19 Nov 2011

Kebenaran Terdedah: Pemberian "One-Off" RM100 Bermotifkan Politik!

BN didakwa peralat bantuan RM100 untuk sekolah

Kerajaan didakwa memperalatkan cara penyerahan bantuan persekolahan RM100 untuk semua pelajar apabila mensyaratkan wakil rakyat atau pemimpin yang dipilih hadir membantu ketika penyampaiannya dibuat.

Pemimpin pembangkang juga berpendapat, tindakan itu sekali gus menunjukkan kerajaan tidak jujur menyalurkan bantuan dengan cuba mendapatkan political mileage atau pulangan politik.

"Ini menunjukkan bahawa duit tersebut bukan sangat bertujuan untuk membantu murid atau keluarga, tetapi lebih kepada kepentingan politik, (tunjukkan) yang beri itu Umno atau BN," kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Arahan itu dikesan melalui sepucuk surat daripada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pelajaran Malaysia Datuk Dr Rosli Mohamed bertarikh 11 November lalu kepada pelbagai bahagian pengurusan sekolah, termasuk semua pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

Kandungannya menyatakan, mesyuarat jemaah menteri pada 28 Oktober memutuskan, wakil rakyat atau "wakil terpilih kerajaan persekutuan" hendaklah membantu menyampaikan bantuan itu kerana ia "touch point" kerajaan kepada rakyat.

"Sehubungan itu, semua JPN hendaklah mengambil tindakan SEGERA terhadap keputusan tersebut dan memastikan pengagihan bantuan dianjurkan oleh pihak sekolah bagi mencapai hasrat kerajaan," surat itu dipetik.

Bantuan itu ekoran pengumuman bantuan persekolahan RM550 juta atau RM100 kepada setiap pelajar oleh Menteri kewangan Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Belanjawan 2012 pada Oktober lalu.

Langgar batasan

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata, arahan Dr Rosli itu jelas menunjukkan bagaimana ketua pentadbir kementerian tidak profesional, tidak amanah dan tidak jujur kerana "menjadikan kementerian sebagai alat politik".

"Penyampaian itu disampaikan oleh Umno dan BN dengan sendirinya membuktikan bahawa bantuan itu sendiri bukan bertujuan untuk meringankan beban rakyat, tetapi bertujuan mendapat habuan politik," katanya.

Dalam masa yang sama, kedua-dua pemimpin itu juga melihat tindakan Dr Rosli melanggar batasan seorang penjawat awam.

"Bagi saya benda begini serahkan pada sekolah. Macam tak ada kepercayaan. Apakah pegawai pendidikan tidak mewakili kerajaan? Saya tak kisah jika menteri pelajaran atau KSU, pengarah pelajaran negeri, guru besar... wakili kerajaan.

"Ini penghinaan. KSU beri imej tidak baik, macam tak ada kepercayaan pada sektor kerajaan," kata Mahfuz yang juga anggota parlimen Pokok Sena.

Manakala Saifuddin pula menyifatkan tindakan Dr Rosli itu terang-terang melangggar prinsip dan etika sebagai penjawat awam.

"Saya nasihatkan dia berhentilah bermain politik. Ia menyalahi prinsip penjawat awam tidak boleh memihak," kata anggota parlimen Machang itu. -mk


Wang bantuan sekolah RM100 diberi di pejabat Umno

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang juga ketua Wanita PKR hari ini mendedahkan wang bantuan RM100 kepada murid sekolah diberikan di pejabat Umno.

Zuraida mendakwa sebuah sekolah rendah di Ampang membawa pelajarnya ke pejabat Umno bahagian untuk mendapatkan wang bantuan terbabit.

Malah bantuan tersebut diberikan oleh Ketua Umno bahagian Datuk Ismail Kijo di bangunan Umno Ampang di Jalan Bukit Belacan.

“Saya dapat panggilan dari guru besar dan ibu bapa yang memberitahu murid-murid terpaksa dibawa ke bangunan Umno Ampang untuk menerima wang itu,” kata Zuraida dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Tindakan itu disifatkan Zuraida sebagai petanda jelas Umno begitu terdesak untuk menipu rakyat bagi mendapatkan undi kerana ia sepatutnya disalurkan terus kepada sekolah dan tidak membabitkan campur tangan parti politik.

Diumum Najib

“Sepatutnya bantuan itu diserahkan oleh kakitangan kerajaan atau pun daripada Kementerian Pelajaran,” katanya.

Wang bantuan persekolahan RM100 seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Belanjawan 2012 sepatutnya disalurkan kepada akaun sekolah masing-masing dengan serta-merta.

Wang bantuan itu akan diagihkan kepada pelajar Tahun Satu hingga Tahun Lima dan dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat bagi sesi persekolahan 2011.

Manakala bayaran bantuan kepada pelajar Tahun Satu dan Tingkatan Satu sesi persekolahan 2012 akan dibayar pada Januari tahun depan. -FMT


Isu ISA: SUHAKAM Perlu Adukan Kepada Agong Tentang "Kebiadaban" Menteri KDN & KPN

Suhakam gesa bebas 13, henti guna ISA hingga akta baru digubal

KUALA LUMPUR, 19 Nov — Suhakam melahirkan rasa amat kecewa dan terkejut dengan tindakan Putrajaya menahan 13 individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berhubung dakwaan kegiatan gerakan militan di Sabah awal minggu ini ketika ia sedang dalam proses memansuhkan undang-undang tersebut.

Pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam berkata, tindakan terbaru ini benar-benar mengejutkan dan sama sekali bertentangan dengan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berani dan bersejarah untuk memansuhkan ISA serta pengiktirafan dan penghormatan terhadap hak asasi manusia serta perseimbangan antara hak tersebut dengan peraturan undang-undang dalam sistem demokrasi berparlimen negara – yang telah lama dinanti-nantikan dan amat dialu-alukan dengan sepenuh hati oleh rakyat.

“Selaras dengan seruan yang telah dibuat sebelum ini agar undang-undang penahanan pencegahan dimansuhkan, suruhanjaya menggesa agar pihak berkuasa membebaskan kesemua mereka yang ditahan di bawah undang-undang tersebut dan memberikan hak mereka kepada perbicaraan terbuka dengan diwakili peguam,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Katanya, Suhakam juga menyeru kerajaan supaya menghentikan penggubalan undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan agar menangani isu berkaitan keganasan di bawah undang-undang lain yang sedia ada dan sementara pemansuhan ISA dibuat, tiada sebarang penangkapan akan dijalankan di bawah akta berkaitan.

Dalam kenyataan semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mempertahankan penahanan 13 anggota kumpulan militan di Sabah baru-baru ini menggunakan ISA atas alasan dibuat selepas polis mendapat maklumat risikan dari dalam dan luar negara.

Beberapa pihak menggesa agar kesemua 13 mereka dibebaskan.

Antaranya, Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling menggesa polis supaya menjelaskan kedudukan sebenar penahanan itu supaya tidak disalah tafsir dan menimbulkan sangkaan buruk.

Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan juga mempertikaikan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menjanjikan mahu memansuhkan ISA tetapi mereka ditahan.

Ismail berkata, soal keselamatan tidak harus dipermainkan kerana keselamatan negara adalah tanggungjawab utama polis iaitu bagi membendung apa sahaja boleh mengancam dan menggugat keselamatan negara.

Kelmarin, Ismail mengesahkan tujuh rakyat Malaysia dan enam warganegara asing ditahan di Sabah sejak Isnin lalu mengikut Seksyen 73 (1) ISA kerana disyaki ada kaitan dengan usaha untuk menghidupkan kembali gerakan militan di Sabah.

Identiti dan nama kumpulan militan itu tidak dinyatakan namun sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan polis menahan anggota militan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Omar yang juga dikenali sebagai kumpulan Kaltim dan berpangkalan di Kalimantan.

Hishammuddin pula berkata kesemua enam warga Indonesia yang ditahan kerana terbabit dalam aktiviti militan akan diusir segera ke negara asal mereka.

Beliau berkata, tujuh warga tempatan yang turut ditahan bersama mereka akan didakwa di mahkamah sebaik siasatan selesai dan segala bukti dapat dikumpulkan.

Katanya, semua yang ditahan itu didapati mendapat latihan ketenteraan serta terbabit dalam penyeludupan senjata dan kegiatan mereka dikategorikan serius bukan saja oleh Malaysia tetapi juga pihak berkuasa Indonesia dan agensi lain di peringkat antarabangsa.

"Kita tidak gunakan sewenang-wenangnya ISA. Ia akan terhad kepada isu keganasan jadi pengesahan pihak Indonesia itu sedikit sebanyak membantu membuktikan kewajaran tindakan kita,” katanya.

September lalu, Najib mengumumkan ISA dimansuhkan dan memberi jaminan dua undang-undang baru yang akan digubal untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang serta perbuatan jenayah tidak akan digunakan untuk menahan sebarang individu semata-mata kerana ideologi politik.

Bagaimanapun, dua akta baru bagi menggantikan ISA perlu dikuatkuasakan dahulu sebelum pemansuhan ISA boleh dilakukan. -TMI

Ulasan GB

SUHAKAM, yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agong nampaknya tidak dihormati oleh Menteri KDN dan Ketua Polis Negara.

Ini bererti kedua-dua mereka tidak menghormati Yang Dipertua Agong.

SUHAKAM perlu lebih tegas dan pro-aktif bagi mempastikan kerajaan persekutuan menjunjung janji mereka untuk menghapuskan ISA.

Rakyat meminta SUHAKAM supaya mengadap ke bawah duli Yang Dipertuan Agong mengadukan "kebiadaban" menteri KDN dan juga KPN yang masih terus-terusan bertindak menggunakan ISA sedangkan mereka boleh menggunakan pelbagai akta lain. Langkah menggunakan semata-mata untuk kerja mudah tahan tanpa bicara.

[Video] Malaysia 1 Myanmar 0, Malaysia Mara ke Perlawanan Akhir [updated]

Malaysia melangkah ke perlawanan akhir Sukan SEA ke 26 apabila berjaya mengalahkan Myanmar 1-0 di stadium Gelora Bung Karno Jakarta. Sekalipun jurulatih Ong Kim Swee tidak dapat bersama kerana digantung gara-gara membantah keputusan pengadil pada perlawanan akhir kumpulan A ketika menentang Indonesia tempohari.

