30 Jan 2012

Harga Gula Dunia Turun, Tambahan Subsidi Gula Sebenarnya Untuk Apa?

Subsidi gula: Rakyat diperbodohkan, kata Pua

DAP membidas kerajaan pimpinan BN kerana cuba memperbodohkan orang ramai dengan membuat dakwaan bahawa subsidi gula dinaikkan kerana harga dunia yang meningkat sedangkan hakikatnya harga gula di seluruh dunia turun sejak enam bulan yang lalu.

"Oleh yang demikian, dengan mengekalkan harga gula pada RM2.30, kerajaan sebenarnya telah memberi subsidi yang kurang, dan bukannya subsidi tambahan, seperti yang dengan bangganya didakwa oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri lsmail Sabri Yaakob.

"Apakah lsmail Sabri cuba untuk menipu rakyat dengan mendakwa kononnya Malaysia telah meningkat lagi subsidi gula kerana harga bahan itu di seluruh dunia telah meningkat walaupun hakikatnya adalah sebaliknya?" kata setiausaha publisiti DAP Tony Puah dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk laporan akhbar Jumaat lalu, di mana menteri berkenaan mendakwa bahawa kerajaan menanggung subsidi yang kian meningkat iaitu daripada 20 sen kepada 54 sen sekilogram gula bagi mengekalkan harga pada RM2.30.

Dalam laporan akhbar The Star itu, Ismail Sabri memuji kerajaan kerana mampu mengekalkan harga gula walaupun pada hakikatnya bahawa "harga gula global terus melambung".

Dalam menyangkal dakwaan itu, Pua berkata apa yang sangat menarik ialah harga gula global dalam tempoh enam bulan yang lalu sejak kenaikan harga terakhir pada bulan Mei 2011 sebenarnya telah turun dengan ketara dan tidak melambung. -mk

Ulasan GB

GB dapat merasakan seperti ada sesuatu yang lain di belakang pengumuman subsidi gula tersebut.

Nak membenarkan tokeh gula menaikkan harga seperti yang dijanjikan tidak boleh dilaksanakan kini kerana pilihanraya semakin hampir. Kerajaan tahu rakyat akan mendidih marah.

Sementelah pula, dana pilihanraya untuk UMNO BN perlu dicari.

Bodohkan rakyat dengan menyatakan harga gula dunia meningkat dan kononnya kerajaan terpaksa "tambah subsidi".



[BONGKAR] Skandal NFC: Suami Shahrizat Arah Shamsubahrin Rasuah Polis [updated]

Shamsubahrin: Ketua NFC paksa saya 'rasuah' polis

Ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail, yang dituduh menipu pengerusi eksekutif Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) Datuk Mohamed Salleh Ismail, mendakwa bahawa suami ketua wanita Umno itu memaksa beliau merasuah polis bagi menutup skandal syarikat berkenaan.

Beliau membuat dakwaan itu pada polis laporan yang dibuat di Hospital Besar Klang Jumaat lalu. Perkara itu didedahkan oleh PKR di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya hari ini.

Dalam laporan polis itu, Shamsubahrin didakwa berkata beliau menerima mesej dan tekanan dari Salleh yang memintanya supaya kes NFC dengan pihak polis ditutup.

"Salleh, melalui panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS), mendesak saya untuk memberi rasuah kepada polis untuk menutup kes itu."

Dalam laporan itu, Shamsubahrin mendakwa beliau telah dilantik oleh NFC sebagai penasihat korporat dan perunding untuk "membersihkan" masalah dalaman NFC.

Beliau menambah bahawa telah bertemu dengan pihak polis untuk membantu siasatan mereka tetapi memaklumkan kepada Salleh bahawa beliau tidak akan memberi rasuah.

NFC dituduh menyalahgunakan pinjaman mudah RM250 juta oleh kerajaan dengan berbelanja ke atas aset mewah dan bukannya terhadap projek pusat ternakan lembu di Gemas, yang ditugaskan.

Ditanya jika PKR mempunyai bukti dalam bentuk SMS itu, naib presiden PKR N Surendran berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyimpan telefon yang mengandungi mesej berkenaan.

"Beberapa telefon telah dirampas dari Shamsubahrin dan semua telefon kemudiannya dikembalikan kecuali satu. Yang disimpan oleh SPRM adalah telefon yang mengandungi bukti penting ini.

"Ia di tangan pihak berkuasa tetapi kita mempunyai rekod, kita mempunyai salinannya," katanya. -mk

NFC: Suami Shahrizat arah Shamsubahrin rasuah polis

PETALING JAYA 30 Jan: KEADILAN mendedahkan bukti dalam skandal National Feedlot Corporation (NFCorp) berhubung dakwaan cubaan merasuah pihak berkuasa oleh pengerusinya, Datuk Mohamad Salleh Ismail.

Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah mendedahkan perkara tersebut berdasarkan laporan polis yang dibuat ahli perniagaan, Datuk Shamsubahrin Ismail pada 27 Januari lalu di Pondok Polis Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Shamsubahrin dalam laporan itu memberitahu beliau menerima sistem khidmat pesanan ringkas (sms) dari Salleh, yang juga suami kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil, supaya merasuah anggota polis.

Ketika membacakan laporan polis berkenaan, Sivarasa berkata, Shamsubahrin dilantik oleh NFC sebagai Perunding dan penasihat Korporat pada 24 dan 28 November tahun lalu untuk membersihkan masalah dalam NFC.

