3 Mac 2013

Lahad Datu: UMNO Cakap Ini Semua Salah Anwar Ibrahim

Anwar beri amaran, jangan heret beliau dalam isu di Lahad Datu

PERMATANG PAUH 3 Mac: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada Umno BN agar tidak mengheret beliau dalam isu di Lahad Datu, Sabah.

Malah kata Anwar, sesiapa saja yang memfitnah dengan membabitkan namanya dalam isu pencerobohan tentera ‘Sultan Sulu’, di Lahad Datu akan berdepan tindakan undang-undang.

“Saya akan saman Utusan (Malaysia) sekali lagi minggu depan kerana cuba memfitnah dengan mengheret saya dalam isu pencerobohan di Lahad Datu,” katanya ketika berucap di hadapan hampir 5000 hadirin di tapak parkir, Pasar Tenggiri, Seberang Jaya semalam.

Beliau juga mempertikaikan bagaimana pencerobohan perairan negara boleh bolos hingga memberi ruang kepada musuh mengancam keselamatan negara.

“Ini membuktikan betapa lemahnya pertahanan serta kepimpinan negara hingga pencerobohan yang menggugat keselamatan negara boleh berlaku sejak tiga minggu yang lalu.


“Sebagai rakyat Malaysia, saya tetap mahu kedaulatan negara serta bumi Malaysia dipertahankan,” ujarnya serius.

Anwar juga menyelar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kerana tidak memberi peluang kepadanya menjawab segala tuduhan membabitkan pencerobohan Lahad Datu.

Ia juga mencabar Najib supaya tidak menjadi pengecut dengan berselindung di sebalik media arus perdana, tanpa memberi ruang yang sama kepadanya untuk membalas kritikan.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, Lt.

Jeneral(B)Datuk Abdul Ghafir Abd Hamid dan pimpinan PR Pulau Pinang.


Dasar keselamatan negara yang lemah tapi Umno salahkan Anwar


BATU PAHAT 2 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kegagalan kerajaan menyelesaikan kes pencerobohan di Lahad Datu, Sabah dengan baik antara punca yang mengakibatkan dua komando polis terbunuh.

“Di Lahad Datu, kita dukacita, dan ucap takziah kepada pasukan keselamatan yang ditempatkan untuk pertahankan bumi Malaysia. Kita doakan untuk mereka.

“Ini kelemahan dasar keselamatan kerajaan. Sudah masuk dua minggu, menteri baru nak pergi melawat,” katanya ketika berucap depan 5,000 hadirin di Markaz PAS Sungai Tongkang, Rengit, Batu Pahat, 2 Mac.

Ketua Umum KEADILAN itu kesal kerana pemimpin Umno BN memutar belit isu keselamatan negara sebagai bahan fitnah terhadapnya tanpa mengambil kira soal keamanan.

“Tapi Umno cakap, ini semua salah Anwar Ibrahim. Aku juga yang dipersalahkan.

“Kerja fitnah sahaja Umno. Dia orang Melayu, Islam tapi tidak peduli langsung apa yang hak dan apa yang batil,”
katanya.

Beliau mengulas kes pencerobohan Lahad Datu yang menyebabkan dua komando polis terbunuh dalam pertempuran dengan kumpulan yang dikenali pengikut Sultan Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Dua komando terbunuh ialah Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabarudin Daud, kedua-duanya dari VAT69, unit komando elit polis yang ditugas untuk menangani gerakan anti-keganasan dan operasi khas.

-KD


Berapa Kos Iklan Pulihkan Imej Najib di Youtube?


Belum lagi terjawab berapakah jumlah yang telah dibelanjakan dari duit rakyat untuk membeli semuka penuh iklan di akhbar Washington Post bagi tujuan mengucapkan tahniah kepada Rosmah pada April 2011 lalu, kini terpampang pula iklan Moving Forward Together With Najib Raza’ di laman utama Youtube.

Promosi habis-habisan pembinaan imej Presiden Umno dalam rangka untuk mengekalkan tampuk kuasa menjelang PRU13 ini, tentunya menelan jutaan ringgit lagi wang rakyat.

Tak cukup dengan memanipulasikan segenap ruang media perdana yang ada di Malaysia, sedang berlangsung sekarang jelajah Presiden dan Timbalan Presiden Umno ke seluruh negara untuk berkempen yang kosnya juga dibayar dari wang rakyat, menggunakan kemudahan milik rakyat sama ada pesawat khas yang dinaiki, helikopter, sekolah atau premis milik rakyat, peruntukan jamuan yang dibayar dari duit rakyat, cenderahati untuk Presiden Umno juga dibeli dari duit rakyat, belum lagi dikira kakitangan kerajaan yang sepatutnya berkhidmat untuk rakyat tetapi dikerah hadir ke program Presiden Umno dengan dibayar sagu hati dari duit rakyat juga.

