11 Apr 2013

Berjuang Hingga Ke Hujung Nyawa


Kota Bharu - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat, tidak menghiraukan desakan supaya beliau meletakkan jawatan tetapi sebaliknya akan terus berkhidmat sehingga ke 'hujung nyawa'.

"Selagi saya bernafas, saya akan terus pegang jawatan dan memainkan peranan saya dalam membentuk Islam," katanya kepada media kelmarin sebagai menjawab pelbagai desakan, termasuk mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya beliau berundur.

Ketika pelbagai pihak mempertikaikan kemampuan beliau untuk terus mentadbir Kelantan, Tok Guru Nik Aziz terus mengulangi kenyataan akan tetap bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sebagaimana sebelum ini.

"Masalah siapa yang akan menjadi menteri besar selepas PRU13 nanti itu masalah kedua tetapi saya akan terus bercakap dalam Islam," katanya dilaporkan sebuah akhbar Singapura.

Sementara itu, ditanya siapa calon yang paling sesuai untuk menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat memerintah negara pada PRU13 nanti, Tuan Guru Datuk Nik Aziz menegaskan, paling penting individu itu adalah Islam.

Dalam pilihan raya umum yang lalu, Tok Guru menang dengan majoriti undi yang lebih besar iaitu 4,249 undi dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Nik Mohd Zain Omar, di Dun Chempaka.

Pada tahun 2008, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) telah menganugerahkan beliau sebagai menteri besar yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia.

Anugerah itu diberikan sebagai menghargai usaha beliau menentang gejala rasuah sepanjang mentadbir Kelantan.

Selain itu, Datuk Nik Aziz mengakui beliau sememangnya bukan pemegang kunci pintu syurga sehingga boleh menilai dosa dan pahala seseorang.

Akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan Tok Guru Nik Aziz mengeluarkan "fatwa" bahawa sembahyang orang Umno tidak mendapat pahala dan usaha kerajaan membina masjid bukan sebahagian daripada ajaran Islam kerana hanya bertujuan mendapatkan kontrak. -BO

Ketua UMNO Jengka 9 Dan Penyokong Sertai PAS


Jerantut: Umno Jerantut khususnya Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Tawar menerima tamparan hebat apabila para peneroka Felda meninggalkan perjuangan parti itu dan menyertai PAS.

Malam tadi, Ketua Umno Cawangan Jengka 9, Yusof Hasan, mengisytiharkan diri menyertai PAS bersama para penyokongnya.

Bekas Ketua Kampung Jengka 9 itu membuat perisytiharan demikian sejurus selepas menyerahkan borang menyertai PAS kepada Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada satu majlis yang diadakan di tanah rancangan Felda itu.

Hadir sama ialah Yang Dipertua PAS Jerantut, Dr Hamzah Jaafar.

Yusof yang menyandang jawatan ketua Umno cawangan selama 20 tahun iaitu dari 1987 hingga 2007 dan menjadi ketua kampung Jengka 9 selama 10 tahun 1997 hingga 2007, turut menyerahkan borang PAS mewakili isteri dan para penyokongnya.

Sementara itu dalam ucapannya, beliau bersama penyokong yang terdiri daripada golongan muda, bertekad untuk menumbangkan BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang kerana sudah menyedari pengkhianatan yang dilakukan terhadap orang Melayu.

Antara lain, beliau juga meyakini tawaran PAS dan Pakatan Rakyat yang akan membela nasib generasi kedua Felda dan rakyat umumnya melalui konsep negara berkebajikan.

Dalam pada itu, Pengarah PAS Dun Pulau Tawar, Yohanis Ahmad, percaya lebih ramai lagi ahli dan penyokong Umno akan menyertai atau membantu perjuangan PAS memandangkan Yusof seorang yang berpengaruh dan dihormati di situ.

Guna Harta Awam Untuk Kempen Parti, Kenyataan Rais Perlu Dicabar Di Mahkamah


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menganggap Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim mempermainkan demokrasi dan institusi awam apabila menyatakan kerajaan sementara berhak mengguna jentera kerajaan selagi belum bermula waktu kempen.

Katanya, keengganan BN memulangkan kapal terbang, helikopter dan kenderaan milik kerajaan membuktikan mereka akan memberi fokus kepada 3M iaitu Media, Wang (Money), Jentera (Machinery) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei ini.

Menurut Rais, hanya apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh pencalonan dan hari mengundi iaitu jangka masa kempen baru jentera kerajaan tidak boleh digunakan untuk tujuan parti politik.

Beliau mengulas laporan Malaysiakini bahwa tiga kenderaan milik Kementerian Penerangan diguna untuk membantu majlis pelancaran pusat gerakan pilihanraya BN di kawasan Parlimen Batu, Ahad lalu.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, sikap BN tidak seperti Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang telah memulangkan semua kenderaan rasmi bagi mengelak percanggahan kepentingan dan salah guna kuasa.

