12 Sep 2013

Mantan Ketua Staf Dr.Mursi Dibebaskan


Pihak pendakwa Mesir telah mengarahkan ketua kakitangan Pejabat Pentadbiran Mesir dibebaskan daripada tuduhan menghasut para demonstran sehingga menyebabkan keganasan di luar Istana Presiden Ittihadeya pada Disember tahun lalu.

Sumber Pejabat Kehakiman berkata, Rifaa al-Tahtawi, yang ditahan bersama-sama timbalannya Asaad Sheikha, selama lima belas hari, dibebaskan apabila kekurangan bukti.

“Pendakwa membebaskan Rifaa selepas mengambil kira beliau sebagai saksi kejadian dalam usaha menggulingkan Presiden Mohamed Mursi, 3 Julai lalu,” katanya seperti dilaporkan oleh AP.

Sementara itu, ratusan rakyat Mesir meneruskan protes menuntut pembebasan Mursi, yang digulingkan itu dan ahli-ahli Ikwanul Muslimin.

Mereka berarak di sekitar jalan utama sambil membawa sepanduk Rabia dan mengutuk rampasan kuasa di negara itu.

Dalam perkembangan berasingan, dua serangan bom tercetus di Semenanjung Sinai yang merupakan pintu masuk militan asing ke Mesir.

Pegawai keselamatan berkata, serangan itu disasarkan ke arah tentera Mesir yang mengetatkan kawalan keselamatan di sempadan Rafah-Israel.

“Letupan itu disasarkan ke ibu pejabat perisikan tentera Imam Ali di sempadan Rafah-Israel dan turut memecahkan tingkap bangunan lain dekat kawasan tersebut,” katanya. Beberapa minit kemudian, satu lagi letupan meranapkan pusat pemeriksaan tentera dekat kawasan terbabit.

[VIDEO] Akhirnya Syabas Diheret Ke Tribunal Tuntutan Pengguna


Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli hari ini mengemukakan 15 fail tuntutan tribunal terhadap Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kerana gagal menguruskan bekalan air dengan baik sehingga menjejaskan penduduk sekitar Lembah Klang.

Tuntutan difailkan Rafizi mewakili 15 penduduk sekitar Ampang dan Pandan berikutan beberapa siri gangguan bekalan air sejak tahun lalu dengan jumlah kadar pampasan RM50 sehari.

Gangguan bekalan air itu berpunca daripada kerosakan sistem paip di Rumah Pam Wangsa Maju di Kuala Lumpur pada Disember 2012 yang berlarutan sehingga tiga minggu dan 27 Ogos lalu (berlarutan sehingga seminggu).

“Selama ini rakyat tak mampu nak ambil tindakan kerana Syabas dilindungi perjanjian konsesi dan kita tak boleh nak akses dokumen mereka disamping kos pah peguam yang terlalu mahal.

“Ini merupakan tuntutan tribunal pertama dalam sejarah terhadap Syabas dan akan ada beberapa siri yang akan dikemukakan penduduk Klang, Kelana Jaya dan ramai lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di sini tengahari tadi.

Pengguna mempunyai hak dibawah Seksyen 53 Akta Pengguna 1999 yang memperuntukkan setiap perkhidmatan mesti ada jaminan ia perlu dijalankan dengan teliti dan baik.

Namun menurut Rafizi, ada asas Syabas tidak menjalankan tugas dengan teliti dan berkemahiran seperti yang dituntut dalam undang-undang dengan membiarkan masalah kerosakan paip secara berulang.

Katanya, tribunal telah menetapkan tarikh 3 Oktober depan mendengar tuntutan daripada 15 pengguna terbabit dan Syabas perlu hadir untuk membela diri.

“Tribunal akan mendengar setiap satu tuntutan yang difailkan dan kita akan membantu menyediakan khidmat peguam,” katanya.

