17 Mei 2010

Kaum Cina Tak Heran Lagi Isu Negara Islam

Malaysia Timur bukan lagi deposit tetap BN

Keputusan PRK Sibu merupakan lambang kemenangan Pakatan Rakyat (PR) di Sarawak, dan tsunami politik telah melanda ke tebing Laut China Selatan. "Malaysia Timur bukan lagi deposit tetap Barisan Nasional," kata penganalisa politik, Wong Chin Huat.

Ketika ditemuramah MerdekaReview, Wong Chin Huat membaca kemenangan DAP dalam PRK Sibu sebagai kemenangan PR. Untuk Wong Chin Huat, hasil daripada kerjasama PR, DAP telah meraih sokongan di kawasan bukan Cina, selain kawasan pengundian yang majoritinya kaum Cina.

"Tiada sesiapa yang boleh mendakwa bahawa Malaysia Timur adalah deposit tetap BN pada hari ini. Tidak semestinya begitu. Keputusan PRK juga menunjukkan bahawa bukan sahaja Cina yang menolak BN, malah undi Melayu juga kurang mantap (untuk BN)," kata Wong Chin Huat.

Menurut Wong Chin Huat, mustahil DAP hanya menang dengan kawasan Pelawan (majoriti Cina), kerana penambahan undi ada batasnya. Dengan kata lain, DAP juga menang di peti undi lain. Keadaan ini cukup memberangsangkan terutamanya apabila beberapa peti undi di kawasan Nangka, yang memenangkan DAP daripada kekalahan PRU-12 lalu. Keadaan ini diperlihatkan di Teku, yang mana tiga peti undi daripada dua pusat pengundian kini memihak kepada DAP walaupun parti tersebut memihak kepada BN pada PRU ke-12.

Penambahan undi Cina

DAP sepatutnya memperolehi majoriti yang melebihi 2,000 undi, seandainya tiada "penyelewengan" seperti Suruhanjaya Pilihan Raya yang tidak profesional dan rasuah politik yang disogokkan secara terbuka, menurut Wong Chin Huat.

Selain daripada itu, SUPP mengulangi strategi MCA sebelum PRU ke-12, iaitu menyerang PR dengan isu Negara Islam. Strategi ini mungkin berjaya memandangkan wujudnya jurang politik yang melebar antara Malaysia Timur dan Barat, tetapi kini "tsunami politik" terbukti telah melanda tebing Laut China Selatan, kata Wong Chin Huat.

Selain daripada itu, ahli parlimen Bukit Bendera-DAP, Liew Chin Tong pula menyatakan bahawa keputusan PRK Sibu memperlihatkan DAP berjaya mengekalkan undi Iban dan Melayu, di samping penambahan undi Cina. Keadaan ini agak menarik apabila undi Melayu dan Iban tidak menjunam biarpun diserang dengan jentera negara dan rasuah politik yang berleluasa.

Situasi semestinya berbeza menjelang pilihan raya negeri atau pilihan raya umum, kerana taburan wang tunai dengan amaun yang besar, antara RM500 hingga RM600 kepada pengundi tidak mungkin berlaku dalam PRU. Dengan ini, pembangkang mungkin mempunyai peluang yang lebih untuk membuat kejutan.

SUPP mungkin jadi MIC

Kekalahan SUPP kali ini melakar gambaran politik di Sarawak, memperlihatkan bagaimana BN yang dikejar dari belakang kini menemui jalan buntu di hadapan. Agak sukar untuk SUPP mencari penarik undi untuk dirinya. Sementara pimpinan Ketua Menteri Taib Mahmud semakin hilang sokongan, SUPP juga tidak boleh mengharapkan Pengerusi BN, Najib Razak. Dengan ini, SUPP mungkin mengikut jejak MIC pada PRU yang akan datang.

Sebaliknya, Wong Chin Huat melihat kerjasama PR bakal melepasi rintangan di sesetengah kawasan. Sungguhpun masih jauh untuk PR menguasai kerajaan negeri di Sarawak, namun kemenangan ini semestinya menyuntik semangat kepada PR.

Selain itu, Liew Chin Tong berkata bahawa PRK Sibu telah menggagalkan strategi lawan yang menggunakan "Negara Islam" sebagai senjata untuk menakut-nakutkan komuniti bukan Islam. Beliau menambah, PRK ini memberi kesan kepada kelangsungan SUPP memandangkan parti ini gagal menarik sokongan pengundi baru, meskipun mengekalkan asas sokongannya.

