16 Mei 2009

Phobianya UMNO Dengan Perkataan Pilihanraya

Menjelang sisa-sisa hayat Umno yang masih tinggal, perkataan pilihanraya adalah sesuatu menjadi fobia kepada mereka. Umpama orang yang pernah melihat hantu, yang takut bila mendengar perkataan hantu. Umno sudah melihat bagaimana mereka ditewas dan diaibkan dalam pilihanraya. Bermula dari Pilihanraya Umum ke 12 sehinggalah pilihanraya raya kecil pasca PRU ke 12 Umno sudah melihat bagaimana mereka semakin ditolak oleh majoriti rakyat di negara ini walaupun di kawasan yang selama ini menjadi kubu, sarang dan kandang mereka sendiri. Siapa yang pernah menjangkakan Pas boleh menang di Johor? Umno juga tidak pernah terfikir yang mereka tewas di lima negeri kepada Pakatan Rakyat. Serba serbi tidak menjadi kali ini penyertaan Umno dalam pilihanraya.

Oleh itu pilihanraya di Perak dan Penanti menjadi igauan ngeri kepada Umno. Dari hari ke hari, zikir dan ucapan mereka hari ini ialah pilihanraya tidak perlu, membazirkan duit rakyat dan membuang masa rakyat. Sebenarnya itu cuma alasan bagi Umno yang fobia. Pernah tak Umno mengelak untuk menyertai pilihanraya seperti sekarang? Kalau dulu mereka cukup angkuh dan mendabik dada sehingga ada di kalangan mereka yang menyebut 'kalau Umno letak tunggul kayu atau batang pisang sekalipun sebagai calon pilihanraya mereka boleh menang'.

Hari ini mereka terpaksa menjilat dan menelan kembali kebongkakan dan kesombongan mereka. Kalau Umno merasakan buat pilihanraya di Perak membazir duit kerajaan (duit rakyat) saya cabar Umno jika mereka berani sama-sama bersetuju dengan Pakatan Rakyat untuk adakan pilihanraya semula di Perak, kos pilihanraya itu ditanggung melalui kutipan derma di kalangan rakyat. Saya yakin ramai rakyat yang akan tampil untuk menderma kepada kerajaan atau SPR yang penting pilihanraya dapat diadakan sebagai penyelesaian konflik politik di Perak. -angkasanuri


Hadi kekal Presiden, Seramai 86 Tandingi AJK Agung

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan Presiden PAS bila tiada calon yang mencabar beliau untuk jawatan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Dato' Mustafa Ali menegaskan hanya satu kawasan yang mencalonkan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menentang Hadi sebagai Presiden dalam pemilihan parti Jun nanti.

Setiap calon, tegas Mustafa, perlu mendapat dua pencalonan bagi melayakkan diri bertanding mana-mana jawatan yang dipertandingkan.

"Bila tarikh pencalonan ditutup 8 Mei lalu, hanya PAS kawasan Bukit Bintang mencalonkan Nik Aziz untuk bertanding jawatan Presiden.

"Lain-lain kawasan tetap mencalonkan Hadi dan kerana itu beliau yang telah menyatakan persetujuan untuk mengekalkan jawatan menang tanpa bertanding," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Menurut Mustafa, sehingga tarikh tutup menghantar pencalonan sebanyak 137 kawasan daripada 176 kawasan telah menyerahkan senarai pencalonan mereka.

Baki 39 kawasan yang lain gagal menghantar senarai pencalonan mereka atau gagal mengadakan mesyuarat agung sebelum tarikh tutup pencalonan yang telah ditetapkan.

Seramai 125 calon layak bertanding jawatan-jawatan utama dalam parti.

Setiap calon perlu mendapatkan dua pencalonan bagi melayakkan diri untuk bertanding.

Calon-calon yang layak juga telah dihantar surat menyatakan jumlah pencalonan diterima dan perlu menjawab surat tersebut sama ada akan bertanding atau menarik diri.

Tarikh tutup membalas surat tersebut pada 25 Mei nanti.

Mustafa juga menjelaskan calon-calon yang menarik diri selepas bersetuju untuk bertanding, nama mereka akan tetap dicetak dikertas undi.

"Jumlah pencalonan kali ini merupakan terbanyak berbanding pemilihan yang diadakan sebelum ini," jelas beliau.

Bagi jawatan Pengerusi Tetap sebanyak dua calon layak bertanding manakala Timbalan Pengerusi Tetap enam calon layak bertanding.

Ustaz Abu Kassim Abdullah dan Hussain Ismail merupakan calon yang layak bertanding jawatan Pengerusi tetap.

Hussain turut dicalonkan untuk jawatan timbalan pengerusi tetap bersama Ishak Surin, Misbahul Munir Masduki, Nasuruddin Daud, Tengku Puji Tengku Hamid dan Dato' Wan Abdul Rahim Abdullah.

"Bagi kedua-dua jawatan ini hanya seorang bakal terpilih bila perwakilan membuat undian nanti," jelas Mustafa.

