11 Jul 2015

Perlantikan AJK Badan Perhubungan PAS Melaka Tidak Sah - Sofi

Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil yang juga mantan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Mohd Sofi Wahab hari ini mempersoalkan tindakan Pesuruhjaya PAS yang baru, Kamaruddin Sidek yang membuat perlantikan jawatankuasa Perhubungan PAS dengan tidak mengikut Perlembagaan.

Di dalam satu kenyataan medianya, Sofi Wahab menyatakan sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil beliau ingin menegaskan bahawa perlantikan AJK Badan Perhubungan Negeri Melaka yang disiarkan dalam media beberapa hari lepas adalah tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan PAS sendiri.

Menurutnya di dalam perlembagaan PAS dengan jelas dinyatakan iaitu Fasal 40 ceraian (5) iaitu :

"Pesuruhjaya PAS Negeri di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Perhubungan PAS Negeri hendaklah melantik Timbalan-timbalannya, Setiausaha, Penolong-penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan, Pengarah Pilihan Raya dan tujuh orang Ahli Perhubungan PAS Negeri menurut Ceraian (3)(b), (c), (d), (e), (f), (g) dan (m) dalam Fasal ini daripada ahli-ahli PAS dalam negeri itu."

"Untuk makluman sehingga saya sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil dan Setiausaha PAS Kawasan Bukit Katil tidak pernah menghadiri mana-mana mesyuarat Perhubungan Negeri sebelum ini," tambah kenyataan itu.

Sepatutnya Pesuruhjaya PAS Negeri mesti memanggil mesyuarat pertama perhubungan dengan kehadiran semua Yang Dipertua dan Setiausaha PAS Kawasan-kawasan serta Ketua dan Setiausaha Dewan-Dewan bagi membincang perlantikan AJK seperti dalam Fasal 40 ceraian 5 tersebut, kata Sofi.

Setelah dibincang dan dipersetujui oleh semua Ahli Badan Perhubungan Negeri barulah perlantikan itu sah dan boleh diumumkan.

Apa yang menghairankan bagaimana Pesuruhjaya PAS Negeri boleh membelakangkan Yang Dipertua PAS Kawasan, Ketua-Ketua Dewan dan Setiausaha masing-masing dalam hal perlantikan ini, soalnya.

Malah sehingga hari ini beliia menyatakan beliau dan Setiausaha PAS Kawasan Bukit Katil tidak pernah dijemput secara rasmi untuk menghadiri mesyuarat perhubungan sedangkan di dalam perlembagaan PAS Fasal 40 ceraian 3 dengan jelas dinyatakan bahawa Yang Dipertua PAS Kawasan dan Setiausaha PAS Kawasan adalah ahli badan perhubungan negeri.

Sofi juga menyatakan bahawa beliau telah menghubungi Kamaruddin beberapa hari lalu dengan menyatakan isu ini tetapi sehingga hari ini Kamaruddin tidak membuat sebarang tindakan untuk menyelesaikannya.

Oleh itu Sofi mencadangkan kepada Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka supaya menarik balik kenyataan akhbar tentang perlantikan tersebut serta memohon maaf kepada semua Yang Dipertua PAS dan Setiausaha PAS Kawasan serta Ketua dan Setiausaha Dewan-dewan yang dibelakangkan.

Kamaruddin telah dinamakan oleh Pas Pusat sebagai Pesuruhjaya menggantikan Sdra Adly Zahari yang telah tewas sebagai YDP PAS Alor Gajah di dalam pemilihan muktamar yang lepas. -Kelab GB


PAS Melaka selesai bentuk kabinet

MELAKA: Badan Perhubungan PAS Melaka telah mengumumkan senarai ahli jawatankuasa yang baru dibentuk dengan menampilkan ramai muka baru bagi sesi 2015/2017 di sini, barubaru ini.

