangnya itu.

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama Rais bersikap demikian. Beliau pernah menipu rakyat di dalam isu kekalahan tuntutan Pulau Batu Putih oleh Singapura setelah menyifatkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bahawa Pulau Batu Putih adalah milik Singapura dan Middle Rocks milik Malaysia, sebagai satu kemenangan bersama (win-win situation) sedangkan hakikatnya merupakan satu keaiban dan kerugian paling besar menimpa negara.

Dalam isu krisis politik Perak, Rais juga mengeluarkan kenyataan kononnya rakyat Perak tidak tahu perlembagaan kemudian cuba memberi kuliah mengenai Perlembagaan dengan membuat tafsiran borong dan bohongnya apabila mendakwa kuasa dan hak sultan Perak melantik dan memecat MB ada termaktub dalam undang undang tubuh Negeri Perak.

Sedangkan yang jelas setiap perlantikan baru dan pemecatan MB perlu mengikut procedur dan sebab-musababnya. Kenyataan beliau ini pernah ditempelak oleh pakar-pakar undang-undang dan perlembagaan dan juga oleh kenyataan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir yang menyifatkan pengambil-alihan kerajaan Perak tidak dilaksanakan mengikut undang-undang.

"Anda tidak boleh menurunkan seorang menteri besar atau perdana menteri tanpa adanya undi tidak percaya di dalam dewan. Tiada peruntukan lain," tegas Mahathir.

"Sepanjang pengetahuan saya, tidak ada peruntukan sedemikian di Perak atau Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Dengan meminjam istilahnya, ramai beranggapan perlantikan Rais sebagai Menteri Luar Malaysia sebagai satu kesilapan yang dilakukan oleh Abdullah.

"Rais layak jaga hal ehwal muzium dan warisan negara saja," kata seorang pemimpin masyarakat.



Adnan Yaakob Ajak Ketua UMNO Paya Besar Muhabalah

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, menegaskan beliau tidak akan mengendahkan desakan Umno Bahagian Paya Besar supaya meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang selepas empat pemimpin Umno bahagian itu didapati melanggar Tata Etika Ahli.

Adnan berkata, beliau hanya akan berbuat demikian sekiranya Ketua Umno Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman, menjadi Presiden Umno.

"Saya akan letak jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang jika dia (Ahmad Tajuddin) menjadi Presiden Umno... esok dia jadi presiden (Umno), lusa saya letak jawatan kerana yang melantik Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri ialah Presiden Umno," katanya dalam satu kenyataan melalui khidmat pesanan ringkas kepada Bernama di sini, hari ini.

Umno Bahagian Paya Besar membuat gesaan itu semalam selepas Lembaga Disiplin Umno memutuskan menggantung anggota Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail, selama setahun dan memberi amaran kepada Timbalan Ketua Umno Bahagian Paya Besar, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah; Naib Ketua Mohd Shohaimi Jusoh; dan ahli jawatankuasa bahagian, Mohd Zaili Besar.

Adnan berkata, orang yang sepatutnya letak jawatan adalah Ahmad Tajuddin sendiri kerana sebagai ketua, dia dilihat gagal menguruskan bahagian itu dengan baik.

"Mengenai tuduhan saya jadi dalang, itu satu tuduhan palsu daripada orang yang kecewa kerana tidak dipilih sebagai calon pilihan raya kerana saya tidak mencampuri urusan pemilihan bahagian Paya Besar di mana saya tidak berjumpa atau berhubung, jauh sekali menolong mereka yang terbabit dalam pemilihan bahagian itu," katanya.

Sehubungan itu, Adnan mengajak Ahmad Tajuddin bermuhabalah di masjid negeri pada satu tarikh dan masa yang dipersetujui bersama.

"Dia boleh menuduh saya jadi dalang dan saya akan menafikannya dan dia boleh bawa seberapa ramai saksi yang dia boleh upah," katanya - BERNAMA

Musa Hassan dan Gani Patail Takkan Dilepaskan - Anwar

MStar melaporkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Lembaga Penasihat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), mengkaji semula keputusan agensi itu yang mendapati Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail tidak terlibat berhubung dakwaaan memalsukan bukti insiden mata lebam.