Pengarah Strategi PKR itu juga berkata, pihaknya akan membawa isu tuntutan ini ke Dewan Rakyat dan mahu Menteri berkenaan bertanggungjawab mengatasi isu masalah air yang kerap berlaku di Lembah Klang.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika ditemui pemberita di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri berkata pihaknya tidak akan menghalang penduduk Selangor memfailkan tuntutan terhadap Syabas.

Malah beliau turut menggalakkan pengguna mengambil tindakan sama bagi memastikan Syabas memperbaiki khidmat pengurusan bekalan airnya pada masa akan datang. “Saya ingat Syabas perlu menjawab beberapa rintihan pengguna…selepas ambil alih penstrukturan air kerajaan negeri akan memberikan perkhidmatan yang lebih baik,” katanya. -FMT


Silap Siar Logo "Polis Raja Di Malaysia": Petugas RTM Dibuang Kerja


Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menggantung dan menamatkan perkhidmatan individu yang terlibat dalam insiden penyiaran kesilapan logo Polis Diraja Malaysia melalui RTM semalam.

Sambil berkata RTM memandang serius kejadian itu, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Norhyati Ismail berkata laporan polis untuk memulihkan imej Jabatan Penyiaran telah dibuat.

"Ralat dan permohonan maaf telah disiarkan dalam Berita Nasional 12 tengah malam.

Surat rasmi memohon maaf kepada Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) juga telah dihantar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan jawatankuasa tatatertib telah bersidang hari ini untuk meneliti tindakan lanjut yang akan dilaksanakan susulan insiden itu.

Kenyataan dan tindakan segera yang diambil telah dimuat naik dalam laman sosial jabatan berkenaan, tambahnya. - BERNAMA

Video Permohonan Maaf RTM Isu Logo PDRM


[MEMALUKAN] "Endless Possibilities" Malaysia Sama Mongolia, Pelancarannya Ditangguhkan


Pelancaran kempen “Endless Possibilities” ditangguhkan

Pelancaran kempen baru Putrajaya “Endless Possibilities” dalam negara telah ditangguhkan dari tarikh asal 17 September kepada satu tempoh yang belum pasti selepas mendapati Mongolia menggunakan slogan sama 19 bulan sebelum Malaysia.

The Malaysian Insider difahamkan, pegawai-pegawai yang menguruskan kempen panik kerana Mongolia merupakan satu subjek sensitif selepas dua anggota polis Malaysia didakwa dan kemudian dibebaskan di atas tuduhan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

“Pelancaran di Malaysia dibatalkan, masih belum ada tarikh baru,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Slogan kempen itu secara rasmi digunakan buat pertama kali di Davos Januari lepas semasa Forum Ekonomi Dunia (WEF) walaupun Kementerian Pelancongan sudah memperkenalkannya di Dubai pada Oktober 2012.

Blogger pro kerajaan telah mengkritik kempen itu mengatakan ianya meniru kempen sama Israel yang bermula April lepas. Akan tetapi kemudiannya mereka mendapati Mongolia telah menerbitkan video dan disiarkan oleh penyiar berita global CNN menggunakan slogan sama.

Akan tetapi jurucakap kempen mengatakan ia tetap akan dilancarkan tetapi tidak memberikan tarikh pasti.

“Inisiatif ini tetap akan dilancarkan, 17 merupakan salah satu tarikh dipertimbangkan,” kata seorang jurucakap yang enggan dinamakan.

Tarikh 17 September dipilih kerana ia merupakan sehari selepas Malaysia menyambut ulangtahun ke-50 penubuhannya apabila Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak bersetuju menjadi satu negara pada tahun 1963. Singapura meninggalkan Malaysia pada Ogos 1965.

The Malaysian Insider difahamkan slogan kempen dicadangkan oleh dua perunding asing dan syarikat kajian pasaran selepas perbincangan dengan pegawai-pegawai dari Jabatan Perdana Menteri.