Berikut adalah senarai ahli jawatankuasanya:

1. Pesuruhjaya, Ustaz Kamarudin Sidek merangkap Pengerusi Lajnah Politik dan Pilihan Raya.

2. Timbalan Pesuruhjaya I, Ustaz Wan Zahidi Ismail merangkap Pengerusi Lajnah Pemerkasaan Parti.

3. Timbalan Pesuruhjaya II, Dr Md Khalid Kassim merangkap Pengerusi Lajnah Alam Sekitar.

4. Timbalan Pesuruhjaya III, Ustaz Abd Halim Maidin merangkap Pengerusi Lajnah Dakwah.

5. Setiausaha, Asri Shaik Abdul Aziz merangkap Timbalan Ketua Penerangan dan Media.

6. Ketua Penerangan dan Media, Azizan Nordin.

7. Ketua Dewan Ulama, Ustaz Zulkifli Ismail merangkap Timbalan Pengerusi Lajnah Politik dan Pilihan Raya.

8. Ketua Muslimat, Kintan Man merangkap Timbalan Pengerusi Lajnah Pemerkasaan Parti.

9. Pengarah Jabatan Pilihan Raya, Baihaki Ismail.

Ahli Jawatankuasa yang lain terdiri daripada Ustaz Shabudin Senin, Saharudin Yusof, Abd Kader Dewa, Ramli Dalip, Ustaz Julasapiyah Kasim, Ustaz Imran Abd Rahman, Ghafar Abd Wahab, Zainuddin Abd Latif dan Muhd Puhat Bedul.
-pas.org.my


ULASAN GB

Hukum kebenaran dan keadilan berjalan. Inilah akibat apabila si kaduk ..... Apabila mereka yang tak ikut perlembagaan dan tidak professional diletakkan mengetuai organisasi, hancurlah organisasi itu.

Keseluruhan jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka 2015-2017 adalah tidak sah kerana tidak mematuhi perlembagaan. Kita hairan bagaimana perlantikan jawatankuasa boleh dilakukan tanpa memanggil mesyuarat jawatankuasa pertama yang memerlyukan kehadiran semua Yang Dipertua dan setiausaha kawasan.

Soal samada YDP atau Setiausaha kawasan menolak jawatan itu adalah soal lain, tetapi fasal-fasal dalam Perlembagaan PAS perlu dipatuhi.

Ada yang menuduh Sofi sengaja hendak aibkan Kamaruddin. Walhal sebelum kenyataan media dibuat, Sofi sudah pun menghubungi PJ bertanyakan mengenai isu berkenaan tetapi PJ berkenaan TIDAK mengambil apa-apa langkah untuk membetulkan keadaan.

Kes di Johor tidak dijadikan pedoman. Di Johpr, Pesuruhjayanya, Dr.Mahfodz Mohamed gagal membentuk jawatankuasa perhubungan PAS Negeri Johor dimana hanya 11 hadir daripada 52 ahli (26 kawasan).

Sekurang-kurangnya PAS Johor mematuhi Perlembagaan, tetapi Pesuruhjaya PAS negeri Melaka terus langgar Perlembagaan

Jadi jawatankuasa Badan Pehubungan PAS Negeri Melaka dah sama macam jawatankuasa MIC. Cacamarba.



[TERKINI] MSU Buat Keputusan Putuskan Hubungan Dengan DAP

Majlis Syura Ulama (MSU) telah membuat keputusan membatalkan tahaluf siyasi dengan DAP.

Walaupun sebelum daripada ini, pemimpin-pemimpin PAS berdolak-dalik mengenai isu pemutusan hubungan dengan DAP ekoran dari usul dari Dewan Ulama di muktamar yang lepas yang telah diterima sebulat suara tanpa bahas dengan alasan usul berkenaan belum muktamad kerana belum diputuskan oleh Majlis Syura Ulama, kini segala-galanya telah selesai apabila MSU memutuskan untuk membatalkan hubungan kerjasama atau tahaluf siyasi dengan DAP.

Di dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha MSU, Nik Mohd Zawawi Salleh bertarikh 10 Julai 2015, beliau menyatakan MSU kesal dengan tindakan-tindakan provokasi berterusan dan keputusan DAP yang mengecam dan melanggar semangat kerjasama Pakatan Rakyat, serta campur tangan dalam aqidah, dasar dan matlamat PAS yang menyebabkan MSU mengambil tindakan memutuskan hubungan kerjasama dengan DAP.

Tetapi dalamasa yang sama, PAS mengekalkan tahaluf siasi bersama PKR.

Untuk ulasan selanjutnya sila rujuk ulasan GB di bawah ini.


Keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulamak Di Dalam Isu Hubungan Dengan DAP

Pas terus istiqamah dengan prinsip Islam sebagai rahmat untuk semua yang menegakkan keadilan dan kesejahteraan untuk semua kaum. Oleh kerana itu, PAS konsisten meneruskan hubungan dengan semua pihak menerusi hubungan tahaluf siasi bersama parti politik dan NGO bukan Islam.