Beliau telah menghantar surat permohonan dan dokumen yang berkaitan kepada Lembaga Pensihat SPRM, Tun Abdul Hamid Mohamad.

"Saya mahu Tun kaji semula keputusan yang dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Ahmad Said berhubung laporan polis saya terdahulu," katanya dalam satu sidang media di Lobi Parlimen di sini hari.

Pada 11 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, Abdul Gani dan Musa didapati tidak bersalah dalam memalsukan bukti siasatan kes mata lebam Anwar 10 tahun lalu berdasarkan siasatan yang dijalankan pihak polis dan SPRM.

Katanya, SPRM telah melantik tiga panel bebas yang terdiri daripada bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan Datuk Mohamad Noor Abdullah serta bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Wira Mohd Noor Ahmad bagi mengkaji dan membuat perakuan terhadap kes tersebut.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan juga menjelaskan tidak wujud sebarang kes jenayah terhadap kedua-dua individu tersebut.

Anwar telah membuat laporan sebanyak dua kali sebelum ini iaitu pada 1 Julai tahun lalu dan 21 Februari lalu terhadap Abdul Gani dan Musa dengan mendakwa kedua-dua individu terbabit memalsukan bukti siasatan kes mata lebam beliau kira-kira 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, Abdul Gani dan Musa menafikan dakwaan itu. Musa sudah memfailkan saman fitnah terhadap Anwar, manakala Abdul Gani juga turut menyuarakan hasratnya untuk menyaman Anwar.


SPRM Perak Soalsiasat Jwtnkuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak

Lima orang anggota Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini telah memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun menyatakan mereka telah melakukannya dengan protes.

Sebelum ini mereka telah enggan untuk memberikan kenyataan kepada pihak polis terhadap keputusan mereka menggantung Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exco daripada menghadiri persidangan dewan antara 12 bulan dan 18 bulan baru-baru ini.

Empat orang ahli jawatankuasa — Ong Boon Piow (Tebing Tinggi), Loke Chee Yan (Kepayang) dan Sum Cheok Leng (Bercham) dari DAP dan PKR Chan Ming Kai dari PKR — hadir di pejabat SPRM Ipoh jam 11.30 pagi seperti dimint.

Ahli kelima, Husin Din (Selinsing) dari Pas, telah memberikan kenyataannya kepada SPRM beberapa hari lepas.

ADUN Canning Wong Kah Woh mengiringi jawatankuasa berkenaan dengan kedudukannya selaku pengadu yang mana lapor aduannya telah menyebabkan jawatankuasa mengambil tindakan keputusan menggantung MB perak dan para exconya.

“Kerana menghormati mereka, kami hadir ke pejabat mereka namun dengan protes. Jelas bahawa SPRM tidak faham kuasa dan hak keistimewaan Dewan Undnagan Negeri Perak dimana apa jua yang disebut atau dilakukan di dalam dewan tidak tertakluk di bawah mana-mana kesalahan jenayah,” demikian dinyatakan oleh Loke kepada wartawan.

Mereka juga menuntut SPRM menjelaskan mengapa mereka tidak menghormati kekebalan jawatankuasa dewan.

“Kerana kami dah pun memenuhi arahan mereka untuk hadir, sekarang kita mahu SPRM memberikan kepada kami jawapan mereka.

“Mengapa mereka tidak menghormati kekebalan kami di bawah perenggan tiga dari Enakmen Dewan Undnagan Negeri Perak (Hak Keistimewaan) 1959 yang jelas menyatakan tiada seorang pun boleh didakwa dalam apa-apa jua perbicaraan dalam mana-mana mahkamah mengenai apa jua yang dikatakan atau apa-apa undi yang diberi olehnya apabila mengambil bahagian dalam perjalanan mana-mana Dewan Negeri atau mana-mana jawatankuasanya',” tambahnya.

Sebelum memasuki pejabat SPRM, Ong menyatakan akan berpegang kepada peruntukan kekebalan yang ada dengan tidak akan menjawab soalan-soalan berhubung dengan keputusan menggantung Dr Zambry bersama enam exconya.