Lima orang dicalonkan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden yang kini disandang oleh Ustaz Nasharuddin Mat Isa.

Empat calon lain untuk jawatan timbalan presiden terdiri daripada Dato' Husam Musa, Mohamad Sabu, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dan Dato' Dr Haron Din.

Husam, Mohamad Sabu, Nasharuddin dan Azizan turut menerima pencalonan bagi jawatan Naib Presiden bersama 12 calon lain.

12 calon tersebut terdiri daripada Salahuddin Ayob, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Dato' Mahfuz Omar, Ustaz Ahmad Awang, Dato' Ustaz Harun Taib, Dato' Dr Hassan Mohd Ali, Ustaz Idris Ahmad, Dato' Kamaruddin Jaffar, Dato' Mohd Amar Abdullah, Dr Mujahid Yusuf Rawa, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin dan Ustaz Taib Azamuddin Md Taib.

Tiga orang daripada 16 calon ini bakal menduduki kerusi Naib Presiden bagi penggal 2009 ke 2011.

Seramai 86 orang layak bertanding bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dimana 10 daripada mereka terdiri daripada calon wanita.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Nuridah Saleh antara yang dicalonkan untuk jawatan tersebut selain Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali dan Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud.

Exco kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, Dr Halimah Ali dan Senator Mumtaz Md Nawi juga turut dicalonkan untuk jawatan ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat.

Hanya 18 orang calon bakal dipilih untuk jawatan ini daripada 86 pencalonan yang diterima.

Bagi jawatan Pemeriksa Kira-kira, seramai sembilan orang calon layak bertanding dimana hanya dua orang bakal terpilih. -harakahdaily




Anifah Ambil Lamkah Mengampu Najib Altantuya

.Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Menteri Luar bahawa beliau pernah menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Datuk Anifah Aman.

Peguam Anwar, Sankara Nair ketika dihubungi TV Antara berkata dakwaan Anifah itu berbaur fitnah dan Anwar telah mengarahkan beliau menghantar surat tuntutan mendesak Anifah menarik balik kenyataan beliau.

"Pihak kami memberi Menteri Luar tempoh 24 jam supaya beliau memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau itu.

Sekiranya gagal kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau kerana memfitnah Datuk Seri Anwar," kata Sankara.

Sankara mempertikaikan motif Anifah mencalar imej Anwar pada pertemuan beliau dengan Setiausaha Negara Amerika, Hilary Clinton di Washington Khamis lalu.

"Apa yang ditanya oleh Clinton ialah mengenai perkembangan perbicaraan kes liwat yang dianggap mempunyai agenda politik oleh kerajaan Amerika dan tidak ada kena mengena dengan peribadi Anwar

"Mengapa pula beliau (Anifah) mengambil kesempatan tersebut untuk memburuk-burukkan Anwar di hadapan Clinton dan media antarabangsa.

"Kalau dakwaan beliau benar mengapa tidak beliau dedahkan pada masa episod 16 September tahun lalu dan mengapa sekarang? Sudah tentu kenyataan beliau mempunyai niat tertentu untuk merendah-rendahkan kedudukan dan imej Anwar di luar negara," tegas Sankara lagi.

Pada pertemuan dengan Clinton di pejabat beliau di Washington dan semasa sidang akbar Anifah mendakwa Anwar membuat tawaran jawatan kepada beliau ketika timbul ura-ura Ahli-Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional mahu melompat ke Pakatan Rakyat.

Anifah juga mengambil langkah defensif mempertahankan Perdana Menteri Najib Razak berhubung dakwaan kaitan beliau dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu. -TVA


UMNO BN Terkedu: Semua Petunjuk Rakyat Mahu Pilihanraya Di Perak

Media UMNO/BN Kata Najib Perlu Bubarkan DUN dan Pilihanraya Perlu Diadakan Di Perak!!

Dua hari lepas, DS Najib PM Satu Malaysia telah menobatkan dirinya sebagai PM Rakyat. Antara lain beliau mendefinisikan PM Rakyat sebagai PM yang dapat merasai denyut nadi rakyat dan mendengar suara rakyat. Dengan kata-kata lain, Najib berjanji untuk melaksanakan apa kehendak rakyat.

Antara topik popular yang dibincangkan rakyat kini tidak kira di kedai kopi, di warung teh tarik, di kopitiam, di ruang menunggu pesakit hospital, di rumah kenduri, di surau dan masjid malah ketika menziarahi mayat ialah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak. Rata-rata berkata: bubarkan DUN, kembalikan hak kepada rakyat memilih kerajaan yang sah.

Tapi tentu Najib PM Satu Malaysia dan barisan kabinetnya kata itu cakap tepi jalan, mana boleh pakai. O.k, kalau begitu, kita lihat pula cakap tidak tepi jalan, cakap dalam rumah, cakap yang sedikit boleh dipertanggung jawabkan. Kita lihat pula undian di dalam media kita mengenai isu yang sama. Tapi jangan ambil undian dari media alternatif, dari blog pro-PR. Kalau ambil dari situ, pasti keputusannya sudah boleh dibaca, sudah boleh diramal.

