3 Mac 2010

BN Perlukan 5 Kerusi Lagi, Zulkifli Mungkin Terselamat Dari Dipecat

Arus "keluar parti" semakin menderas, mendekatkan semula Barisan Nasional ke paras dua pertiga di Dewan Rakyat, kelebihan majoriti yang ditembusi semasa "tsunami politik" PRU ke-12. Senario terkini memperlihatkan pengurangan kerusi parlimen PKR dari 31 ke 28, lantas mengurangkan kerusi Pakatan Rakyat kepada 79.

Apa yang tersirat di sebalik angka 79 ini bukan sekadar bermaksud "keluarnya empat orang ahli parlimen dari PKR dan PAS". Apa yang lebih penting, seandainya lima orang lagi ahli parlimen dari PR mengisytiharkan dirinya untuk keluar parti, maka PR akan tinggal 74 kerusi, iaitu satu pertiga daripada jumlah 222 kerusi.

Jadi, BN yang kini memiliki 137 kerusi, akan menaruh harapan pada empat orang ahli parlimen yang keluar dari PR, iaitu Ibrahim Ali (PAS), Zahrain Hashim (PKR), Tan Tee Beng (PKR) dan Mohsin Fadzli Samsuri (PKR), ditambah pula dua orang ahli parlimen "bebas", iaitu Chua Soon Bui dan Eric Majimbun dari SAPP, yang keluar dari BN pada tahun 2008.

Seandainya keenam-enam ahli parlimen bebas tersebut mendampingi (semula) BN, ditambah dengan "lima orang lagi", maka BN di bawah pimpinan Najib Abdul Razak akan menguasai semula majoriti 2/3, kubu di parlimen yang ditembusi semasa zaman pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi.

Ringkasnya, lanskap dalam Dewan Rakyat terkini adalah BN (137), SAPP (2), ahli parlimen yang keluar dari PR (4), membawa kepada jumlah 143. PR pula memiliki 79 kerusi. Seandainya ahli parlimen "bebas", iaitu 2 dari SAPP dan 4 yang keluar parti mendampingi BN, maka angka 5 menjadi kunci seterusnya. Penambahan 5 kerusi akan mengembalikan BN kepada majoriti dua pertiga, di samping penolakan 5 dari 79 kerusi yang dimiliki PR, akan menggagalkan PR untuk menafikan 2/3 BN di Dewan Rakyat.

Zulkifli mencungkil kontroversi

Senario sedemikian sebenarnya membataskan pilihan Lembaga Disiplin PKR, ketika mempertimbangkan hukuman yang bakal dikenakan ke atas Zulkifli Noordin yang dihadapkan kepadanya. Zulkifli Noordin, ahli parlimen Kulim Bandar Baharu yang mendakwa dirinya sebagai pejuang Islam, telah mencungkil beberapa kontroversi kerana pendekatan yang digunakan ketika menjuarai isu agama.

Pada Ogos 2008, Zulkifli Noordin telah "menceroboh" ke satu forum Memeluk Islam anjuran Majlis Peguam, kerana menganggap penganjurnya bersikap anti-Islam. Berikutan tindakan yang bercanggah dengan prinsip "kebebasan bersuara" yang didukung oleh partinya, Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali telah meminta agar Zulkifli Noordin memberi penjelasannya.

Walau bagaimanapun, tiada tindakan yang menyusuli kemudian. Perlu dinyatakan bahawa kejadian itu berlaku sekitar PRK Permatang Pauh, dan sebarang tindakan terhadap Zulkifli Noordin dikhuatiri bakal didakwa sebagai "bukti PKR membelakangkan Islam", kerana Zulkifli tampil dengan imej "pejuang Islam".

Pada November 2009 pula, setelah Anwar Ibrahim memberi amaran untuk mengambil tindakan kepada pemimpin yang tidak selari dengan halatuju perjuangan PKR, Naib Presiden PKR, Sivarasa Rasiah menyusul dengan mendakwa bahawa "pemimpin" yang dimaksudkan Anwar adalah Zulkifli Noordin. Lantaran itu, tercetuslah perbalahan antara Sivarasa dengan Zulkifli.

Zulkifli Noordin mencungkil kontroversi sekali lagi, apabila membuat laporan polis terhadap ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad dari PAS, berhubung isu penggunaan kalimah Allah. PKR terpaksa mengambil tindakan pada kali ini, memandangkan tingkahlaku Zulkifli Noordin telah memberi kesan kepada parti komponen PR.

Pilihan Lembaga Disiplin PKR terbatas

Bukan sahaja Khalid Samad dijadikan sasaran Zulkifli Noordin, malah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut diselar olehnya sebagai chauvinis, ekstremis, rasis dan mempunyai agenda sempit perkauman yang jelas.

Kerenah Zulkifli Noordin telah mengungkit ketidakpuasan parti komponan PR, bahkan dalam PKR sendiri. Justeru itu, Lembaga Disiplin kini berdepan dengan dilema, sama ada untuk mengambil tindakan atau tidak. Lebih-lebih lagi, Zulkifli Noordin telah membuat kenyataan terbuka bahawa beliau tidak akan keluar parti, melainkan dipecat.

Seandainya PKR sekadar memberi amaran lisan kepada Zulkifli Noordin, maka ia dijangka akan mencungkil ketidakpuasan parti komponen PR. Sebaliknya, seandainya Zulkifli Noordin dipecat, maka ia dikhuatiri akan membuka laluan kepada BN untuk mara selangkah ke depan, sebelum menjangkau paras dua pertiga.

Dalam keadaan sedemikian, pembekuan atau pergantungan keahlian mungkin merupakan jalan keluarnya. Seandainya Zulkifli Noordin keluar parti kerana "penggantungan keahlian", maka beliau telah mengingkari apa yang dikatakan, iaitu "tidak keluar parti melainkan dipecat". Pada masa yang sama, PKR boleh meredakan ketidakpuasan parti komponen PR dan dalam parti, dengan mendakwa bahawa hukuman telah dijatuhkan ke atas Zulkifli Noordin. -MR

Ribut Semakin Reda, Ikrar Taat Setia 12 MP PKR Tamatkan Spekulasi Mereka Tinggalkan Parti

Dua belas Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat tampil menyatakan komitmen untuk terus mendokong PKR.

Mereka menegaskan tindakan beberapa rakan mereka keluar parti bukan mencerminkan kelemahan pucuk pimpinan PKR tetapi mendedahkan agenda sempit Umno untuk mengalihkan tumpuan rakyat daripada masalah seperti kegawatan ekonomi dan isu lain akibat dasar-dasar parti itu.

Dua belas ahli parlimen menzahirkan komitment mereka dalam satu kenyataan yang ditandatangani dan diedarkan kepada media.

Mereka berbuat demikian sebagai reaksi spontan berikutan penyebaran fitnah kononnya lebih ramai wakil rakyat PKR akan meninggalkan parti itu.

"Kami mengambil ketetapan sekeras- kerasnya menolak dakwaan kami akan meninggalkan parti seperti mana yang dispekulasikan pihak- pihak tidak bertanggungjawab untuk menggugat kesatuan dan perpaduan dalam Keadilan," kata Ahli Parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas.

Kamarul mendedahkan bahawa tindakan Tee Beng, Zahrin dan Mohsin lebih didorong oleh usaha Umno memesongkan perhatian rakyat daripada masalah-masalah besar negara.

"Hakikat sebenarnya adalah Umno-BN yang berasa gusar melihat gelombang kedua sokongan rakyat kepada pimpinan Pakatan, Terutamanya berkaitan kes fitnah kedua yang melibatkan Datuk Seri Anwar ibrahim. Umno-BN cuba mengalihkan tumpuan daripada kemerosotan ekonomi negara dan isu-isu nasional yang semakin parah dan tidak menunjukkan tanda-tanda penyelesaian,"katanya.

Selain Datuk Kamarul sembilan lagi yang hadir pada sidang akhbar ini adalah Ahmad Kassim (Kuala Kedah), Azan Ismail (Indera Mahkota), Abdullah Sani Abdul Hamid (Kuala Langat), Ab. Aziz Ab. Kadir (Ketereh), Yusmadi Yussof (Balik Pulau), S. Manikavasagam (Kapar), Datuk Rashid Din (Merbok), Amran Ab Ghani (Tanah Merah) dan Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan).

Dua lagi Ahli Parlimen, yang turut menandatangai kenyataan untuk terus bersama PKR adalah N. Gobalakrishnan (Padang Serai) dan Gwo-Burne Loh (Kelana Jaya). Mereka tidak dapat hadir kerana menghadir mesyuarat daerah atau berada di luar negara.

"Kami juga ingin menegaskan bahawa sokongan kami tidak berbelah bagi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum Keadilan dan juga pemimpin Pakatan," katanya.

Kamarul tidak menolak berlakunya cubaan gigih oleh pihak tertentu untuk membeli beberapa Ahli Parlimen.

"Mungkin ada tawar menawar, mungkin ada masalah peribadi yang tidak diluahkan kepada kami dan saya percaya parti tidak dimaklumkan perkara-perkara yang mengakibatkan mereka mengambil keputusan tersebut.

"Bagi kami, apa juga yang berlaku kami masih di sini, ada tawaran atau tidak kita tetap bersama di sini menyokong sepenuhnya parti," katanya.