“Mereka boleh bertanya hal-hal umum seperti nama, umur dan seumpamya. Namun kami tidak perlu untuk menjawab mereka terhadap soalan menyentuh keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa,” jelasnya.

Apabila mereka keluar, mereka enggan untuk mendedahkan butiran sessi soalsiasat tetapi menyatakan bahawa mereka telah disaman untuk hadir di atas kedudukan mereka sebagai ahli jawatankuasa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah menyatakan jawatankuasa itu diberikan masa untuk direkodkan keterangannya.

Beliau menyatakan kes mereka telah dirujuk kepada pejabat timbalan pendakwaraya untuk nasihat selanjutnya namun tiada permohonan mahkamah untuk meminta mereka hadir dibuat setakat ini.

Jawatankuasa tersebut, atas nasihat dari peguam mereka Leong Cheok Keng, telah mengabaikan arahan polis yang meminta mereka hadir di Jabatan Siasatan Jenayah Ibupejabat Kontijen Polis pada jam 9 pagi pada 7 Mac lalu.

LIMBANG: Kerajaan Malaysia Penipu Besar - Isu Ke Bukit Gantang

Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II Brunei Dato Seri Setia Lim Jock Seng hari ini telah menafikan bahawa isu tuntutan ke atas Limbang telah dibincangkan semasa mesyuarat antara Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Isnin lepas.

Beliau menjelaskan demikian ketika mengulas laporan kononnya Brunei telah menggugurkan tuntutan ke atas Limbang serta beberapa tuntutan lain yang diminta oleh Malaysia dan dilaporkan dalam beberapa buah akhbar hari ini.

Beliau menegaskan satu kenyataan akhbar bersama telah dikeluarkan selepas mesyuarat itu yang menyebut mengenai penandaan sempadan daratan antara kedua-dua negara akan diselesaikan berdasarkan perjanjian sejarah yang wujud antara Kerajaan Brunei dengan Negeri Sarawak, dan, sebagaimana sewajarnya, berdasarkan prinsip watershed.

"Selepas itu satu kumpulan kerja terdiri daripada jurukur am kedua-dua negara akan melaksanakan aspek-aspek teknikal bagi menyelesaikan isu sempadan tanah," ujar Lim.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sidang akhbar dengan wartawan Malaysia selepas upacara menandatangani LoE pada Isnin berkata Brunei telah secara rasmi menggugurkan tuntutannya ke atas Limbang, bahagian yang terletak paling utara di Sarawak.

Ia telah dilaporkan oleh agensi berita negara, BERNAMA dan beberapa buah akhbar arus perdana di negara ini pada 17 Mac lalu dengan tajuk-tajuk yang megah dan menipudaya.


Abdullah telah dilaporkan berkata kepada pemberita Malaysia di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia :"Hari ini adalah hari yang cukup bersejarah kerana Brunei telah menggugurkan tuntutan ke atas Limbang dan dengan ini Limbang akan menjadi sebahagian dari wilayah kita.

“Apa yang lebih menggembirakan lagi ialah isu-isu sempadan dan perkara-perkara pokok yang berlarutan begitu lama sejak 1995 telah dapat diselesaikan.”

Namun, menurut Menteri Hal Ehwal Brunei itu, apa yang sebenarnya dirundingkan ialah berkenaan dengan sempadan darat seluruhnya dan isu Limbang tidak dibincangkan semasa mesyuarat antara Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dengan Abdullah.

Dato Seri Setia Lim berkata perenggan tiga kenyataan akhbar bersama yang dikeluarkan petang semalam menyebut kedua-dua pihak bersetuju kepada asas-asas bagi penyelesaian isu-isu yang telah berpanjangan seperti menggunakan perjanjian-perjanjian yang telah lama wujud sebagai asas dan prinsip-prinsip watershed.

Selepas itu satu kumpulan petugas (working group) yang akan melibatkan Juru Ukur Agung kedua-dua pihak akan menetapkan aspek-aspek teknikal untuk menyelesaikan sempadan darat, jelasnya.