Pendek kata setiap langkah yang diatur Presiden Umno bagi tujuan kempen mengekalkan kuasa ditanggung oleh rakyat. Takrif rakyat tentunya bermakna bukan hanya yang penyokong Umno dan BN.

Memang tepat ungkapan bahawa Umno akan mati bila hilang kuasa, kerana tonik yang memacu kelangsungan umno adalah wang dan wang tersebut adalah wang rakyat!

Hanya dengan memiliki kuasa yang membolehkan wang rakyat menjadi wang Umno!

Bagaimana caranya?

Sangat mudah bagi mereka yang berada di puncak kuasa.

BR1M, Bantuan Awal Persekolahan semuanya dari duit rakyat, tetapi sebelum menerimanya, rakyat dipaksa mendengar ucapan berbentuk bebelan panjang dari pemimpin-pemimpin Umno yang bersyarah seolah-olah duit tersebut mak bapak Umno yang bagi.

Persoalan lain, dengan promosi habis-habisan apakah posisi Umno benar-benar terdesak dan berada dalam kedudukan defensif menjelang ‘pertempuran’ paling sengit di medan PRU13 nanti? -HD

Selamat Jalan, Najib


Sambil menguap, saya membaca laporan akhbar Utusan Malaysia (28 Februari 2013) mengenai kenyataan Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak yang menjangkakan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan menjadi pilihan raya media sosial pertama di negara ini.

Sebenarnya, pada 22 Februari 2013, saya menyatakan menerusi ruangan status Facebook, “Tak kisahlah bila tarikh PRU-13”. Hal ini kerana Najib masih menangguhkan penetapan tarikh pembubaran Parlimen – selepas mendapat perkenan Agong, tentunya.

Untuk rekod, PRU-12 diadakan pada 8 Mac 2008. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, PRU seterusnya perlu diputuskan selewat-lewatnya pada Mac 2013. Kecuali jika Parlimen dibubarkan lebih awal oleh Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Dengan adanya media sosial dan media alternatif yang melaporkan berita-berita yang “terlupa” dilaporkan media arus perdana, maka orang ramai sudah sedia maklum bahawa Parlimen akan terbubar secara automatik pada 28 April 2013 jika Najib masih berlengah-lengah dan menunggu para pengundi “kenyang” dengan transformasi yang dilakukan BN sebelum keluar mengundi.

Sebenarnya, seperti yang saya catatkan di blog (30 April 2010), saya sebagai rakyat (baca: The Third Force) amat meluat membaca berita di mana politikus ini dan politikus itu meminta jentera pilihan raya parti yang diwakilinya bersiap sedia sejak Februari 2010 bagi menghadapi PRU-13.

Akan tetapi, walaupun sibuk berkempen sebaik selepas mendapat “sedekah” undi daripada rakyat pada PRU-12, golongan politikus terbabit ternyata masih belum cukup “jantan” untuk menghadapi PRU-13 yang bersih, adil, telus dan penuh integriti.

Pada masa sama, agak melucukan apabila ada golongan politikus yang sejak September 2012 terlupa bahawa mereka yang memegang kuasa pemerintahan dalam kerajaan sebenarnya diundi oleh rakyat. Apabila mereka diberi kuasa oleh Rakyat, tidak bermakna kuasa itu – dan Putrajaya – menjadi milik mutlak politikus terbabit.

Saya tidak dapat membayangkan barisan menteri macam mana yang akan dilantik Perdana Menteri (menggunakan kuasa mutlak yang ada padanya) selepas PRU-13.

Pada 18 Februari 2013, kes mahkamah berhubung penulis yang dinafikan hak royalti teks Komsas ditangguhkan ke April 2013 kerana tandatangan pada dokumen terbabit (palsu?) perlu dihantar ke Jabatan Kimia.

Sebagai pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya dan wakil Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang terlibat cuba membantu mangsa terbabit sejak Ogos 2011, saya berharap individu yang memegang jawatan Menteri Pelajaran selepas PRU-13 akan tahu menggunakan kuasa untuk membela nasib penulis. Kalau tidak mampu, elok jangan pegang jawatan.

Sementara Najib masih seronok bermain teka-teki mengenai tarikh pembubaran Parlimen – yang bakal membuka laluan ke arah penetapan tarikh PRU-13 oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) – sekumpulan rakyat yang memenuhi syarat tertentu serta mengisi slip tertentu menerima BR1M 2.0 baru-baru ini.