Dalam pada itu, Yusmadi menolak dakwaan bekas Ahli Parlimen yang membelot parti kononnya mereka bertindakan demikian kerana diabaikan oleh pucuk pimpinan tertinggi.

"Tiada apa yang tidak kena dengan pimpinan, mereka telah membuat keputusan yang baik tetapi dengan menjadi Ahli Parlimen yang masih baru, ada banyak perkara yang perlu dipelajari. Kami perlu memperbaiki prestasi, parti telah buat keputusan bijak. Apa yang berlaku kini seperti salah-menyalahkan, pada saya sebagai MP baru, tiada pengalaman.. lebih 100,000 pengundi di Balik Pulau beri saya amanah ini dan saya perlu belajar, tiada apa yang tidak kena dengan kepimpinan dan mereka juga menjaga kebajikan kami.. jadi bagi saya ia sebagai cabaran untuk melakukan yang lebih baik,"katanya. -TVS


Mahkamah Rayuan Ketepi Perintah Arah Khalid Bayar BIMB

Mahkamah Rayuan Putrajaya mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Tan Sri Khalid Ibrahim melunaskan pinjaman berjumlah RM66.67 juta kepada Bank Islam Malaysia Berhad berhubung pembelian saham Guthrie, sembilan tahun lalu.

Pembayaran itu berhubung pinjaman yang dibuat beliau untuk membeli saham Guthrie pada 2001 ketika beliau menjadi Ketua Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan.

Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh panel tiga anggota yang diketuai oleh Hakim Zainun Ali.

Hakim lain ialah hakim Jeffrey Tan Kok Hwa dan Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad.

"Mahkamah berpendapat di bawah prinsip perbankan Islam, pandangan perlu diambil dari juri Islam berhubung kesahihan urusniaga itu," katanya.

"Justeru, perkara berkenaan perlu melalui perbicaraan penuh," katanya.

"Sehubungan dengan itu, Mahkamah Rayuan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang bertarikh 21 Ogos, 2009."

Mahkamah Tinggi semalam, menetapkan perbicaraan empat hari, bermula 15 Mac ini untuk mendengar saman difailkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terhadap BIMB, yang mendakwa bahawa terdapat penjualan yang salah saham-saham miliknya dalam Kumpulan Guthrie Berhad.

Pada penghakiman 21 Ogos lalu, Abdul Khalid juga diperintahkan bagi membayar RM66.67 juta kepada Bank Islam itu berhubung pinjaman yang diambilnya bagi membeli saham Guthrie.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata dia amat berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

Katanya, peguamnya telah memaklumkan bahawa peluangnya memenangi kes berkenaan adalah tinggi.



Hishamuddin Patut Rujuk Kami Dulu - Che Alwi

Barisan Nasional (BN) Kelantan mempertahankan tindakan wakil rakyatnya mengambil bahagian dalam perbahasan usul yang dibawa kerajaan negeri Kelantan untuk merujuk tuntutan royalti minyak di mahkamah.

Sehubungan itu, Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Mohd Alwi Che Ahmad berkata pihak yang mempersoalkan tindakan mereka kelmarin sebenarnya tidak faham rasional pendirian wakil BN.

“Adun BN hanya menyokong agar usul dibahaskan dan kami mengambil bahagian dalam perbahasan.

“Tetapi apabila sampai masa untuk mengundi, kami tidak mengundi... ini kena faham. Kalau kita tidak menyertai perbahasan, bagaimana kita hendak menyatakan hujah kita (pendirian BN dan kerajaan pusat) dalam isu pertikaian ini... mereka (kerajaan negeri) hendak mentafsir menerusi mahkamah, jadi kami berhujah supaya bawa kes ini ke mahkamah,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Beliau yang juga Adun Kok Lanas dan Setiausaha BN Kelantan berkata, Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein mungkin salah faham dengan sebab pihaknya berbuat demikian.

“Orang yang faham fahamlah dengan apa yang berlaku. Kalau tidak faham, maka tak fahamlah mereka dengan keadaan di Kelantan,” katanya lagi sambil menambah suasana di Kelantan berbeza dengan negeri lain termasuk Terengganu.

Hishammuddin merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.

Justeru Mohd Alwi menambah, Hishammuddin “sepatutnya berkata (memberitahu wartawan) akan merujuk kepada kami sebelum berkata demikian”.

“Apa yang kami lakukan ini bertujuan mempertahankan kerajaan, sebab itu Pemuda Umno (pusat) membuat kenyataan yang betul (bahawa tindakan kami adalah betul),” kata beliau lagi.

“Hanya satu panggilan yang memisahkan saya daripada Hishammuddin... beliau (sepatutnya) telah menghubungi saya untuk mendapatkan penjelasan,” katanya lagi.

Malah Mohd Alwi berkata, beliau telah berbincang dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan juga timbalannya Datuk Dr Awang Adek Husien sebelum usul itu dibahaskan.

“(Dalam suasana ini) kita kena bertindak sebagai ahli politik yang tenang, bijak dan matang... ini adalah mainan politik... ini sudah jadi satu pertikaian, jadi biar bawa ke mahkamah,” katanya.

Beliau berpendapat bahawa jika pertikaian itu dibawa ke mahkamah ia tidak boleh dijadikan bahan percakapan kerana boleh dianggap prejudis.

Mohd Alwi diminta mengulas laporan bahawa kemungkinan mengambil tindakan terhadap anggotanya yang menyokong usul dibawa kerajaan negeri Kelantan untuk membawa tuntutan royalti minyak ke mahkamah.

Semalam, Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata parti itu akan mendapatkan pandangan daripada ahli-ahli parti di peringkat akar umbi sebelum mengambil tindakan.

Kesemua Adun bangun sebagai menyatakan sokongan kepada usul itu untuk dibahaskan, termasuk Mohd Alwi, Mat Yusof Abdul Ghani (BN – Nenggiri) dan Datuk Abdul Rashid Aziz (BN – Kuala Balah).

Adun Barisan Nasional yang tidak berdiri ialah Datuk Nozula Mat Diah (BN–Paloh) dan Adhan Kechik (BN – Bukit Bunga) manakala Datuk Noorzahidi Omar (BN – Pengkalan Kubur) tiada dalam dewan ketika itu.

Bagaimanapun ketika usul diluluskan tiada wakil BN dalam dewan, kata Mohd Alwi.

“Sebab itu ia diluluskan 39-0 bukannya 45-0,” katanya.

Oleh itu kata Mohd Alwi, terserah kepada pucuk kepimpinan jika mahu mengambil tindakan.

“Kami ini bukan bodoh... jangan kata sembarangan,” kata Mohd Alwi sambil menambah, “kami tidak bertindak sembarangan.”

Dalam pada itu, Noorzahidi yang juga Setiausaha Umno Kelantan berkata, kalau salah keenam-enam Adun BN perlu dikenakan tindakan.

“Kalau undi tanda sokongan isu tersebut dibawa ke mahkamah, bagi saya tak salah.

“Sebab sebelum ini pun kerajaan persekutuan memang mengalu-alukan supaya kes tersebut dibawa ke mahkamah,”
katanya.

Usul tersebut dikemukakan selepas selesai sesi soal jawab secara lisan.

Usul berkenaan berdasar kepada peruntukan Peraturan Tetap Dewan Negeri Kelantan Perkara 30 (1) bagi cadangan menangguh persidangan kerana merundingkan perkara-perkara mustahak bagi orang ramai.

Usul terbabit berbunyi, “bahawa DUN memberi mandat kepada MMK bagi pihak kerajaan negeri mengambil apa-apa tindakan mahkamah yang bersesuaian bagi mendapatkan bayaran tunai yang terhak kepada rakyat dan kerajaan Kelantan mengikut perjanjian dan penyerah hakkan kuasa-kuasa petroleum sama ada di daratan atau di lautan negeri Kelantan yang ditandatangani pada 1975.

“Seperti mana kehendak undang-undang tunggal yang berkaitan dengan pengeluaran petroleum iaitu Akta Pembangunan Petroleum 1974, pada bila-bila masa yang difikirkan oleh kerajaan negeri.” -MI

Siapa Dalang Hasut MP PKR Keluar Parti?

Banyak pihak yakin bahawa ada dalang tertentu yang menghasut ahli parlimen PKR untuk keluar parti. Ini adalah kerana alasan yang digunakan adalah hampir serupa dan dilihat mereka membaca skrip yang streotaip tatkala membuat sidang media.

Di dalam setiap sidang media pula, bekas Setiausaha Agung yang telah bertindak keluar parti lebih awal, Salehhudin Hashim, sentiasa berada bersama-sama MP yang keluar parti dan kelihatan begitu aktif di sepanjang sidang media mereka.

Beberapa Ahli Parlimen PKR masih menaruh harapan agar Ahli Parlimen Bagan Serai Mohsin Fadzli akan kembali bersikap rasional dan menolak usaha pihak ketiga yang mengumpan beliau untuk keluar parti.

Mereka menolak alasan Mohsin kononnya beliau bertindak demikian kerana membantah pendirian PKR bersabit isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

"Saya yakin pada hari ini perkara itu berlaku apabila wujudnya keadaan di mana pihak ketiga memain peranan mula memujuk atau mempengaruhi beliau bertindak demikian. Saya tidak lihat YB Bagan Serai bertindak atas kehendak atau kapasiti dia sendiri, saya tidak yakin dalam keadaan macam itu,” kata Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail, lapor TVSelangor.