Jadi kita ambil undian dalam media pro-BN. Dan lihatlah keputusannya di sini:

Keputusan Undian SMS Dalam NTV7 (Edisi Bahasa Inggeris) Jam 8.00 Malam 14.5.2009

Pilihanraya baru diadakan di Perak bagi menyelesaikan kekalutan politik Perak

Ya: 99%
Tidak: 1%

Keputusan undian Berita Harian Online pada hari ini (16.5.2009)



Wajarkah Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubar bagi membolehkan pilihanraya negeri diadakan?

Ya 87.7%
Tidak 10.6%
Berkecuali 1.7%

Keputusan undian MStar Online pada hari ini (16.5.2009)


Siapakah yang layak menjadi Menteri Besar Perak?

Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir 34.2%

Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin 65.8%

Najib sudah mengisytiharkan dia adalah PM Rakyat yang akan merasai denyut nadi rakyat dan mendengar suara hati rakyat. Dan tinjauan pendapat di atas adalah salah satu dari suara hati rakyat. Suara hati rakyat yang meminta DUN Perak dibubarkan. Suara hati rakyat yang lebih meyakini Nizar dari Zambry sebagai Menteri Besar.

Apa lagi yang Najib tunggu? Buktikan anda adalah PM Rakyat sebagaimana yang anda sendiri mengisytiharkannya!! Nasihatkan Sultan Perak untuk bubarkan DUN!!!! - pendikargunungkriang/Greenboc



Nizar Zambry : Tidak Ada Lagi Melayu Seberani Munsyi Abdullah


Telah berkata Abdullah Munsyi dalam kitabnya Kisah Pelayaran Abdullah Ke Kelantan: “Syahdan adalah sebab segala perkara ini jadi, sebab aniaya rajanya dan tiada betul perintahnya. Maka pecahlah hati segala rakyat.” (Edisi Amin Sweeney, 2005, hal. 119). Sungguh tajam dan menghiris kemarahan orang yang setia, tak kira kepada siapa, bila membaca komen Abdullah ini. Kini tak ada lagi Melayu yang berani macam Abdullah; lagi pula Abdullah bukan Melayu betul, tapi Melayu Tamil Islam.

Kalau beliau masih hidup, tak ada halangan baginya masuk UMNO; tapi kenalah bakar kitab-kitabnya terlebih dulu dan bersumpah di mana-mana tempat yang sesuai tak mahu menderhaka lagi (kepada sesiapa sekali pun). Abdullah membuat komen itu ketika mengulas tabiat anak-anak raja Kelantan ketika itu yang pemalas, zalim memeras rakyat, rampas harta rakyat walau sebiji beras sekali pun, dan paling buruk kuat sungguh hisap ganja, candu dan segala benda yang memabukkan dan mengkhayalkan.

Mujurlah kini tidak ada lagi anak-anak raja macam itu, apatah lagi sultan-sultan pun tidak boleh lagi jadi zalim kerana semua sultan menjadi sanjungan rakyat. Tak munasabah jika raja-raja bertindak zalim padahal semua rakyat sanjung dan sembah mereka. Oleh itu cerita Abdullah Munsyi ini sudah berlalu, tidak ada apa-apa lagi yang hendak diceritakan tentang keburukan raja-raja dan anak-anak raja kerana ada di antara mereka yang jauh lebih cerdik daripada Abdullah sendiri, pandai berkata-kata dan pandai pula menulis karangan yang jauh lebih bermutu daripada tulisan Abdullah sendiri (gambar, petikan daripada buku 'Hikayat Abdullah)

Tetapi ada satu perkara yang menjadi idaman semua rakyat, terutama rakyat Perak. Apa agaknya komen Abdullah Munsyi sekiranya dia lihat sendiri, macam di Kelantan, peristiwa yang berlaku di Perak. Adakah beliau akan ulang kata-katanya yang dikutip di atas? Tidak mungkin Abdullah mengulangnya, kerana risikonya sangat besar. Abdullah yang cerdik dan menerima pendidikan terbaik daripada Inggeris, tidak akan menyusahkan dirinya menulis sesuatu yang benar jika dengan berbuat demikian dia akan masuk bilik tahanan kerana menghasut dan mencaci raja-raja Melayu.

Sekarang timbul soalan akademik yang sangat menarik untuk dibincang oleh ahli-ahli akademik yang cerdik dan pintar (bukan jenis yang selalu keluar di TV). Soalan itu ialah: Adakah ini bermakna Abdullah boleh bercakap benar di bawah pemerintahan Inggeris, dan kita semua digalakkan berbohong setelah merdeka? Jika soalan itu nakal, macam mana pula soalan yang tidak nakal yang membayangkan maksud soalan nakal itu? Di sinilah kehebatan Abdullah, dan cara tadbir Inggeris. Di bawah lindungan Inggeris, Abdullah boleh bercakap benar, dan dari situ kita tahu perangai sebenar anak-anak raja Kelantan.

