DDatuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semalam menegur ahli-ahli PAS yang berkerja cukup minima untuk perjuangan parti.
“Nak menang pilihan raya, buat kerja seminggu. Bubar parlimen baru buat kerja, sekarang tak buat kerja,” ujarnya sambil menggesa seluruh ahli dan penyokong PAS sentiasa melaksanakan tugas masing-masing, harakahdaily dipetik.
Prsiden PAS itu berkata demikian sewaktu merasmikan Ijtima’ Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan 2010 yang disertai sekitar 5,000 pemuda di Masjid Rusila, malam tadi.
Tuan Guru Abdul Hadi juga menegur ahli PAS yang mahukan kemenangan yang cepat di dalam pilihan raya tetapi melakukan kerja dalam masa yang singkat.
Ini, katanya kerana perjuangan Islam yang dibawa oleh rasul-rasul juga memakan masa untuk mencapai kejayaan.
Beliau mengambil contoh perjuangan Nabi Musa dan Harun memakan masa 40 tahun walaupun doa mereka diperkenankan oleh Allah untuk menumbangkan Firaun.
Begitu juga, katanya perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. juga mengambil masa 23 tahun untuk menegakkan Islam dan meruntuhkan jahiliah.
Sebelum itu Presiden PS menegaskan bahawa PAS adalah parti yang memimpin, bukannya dipinggirkan apabila mencapai kemenangan.
Beliau tidak mahu kesilapan yang lepas berulang di mana kumpulan Islam dipinggirkan apabila negara mencapai kemerdekaan.
Katanya, sewaktu negara dijajah, kumpulan Islam di depan menentang penjajah tetapi setelah merdeka, mereka dipinggirkan.
“Kita parti yang memimpin, menjadi teras, bukan dipinggirkan mudah-mudah oleh orang,” tegasnya.
PAS mempunyai wawasan yang panjang iaitu dari dunia sehingga akhirat, bukan setakat 2020.
Ini, katanya kerana perjuangan PAS adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah Taala.
“Kalau tanya ahli PAS yang bebal pun, mengapa sokong PAS, mereka kata nak pahala, mengharapkan keredhaan Allah,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, perkara itu tidak diharapkan oleh pihak musuh kerana mereka berjuang untuk mendapatkan bantuan dan kebendaan.
Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen menekankan supaya ahli dan penyokong PAS hendaklah sentiasa ditarbiah bagi meneruskan perjuangan Islam untuk meruntuhkan jahiliah.
Katanya, golongan yang memperjuangkan Islam sejak zaman nabi-nabi terdahulu ditarbiah dengan berbagai ujian dan kezaliman sehingga ada di kalangan mereka yang dibunuh.
Beliau menambah, keperitan yang dirasai akibat dizalimi oleh golongan jahiliah menyebabkan golongan Islam tidak melakukan kezaliman apabila mereka mendapat kuasa.
“Kita perit rasa dizalimi, kalau kita perintah, kita tidak melakukan kezaliman,” ujarnya lagi.
Ulasan GB
Di dalam konteks Pakatan Rakyat, PAS hanya mampu menjadi parti yang memimpin sekiranya PAS berjaya menjadi parti yang mendominasi PR.
Dominasi itu diukur dari segi kekuatan yang ada pada sesebuah parti yang mempunyai bilangan ahli parlimen majoriti.
Semasa selepas pilihanraya umum 1999, PAS berjaya buat pertama kali menjadi parti yang dominan di dalam barisan pembangkang (Angkatan Perpaduan Ummah) di Parlimen. PAS menang 27 kerusi, DAP 10 dan Keadilan 5. TG Haji Abd Hadi ketika itu dinobatkan sebagai Ketua Pembangkang.
Akibat keselesaan itu, beberapa YB-YB PAS "lupa diri" sehingga dihukum oleh rakyat pada pilihanraya 2004 dimana PAS hanya berjaya memperolehi 7 kerusi, Keadilan 1 manakala DAP 12 sekaligus merampas kerusi Ketua Pembangkang daripada Abd Hadi untuk diserahkan kepada Lim Kit Siang. Malah Abd. Hadi tewas di kerusi Parlimen Marang di tangan Abdul Rahman Bakar.
Di dalam pilihanraya 2008, PAS sekali lagi menerima tamparan. Sekalipun Pakatan Rakyat menang banyak kerusi Parlimen tetapi PAS hanya memperolehi 24 kerusi, berbanding PKR yang memperolehi 31 manakala DAP 8. Sekali lagi Ketua Pembangkang beralih kepada orang lain, kali ini PKR.
Persoalan kini, apakah PAS perlu merasakan dirinya dipinggirkan jika PAS sendiri belum mampu secara konsistennya mendominasi Pakatan Pembangkang?
Kita bercakap mengenai "keredhaan Allah" , tetapi kita walau sealim mana pun, tidak tahu dan tidak akan tahu secara hakiki hal-hal yang menjadi milik mutlak Allah s.w.t. seperti "mardhatillah".
Kita hanya disuruh, diarah untuk bekerja bersungguh-sungguh kerana demikian hadith "Sesungguhnya Allah itu suka jika seseorang daripada kamu membuat sesuatu pekerjaan dengan tekun dan bersungguh-sungguh" yang saya kira Abd Hadi lebih arif mengenainya.
Apakah lantaran untuk mencapai keredhaan itu maka kita harus mengkhianati rakan-rakan lain di dalam PR dan berbaik-baik dengan mereka selama ini dikategorikan sebagai musuh hanya semata-mata kita sudah tidak lagi mendominasi PR dan merasa terpinggir?
GB terpaksa merungkai hal ini untuk kita sama-sama renungkan supaya selepas ini kita bekerja bersungguh-sungguh sepertimana yang dihasratkan oleh Presiden supaya PAS mampu menjadi parti yang memimpin PR.
GB tidak tahu apa "agenda sebenar" Pemuda PAS melalui Ijtima Tarbawi ini yang dihadiri oleh peserta pemuda seluruh negara yang di atas pentas dilihat hanya pemimpin-pemimpin yang dikategorikan sebagai mereka yang sehaluan dengan satu kumpulan sahaja di dalam PAS.
Ini kebenaran. GB terpaksa dedahkan kerana ia sebenarnya barah yang telah lama dihidapi oleh parti yang telah membawa kepada perpecahan (al-ghazwul fikr) di kalangan ahli jemaah. Dan sesungguhnya, Allah itu Al-Haq.
Hal yang sama pernah berlaku di dalam perhimpunan bogger satu ketika dulu. Dan ia menjadi tidak berfungsi dan merupakan satu kegagalan kerana awal mula pertama mula, agenda mengadakan seminar dan pembentukan jawatankuasa blogger itu tidak bermula dengan matlamat yang jernih sekalipun amat lunak di atas kertaskerja.
Apakah Ijtima Tarbawi ini bakal mengundang natijah yang serupa dengannya? Muga-muga tidak dan kita berharap "ukhwah Islamiah" sebenar terjalin di seluruh kalangan ahli jika PAS ingin terus tidak merasa terpinggir.
Kita tidak boleh meminggirkan orang yang tak sehaluan dengan kita di dalam jemaah sebelum nantinya kita tidak dipinggir orang lain di luar jemaah!