“Dalam masa yang sama kenyataannya sebentar tadi mengatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan penggunaan kalimah Allah bagi bukan Islam yang merupakan pendirian, pandangan yang telah dikeluarkan oleh Keadilan mahupun Pakatan Rakyat, sekali lagi itu hak peribadi beliau sebab pandangan yang mengatakan bahawa kalimah Allah itu boleh digunakan bagi orang Kristian terutamanya itu pandangan yang dikeluarkan oleh ulama-ulama besar dunia berdasarkan al-Quran dan hadis yang dikeluarkan," kata Pengerusi PKR Perak, Mustafa Kamil Ayob.

“Mohsin ini kes dia kalau sekiranya ada masalah, tidaklah besar, saya akan cuba untuk menghubungi beliau.. mungkin beliau digoda diberi janji manis yang mana beliau termakan, jadi saya rasa ia boleh di atasi... saya akan cuba mendengar masalah beliau,” kata Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani berkata apa jua alasan yang diberikan ia merupakan satu usaha terancang.

Katanya apa juga alasan yang diberi, mereka yang bertindak keluar parti nyata seorang yang telah mengkhianati pengundi.

“Perkara ini telahpun dirangka dan dirancang, sebab itu saya tidak terperanjat dalam sesi keputihan ini perlu ada pengorbanan, rakan-rakan jelaskan bahawa kami tidak akan berganjak dari asas perjuagan parti. Yang jelas mereka yang keluar mempunyai agenda sendir, apa jua alasan mereka sekalipun.. mereka tetapi pengkhianat kepada bangsa dan agama mereka. Tetutama sekali pengundi, saya beranggap bahawa ia satu perbuatan yang telah dirangka dan dirancang dan saya tidak terkejut jika ada seorang lagi ke arah itu, tapi kami tidak melayan kerenah remeh temeh,” katanya.




Cermin Dulu Dirimu Wahai UMNO - Yusmadi

Isu permasalahan Melayu dan kepimpinan kerajaan Pulau Pinang yang dikatakan menjadi faktor Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim dan Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng meninggalkan perjuangan parti, sebenarnya merupakan dakwaan tidak tepat.

Sebaliknya pelbagai isu yang didakwa berlaku di Pulau Pinang berpunca dari kesilapan politik Umno-Barisan Nasional yang gagal menguruskan negeri itu dengan baik selama lebih 50 tahun.

Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusuf berkata bukan sesuatu yang mudah untuk membawa perubahan di Pulau Pinang selepas Pakatan Rakyat mengambilalih segala kebobrokan yang ditinggalkan rejim BN.

"Sebagai pemimpin Balik Pulau, isu yang ditimbulkan oleh Zahrain dan Tan Tee Beng menggambarkan bahawa cabaran mengurus kepimpinan politik Pulau Pinang amat sukar, bagaimana dalam masa 50 tahun pelbagai usaha, sumber, dana dan politik digunakan tetapi Umno gagal membela hak orang Melayu contohnya,'ujar beliau.

Sebaliknya kata Yusmadi Umno dan BN kini menunding jari kepada Pakatan Rakyat dengan mendakwa kerajaan Pulau Pinang gagal membela nasib melayu di negeri itu.

"Saya ingin beritahu pemimpin Umno di Pulau Pinang terutama Ketua Perhubungan Umno, Zahid Hamidi supaya cermin diri sendiri. Bagi saya jangan tipu orang Pulau Pinang, kerana orang Pulau Pinang telah cukup menderita. Sekarang mereka memberi ruang kepada kepimpinan baru dan inilah tanggungjawab saya.

"Gabungan BN telah gagal menyelesaikan masalah Melayu di Jelutong, di Balik Pulau, hari ini saya mendepani. Bagi saya apabila Umno bangun menempelak Pakatan Rakyat yang dikatakan gagal dalam masa dua tahun, itu ibarat menepuk air di dulang, terkena muka sendiri.

Menyifatkan Lim Guan Eng sebagai seorang Ketua Menteri yang bekerja kuat dan berpegang kepada asas Pakatan Rakyat yang berlandaskan prinsip keadilan, Yusmadi memberi sokongan yang tinggi kepada kepimpinan Guan Eng.

"Dalam kerencaman cabaran hari ini saya masih menaruh harapan Lim Guan Eng mampu melakukannya kerana kita tidak diasosiasikan dengan isu rasuah, isu urustadbir dan sebagainya,"katanya.

"Dengan sikap rendah diri saya Ahli Parlimen baru yang tak ada pun "track record" sebagai orang politik, saya perlu belajar kerana cabaran di Pulau Pinang itu hebat. Saya yakin di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim, insyaAllah saya boleh melakukannya," tambah beliau.

Menurut Yusmadi, dalam membawa agenda perubahan, adalah menjadi suatu perkara biasa apabila sesebuah organisasi politik berhadapan dengan masalah pimpinan dan pengurusan.

Beliau menyifatkan kedua-dua pemimpin seperti Zahrain dan Tee Beng telah "terkorban" dalam memenuhi sebuah citra politik baru.

"Sebagai seorang yang faham tentang perjuangan politik, adalah munasabah untuk sebuah parti baru selama 10 tahun dengan pencapaian sebegini hebat dan harapan rakyat yang menggunung tinggi, mengalami dan perlu sedikit pelarasan,"katanya.

"Adalah munasabah isu pengurusan lebih baik berbanding isu Umno-BN yang mengalami isu dasar, isu perkauman, isu agenda ekonomi dan sosialnya, agenda pendidikannya, yang mana telah ditolak dan memerlukan satu reformasi baru,"

"Tetapi kita di sini masih teguh dari segi dasarnya, bagi saya kalau saya mahu meyakinkan rakyat antara dua pilihan ini, pilihlah parti yang jelas dari segi dasar. Saya yakin pilihan raya akan datang rakyat boleh faham dan saya memberi keyakinan penuh untuk rakyat membuat pilihan," katanya. -SK

Pengundi Nibong Tebal Marah, Tertipu Dengan Tee Beng

keputusan Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng yang membuat keputusan keluar daripada Parti KEADILAN Rakyat dan mengumumkan dirinya sebagai Ahli Parlimen bebas disambut dengan kekecewaan dan rasa tertipu oleh penduduk kawasan Nibong Tebal.

Tee Beng yang memenangi pilihan raya umum ke-12 atas tiket KEADILAN berjaya meraih undi sebanyak 20,210 undi mengalahkan Zainal Abidin Osman daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 3,087 undi.

Jelas tindakannya dianggap menipu dan mengecewakan para pengundi Nibong Tebal yang setia menyokongnya.

Suara Keadilan menemu bual para penduduk Nibong Tebal bagi mengetahui sikap dan perasaan mereka terhadap tindakan Tee Beng itu.

Sivakami Arumugam, 25, menyifatkan Tee Beng sebagai penipu besar kerana janji beliau akan tetap bersama KEADILAN.

Namun keputusan Tee Beng, 1 Mac lalu yang memutuskan keluar parti benar-benar mengecewakan para pengundi yang menyokong beliau selama ini.

“Tan Tee Beng juga mempermainkan pengundi-pengundinya yang menyokong beliau semasa pilihan raya. Jika tiada 20,210 pengundi dan penyokong KEADILAN sudah pasti dia tidak akan merasai dan menjadi Ahli Parlimen kawasan ini,” katanya yang ditemui berhampiran pusat khidmat Tee Beng di Taman Cenderawasih, Nibong Tebal.

Bagi Raj Anthony, 54, yang juga pengundi di Parlimen Nibong Tebal berpendapat tindakan Tee Beng keluar dari parti, adalah tindakan yang kurang bijak kerana telah menghilangkan kepercayaan rakyat terhadapnya.

Jelas Raj, tindakan Tee Beng bukan sahaja merugikan penduduk Nibong Tebal malah merugikan dirinya sendiri kerana sudah pasti masyarakat tidak akan mempercayainya selepas ini, ekoran tindakan 'masuk keluar' beliau.

Sementara itu, Sharani Shuib, 45, anak jati di kawasan itu memberitahu keluarnya Tee Beng dari KEADILAN adalah episod ditunggu-tunggu oleh masyarakat disini.

"Beliau bukan sahaja tidak berguna malahan tidak memberi apa-apa kebaikan terhadap pengundinya setelah memenangi pilihan raya umum lalu,

“Semenjak menjadi Ahli Parlimen dia tak buat kerja. Beliau jarang bertemu rakyat dan boleh dikira dengan jari berapa kali dia turun padang berjumpa dengan penduduk dan bertanyakan masalah,” kata Sharani.

“Pusat khidmatpun bukannya selalu buka, kalau buka pun dia tak ada. Kalau dia keluar dari KEADILAN pun kami tak kisah. Lebih baik dia letak jawatan Ahli Parlimen dan kami boleh pilih wakil rakyat yang betul-betul sesuai dan boleh buat kerja,” tambah Sharani lagi.

Disoal sama ada tindakan Tan Tee Beng akan memberi kesan kepada pengundi dan masyarakat di Nibong Tebal, Sharani berpendapat, tindakan itu akan memberi kesan kepada masyarakat, kerana beliau hanya menjadi Ahli Parlimen bebas, pastinya tidak mempunyai dana untuk membantu masalah yang disuarakan oleh rakyat kelak.