Kini setelah merdeka, di bawah lindungan siapa pula yang membolehkan kita bercakap benar? Barulah kita tahu, jika kita pakai otak sedikit, kita tidak mempunyai pelindung itu. Perlembagaan? Tikus pun akan tertawa jika ada manusia yang mengharapkan pergantungan kepada Perlembagaan. Apa juga yang ada dalam Perlembagaan hanya berguna jika anda berkuasa. Sekali lagi Abdullah lebih hebat daripada kita semua, padahal menurut kita dia berada di bawah penjajahan Inggeris, malah ada yang kata dia talibarut Inggeris.

Tapi kita yang tidak jadi talibarut sesiapa ini, mengapa tidak boleh bercakap benar? Kita mahu tahu mengapa kegilaan yang berlaku di Perak itu terjadi dan berlarutan pula. Siapa punya kerja? Perlembagaan tidak membenarkan kita bercakap, tetapi untuk terus menutup mulut tidak boleh, kerana kebenaran tidak mungkin ditutup oleh sesiapa sekali pun. Mesti ada tokoh atau tokoh-tokoh yang bersalah dalam kes ini. Alangkah baiknya jika ada di antara kita seorang Abdullah Munsyi abad 21 yang seberani dan setulus beliau. Dalam keadaan sekarang, kita hanya boleh bermimpi. Tetapi mimpi itu pun mesti ikut Perlembagaan.

Demikianlah hebatnya undang-undang Malaysia yang kita semua bikin dan luluskan. Akhirnya kita semua harus terima amaran orang tua-tua kita dalam dongeng mereka: kita tidak boleh percaya kepada undang-undang beruk dan kepada hakim beruk. Bilakah pula cerita ini akan diharamkan dalam Dewan Rakyat melalui peruntukan Perlembagaan? Selagi dongeng itu tidak diharamkan, selama itulah rakyat akan terus bertanya untuk mencari kebenaran. Kecuali jika kebenaran itu sendiri pun telah ditelan oleh Sang Beruk. (14/5/2009). - Mohd Affandi Hassan

Lebih Ramai Pemimpin UMNO BN Yang Tunjukkan Kedayusan Mereka hadapi Pilihanraya

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menghina rakyat Perak apabila mendakwa pilihan raya semula di negeri itu bagi menyelesaikan krisis politik hanya akan mewujudkan polarisasi kaum, kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Pilihan raya kecil baru sahaja berlangsung di Bukit Gantang. Jika Nazri gagal membuktikan wujudnya polarisasi kaum akibat pilihan raya kecil itu, beliau terdedah kepada tuduhan cuba melakukan provokasi ketegangan kaum secara halus.

"Jika beliau berniat melakukan perkara itu, eloklah segera memohon maaf kepada rakyat Perak malah seluruh rakyat Malaysia. Nazri sudah tua, eloklah memohon maaf sebelum terlambat," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Beliau berkata, dalam pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan di Bukit Selambau, rakyat dari pelbagai kaum bersatu dalam satu suara yang begitu padu untuk menolak Barisan Nasional.

"Di Bukit Gantang misalnya, rakyat membuktikan perpaduan yang luar biasa erat apabila sama-sama bangkit menolak Barisan Nasional.

"Gelombang sokongan kepada calon PAS dalam pilihan raya itu berlaku serentak tidak kira dari pengundi beragama Islam atau bukan Islam. Adakah itu polarisasi kaum?" katanya.

Mahfuz menyifatkan kenyataan Nazri itu mendedahkan dirinya sendiri kepada tuduhan buta sejarah, buta fakta, buta istilah, buta politik malah pelbagai kebutaan yang lain.

"Kenyataan Nazri itu hakikatnya adalah penerusan kempen berbau perkauman yang dilakukan oleh Umno sejak selepas pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu.

"Kemuncaknya kita lihat dalam pilihan raya Bukit Gantang apabila Umno membangkitkan keresahan rakyat dengan mendakwa orang-orang Melayu kini tergugat dan berada dalam darurat.

"Orang Melayu tidak tergugat dan tidak berada dalam darurat, Umnolah yang sebenarnya tergugat dan berada dalam darurat terutama selepas pesta rasuah menjelang dan pada pemilihan parti itu baru-baru ini," kata beliau.

Amat malang, katanya lagi, apabila Umno cuba mendapat talian hayat dengan mengapi-apikan sentimen perkauman.

"Umno enggan menerima hakikat bahawa arus perdana rakyat Malaysia hari ini ialah menolak Barisan Nasional.

"Perkara itu jelas apabila bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri yakin Barisan Nasional akan kalah jika pilihan raya diadakan semula di Perak.

"Sebab itulah pemimpin-pemimpin Umno menggeletar ketakutan apabila diminta mempersetujui pilihan raya itu," katanya.