SUPP ditubuhkan pada 19 Jun 1959, membuka tirai kepada perjuangan politik sayap kiri melalui dewan perundangan. SUPP adalah parti yang membantah rancangan Malaysia, tetapi menyertai kerajaan pada tahun 1970. Kini, SUPP muncul sebagai parti kedua terbesar di Sarawak, tetapi mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya negeri pada tahun 2006. SUPP kian lemah apabila melalui pergelutan kuasa dalaman sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

UMNO mempercepatkan langkah ke Sarawak

Selain itu, Wong Chin Huat juga menganggap kemenangan PR dalam PRK Sibu akan mempercepatkan langkah UMNO memasuki Sarawak. Bagaimanapun, Wong Chin Huat menjangkakan dilema yang dihadapi UMNO, kerana kemasukannya ke dalam Sarawak seolah-olah langkah membunuh diri, sebaliknya keadaan BN gagal diredakan seandainya UMNO tidak masuk ke Sarawak.

"Hari keesokan Malaysia menjadi menarik selepas hari ini," kata Wong Chin Huat ketika ditemuramah MerdekaReview, semalam.

Liew Chin Tong pula menganalisa politik Sarawak dari segi geografinya, yang mana DAP telah menembusi Sarawak Selatan (Kuching), kini pula bertapak di Sarawak Tengah berikutan kemenangan ini. Presiden SUPP George Chan Hong Nam sedang menguasai Utara Sarawak setakat ini.

Menurut Liew Chin Tong, biasanya DAP akan bertanding tiga kawasan parlimen di pertengahan Sarawak, iaitu Lanang, Sibu dan Sarikei, tetapi kalah setiap kali. Di bawah tiga kawasan parlimen ini, DAP berniat bertanding di lima hingga enam kerusi DUN. Dalam pilihan raya negeri pada tahun 2006, DAP telah memenangi Bukit Assek (juga oleh Richard Wong Ho Leng) dan Meradong. Kini, DAP boleh menaruh harapan untuk menyerang ke arah Utara.

Kedua-dua Liew dan Wong meramalkan pilihan raya negeri Sarawak pada tahun ini, namun menjangka ia mungkin ditundakan sehingga tahun depan, atau diadakan bersama PRU ke-13, selepas kekalahan BN semalam.

Penyelewengan Pasir Adalah Warisan Dari Zaman UMNO BN

Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam mengesahkan isu penyelewengan pasir di Selangor telah wujud sejak zaman pemerintahan Barisan Nasional lagi di negeri itu.

Menurutnya, nama-nama pihak yang terlibat sudah pun didedahkan dan kini beliau hanya menunggu siasatan dijalankan terhadap isu itu.

"Pulangan yang diperolehi kerajaan daripada penjualan pasir berkurangan dan ini menimbulkan syak adakah wujudnya rasuah dan penyelewengan?

"Hasil jualan pasir sebenarnya akan memberi banyak manfaat kepada rakyat negeri Selangor terutamanya bagi golongan miskin," katanya.

Sebelum ini, Manikavasagam menerima satu ancaman bunuh berhubung penglibatannya dalam urusan pasir di negeri Selangor.

Nota ugutan bertulis "Jangan campur isu pasir. You mati" diikat pada beg yang mengandungi cat merah dan disimbah pada keretanya dan kereta isterinya.

Beliau turut mendakwa isu penyelewengan pasir melibatkan pegawai atasan sebuah anak syarikat kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap pengeluaran dan perniagaan pasir di Selangor.

Beliau yang dihubungi erapakatan berkata keluarganya masih berada dalam keadaan tertekan dan trauma mengenai kejadian ini.

"Selama 10 tahun berkecimpung dalam arena politik, saya belum pernah mendapat ugutan serius seperti ini.

“Saya sedikit terkejut kerana ianya tak ubah seperti angkara ‘along’,” katanya lagi.

Ditanya mengenai tindakan seterusnya, beliau memberitahu akan membiarkan keadaan tenang dahulu sebelum meneruskan usaha membongkar penyelewengan ini.

“Ugutan itu tidak mematahkan semangat saya untuk membongkar isu penyelewengan ini.