“Barisan Nasional (BN) tidak rela memulangkan kenderaan rasmi mereka termasuk jet dan helikopter kepada pihak Kerajaan Malaysia. Jika BN tidak berbuat demikian, ia jelas membuktikan mereka memang sanggup menyalahgunakan kuasa dengan mempergunakan 3M iaitu media, wang (money) dan jentera (machinery) demi untuk menang PRU-13.

“Dari segi media kita melihat bagaimana mereka bukan sahaja memutarbelit isu malah kita juga melihat bagaimana fiksyen boleh menjadi fakta. Contohnya, New Straits Times yang dikawal BN melaporkan dengan salah bahawa saya menarik diri daripada berdepan Pengerusi BN Pulau Pinang di Padang Kota sedangkan sebenarnya dia yang menolak cabarannya sendiri,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Guan Eng, pada masa sama, The Star bukan sahaja enggan menyiarkan penjelasan mengenai perkara itu, malah menuduh Kerajaan Negeri Pulau Pinang kononnya melabur RM3 bilion di China sedangkan sebenarnya tidak melabur satu sen pun.

Beliau berkata, tawaran Rais memberi masa 10 minit kepada Pakatan Rakyat di RTM untuk menerangkan manifesto dianggap mengarut dan satu penghinaan sedangkan manifesto BN disiarkan secara langsung.

“Dari segi kewangan, bagaimana ada laporan bahawa Jabatan Perdana Menteri paling banyak berbelanja untuk pengiklanan, dengan membayar sekurang-kurangnya RM73 juta bulan lalu untuk pengiklanan, jauh lebih banyak daripada nilai yang dibelanjakan untuk iklaneka sebanyak RM43 juta, dan RM25 juta yang dibelanja Nestle dan Unilever Malaysia.

“Mereka membelanjakan wang melalui Kelab Kebajikan 1Malaysia Pulau Pinang yang pro-BN yang memberikan ‘sumbangan’ RM2.2 juta kepada persatuan wartawan dan kebajikan termasuk Kelab Wartawan Pulau Pinang, Persatuan Wartawan dan Jurugambar Pulau Pinang, dan Kesatuan Wartawan Malaya utara yang menerima RM50,000 setiap satu, bersama-sama 103 NGO masing-masing mendapat antara RM5,000 hingga RM50,000,” katanya.

Guan Eng berkata, BN juga menggunakan jentera mereka, seperti sumber, institusi dan kenderaan demi memberi mereka kelebihan yang amat besar dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebagai badan bebas dan tidak berpihak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang bukan sahaja menghina oposisi malah menuduh pergerakan masyarakat sivil seperti Bersih menjadi alat kepada Pakatan Rakyat.

Katanya, walaupun berhadapan cabaran sebegini, meski BN mempunyai 3M; Pakatan Rakyat memiliki kekuatan dan kuasa rakyat yang akan menentukan mandat pada PRU-13 ini.-Roketkini


Menteri pertahan Jabatan Penerangan bantu BN


Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim mempertahankan tindakan BN menggunakan khidmat Jabatan Penerangan dalam acara anjuran parti itu, seperti yang dikesan dalam satu majlis di Kuala Lumpur.

Beliau berpendapat, BN yang masih dianggap sebagai kerajaan sementara pada masa ini boleh berbuat demikian selagi tempoh kempen pilihan raya belum bermula.

"Sekarang kita di dalam suasana lingkungan bidang tugas kerajaan sementara. Kerajaan masih wujud di bawah Perkara 43 (Perlembagaan Persekutuan) dan perkara yang melibatkan kuasa eksekutif – Perkara 38 (melibatkan) Majlis Raja-Raja dan juga Perkara 43 (melibatkan) kuasa lantikan menteri – menteri dan juga di bawah akta fungsi menteri, semua menteri berfungsi dan semua jabatan kerajaan seperti biasa.

"Tetapi apabila dimulakan hari penamaan calon, pada hari itu tidak boleh mana-mana jabatan kerajaan mengambil bahagian dalam apa jua program yang menampakkan membantu pilihan raya satu-satu parti," katanya.

Rais bercakap kepada pemberita dalam satu sidang media selepas satu majlis bersama sekumpulan pemuzik jalanan di di Kuala Lumpur petang ini.

Beliau ditanya mengenai kenderaan milik Jabatan Penerangan yang dikesan digunakan untuk membantu majlis perasmian pusat operasi pilihan raya BN pada hari Ahad lalu untuk kawasan parlimen Batu di Kuala Lumpur.

Ia melibatkan dua kenderaan kegunaan khas (SUV) dengan satu daripadanya dipasang pembesar suara dan satu van yang diparkir di lokasi berdekatan.

Bagaimanapun, usaha Malaysiakini untuk mendapatkan ulasan rasmi mengenai kemungkinan penyalahgunaan jentera kerajaan ditolak dengan keras oleh penganjur acara terbabit.

