23 Apr 2015

[PANAS] Siapa Tanggung 250 Jemputan Ke Majlis Resepsi Di Kazakhstan?


Majlis resepsi anak PM selesai

Majlis resepsi perkahwinan anak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansur berlangsung dengan meriah di Almaty, Kazakhstan.

Menurut kenyataan yang disiakan Jabatan Perdana Menteri, majlis Nooryana Najwa Najib dan suaminya, Daniyar Kesikkbayev telah diadakan di Grand Ballroom, Hotel Royal Tulip dan dihadiri 250 jemputan dari Malaysia.

Ia berlangsung selama dua hari dari 17 hingga 19 April lalu. Berbeza dengan majlis di KLCC sebelum ini, ia diberikan liputan dan gambar pasangan serta keluarga masing-masing disiarkan media.

Sebelum majlis resepsi bermula, Perdana Menteri dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Nursultan Nazarbayev.

Di mana Najib?


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berada di Kazakhstan dan telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Nursultan Nazarbayev.

Berita mengenai lawatan itu disiarkan agensi berita luar negara itu, kazinform.

Dalam berita yang bertarikh 18 April 2015, Najib bersama rakan sejawatnya mengadakan perbincangan di Almaty.

Ia menyentuh perbincangan dua hala yang mencakupi kerjasama dalam bidang ekonomi, dagangan, pelaburan dan kemanusian.

Bagaimanapun laporan berita berkenaan tidak menyiarkan sama ada beliau diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor atau sebaliknya.

Usaha FMT untuk mendapatkan kesahihan berhubung lawatan Perdana Menteri ke negara berkenaan melalui Facebook dan Twitternya gagal kerana tiada sebarang status lawatan ke luar negara yang dikemaskini.
-FMT


ULASAN GB

Baru saja Tun Mahathir menyelar gaya hidup mewah Najib & Rosmah, tup-tup Najib dan Rosmah hilang lagi, rupa-rupanya ke Kazakhstan untuk majlis resepsi perkahwinan anaknya di sana.

Anehnya pemergian mereka ke sana lansung tidak diberitakan. Ianya hanya diketahui apabila akhbar di Kazakhstan yang memberikan liputan.

Dilaporkan seramai 250 orang jemputan dari Malaysia mengikuti rombongan tersebut. Wah ramai tu... Berapa kos dan siapa yang menanggung perbelanjaan? Mungkin ia acara persendirian Najib dan Rosmah dan tidak sepatutnya ditanggung oleh negara.

Tetapi berdasarkan maklumat di akhbar Kazakhstan satu pertemuan dua hala di antara Najib dan Presiden Kazakhstan telah berlansung pada Nursultan Nazarbayev pada 17 April yang lalu. Bererti lawatan Najib itu ke Kazkhstan itu adalah satu LAWATAN RASMI yang ditanggung dengan wang rakyat.

Apakah ia juga bererti kesempatan itu digunakan oleh Najib dan Rosmah membawa 250 orang jemputan untuk majlis yang bukan majlis rasmi negara iaitu majlis resepsi perkahwinan anaknya dengan ditanggung menggunakan wang rakyat?

Nampaknya dari awal, Najib dan PMO telah sembunyikan laporan Najib & dan Rosmah ke Kazakhstan itu bersama-sama lebih 250 jemputan dari pengetahuan rakyat.

Apa Sudah Jadi?


Hadi hormat akar umbi boikot PKR di Permatang Pauh

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menghormati keputusan akar umbi PAS yang dilaporkan akan memboikot kempen PKR dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh atas alasan parti itu menolak hudud.

Bagaimana pun katanya, beliau yakin pendirian itu tidak menjejaskan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR).

"Kita masih dalam PR. Kita menghormati akar umbi Permatang Pauh.

"Saya menghormati penyokong PAS di Permatang Pauh," kata Hadi pada satu program Bicara Minda & Sesi Dialog di Shah Alam hari ini yang bertajuk 'Hudud dari Kaca Mata Hadi'.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan tentang sikapnya terhadap PAS Permatang Pauh yang mahu memboikot kempen PKR di sana.

Sebelum ini, PAS Permatang Pauh juga memberi amaran boikot itu akan memberi kesan kerana sebahagian besar pengundi di Permatang Pauh adalah ahli PAS.

Kenyataan Hadi itu bagaimanapun berbeza dengan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali pada 20 April lalu.

Mustafa menjelaskan PAS Pusat muktamad menyokong pencalonan PKR di Permatang Pauh dan sebarang keputusan di peringkat atas mengatasi keputusan yang dibuat di peringkat akar umbi.

