25 Okt 2009

Era Najib Altantuya : Saya Dah Tua Untuk Didalangi, Nik Aziz Jawab Harun

Saya dah tua tak perlu jadi didalangi orang dah. Seperti yang saya katakan saya hanya hendak jaga parti saya supaya dihormati sampai bila bila. Masalah letak jawatan tu… Selagi umur saya ada, banyak lagi perkara yang belum berakhir.”

Inilah penegasan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap beberapa kenyataan kononnya bukan Nik Aziz yang membuat kenyataan agar diadakan satu mesyuarat khas untuk menukar kepimpinan partinya.

Nik Aziz menafikan tuduhan kononnya dia telah didalangi pihak tertentu dalam membuat kenyataan atau cadangan tersebut dan tindakannya itu adalah sebagai tindakan terakhirnya sebelum melepaskan jawatan.

Antara yang membuat kenyataan seolah-olah Nik Aziz hanya membuat kenyataan berdasarkan pandangan orang lain adalah Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir yang tidak percaya kenyataan itu datang dari Nik Aziz sendiri.

Harun berkata, beliau tidak percaya Nik Abdul Aziz yang menulis di dalam blog berhubung muktamar khas itu.

“Setakat ini saya masih tak percaya Tok Guru Nik Abdul Aziz buat keputusan seperti itu,” ujarnya kepada media selepas merasmikan Majlis Penutup Sambutan Jubli Perak Pasti Negeri Terengganu di Dewan Banat Maahad Darul Quran, Rusila, petang ini.

Katanya, walaupun perkara itu terdapat di dalam blog tok guru, namun siapa sebenarnya yang menulis tidak diketahui.

“Saya tak percaya tok guru kata. Saya rasa bukan tok guru (tulis). Saya kenal tok guru,” ujarnya.

Baginya, dengan kecanggihan yang ada sekarang, sesiapa sahaja boleh menulis dan memasukkannya ke dalam blog Menteri Besar Kelantan itu.

Kenyataan kedua-duanya membayangkan seolah-olah Nik Aziz dipergunakan oleh sesetengah pihak yang rapat dengan beliau untuk membuat kenyataan sebegitu. Yang menjadi sasaran adalah bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang dianggap sangat rapat dengan Menteri Besar Kelantan itu.

Ketika ditanya media mengenainya, Nik Aziz menegas, beliau sudah tua dan tidak perlu jadi dalang orang.

Beliau memberitahu, apa yang diluahkan tidak ubah sebagai melontarkan buah pikiran demi menjaga keluhuran parti kerana parti PAS adalah sebuah parti yang dihormati oleh seluruh masyarakat.


Dan umum pun sudah maklum bahawa PAS sebelum ini memang bertindak dalam membuat sesuatu keputusan ialah secara kolektif iaitu malalui Majlis Syura yang juga berfungsi sebagai tempat membuat dasar.

“Jadi kalau ada orang yang tidak setujupun tidak mengapa, saya tidak kecewa. Saya Cuma beri idea bila timbul sesuatu yang memaksa saya buat begitu,” katanya yang juga sedikitpun tidak merasa kesal terhadap penolakan PAS Selangor mengenai cadangan itu.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas perasmian masjid baru, masjid Nuraini di Pasir Hor, dekat sini. Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithaudeen.

Semasa menjawab soalan media kemungkinan menarik balik cadangan itu atau mungkin ada pendekatan lain dalam usaha menjernihkan keadaan Nik Aziz yang juga Menteri Besar tetap bertegas tidak ada sebab untuknya menarik balik kenyataan itu kerana baginya ia adalah realiti di dalam PAS, dan juga tidak ada pendekatan lain perlu dilakukan kerana ia adalah hanya satu teguran, bukan satu perbalahan.

Dalam pada itu Nik Aziz yakin perkara yang berbangkit itu adalah bukan satu gambaran konflik dalaman membawa kepada perpecahan PAS.

Sementara itu, pada majlis yang sama, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, berharap perkara tersebut tidak dimanipulasikan oleh semua pihak termasuk ahli PAS sendiri sebelum kenyataan rasmi parti dikeluarkan.

Selari dengan kenyataan Nik Aziz, beliau juga menafikan wujudnya perpecahan di dalam parti.

“Saya rasa tidak ada isu dalaman parti” jelasnya ringkas sambil memaklumkan akan membawa amanah Nik Aziz berhubung perkara berkenaan kepada parti samaada presiden ataupun pucuk pimpinan tertinggi parti dalam masa terdekat ini. -MI

Era Najib Altantuya : Keluarga Mahu Mayat Beng Hock Digali Rungkai Pembunuhan

Keluarga mendiang Teoh Beng Hock mahu bedah siasat dijalankan buat kali kedua bagi merungkai misteri kematian mangsa.

