16 Sep 2015

PAS Nak Adakan Himpunan Hijau Pula, Asing Diri Dari PR

PAS pula umum himpunan baju hijau bulan depan

Selepas diheret dengan pelbagai konflik dalaman baik dengan rakan gabungan Pakatan Rakyat mahu pun kepimpinan parti itu sendiri, PAS hari ini melancarkan “Himpunan 60 Ribu” (H60K)

Himpunan yang akan berlangsung pada 17 Oktober itu nanti sebagai langkah menguatkan kembali sokongan akar umbi kepada parti Islam itu, kata pengarahnya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

"Matlamat berkait rapat dengan krisis politik Malaysia, sama ada dalam negara, parti PAS dan Pakatan Rakyat.

"Semua itu perlu sokongan serta dukungan kefahaman ahli supaya yakin dengan perjuangan," katanya pada sidang media khas Pelancaran Program "Himpunan 60 Ribu" (H60K) di Galeri Media Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Menurut anggota Parlimen Pasir Mas itu lagi, himpunan tersebut juga ekoran desakan akar umbi supaya parti itu memberi penjelasan serta mengambil tindakan susulan selepas kemelut melanda.

"Ahli tuntut sesuatu dari kepimpinan. Ia datang dari suara semangat akar umbi untuk kukuhkan Pas dan tunjuk istiqamah pada parti PAS," katanya.

Kata Nik Abduh lagi, pada perhimpunan tersebut PAS juga akan menjemput semua parti untuk menyertai perhimpunan tersebut, termasuklah PKR, DAP dan BN

"Kita jemput semua parti politik, DAP, PKR, serta NGO," katanya.

Strategi sebelum PRU

Bagaimanapun, Nik Abduh turut menafikan perhimpunan tersebut sebagai respon kepada perhimpunan BERSIH 4 atau pun Baju Merah.

Perhimpunan 50 PAS itu akan berlangsung di Stadium Sultan Muhamad ke IV, Kota Bharu, dan menggunakan warna hijau sebagai warna rasmi.

Pada himpunan tersebut juga PAS turut mengundang penceramah popular Azhar Idrus sebagai penyeri majlis.

Perhimpunan itu dilihat penting bagi menjana kembali kekuatan mereka di Kelantan bagi berdepan pilihan raya umum akan datang.

Lebih-lebih lagi, PAS kini berdepan situasi berbeza apabila akan berdepan pencabar dalam keadaan ikon penting mereka Datuk Nik Aziz Nik Mat.

PAS juga sedang berdepan krisis besar selepas sekumpulan bekas pemimpin kanannya yang tewas dalam pemilihan lalu kini membentuk sebuah parti Islam baru.

ULASAN GB

1) Setelah rasa terpencil, PAS kini mengumumkan akan mengadakan Himpunan Hijau pada 17 Oktober nanti. Kita tak berniat memperkecilkan usaha tersebut, namun jelas bahawa PAS ingin "bersendirian". Tak mahu ikut BERSIH 4.0 yang lepas yang turut disertai DAP, PKR dan Amanah, dan tak mahu pula sertai Himpunan Merah yang disertai UMNO hari ini. Bererti tak bersama Pakatan 2.0, dan tak bersama UMNO BN. Solo.

2) Himpunan Hijau diadakan di Stadium Sultan Muhamad ke IV, Kota Bharu. Maka benar seperti yang diulas oleh kebanyakan penganalisis sebelum ini, bahawa PAS tersudut di pantai timur. Tidak merata. Ia semacam sudah eksklusif untuk Kelantan dan Terengganu.

3) Semacam ada kelompangan kepimpinan dalam PAS untuk acara-acara rakyat. Semasa Kongres Rakyat anjuran PAS, diketengahkan Hj Azmi Abdul Hamid sebagai pengerusi dan Mustafa Kamil Ayub dari PKR sebagai timbalannya. Kini untuk Himpunan Hijau terpaksa mengguna dan menumpang populariti Ustaz Azhar Idrus.