“Datuk Salleh juga memberi arahan untuk saya berhubung dengan polis berkenaan kes-kes siasatan terhadap NFC dan saya telah diarahkan untuk memperjelaskan dan menerangkan proses perniagaan NFC kepada polis.

“Walaubagaimanapun, saya dalam pelantikan tersebut telah menerima pesanan dan tekanan daripada Datuk Salleh meminta saya menutup kes NFC itu dengan polis melalui pesanan sms menekan saya supaya nembayar rasuah kepada pihak polis untuk menutup kes NFC tersebut,” Laporan polis berkenaan dipetik.

Sementara itu, Naib Presiden KEADILAN, N Surendran berkata, bukti yang dikemukakan dalam laporan itu bagaimanapun kini berada di tangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya lagi, Shamsubahrin kini ditahan di lokap Sungai Buloh.

“Maklumat ini kita dapat daripada telefon beliau, sebelum ini pihak SPRM telah mengambil kesemua telefon beliau sebelum mengembalikannya tetapi terdapat satu lagi masih berada di tangan SPRM yang ada bukti penting ini.

“Walaupun ada di tangan pihak berkuasa tapi ia sudah ada dalam simpanan kita.
-KD


Kenapa pegawai NFC tidak dibawa ke muka pengadilan, soal pemimpin PKR

PETALING JAYA, 30 Jan — Naib Presiden PKR, N.Surendran hari ini menuntut penjelasan pihak polis yang dilihat tidak mengambil tindakan terhadap seorang pegawai tinggi Pusat Fidlot Nasional (NFC) walaupun pihak berkuasa berkenaan telah mempunyai bukti pegawai tersebut telah mengarahkan ahli perniagaan Datuk Shamsulbahrin Ismail merasuah pihak polis.

N.Surendran menegaskan, pihaknya yakin bukti tersebut berada dalam tangan pihak polis berikutan salah satu telefon bimbit yang dirampas mereka daripada Shamsulbahrin mengandungi bukti Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang mengarahkan Shamsulbahrin merasuah polis oleh pegawai tersebut.

“Kami menuntut pihak polis mengemukakan penjelasan mengapa masih lagi membiarkan pesalah ini bebas, sedangkan mereka sudah mempunyai bukti di atas dakwaan cubaan merasuah pihak polis.

“Tindak tanduk agensi penguatkuasa sendiri dilihat berperanan cuba untuk menutup kes dan menjadikan Datuk Shamsubahrin sebagai kambing hitam,” tegasnya.

Sehubungan itu, N Surendran yang juga hadir dalam sidang media di Pejabat PKR bersama-sama Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin memohon penjelasan daripada pihak berkuasa berkenaan berhubung perkara itu.

“Saya ingin minta penjelasan daripada pihak berkuasa, sekiranya SMS itu mengandungi maklumat yang betul, apa tindakan yang dibuat?,” soalnya.

Gesaan sama turut dibuat oleh Ahli Parlimen Subang, R.Sivarasa yang turut hadir dalam sidang media tersebut.

“Apakah tindakan yang akan diambil pihak berkuasa kerana ada dakwaan yang serius dalam dokumen ini, pihak berkuasa sudah ada maklumat, tapi mereka bawa dakwaan palsu dan tidak berasas terhadap Datuk Shamsubahrin.

Jelasnya, dakwaan yang dikenakan ke atas Shamsulbahrin tuduhan menipu adalah tuduhan yang amat jahat.

Selain itu, beliau juga menuntut Perdana Menteri dan Datuk Seri Najib Razak, dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat penjelasan yang mengatakan tidak terdapat sebarang isu terhadap skandal NFC.

“Kami mahukan penjelasan perdana menteri dan timbalannya yang menyatakan tiada isu terhadap NFC ini, kami sudah melihat kandungan SMS tersebut, malah telefon Shamsulbahrin masih lagi berada dalam tangan pihak berkuasa,” tegasnya.

Menurutnya lagi, pihaknya juga melihat perkara itu sebagai penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa terhadap Shamsulbahrin.
-TMI



Pastikan keselamatan Datuk Shamsubahrin - PKR

KLANG, 27 Jan: Ahli perniagaan, Datuk Shamsubahrin Ismail yang didakwa atas tuduhan menipu baru-baru ini berada dalam keadaan tidak selamat dan perlukan perlindungan sepenuhnya.

Anggota Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin dalam sidang media mendakwa, Samsubahrin yang merupakan saksi utama dalam skandal National Feedlot Corporation (NFC) dan didakwa atas dua pertuduhan menipu dilihat menjadi "kambing hitam" kepada skandal tersebut bagi menutup kesalahan yang dilakukan oleh orang lain.

"Apa yang kita lihat sekarang Samsubahrin telah dianiayai oleh pihak tertentu bagi menutup kepincangan yang berlaku di dalam NFC, malah beliau juga telah dijadikan 'kambing hitam' bagi menanggung kesalahan yang dilakukan oleh orang lain,"
jelasnya.

Baru-baru ini, Shamsulbahrin didakwa mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Bagi pertuduhan pertama, Shamsubahrin didakwa menipu Pengerusi NFC, Datuk Mohamad Salleh iaitu dengan sengaja menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat bertujuan memperdayakannya sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Samsubahrin Resources Sdn Bhd itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Bukit Tunku di ibunegara pada jam 6 petang 20 November lepas.