Beliau berkata perenggan enam kenyataan akhbar bersama itu ada menyebutkan: "Pembatasan sempadan-sempadan tanah di antara kedua-dua buah negara akan diselesaikan berdasarkan kepada lima buah perjanjian bersejarah yang ada pada masa ini di antara kerajaan negara ini dengan kerajaan Sarawak dan juga jika bersesuaian prinsip-prinsip watershed, sejurus itu segala isu berkaitan dengan sempadan-sempadan tanah kedua-dua buah negara akan diselesaikan mengikut apa yang berpatutan."

Isu Ke Bukit Gantang : UMNO Bukan Parti Yang Berdisiplin dan SPRM Yang Melembu Lagi

UMNO sememangnya sebuah parti yang selama ini tidak berdisiplin. Gejala politik wang telah terlalu lama mendarah daging di dalam UMNO. Akibatnya pembersihan kecil yang cuba dilakukan oleh UMNO baru-baru ini sudah pasti menerima "tentangan", dan ini mengesahkan fakta bahawa UMNO tidak mungkin akan berjaya menghapuskan gejala politik wang di dalam partinya.

Berita terkini, Timbalan Ketua Perhubungan Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin seperti dilaporkan oleh malaysiakini tidak menolak kemungkinan ada perwakilan ke perhimpunan agung Umno, yang akan mengusulkan pemansuhan Lembaga Disiplin Umno pula

Katanya, ini kerana akar umbi keliru dengan hukuman berbeza oleh lembaga tersebut walaupun mereka yang terbabit melakukan kesalahan yang sama.

Beliau merujuk kepada hukuman melarang Datuk Seri Mohd Ali Rustam bertanding jawatan timbalan presiden, sedangkan Khairy Jamaluddin hanya diberi amaran dan dibenarkan bertanding jawatan ketua Pemuda Umno Malaysia.

Kelmarin, Lembaga Disiplin Umno mengumumkan hukuman tersebut selepas kedua-duanya didapati bersalah melanggar tataetika berkempen dibawah fasal 10.1 yang melibatkan kesalahan pihak ketiga, iaitu ejen-ejen kempen mereka, dalam sogokan politik.

"Ada sesetengah (calon) yang kena, ada sesetengah yang tidak kena. Dan keputusan berbeza-beza telah menimbulkan kekeliruan kepada akar umbi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Ekoran itu, kata Zahidi yang juga ketua Umno bahagian Padang Besar, keputusan tersebut akan menghilangkan kepercayaan akar umbi kepada Lembaga Displin Umno.

Sehubungan itu, Zahidi berkata, perwakilan mempunyai kuasa untuk menentukan sama lembaga displin ini menguntungkan parti atau sebaliknya.

Sementara itu, ketua Pemuda Padang Serai, Ismadi Abu Talib berkata beliau kecewa kerana lembaga tersebut membuat keputusan siasatannya berhubung politik wang pada saat akhir bermulanya perhimpunan agung Umno.

"Saya tak suka lembaga disiplin membuat keputusan di saat akhir kerana keputusan tersebut akan mengecewakan sesetengah pihak. Keputusan sepatutnya dibuat dari awal," katanya.

Menurut Ismadi, akar umbi akan lebih menghormati lembaga displin sekiranya jawatankuasa tersebut membuat keputusan lebih awal berhubung isu tersebut.

Terlebih anih apabila Lembaga Disiplin apabila memutuskan Dato Seri Ali Rustam dilarang bertanding kerana disahkan terlibat dengan politik wang atau dengan perkataan lainnya "rasuah" Suruhanjaya Pencegahan "Rasuah" Malaysia (SPRM) berdiam diri.

Tetapi di Pulau Pinang, belum apa-apa lagi Pegawai SPRM Pulau Pinang telah menyoal beberapa orang ekoran dakwaan yang dibuat oleh ahli Angkatan Muda Keadilan Pusat, Amizudin Amat semasa mesyuarat penuh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) tehadap dakwaannya pemimpin PKR negeri Pulau Pinang "dipercayai" terlibat dengan unsur rasuah.

Bukankah benar tanggapan ramai yang SPRM itu lembu yang dicucuk hidungnya?

RASUAH UMNO - MENGADU KEPADA KETUA PENYAMUN

Trend pemikiran anak-anak muda sekarang tak akan memberi sokongan kepada UMNO, walau apapun mahu dilakukan sekarang.