Pendapat yang sama juga disuarakan oleh Khaw Kay Wang, 60, yang cukup marah terhadap tindakan Tee Beng keluar dari parti.

Kay Wang menyifatkan tindakan Tee Beng sebagai manusia yang tidak mengenang budi dan harus 'berambus' dari Nibong Tebal.

“Kami tak perlukan orang seperti dia, kami mahukan orang yang benar-benar boleh diharapkan. Jadi dia perlu letak jawatan dan bagi kami pilih semula orang yang betul-betul layak duduk di kerusi Ahli Parlimen,” kata Kay Wang dalam nada marah. -SK/TVS



Prinsip Ahli Politik Yang Tidak Bermaruah

Maka bermula lah… satu lagi siri “pembelian” ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN). Setakat ini tiga telah berjaya diumpan oleh Umno, manakala beberapa lagi mungkin menjadi ‘’mangsa” dalam tempoh beberapa hari lagi.

Tan Tee Beng, Zahrain Hashim dari Pulau Pinang dan yang terbaru Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai, Perak) memberi alasan mereka meninggalkan KEADILAN demi soal prinsip dan kebenaran.

Begitu juga bekas Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Sallehuddin Hashim bertindak keluar dari parti itu, juga atas soal “prinsip.”

Tidak boleh ditolak kemungkinan beberapa lagi wakil rakyat KEADILAN juga akan mengisytiharkan diri Ahli Parlimen bebas atas soal “prinsip” dalam beberapa hari yang menyusul.

Sejauh mana mereka berpegang kepada “prinsip” boleh diukur daripada keengganan mereka mengosongkan kerusi yang dimenangi menerusi mandat yang diberikan oleh pengundi kepada KEADILAN dan Pakatan Rakyat.

Retorik Zahrain, Tee Beng dan Mohsin mengenai “soal prinsip” adalah dengan sendirinya satu tindakan tidak berprinsip kerana mereka menodai hak dan mandat rakyat yang mengundi mereka KERANA mereka bertanding atas tiket KEADILAN dan Pakatan.

Mereka tunduk kepada gula-gula politik yang ditawarkan oleh Umno dan kini cuba meyakinkan rakyat menerusi arus media perdana bahawa mereka bertindak atas soal “prinsip.”

Begitulah mainan orang politik murahan (tajuk kecil) Begitu jugalah dengan Sallehudin yang menjadi orang tengah mengatur tindakan ahli parlimen berkenaan untuk lompat parti.

Sallehuddin diberi amanah untuk menjadi Setiausaha Agung KEADILAN dan sering mengajukan soal prinsip dan moral kepada akar umbi KEADILAN dalam melaksanakan tugasnya.

Namun apabila berdepan dengan keadaan tertentu, termasuk tidak mendapat jawatan yang menawarkan gaji lumayan dengan anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor, beliau bertindak keluar parti dan terus mengatur perjumpaan dengan Perdana Menteri Najib Razak.

Perjumpaan itu, sebagaimana perjumpaan Saiful Bukhari Azlan dengan Najib yang mencetuskan pertuduhan fitnah liwat kedua terhadap Anwar, memulakan satu lagi pusingan “pembelian” wakil rakyat KEADILAN.

Pusingan pertama berlaku pada awal tahun lalu, dengan pembelian tiga ADUN, dua daripada KEADILAN dan satu dari DAP yang membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Perak yang dipilih pengundi pada Mac 2008.

Kali ini sasaran Najib adalah Ahli Parlimen, persoalanya – kenapa? (tajuk kecil) Sidang Parlimen akan bermula dalam tempoh dua minggu dan Umno-Barisan

Nasional (BN) sedang cuba sedaya upaya untuk mendapatkan semula majoriti dua pertiga dalam Dewan Negara.

Antara lain ia adalah untuk membawa usul supaya Suruhanjaya Pilihanraya mengadakan persempadanan semula untuk kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Proses “gerrymandering” atau memanipulasi sempadan kerusi pilihanraya adalah taktik biasa yang digunakan oleh Umno apabila parti itu dalam keadaan terdesak untuk memenangi pilihanraya.

Namun usul di Parlimen itu hanya boleh diluluskan jika Umno-BN mendapat sokongan dua pertiga di Parlimen.

Pada ketika ini, parti itu belum mencapai “angka keramat” 148. Umno-BN hanya mempunyai 137 kerusi, tidak termasuk sokongan Ahli Parlimen “bebasnya” Ibrahim Ali.

Oleh kerana itu KEADILAN di jadikan sasaran terjahan untuk membel seberapa banyak Ahli Parlimen bagi membolehkan Umno-BN kembali kepada cara lama untuk meluluskan udang-undang dan pindaanbagi memenuhi agenda politik sempitnya.

Jika laman-laman web dan wawancara “off the record” oleh sesetengah wakil rakyat dijadian sandaran, harga untuk membeli ahli-ahli parlimen KEADILAN berkisar antara lima hingga sepuluh juta ringgit – satu pulangan yang lumayan untuk wakil rakyat berkenaan pabila “prinsip dan maruah’ diketepikan.

Ada Ahli Parlimen yang dikatakan sudah menerima tawaran lumayan itu dan bertindak memindahkan keluarga mereka ke London – kerana bimbangkan reaksi masyarakat yang sebelum ini mempercayai kata-kata mereka untuk melawan rasuah dan politik wang habis-habisan. Harapkan pagar, pagar makan padi.

Taktik untuk keluar parti adalah yang digunakan oleh Tee Beng, Zahrain dan Mohsin – hampir sama iaitu melahirkan kritikan pedas terhadap pucuk pimpinan KEADILAN atau Pakatan Rakyat dan kemudian angkat kaki atas alasan parti telah hilang hala tuju perjuangan.

Hakikatnya juga ialah KEADILAN masih kuat kerana adanya wakil-wakil rakyat seperti Saifuddin Nasution dan Azan Ismail yang diperlawa berulang kali untuk keluar KEADILAN dengan disogok jauh lebih banyak habuan daripada yang ditawarkan kepada mereka yang termakan umpan Umno.

Hakikatnya ialah KEADILAN tetap menjadi harapan kerana mempunyai generasi kepimpinan muda seperti Yusmadi Yusuff, Shamsul Iskandar Mohamad Akin dan Badrul Hisham Shaharin yang masih mendokong kuat perjuangan parti.

Hakikatnya juga adalah Anwar tetap mendapatkan sokongan bulat rakan sekutu Pakatan Rakyat iaitu DAP dan PAS untuk terus menjadi Ketua Pembangkang.

Lucunya, media arus perdana sebelum ini membidas KEADILAN kerana dikatakan mempunyai wakil rakyat yang tidak berkemampuan dan diselubungi pelbagai masalah. Dan kritikan itu sering merujuk kepada sipolan-sipolan bernama Zahrain Hashim, Tan Tee Beng dan Fairuz Khairuddin serta Mohsin Samsuri.

Anehnya apabila mereka bertindak keluar dari KEADILAN, media arus perdana kini mendakwa parti itu dalam keadaan krisis. Itulah tahap kewartawanan RTM, TV3, Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times dan The Star, – semuanya yang di kawal oleh Umno dan parti komponen Barisan Nasional. -FMT



Cuma Kini Tinggal Seorang Lagi

Desas- desus menyatakan ada kemungkinan seorang lagi ahli Parlimen akan meninggalkan PKR iaitu MP Wangsa Maju Wee Choo Keong.

Ini adalah kerana Wee tidak menyertai kumpulan 12 orang MP PKR yang menyatakan ikrar akan terus menyokong ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin Pakatan Rakyat. Pagi ini Ahli Parlimen Bagan Serai Mohsin Fadzli Samsuri telah bertindak keluar parti dengan alasan perjuangan dan matlamat politik PKR dan gagasan Pakatan Rakyat khususnya dalam mengembalikan politik dan kedaulatan Islam.

Wee Chee Keong sebelum ini dikatakan berkemungkinan akan dikenakan tindakan disiplin ekoran tindakannya mengkritik Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail pernah menyatakan, Wee berkemungkinan besar akan dirujuk ke jawatankuasa disiplin sama seperti beberapa pemimpin PKR lain yang mengkritik Setiausaha Agung DAP itu.

"Kami akan membincangkan mengenai tindakan yang dibuat oleh Wee baru-baru ini pada mesyuarat biro politik PKR akan datang," katanya.

Wee bertindak mengkritik Lim dengan mendakwa beliau menganaktirikan PKR di Pulau Pinang.

Wee mengeluarkan kenyataan itu untuk menyokong pemimpin PKR seperti Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim yang mencemuh Lim dan kedua-duanya telah meninggalkan PKR.

Tan menegur Lim kerana "bermain politik yang bertaraf rendah dan penuh dendam", manakala Zahrain melabelnya seorang 'diktator, cauvinis dan berfikiran komunis'.

Wee berkata, adalah tidak adil mengambil tindakan disiplin terhadap pemimpin PKR yang meluahkan kekecewaan mereka.

Walhal katanya, tiada apa-apa tindakan diambil terhadap pemimpin DAP tertentu memburuk-burukkan pemimpin PKR yang lantang bersuara.

Wee berkata, beliau akan tetap mempertahankan komen dan kritikan yang dibuat.