Wartawan Malaysiakini yang membuat liputan diherdik dan diancam untuk "dilepuk" oleh penganjur apabila memohon penjelasan berhubung kehadiran kenderaan tersebut pada majlis kempen BN.
-mk


Ulasan GB

Amat nyata sekali Rais Yatim cuba memperbodohkan rakyat.

Peranan kementerian ialah untuk menjalankan kerja-kerja kementerian bukannya kerja-kerja parti.

Justeru itu beliau sepatutnya diheret ke muka pengadilan dan kenyataannya itu dicabar di mahkamah. Biar diaa tahu setakat mana dia boleh menipu rakyat Malaysia.

Dulu Najib Takut Bubar Parlimen, Kini Takut Umum Calon BN


Lembu-lembu BN ini pun bengong untuk meneruskan kerja
tunggu pengumuman calon BN
..

Banyak pihak yang menaruh harapan dan teruja untuk mengetahui senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sebagaimana diuar-uarkan media, menjadi hampa apabila ia tidak menjadi kenyataan semalam.

Antiklimaks, begitu kesimpulan yang boleh digambarkan terhadap harapan mereka untuk mengetahui siapa yang akan ditampilkan BN sebagai calon-calonnya untuk pilihan para pengundi pada 5 Mei nanti.

Bagi pihak berkepentingan, terutamanya bakal-bakal calon, penantian penuh debaran mereka nampaknya akan hanya berakhir dalam beberapa hari lagi.

".... belum selesai. Akan diumumkan beberapa hari lagi," kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak kepada pemberita selepas program perjumpaan Pengerusi BN Bersama Jentera Pilihan Raya Parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Najib, yang juga Penerusi BN berkata proses memuktamadkan senarai akhir calon parti itu masih belum selesai kerana pelbagai faktor perlu diambil kira dan dipertimbangkan dengan teliti sebab BN hendak mengukuhkan peluangnya untuk menang pada PRU-13.

Seorang individu yang mengaku namanya antara yang disebut-sebut akan menjadi calon berkata beliau sangat berharap Perdana Menteri akan membuat pengumuman itu hari ini namun akan tetap bersabar sehingga mendapat kepastian mengenai perkara itu.

Penulis dan rakan-rakan sekerja yang juga pengundi berharap Najib akan segera membuat pengumuman itu untuk mengetahui calon-calon BN di kawasan masing-masing kerana ia sekali gus dapat melenyapkan khabar angin yang bertiup kencang berhubung nama-nama yang akan menjadi calon di kawasan pilihan raya masing-masing.

Pada perjumpaan hari ini, Perdana Menteri menjelaskan kepada jentera pilihan raya BN bahawa penentuan kerusi dan calon parti itu adalah proses yang kompleks kerana pelbagai faktor perlu diambil kira.

BN, kata Najib tidak mungkin dapat memenuhi kehendak semua pihak atau memberi kepuasan kepada semua individu sambil meminta anggota BN memahami hakikat bahawa objektif pilihan raya kali ini bukan semata-mata terpilih menjadi calon, sebaliknya membentuk kerajaan yang kuat di peringkat nasional dan negeri. - Bernama

Beg Tangan & Cincin Lagy Gajah Turut Tergantung...


Perghhh... beg tangan "1st Lady" pun ada tergantung?.... Ini dah cukup "Terbaik" untuk Berkempen nie...

Kreatif tul orang2 PAS nie... siap tertera harganya, RM600K... Mohon "orang itu" terasa...

Siap ada cincin 24 juta lagi di belakang roket tue!!! -fb

[BERGAMBAR] KL Dilanda Banjir Kilat


Hujan lebat selama sejam yang melanda Lembah Kelang sejak 5.30 petang, menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir kilat.

Antara kawasan yang terjejas termasuk Jalan Tun Razak, Jalan Parlimen, Jalan Duta, Jalan Pudu, Jalan Cheras Lama, Jalan Chan Sow Lin dan Jalan Segambut.

Jurucakap Bilik Gerakan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, hujanlebat dan banjir kilat itu menyebabkan keadaan trafik sekitar ibu negara sesakteruk di beberapa laluan utama.

"Antara jalan yang mengalami kesesakan teruk adalah Jalan Tun Razak, Jalan Duta, Jalan Mahameru, Jalan Kuching dan Lebuhraya Persekutuan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata sehingga kini, terdapat satu laporan membabitkan pokok tumbang di pekarangan parkir Masjid Negara dan pihak bomba serta petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sedang mengalihkan pokok berkenaan.

Katanya, tiada laporan kemalangan jiwa dilaporkan dan pemantauan kini dilakukan di beberapa kawasan yang dilanda banjir kilat.

Jurucakap itu turut menasihatkan orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga dan segera melaporkan kepada pasukan keselamatan jika kawasan rumah mereka dilanda banjir kilat. - BERNAMA