4) Walau apapun kita ucapkan selamat maju jaya dari GB.









IKLAN BERBAYAR






Himpunan Merah Semarak Api Perkauman, Majoriti Rakyat Tolak...

Kebanyakan orang Melayu tak sokong perhimpunan baju merah, kata tinjauan

Kebanyakan orang Melayu tidak menyokong "perhimpunan baju merah" yang akan diadakan pada Hari Malaysia esok, menurut dapatan kajian yang dijalankan Merdeka Center.

Hanya 24% daripada 516 responden Melayu yang ditinjau berkata, mereka memihak kepada perhimpunan tersebut, yang dikatakan diadakan bagi menebus maruah bangsa.

54% daripada responden berkata, mereka tidak menyokongnya, manakala 22% tidak pasti, menurut kajian itu yang dijalankan mulai 10 September hingga tengah hari 15 September.

Merdeka Center berkata, penyokong perhimpunan itu dikelaskan mengikut jantina, bandar dan luar bandar, serta garis sosio-ekonomi.


Perhimpunan itu kebanyakannya mendapat sokongan golongan lelaki – 31% berbanding 17% wanita, mereka yang lebih tua – 27% responden berumur lebih 40 berbanding 22% di bawah 40, dan mereka yang mempunyai akses kepada Internet – 25% berbanding 22% tanpa akses Internet.

Menariknya, 56% responden, yang mengaku penyokong Barisan Nasional (BN) berkata, mereka tidak menyokong perhimpunan tersebut.

Keadaan ini walaupun Setiausaha Agung BN Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa semua yang menyokong kerajaan untuk menyertainya, manakala Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak menghalang mana-mana ahli Umno daripada menghadirinya.

60% penyokong pembangkang dan 51% responden yang tidak pasti berkata, mereka tidak memihak kepada perhimpunan tersebut, kata Merdeka Center.

Ditanya mengapa mereka menyokong perhimpunan tersebut, 24% memberi alasan yang terdiri daripada mahu menjaga maruah orang Melayu (17%), memaparkan sokongan kepada kerajaan, BN atau Umno (2%) atau membantah Bersih 4 (1%).

Manakala, di kalangan mereka yang tidak menyokongnya, 19% berkata ia kerana perhimpunan tersebut akan mewujudkan huru-hara, 13% mengatakan ia tidak mempunyai objektif yang jelas, dan 7% mengatakan ia akan mewujudkan ketegangan kaum.

"Pada pendapat kami, kajian ini yang menyusul satu kajian sebelum ini berkaitan perhimpunan Bersih 4 pada 29 Ogos, mendedahkan yang sebahagian besar responden Melayu tidak tertarik kepada isu yang dipromosi pihak penganjur kedua-dua perhimpunan," kata Merdeka Center dalam satu kenyataan akhbar.

"Pengundi Melayu pada masa ini sebahagian besarnya lebih prihatin terhadap isu asas seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan dan perniagaan serta impak daripada cukai barangan dan perkhidmatan."

Katanya, hasil kajian menunjukkan, peratusan peserta perhimpunan itu nanti akan mencerminkan usaha mobilisasi penganjur, bukannya "penyertaan menyeluruh daripada pengundi Melayu".

Responden dari seluruh negeri dan wilayah di Semenanjung Malaysia ditemu bual melalui telefon untuk kaji selidik itu, kata Merdeka Center.

Kumpulan seni mempertahankan diri Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) menganjurkan "Himpunan Rakyat Bersatu" itu, juga digelar "perhimpunan baju merah", di Kuala Lumpur esok.

Perhimpunan itu dilaporkan bagi bertindak balas kepada Bersih 4 hujung bulan lalu, di mana majoriti peserta terdiri daripada bukan Melayu.

Selepas pada mulanya mengisytiharkan ia menyalahi undang-undang, polis kini membenarkan perhimpunan itu diadakan selepas penganjur mendapat kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggunakan Padang Merbok untuk berhimpun. -TMI


Baju Merah bukan pejuang Melayu, Bersih tak rasis

PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Himpunan Rakyat Bersatu yang akan berlangsung esok tidak memperjuangkan orang Melayu.