Gol Malaysia dijaringkan oleh Ahmad Fakri Saarani pada minit ke 85. Malaysia akan menentang pemenang perlawanan separuh akhir di antara Indonesia dan Vietnam. Perlawanan akhir dijadualkan pada jam 8.30 malam hari isnin.


laporan zikrihusaini:

Line Up malaysia u23:

GK – Fahmi,
DEF – Mahali, Muslim, Fadhli, Asra
MID – Nazmi, Baddrol, Irfan, Fakri, Fandi
ST – Syahrul.

Dah nak bermula!!! Nampak ong kim swee kat tepat penyokong. Huhu, sabar jerla.

Separuh masa pertama

Minit ke 1: Dah mula, myanmar terus mengasak. Syahrul buang bola ketepi. Hantaran kedalam buat myanmar.

Minit ke 3: Ruginya. Hampir nak gol tadi. Syahrul Azwari, kemudian Irfan Fazail. Hadui. Keeper myanmar cepat bangun. Cekap!!

Minit ke 7: Malaysia diasak, serangan banyak dibuat dari gerakan disebelah kiri.

Minit ke 9: Myanmar dah 2 corner. Bahaya seyh. Malaysia ditekan. Kena mark betul-betul pemain myanmar nih.

Minit ke 12: Sepakan prcuma buat myanmar. Pemain malaysia dipersalahkan. KFC cemerlang!!

Minit ke 13: Hantaran dari siapa kurang pasti. Tandukkan kurang kemas.

Minit ke 16: Rentak macam slow sikit. Bola banyak passing dibawah dari malaysia.Fakri sha’rani macam tak berapa tak menjadi. Mungkin menunggu izzaq faris masuk 2nd half.

Minit ke 20: Syahrul Azwari dibengkes oleh pemain mynamar pemain no19. Siapa ntah. Kecederaan yang agak serius nih. Macam mana nak lari nanti.

Minit ke 22: Penguasaan myanmar, memang nampak sangat dah nih. Apa yang terjadi. Alamak sepakan percuma buat myanmar. Mudah buat KFC tangkap bola lencong itu.

Minit ke 24: Irfan fazail sepak kemana tuh. Mula mengasak malaysia. Bagus. Cuma masih tidak kemas lagi.

Minit ke 27: Syahrul Azwari tak dapat nak berlari laju, tengokkan jer hantaran irfan fazail. Lagipun peluang agak tipis kalau kejar bola tuh.

Minit ke 29: Rugi!! Fakri sha’rani sikit lagi. Tampanan dah nak kena kepala keeper myanmar.

Minit ke 31 : Siapa pemain malaysia injured. Nazmi injured tempat kaki dia kena masa lawan indonesia.

Minit ke 34: Adui banyak masa dibuang. Semua stok injured jer. Baik dari malaysia mahupun Myanmar. Mungkin kualiti padang. Entahla.

Minit ke 36: Offside. Fakri sha’rani sudah berada kawasan depan. Cepat sangat.

Minit ke 40: Myanmar mula mengasak disebelah kanan. Berjaya mencuri bola. Muslim ahmad berjaya menyelamatkan keadaan.

Minit ke 43: Nazmi membuat terjahan pemain Myanmar. Sepakan percuma buat mereka. Alamak, bahaya!! Pertahanan malaysia kental.

Minit ke 45: 2 minit masa tambahan. Apa pun tak boleh.Baddrol Bakhtiar dilayangkan kad kuning. Tamat perlawanan.

Ulasan masa pertama:

Permainan agak slow , dengan banyak yang injured. Malaysia macam terikut rentak myanmar. Meletakkan fakri seorang didepan memang tak boleh untuk menghasilkan gol. Pertahanan sudah mantap. Muslim cemerlang di bahagian pertahanan.

Mungkin separuh kedua, malaysia akan cuba tukar strategi. Perlu bantuan serangan bahagian diatas. Kelemahan myanmar dibahagian pertahan memang jelas sebenarnya. Harus lakukan sesuatu.

Separuh masa kedua!

Minit ke 45: Syahrul Azwari membuat hantaran lintang. Fakri , tak berapa kemas tanduk.

Minit ke 46: Syahrul Azwari sekali lagi, membuat gerakan seperti jaringannya ketika lawan indonesia. Tetapi sepakan terlalu lemah dan jauh. Sikit jer lagi tuh.

Minit ke 48: Tandangan sudut buat Myanmar, bahaya!! Kena betul-betul mark. Pertahanan bagus , membuat clearance yang kemas.

Minit ke 49: Cross yang lemah dari Fakri Sha’rani. Hadui. Mengecewakan.

Minit ke 53: Pemain no 15, myanmar ada mengalami kecederaan. Masa berjalan.

Minit ke 56: Apa nih fakri???? Hadui. fail lah. tingal tanduk sikit jer lagi. Pertukaran pemain dari myanmar yang cedera tadi.

Minit ke 58: Fandi othman, hadui cross yang sikit jer lagi.