Bernama melaporkan Nazri berkata, desakan supaya diadakan pilihan raya negeri Perak bagi menyelesaikan krisis politik di negeri itu hanya akan mewujudkan polarisasi kaum.

Beliau berkata dalam keadaan politik sekarang, sentimen perkauman begitu menonjol dan dikhuatiri para pengundi akan memilih calon daripada kalangan bangsa sendiri.

"Buat apa kita adakan pilihan raya sekiranya memecah-belahkan rakyat," katanya. -harakahdaily

Zahid Sedar UMNO BN Akan Kalah Jika Pilihanraya Berlaku Di Perak

Bernama melaporkan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pilihan raya negeri Perak tidak perlu diadakan dan cara terbaik untuk menyelesaikan krisis politik ialah dengan mengadakan persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Walaupun kes (Menteri Besar Perak) sudah dibawa ke Mahkamah Rayuan tetapi rakyat pada keseluruhannya tidak mahu ada kekecohan politik di negeri Perak ini sekiranya pilihan raya diadakan," katanya di sini.

Desakan diadakan pilihan raya negeri dibuat oleh pembangkang yang kini tidak lagi mempunyai majoriti dalam Dewan, katanya.

Banyak pihak menyelarkan kenyaan Zahid yang dilihat menentang arus dan kehendak rakyat Perak yang rata-rata inginkan pembubaran DUN dan pilihanraya diadakan di negeri Perak.

Sekalipun Paktan Rakyat kini dikatakan tidak mempunyai majoriti dalam dewan, namun majoriti rakyat menyokong Pakatan Rakyat.

UMNO BN mempunyai majoriti di dalam dewan undangan negeri Perak hasil dari taktik kotor dengan menculik dan menyogok ahli-ahli Pakatan Rakyat yang khianat kepada para pengundi mereka, sedangkan hakikatnya lebih ramai rakyat Perak kini bersimpati dan menyokong Pakatan Rakyat.

Ini terbukti dengan terdapatnya pungutan suara baru-baru ini dimana selain Pakatan Rakyat, sebilangan besar badan bukan kerajaan dan beberapa pandangan dari ahli komponen BN sendiri yang bersetuju perlunya diadakan pilihanraya semula di negeri Perak.

"Zahid boleh menipu dirinya sendiri tetapi Zahid tidak boleh menipu rakyat Perak. Malah rakyat di kerusi Parlimen Bagan Datoh sendiri yang kini dipegang oleh Zahid juga turut mendesak DUN dibubarkan dan pilihanraya diadakan segera di Perak," kata seorang penduduk dari bagan Datoh hari ini.

"Apa yang nyata UMNO-BN sebenarnya takut dengan pilihanraya kerana mereka sedar mereka akan kalah," tambahnya.

Najib Altantuya PM Rakyat, Benarkah?

JJika benar Dato' Seri Najib Tun Razak mahu menjadi 'Perdana Menteri Rakyat' sebagai bukti yang terbaik dan mukadimahnya beliau harus kembalikan hak rakyat Perak yang sudah 100 hari menjadi mangsa politiknya, demikian lapor harakahdaily.

AJK PAS Pusat Dr Mujahid Yusuf Rawa, menyeru sebagai mukadimah untuk menggelarkan Najib sebagai perdana menteri rakyat beliau haruslah membela hak rakyat Perak untuk memilih parti mana yang mereka mahu.

"Selagi Najib tidak buktikan yang terbaik misalnya di Perak, beliau bukan 'Perdana Menteri Rakyat', jika beliau beri hak kepada rakyat kita boleh terima beliau sebagai permulaan sebagai 'Perdana Menteri Rakyat'," katanya semasa dihubungi.

Mujahid juga membidas BN, yang tidak malu dengan pengundinya di Perak yang hanya tinggal 46 peratus berbanding Pakatan Rakyat sebayak 54 peratus apabila tiba-tiba merampas negeri itu serta mengheret Speaker V.Sivakumar keluar dewan undangan negeri.

"Macamana Najib biarkan Zambry membuat rayuan di mahkamah rayuan supaya menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Nizar jadi Menteri Besar. Najib telah menambah masalah kepada rakyat Perak," katanya.

Amat malanglah bagi rakyat, kata Mujahid, apabila Najib baru hendak bermesra dan memperjuangkan rakyat sedangkan Pakatan Rakyat lebih awal mementingkan hak rakyat.

"Ini bermakna selama ini BN tidak perjuangkan rakyat, sebelum ini tidak perjuangkan sebab baru hari ini nak jadi 'Perdana Menteri Rakyat' malanglah bagi rakyat.

"Pakatan Rakyat lebih awal, BN parti yang tidak punya aspirasi rakyat, sebab baru sekarang nak jadi pemimpin rakyat, dulu kata BN perjuangkan rakyat, bohonglah!" katanya.

Justeru katanya, Najib tidak ada 'political will' dan hasratnya mahu menjadi perdana menteri rakyat hanya retorik hendak menyedapkan halwa telinga rakyat.