Sebaliknya, kata beliau, perhimpunan tersebut hanya sebagai tindak balas kepada perhimpunan Bersih 4.0 yang didakwa mereka didominasi oleh kaum Cina.

"Mereka adakan perhimpunan ini kerana mereka kata Bersih dulu adalah rasis. Tetapi perhimpunan Bersih dulu bukan rasis, semua bangsa ada bersama.

"Jadi mereka hendak jadikan Bersih ini rasis supaya mereka kononnya berjuang untuk orang Melayu. Mereka tidak berjuang untuk orang Melayu, tak payahlah ada (perhimpunan)," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama di Sekolah Keamanan Global Mahathir ke-4 anjuran Yayasan Keamanan Global Perdana dan Universitas Muhammadiyah Yogyakarta, di sini, hari ini.





Menteri Kesihatan nasihat orang ramai jangan sertai himpunan

SUBANG: Orang dinasihat supaya tidak mengambil risiko dengan menyertai Himpunan Rakyat Bersatu.

Nasihat itu diberikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam yang khuatir jerebu teruk akan menjejaskan kesihatan.

“Pada masa sekarang, IPU melebih bacaan 150. Lebih baik kurangkan aktiviti luar, termasuk perhimpunan, kalau jerebu tinggi lebih baik jangan ada, kerana ini akan beri kesan kepada kesihatan

“Kurangkan aktiviti luar seperti jangan joging diwaktu jerebu dan sila berhati-hati,” ujarnya dalam satu sidang media selepas merasmikan pembukaan Kampus Megatech Subang Jaya pada Selasa.

Mengulas mengenai perhimpunan itu, beliau berkata, MIC tidak pernah bersetuju dengan sebarang perhimpunan yang melibatkan kaum.

“Pendirian kita jelas, kita tidak sokong perhimpunan merah atau aman atau apa nama yang digunakan.

“Kita tak berapa sokong atas beberapa aspek antaranya secara prinsip kita tidak sokong apa-apa demonstrasi di jalan raya. Kalau orang India buat kita juga tidak akan sokong,” katanya.

Pada masa sama, Subramaniam turut menjelaskan himpunan seperti itu tidak akan membantu mengeratkan hubungan kaum di negara ini.


ULASAN GB

Walaupun mendapat sokongan kuat dari kerajaan UMNO BN dan pihak polis, rakyat perlu tolak Himpunan Merah esok.

Selain dari keadaan negara kini sedang dilanda jerebu dimana aktiviti luar seperti Himpunan Merah itu memabahayakan kesihatan, namun apa yang jelas, Himpunan Merah itu akan menyemarakkan api perkauman.

Seperti yang GB ulas sebelum ini, UMNO berselindung di sebalik Himpunan Merah sebagai talian hayat dan untuk survivalnya. Malaysia sedang menuju kehancuran di bawah UMNO BN.

Rasulullulah SAW bersabda:

“Laisa minna man da’a ila ‘assobiyyah, walaisa minna man qotala ‘ala ‘assobiyyah, walaisa minna man mata ‘ala ‘assobiyyah” ‘Bukan dari kalangan kami (ummat Nabi SAW) mereka yang menyeru di atas dasar assabiyah (perkauman),
bukan dari kalangan kami mereka yangt berjuang di atas dasar assabiyah dan,
bukan dari kalangan kami orang yang mati di atas dasar assabiyah’
lalu para sahabat bertanya: “mal ‘assobiyatu ya Rasulallah?” – ‘Apakah dia assobiyah itu wahai Rasulullah?’ Nabi menjawab: “Al-‘assobiyatu an tu’ina qaumaka ‘ala zulmi” – ‘Assobiyah itu ialah kamu menolong kaum kamu di atas dasar kezaliman.’


Hadith Rawahul Bukhari & Muslim. (Mutttafaqun ‘alaih).







IKLAN BERBAYAR