Kit Siang, pergi masuk sekolah undang-undang'Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa Menteri Pelajaran tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana pegawai perjawatan tetap kerajaan seperti pengetua sekolah.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran mencabar pemimpin DAP Lim Kit Siang untuk membuktikan di segi peruntukan perundangan kuasa-kuasa yang dimiliki oleh menteri untuk mengambil tindakan disiplin.
"Lim Kit Siang tolonglah, fahamlah, pergi masuk sekolah belajar undang-undang, tentang pentadbiran atau tentang pengurusan. Dia (Kit Siang) tidak ada pengalaman, dia ketua pembangkang tetapi tidak tahu apa-apa," katanya kepada pemberita di Dewan Sri Pekembar, Pagoh, dekat Muar hari ini.
Muhyiddin mengulas dakwaan Kit Siang bahawa beliau enggan menggunakan kuasanya sebagai menteri untuk mengambil tindakan terhadap seorang pengetua di Kulaijaya dan seorang guru di Bukit Selambau yang didakwa mengeluar kenyataan berbaur perkauman baru-baru ini.
Terdahulu, beliau merasmikan program Lonjakan Kecemerlangan Pendidikan Parlimen Pagoh 2010, yang turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Tan Sri Dr Zulkurnain Awang.
Timbalan Perdana Menteri berkata, sebarang tindakan tatatertib terhadap kakitangan kerajaan berjawatan tetap mestilah mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.
Selain itu, menurut beliau, setiap tuduhan juga perlu disiasat dengan teliti, manakala pegawai kerajaan yang dituduh itu diberikan peluang seadil-adilnya untuk menjawab tuduhan terhadap mereka.
"Kita mesti bersikap adil selaras dengan peruntukan Perlembagaan," katanya.
Katanya jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menyiasat tuduhan terhadap guru dan pengetua itu telah pun selesai menjalankan tugas mereka.
Jawatankuasa siasatan itu diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha kementerian.
Muhyiddin berkata, di dalam kes pengetua dan guru sekolah terbabit yang merupakan pegawai kerajaan berjawatan tetap, kuasa untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka terletak di bahu Ketua Setiausaha Negara.
"Saya tidak boleh bertindak dengan sewenang-wenangnya di atas desakan politik DAP atau lain-lain pihak. Perkara ini melibatkan perjawatan tetap kerajaan dan kita mempunyai prosedur dan peraturan mengenainya," katanya.
Muhyiddin berkata tindakan yang diambilnya itu adalah berlainan dengan sikap emosional dan politikal Kit Siang.
"Kit Siang tidak faham, tak pernah jadi pegawai kerajaan. Dia orang politik, 100 peratus totok politik. Dia tidak faham dengan soal pentadbiran," katanya.
Katanya, pemimpin pembangkang itu hanya mahu menarik sokongan golongan tertentu.
Sementara itu, Dr Zulkurnain yang turut berada pada sidang akhbar itu berkata, pihak yang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan disiplin terhadap pegawai kerajaan berjawatan tetap DG48 adalah Ketua Setiausaha Negara.
"Hanya pihak yang melantik (pegawai kerajaan) sahaja berkuasa dan berhak untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai berkenaan, menteri tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai kerajaan berjawatan tetap," katanya. --Bernama
Ulasan GB
Apa yang Muhyiddin nyanyu (merepek) ni?
Lim Kit Siang disuruhnya masuk sekolah undang-undang sedangkan Lim Kit Siang itu seorang peguam. Anda Muhyiddin yang perlu masuk ke sekolah undang-undang.
GB dah ulas isi ini sebelum ini. GB kata:
Tan Sri Muhyiddin kini memberikan alasan terbarunya, iaitu sebagai Menteri pelajaran beliau tidak ada kuasa untuk mengambil tindakan terhadap dua pengetua yang didakwa mengeluarkan kenyataan rasis yang melibatkan pegawai kanan kerajaan kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Jawapan untuk menutup kebenaran bahawa beiau juga sebenarnya seorang yang rasis.
Apakah logik seorang menteri tidak ada kuasai ke atas pegawai di bawah kementeriannya. Baik, katakanlah mereka itu pegawai-pegawai kanan (yang dikatakan berada di superscale G (Gila), dan ia terletak di bawah bidang kuasa JPA, maka Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri pada bila-bila masa boleh bertindak setidak-tidaknya mengarahkan JPA mengambil tindakan serta-merta.
Jika itu pun tidak ada kuasa maka ia adalah satu pendustaan dan lebih baik anda letak jawatan.
Apa yang rakyat lihat, baik Kementerian Pelajaran yang bermenterikan TPM ini dan JPA sengaja melengah-lengahkan tindakan ke atas pengetua-pengetua terbabit.
Rakyat juga boleh persoalkan dimana mutu kecekapan, apa yang dipanggil KPI (Key Performance Index) bagi kementeriannya dan JPA seandai kes sedemikian berlarutan berbulan-bulan lamanya?
Seandainya selama ini, pesalah-pesalah dari Pakatan Rakyat diambil tindakan begitu segera tetapi kerajaan sengaja mencari helah bagi pesalah-pesalah yang menyuburkan semangat perkauman melayu di kalangan para pegawainya.
Itu sebab mengapa rakyat begitu sangsi dengan TPM ini, kerana memang beliau dikenali sebagai rasis yang teramat sangat dan teladan itu kini diikuti oleh orang bawahannya.
Samada Muhyiddin cuba memperbodohkan rakyat atau memang beliau seorang yang benar-benar bodoh atau kedua-duanya sekali.