“Saya tidak mahu menuduh sesiapa tetapi saya percaya ini semua kerja dalaman golongan yang terlibat dan yakin ada sindiket tertentu yang mendalangi hal ini,” katanya sebelum mengakhiri perbualan. -erapakatan


Nazree: Ugutan Bunuh MP Kapar Mungkin Didalangi UMNO BN

Bekas Pengerusi Gerakan Anti-Korupsi tidak menolak kemungkinan ancaman bunuh yang diterima Ahli Parlimen Pakatan Rakyat berhubung dakwaan rasuah kakitangan Kumpulan Semesta Sdn Bhd berbaur politik dan dicetuskan oleh parti lawan, Umno-BN.

Nazree Yunus berkata ada kemungkinan ia sengaja dilakukan bagi mensensasikan lagi isu ini, dalam usaha untuk memalukan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

“Saya nampak ini ada unsur-unsur provokasi, sabotaj dan juga ini ada kemungkinan unsur-unsur politik untuk memainkan isu ini dengan lebih panas lagi kerana bagi saya masalah ini apabila dakwaan rasuah ini melibatkan kerajaan Pakatan Rakyat.

“Saya kira ini adalah kesempatan untuk khususnya Umno Barisan Nasional untuk sengaja memanaskan lagi isu ini kerana saya nampak mereka-mereka menggunakan sendiri hujah-hujah pemimpin dari Pakatan Rakyat yang mereka suka buat tuduhan pimpinan Pakatan Rakyat,” katanya.

Dalam kejadian jam 7 pagi tadi, tiga beg berisi cat merah dan nota ancaman bunuh dilemparkan pada kereta Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam.

Beliau bertanggungjawab mendedahkan isu ini ke pengetahuan Kerajaan Negeri Selangor, dan pihak kerajaan negeri telah meminta Selcat untuk menyiasat dakwaan ini.

Nazree menasihatkan Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam yang membuat dakwaan rasuah terbabit supaya bertindak dengan cermat dalam menangani isu ini.

“Yang saya bimbangnya dalam keadaan untuk kita cuba terjermahkan nilai-niali intergriti dan ketelusan itu, kita bimbang musuh mengguna pakai isu ini seolah-olah yang banyak melakukan rasuah ini adalah dari Pakatan Rakyat,” katanya. -TVS


Pasca Sibu : Muhyiddin Bakal Ke Hospital Semula?

Senjata Makan Tuan, Muhyiddin Tertipu Propaganda Sendiri

SHAH ALAM 17 Mei - Timbalan Presiden KEADILAN Dr Syed Husin Ali berkata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melabel KEADILAN sebagai parti runtuh adalah propaganda milik media yang dikuasai Umno-Barisan Nasional.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno terlampau percaya kepada propaganda sendiri yang dibesar-besarkan oleh media mereka kuasai yang yang akhirnya membuat beliau dan pimpinan lain Umno tersentak apabila kecundang di Pilihan Raya kecil P212 Sibu.

"Memang diakui imej KEADILAN terjejas sedikit oleh tindakan beberapa ahli parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang melompat.

"Mereka ini adalah anasir buruk dalam parti yang bermasalah diri dan tidak pernah membuat kerja dan mereka ini akan diganti dengan calon yang berwibawa dalam PRU 13 nanti," ujarnya.

Menurut Syed Husin, tindakan keluar parti pihak terbabit tidak mempunyai makna dibandingkan dengan peristiwa Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn mengisytihar diri mereka keluar Umno sebelum ini.

"Dakwaan kononnya anggota KEADILAN keluar parti secara beramai-ramai tidak benar sama sekali.

"Malahan ribuan ahli Umno yang bertindak keluar parti lebih ramai semenjak Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar ibrahim disingkirkan dari Umno dan diaibkan dengan tuduhan liar," tegas Syed Husin dalam kenyataan media yang dikeluarkan itu.

Mengulas isu bekas Ketua Cabang Ipoh Barat Fauzi Muda, Syed Husin berkata tindakan Fauzi itu dialu-alukan dan pengumuman tersebut membolehkan cabang Ipoh Barat boleh bersatu di bawah pimpinan yang lebih komited.

"Tidak lama dulu Fauzi telah membuat akuan sumpah menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang beliau temui berjanji hendak memberinya wang tetapi sekarang secara tiba-tiba beliau pula mengumumkan keluar parti," tambah Syed Husin.