Yang Dipertua PAS Permatang Pauh Omar Hassan sebelum ini menegaskan PKR hanya akan memperoleh sokongan mereka menarik balik kenyataan menolak hudud.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon bagi PRK Permatang Pauh ialah pada 25 April, manakala pengundian jatuh pada 7 Mei.


Hadi enggan jawab undi siapa di Pmtg Pauh

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang nampaknya keberatan menyatakan sokongan secara terbuka kepada PKR di Permatang Pauh.

Beliau hari ini mengelak apabila diajukan soalan tentang siapakah yang patut diundi di Permatang Pauh.

Dalam forum “Bicara Minda Hudud dari Kaca Mata Hadi” anjuran Sinar Harian hari ini, Hadi diajukan soalan sama sebanyak dua kali oleh hadirin.

Ketika sesi soal jawab, seorang hadirin bertanya kepada Ahli Parlimen Marang itu siapakah yang patut di undi pada pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh.

Soalan itu ditimbulkan memandangkan PKR secara terbuka menolak pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan.

Bagaimanapun Hadi hanya mejawab: "Yang tanya itu tak undi (di) Permatang Pauh, jadi tak payah jawablah."

Kemudian, seorang lagi hadirin yang tampil memperkenalkan dirinya sebagai pengundi Permatang Pauh dan bertanyakan soalan sama.

Namun, Hadi sekali lagi mengelak untuk menjawab soalan itu.

"Mengundi lambat lagi. Saya tak boleh jawab lagi soalan itu.

"(Ini) kerana undi boleh dibeli pada bila-bila masa," katanya sambil ketawa.

Hormat PAS kawasan

Sementara itu, ditanya pemberita berhubung "fatwa" ulama akar umbi Permatang Pauh bahawa “haram undi calon tolak hudud”, Hadi hanya berkata PAS masih lagi berada dalam Pakatan.

Katanya, selepas tamat program itu, beliau menghormati pandangan PAS Permatang Pauh dan akan mendengar penjelasan lanjut daripada pihak itu.

"Kita masih (bersama) dalam Pakatan Rakyat. Adapun tentang (PAS) Permatang Pauh, saya tak boleh tengok berita melalui media sahaja.

“Saya akan dengar (daripada PAS) Permatang Pauh sendiri," katanya.

Ditanya apakah saranannya terhadap PAS kawasan itu, beliau hanya mengulangi kenyataannya dan berkata:

"Saya menghormati penyokong PAS di Permatang Pauh."

Laporan akhbar hari ini melaporkan, Ketua Urusan Ulama PAS Permatang Pauh Badrul Abdul Rahman sebagai berkata “haram mengundi calon tolak hudud”.

Sementara itu, ditanya mengenai kawasan yang ingin "menggulingkannya" sebagai presiden pada pemilihan PAS, Hadi hanya berkata:

"Masih banyak lagi kawasan yang menyokong saya.”

Nada beza Tuan Ibrahim

Sementara itu, Naib Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pula menyatakan nada berbeza dalam kenyataannya hari ini.

Tidak seperti Hadi, beliau yang yang bertanggungjawab memimpin jentera PAS dalam pilihan raya kecil Rompin, menyampaikan ucapan selamat berjaya kepada PRK di Permatang Pauh.

“Undi PAS di Rompin dan PKR di Permatang Pauh, Tolak GST (Cukai Barangandan Perkhidmatan), tolak Umno-BN!” katanya.

Ulama terkemuka itu turut menggesa supaya “perbezaan kecil” sesama sendiri diketepikan demi berdepan cabaran lebih besar, iaitu “ kezaliman Umno-BN”.

“Utamakanlah perjuangan bersama kita yang jauh lebih besar demi dan untuk masa depan rakyat Malaysia,” kata Tuan Ibrahim.
-mk



PAS rugi jangka panjang jika sabotaj PRK Permatang Pauh, kata penganalisis

PAS bakal menerima padah jangka masa panjang sekiranya parti Islam tersebut berhasrat mensabotaj dan tidak menyokong calon Pakatan Rakyat (PR) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, ramal penganalisis.

Di peringkat akar umbi, PAS Permatang Pauh secara terbuka menolak Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon, malah Dewan Pemuda PAS negeri juga dilihat enggan bekerjasama dalam kempen PRK kali ini.

Bagaimanapun, penyelidik Dr Bridget Welsh melihat sikap yang disifatkannya keras kepala tersebut akan mengundang padah kepada PAS dan berkata, parti itu bakal kehilangan banyak tempat lagi jika berterusan dengan pendirian provokasi sedemikian.

"Jika PAS gagal memberi sokongan dan terlibat dalam sabotaj, perkara ini tidak akan dilupakan," kata penyelidik bersekutu kanan di Center for East Asia Democratic Studies, Universiti Kebangsaan Taiwan itu kepada The Malaysian Insider.