Minit ke 59: Ruginya peluang depan gol tadi, fandi cross tapi tak sampai ke syahrul azwari.

Minit ke 61: Akhirnya malaysia dapat sepakan sudut pertama. Tapi takda kesudahan.

Minit ke 63: Fakri sha’rani agak fail. Dah bagi cantik dari Mahali.

Minit ke 64: Nasib baik, KFC cemerlang. Fuhhh… Bahaya, sepakan sudut yang ke 5 buat myanmar dan pertukaran pemain. Gurusamy IN, Nazmi OUT.

Minit ke 65: Bahaya pertahanan malaysia, sebelah kanan. Alamak sepakan percuma buat myanmar. Harap KFC dan pertahanan berjaga-jaga. Sepakan terkena pertahanan malaysia.

Minit ke 68: Cuak gak nih. Adui masih takda gol dari malaysia.

Minit ke 71: Izzaq faris masuk, Syahrul Azwari OUT. Harap menjadilah!!

Minit ke 72: Sepakan percuma buat malaysia, tetapi kurang menjadi. Izzaq kurang kedepan sedikit jer lagi.

Minit ke 74: Sepakan sudut buat malaysia. Harap gol!!!

Minit ke 75: Izzaq dipersalahkan. Sepakan percuma buat myanmar. Penyokong indonesia semakin mula membanjiri stadium bung karno. Agak tertekan.

Minit ke 77: Fandi membuat cross tepat ke izzaq, tetapi tidak tepat. Rugi!!!

Minit ke 80: Mana gol nih?? Fakri mengalami kecederaan. Cemas sungguh.

Minit ke 81: Izzaq faris tak jadi cross. Adui.. Kemana bola tuh??

Minit ke 85: Fakkkkri golllllllll 1-0 .Cantik seyh!!!

Minit ke 88: Izzaq faris terlepas peluang, cross dari fandi. Lambat sikit jer.

Minit ke 90: 3 minit masa tambahan. Bahaya!!! Myanmar membuat serangan!! Izzaq mengalami kecederaan yang agak seruis. Adui….. sepakan sudut, buat myanmar. Jaga-jaga orang wei.

Minit ke 92: Cepat wei bertahan semua. Pemain myanmar kena kad kuning. Captaion pun kena kad kuning.

Minit ke 93: Malaysia menang!!! 1-0 tahniah, bakal bertemu indonesia atau vietnam. Kita tunggu jerlah.

video

Maaf, video cuma dapat dirakam mengunakan hp murah GB. :(

Ops, di youtube dah ada yang lebih baik: saksikan:



Loceng Amaran Kepada Malaysia: Arroyo Ditangkap Kerana Menipu Dalam Pilihanraya

Manila - Polis Filipina semalam menangkap bekas presiden, Gloria Macapagal Arroyo kerana didakwa berkomplot dengan seorang panglima perang untuk menipu dalam pilihan raya.

Gambar: ARROYO duduk di atas kerusi roda semasa beliau dilarang meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Paranaque, Metro Manila pada Selasa lalu.

Beliau boleh dipenjarakan seumur hidup kerana kesalahan tersebut.

Penangkapan itu berlaku selepas pihak berkuasa menghalang Arroyo, 64, daripada meninggalkan Filipina setibanya beliau di lapangan terbang Manila di sini dengan memakai alat penyokong leher.

Ketika itu, Arroyo mahu meningglakan Filipina untuk menjalani rawatan perubatan sakit tulang di luar negara.

Menurut polis, Arroyo bersama suami dan peguamnya semasa waran tangkap dihantar ke biliknya di Pusat Perubatan St. Luke di bandar Taguig, Manila tempat bekas presiden tersebut dirawat kerana sakit tulang.

Keputusan mendakwa Arroyo oleh Suruhanjaya Pilihan Raya semalam kerana menipu dalam pilihan raya senator pada 2007 turut menandakan kemuncak kempen Presiden sekarang, Benigno Aquino untuk mendakwa pemimpin itu kerana jenayah rasuah.

"Aquino berikrar untuk membawa Arroyo ke muka pengadilan selepas beliau memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya pada tahun lalu.

"Arroyo akan berada dalam negara dan berdepan dakwaan mensabotaj pilihan raya" kata Setiausaha Kehakiman, Leila de Lima dalam satu kenyataan selepas sebuah mahkamah di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas presiden berkenaan.

"Adalah menjadi hasrat kami supaya rakyat Filipina mendapat keadilan yang sepatutnya," tambah kenyataan sama.

Arroyo yang merupakan seorang bekas profesor universiti dan presiden wanita kedua Filipina didakwa melanggar banyak akta rasuah dan penipuan pilihan raya semasa era pemerintahan beliau dari 2001 hingga pertengahan tahun lalu.

Beliau beberapa kali menggagalkan usaha Parlimen untuk memecatnya ekoran dakwaan melakukan penipuan dalam pilihan raya semasa memerintah Filipina.

Beberapa pembantu Arroyo menyatakan beliau dirawat di hospital kerana menghidap sejenis penyakit tulang yang jarang berlaku.

Arroyo juga telah menjalani tiga pembedahan tulang belakang sepanjang tahun ini.