Dalam masa yang sama Pas tetap teguh berpegang dengan dasar-dasar Islam ketika berhubung dengan semua pihak.

Namun Majlis Syura Ulamak kesal dengan tindakan-tindakan provokasi berterusan dan keputusan DAP yang mengecam dan melanggar semangat kerjasama Pakatan Rakyat, serta campur tangan dalam aqidah, dasar dan matlamat PAS. Oleh itu, Majlis Syura Ulamak memutuskan bahawa hubungan tahaluf siasi dengan DAP terbatal. Dalam masa yang sama, PAS mengekalkan tahaluf siasi bersama PKR.

Keputusan ini diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk dilaksanakan menurut kesesuaian dan keperluan politik semasa.

Dato' Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh
Setiausaha Majlis Syura Ulamak,
24 Ramadhan 1436 / 10 Julai 2015


ULASAN GB

1) Akhirnya selesai sudah isu tahaluf siyasi dengan DAP. Keputusan MSU di atas memang ditunggu-tunggu. Dan yang pasti, keputusan itu "disambut baik" oleh UMNO yang memang mengharapkan PAS memutuskan hubungan dengan DAP.

2) Tiada nas, bukti atau dalil dikemukakan di dalam kenyataan MSU berkenaan mengenai dakwaan DAP telah "campur tangan dalam aqidah, dasar dan matlamat PAS". Justeru itu keputusan itu dilihat lebih kepada menjaga airmuka "beberapa ulama" yang telah membuat kenyataan-kenyataan melulu sebelum ini yang meminta tahaluf siyasi dengan DAP dibatalkan atau disemaksemula.

3) Tindakan MSU itu juga mengesahkan tindakan-tindakan DAP yang memecat ahli-ahli PAS yang berkhidmat di dalam kerajaan negeri Pulau Pinang. Dan bererti PAS Pulau Pinang sudah tidak layak untuk membangkitkan isu pemecatan di mahkamah.

4) Keputusan MSU itu juga mengesahkan Pakatan Rakyat telah dikuburkan.

5) Pengekalan tahaluf siyasi bersama PKR hanyalah untuk menyelamatkan kepentingan ADUN-ADUN PAS yang menjadi exco dan menyelamatkan kedudukan 5,000 ahli PAS yang sedang berkhidmat dengan kerajaan negeri Selangor.

6) PAS juga dilihat sanggup untuk menerima kekalahan di dalam pilihanraya terutama di pantai barat dimana para pengundinya adalah multi-racial yang sebelum ini pengundi bukan-Islam telah mengundi PAS di atas dasar semangat setiakawan di dalam Pakatan Rakyat.

7) Tindakan MSU itu juga menyebabkan ahli-ahli akar umbi PAS akan terus bersemangat menyokong penubuhan parti Islam yang baharu bagi memperbaharui jalinan tahaluf siyasi bersama DAP dan PKR yang telah terjalin erat sebelum ini dan meneruskan kerja-kerja dakwah kepada rakan-rakan di dalam parti-parti yang ia bertahaluf siyasi dengannya.

Kalau Tak Betul Kenapa Tutup Facebook?

Lelaki nafi bekerja untuk Najib, Rosmah sering ke luar negara bersama

Lelaki didakwa memindahkan RM2 juta ke dalam akaun Datin Seri Rosmah Mansor dan kemudian menafikan bekerja untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri sering ke luar negara bersama-sama pasangan itu.

Memetik laporan Sarawak Report, individu yang dikenali sebagai Roslan Sohari, membuat 16 kali perjalanan ke London pada Oktober 2013 dan Jeddah bulan lalu.

Trip berkenaan dipaparkan di laman Facebook yang kebetulan sama dengan trip Najib dan Rosmah.

Semalam Sarawak Report mendakwa, Roslan mendepositkan RM2 juta wang tunai ke dalam akaun bank Rosmah di Affin Bank Berhad melalui 8 kali transaksi antara tempoh 2 tahun setengah awal tahun ini.

Maklumat lengkap, termasuk nombor telefon dan pekerjaan turut dipaparkan blog berkenaan. Roslan dikatakan pembantu peribadi di Jabatan Perdana Menteri.