Muhyiddin keluar hospital, dinasihatkan berehat
Mei 2, 10 7:39am

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dinasihatkan oleh doktor untuk berehat kerana dehidrasi atau kekurangan air dalam badan.

Setiausaha Akhbar beliau Datuk Ainon Mohd berkata Muhyiddin telah berehat di hospital sejak Khamis dan dibenarkan keluar semalam.

Dalam satu kenyataan. beliau berkata timbalan perdana menteri akan kembali menjalankan tugas beliau minggu hadapan.

- Bernama


Ulasan GB

Sewaktu selepas PRK Hulu Selangor, Muhyiddin yang mensasarkan kemenangan UMNO BN sampai 6000 majoriti tetapi hanya berjaya mendapat seribu lebih telah di masukkan ke hospital selepas itu.

Pada 2 Mei beliau telah dinasihatkan oleh doktor supaya berehat. Tetapi sebaliknya beliau terus menyerang PKR dengan melabelkannya sebagai Parti Kian Runtuh.

Semalam, di Sibu, Muhyiddin bergegas pulang ke KL sebelum pengumuman keputusan PRK Sibu setelah dimaklumkan kekalahan BN.

Apakah selepas ini akan masuk ke hospital semula setidak-tidaknya ke Hospital Bahagia ..... mintak nyawa... mintak nyawa... (pinjam dialog Ahmad Nisfu dalam 3 Abdul)?



Kemenangan Di Sibu Percepatkan PR Ke Putrajaya

Tembus kubu BN di Sarawak
DAP menang, majoriti 398 undi


DAP-PR berjaya membuat kejutan di PRK Sibu, apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pengumuman rasmi bahawa kemenangan memihak kepada DAP dengan majoriti 398 undi. DAP-PR meraih 18,845 undi, mengatasi SUPP-BN yang memperolehi 18,447 undi. Calon bebas pula mencatat 232 undi, sementara terdapat 208 undi rosak, dan 190 undi yang tidak dikembalikan.

Daripada 110 peti undi biasa, calon DAP, Richard Wong Ho Leng memenangi 18,775 undi, di samping calon BN, Robert Lau Hui Yew memperolehi 16,124 undi. Calon bebas, Narawi Haron hanya mendapat 196 undi. Dengan kata lain, DAP mendahului dengan majoriti 2,651 untuk undi biasa.

Bagaimanapun, undi pos yang dikira dan diumumkan pada saat akhir jelas menyebelahi BN, dengan BN 2,323 undi, DAP 70 undi, calon bebas 36 undi, 208 undi rosak dan 190 undi yang tidak dikembalikan.


"Tipu! Tipu! Tipu!"

Pengumuman rasmi SPR yang ditundakan sehingga kira-kira jam 11 malam, mencungkil keraguan dan ketidakpuasan penyokong DAP-Pakatan Rakyat. Tiga jam sebelum ini, pemimpin dan penyokong PR berada dalam keresahan. Desas-desus dikhabarkan bahawa undi mungkin dikira semula, dan pemimpin DAP-PR khuatir bahawa undi pos akan menggagalkan kemenangan DAP.

Lebih-lebih lagi, kadar pengundian dikatakan lebih tinggi daripada yang diumumkan sebelum ini, iaitu 70% berbanding 59.86%. Keadaan ini mengundang kesangsian, lalu sekumpulan penduduk Sibu berhimpun di luar Dewan Suarah, melaungkan "Tipu! Tipu! Tipu!"

Biarpun hujan turun dengan lebat, penduduk Sibu ini sanggup menunggu di luar bangunan, menyuarakan apa yang terpendam dalam hati mereka, "Kami mahu perubahan!"

Kemungkinan menang

Lebih awal lagi, DAP-PR dikhabarkan memenangi PRK Sibu dengan 665 undi majoriti. Pemimpin Pakatan Rakyat telah mengumumkan kemenangan bagi pihak DAP, sementara pemimpin BN dilaporkan telah meninggalkan dewan.

Pada jam 8 malam, DAP-Pakatan Rakyat dilaporkan semakin hampir untuk mencipta keajaiban dalam PRK Sibu apabila secara tidak rasmi mendahului SUPP-BN dengan 3,944 undi majoriti, setelah 103 daripada 110 peti undi dikira. Sungguhpun demikian, DAP-PR tetap berhati-hati memandangkan undi pos yang mencecah 2,809 undi masih belum dikira.