"Mereka boleh ucapkan selamat tinggal dengan harapan menang kerusi di Pulau Pinang dan kerusi lain. Ini akan menjadikan PAS sebagai 'loser' (pihak yang tewas) untuk jangka masa panjang, hilang sokongan golongan muda Melayu dan menghakis kredibiliti mereka," katanya.

Katanya, lebih buruk lagi, PAS akan dilihat seolah-olah bersekongkol dengan Barisan Nasional (BN) yang bertanggungjawab menyumbat ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam penjara.

"Ia secara jelas menunjukkan mereka menyokong tindakan kerajaan BN ke atas Anwar dengan tidak membantu dalam pertandingan ini,"
katanya.

Perpecahan dalam PR disebabkan perbezaan pendapat dalam isu hudud, kata Welsh, tetapi jika PAS membuat keputusan berkecuali di Permatang Pauh, maka ia sepatutnya dipersalahkan dalam kemelut melanda gabungan pembangkang tersebut.

"Pembangkang secara keseluruhannya tewas kerana tumpuannya kepada isu hudud.

"Tetapi PAS Pulang Pinang ialah 'main loser' (pihak utama yang tewas) kerana isu hudud ialah simbolik kepada amalan tidak Islamik parti tersebut yang dilihat tamak, menipu dan pentingkan diri dengan memilih jalan kemusnahan ke arah memecahbelahkan negara, menghancurkan Perlembagaan Persekutuan dan banyak lagi," katanya.

Penyelidik itu berkata, PAS akan cuba menunjukkan ekurangan sokongan yang dijangkakan itu disebabkan pihak lain, tetapi ia sebenarnya merupakan tanggungjawab bersama, termasuk DAP dan PKR.

"Jika PAS pilih berkecuali di Permatang Pauh, maka mereka yang akan dipersalahkan," kata Welsh, yang juga penyunting buku ‘Bangkit - Tempoh Pentadbiran Abdullah Badawi di Malaysia’.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis, Dr James Chin, tidak menolak PKR mungkin tewas di Permatang Pauh, walaupun kerusi Parlimen tersebut dianggap kubu kuat, jika wujud sabotaj daripada parti Islam tersebut.

"PKR pasti menang, melainkan PAS sabotaj. Majoriti mungkin kurang, bergantung kepada jumlah pengundi yang keluar," kata pengarah Institut Asia Universiti Tasmania itu kepada The Malaysian Insider.

Chin melihat kerjasama antara PKR dan DAP masih memadai untuk membawa kemenangan kepada PR, tetapi perkiraan tersebut mungkin bertukar jika PAS aktif meneruskan kempen sabotajnya.

Perpecahan dalam gabungan tersebut dilihat jelas semasa majlis pelancaran jentera PKR bagi PRK itu pada 14 April yang tidak dihadiri pemimpin tertinggi PAS Pusat.

PAS hanya diwakili Ketua Muslimat PAS Pusat Siti Zailah Mohd Yusoff, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Datuk Dr Mujahid Yusof dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir Datuk Mohd Salleh Man walaupun parti sekutu lain diwakili pemimpin atasan mereka.

Walaupun Permatang Pauh dilihat kubu kuat PKR, Dr Azizuddin Mohd Sani berkata PAS masih mempunyai pengaruh kuat dalam menentukan keputusan pilihan raya, terutamanya di kawasan yang mempunyai ramai penyokong parti itu.

"Kubang Semang diketahui sebagai kubu PAS dan pengurangan undi mungkin akan berlaku di kerusi tersebut," kata penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia itu.

Sementara itu, Welsh berkata, beliau menganggap Dr Wan Azizah bukan sebagai 'jambatan' untuk PR tetapi sebaliknya 'gam' yang menyatukan PKR.

Dan, katanya PRK kali ini bukan pengakhiran kepada semua episod perbalahan di dalam PR, tetapi yang lebih memainkan peranan sebagai penentu ialah pemilihan PAS akan datang pada muktamar Jun ini.

"PRK ini ujian untuk semua, tapi bukan sesuatu yang muktamad untuk pembangkang secara keseluruhannya, kerana pemilihan PAS lebih penting," katanya.

Kerusi Permatang Pauh kosong selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan Anwar gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Keputusan itu sekali gus melucutkan kelayakan Anwar sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh yang disandangnya sejak 2008 berikutan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seseorang anggota Parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika dijatuhi hukuman penjara lebih setahun atau didenda lebih RM2,000.
-TMI


ULASAN GB

Apakah ini petanda jelas bahawa PAS amat memerlukan seornag Presiden yang baharu jika PAS mahu terus kekal dalam Pakatan Rakyat?