Zulkifli Noordin, Ahli Parlimen Kulim Baru Bandar sekalipun belum menandatanganai ikrar berkenaan tetapi telah menyatakan semalam bahawa beliau tidak akan keluar PKR.

Tarik Balik Sokong Usul Royalti : Tindakan ADUN BN Kelantan Pengecut

Semua enam ADUN Umno/BN tidak mengundi menyokong usul untuk membawa kes tuntutan royalti minyak kepada Kelantan ke mahkamah ketika ia dibentangkan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Isnin lalu.

Ketua Pembangkang, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad (gambar) berkata, kesemua mereka tiada di dalam dewan ketika usul itu diluluskan pada sebelah petangnya.

Sebaliknya, Alwi berkata, mereka menyokong usul itu dibahaskan untuk membawa tuntutan ke mahkamah ketika ia dibentangkan untuk perbahasan pada sesi pagi.

Katanya, ADUN Umno/BN bersetuju usul asal itu dibahaskan kerana berpendapat ia adalah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Menurutnya, ini kerana ia berpunca daripada tafsiran undang-undang yang berbeza oleh pihak kerajaan pusat dan negeri sehingga ia dipolitikkan.

Tetapi, kata Alwi, sewaktu perbahasan, mereka tidak menyokong tambahan usul yang dikemukakan oleh ADUN Pulau Chondong, Zulkifli Mamat yang meminta supaya Petronas membuat pembayaran secepat mungkin.

Berikutan itu, jelasnya, kesemua ADUN Umno/BN tidak mengundi menyokong usul dengan tambahan tersebut kerana mereka tidak hadir di dewan.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan menyelar keputusan DUN Kelantan untuk membawa usul tuntutan royalti minyak terhadap kerajaan pusat ke mahkamah.

Beliau dilaporkan berkata tindakan itu adalah tidak wajar kerana terdapat saluran lain yang boleh digunakan dalam menyelesaikan isu itu.

Hishammuddin juga dilaporkan berkata tindakan mungkin akan ambil tindakan terhadap ADUN BN yang dilaporkan menyokong usul tersebut.

Mengulas mengenainya, Alwi berkata, sebenarnya usul itu tidak disokong sebulat suara oleh ahli dewan. DUN Kelatan mempunyai 45 ADUN termasuk enam dari Umno/BN.

Sebaliknya, kata Alwi, hanya 39 ADUN - kesemuanya dari Pakatan - yang mengundi menyokong usul berkenaan. -malaysiakini

Ulasan GB

Amat ketara ADUN BN Kelantan Pengecut dan terpaksa tunduk kepada tekanan pihak lain iaitu UMNO Pusat kerana khuatir akan dikenakan tindakan ekoran dari ugutan yang dikeluarkan oleh Naib Presiden UMNO, Hishamuddin Tun Hussein.



Inkues Teoh : Dr Porntip Beri Keterangan 19 April

Dr Pornthip Rojanasunand, (gambar) yang memberi keterangan sebagai saksi pada Oktober lalu dalam inkues Teoh Beng Hock akan sekali lagi menjadi saksi pada 19 April depan.

"Ya, beliau akan memberi keterangan pada 19 April," kata Gobind Singh Deo, peguam bela keluarga Teoh, apabila dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau memberitahu Dr Pornthip merupakan satu-satunya saksi yang akan dipanggil oleh keluarga Teoh atau kerajaan negeri Selangor untuk memberi keterangan.

Teoh, pembantu peribadi kepada exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, dijumpai mati di Tingkat 5, Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 16 Julai lalu selepas semalaman disoal siasat dan didera oleh pegawai-pegawai SPRM.

Kerajaan negeri Selangor mendapatkan khidmat Dr Pornthip, pengarah Pusat Institusi Sains Forensik berpengkalan di Bangkok untuk meneliti laporan bedah siasat pakar pathologi kerajaan, Dr Khairul Azman ibrahim dan Dr Prashant Naresh Samberker.

Seorang Saja Lagi Keluar PKR, 12 Lain Lafaz Taat Setia

Di saat Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri mengumumkan keluar dari PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas, 12 Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat pula tampil menyatakan komitmen mereka untuk terus mendokong perjuangan parti.

Tindakan itu sekaligus menafikan momokan kononnya lebih ramai ahli parlimen PKR akan meninggalkan parti itu.

"Kami mengambil ketetapan sekeras- kerasnya menolak dakwaan kami akan meninggalkan parti seperti mana yang dispekulasikan pihak- pihak tidak bertanggungjawab untuk menggugat kesatuan dan perpaduan dalam Keadilan," kata Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas kepada media di ibu pejabat KEADILAN di Tropicana di sini pagi ini

Selain Kamarul, 11 MP yang lain yang menyatakan taat setia kepada parti ialah:


Ahmad Kassim (Kuala Kedah),
Azan Ismail (Indera Mahkota),
Abdullah Sani (Kuala Langat),
Abdul Aziz Abdul Kadir (Ketereh),
Yusmadi Yusoff (Balik Pulau),
S Manikavasagam (Kapar),
N Gobalakrishnan (Padang Serai),
Rashid Din (Merbok),
Loh Gwo-Burne (Kelana Jaya),
Amran Ab Ghani (Tanah Merah) dan
Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan).

Mereka turut menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum PKR dan Ketua Pembangkang.

Mohsin yang kononnya hilang keyakinan terhadap perjuangan dan matlamat politik PKR dan gagasan Pakatan Rakyat mengumumkan keputusannya dalam satu sidang akhbar yang ditemani oleh bekas setiausaha agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim di Ampang hari ini.

Mohsin memberitahu sidang media di sini bahawa beliau hilang keyakinan terhadap perjuangan dan matlamat politik PKR dan gagasan Pakatan Rakyat khususnya dalam mengembalikan politik dan kedaulatan Islam.


Mohsin Fadzli Samsuri yang mengikut jejak langkah Datuk Zahrain Mohd Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin yang turut mengumumkan keluar parti sebelum ini.

Mengenai soal Ketua Pembangkang, DAP dan Pas sebelum ini telah menyatakan akan terus menyokong Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang dan bakal Perdana Menteri setelah Pakatan Rakyat (PR) berjaya memerintah negara.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, DAP sentiasa memberikan sokongan padu kepada Anwar berhubung kepimpinannya dalam PR sebagai Ketua Pembangkang.

Menurutnya, Anwar akan terus menjadi Ketua Pembangkang meskipun Ahli Parlimen PKR kurang daripada 28 ahli jumlah yang kini dimiliki DAP.


“DAP juga mahu Anwar terus kekal sebagai Ketua Pembangkang sehingga menjadi bakal Perdana Menteri apabila mereka menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

“Apa yang berlaku di PKR adalah proses pembersihan yang dilihat perit tetapi amat diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Sementara itu, Pas dalam satu kenyataan media kelmarin menyatakan semua Ahli Parlimennya menyatakan sokongan padu kepada kepimpinan Anwar.

Ahli Parlimen parti itu sepakat untuk terus melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya umum yang lalu.

“Kami kekal yakin dengan perjuangan dan kepimpinan parti-parti Pakatan Rakyat dan akan meningkatkan lagi usaha-usaha kami dikalangan masyarakat dan di Dewan Rakyat yang akan mula bersidang pada 15 Mac ini,” menurut kenyataan itu lagi.



Ahli Parlimen Bagan Serai Pula Keluar PKR

Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebentar tadi dan menjadi wakil rakyat Bebas serta merta.

Beliau membuat pengumuman itu dengan dihadiri oleh bekas Setiausaha Agong PKR, Datuk Sallehuddin Hashim sebentar tadi.

Desas-desus bahawa Ahli Palimen Bagan Serai itu akan meninggalkan PKR telah lama tersebar luas iaiatu semenjak pertengahan tahun lepas dimana beliau dikatakan ada masalah dengan Ketua Bahagiannya.

Mohsin, yang menang di kerusi tersebut atas tiket Parti Keadilan Rakyat adalah wakil rakyat ketiga yang keluar dari PKR, selepas Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng dan Ahli Parlimen Bayan Baru Zahrain Hashim.

Mohsin Fadzli Samsuri merupakan Ahli Parlimen Bagan Serai, Negeri Perak dari Parti Keadilan Rakyat. Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 beliau mengalahkan calon dari Barisan Nasional - UMNO, Datuk Zainal Abidin Zin dengan majoriti sebanyak 3,413 undi. Beliau memperolehi 18,943 undi berbanding lawannya memperolehi hanya 15,530 undi.

Hancur Wariyo .. Zainal Sakom Gadaikan Tanah YBK Kepada Bank

Kerajaan Negeri Selangor mendedahkan Permodalan Yayasan Basmi Kemiskinan (PYBK) telah menggadaikan tanah pemberian kerajaan negeri bernilai RM100 juta kepada sebuah bank.

Antara pengarah PYBK yang meluluskan cagaran itu ialah Datuk Zainal Abidin Sakom, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) Batang Kali dan juga pengerusi YBK.

Lebih mengejutkan ialah ketika menerajui YBK, Zainal turut menjadi pemegang saham utama dalam sebuah syarikat swasta yang dilantik untuk memajukan tanah-tanah yang diberikan kerajaan negeri.

Semua butir-butir itu terkan-dung dalam laporan mengenai YBK yang selama ini disimpan daripada pengetahuan awam atas alasan ia disimpan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri menggunakan kuasa-kuasanya untuk mendedahkan semua maklumat mengenai YBK kepada orang ramai.