Terdapat 54,695 orang pengundi mendaftar, termasuk 2,537 pengundi pos di kawasan pengundian Sibu. 36,389 orang (atau 66.7%) daripadanya adalah pengundi Cina, sementara Iban dan Melanau membawa jumlah 12,050 (22.1%), 5,740 (10.5%) orang Melayu, 54 orang India (0.01%) dan kaum yang lain, 289 orang (0.53%).

PRU ke-12 pada tahun 2008 menyaksikan pertandingan tiga penjuru, yang berakhir dengan kemenangan kepada Robert Lau Hoi Chew (19,138 undi), dengan majoriti 3,235 undi. Richard Wong Ho Leng dari DAP mendapat 15,903 undi dan Lim Chin Chuang dari PKR (812 undi). Kadar pengundian mencatat 67.77%, dengan 526 undi rosak.

Suasana pilihan raya

PRK yang ke-11 ini mencipta rekodnya, apabila ia mencatat kemenangan kelapan untuk PR selepas tsunami politik pada PRU ke-12. PRK Sibu merupakan ujian pertama kepada DAP secara khususnya selepas 8 Mac 2008, lantas memberi kemenangan yang menambah satu lagi kerusi untuk parti ini di Dewan Rakyat. Sebelum ini, PRK DUN Batang Ai, masih memihak kepada BN, membawa kesimpulan pada ketika itu bahawa Malaysia Timur tetap kubu BN.

Dengan kemenangan ini, PR akan bertahan pada 77 kerusi dalam parlimen.

PRK Sibu sebelum ini tidak "mengghairahkan" buat PR, khususnya selepas kekalahan PKR-PR di PRK Hulu Selangor yang berlangsung pada April lalu. Majoriti 3,235 undi pada PRU ke-12 menampakkan peluang yang tipis untuk DAP-PR.

Bagaimanapun, suasana PRK yang agak tenang sebelum ini, memacu pada kemuncaknya apabila perhimpunan DAP-PR di depan Hotel Paramount semalam berjaya menarik kehadiran kira-kira 15 ribu orang. Sungguhpun dibasahi hujan yang tidak kurang lebatnya, namun orang ramai tetap berada di situ untuk mengikuti ceramah politik pemimpin PR.

Sementara itu, aktiviti anjuran BN di Rejang Park kelihatan suram berbanding PR apabila hanya berjaya menarik kehadiran kira-kira seribu orang.

Antara isu yang dibangkitkan oleh PR termasuklah masalah tanah, kebanjiran, kemudahan infrastruktur yang serba kurang, dan isu penggunaan kalimah Islam. SUPP-BN pula, menyerang DAP dengan isu Negara Islam kerana kerjasamanya dengan PAS, pada masa yang sama menyeru agar pengundi mengenang budi bekas wakil rakyat, mendiang Robert Lau Hoi Chew. -MR

Kisah Keberanian Masyarakat Sibu Dan Katak Memanggil Hujan

WWong Hargai Keberanian Rakyat Sibu Sahut Cabaran Perubahan

Ahli Parlimen Sibu yang baru, Wong Ho Leng mengisytiharkan kemenangan Pakatan Rakyat sebagai 'fajar kebangkitan rakyat Sarawak'.

Pengerusi DAP Negeri ini berkata dengan kemenangan Pakatan Rakyat, kini mana-mana parti politik tidak akan berani mengambil-mudah isu kemiskinan, rasuah dan perompakan harta rakyat Sarawak.

Pemerhati politik bersetuju kemenangan Pakatan Rakyat mengoyahkan cengkaman BN di Sarawak, dimana jumlah kerusi Parlimen yang besar di negeri ini menjadi penentu pembentukan Kerajaan Pusat dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

"Terima kasih Sibu. Terima kasih Malaysia. Selangkah memenangi Sibu, selangkah lagi kita menghampiri Putrajaya," kata Wong disambut tepukan gemuruh hadirin.

"Mulai hari ini, mana-mana orang tidak lagi akan berani mengambil kesempatan keatas kita, rakyat Sarawak," tegas beliau, dengan anggukan setuju pimpinan Pakatan Rakyat.

Calon BN, Robert Lau, pewaris kekayaan bapanya yang merupakan wakil rakyat sebelum ini, dijangka mengekalkan Sibu dengan majoriti sekitar 3,000 undi, namun tewas kepada Pakatan Rakyat.