Bagi mereka tiada lagi pemulihan kepada UMNO yang terlalu banyak meletakkan bangsa Melayu terguris hati terutama dalam isu PPMSI dan kekebalan raja-raja. Apalagi membawa kelibat pimpinan yang mengkucar-kacirkan negara, sekalipun di mulut mengakui demi kepentingan bangsa, agama dan tanahair. Aduhai!

Perpecahan UMNO amat ketara sekalipun disembunyikan dengan pelbagai cara. Misalnya, malam tadi (18 Mac 2009) di TV1 calon Naib Presiden UMNO Dato' Seri Rais Yatim secara terbuka menyerang lawannya yang juga pesaing dalam merebut jawatan berkenaan.

Sekalipun Dato' Seri Rais Yatim tak menyebut nama lawannya, tetapi memberitahu beliau tak mahu pemimpin yang mencium keris kemudian meminta maaf. Apabila pengacara menyentuh bukunya sebagai 'gula-gula', beliau bingkas bersuara menafikan dengan menjelaskan ianya sebagai 'selimut bangsa'. (Selimut untuk menahan kesejukan atau selimut untuk dikebumikan?)

Lebih 150 penyokong Dato' Seri Mohd Ali Rustam pula menemui Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, sebelah petangnya berikutan keputusan Jawatankuasa Disiplin UMNO yang diketuai Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddin.

Ketegasan dalam pimpinan UMNO juga dipersoal, dengan kesalahan yang sama tetapi hukuman berbeza-besza. Maknanya, UMNO menunggu kehancuran sekalipun pimpinannya mahu membersihkan dari segala gejala yang tak sihat. Sukar mahu mempercayai apabila senario dalam 'Ali Baba Bujang Lapok' Allahyarham Tan Sri Dr P Ramlee mahu dilestarikan oleh UMNO.

Tan Sri P. Ramlee secara sinis menerusi 'Ali Baba Bujang Lapok' apabila ketua penyamun (P Ramlee) dijadikan tempat mengadu oleh orang kaya (Kemat Hassan) dan (Shariff Dol). Akhirnya orang kaya Shariff Dol papa kedana di pasar pesara, dengan meminta sedekah. UMNO sedang menuju ke era yang difilemkan oleh Tan Sri P Ramlee menerusi watak orang kaya yang meminta bantuan 'ketua penyamun'.

Dalam masa sekarang UMNO memerlukan Marjina bagi menyelamatkan Ali Baba daripada ketua penyamun. Bagaimanapun dalam pimpinan UMNO sekarang Ali Baba(Rustam) sudah dikorbankan terlebih dahulu di Melaka, justeru Melayu akan terus hidup, sekalipun UMNO mati. Begitulah!

Petikan tulisan Dharmala N.S.

Penyokong Ali Rustam Merusuh, Kenapa Polis Tak Buat Tangkapan?

Tatkala penyokong-penyokong Ali Rustam merusuh di PWTC dan dikuti dengan satu lagi rusuhan oleh penyokong-penyokong Ali - kali ini merusuh sambil berbaring di jalan, cuba menghalang Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin keluar dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka selepas membuat aduan terhadap Ali Rustam.

Dua penyokong itu, daripada kira-kira 50 orang, berkumpul di depan pintu masuk kompleks suruhanjaya itu di Jalan Taming Sari di bandar Melaka tengah hari semalam.

Laporan malaysiakini menyebut, Shamsul sewaktu kejadian berada di dalam sebuah kereta, ingin pulang selepas lebih sejam di pejabat SPRM mengadu kes politik wang ketua menteri Melaka. Tiba-tiba keretanya dikepung oleh penyokong-penyokong UMNO dalam kawasan ibu pejabat SPRM, tambahnya. Shamsul Iskandar, yang berasal dari Melaka, berkata berlaku pertengkaran lebih kurang 15 minit di situ antara kira-kira 20 penyokongnya dengan kumpulan tersebut, yang dipercayai penyokong Mohd Ali.

Beliau berkata, kumpulan yang menghalangnya itu mempersoalkan tindakan beliau membuat laporan kepada SPRM serta memberi amaran kepadanya supaya "jangan jaga tepi kain orang lain".