De Lima berkata, pemerintah tidak membantah Arroyo ditangkap ketika beliau dirawat di hospital.

Namun, pihak berkuasa tidak bertindak segera untuk menangkap Arroyo.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada bekas pemimpin itu akan ditahan sehingga perbicaraan berlangsung.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, penipuan undi itu berlaku di wilayah Maguindanao, selatan Filipina yang diperintah oleh keluarga Ampatuan.

Sekutu-sekutu Arroyo rapat dengan keluarga Ampatuan.

Keluarga Ampatuan mempunyai reputasi sebagai penglima perang dan melaksanakan pemerintahan di wilayah itu selama satu dekad dengan satu kumpulan tentera peribadi yang ganas. - Agensi

Ulasan GB

Demikian hukum kebenaran. Mana mahu lari sekalipun penipuan itu telah lama berlalu. Akhirnya ia terbongkar juga.

Ia sepatutnya menjadi pengajaran kepada SPR, JPN dan semua yang terlibat dengan proses pilihanraya supaya JANGAN MENIPU dan JANGAN BERLAKU CURANG.

Nasib Arroyo itu bakal menimpa anda jika kesalahan yang sama dilakukan di negara ini.

Isu Lembu Fidlot: Kenapa Tolak & Tak Mahu Akur Dengan Laporan Siasatan Audit Negara?

Tidak tepat: Tarik balik Laporan Ketua Audit

KUALA LUMPUR, 18 Nov: Kerajaan digesa bertindak supaya laporan Ketua Audit Negara ditarik balik kerana suami Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyatakan laporan itu kurang tepat.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mengingatkan, laporan Ketua Audit Negara mestilah tepat kerana ia berkaitan dengan pengurusan kewangan negara dan jika laporan itu kurang tepat, ia tidak memberikan gambaran yang sebenarnya dan akan mengelirukan semua pihak.

"Jika laporan Ketua Audit Negara kurang tepat, ahli-ahli Parlimen bercakap berdasarkan fakta yang mengelirukan, rakyat mendapat maklumat mengelirukan dan kerajaan juga menjadi mangsa kerana dikritik berdasarkan maklumat mengelirukan," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz berkata, dari segi pentadbiran kewangan, negara tidak boleh disogokkan dengan laporan yang kurang tepat berkaitan pengurusan kewangan negara dan oleh kerana suami seorang menteri kabinet sendiri yang menyatakan laporan Ketua Audit Negara kurang tepat, kerajaan mesti bertindak pantas untuk membolehkan Ketua Audit Negara menarik balik laporan itu dan membetulkannya untuk dibentangkan semula.

"Yang menyatakan laporan Ketua Audit Negara itu kurang tepat bukan taraf pemeriksa kira-kira Umno cawangan, tetapi suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat," katanya.

Menurut Mahfuz, tindakan pantas untuk membolehkan Ketua Audit Negara menarik balik laporannya itu amat tepat untuk dilakukan memandangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar memperlihatkan keyakinan yang luar biasa besar terhadap projek Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang dikendalikan oleh suami Shahrizat itu.

Mahfuz juga meminta suami Shahrizat yang juga Pengerusi Eksekutif NFC mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Audit Negara kerana menyifatkan projek yang dianugerahkan kepadanya itu 'kacau-bilau' dan juga gagal menjalankan program keusahawanan seperti yang dikehendaki oleh kerajaan.

"Sudah ada peguam yang ramai orang dakwa ada taktik boleh menang kes, takut apa nak ambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Audit Negara?" kata beliau.

Dalam sidang akhbarnya semalam, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail berkata Laporan Ketua Audit Negara yang menyebut bahawa projek penuh kontroversi itu hanya mencapai 41 peratus daripada jumlah daging yang disasarkan adalah kurang tepat.

Malah, suami Shahrizat itu juga mendakwa pelaburan kondominium di Bangsar bernilai RM6.9 juta seunit menggunakan wang pinjaman projek lembu itu adalah keputusan perniagaan bijak.

Dr Mohamad Salleh malah dilaporkan mendakwa pihaknya berjaya menyewakan kondominium di One Menerung, Bangsa itu dengan nilai RM70,000 sebulan.

Dakwaan itu bagaimanpun ditolak oleh pakar-pakar hartanah yang menyatakan nilai tertinggi yang boleh dijana dari sewaan kondominium itu hanya setakat RM24,000 sahaja sebulan.

Sidang akhbar suami Ketua Wanita Umno itu turut dihadiri Penasihat Undang-Undang NFC, Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah. -HD



Ulasan GB

Kita jadi hairan kenapa tiba-tiba pemimpin-pemimpin UMNO termasuk PM dan TPM dan bekas PM begitu kuat membela projek lembu NFC yang telah dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara mengandungi pelbagai penyelewengan dan salahlaku.

Kenapa marah kepada pemimpin Pakatan Rakyat yang sekadar mengulangi apa yang didedahkan oleh Jabatan Audit Negara dan mengapa sampai ada ugutan dari peguam NFC yang bernama Mohd Shafee Abdullah untuk mengheret pemimpin PR ke mahkamah kononnya memfitnah tentang projek lembu?