Beliau berkata, mesyuarat exco terkejut apabila dimaklumkan PYBK bukan dimiliki sepenuhnya olehYBK tetapi juga oleh sekurang-kurangnya dimiliki dua syarikat lain.

“YBK hanya memiliki 12,500 unit saham dalam PYBK,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Selangor pada 24 Februari lalu.

Menurut beliau, pemegang saham lain, Prihatin Ehsan Holding Sdn Bhd memiliki 6,200 unit saham manakala Fajar Synergy Sdn Bhd memiliki 6,250 unit saham.

Ketika menjadi pengerusi YBK dan pengarah PYBK, Datuk Zainal Abidin turut menjadi pengarah syarikat Prihatin Ehsan Holding Sdn Bhd yang memajukan tanah-tanah kerajaan negeri yang diberikan kepada yayasan itu.

Dua pemaju dilantik oleh kerajaan Umno-BN pada 8 Mac 1995 untuk memajukan 2165 ekar tanah berkenaan iaitu syarikat Tenaga Ehsan Sdn Bhd dan Shah Alam Properties Berhad.

“Pengerusi YBK Zainal Sakom didapati memiliki majoriti saham dalam sebuah syarikat yang dilantik sebagai pemaju tanah iaitu syarikat Tenaga Ehsan. Maklumat ini antara maklumat penting yang akan didedahkan secara berperingkat menerusi kertas putih yang telah kita janjikan,” katanya.

Khalid juga berkata, kerajaan negeri mahu mendapatkan penjelasan mengenai urusniaga tertentu yang dikendalikan bersabit tanah yang disumbangkan oleh kerajaan negeri.

“Mesyuarat exco berpendapat, penemuan-penemuan mengenai milikan saham dan pelantikan pengurus projek pembangunan tanah perlu diperjelaskan kepada kerajaan negeri untuk mengetahui jika PYBK diuruskan dengan baik oleh YBK,” tegas Menteri Besar lagi.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak ini turut menegaskan maklumat mengenai urustadbir dan YBK akan terus didedahkan secara berperingkat.

“Semua maklumat mengenai pengurusan YBK ini sangat penting kerana ia melibatkan harta kerajaan negeri yang telah diserahkan kepada YBK dan sekutunya untuk program basmi kemiskinan. Kerajaan negeri menegaskan pengurusan harta milik YBK perlu dibuat secara telus dan bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Yaakob Sapari menyifatkan tindakan tegar Zainal menggadai tanah milik kerajaan negeri kepada bank bagi memenuhi keinginan peribadi beliau bersama teman segandingnya sebagai perbuatan khianat kerana melanggar syarat yang ditetapkan kerajaan negeri sebelum ini.

Beliau juga menyifatkan keengganan yayasan itu mendedahkan laporan audit kewangannya membuktikan sikap tidak bertanggungjawab beliau terhadap amanah yang digalas.

Justeru, Yaakob menggesa YBK bersifat profesional dalam isu ini dan tidak berfikiran politik sempit yang mana hanya akan merugikan rakyat. -SK

Ahli Parlimen For Sale

Petikan Dari harakahdaily: Menjelang PRU 13

Kini, menjelang pilihan raya umum ke 13, Umno dan pakar-pakarnya sedang menyusun semula strategi untuk persempadanan semula kawasan pilihan raya . Tanpa kuasa dua pertiga Parlimen, ia tidak akan berjaya. Maka datanglah usaha ini, membeli seramai mungkin wakil rakyat Pakatan Rakyat.

Menurut Raja Petra, "Orang di belakang 'shoping spree' membeli anggota Parlimen Pakatan Rakyat ini adalah Hamdan, sepupu Najib, yang telah diberikan Kudat IPP sebagai 'cash cow' untuk membiayai 'shoping spree' ini."

Menurut Raja Petra, Hamdan bekerja rapat dengan Special Branch (Cawangan Khas) dan Military Intelligence (Penyiasat Tentera).

"Orang hubungan beliau di Bukit Aman adalah Akril Sani manakala dalam Military Intelligence adalah Datuk Salleh," tulis Raja Petra.

"Nombor telefon Hamdan adalah +6012-279-5945," tulis Petra lagi.

Menurutnya, Hee Yit Fong, Adun DAP Perak yang meninggalkan partinya dibayar RM25 juta kerana peranan beliau untuk menjatuhkan kerajaan negeri Perak.

Namun, katanya, Tan Tee Beng, anggota Parlimen PKR dari Pulau Pinang yang baru sahaja keluar dari PKR dibayar hanya RM2 juta sahaja. -misaimerah

Bawa Isu Royalti Ke Mahkamah, Menteri-menteri UMNO Berputar-belit

BBawa Isu Royalti Minyak Ke Mahkamah Tidak Wajar - Hishammuddin

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada hari Selasa menyelar keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan untuk membawa usul tuntutan royalti minyak terhadap kerajaan pusat ke mahkamah.

Beliau berkata tindakan itu adalah tidak wajar kerana terdapat saluran lain yang boleh digunakan dalam menyelesaikan isu itu.

"Bagi saya mereka ini melihat isu royalti ini dalam konteks polemik dalaman atau luaran dan saya rasa ini adalah tidak wajar.

"Kita dalam konteks parti Barisan Nasional (BN) dan Umno telah membuat pendirian yang jelas bahawa apa yang tidak faham, gunakan saluran yang sedia ada untuk fahamkan diri sendiri," katanya kepada pemberita selepas Program Pemantapan Petugas Menangani Jenayah di Kota Damansara dekat sini.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata demikian ketika mengulas keputusan sidang DUN Kelantan semalam yang sebulat suara meluluskan usul membawa tuntutan royalti minyak ke mahkamah.

Usul itu dipersetujui oleh semua wakil kerajaan negeri dan beberapa anggota pambangkang termasuk ketuanya, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) dan Datuk Abdul Aziz Derashid (BN-Kuala Balah).

"Kita mungkin akan ambil tindakan terhadap mereka (anggota BN DUN Kelantan) dan akan dapatkan pandangan dari ahli-ahli parti di peringkat akar umbi untuk selesaikan kedudukan mereka yang timbulkan isu sensasi (royalti minyak) ini," tambahnya.

Sementara itu, mengulas mengenai isu lompat parti yang melanda pemimpin dan anggota dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), beliau menasihatkan agar setiap ahli Umno dan BN supaya tidak terlalu gembira menerima berita itu.

Beliau berkata apa yang berlaku dalam PKR jelas menunjukkan bahawa untuk memerintah sesebuah negeri bukan perkara yang mudah kerana ia melibatkan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat.

"Apa yang berlaku dalam PKR jangan melalaikan kita...jangan mengizinkan kita leka dalam agenda yang telah kita umumkan pada rakyat.

"Perkara yang telah dijanjikan kepada rakyat untuk membuat tranformasi dalam parti, ianya tidak bergantung kepada kedudukan parti lawan," kata Hishammuddin ketika mengulas mengenai bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin yang mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menyertai Umno, Ahad lepas.

Mohammad Fairus, yang juga bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Penanti, berkata keputusannya keluar dari PKR adalah kerana sudah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap para pemimpin parti itu terutamanya dalam perkara yang membabitkan Islam dan Melayu. -- BERNAMA


Nazri cabar Kelantan bawa isu royalti ke mahkamah

KUALA LUMPUR, Dis 8 — Kerajaan PAS Kelantan dicabar membawa kes tuntutan royalti minyak ke mahkamah daripada berbuat sesuatu yang bersifat retorik dan tidak boleh membawa perubahan kepada status quo.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, membawa isu tuntutan itu ke mahkamah merupakan langkah paling tepat berbanding usaha retorik iaitu Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berdoa yang bukan-bukan terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat.

“Saya pun hairan mengapa mereka tak bawa kerajaan pusat ke mahkamah... daripada mereka buat benda-benda yang tidak boleh datangkan apa-apa perubahan kepada status quo, baik pergi ke mahkamah terus.

“Daripada berdoa yang bukan-bukan...minta diturunkan bala ke atas Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang saya kira itu kerja bodoh. Baik terus bawa ke mahkamah kerana itu lebih dapat menyelesaikan masalah dan bukannya retorik sahaja,” kata beliau dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai tindakan kerajaan negeri Kelantan yang dilihat lebih berunsurkan retorik berhubung isu tuntutan royati minyak selepas melancarkan Ensiklopedia Hansard Parlimen terbitan Yayasan Pembangunan Buku Negara dan Penerbitan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di lobi Parlimen hari ini.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS sebelum ini dilaporkan mendoakan supaya pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) yang bertanggungjawab tidak memberi royalti minyak supaya “pecah perut” sebagai reaksi terhadap keengganan Kerajaan Persekutuan menyerahkan bayaran royalti minyak kepada Kelantan, sebaliknya sekadar memberikan wang ihsan.

Pada Nov 4 lalu Najib mengumumkan pembayaran wang ihsan daripada kerajaan pusat kepada Kelantan yang bermula tahun depan.

Ditanya apakah kerajaan yakin akan memenangi kes tersebut sekiranya dibawa ke mahkamah, Nazri yang juga Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata, kerajaan yakin keputusan untuk tidak memberikan royalti adalah menepati kehendak undang-undang tempatan mahupun antarabangsa dan untuk itu beliau yakin kemenangan akan memihak kepada kerajaan.

Beliau berkata, dakwaan pemimpin negeri Kelantan dan pembangkang bahawa hak royalti minyak Kelantan dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan adalah sama sekali tidak benar kerana Perlembagaan hanya menyatakan royalti untuk negeri Sabah dan Sarawak sahaja.

“Sabah dan Sarawak sebelum ini mendapat 100 peratus daripada hasil minyak yang dikeluarkan dari dalam perairan mereka.

Itu sebelum mereka masuk Malaysia (penubuhan Malaysia).

Tetapi selepas menyertai Malaysia, dua negeri itu terpaksa korbankan 95 peratus hasil minyak mereka.

“Kita kena hargai pengorbanan Sabah dan Sarawak. Sebab tu kepada dia, kita (kerajaan) kata royalti. Kita perlu hargai pengorbanan yang dibuat ini dengan menjamin hak royalti minyak sebanyak lima peratus kepada Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan. Tapi bagi negeri-negeri di Semenanjung, tidak ada minyak ditemui sebelum kita mencapai kemerdekaan pada 1957. Jadi hormatlah pengorbanan mereka,” katanya.

Berdasarkan faktor tersebut Nazri berkata, beliau cukup yakin yang mahkamah tidak akan sama sekali memihak kepada kerajaan

Kelantan walaupun kes ini dibawa ke mahkamah antarabangsa. Menurutnya lagi, setiap negara berdaulat hanya diberi 12 batu nautika sebagai perairan wilayah. Justeru itu, katanya, apa hak kerajaan negeri untuk menuntut lebih daripada 12 batu nautika.

Berhubung kenyataannya terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mengenai Biro Tata Negara (BTN) yang menimbulkan reaksi kurang senang pelbagai pihak, malah ada yang mahukan beliau meminta maaf dan menarik balik kenyataan itu, Mohamed Nazri berkata, beliau tetap berdiri teguh dengan apa yang dikatakannya dan tidak perlu meminta maaf.

“Saya berdiri teguh dengan apa yang saya katakan. Saya menteri bagi semua rakyat Malaysia. Rakyat yang mengundi saya sebagai anggota Parlimen adalah daripada pelbagai kaum. Saya tidak boleh bersetuju kalau satu kursus yang peruntukannya begitu tinggi hanya digunakan untuk satu komuniti sahaja.”

Mohamed Nazri dalam kenyataannya semalam berkata, beliau tidak bersetuju dengan pandangan Dr Mahathir bahawa kursus BTN tidak perlu dirombak.

Dr Mahathir dilaporkan berkata, modul latihan BTN yang sedia ada tidak perlu dirombak kerana ia sesuai untuk menyemai semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia.

“Jadi kalau kursus hanya digunakan untuk satu komuniti sahaja, saya tidak bersetuju dan berdiri teguh dengan apa yang saya katakan. Patriotisme adalah untuk semua. Negara Malaysia ini adalah untuk semua Malaysia,” kata Mohamed Nazri.-MI


Ulasan GB

Bila Kerajaan Kelantan menyahut cabaran Nazri Abdul Aziz bahawa rakyat Kelantan akan membawa isu royalti ke mahkamah, tiba-tiba Menteri KDN menyelar keputusan rakyat Kelantan itu.

Malah Hishamuddin siap bagi ugutan kepada ADUN-ADUN BN yang menyokong usul dari Kelantan berkenaan.

Rakyat semakin membuka mata menteri-menteri era Najib sebagai PM ini jenis cacamarba. 1UMNO tak dapat diwujudkan dikalangan menterinya sendiri, inikan pula nak wujudkan 1Malaysia.

RM300 juta Untuk Menggodam Blog Dan Lamanweb Pro-PR

Sebagai langkah untuk mengekang pengaliran maklumat dari blog dan laman web pro-Pakatan Rakyat, Umno dipercayai mengguna lebih RM300 juta dana awam untuk mengupah sekumpulan 300 penggodam komputer yang dibawa khas dari India.

Chennai dikenali sebagai pusat teknologi maklumat terkenal di India yang menempatkan banyak syarikat antarabangsa termasuk yang berhubung kait dalam pembangunan perisian berteknologi tinggi.

Sumber-sumber memberitahu bahawa gerombolan penggodam komputer dari India akan dibayar elaun khidmat kepakaran yang mencecah lebih RM100,000 setiap orang, perumahan dan kereta percuma.

“Mereka yang diupah mempunyai kepakaran menggodam sistem komputer dan laman web. Tugas mereka diklasifikasikan sebagai ‘top secret’ dan di bawah pengawasan terus pejabat Perdana Menteri.

“Kumpulan ini akan digembleng sepenuhnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 bagi merosakkan sistem perisian yang dipakai oleh Pakatan Rakyat,” kata sumber.

Langkah mengawal blog dan laman web pro-Pakatan Rakyat telah digerakkan dengan lebih serius sejak kekalahan teruk Umno dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-12, dua tahun lalu.

Antara langkah awal termasuk mengupah lebih 300 blogger yang berkhidmat di bawah Jabatan Hal Ehwal Khas, satu unit propaganda di bawah kelolaan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Setiap blogger dibayar elaun sebanyak RM3,000 sebulan, yang antara lain memantau blog dan laman web Pakatan Rakyat di samping menyebarkan bahan berita berunsur propaganda dan fitnah untuk memburuk-burukkan imej pemimpin KEADILAN, PAS dan DAP.

Di samping itu, Umno juga mendapatkan khidmat blogger pro-Umno untuk menulis pelbagai propaganda terutamanya berhubung isu- isu berkaitan agama dan kaum.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bekerjasama untuk memantau beberapa blog dan laman web yang menyentuh perkara-perkara sensitif di negara ini.

Bagaimanapun timbul persoalan mengapa pihak KDN dan SKMM berdiam diri atau menutup sebelah mata terhadap puluhan blog dan laman web pro-Umno yang secara terang menimbulkan isu sensitif bersabit agama dan perkauman. -FMT

Beli Ahli Parlimen, UMNO BN Kian Terdesak

Perbuatan membeli Ahli Parlimen yang galak dilakukan Barisan Nasional (BN) semata-mata bagi memperoleh mandat dua pertiga dalam Parlimen bukan sahaja tidak bermoral bahkan bertentangan dengan semangat demokrasi.

Pujukan dengan menyogok wang ringgit menunjukkan Umno BN terdesak untuk memenangi pilihan raya umum akan datang melalui proses gerrymandering atau memanipulasi komposisi pengundi di sesebuah setempat.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail yang pernah mengalami pengalaman itu tapi teguh dalam perjuangan menyifatkan perbuatan Umno Bn itu, mengancam keutuhan demokrasi berparlimen.

Malaysia Today hari ini mendedahkan proses membeli Ahli Parlimen Pakatan Rakyat didalangi Hamdan, sepupu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Hamdan dikatakan bekerjasama rapat dengan Cawangan Khas dan Penyiasat Tentera.

Blog itu mendakwa Hamdan telah dianugerah Kudat IPP bagi membiayai proses pembelian pemimpin Parti Keadilan rakyat.

"Ini adalah satu tindakan yang cukup berbahaya. Kita ada sistem demokrasi, jadi kita kena pulangkan kepada rakyat. BN mempermainkan rakyat dengan mempergunakan teknik membeli ahli parlimen.

"Motifnya cuma satu. Untuk supaya cukup majoriti dua pertiga dan ubah persempadanan pilihan raya. Tujuan untuk apa? Untuk menang pilihan raya," kata Azan kepada TV Selangor.

Azan juga menganggap situasi itu meletakkan rakyat sebagai mangsa percaturan politik Umno BN yang rakus untuk mengekal kuasa yang semakin menjauh.

"Amat malanglah kepada rakyat negara malaysia kalau institusi legislatif, legislator, pembuat dasar dalam parlimen dibenarkan memasuki unsur yang sangat tidak bermoral dengan wang," katanya.

"Kita ini kalau nak berkuasa dalam negara kita kena pulangkan kuasa kepada rakyat. Itulah namanya demokrasi," kata beliau.

Prestasi PAS Merosot Pada PRU13 Kerana Harakahdaily?

Rakyat mungkin tidak asing dengan teori 3M, iaitu Money (wang), Machinery (jentera kerajaan) and Media yang memenangkan Barisan Nasional dalam semua pilihan raya umum (PRU) yang lalu. Bagaimanapun, teori 3M ini hampir gagal, apabila internet menembusi gelanggang media pada PRU ke-12, membawa impak "tsunami" kepada politik tanahair Malaysia.

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Abdullah Ahmad Badawi akhirnya terpaksa mengakur, bahawa media internet merupakan punca kekalahan BN yang dipimpininya dalam PRU ke-12. Jelas, perang siber pada PRU ke-12 memihak kepada PKR, PAS dan DAP yang kemudiannya membentuk Pakatan Rakyat. Persoalannya, apakah kecenderungan ini akan berlanjutan sehingga PRU ke-13, menyaksikan kemenangan PR secara besar-besaran; ataupun PR bakal termakan dengan senjata ini?

Zulkifli Sulong, Ketua Pengarang Harakah Daily membuat ramalan bahawa prestasi PR bakal menurun, seandainya PRU ke-13 diadakan pada hari esok, ketika berucap dalam forum berjudul "Media: Kuasa politik baru PRU ke-13", anjuran bersama oleh Gerakan Muslimah Sejagat (GEMS) dan Free Public Forum di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, beberapa hari lepas.

Selain Zulkifli Sulong, ahli panelnya termasuk Abu Hassan Hasbullah, pensyarah kajian media Universiti Malaya dan Fathi Aris Omar, Ketua Pengarang Malaysiakini. Forum ini dipengerusikan oleh Nurul Suhadah, menarik kehadiran kira-kira 50 orang.

Harakah menangkis propaganda "Tengkolok"

Zulkifli Sulong, yang juga bekas Ketua Pengarang Harakah, berkongsi pandangan sejauh manakah kepentingan lidah parti, khususnya terhadap parti pembangkang dalam konteks Malaysia, yang mana media arus perdana dikuasai sepenuhnya oleh parti pemerintah.

Menurut Zulkifli Sulong, Harakah, lidah parti PAS yang mula diterbitkan pada tahun 1987, telah memenangkan PAS di Kelantan, menyapu bersih kerusi yang dipertandingkan di Kelantan bersama Semangat 46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah pada PRU tahun 1990.

Ketika itu, UMNO Baru di bawah pimpinan Mahathir Mohamad berada dalam keadaan yang terdesak, sehingga terpaksa memainkan isu "tengkolok Tengku Razaleigh" untuk menumpaskan musuh politik sebelum hari pengundian. Walau bagaimanapun, Zulkifli Sulong mendakwa Kelantan "terselamat" daripada serangan propaganda tersebut, kerana Harakah sempat membalasnya dengan menyiarkan gambar Mahathir yang pernah memakai tengkolok yang sama ketika melawat ke Malaysia Timur.

Dalam PRU ke-10 pula, PAS berjaya menyapu 27 kerusi parlimen, di samping menguasai dua kerajaan negeri, iaitu Kelantan dan Terengganu. Lantaran daripada pemecatan Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998, yang mencetuskan gelombang "Reformasi", pengedaran Harakah mencecah kemuncaknya, iaitu 380,000 naskah untuk satu keluarannya.

Persempadanan semula kawasan pengundian

Walau bagaimanapun, melihat kepada kecenderungan jatuh-naiknya prestasi PAS, Zulkifli Sulong menjangkakan prestasi parti tersebut akan menurun pada PRU ke-13, seandainya diadakan dalam masa terdekat ini. Malah, beliau mengingatkan bahawa persempadanan semula kawasan pengundian akan dilakukan untuk mengurangkan kerusi PR.

Beliau mengambil contoh PRU tahun 1999, yang menyaksikan sokongan Melayu-Islam kepada Barisan Alternatif. Maka, persempadanan kawasan pengundian dibuat sebelum PRU tahun 2004, untuk memasukkan pengundi bukan Melayu ke dalam kawasan pengundian, sebagai taktik menambah undi kepada BN. Antaranya, dua orang pemimpin PAS, Mohamad Sabu yang bertanding di Kuala Kedah, dan Mahfuz Omar yang bertanding di Pokok Sena telah menjadi mangsa kepada taktik tersebut, dakwa Zulkifli Sulong.

Justeru itu, Zulkifli Sulong mendakwa bahawa UMNO kini cuba mendapatkan kerusi daripada PKR dan PAS, dengan mendendangkan retorik "perpaduan Melayu", agar mereka memperolehi semula majoriti dua pertiga dalam parlimen, lantas memberi laluan kepada persempadanan semula kawasan pengundian. Beliau berharap agar PAS tidak terperangkap oleh UMNO dalam permainan ini.

Superman adalah wartawan

Abu Hassan Hasbullah pula memulakan ucapannya dengan mengimbas sejarah bagaimana kerajaan/regim dalam tamadun manusia dijatuhkan oleh kuasa media, sambil berseloroh bahawa watak hero (wira) yang ditayangkan zaman kini seperti superman dan spiderman, adalah wartawan.

Malah, beliau menyajikan data daripada sekumpulan penyelidik di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menolak andaian bahawa media baru (internet) dilihat sebagai negatif dan media primitif (tradisional, seperti cetakan dan elektronik) lebih dipercayai. Malah, beliau begitu optimis terhadap zaman teknologi maklumat, bahawa media baru bakal bangkit tanpa boleh dihalang oleh sesiapapun.

Abu Hassan Hasbullah juga berkongsi pengamatan dan pengalaman dirinya, dalam proses bagaimana media baru telah membawa perubahan dalam demokrasi. Untuk berdepan dengan media baru, beliau menekankan bahawa arus sedemikian "tidak boleh" dan "jangan (di-)halang". Mereka yang berbeza pendapat bakal bangkit dan menyanggah sesuatu pandangan yang lain.

Beliau juga menceritakan bagaimana media primitif kehilangan kredibilitinya, dengan menunjukkan data bahawa kajian mendapati 73% kanak-kanak yang berusia antara 6 hingga 12 tahun berminat terhadap perbuatan sodomi kerana ingin tahu. Beliau sebagai anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) baru-baru ini "mengamuk", meluahkan ketidakpuasannya kerana mereka terpaksa melanggani Berita Harian atau Utusan Malaysia untuk anak mereka, bagi mendapatkan akhbar Didik yang terselit dalamnya. Dengan kata lain, segala liputan akhbar tersebut untuk isu liwat akan dibaca oleh anak-anak mereka.

Beliau mendakwa bahawa dirinya sedia bangkit untuk menentang keadaan ini, kerana untuk dirinya, demokrasi dan kebebasan bermaksud "participate" (penyertaan).

Keasyikan terhadap Internet

Fathi Aris Omar berkongsi pengamatannya bahawa wujudnya fenomena di mana media kini lebih cenderung untuk memainkan isu politiking, personaliti daripada isu sebenarnya. Beliau mengambil contoh bagaimana berita Zahrain Mohamed Hashim, Tan Tee Beng dan Zulkifli Noordin keluar (atau mungkin keluar) parti dimainkan untuk tiga minggu, sedangkan isu yang memberi impak dalam kehidupan seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diabaikan.

Berbanding dengan Abu Hassan Hasbullah, beliau lebih pesimis terhadap "kebangkitan media baru", kerana meragui kecapaiannya kepada khalayak yang lebih ramai, bahkan sejauh manakah kandungan media tersebut mampu berfungsi untuk "convert" audien lain.

Ketika mengulas fenomena keasyikan kepada internet dan keghairahan untuk blog dan facebook, beliau berkata, "Jangan-jangan perkara itu mengasyikkan dan melekakan pembangkang sehingga pembangkang tak buat kerja, kerana dalam konteks Malaysia, mahu atau tidak, suka atau tidak, pendekatan tradisional untuk mendampingi (approach) pengundi masih penting." -MR

Ulasan GB

GB akan fokuskan ulasan kepada apa yang disampaikan oleh Zulkifli Sulong.
Pertama soal persempadanan semula kawasan pengundian akan dilakukan untuk mengurangkan kerusi PR. Saya petik semula kata-katanya:
UMNO kini cuba mendapatkan kerusi daripada PKR dan PAS, dengan mendendangkan retorik "perpaduan Melayu", agar mereka memperolehi semula majoriti dua pertiga dalam parlimen, lantas memberi laluan kepada persempadanan semula kawasan pengundian. Beliau berharap agar PAS tidak terperangkap oleh UMNO dalam permainan ini
.
Kepada siapa sepatutnya Zulkifli suarakan hal tersebut? Bukankah ianya sepatutnya ditujukan kepada Tuan Presiden PAS sendiri kerana Presiden PAS yang telah membuat gesaan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menambah kerusi Parlimen di kawasan-kawasan majoriti masyarakat Melayu seperti di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Rujuk SINI.

GB pernah menyatakan di SINI
Penambahan kerusi di kawasan yang "Melayu" melalui SPR adalah satu agenda politik UMNO sekian lama, kini Presiden PAS pula yang memperjuangkannya yang setentunya disukai oleh UMNO.


Tetapi kemudian GB diserang oleh penyokong wala' kepada Presiden menyatakan berbagai-bagai terhadap GB.

Hal kedua yang lebih penting tapi tiada di dalam rencana di atas. iaitu mengenai kemerosotan kualiti harakahdaily yang begitu ketara.

Mengapa harakahdaily menjadi seperti yang ada pada hari ini?

Tidak dikemaskinikan secara sempurna. Bercampur baur artikelnya diantara Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Iklannya berterabur. Tahap penulisan tidak bermutu. Susun-aturnya menelirukan sehingga para pembaca terpaksa menjeling kiri kanan kiri semula atas dan bawah untuk mencari-cari isu semasa dan berita serta artikel terkini.

Adalah amat tidak wajar sebuah badan yang mempunyai pekerja-pekerja bergaji tetap, yang kini dah tak terlibat dengan kerja-kerja IT di dalam membangunkan portal berita itu (kerana Harakahdaily telah menswastakan kerja-kerja I.T. kepada Altfa Solution) tetapi mutu harakahdaily semakin merosot!

Bukankah itu petanda-petanda PAS nak kalah dalam PRU13?

GB berhadap GB tidak akan diserang oleh pengikut wala' Terengganu lagi kerana mengkritik harakahdaily yang diterajui oleh Zulkifli hari ini. Atau kena guna saluran yang betul jugak untuk menegur harakahdaily?