Shamsul Iskandar berkata, sewaktu kekecohan itu, keretanya dibaling seketul batu yang menyebabkan cermin depannya retak. Beliau bercadang membuat aduan polis berhubung kerosakan tersebut.

"Kalau lembaga disiplin Umno sendiri sudah putuskan perkara itu, takkan SPRM tidak boleh siasat?" katanya.

Yang menghairankan bukan sahaja perangai penyokong-penyokong UMNO itu yang merusuh hingga memecahkan kereta orang dan menghalang melaporkan kes Ali Rustam ke SPRM adalah satu hal lagi, namun kedatangan sepasukan 40 anggota polis yang datang meleraikan pertengkaran tersebut tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas penyokong Ali yang merusuh.

"Tak sama cara polis bertindak dengan penyokong-penyokong Pakatan Rakyat. Kalau Pakatan Rakyat berbaring dan berhimpun mereka akan dicari sampai lubang cacing sepertimana yang berlaku di Perak baru-baru ini," bentak seorang pemuda PKR.

"Sudah terlalu banyak kejadian polis bersikap double standard. Itu petanda yang polis di dalam negara ini menjalankan tugas mereka dengan tidak profesyenal. Bila kita kritik mereka yang mereka ini seperti lembu, mereka tak boleh terima dan tahu pula nak marah. Mereka buat rakyat semua marah mereka lansung tak fikir," tambahnya.

Semua Wakil Rakyat Paya Besar Terlibat Rasuah

Paya Besar adalah sebuah kawasan Parlimen dalam negeri Pahang. Dalam Parlimen ini pula terdapat tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Panching, Sungai Lembing dan Lepar.

Dalam pilihan raya umum ke-12 lalu kerusi Parlimen Paya Besar termasuk ketiga-tiga DUN di dalamnya telah dimenangi oleh Barisan Nasional melalui wakil Umno.

Hari ini Paya Besar telah mencatat sejarahnya tersendiri dalam politik tanah air khususnya politik BN apabila keempat-empat wakil rakyatnya (satu Parlimen dan tiga DUN) didapati bersalah terlibat dalam rasuah.

Apabila Lembaga Disiplin Umno melalui pengerusinya Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail mengumumkan keputusan siasatan ahli-ahlinya yang didakwa terlibat dengan politik wang, mungkin ramai yang terlepas pandang kerana lebih memberi tumpuan kepada calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan calon ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Tetapi disebalik 29 nama dalam senarai keputusan siasatan lembaga Disiplin Umno itu terdapat nama Abdul Manan Ismail (Ahli Parlimen Paya Besar), Md Sohaimi (Adun Sungai lembing), Mohd Zaili Besar (Adun Panching) dan Mohd Shohaimi Jusoh (Adun Lepar) yang kesemuanya diputuskan bersalah.

Mungkin ini satu kejutan besar kepada semua pengundi Paya Besar kerana empat wakil rakyat yang mereka pilih sama ada mewakili parlimen maupun DUN-DUN dalam kawasan ini tiada seorangpun yang bersih dari jenayah politik wang.

Namum lebih menarik apabila ketua Umno bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman menghantar faks kepada Siasah dengan dakwaan amat serius.

"Perlakuan rasuah oleh keempat-empat ahli Umno tersebut didalangi oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob sendiri," katanya.

Demikian dilaporkan oleh siasahdaily

Bernama pula melaporkan Umno Bahagian Paya Besar semalam menggesa agar Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob meletakkan jawatan sebagai mengambil tanggungjawab di atas keputusan Lembaga Disiplin parti yang mendapati empat wakil rakyat Umno dari bahagian itu bersalah melanggar Perlembagaan parti dan Tata Etika Ahli.

Ketuanya Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman mendakwa pihaknya mempunyai saksi bahawa keberanian keempat-empat wakil rakyat tersebut yang secara terbuka mencabar etika parti, adalah didalangi oleh Adnan sendiri.

"Umno Bahagian Paya Besar merakamkan rasa kesal terhadap tindak tanduk Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang dan berpendapat beliau hendaklah mengambil tanggungjawab dengan meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang," katanya dalam satu kenyataan yang difakskan ke Bernama di sini, hari ini.