Jangan pula ada mana-mana penerima beranggapan mereka wajib mengundi parti politik tertentu selepas menerima BR1M 2.0 kerana tindakan itu akan menjadikan “niat murni” kerajaan memberi bantuan ikhlas menjadi seolah-olah “rasuah pancing undi”.Sia-sia pula Kerajaan BN terpaksa menanggung dosa akibat kekhilafan masyarakat!

Buku terbit pada 8 Mac 2013

Bulan lalu turut disemarakkan oleh tulisan Ridhuan Tee Abdullah bertajuk “Kesabaran umat Islam ada had” (Sinar Harian, 18 Februari 2013) sehingga mengatasi populariti Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin Albukhary dan kehebatan Najib bermain gendang Cina dalam iklan Tahun Baru Cina.

Sehubung itu, Pengarah Strategi MIC, Vell Paari bersuara lantang mengatakan bahawa jika tiada tindakan diambil ke atas Ridhuan Tee dan Ibrahim Ali (Perkasa), maka anak kepada Datuk Seri S. Samy Vellu itu akan menggerakkan kempen meminta kaum India tidak mengundi calon BN pada PRU-13, seperti turut dilaporkan di Free Malaysia Today (22 Februari 2013).

Saya terus teringat bagaimana dalam novel Atlas Shrugged (1957) timbul pertanyaan berulang “Who is John Galt?” dan saya pula percaya bahawa di negara kita, ramai yang akan segera tampil menyatakan “I am The Third Force” – sekurang-kurangnya pada ruangan status di Facebook.

Dua hari kemudian, pada 24 Februari 2013, keluar pula berita (yang sedikit pun tidak menghairankan) bahawa Najib dilantik ke jawatan Pengarah Pilihan Raya BN di Selangor. Selepas mukanya menghiasi tembok serata negeri – khususnya di Stesen Komuter – tentulah beliau mungkin dianggap bermuka tembok pada erti kata sebenar jika tidak dilantik (melantik diri?) ke jawatan itu.

“Terdapat terlalu banyak masalah di Selangor sekarang kerana parti politik yang menguasai kerajaan negeri tidak sama dengan parti politik yang menangani kerajaan persekutuan.” Demikian terjemahan kata-kata Najib yang saya baca di akhbar theSun (25 Februari 2013). Tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa tidak salah untuk para pengundi mengubah kerajaan pusat supaya sama dengan kerajaan negeri di Selangor kerana itu adalah permintaan Najib sendiri!

Akhbar Utusan Malaysia (25 Februari 2013) melaporkan bahawa Najib “mengambil masa untuk mengumumkan tarikh PRU-13” (walaupun itu sebenarnya kuasa SPR, bukan kuasa Perdana Menteri!) kerana “mahu memastikan setiap dasar transformasi kerajaan benar-benar diyakini rakyat dan berjaya serta bersifat inklusif.

” Terjemahan: Najib tidak bersedia untuk mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen sampai bila-bila!

Selepas membaca berita yang “menghiburkan” itu, saya menulis pada ruangan status Facebook: “Baiklah, saya akan umumkan tarikh pemasaran buku Kisah dari Siru Kambam sebelum Pengerusi BN umumkan tarikh Parlimen dibubar. Janji Ditepati.”

Maka, sukacita diumumkan bahawa kumpulan cerpen berkenaan boleh dibeli terus daripada saya mulai 8 Mac 2013 – sempena lima tahun sejak tarikh PRU-12 dan “tsunami politik” yang membuktikan kuasa Rakyat dalam menentukan masa depan negara.

Secara kebetulan, cerpen-cerpen seperti “Nating”, “Saya Sebatang Pensel”, “PRU-O” dan “Datuk Datang ke Kampung Kami” secara khusus mengutarakan kisah-kisah politik dan politikus berlatarkan sebuah kampung kecil bernama Siru Kambam.

Allahyarham Dr Othman Puteh merangkumkan Siru Kambam yang menjadi latar bagi kebanyakan cerpen saya sebagai “suatu daerah berhampiran Taiping yang menggambarkan secara dominan kehidupan masyarakat India dan hubungannya dengan masyarakat majmuk” (Siru Kambam, 1996).

Sama ada disedari atau tidak – dirancang atau tidak – kumpulan cerpen setebal lebih 350 halaman itu sesuai dibaca dan dihayati dalam suasana sosio-politik semasa sebagai persiapan mental menjelang PRU-13. Misalnya, ditampilkan Pertubuhan Politik India (PPI) yang kononnya mahu menjadi wakil tunggal suara kaum India dalam kerajaan.