Sudah jadi lembukah pemimpin-pmimpin UMNO dan peguam tersebut sehingga terlupa bahawa pendedahan awal penyelewengan itu adalah dari Jabatan Audit sendiri?

Apa yang jelas dan nyata dari laporan audit, penyelewengan memang sah wujud di dalam projek lembu berkenaan, jadi usah untuk pertahan dan cuba untuk menegakkan benang basah.

Kebenaran tidak dapat ditutup walaupun sekalian menteri kabinet UMNO bersekongkol menutup penyelewengan yang berlaku.

Apa yang rakyat tahu sekarang melihat muka Shahrizat teringatkan lembu, begitu juga melihat muka Najib, Muhyiddin, Pak lah, Noh Omar & Khairy, termasuk peguam NFC, orang akan segera terbayang wajah-wajah lembu di Feedlot. Salah siapa?


ISA: Obama Patut Tahu & Diberitahu Bahawa Najib Sudah Menipu Rakyat Malaysia

Najib pamer kepimpinan hebat: Obama

NUSA DUA (BALI): Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sudah mempamerkan kepimpinan yang hebat bukan saja dalam terus meningkatkan ekonomi Malaysia tetapi juga kepimpinan dalam pelbagai forum pelbagai hala.

Pemimpin Amerika itu berkata "kami mahu menjadi rakan yang akrab dengan Malaysia".

"Saya menghargai kerjasama luar biasa yang sudah kami terima dalam pelbagai isu...terima kasih banyak-banyak Perdana Menteri," kata Obama dalam ucapannya pada mesyuarat dua hala dengan Najib di sini hari ini menjelang Sidang Kemuncak Asia Timur yang dijadualkan esok.

Presiden AS itu berkata, mesyuarat dua hala itu akan membolehkan kedua-dua negara membincangkan bagaimana mereka dapat memanfaatkan sebaik mungkin Sidang Kemuncak Asia Timur untuk menjamin kemakmuran dan keselamatan bersama di seluruh rantau ini.

Obama berkata, mesyuarat itu juga akan membolehkan kedua-dua pihak memperluaskan perbincangan mengenai hubungan dua hala mereka, menyifatkannya sebagai "kukuh" serta kerjasama yang dapat dilihat melalui isu seperti Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Beliau turut menyentuh mengenai interaksinya dengan Najib di forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Hawaii baru-baru ini.

"Saya hanya ingin menyatakan betapa saya berbesar hati dapat sekali lagi bertemu dengan Perdana Menteri Najib. Kami sudah berbual dan mengadakan perundingan yang baik pada persidangan APEC yang kami hoskan di Honolulu," katanya.

Sementara itu, Najib, dalam kenyataannya berkata AS adalah rakan perdagangan keempat terbesar dan secara asasnya masih pelabur terbesar di Malaysia.

"Kami amat mengalu-alukan untuk memperluaskan rangkaian perdagangan dan pelaburan. Dan menerusi TPP, diharapkan, kami dapat memenuhi tarikh akhir tahun depan," katanya.

Najib berkata, Kuala Lumpur melihat terdapat banyak prospek daripada segi peningkatan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

"Dan pastinya kami bersedia untuk menjalin kerjasama dalam bidang-bidang lain yang berkenaan," katanya. - BERNAMA

Isteri tahanan ISA ke Parlimen bantah Najib

KUALA LUMPUR, 18 Nov: PAS bercadang membawa isteri-isteri tahanan terbaru di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Ahli Parlimen PAS dan pihaknya akan berbincang dengan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) untuk memudahkan urusan membawa mereka dari Sabah.

"Saya sudah menghubungi Ahli Parlimen PAS dan kita akan bekerjasama dengan GMI untuk membawa isteri-isteri tahanan sementara sidang Parlimen masih berbaki dua minggu," kata beliau ketika menghubungi Harakahdaily.

Mazlan berkata, selain Najib, pihaknya juga mahu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerima memorandum bantahan tersebut kerana mereka mungkir janji terhadap rakyat Malaysia.

Menyifatkan penahanan tersebut sebagai bercanggah dengan pengumuman Najib pada sambutan Hari Malaysia 16 September lalu, beliau menuntut Najib memberi penjelasan berhubung penahanan tersebut.

"Kita minta Perdana Menteri jelaskan mengenai perkara ini kerana tindakan ini jelas menunjukkan sikap hipokrit mereka," katanya.

PAS tegasnya mengulangi pendirian mahu tahanan dibicarakan di mahkamah jika benar dakwaan mereka terlibat dengan kumpulan militan.

"Apa yang malang, isteri mereka tidak tahu kenapa suami mereka ditangkap.

"Saya ulangi bagi pihak PAS kalau mereka ditahan kerana menggerakkan kumpulan militan seperti didakwa, bawa ke mahkamah," tegasnya.

Pada 14 November lalu, seramai 13 orang ditahan di bawah Seksyen 73(1) AKDN 1960 (ISA), 7 daripadanya ialah warganegara Malaysia.