Gambar trip Roslan Sohari dipaparkan di laman Facebook yang kebetulan bersamaan dengan trip Datuk Seri Najib Razak dan Datin Sri Rosmah Mansor. – Gambar Facebook, 10 Julai, 2015.


Laporan: RM2j dideposit ke akaun 'Rosmah'


Laman pembocor maklumat Sarawak Report mendakwa RM2 juta dideposit ke dalam akaun bank yang dikatakan milik Rosmah Mansor.

Laporan itu mendakwa laporannya berasas maklumat diterima berkaitan sebuah akaun dengan Affin Bank Berhad.

Ia mendakwa sejumlah besar wang dideposit ke dalam akaun itu dalam tempoh dua bulan bermula pada awal tahun ini.


Memetik dokumen didakwa berkaitan siasatan 1MDB, Sarawak Report mendakwa seorang individu bernama “Roslan Sohari” antara 10 Februari dan 23 April tahun ini memasuki sebuah cawangan bank itu di Kuala Lumpur sebanyak lapan kali.

“Dalam kunjungan-kunjungan ini beliau mendeposit keseluruhan RM2,000,000 ke dalam akaun bernombor 1000 xxxx xxxx, yang mana para penyiasat melaporkan ia milik “Rosmah Binti Mansor (Datin Sri)”.

Dihubungi Malaysiakini, pembantu Rosmah, Rizal Mansor, berkata beliau tidak dapat mengulas perkara itu pada masa laporan ini ditulis kerana sedang berada dalam sebuah majlis berbuka puasa.

Malaysiakini juga telah menyemak sebuah laman Facebook milik “Roslan Sohari”, seorang pegawai tentera berpangkat pegawai waran, yang antara lain menunjukkan gambar individu itu dengan Najib selain kelihatan berada dalam jet peribadi.

Dalam Facebook itu, pekerjaannya diletakkan sebagai “Resident Manager at the Prime Minister’s Office” (pengurus residen di Pejabat Perdana Menteri).

Rekod di Facebook itu juga mendedahkan bahawa individu itu 'mendaftar masuk' di pelbagai lokasi di luar negara ketika Najib berada di tempat itu.

Tempat-tempat itu antaranya Kazakhstan (tahun lepas), Jeddah (6 Jun 2015), Beijing (12 November, 2014 ketika perdana menteri hadir Persidangan Ekonomi Asia Pasifik) dan New York (ketika Najib hadir persidangan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu September lalu).

Beliau juga berada di Padang, Indonesia, pada 26 Ogos tahun lepas, ketika Rosmah menerima sebuah anugerah Minangkabau.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada individu ini orang yang sama dimaksudkan oleh Sarawak Report.

Ketika Malaysiakini menghubungi “Roslan Sohari” melalui nombor telefon yang ditunjukkan dalam sebuah dokumen dimuat naik oleh Sarawak Report, dia menafikan berkhidmat dengan Jabatan Perdana Menteri atau mempunyai kaitan dengan Rosmah.

Bagaimanapun, gambarnya di profil Whatsapp menunjukkan gambar yang sama dengan pemilik akaun dengan di Facebook.

Laman Facebook telah dinyahaktifkan tidak lama selepas laporan ini diterbitkan.

Malaysiakini juga memeriksa nombor kad pengenalan Rosmah yang dinyatakan di dokumen itu dan mendapati ia sememangnya isteri Najib.


Nombor akaun Affin Bank 1000 xxxx xxxx yang dinyatakan itu juga didapati ia milik “Rosmah Binti Mansor”

Sementara itu, Najib ketika berucap di satu majlis di sebuah masjid di ibunegara malam ini, meminta orang awam supaya tidak percaya dakwaan terhadapnya dan keluarganya di media sosial.

Najib berkata terdapat banyak perkara mengarut di Internet yang tidak harus dilayan.

“Kita akan pastikan kebenaran muncul juga akhirnya,” katanya.




Laporan mengenainya boleh diakses terus di SAWARAK REPORT.

ULASAN GB

Di bulan Ramadhan ini banyak benda yang tak betul yang bernanah terbongkar. Samada di sebelah sini atau di sebelah sana.

Hairan juga bagaimana lelaki yang bernama Roslan Sohari itu hendak menafikan kisah yang dah terbongkar. Dan facebooknya pun dah dipdadamkan.

Kalau tak ada apa-apa masakan tempua bersarang rendah!

Hukum kebenaran tetap berjalan....