“Perunding-perunding memperhalusinya dari prosa ‘Endless Opportunites’ yang digunakan dalam ucapan kepada ‘Endless Possiblities’,” katanya dan menambah tidak pasti sama ada perunding-perunding itu menyemak jika ada negara lain menggunakan slogan itu.

Firma pengiklanan dipanggil selepas itu untuk mencipta logo yang kemudiannya digunakan Kementerian Pelancongan bersama slogan sebelum digunakan di Davos.

The Malaysian Insider pertama kali melaporkan berita tentang pelancaran kempen pada 21 Ogos dan disahkan pada hari sama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengatakan kempen ini melengkapkan dan bukan menggantikan slogan 1Malaysia yang diperkenalkan pada 2009.

Najib berkata, ia adalah “kempen komplementari” dan kempen terkini itu adalah sebahagian daripada pelan menjenamakan negara.

“Ini akan mempromosikan Malaysia,” katanya yang dilihat menggunakan lencana baru kempen itu termasuk logo 1Malaysia.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider slogan “Endless Possibilities” sebenarnya mahu dilancarkan sebelum hari mengundi, tetapi kerajaan menangguhkannya bagi mencegah kemungkinan berlaku kekeliruan.

Pos Malaysia sudah merancang untuk melancarkan setem baru bertajuk Malaysia: Endless Possibilities pada 30 Mei 2013 tetapi tidak ada tanda set setem itu.

Sumber berkata, kempen baru itu sebenarnya bermula pada awal tahun ini di majlis berprestij Forum Eknomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland dan dalam beberapa program Pelancongan Malaysia.

Klip video berdurasi 60 saat yang memaparkan Najib juga dilancarkan dan disiarkan oleh penyiar berita global CNN.

Terdapat juga beberapa pengiklanan bercetak dengan slogan baru itu dalam majalah antarabangsa untuk tujuan perniagaan dan pelancongan sepanjang tempoh lapan bulan lalu. Tetapi sumber berkata, penggunaan secara meluas akan hanya berlaku selepas pelancaran pada 17 September ini. -TMI


[BERGAMBAR] 13 Cedera 4 Kenderaan Berlanggar Di Lebuhraya Karak


Seramai 13 mangsa cedera dalam nahas membabitkan dua buah bas, satu treler dan sebuah kereta di Km31.5, Lebuhraya Karak, dekat ibunegara hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata pihaknya menerima panggilan pada 3.49 petang dan tiba di tempat kejadian setengah jam kemudian.

Katanya, kemalangan membabitkan empat kenderaan itu dari arah Karak menuju ke ibu negara dipercayai berpunca daripada kegagalan pemandu sebuah bas pelancong mengawal kenderaannya lalu merempuh sebuah bas ekspres dan kereta Toyota Vios yang kemudiannya melanggar treler di hadapannya.

"Saya percaya kemalangan berpunca disebabkan ada kenderaan yang dibawa laju dan perlahan, namun kami akan menyiasat kemalangan itu bagi mengenal pasti punca sebenar," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Azizan berkata 13 mangsa yang terdiri daripada 11 penumpang bas dan dua daripada kereta Vios itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Selayang untuk menerima rawatan.

Beliau berkata kesemua mangsa berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun.

"Laporan awal mendapati bas pelancong membawa 13 penumpang (dan seorang pemandu), manakala bas ekspres Temerloh-Kuala Lumpur membawa 25 orang termasuk pemandu.

"Pemandu dua bas berkenaan hanya mengalami luka ringan manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau berkata tiga jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian dengan kekuatan 30 pegawai dan anggota, masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Selayang dan Bentong.

Sementara itu, pemandu treler Aris Embong, 53, berkata ketika kejadian itu dia memandu perlahan dan berada di hadapan kereta Toyota Vios.

"Sebelum kejadian saya nampak sebuah bas bergerak laju lalu melanggar sebuah bas yang berada di hadapannya...kemudian bas kedua (yang dilangggar) itu melanggar treler yang saya bawa," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian. - Bernama


Foto-foto ehsan NST