Najib dilaporkan berkata akan sentiasa bersama-sama dengan rakyat dan akan terus bersama-sama rakyat ketika menyampaikan amanat pada majlis perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru- baru ini.

Tegasnya, tidak sepatutnya wujud anggapan bahawa beliau merupakan anak golongan bangsawan.

"Kita mesti lihat kepada hala tuju negara, kita mesti faham, mesti merasai denyutan nadi rakyat, nadi negara, kuasa rakyat, kita mesti merasainya," kata Najib.


.

Hishamuddin dan Musa Hassan Juga Boleh Dipenjara - Peguam

Badan Peguam Malaysia akan menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri bagi mendesak beliau memecat Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein berhubung kenyataan beliau baru-baru ini yang mendakwa golongan peguam tidak mengatasi undang-undang negara.

Badan tersebut juga akan memfail saman terhadap kerajaan Malaysia dan Ketua Polis Negara berhubung penahanan tersebut.

Hishammuddin membuat kenyataan tersebut berkaitan insiden penahanan lima peguam di depan Balai Polis Brickfields 7 Mei lalu.

Mereka adalah antara 20 yang ditahan dalam perhimpunan kecil menyalakan lilin bagi menyokong Wong Chin Huat, jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), yang direman di balai tersebut sehari sebelum itu.

Lima peguam dari Biro Bantuan Guaman termasuk pengerusinya Ravinder Singh Dhalliwal hadir di depan balai polis tersebut tujuan memberi bantuan guaman terhadap sekumpulan 15 orang yang ditangkap kerana berhimpun sebagai tanda sokongan kepada Wong.

Badan Peguam yang membuat keputusan tersebut selepas mengadakan mesyuarat agung luar biasa di Petaling Jaya tengahari tadi.

Badan itu juga mendesak supaya Ketua Polis Negara, Musa Hassan dan Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid serta DSP Jude Pereira dipecat.

Tindakan penahanan lima peguam itu juga dikutuk keras dan disifatkan penahanan itu tidak sah di sisi undang-undang.

Presiden Badan Peguam, K. Ragunath berkata jika golongan peguam tidak mengatasi undang-undang maka pihak polis juga tidak boleh bertindak sesuka hati dan di luar batasan kuasa. -tva


Selagi Tiada Pilihanraya: Najib Altantuya Terus Tidak Dihormati

Sebuah kedai buku terkenal di Kuala Lumpur di dakwa mempersendakan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak dengan melekatkan tanduk kertas di songkok dan memutihkan warna pada muka hadapan wajah beliau di buku "Najib Razak: Pendakian Ke Puncak Kuasa" karya Chamil Wariya.

Walaupun perbuatan ini dianggap tidak menghormati pemimpin negara ia juga boleh ditafsirkan sebagai kemarahan rakyat terhadap beliau.

Ini berikutan krisis politik Perak yang berlanjutan sejak tiga bulan lalu dan Najib didakwa bertanggungjawab mencetuskan kemelut tersebut.

Tidak diketahui sama ada buku tersebut telah dialihkan oleh pihak pengurusan kedai buku itu atau ianya masih berada di rak buku untuk tontonan pelanggan.
Buku itu terletak di antara beberapa buah buku mengenai Najib tetapi hanya buku tersebut yang dicemarkan.

Hakim Benarkan Rayuan Zambry Disebut Dalam Kes VK Lingam

AAhli Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan Badrul Hisham Shahrin hari ini mendedahkan bahawa Hakim yang membenarkan rayuan Zambry Abdul Kadir untuk mengantung keputusan Mahkamah Tinggi mengenai Menteri Besar Perak yang sah adalah diantara nama yang disebut oleh VK Linggam.

Beliau yang memberitahu Suara Keadilan, VK Linggam yang telah mengemparkan negara dengan perbualan telefon mengenai ketirisan sistem kehakiman negara ini telah menyebut nama Ramly Ali.

“Mengikut perbualan itu, VK Linggam telah menyebut nama tiga orang yang sepatutnya hendak dilantik sebagai hakim. Mereka adalah Heliliah Mohd Yusof, Ramly Ali dan Ahmad Maarof. Ketiga-tiga nama ini telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi oleh Yang Dipertuan Agung pada 1 February 2002,” katanya dalam kenyataan yang diterima oleh kami.

Jelas Badrul yang juga Ketua KeADILan Rembau, semua hakim yang telah disebut oleh Linggam haruslah disiasat atau diberhentikan kontrak mereka.

Dalam pendedahan yang sama menurut Badrul, Ahli Parlimen Jelutong telah mengatakan bahawa, Hakim Ramly telah dilantik menjadi Hakim Mahkamah Rayuan pada 15 April lalu, iaitu 27 hari sebelum Zambry merayu kes ini di Mahkamah.

Namun, jelas Badrul, ianya telah terbalik, mahkamah telah menaikan pangkat Ramly untuk menjadi hakim di Mahkamah Rayuan.