Bagi pertuduhan kedua pula, Shamsubahrin didakwa menipu Mohamad Salleh dengan memperdayanya hingga mendorong Mohamad Salleh menyerahkan cek-cek berjumlah RM1.755 juta.


Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Solaris, Mont Kiara, Kuala Lumpur pada 25 November hingga 6 Disember lepas.

Baru-baru ini, Pengerusi NFC mendakwa, bekas kakitangannya adalah antara pihak yang terlibat membocorkan rahsia NFC.

Dalam sidang media hari ini, Zuraida memberitahu, sewaktu Samsubahrin diminta untuk menghuraikan segala kucar kacir di dalam akaun NFC, pihak NFC berharap beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya tetapi Samsubahrin tidak bertindak seperti apa yang mereka kehendaki.

"Melihat kepada tindakan Samsubahrin yang tidak mahu mengikut seperti apa yang dikehendaki, mereka mula memerangkap beliau dengan tuduhan-tuduhan menipu.

"Kami beranggap Samsubahrin adalah saksi yang penting dan kita mengharapkan keselamatan beliau dapat dijaga serta diberi perlindungan sepenuhnya.

"Sebab itulah kita akan membuat pendedahan seterusnya agar masyarakat tahu apa yang sebenarnya berlaku dan saya pasti pihak berkepentingan akan melakukan sesuatu yang kita sendiri tidak ketahui," sambungnya lagi.

Sengaja diperangkap

Sementara itu, Peguam N. Surendran yang mewakili Samsubahrin memberitahu beliau mempunyai banyak maklumat berkaitan NFC dan pihak tertentu telah bertindak dengan tuduhan menipu dengan harapan Samsubahrin dapat berdiam diri dari membuat sebarang pendedahan.

"Apa yang kita lihat hari ini adalah suatu yang pelik telah berlaku di mana dalam tempoh ini terdapat dua pertuduhan dikenakan terhadap anak guam saya, Samsubahrin, iaitu yang pertama dari Mahkamah Klang dan yang kedua pula dari Mahkamah Majistret Shah Alam.

"Beliau tidak mengaku salah keatas kedua-dua tuduhan tersebut dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM9 ribu dan RM2 ribu dan sebutan akan dilakukan pada 27 Februari di Mahkamah Klang manakala pada 1 Mac di Shah Alam,"
jelasnya.

Tambahnya lagi, melihat kepada apa yang berlaku sekarang ini, ia adalah bermotifkan politik bagi melindungi seseorang.

"Samsubahrin akan membuat laporan polis untuk kali pertama kerana sebelum ini beliau tidak mengetahui apa yang berlaku dan atas alasan tersebut kita telah meminta hakim membenarkan beliau membuat laporan polis terhadap apa yang sebenarnya belaku.

"Hakim dari Mahkamah Klang telah membenarkan beliau membuat laporan dan sekarang pihak polis sedang mengambil laporan darinya, setelah laporan tersebut siap kita (PKR) akan membuat pendedahan mengenai apa yang terkandung dalam laporan tersebut," katanya.

N.Surendren berkata, melihat kepada pertuduhan tersebut ia hanyalah melibatkan kes sivil sahaja dan tidak ada langsung unsur jenayah.

"Ini adalah kes fitnah kerana ia dilihat sebagai cubaan mengganggu tertuduh (Samsubahrin) dan berharap tertuduh berdiam diri dari mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Saya mahukan jawapan dari Peguam Negara mengapa kuasa pendakwaan disalahguna seperti ini untuk bertindak menyerang Samsubahrin, adakah kerana beliau mengetahui segala rahsia yang berlaku di dalam NFC,"
sambung beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau percaya ini adalah penganiayaan yang amat serius berlaku terhadap Samsubahrin dan ada pihak yang ingin menutup kes tersebut maka serangan demi serangan dilakukan terhadapnya.

Sebelum itu, beliau yang sepatutnya berada di Penjara Sungai Buloh tetapi dimasukan ke hospital bagi mendapat rawatan untuk penyakit kencing manis dan jantung.

Latheefa Koya juga turut bertindak mewakili Samsubahrin dalam kes tersebut.
-HD




Sudah Ada 3 Isteri, Lelaki Tergamak Rogol Isteri Rakan

Ranau: Walaupun sudah mempunyai tiga isteri, seorang lelaki masih gagal mengawal nafsu serakahnya apabila merogol seorang wanita dalam satu kejadian di Jalan Marakau berdekatan Jalan Airport Lama, di sini, malam kelmarin. Foto hiasan.

Lebih menghairankan, suspek yang berusia 37 tahun merogol isteri rakan karibnya sendiri di dalam van miliknya sebelum menghantar mangsa pulang ke rumahnya di kampung Kilimu, di sini, jam 8.30 malam.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa berusia 34 tahun menghubungi suspek untuk meminta mengambilnya di pekan Ranau dan menghantarnya pulang kerana dia melanggan perkhidmatan kereta sewa dikendalikan suspek.

Ketika dalam perjalanan pulang, suspek yang dipercayai sedang mabuk, membawa mangsa ke satu kawasan di Jalan Marakau, berdekatan Airport Lama.

Pada mulanya, mangsa menyangka suspek mahu menemui rakannya, namun tiba-tiba suspek menarik tangannya lalu membawa wanita itu ke belakang van sebelum merogolnya.