Ahmad Tajuddin berkata beliau percaya keputusan Lembaga Disiplin parti adalah berasaskan peraturan sedia ada dalam rangka mengembalikan integriti parti.

Sementara itu, Adnan menasihati anggota Umno Pahang yang telah didapati bersalah supaya lebih berhati-hati pada masa depan untuk mengelakkan tragedi yang sama berulang ke atas mereka.

Dalam satu kenyataan melalui khidmat pesanan ringkas kepada Bernama di sini hari ini, beliau menasihatkan mereka, jika boleh, supaya menangguhkan sementara tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat, ketika berlangsung pemilihan Umno minggu depan, agar tidak didakwa sebagai melakukan apa-apa kesalahan.

Lembaga Disiplin Umno semalam memutuskan Anggota Parlimen Paya Besar Datuk Abdul Manan Ismail digantung selama setahun, Ketua Pemuda Maran Mohamad Najuib Mohamad Shahaimi digantung keanggotaan selama tiga tahun manakala Timbalan Ketua Umno Bahagian Paya Besar Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah, Naib Ketua Umno Bahagian Paya Besar Mohd Shohaimi Jusoh dan Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Paya Besar Mohd Zaili Besar diberikan amaran.

Adnan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang berkata, kejadian itu adalah sesuatu yang menyedihkan bagi Umno Pahang namun beliau bertegas, bahawa pada dasarnya, mereka yang didapati terbabit itu tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah.

"Adalah menyedihkan bila menyaksikan rakan-rakan kita dihukum kerana melampaui batasan kod etika parti tapi yang baiknya ialah mereka tidak melakukan apa-apa bentuk jenayah, namun keputusan Lembaga Disiplin Umno mesti dihormati oleh semua ahli parti.

"Saya ingin jelaskan bahawa Ahli Parlimen Paya Besar yang digantung setahun dan tiga Ahli Dewan Undangan dari Sungai Lembing (Md Sohaimi), Lepar (Mohd Shohaimi) dan Panching (Mohd Zaili) yang dikenakan amaran bukanlah kerana menggunakan wang tetapi didapati telah menganjurkan dan menyertai perjumpaan dalam usaha mereka melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dalam tempoh pemilihan jawatankuasa Umno bahagian yang lepas," kata beliau.


Cubaan BN Jatuhkan Kerajaan PR Di Selangor. Pengundi Bukit Selambau Perlu Tahu

Politik murahan - itu ungkapan yang diguna oleh Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim terhadap tindakan Barisan Nasional memperalat agensi persekutuan untuk melancarkan program khusus menjatuhkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor.

Anwar mendakwa beliau mempunyai dokumen berhubung satu mesyuarat yang diadakan oleh Pejabat Pembangunan Negeri Selangor (PPNS) yang memperincikan program- program membabitkan agensi kerajaan.

Menurutnya, dokumen yang bertajuk "Pelaksanaan Program People Centric di Negeri Selangor" satu mesyuarat telah diadakan 26 februari lalu dan membabitkan Agensi Keselamatan Negara serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Program berkenaan dilaksanakan bagi menjatuhkan Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan Barisan Nasional menguasai negeri Selangor dan juga meraih kemenangan majoriti dua pertiga di Parlimen bagi pilihanraya akan datang.

PPNS adalah sebuah agensi Kerajaan Persekutuan bawah Jabatan Perdana Menteri yang sebelum itu ditubuhkan khusus bertujuan untuk bertindak sebagai medan perantaraan di antara Kerajaan Pakatan Rakyat dan Kerajaan Persekutuan.

Perkara ini telah pertama kali didedahkan di Dewan Undangan Negeri Selangor oleh Adun Kg Tunku, Lau Weng San.

Beliau saya menganggap tindakan yang dibuat adalah tindakan subversif dan tidak berdemokrasi. Beliau terkejut agensi keselamatan negara termasuk polis dan tentera diperalatkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat," katanya kepada media.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan usaha melalui pelaksanaan program yang sama telah dijalankan di negeri-negeri Pakatan Rakyat lain dan juga untuk menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak.