28 Mac 2008

Pertandingan 3 Penjuru Presiden UMNO

Oleh Greenboc

Dengan pengumuman Presiden UMNO bahawa UMNO akan mengadakan pemilihan agung 16-20 Disember dan juga kenyataannya bahawa beliau "tidak akan lari" sekiranya dicabar bagi perebutan jawatan presiden pada pemilihan UMNO telah menimbulkan pelbagai riaksi pemimpin UMNO peringkat bahagian.

Yang jelas dan nyata ialah jawatan Presiden UMNO pasti dicabar pada pemilihan kali ini. Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah telah menyatakan kesediaan untuk menerajui dan merawat UMNO bagi memastikan parti itu tidak hilang kekuasaan dan Melayu terus dibela, satu isyarat jelas bahawa beliau sedia ntuk bertanding jawatan nombor 1 di dalam UMNO.

Pada 1987, Tengku Razaleigh mencabar Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri (kini Tun) Dr. Mahathir Mohamad tetapi tewas dengan 43 undi.

Dan tentulah yang paling resah dengan berita tersebut bukanlah Presiden UMNO yang ada kini iaitu Abdulah Ahmad Badawi, tetapi yang resah gelisah ialah timbalannya iaitu Mohd Najib Abdul Razak.

Ini kerana dengan penyertaan Tengku Razaleigh Hamzah untuk merebut jawatan Presiden UMNO akan menghakiskan peluang Najib sebagai pengganti Perdana Menteri negara kerana jika Abdullah tewas, kedudukan Najib akan menjadi goyang malah kerusi TPM yang ada kini pun boleh terlepas. Sudah pastilah Tengku Razaleigh yang akan merampas mahkota Perdana Menteri yang selama ini diidam-idamkan oleh Najib.

Justeru itu peluang yang ada bagi Najib sekarang ialah turut serta di dalam pertandingan merebut jawatan Presiden - satu keadaan dimana pertandingan tiga penjuru bakal dapat disaksikan.

Abdullah telah diketahui sebenarnya telah mempnyai calon penggantinya - bukan Najib. Tetapi Muhyiddin Mohd Yassin - seorang Naib Presiden UMNO yang telah menyuarakan dengan tegas bahawa beliau bersetuju pertandingan dibenarkan pada pemilihan kali ini sekalipun ada suara dari pimpinan parti supaya jawatan tertentu seperti Presiden tidak dipertandingkan. Dan Muhyidin kini diberikan jawatan di sebuah kementerian yang penting di dalam kabinet.

Ketua Penerangan UMNO, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, keadaan UMNO hari ini sebenarnya sudah cukup mantap selepas pengumuman Kabinet baru Selasa lepas.

"Niat merawat Tengku Razaleigh (Ku Li) baik. Tetapi jangan sampai hendak melawan Perdana Menteri (Presiden) UMNO pula.

Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula menyifatkan kesediaan Tengku Razaleigh Hamzah untuk mencabar Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada pemilihan parti akan datang, sebagai tidak sesuai.

Sambil melahirkan rasa tidak setujunya terhadap hasrat Tengku Razaleigh itu, beliau berkata semua pihak telah menyatakan sokongan penuh kepada pucuk pimpinan bagi merapatkan barisan dan menaikkan semula parti serta memberi semangat kepada ahli-ahli.

Zulhasnan turut memberi sokongan sebulat suara UMNO WP kepada Pak Lah.

Namun ketiga-tiganya - Muhammad Mohd Taib, Hishamuddin dan Zulhasnan dimalukan oleh keputusan MT yang mahukan jawatan-jawatan itu dibuka untuk dipertandingkan.

Dan episod seterusnya akan menyaksikan pertandingan hebat di dalam UMNO dimana akan berlaku pertandingan 3 penjuru untuk jawatan Presiden - Abdullah, Ku Li dan Najib dan Muhyiddin pula di barisan pertama untuk Timbalan Presiden.

Dan yang jelas terkulai layu perencanaan Tun Mahathir untuk mempastikan Najib menjadi Perdana Menteri!