Suami mangsa yang terkejut apabila isterinya menangis teresak-esak sejurus pulang ke rumah meminta mangsa menceritakan apa yang terjadi. Sebaik diberitahu kejadian itu, dia membawa isterinya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau kira-kira jam 12 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Abdul Rahman Kassim berkata, sebaik menerima laporan mangsa, sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ranau melakukan siasatan.

“Suspek kemudian dicekup di rumahnya di Kampung Marakau tidak sampai satu jam selepas laporan dibuat mangsa.

“Siasatan awal mendapati suspek merogol mangsa kerana menyangkakan wanita itu adalah isterinya disebabkan ketika itu, dia dalam keadaan mabuk. Namun siasatan masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa dipercayai melanggan perkhidmatan kereta sewa dikendalikan suspek untuk menghantarnya berulang alik ke tempat kerja di pekan Ranau, setiap hari.

“Suspek kini direman untuk siasatan lanjut, manakala mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

Siapa Yang Hina Mahkamah: Hakimkah Atau Peguam Anwar?

Peguam Anwar keluar dewan, hina mahkamah

PETALING JAYA: Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur hari ini membenarkan pendengaran hujah permohonan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua yang lain untuk menghalang rayuan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenepikan kes qazaf.

Tiga panel hakim yang diketuai Datuk Zohdi Toha berkata kebenaran tidak diperlukan oleh pemohon iaitu Jamil Khir, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali, dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain untuk mengemukakan permohonan mengenepikan rayuan Anwar.

Pemohon diwakili oleh tiga peguam iaitu Roslizam Rahim, Abdul Halim Bahari dan Mohd Ridzuan Ramli.

Berikutan itu, peguam Anwar Kamar Ainiah Kamaruzzaman, Dorina Abdullah, Dr Mohd Rafie Shafie dan Datuk Mohamad Burok yang tidak berpuas hati membantah keputusan tersebut sebelum bertindak enggan meneruskan prosiding dan keluar mahkamah.

Tidak relevan

Kamar Ainiah berkata adalah tidak relevan kerana hakim sepatutnya perlu mendengar permohonan Jamil Khir terlebih dahulu dan membuat keputusan sama ada membenarkan atau tidak sebelum mendengar hujah daripada peguam untuk mengetepikan rayuan Anwar.

Katanya, keputusan itu dianggap seperti satu penyalahgunaan kuasa oleh pemohon dan pihaknya akan membuat permohonan untuk menyemak semula keputusan hakim.

Sementara itu, peguam Roslizam akan memfailkan notis tunjuk sebab mengikut seksyen 229 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 mencadangkan supaya peguam Anwar dikenakan tindakan ‘menghina mahkamah’ kerana enggan meneruskan prosiding dan keluar daripada mahkamah.

Pada 14 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur membenarkan bantahan awal Jamil Khir membatalkan permohonan Anwar yang mahu bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan didakwa mengikut kes qazaf. -FMT

Qazaf Anwar: Peguam bantah hakim, keluar mahkamah

Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak keluar daripada Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur, hari ini kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Datuk Zohdi Toha.

Ini kerana hakim berkenaan memberi kebenaran kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua lagi untuk mendengar permohonan mengetepikan rayuan Anwar berhubung kes qazaf.

Peguam Kamar Ainiah Kamaruzzaman berkata tidak dapat menerima keputusan kerana berpendapat hakim perlu mendengar permohonan kebenaran terlebih dahulu dan memutuskannya sebelum mendengar hujah daripada peguam menteri sebelum mengetepi rayuan tersebut.

Beliau bersama-sama tiga lagi peguam, mengemaskan fail-fail mereka dan bertindak terus keluar daripada mahkamah bersama-sama Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan penyokongnya.

"Kami tidak boleh mengambil bahagian (prosiding), ia terang-terang satu penyalahgunaan kuasa oleh pihak pemohon.

"Jadi kami terpaksa untuk keluar. Kami akan mengambil tindakan susulan iaitu menyemak keputusan kehakiman," kata Kamar Ainiah kepada pemberita di luar mahkamah.

Menurutnya lagi, permohonan kebenaran untuk mendengar permohonan untuk mengetepikan notis rayuan Anwar adalah dipohon sendiri oleh barisan peguam pemohon.

"Sepatutnya perkara itu diselesaikan (terlebih) dahulu, tetapi mahkamah memutuskan mohon kebenaran tidak relevan. Walhal, (ianya) permohonan mereka (untuk) mohon kebenaran," katanya sambil menambah tindakan mereka keluar sebagai tanda menghormati prosedur mahkamah.

Selain Kamar Ainiah, Anwar diwakili Dorina Abdullah, Dr Mohd Rafie Shafie dan Mohamad Burok. Manakala pemohon diwakili tiga peguam iaitu Roslizam Rahim, Abdul Halim Bahari dan Mohd Ridzuan Ramli.

Notis hina mahkamah

Hakim Datuk Zohdi Toha bersama dua lagi hakim rayuan - Datuk Aidi Moktar dan Datuk Hussin Harun - memutuskan demikian selepas meneliti surat cara permohonan dan mendengar hujah kedua-dua pihak selepas mahkamah ditangguhkan selama setengah jam.

Selepas mendengar keputusan tersebut, Kamar Ainiah bangun membantah keputusan itu dan menegaskan akan membuat semakan kehakiman. Kemudian mereka bertindak keluar mahkamah.

Sebelum peguam responden itu keluar mahkamah, Roslizam - ketua barisan peguam pemohon - lantas bangun dan mendakwa tindakan Kamar Ainiah itu dianggapnya menghina mahkamah kerana hakim membenar prosiding diteruskan.

Bahkan Roslizam meminta Kamar Ainiah menarik balik kenyataannya bahawa peguam pemohon "boleh mengambil duit zakat". Bagaimanapun Kamar Ainiah menarik balik kenyataan beliau itu.

Penarikan itu dibuat selepas hakim mahu merekodkan kenyataannya itu sebab ianya dibuatnya dalam mahkamah sambil desakan yang dibuat oleh Roslizam

Ditemui pemberita selepas prosiding, Roslizam berkata pihaknya akan memfailkan notis tunjuk mengikut seksyen 229 Akta Tatacara Mal 1998 dengan sebab tindakan mereka itu didakwa "menghina mahkamah".

"Notis (yang menyatakan bahawa) kenapa mereka tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah," kata Roslizam.

Katanya, responden hari ini membangkitkan isu baru, sedangkan sewaktu peringkat mana-mana pengurusan kes, perkara tersebut tidak dibangkitkan pada waktu tersebut.

Anwar pada 23 April tahun lalu memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur berikutan keputusan mahkamah membenarkan bantahan awal Jamil untuk membatal permohonan Anwar supaya Mohd Saiful Bukhari Azlan didakwa mengikut qazaf.

Sepatutnya hakim perlu mendengar permohonan Jamil Khir terlebih dahulu dan membuat keputusan sama ada membenarkan atau tidak sebelum mendengar hujah daripada peguam untuk mengetepikan rayuan Anwar.



Anwar pada Ogos tahun lalu juga mengemukakan permohonan di Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur bagi melucutkan peguam yang mewakili Jabatan Hal Ehwal Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam samannya terhadap jabatan itu.
-mk


Ulasan GB

Terlalu jelas hakim-hakim Mahkamah Syariah "tunduk" kepada pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua yang lain untuk menghalang rayuan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenepikan kes qazaf.

Tiba-tiba tiga panel hakim yang diketuai Datuk Zohdi Toha berkata kebenaran tidak diperlukan oleh pemohon.

Rakyat melihat ttu sudah cukup untuk menghina sistem keadilan dan kehakiman.

Kita suka untuk mengingatkan para hakim bahawa At-Tirmidzi meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

“Hakim itu ada tiga kategori. Satu kategori hakim masuk syurga, manakala dua kategori hakim lagi masuk neraka. Hakim yang berilmu pengetahuan dan kemudian mengadili (kes) dengan keilmuannya maka dia masuk syurga. Manakala hakim yang mengadili tanpa ilmu (tentang kes yang diadilinya) maka dia masuk neraka. Begitu juga hakim jahil yang mengadili kes berteraskan kejahilannya maka dia juga masuk neraka.” At-Tirmidzi: 1244


Isu KUIN - Aziz Bari Belum Duduk Dah Melunjur

Kuin: Hadi belum terima memo pelajar

SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau masih belum menerima apa-apa memorandum daripada pertubuhan pelajar berhubung penggantungan lima penuntut Kolej Islam Insaniah (Kuin), Kedah.

"Kalau boleh saya pun nak tengok juga memorandum itu dan nak tahu juga apa yang nak dikatakan oleh para pelajar mengenai perkara itu," kata beliau dipetik Harakahdaily hari ini.

Ahli Parlimen Marang ini menambah, walaupun pertubuhan pelajar terbabit akan menghantar memorandum kepadanya, tetapi sehingga kini "mereka tak pun menyerahkan memorandum itu kepada saya."

Katanya, walaupun pertubuhan pelajar mengatakan telah menghantar memorandum ke Ibu Pejabat Pas, tetapi memorandum itu masih juga belum diterimanya.

Soal penggantungan lima pelajar terbabit, menurutnya, bagaimanapun perlu difahami dengan jelas oleh pelbagai pihak agar tidak disalah faham oleh setiap lapisan rakyat negara ini.

Abdul Hadi berkata, kepimpinan PAS sememangnya mengikuti dan memantau perkembangan mengenai perkara itu.

"Namun Ustaz (Datuk Seri) Azizan (Abdul Razak) tentunya lebih tahu dengan apa yang berlaku, sesuai dengan kedudukannya sebagai Menteri Besar Kedah.

"Jadi tindakan Ustaz Azizan mengenainya tentu lebih tepat dan wajar dijadikan rujukan oleh pihak-pihak lain termasuk kepimpinan Pas Pusat sendiri," tegasnya.

Khamis lalu, pakara perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari mengesyorkan agar Pakatan Rakyat (PR) mengambil tindakan ke atas Menteri Besar atas alasan bertindak bertentangan dengan prinsip Buku Jingga dan merestui tindakan ke atas pelajar-pelajar terbabit.

Abdul Hadi menambah, Azizan juga tidak mengambil tindakan sesuka hatinya, tetapi hasil perbincangan dengan kepimpinan PAS Kedah dan pihak-pihak lain yang terbabit. -SH


PAS Kedah pertahan Azizan

ALOR SETAR: PAS Kedah mempertahankan tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang enggan tunduk terhadap desakan pihak tertentu yang mahu Menteri Besar itu dipecat kerana tidak mahu campur tangan bagi menyelesaikan penggantungan lima pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN) mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Mereka juga berpendapat pihak luar tidak sewajarnya campur tangan dalam soal pentadbiran negeri itu dan KUIN.

Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi, berkata pihak terbabit sepatutnya memberi peluang dan kepercayaan kepada Azizan dalam melaksanakan tanggungjawabnya dan memahami kedudukan masing-masing dalam Pakatan Rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri berkata, adalah tidak wajar rakan dalam pakatan rakyat sendiri membuat teguran secara terbuka melalui media massa kerana ia boleh disalah erti oleh pihak lain.

“Pada saya tidak wajar ada pihak lain campur tangan dan jika hendak menegur pun, gunakan saluran yang betul dalam pakatan rakyat untuk memberi pandangan kerana tidak elok jika dibuat melalui media.

“Perlu ada rasa hormat-menghormati kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas desakan pelbagai pihak, termasuk Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nik Nazmi Nik Ahmad dan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Abdul Aziz Bari supaya Pakatan Rakyat mengambil tindakan ke atas Azizan yang juga Pengerusi KUIN berhubung penggantungan lima pelajar universiti itu pada April lalu kerana memprotes tindakan universiti mengosongkan asramanya di kediaman Ar-Razi, di sini.

Nik Nazmi dan Dr Abdul Aziz mahu tindakan itu dikenakan ke atas Azizan kerana mendakwa Menteri Besar itu menyokong kewujudan AUKU, sedangkan manifesto Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga menjanjikan mereka akan menghapuskan akta berkenaan.

Bagaimanapun, empat daripada pelajar terbabit sudah dibenarkan menyambung semula pengajian baru-baru ini, manakala seorang lagi masih dalam penggantungan.

Azizan dalam laporan akhbar semalam juga mempertahankan tindakannya untuk tidak campur tangan dalam keputusan KUIN mengambil tindakan ke atas pelajar terbabit dan dia sedia dipecat.

Selain itu, Azizan juga menjelaskan sebagai sebuah universiti, KUIN tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, selain terikat dengan peraturan menguatkuasakan AUKU.
-BH


Ulasan GB

Ada banyak hal yant GB biasanya menyokong pandangan Prof Aziz Bari, tetapi di dalam isu KUIN ini, GB tidak sependapat dengannya.

Aziz Bari baru masuk gelanggang politik, masuk dengan menyarung jersi PR, tetapi memulakan langkah sumbang dengan menyerang pimpinan PR sendiri.

Sepatutnya beliau menjadi "Tuan Penasihat Undang-undang" kepada para mahasiswa berkenaan, supaya menghantar memo terlebih dahulu kepada Presiden PAS. Bukan berdemo.

Di dalam Islam, ada diajar kaedahnya: kita diajar supaya berlemah-lembut sesama kita dan bertindak tegas dengan musuh.

Ini tidak, langgar semacam. Itu lambang ketidak-matangan. Itu petunjuk kebebalan. Itu petanda kehancuran.

Ini bukan soal double standard, tetapi disiplin di dalam sesuatu peperangan.

Ada perkara yang PAS yang tak seiring dengan DAP. Tetapi PAS tak pernah berdemo ke pejabat DAP, begitu jugalah DAP tak pernah berdemo ke pajabat PAS.

Kepada Aziz Bari, tak perlu berselindung di sebalik ilmu undang-undang. Dalam politik ada bunga-bunga dan buah-buah silat di dalam sepak terajangnya yang perlu dipelajari terlebih dahulu.

Dunia realiti politik tak sama dengan dunia akademis di bilik kuliah. Di dalam dunia akademis dahulu mungkin anda mahagurunya tetapi di dalam dunia politik, anda adalah baru daftar menjadi "pelajar"nya. Kena mula dari zero.

Pepatah kita menyatakan: jangan belum lagi duduk tiba-tiba dah melunjur. Nanti ditertawakan orang bila seluar sendiri terlebih dahulu dah bocor dan keaiban sendiri keluar terjulur.

Pergilah ke "Kampung Pinang Sebatang", belajarlah dahulu ilmu bersilat di dalam politik dari seorang mahaguru "Pendekar Mustar" namanya.

Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Bila Berkasih Dengan Isteri Orang, Terima Padahnya

Hukuman jalin cinta terlarang

SUNGAI PETANI: Akibat menjalin hubungan terlarang dengan isteri orang, seorang lelaki menerima padah apabila kedua-dua kaki dan tangannya hampir putus ditetak dengan parang oleh sekumpulan lelaki dalam pergaduhan di depan rumah kekasih mangsa di Jalan Kuala Ketil, dekat sini, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 2 pagi apabila mangsa yang berusia 30-an dan sudah berkahwin datang ke rumah kekasihnya itu untuk bersemuka dengan suami wanita berkenaan yang berusia 30-an bagi menjelaskan hubungannya dengan isteri lelaki terbabit.

Sebelum ini, mangsa didakwa menjalin hubungan sulit dengan isteri lelaki terbabit sehingga menimbulkan syak dan kemarahan suami wanita itu.

Berikutan itu, mangsa mengambil keputusan nekad untuk bertemu suami wanita berkenaan dan pertemuan itu dihadiri isteri lelaki itu sebagai saksi.

Sumber berkata, pertemuan yang berlangsung di luar rumah lelaki berkenaan bertukar tegang apabila berlaku pertikaman lidah antara mereka berdua sebelum disertai beberapa lelaki lain dipercayai rakan suami wanita itu. -hm

Dibelasah cintai isteri orang

KUCHING: Gara-gara dituduh mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang, seorang ahli perniagaan menanggung azab apabila dia bukan saja dibelasah 18 lelaki, malah wang tunai serta kenderaan dinaiki turut dilarikan dalam kejadian di sebuah kedai kopi di Padungan, kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 46 tahun dari Taman Malihah menemui ketiga-tiga suspek di kedai berkenaan untuk berbincang pada jam 12.40 tengah hari.

Difahamkan, pertemuan itu antara lain membincangkan dakwaan suspek yang menuduh mangsa mengadakan hubungan sulit dengan isteri seorang daripada mereka namun mangsa menyangkalnya.

Menurut sumber, mangsa mengenali seorang daripada suspek sebelum ketiga-tiga menyerang dan membelasahnya.

“Keadaan berlaku begitu pantas apabila mangsa gagal mengelak sebelum dibelasah. Ketiga-tiga suspek, bagaimanapun tidak berpuas hati sebaliknya memanggil 15 lagi rakan untuk membelasah mangsa kali kedua.

“Kumpulan terbabit meninggalkan mangsa kesakitan akibat cedera di muka dan badan sebelum melarikan kenderaan serta dompetnya,” katanya.

Kata sumber, susulan itu, mangsa membuat laporan polis pada hari kejadian.

“Bertindak atas laporan mangsa, polis melancarkan gerakan sebelum menahan tiga lelaki.

“Ketiga-tiga suspek masing-masing berusia 34 hingga 53 tahun ditahan pada hari kejadian dan kini disoal siasat,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan penahanan itu dan siasatan masih dijalankan.


Pemimpin Pakatan Rakyat Tolak Hasrat Presiden PAS Mahu Berundur

PRU13: Nik Aziz tolak hasrat Hadi

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bersetuju dengan keputusan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu berundur daripada bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Abdul Hadi, menurut beliau, seorang manusia yang berbakat untuk memimpin, lebih-lebih lagi dalam perjuangan Islam.

"Penjawat awam ada had masa untuk bersara tapi pimpinan parti tiada had masa, boleh berkhidmat sampai mati," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam pertemuan dengan Sinar Harian di Kuala Terengganu kelmarin, Abdul Hadi membayangkan kemungkinan tidak akan bertanding dalam PRU13, yang dijangka akan diadakan dalam waktu terdekat.

Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan kepada khidmatnya yang disifatkan sudah terlalu lama menyandang jawatan sebagai Yang Berhormat.

“Sudah lebih 30 tahun saya bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) iaitu bermula pada 1982 dan sudah berbelas tahun sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

Abdul Hadi berkata, sekiranya tidak bertanding mana-mana kerusi, beliau boleh bergerak ke seluruh negara untuk memantapkan parti.

Bagaimanapun, Adun Rhu dan Ahli Parlimen Marang ini menawarkan bertanding satu kerusi sahaja sekiranya dipilih sebagai calon dalam PRU13.

Abdul Hadi mengetuai Pas sejak 2002 dan beliau mempertahankan jawatan presiden tanpa cabaran pada pemilihan Jun lalu. -SH

Anwar: Hadi aset penting buat Pakatan

KUALA LUMPUR, 29 Jan — Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meminta Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya mengubah pendiriannya untuk menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya akan datang yang mana Pakatan Rakyat (PR) yakin mereka mampu untuk memenangi.

Presiden PAS itu menyatakan pendiriannya untuk menarik diri daripada Pilihan Raya Umum Ke-13 semalam, dan menyatakan beliau memberikan peluang kepada generasi pelapis untuk membentuk parti itu.

“Saya harapkan Ustaz Hadi (gambar) akan menarik balik keputusannya itu kerana khidmatnya amat diperlukan.

“Beliau penting buat PAS dan juga Pakatan Rakyat,” jelas ketua pembangkang itu kepada The Malaysian Insider dalam khidmat mesej teks yang dihantar oleh setiausaha akhbarnya.

Pemimpin PKR itu turut menambah, beliau akan berjumpa Hadi “dalam masa terdekat” bagi memastikan Ahli Parlimen Marang itu “kekal mengetuai kepimpinan PR.”

Abdul Hadi menjelaskan, beliau ingin berundur kerana telah menjadi wakil rakyat lebih 30 tahun walaupun rakan — rakan PR beliau termasuk, Mursyidul Am, Nik Aziz Nik Mat, Anwar dan Lim Kit Siang termasuk Karpal Singh turut berada dalam parti untuk jangka masa yang lama.

Umno membuat penjelasan bahawa pengumuman Hadi itu menunjukkan terdapatnya krisis dalaman parti Islam tersebut.

“Situasi itu akan memberi kesan besar terhadap Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kerana beliau yang sepatutnya membuat keputusan sedemikian selepas menjadi Menteri Besar Kelantan untuk tempoh masa yang terlalu lama.

“Keputusan ini berkemungkinan disebabkan konflik dalaman PAS, termasuk pemecatan Datuk Hasan Ali,” jelas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin memetik laporan Bernama Online.

Bekas exco Selangor, Hasan disingkirkan daripada parti selepas menggesa penyojong pembangkang agar tidak terlibat dalam perhimpunan menyojong pembebasan Anwar atas kes liwat.

Bekas Ketua PAS Selangor itu juga berulang kali menuduh parti berkenaan terpesong daripada landasan sebenar parti.

Abdul Hadi juga menyatakan sekiranya beliau tidak akan bertanding untuk mana-mana kerusi, beliau akan bergerak bebas ke seluruh negara untuk berkempen.

Anwar turut melakukan perkara yang sama dalam kempen ketika Pilihan Raya 2008, ekoran beliau tidak dibenarkan bertanding atas dakwaan menyalahgunakan kuasa.

Namun begitu, kehadiran bekas Timbalan Perdana Menteri itu merupakan kunci utama pembangkang menewaskan penguasaan dua per tiga Barisan Nasional di Parlimen dan menguasai lima negeri.
-TMI



Lim Kit Siang: Sumbangan Hadi Amat Di Perlukan

SHAH ALAM 29 JAN : Penasihat DAP, Lim Kit Siang berharap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak menarik diri dari menyertai PRU13 akan datang kerana sumbangan beliau amat diperlukan bagi memastikan usaha Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya.

Lim berkata kepimpinan Pakatan Rakyat dalam memenuhi desakan rakyat yang ingin melihat perubahan tampok pemerintan negara amat memerlukan pemimpin veteran PAS itu.

"Pakatan Rakyat memerlukan sumbangan Hadi pada PRU-13 akan datang supaya dapat merealisasikan cita-cita mengambil alih Putrajaya,"katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Mengimbau kembali tsunami politik yang melanda negara pada 2008 lalu, Kit Siang berkata kejayaan gagasan Pakatan Rakyat itu seharusnya diteruskan lagi untuk membawa harapan baru kepada rakyat Malaysia.

"Oleh sebab itu, kejayaan yang bakal kita (Pakatan Rakyat) kecapi pada PRU-13 ini memerlukan sumbangan semua parti dengan barisan kepimpinan yang hebat seperti Tuan Guru Hadi Awang,"jelasnya.

Abdul Hadi menyatakan hasratnya untuk berundur dari PAS dalam satu wawancara ekslusif yang disiarkan di Sinar Harian semalam.

Abdul Hadi menjelaskan pengundurannya itu berdasarkan khidmatnya yang disifatkan sudah terlalu lama menyandang jawatan sebagai yang berhormat.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berpendapat bahawa gagasan Pakatan Rakyat memerlukan sumbangan Abdul Hadi dan ia bukan suatu yang mudah untuk melepaskan pemimpin seperti Abdul Hadi daripada tidak bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Memetik laporan sebuah portal berita, Anwar berkata, beliau akan bertemu dengan Abdul Hadi bagi menggesa veteran PAS itu terus bertanding dalam pilihan raya umum akan datang dalam masa segera.

"Saya berharap Ustaz Hadi menarik balik hasrat tersebut kerana beliau penting buat PAS dan Pakatan Rakyat," katanya.
-tvsnews


Bunyi Aneh Dari Langit Itu Hanyalah Bunyi Mesin Kelapa Sawit?

Masih ingatkah kisah ‘bunyi aneh dan menakutkan’ dari langit yang kedengaran di Kota Samarahan, Sarawak pada 11 dan 12 Januari lalu?

Ia mendapat perhatian antarabangsa apabila artikel mengenainya yang disiarkan di The Borneo Post telah dibincangkan secara hangat di dalam internet di seluruh dunia.

Lebih menggemparkan, bunyi yang sama juga sebelum itu dikatakan kedengaran di beberapa buah kawasan di dunia.

Malah ada pihak yang mula mengaitkannya dengan petanda awal kiamat.

Misteri mengenainya bagaimanapun bakal terjawab minggu depan apabila pasukan khas dari Agensi Angkasa Negara (AAN) selesai melakukan penyiasatan mereka.

Namun siasatan awal mendapati, ia mungkin hanyalah bunyi yang terhasil daripada mesin dari sebuah kilang kelapa sawit yang terletak di kawasan tersebut.


Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi, Datuk Fadhillah Yusuf berkata, setakat ini pasukan yang ditubuhkan khas untuk menyiasat aduan berkenaan sedang bekerja keras untuk menyiapkan laporan mereka.

” Kita akan memeriksa frekuensi yang dihasilkan oleh mesin kelapa sawit itu sebelum dapat mengesahkan sama ia berpunca daripada alat tersebut atau sebaliknya,” katanya.

The Borneo Post tempoh hari melaporkan satu bunyi aneh telah kedengaran di Kampung Meranek, Kota Samarahan.

Tidak lama selepas bunyi itu kedengaran, satu kejadian gempa bumi kuat (7.3 skala Richter) berlaku di Sumatera, Indonesia.

Bagaimanapun masih tidak dapat dipastikan sejauh mana kaitannya antara bunyi aneh itu dan kejadian gempa bumi tersebut.

Selain daripada kejadian gempa bumi di Sumatera itu, ada juga teori yang mengaitkan bunyi aneh itu dengan sebuah program yang dikenali sebagai High Frequency Active Auroral Research Programme (HAARP)

HAARP adalah program penyelidikan berkaitan ionosfera dan dinaungi sepenuh oleh US Air Force, US Navy, University of Alaska dan Defense Advanced Research Projects Agency(DARPA).

DARPA adalah sebuah agensi yang ditubuhkan oleh kerajaan Amerika Syarikat untuk membina pelbagai senjata berteknologi tinggi untuk kegunaan ketenteraan Amerika Syarikat. – Oleh SYAHRIL A. KADIR (mynewshub)

Laporan sebelum ini
klik untuk baca