Tangkapan pendakwah dan aktivis Islam dengan perbagai profesion tersebut dilakukan oleh pegawai-pegawai polis dari Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi Counter Terorism) Bukit Aman diketuai oleh DSP Azman Omar. -HD


Ulasan GB

Apakah pengumuman Najib sebelum ini bahawa "ISA akan dihapuskan" hanya sebagai satu retorika kosong supaya beliau mendapat publisiti murahan dan dan untuk menerima perhatian dunia seperti Presiden Amerika Barrack Obama semasa persidangan APEC yang lalu?

Semasa pengumuman penghapusan ISA itu dilakukan, beberapa pemimpin dunia termasuk Obama memuji langkah Najib sebagai satu usaha ke arah pematangan demokrasi yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia.

Namun tindakan polis dan kerajaan Malaysia tiba-tiba menggunakan semula ISA untuk menahan 13 orang ditahan di bawah Seksyen 73(1) AKDN 1960 (ISA), 7 daripadanya ialah warganegara Malaysia adalah jelas satu penipuan Najib mengenai penghapusan ISA.

Bukankah ia perlu di khabarkan kepada pemimpin dunia juga bahawa Najib itu sudah memungkiri janjinya dan tindakan beliau mengumumkan "ISA dihapuskan" hanyalah bertujuan untuk kepentingan politik peribadinya supaya dijulang?

Rakyat juga mengesyaki apakah pengumuman menghapuskan ISA itu adalah sebahagian dari "nasihat" konsultan luar, APCO khususnya, demi membolehkan hubungan Najib dengan negara maju dapat diperbaiki?

Isu Wang Dalam Simpanan Polis Hilang: KPN Kata Beliau Malu

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berasa kesal dan malu berhubung kehilangan wang tunai sebanyak RM11,700 dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Selasa lalu.

Wang yang hilang itu adalah milik dua daripada tiga suspek kes samun membabitkan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Jenayah (SPRM) terhadap seorang pengurup wang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 15 September lalu.

Ismail berkata, siasatan terperinci sedang dilakukan berhubung kejadian itu mengikut prosedur sepatutnya dan pihaknya akan menyiasat secara adil.

“Kami memandang serius perkara ini dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pegawai dan anggota terbabit jika didapati berlaku kecuaian semasa mereka menjalankan tugas.

“Kejadian yang berlaku ini memalukan saya kerana polis kini berada di landasan terbaik dengan segala prosedur penyimpanan bahan bukti yang lengkap. Namun hanya kerana ‘nila setitik rosak susu sebelanga’,” katanya kepada pemberita, semalam.

Beliau berkata, sistem diwujudkan polis dalam prosedur penyimpanan barang kes sudah cukup bagus tetapi apabila ada yang ingkar arahan maka terjadilah perkara yang tidak sepatutnya.

“Jika ada bukti yang menyatakan kecuaian dalam kes ini, saya akan cari pegawai dan anggota bertanggungjawab untuk tindakan selanjutnya.

“Proses tahan atau gantung kerja juga perlu mengikut proses kerana jika tidak betul, pegawai saya akan saman saya balik. Sehubungan itu, saya perlu bertindak secara adil dan profesional,” katanya ketika mengulas sama ada sudah ada pegawai yang ditahan atau digantung tugas.

Harian Metro semalam melaporkan seramai 26 pegawai dan anggota bawahan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, di sini ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan bahan bukti itu di pejabat pegawai penyiasat.

Kehilangan wang itu yang disimpan di dalam dompet, disedari kira-kira pukul 2 petang pada 8 November oleh pegawai penyiasat terbabit setelah mendapati terdapat kesan umpil pada pintu bilik dan laci meja pejabatnya di bangunan lama IPK Selangor.

Laporan sebelum ini
klik untuk baca



Remaja Ancam Bunuh Diri Elak Tubuh Terus ‘Diratah’

Ancaman seorang remaja perempuan ingin membunuh diri dengan menikam perutnya menggunakan pisau berjaya menyelamatkan dirinya daripada terus menjadi tawanan dan pemuas nafsu beberapa lelaki di sebuah rumah kedai, di bandar Kajang, kelmarin. Gambar fail

Remaja berusia 19 tahun itu yang terdesak melarikan diri selepas dua kali diperkosa teman lelaki dan rakan bertindak berani mengambil pisau di dapur sebelum berlakon seolah-olah ingin menikam perut jika mereka enggan membebaskannya segera.

Semua suspek berusia 20-an yang panik dengan tindakan luar jangkaan itu akur dengan ugutan mangsa sebelum membuka pintu dan membiarkan mangsa melarikan diri.

Menurut sumber, suspek yang masih tidak berpuas hati cuba mengejar mangsa namun berpatah balik apabila melihat kereta peronda polis yang melakukan rondaan di kawasan berkenaan menghampiri mangsa.

“Sengsara mangsa selepas beberapa jam dijadikan ‘hamba seks’ suspek berakhir sebaik sahaja dia diselamatkan polis yang membawanya ke Balai Polis Kajang untuk membuat laporan dan tindakan seterusnya daripada pihak berkuasa.

“Malah suspek menyedari kehadiran polis turut melarikan diri selepas panik melihat mangsa diselamatkan pihak berkuasa,” katanya.

Menceritakan semula kejadian itu sumber berkata, remaja malang terbabit pada mulanya diajak keluar makan bersama teman lelakinya kira-kira jam 9 malam tanpa mengesyaki niat keji suspek terhadapnya.