Usaha tumbang BN dari dalam?

Pada tarikh 25 Februari 2013 juga manifesto Pakatan Rakyat dilancarkan dalam beberapa bahasa. Bolehlah dibaca, dikaji, dianalisis dan dibahaskan oleh Rakyat dengan fikiran matang sementara Najib menunggu “wahyu” (tanda kutip) untuk mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen.

Nampaknya sudah ada kumpulan pejuang hak minoriti daripada kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) dan kaum India yang lantang bersuara mempersoalkan mengapa hak mereka dinafikan dalam manifesto itu. Seolah-olah mereka dianak tirikan oleh BN dan Pakatan Rakyat (PR).

Seperti dikatakan dan diakui oleh Najib, segala luahan dan kempen itu dilakukan menerusi laman sosial dan media sosial.

Saya juga menggunakan paparan status Facebook pada 25 Februari 2013 untuk menyampaikan nasihat saya kepada Najib; dengan harapan ada juak-juak yang akan menyampaikan mesej saya kepada beliau.

Nasihat terbuka saya (selaku perunding media) kepada Najib (selaku Pengerusi BN): “Lebih lama Datuk Seri berlengah untuk umum tarikh pembubaran Parimen, lebih ramai Rakyat bertambah meluat dengan BN. Jangan biarkan Rakyat termuntah-muntah.”

Najib tentu tiada masa untuk membaca “nasihat terbuka” ini. Tapi pasti akan ada juak-juak serta golongan etnosentrik, ultra kiasu, kaki ampu, pakar bakar kitab, tokoh tayang punggung dan sekutu mereka yang melatah, meroyan dan terkinja-kinja pada saat ini. Biarkan. Saya hanya memberi nasihat profesional secara ikhlas.

Najib perlu berhenti mencari dan mengesan musuh yang berada di luar; dalam PR. Menerusi beberapa makalah saya di beberapa media alternatif sejak tahun lalu, saya sudah membayangkan bahawa musah sebenar Najib mungkin sahaja berada di dalam lingkungan. Atau jika Najib adalah “Adiwira Najib” maka Rakyat adalah “wira sebenar”.

Pada pemerhatian saya, UMNO dan sekutu tidak memerlukan “pembangkang” untuk menumbangkan BN. “Orang dalam” seperti Sharifah Zohra dan Norhayati Saiddin sudah lebih daripada mencukupi. Tambahan pula, Tun Mahathir Muhammad juga seolah-olah tidak mahu “terlepas peluang” kembali menunjukkan taring.

Sebelum ini, apabila Najib bermati-matian mengemukakan gagasan “1Malaysia” dan “Malaysian first”, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menegaskan pendirian “Malay first” selain (hampir) bermati-matian mempertahankan novel teks Komsas, Interlok: Edisi Murid (2010) yang jelas bertentangan dengan impian “1Malaysia” Najib dan isteri tersayang, Datin Seri Rosmah Mansor.

Semua ini tersebar menerusi media sosial dan tentu Najib sedia maklum. Masakan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim yang boleh menganjurkan kempen Twitter sempena “Himpunan Merdeka 55: Janji Ditepati” untuk mencatat nama dalam The Malaysia Book of Records (Ogos 2012) tidak mampu memastikan segala suara Rakyat (The Third Force) sampai ke mata, telinga, minda dan hati ketuanya.

Orang ramai tentu sudah biasa dengan peribahasa “Nasi sudah menjadi bubur”. Saya nyatakan di Facebook pada tengah hari 26 Februari 2013 bahawa mungkin selepas ini akan ada peribahasa moden “Parlimen sudah menjadi bubar”. Walaupun bukan peribahasa asli, lebih 50 rakan menyukai paparan itu dalam masa yang relatif singkat. Mungkin kerana itu juga suara hati mereka.

Saya ada menyebut mengenai kumpulan cerpen Kisah dari Siru Kambam. Apabila buku yang memuatkan 20 cerpen itu terbit, saya merancang siri “Baca Cerpen Siru Kambam” di beberapa tempat dengan kerjasama Kavyan.

Pada 30 Mac 2013, saya dan sekumpulan penulis/peminat buku akan terlibat dalam aktiviti membaca anjuran Sharon Bakar di Bangsar. Maka saya sudah “menasihatkan” Najib menerusi media sosial supaya jangan kacau tarikh itu.

Apa pun, sehingga makalah ini ditulis pada 28 Februari 2013, ternyata Najib masih menunggu “wahyu”. Perjalanannya untuk sampai ke titik yang sesuai sebelum mengambil keputusan mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen nampaknya masih jauh. Maka, tidak salah jika saya mengucapkan: Selamat jalan, Najib.