Walau majoriti yang diperoleh nipis, namun keputusan menyaksikan BN kehilangan lebih banyak undi masyarakat Cina berbanding PRU 2008. Sokongan masyarakat Dayak kepada Pakatan Rakyat turut mencatatkan peningkatan.

Wong mengucapkan penghargaan kepada penyokong Pakatan Rakyat dan berkata kemenangannya turut dikongsi bersama pengundi Sibu yang peka dan sedar akan tanggungjawab mereka.

"Malam ini rakyat Sibu mencipta sejarah. Kemenangan ini bukan milik saya, tetapi kemenangan untuk semua pengundi Sibu yang sedar. Minggu lalu sahaja kita tidak akan percaya Pakatan Rakyat mampu menang, tetapi malam ini satu keajaiban berlaku, keajaiban yang kita jayakan bersama," kata Wong.

Namun begitu, Pakatan Rakyat memberi jaminan bahawa suara rakyat Sibu, walau apapun keanggotaan parti politik mereka, tidak akan diabaikan.

"Saya ingin mengucapkan setinggi terima kasih pada pengundi Sibu diatas keberanian mereka melakukan perubahan. Saya akan berkhidmat sebaik-mungkin kepada semua, samada mereka undi saya atau tidak. Saya mahu menjadi kawan kamu, dan kamu adalah kawan saya," tegas Wong. -TVS



Sibu: Perkasa lagi pertikai undi Cina kepada BN

Perkasa yang mempersoalkan sumbangan balas pengundi Cina ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor bulan lalu, sekali lagi mempertikaikan tahap sokongan mereka kepada Barisan Nasional (BN) di Sibu semalam.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali mendakwa pengundi-pengundi Cina di kawasan Sibu tidak menghargai janji-janji projek dan bantuan kewangan dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika berkempen.

“Pengundi-pengundi Cina tidak menghargai apa yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada mereka, misalnya menyokong sekolah vernakular dan sebagainya.

“Masyarakat Cina secara terbuka menyokong dasar DAP.

“Pengundi Cina mahukan cara Cina sendiri, meskipun Bumiputera terpaksa menelan tolak ansur yang dibuat oleh BN dalam memenuhi kehendak mereka,” katanya.

Ibrahim, Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas, yang mewakili Perkasa iaitu pertubuhan bukan kerajaan Melayu terbesar di Malaysia sekarang, mengulas keputusan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu yang diumumkan lewat malam tadi.

Kerusi itu yang mempunyai majoriti pengundi Cina dirampas oleh DAP yang diturunkan oleh Pakatan Rakyat.

Di Hulu Selangor tiga minggu lalu walaupun BN berjaya merampas balik kubu kuatnya daripada PKR, tetapi merekodkan kemerosotan sokongan pengundi Cina.

Sehubungan itu, Perkasa meminta BN mengkaji semula janji bantuan kewangan dan projek pembangunan kepada masyarakat Cina.

Saranan hukuman itu tidak mendapat sokongan pemimpin-pemimpin BN dan Umno.

Bagaimanapun kata Ibrahim, keputusan semalam sebenarnya satu pengajaran kerana ia memotivasikan kaum Melayu dan Bumiputera agar lebih bersatu padu selepas ini.

“Mereka tidak boleh meminda perlembagaan (negara). Jika begitu ia akan membawa kepada malapetaka,” katanya.

“Bagi saya selaku orang Melayu dan sebagai seorang Islam, ini satu hikmah pengajaran... kita akan ke depan, kita akan lihat,” katanya yang berkempen untuk calon BN di Hulu Selangor tetapi tidak di Sibu.

Calon DAP Wong Ho Leng memenangi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu dengan majoriti 398 undi.

Beliau memperolehi 18,845 undi bagi mengalahkan calon Barisan Nasional Robert Lau Hui Yew yang mendapat 18,447 undi dan calon Bebas Narawi Haron yang beroleh 232 undi. -TMI


Ulasan GB

Kita harap UMNO BN dengar cakap Ibrahim Ali, sisihkan pembangunan untuk masyarakat Cina supaya BN cepat sikit bungkus. Lagipun rakyat sebenarnya dah tak sabar untuk mentalkinkan UMNO BN lantaran keangkuhannya dan perangai jijik mereka "menternak katak-katak" yang hodoh lagi bising di celah-celah longkang demokrasi.