“Suspek menjemput mangsa dengan motosikal di rumahnya di Bandar Seri Permaisuri, sebelum terus membawanya ke Kajang dengan alasan ingin keluar makan bersama.

“Bagaimanapun, dia mula berasa pelik apabila temannya itu melencong ke tempat lain sebelum berhenti di sebuah rumah kedai,” katanya.

Sumber berkata, syak sesuatu tidak kena, mangsa cuba melarikan diri namun gagal apabila suspek menariknya masuk ke dalam rumah itu.

“Suspek seterusnya memaksa mangsa untuk masuk ke dalam bilik dan mengugut untuk mencederakannya jika mangsa enggan menuruti permintaannya.

“Sebaik masuk, suspek yang tidak dapat menahan gelora nafsu merogol mangsa walaupun dia merayu berkali-kali supaya tidak dinodai,” katanya.

Katanya, selepas puas ‘meratah’ tubuh mangsa, seorang lagi rakan suspek masuk ke dalam bilik berkenaan dengan niat yang sama.

“Mangsa sekali lagi dipaksa melayani kehendak seks lelaki itu yang mengugut akan mencederakannya jika enggan mengikut kemahuan suspek.

“Selepas puas meratah tubuh mangsa, suspek terus keluar dan menyuruh seorang lagi rakannya masuk ke dalam bilik itu,” katanya.

Sumber itu berkata, tidak tahan terus dijadikan tempat pemuas nafsu, dia akhirnya nekad melawan dan menolak suspek sehingga terjatuh sebelum berjaya keluar dari bilik berkenaan dan berlari menuju ke dapur.

“Dia lantas mencapai pisau menyebabkan teman lelaki dan rakannya tersentak dan berusaha untuk mendapatkannya menyebabkan mangsa mengugut untuk membunuh dirinya.

“Panik dengan tindakan mangsa, seorang daripada mereka membuka pintu rumah berkenaan sebelum mangsa melarikan diri ke jalan utama,” katanya.

Derita mangsa berakhir apabila terserempak dengan kereta peronda polis yang membuat rondaan rutin sebelum dia di bawa ke Balai Polis Kajang untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. -hm

Ulasan GB

Nampaknya jenayah rogol kini semakin menjadi-jadi dari hari ke sehari.

Berdiam diri sajakah kita?

[Video & Bergambar] Harimau Yang Jarang Dilihat Dirakam Di Kawasan Pembalakan Indonesia

Jakarta - Kumpulan pemuliharaan Dana Hidupan Sedunia (WWF) semalam mendesak pemerintah Indonesia memulihara hutannya selepas gambar-gambar menunjukkan beberapa ekor harimau yang jarang dilihat berada di sebuah kawasan pembalakan.

Gambar: SEBUAH kamera tersembunyi merakamkan gambar seekor harimau batu di Bukit Tigapuluh, Sumatera pada 18 Mac lalu. - Reuters

Menurut WWF, gambar itu menunjukkan harimau Sumatera, harimau emas, harimau bintang, harimau akar dan harimau batu berkeliaran di sebuah kawasan hutan yang tidak dilindungi.

Ia menyatakan, harimau tersebut ditemui berada di antara Taman Negara Bukit Tigapuluh, Sumatera dan sebuah kawasan pemuliharaan haiwan liar.

Lebih tiga bulan dalam tahun ini, kamera WWF merakamkan 404 gambar harimau liar termasuk 226 ekor harimau Sumatera, 77 ekor harimau akar, 70 ekor harimau emas, empat harimau batu dan 27 harimau bintang. - AFP


Foto-foto ehsan BBC:


Harimau Sumatera ini termasuk salah satu dari lima spesies harimau yang jarang ditemui yang dirakam oleh kamera dalam kajian yang dilakukan WWF Indonesia. Kajian dilakukan di kawasan hutan Bukit Tiga Puluh dan koridor hutan di sekitar. Foto-foto oleh WWF Indonesia/PHKA.

Kucing congkok
Selama kajian tiga bulan, kamera WWF menghasilkan 404 foto harimau, termasuk 226 harimau Sumatera, 77 harimau dahan, 70 kucing emas, 4 kucing batu, dan 27 kucing congkok.

Kucing emas
WWF Indonesia mendesak kerajaan dan perusahaan-perusahaan untuk mengambil tindakan segera guna menyelamatkan kawasan yang memiliki keanekaragaman kehidupan.

Kucing emas
Karmila Parakkasi, Koordinator Penelitian Harimau WWF menyatakan spesies harimau ini dilindungi oleh kerajaan Indonesia dan tercatat sebagai binatang yang terancam pupus.

Macan dahan
Parakkasi juga menyatakan temuan spesies, termasuk harimau dahan ini, menunjukkan kawasan Bukit Tigapuluh dan koridor hutan seliling sangat kaya.

Macan dahan
WWF Indonesia juga meminta agar kerajaan Indonesia menimbang semula keizinan konsesi penebangan hutan di kawasan itu.

Kucing batu
Sejumlah perusahaan kayu yang beroperasi di kawasan ini, menurut WWF Indonesia, termasuk Barito Pacific.