Uthaya Sankar SB menerbitkan sendiri buku-bukunya sejak 2001.

[VIDEO] Jui Meng: Are You ready For Anwar? Rakyat Johor: Yes!


Jika Datuk Seri Najib Razak dimalukan apabila menerima jawapan ‘No’ di Pulau Pinang ketika bertanya sokongan rakyat terhadap BN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mengalami pengalaman berbeza di Johor.

Soalan spontan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor, Datuk Seri Chua Jui Meng iaitu ‘Are You Ready For Anwar?’ disambut sorakan ‘Yes’ dari lebih 2,000 rakyat negeri itu.

Beliau bertanya soalan itu ketika memulakan ceramah di Pejabat KEADILAN Muar, Taman Seroja Jalan Abdul Rahman, Parit Jawa, Muar, 2 Mac.

“Are you ready for Anwar?” teriak Jui Meng

“Yes” jawab rakyat Johor.

“Are you ready for PKR (KEADILAN)? tanya Jui Meng lagi.

“Yes” sorak rakyat Johor

Sekali gus, pemimpin Umno tak boleh berdalih kononnya sorakan ‘No’ terhadap Najib akibat ia berlaku di negeri yang ditadbir Pakatan kerana sorakan ‘Yes’ terhadap Anwar berlaku di Johor yang sinonim dengan label negeri kubu kuat Umno BN Bekas Menteri Kesihatan itu kemudian meneruskan ceramah dengan menyeru rakyat Johor supaya berani membuat perubahan pada PRU 13 demi masa depan generasi akan datang.

“Saya minta kali ini, undi Pakatan Rakyat, saya keluar Umno BN, sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bawa perubahan kepada negara,” katanya. -KD


Seorang Lagi Anggota Terkorban, Pertempuran Di Semporna


Seorang lagi anggota keselamatan negara terkorban, kali ini dalam pertempuran dengan kumpulan penceroboh di kampung Selamat, Semporna, Sabah iaitu kira-kira 150 kilometer dari Kampung Tanduo, Felda Sahabat 17, Lahad Datu malam tadi.

Menurut sumber polis, pertempuran yang berlaku pada pukul 8 malam itu turut menyebabkan seorang anggota cedera.

Difahamkan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Lahad Datu dan Tawau telah digegaskan ke sana bagi memberi bantuan.

Difahamkan penceroboh merancang menyerang Balai Polis Lahad Datu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu namun enggan mengulas lanjut kerana identiti kedua-dua anggota keselamatan itu belum dikenal pasti.

Kelmarin, dua anggota komando polis VAT 69 terkorban dan tiga lagi anggota pasukan keselamatan negara cedera selepas berlaku insiden tembak-menembak apabila kumpulan penceroboh itu bertembung dengan pasukan keselamatan negara.

Dilaporkan 12 orang daripada kumpulan penceroboh turut terbunuh.

Dua yang terkorban ialah ASP Zulkifli Mamat, 29 dan Sarjan Sabarudin Daud, 46. - Bernama

[VIDEO] Anwar: Apabila Rakyat Bangkit, Firaun Pun Boleh Tumbang


Kebangkitan rakyat yang menyeluruh mampu menumbangkan sesiapa jua sekalipun Firaun, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Umum KEADILAN itu percaya semangat juang rakyat untuk mempertahan negara dari pemimpin zalim boleh dilakukan, dengan mengambil contoh kejatuhan Firaun.

“Mesir dikongkong Firaun ribuan tahun. Tapi bila rakyat bangkit, Firaun boleh tumbang. Apatah lagi, firaun kecil kalau ada,” katanya, sinis dan disambut sorakan.

Beliau berucap demikian depan lebih 5,000 rakyat di Markaz PAS Sungai Tongkang, Rengit, Batu Pahat, 2 Mac.

Dalam konteks negara ini, kata Anwar, tiada kaedah lain untuk menumbangkan Umno BN pada pilihan raya akan datang kecuali melalui kebangkitan rakyat.

Beliau juga percaya, perbuatan pencacai Umno yang mengamal taktik memfitnah pemimpin Pakatan Rakyat, tidak akan membawa kejayaan.

“Kerja fitnah saja Umno, dia orang Melayu-Islam tapi tidak peduli langsung apa yang hak dan apa yang batil.

“Dia solat, pergi umrah. Tapi balik, fitnah orang. Apa jenis manusia? Keadaan sudah berubah, orang boleh fikir. Bagi wang (BRIM), ambil tapi malam dengar ceramah kita,” katanya.