Peguam Gobind Singh Deo berkata pihak keluarga mahu patologis terkenal Dr Pornthip Rojanasunand dari Kementerian Undang-Undang Thailand menguruskan bedah siasat itu.

Langkah ini perlu bagi melihat apakah ada unsur pembunuhan disebalik kematian mangsa. Gobind menambah pihaknya akan memfailkan permohonan untuk bedah siasat kehadapan Koroner Azmil Muntapha Abas selewat-lewatnya Selasa depan.

“Kita tak mahu tunding jadi pada mana-mana pihak. Kita hanya mahu keadilan kepada mendiang. Keluarga mangsa bersetuju untuk menggali kubur mendiang dan kita akan hantar permohonan pada Mahkamah Majistret Shah Alam esok,” katanya.

Mangsa ditemui mati pada 16 Julai lalu di bumbung tingkat 5 Plaza Masalam dipercayai terjatuh dari tingkat 14 ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor.

Mangsa yang merupakan pembantu kepada Exco Negeri Ean Yong Hian Wah dipanggil sebagai saksi dalam satu operasi besar-besaran SPRM terhadap kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Teoh Beng Hock ditemui mati selepas disoal-siasat 10 jam tanpa henti oleh pegawai penyiasat SPRM.

Dr Pornthip dilantik kerajaan Selangor bagi membantu inkues menyiasat punca kematian mangsa. Beliau mencetuskan kegemparan di inkues Rabu lalu selepas penemuannya mendapati ada 80 peratus kemungkinan mangsa telah dibunuh.

Penemuan Dr Pornthip bercanggah dengan laporan bedah siasat patologis tempatan dan polis yang mengumumkan bahawa mangsa telah membunuh diri.

Dalam siasatannya mendapati ada kemungkinan mangsa dicekik terlebih dahulu, dan duburnya ditusuk sesuatu, sebelum terjatuh dari ibu pejabat SPRM.

Penemuan ini dibuat berdasarkan kepada laporan bedah siasat awal dan dokumentasi sekitar kematian mangsa.

Peguam Gobind Singh Deo berkata Koroner Azmil Muntapha Abas mempunyai kuasa untuk membenarkan kubur mendiang digali semula mengikut Seksyen 335 Kanun Acara Jenayah.

Keluarga mangsa yang meragui teori bunuh diri seperti yang ditawarkan pihak polis mahu Dr. Pornthip diberi kepercayaan untuk mengetuai bedah siasat kedua ini.

Gobind bagaimanapun menambah pihak keluarga mahu pasukan patologis pertama menyertai bedah siasat ini.

“Dr Pornthip akan buat pembedahan itu, dan dia berharap pasukan pertama datang dan lihat bagaimana doktor ini buat bedah siasat dan bincang kalau-kalau ada yang terlepas pandang dalam bedah siasat pertama," kata peguam itu.

Dalam akuan Dr Pornthip di inkues tempoh hari, beliau menyatakan kesediaan untuk menjalankan autopsi keatas tubuh mangsa namun Koroner Azmil berkata ia mungkin sudah terlewat.

Sementara itu, adik mendiang Teoh Lee Lan mewakili keluarga mendiang bersetuju supaya permohonan untuk kubur mendiang mangsa digali dan bedah siasat baru dijalankan.

"Keluarga bersetuju untuk bedah siasat kedua, untuk mencari keadilan buat abang saya. Kami berharap kes ini akan berjalan lancar," katanya.

"Kami terkejut melihat gambar kesan cekik pada leher Beng Hock," tambah Lee Lan. -TVS

Era Najib Altantuya : Quo Vadis PAS?

Segala-galanya bermula apabila pimpinan PAS tidak mahu dan tidak mampu menerima kritikan dan teguran orang lain.

Didalam kerangka "Pemikiran Kritikal", Prof Abdul Aziz Bari telah bertindak sebagai "wistle blower", dan kemudian ianya tidak disambut dengan baik sebaliknya telah diberikan hentaman dan kritikan balas oleh pimpinan terutama oleh Ketua Penerangan PAS Pusat sendiri, Ustadz Idris Ahmad, dan Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Mohd Shahir.

Dan apabila PAS tiba-tiba menjadi fokus seluruh negara, kini orang-orang yang mula-mula menimbulkan kekecohan itulah orang yang meminta ahli-ahli PAS bertenang setelah mereka beriya-iya mengambil sikap tidak mahu mendengar kritikan orang lain sebelumnya.