“Sepatutnya hakim-hakim yang dinamakan oleh Linggam ini disiasat atau diberhentikan kontrak mereka, bukannya dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan. Dan tidak sepatutnya mereka mendengar kes yang begitu serius dan besar seperti ini.

“Dan kita pun nampak betapa mudahnya Hakim Ramly ini mendengar kes rayuan dari Zambry MB Haram. Mungkin Hakim Ramly ini terhutang budi dgn UMNO. Apa pun beliau bukan seorang hakim yang boleh diyakini sebagai tidak memihak kerana perlantikan beliau sebagai hakim adalah atas ihsan Umno melalui VK Linggam,” katanya lagi.

Mahkamah, jelas Badrul, tidak mencermin keadilan apabila Nizar terpaksa menunggu lima hari untuk mendengar rayuan dihadapan tiga orang hakim, manakala bagi Zambry pula, mahkamah hanya mengambil 2 jam mendengar kes berkenaan selepas difailkan jam 9.30 pagi dengan hanya satu hakim.

“Kes sebesar ini seharusnya didengari oleh sebuah panel hakim yang tidak kurang dari 3 orang dan mestilah dari kalangan hakim yang tidak terpalit skandal dan mempunyai pengalaman yang lama,” katanya yang merujuk ketidakadilan yang berlaku dalam kes rayuan Zambry.

12 Februari lalu, mahkamah rayuan telah membenarkan permohonan Zambry ditangguhkan pelaksanaan perintah pengisytiharan itu sehingga kes rayuannya selesai diputuskan oleh mahkamah yang dibuat sehari sebelum itu.

Keesokan harinya pula, Nizar memfailkan rayuan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang dibuat oleh Ramly yang membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi yang akan didengar 16 Mei ini. -suarakeadilan

Ulasan GB: Demi menegakkan kebenaran dan keadilan, keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi yang dipohon oleh Zambry hendaklah dengan ini dibatalkan dan institusi kehakiman perlu dibersihkan daripada hakim-hakim yang khianat lagi pendusta kepada rakyat. Kutukan paling hina kita harapkan dari Allah ditimpakan ke atas hakim-hakim yang telah melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan etika kehakiman dan membelakangkan prinsip kebenaran dan keadilan sehingga menjadikan mahkamah di negara ini sebagai mahkamah kangaroo yang pastinya telah menjadi kuda tunggangan pihak-pihak tertentu.

Mahkamah yang sepatutnya menjadi tempat serta payung untuk rakyat menuntut kebenaran dan keadilan dicemari dan dicabuli oleh hakim-hakim pengkhianat dan pendusta ini dan selagi pembersihan tidak dilakukan terhadap institusi kehakiman di dalam negara ini selagi itu seluruh rakyat perlu bangun menentang segala kepincangan yang dilakukan oleh tangan-tangan ghaib memperkudakan badan kehakiman negara.

Bermohonlah kita semua kepada Allah s.w.t. agar kebenaran didedahkan dan keadilan ditegakkan, disamping hukuman keras ditimpakan keatas mereka yang durjana yang sanggup melacurkan badan kehakiman negara ini untuk kepentingan mereka.



Tabiat Hodoh Dan Buruk UMNO Sejak 63 tahun Lalu

Najib, PM Malaysia berbohong lagi. Beliau menipu lagi rakyat. Beliau dakwa apakah salahnya BN dalam isu Perak. Sebentar tadi media TV3 suku bersekongkol menyiarkan kenyataan Najib yang menggambarkan ketololan itu.

Apa hujahnya sekalipun Penasihatnya Dr M. Sudah memperjelaskan bahawa UMNO BN gopoh dalam menawan Perak. Beliau tidak memperincikan, malah bagi UMNo yang terkenal dengan KMD(Kajian Masa Depan), SB, Perisik tentera, JKKK, UMNO Kg dan jentera Penerangan di Kementerian Penerangan yang dibayar gaji oleh 'kita' tetapi bekerja untuk BN UMNO masih gagal memberikan hujah-hujah yang menyakinkan.

Kalaulah itu, yang diambil kira kenapa dan mengapa Mahkamah Tinggi tetap kekalkan keputusannya bahawa Ir Nizar Jamaluddin sebagai MB Perak yang sah. Apa hujah mereka. Kalau Mahkamah yang Adil lagi saksama pun mereka tidak ikut apakah mahkamah yang mereka mahu pakai dan guna. Mungkin mereka mahu gunakan Hakim Beruk dan Hakim Nafsu sebagai pegangan dan panduan mereka.

Semangat kedegilan, tidak hormat kepada semua institusi yang berbuat keputusan tidak menguntungkan kumpulan mereka, semua nya akan menjadi musuh mereka. Kita tunggulah Hakim Mahkamah Tinggi ini akan 'diajar' kerana gagal mengikut telunjuk mereka. Sifat pendendam UMNO adalah cukup lama. Dalam hal ini KSN pun akan ikut mereka.