Sememangnya kumpulan pro-UMNO di dalam PAS ini adalah mereka yang mengambil sikap tidak boleh disentuh dan tak boleh dikritik. Tetapi mereka boleh sentuh dan boleh kritik orang lain, malah boleh bertindak dan lantik dan pecat sesuka hati.

Contohnya Presiden PAS yang mempunyai kuasa yang diberi oleh Perlembagaan parti, telah melantik Mustafa Ali sebagai Setiausaha Agung sekalipun Mustafa Ali telah diketahui adalah orang yang menimbulkan kekecohan di dalam parti ekoran dari rancangan sulit "Kerajaan Perpaduan" yang telah terbongkar apabila bekas Perdana Menteri Abdullah AHmad Badawi sendiri mendedahkannya.

Contoh lainnya di Selangor, sewaktu Pesuruhjaya PAS Selangor dikritik oleh mereka yang tidak bersetuju dengannya, beliau telah mengambil langkah "memecat" Khalid Samad dan Shaari Sungip dari Dewan Harian PAS Selangor untuk digantikan dengan mereka yang mengikut istilah politik kaki ampu dan kaki bodek kepada ketua.

PAS sepatutnya menjadi parti contoh di dalam rakan-rakan Pakatan Rakyat, sebaliknya kegagalan untuk berlapang dada menerima kritikan menjadikan PAS sebagai sebuah jemaah yang kaku dan jumud yang gagal untuk bersaing di arena politik kepartian negara sehinggakan PAS daripada menjadi parti contoh tetiba menjadi parti yang disisihkan oleh arus masyarakat yang mengharapkan sangat perubahan lanskap pemerintahan negara segera berlaku.

Ada yang menyatakan kepimpinan ulamak tidak boleh dipersoalkan dan barangsiapa yang mengkritik kepimpinan PAS yang ada kini adalah mengkritik ulamak-ulamak sekalipun banyak tindak-tanduk ulamak di dalam saf kepimpinan itu sendiri yang mengundang kritikan bukan dari para ahli sahaja, juga mereka yang tidak menjadi ahli parti tetapi menyokong perjuangan PAS selama ini.

Kemudian ada yang terlajak menuduh tanpa justifikasi bahawa kononnya mereka yang mengkritik kepimpinan PAS adalah golongan Anwariyyun yang tak suka Hadi menjadi PM jika Pakatan Rakyat berkuasa.

Dan ada pula yang menyatakan bahawa yang menentang kepimpinan PAS kini adalah mereka yang ditarbiyah di luar kerangka PAS sendiri seperti IRC, ABIM da seumpamanya.

Kegagalan untuk melihat PAS sebagai sebuah harakah Islamiah, tidak sedikit ahli-ahli PAS terkeliru untuk melihat bahawa di dalam hirarki tanzim, Mursyidul Am PAS itu lebih tinggi keududukannya daripada Presiden. Malah ada yang melatah meminta Tuan Guru Nik Aziz dipecat apabila Tuan Guru Nik Aziz mencadangkan satu muktamar khas diadakan untuk menyelesaikan pemimpin bermasalah di dalam parti.

Sesuatu kejanggalan berlaku apabila ahli-ahli PAS tidak memahami konsep kepimpinan harakah Islamiah dengan menyamakan PAS dengan organisasi sekular yang meletakkan Presiden sebagai pemegang kuasa tertinggi.

Malah Mursyidul Am PAS selaku pemimpin tertinggi jemaah, telah dikritik hebat dengan tanpa ilmu dan tanpa segan silu oleh mereka yang pro-UMNO ini dengan pelbagai tohmahan dan tuduhan apabila Tuan Guru Nik Aziz mencadangkan Muktamar Khas diadakan.

Saya tertarik dengan pendirian Ust Zolkharnain Abidin, sekalipun sebelum ini beliau adalah diantara penyokong UG yang tegar, tetapi kini beliau menampakkan ciri-ciri yang lebih terbuka dan sedia menerima kritikan malah menegur Ketua Penerangan PAS, Ustadz Idris Ahmad supaya "berkepala dingin".

"Anjakan paragdima" - satu konsep yang sering kedengaran dari mulut Presiden PAS Sendiri perlu berlaku bukan sahaja untuk ahli-ahli PAS tetapi oleh pemimpin-pemimpin PAS juga jika benar-benar PAS mahu diterima sebagai parti yang bukan sahaja memimpin ummah, tetapi memimpin negara ke arah "baldatun tayyibun wa rabbun ghaffur" (negara yang aman sentosa yang mendapat keampunan Tuhan).