Jika mereka buat apa sahaja kepada rakyat, itulah 'keadilan' dalam konteks penafsiran dan kehendak mereka. Maka semua keputusan tindak buat mereka tidak boleh dicabar. Sesiapa yang mencabar akan diajar akan cabaran seseorang itu. Walaupun atas apa nama tindakan, tindakan akan tetap mereka akan kenakan ke atas seseorang itu.

Kini, sultan diseret sama dalam masalah Perak. Menggambarkan sultan juga dungu dalam menafsir dan mengikut perlemabgaan Perak. Mereka memang sukakan kambing lebih-lebih lagi kambing hitam sesiapa sahaja sejak 50 tahun dahulu lagi. Itulah tabiat hodoh dan buruk UMNO. -perantaukite


ZAMBRY MUKA TAK TAHU MALU

Ramai yang terkejut dengan apa yang telah berlaku awal minggu ini. Mula-mula DS Nizar diumumkan sebagai Menteri Besar yang sah di Mahkamah Tinggi. Tuan Hakim menyebut bahawa DS Nizar tidak pernah tidak menjadi Menteri Besar semenjak perlantikan beliau pada bulan Mac tahun lepas. Ini bermakna bahawa semenjak Februari tahun ini apabila rompakan kuasa dilakukan oleh BN, DS Zambri merupakan Menteri Besar Haram. Sijil haramnya disahkan oleh mahkamah tinggi! Zambri telah menjawat jawatan MB secara tidak sah, berlagak sebagai MB sedangkan beliau tidak mempunyai apa-apa hak untuk mengisi jawatan tersebut.

Sepatutnya Zambri merasa malu dengan keputusan itu dan bersegera untuk meyerahkan balek jawatan yang dia tidak layak memegang itu. Malangnya sesuai dengan gelaran di atas, beliau bertindak untuk menyekat dan menangguh perlaksanaan keputusan mahkamah tersebut dengan mendapatkan ‘stay order’ dari mahkamah rayuan.

‘Stay order’ ini tidak bermakna bahawa keputusan Mahkamah Tinggi tersebut ditolak atau diterbalekkan. Ia hanya menunda perlaksanaan keputusan mahkamah tersebut. Ertinya, mahkamah rayuan tidak menolak keputusan mahkamah tinggi. DS Nizar diakui MB yang sah. Hanya tak boleh lagi diberikan kembali jawatan MB kepadanya kerana ada ‘stay order’. Oleh itu, dakwaan bahawa Zambri kembali sebagai MB yang sah adalah satu dakwaan yang palsu dan memalukan. Bagi mereka yang tahu malu.

Tidak puas dengan menyamar sebagai MB selama 3 bulan lebih, Zambri berjaya melanjutkan lagi tempoh untuk dirinya terus menyamar. Muka tak malu sungguh! Sekiranya nak tunggu tarikh perbicaraan di mahkamah rayuan untuk menolak keputusan mahkamah tinggi sekalipun, sepatutnya Zambri mengakui buat masa ini DS Nizar lebih berhak ke atas jawatan tersebut. Zambri sepatutnya meminta maaf kepada rakyat Perak kerana menipu mereka selama ini, serahkan jawatan balek ke DS Nizar dan terus berkhidmat sebagai ADUN biasa sehingga tarikh perbicaraan di mahkamah rayuan.

Namun apakan daya. Teringin sangat beliau kepada jawatan tersebut walaupun diputuskan beliau tidak berhak. Mungkin dianggap rakyat bodoh dan tak faham.

Malah beliau dengan begitu bangga kembali sebagai MB Haram sambil mendabik dada menyamakan dirinya sebagai pejuang seperti Gandhi dan Mandela! Rakyat benar-benar dianggap bodoh oleh gerombolan ini!

Gandhi dan Mandela berjuang untuk menjatuhkan kerajaan yang tidak diredhai rakyat. Mungkin DS Zambri tak sedar, kerajaan yang TIDAK diredhai rakyat di Perak adalah kerajaan BN! Mereka masih anggap rakyat bodoh. Namun rakyat nampak siapa sebenarnya yang bodoh!

Bukti mereka tahu bahawa BN tidak diredhai jelas dari sikap mereka yang begitu takut untuk membubar DUN Perak. Malahan, tanpa segan silu, seorang lagi ahli kumpulan yang tak tahu malu, Tun Mahathir mengeluarkan kenyataan mendesak BN supaya jangan membubar DUN kerana kalau dibubar dan diundi semula, BN pasti akan kalah! Tahu pun! Kalau dah tahu dan dah sedar, insaf ajelah. Ini, hidung tak mancung pipi tersorong-sorong siapa suruh? Apa dah nak jadi kepada Malaysia ini? MB muka tak malu, PM muka tak malu (kes Mongolia) dan mantan PM yang juga muka tak malu!

Mereka satu kapal. Semoga karam bersama! -khalidsamad