12 Jul 2010

Beratus Usul PR Ditolak, Tak Melenting Macam ADUN Kuang

.Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN-Kuang Abdul Shukor Idrus hari ini dihalau keluar dari persidangan dewan selepas bertikam lidah dengan Speaker Teng Chang Khim.

Speaker DUN itu mengambil tindakan tersebut mengikut peraturan mesyuarat 44 (2) berikutan Abdul Shukor gagal untuk menghormati persidangan dewan.

"Saya perintahkan mengikut peraturan mesyuarat 44 (2), saya arahkan yang berhormat keluar daripada dewan sekarang," kata Teng setelah memberi peluang kepada Abdul Shukor supaya menghentikan pertanyaan yang tidak mengikut peraturan.

Abdul Shukor ingin mengemukakan soalan berkaitan aktiviti kecurian pasir di negeri Selangor namun disekat oleh Teng berikutan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih lagi dalam perbahasan menjawab persoalan Adun Sungai Burung.

Shukor ketika di temui di luar dewan mempertikaikan keputusan Speaker kerana menolakuntuk membahaskan isu penting kecurian pasir di Selangor.

"Saya mahu bahaskan isu kecurian pasir di negeri ini kerana terlalu banyak perkara yang tidak dimaklumkan oleh kerajaaan negeri terutamanya jumlah keuntungan dan kerugian yang ditanggung.

"Semua pihak ingin tahu dari mulut Tan Sri Khalid sendiri kerana beliau menyatakan banyak keuntungan diterima hasil dari perlombongan pasir," katanya diluar dewan.

Shukor berkata, Menteri Besar gagal memaklumkan secara lebih terperinci malah tidak konsisten mengenai jumlah keuntungan yang diterima.

"Tindakan ini merupakan satu penipuan oleh kerajaan negeri yang menyebabkan rakyat terus tertanya-tanya," ujar beliau.

Beliau mendakwa usul yang ingin dikemukakan itu adalah untuk kepentingan rakyat tetapi ditolak dari dibahas.

Ulasan GB

Baru ditolak usul dah berperangai macam samseng.

Berpuluh malah beratus usul-usul dari wakil rakyat Pakatan Rakyat di DUN dan di Parlimen, tidak pula wakil rakyat PR bertindak sesamseng wakil rakyat UMNO yang seorang ini.

Sekarang UMNO baru merasa panasnya bila wakil rakyatnya kena keluar dari dewan sedangkan speaker-speaker UMNO BN selama ini menghalau wakil rakyat PR mereka tak pernah pula bising-bising.

Hei UMNO, sunnatullah, apa yang anda lakukan kepada orang lain, itulah yang akan akan perolehi semula.

Muhyiddin Dibidas, PR Selangor Tetap Pertahankan Air Percuma

Pakatan Rakyat membidas usaha Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin membela dan mempertahankan kepentingan syarikat konsesi air Syabas.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata tuduhan bahawa pemberian air percuma kepada rakyat menyebabkan Selangor menuju kemuflisan adalah usaha untuk mengalihkan perhatian dari kelemahan pentadbiran BN di negeri ini.

Timbalan Presiden Umno itu dilaporkan berkata Selangor menuju krisis air dalam masa dua tahun sekiranya ia meneruskan skim pemberian air percuma kepada rakyat.

Beliau berkata sikap Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang enggan membebankan rakyat dengan tarif air menyebabkan kerajaan negeri menyerap kos kira-kira RM13 juta setiap bulan.

Tony Pua menyanggah mimpi ngeri Muhyiddin ini dan berkata Selangor mampu menampung subsidi air RM120 juta setiap tahun kerana Pakatan Rakyat mampu mengekalkan belanjawan yang sihat dan seimbang hasil dari dasar jimat-cermat serta pembasmian rasuah.

Beliau menambah skim pemberian air ditampung keuntungan yang dijana anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Darul Ehsan Bhd, dari kepentingan minoritinya di syarikat-syarikat air seperti Splash dan Abass.

"Tan Sri Muhyiddin menyokong dan cuba mempertahankan kroni Umno, Syabas, dan ibu syarikat Puncak Niaga Holdings Bhd, yang menghadapi masalah kewangan serius, termasuklah bon mencecah RM6 bilion dan hutang ratusan juta ringgit," kata Tony.

"Timbalan Perdana Menteri nampaknya telah salah fakta. Air percuma Selangor ini dibiayai hampir sepenuhnya oleh keuntungan dari kepentingan minoriti di syarikat-syarikat air seperti Splash dan Abass melalui anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Darul Ehsan Bhd," tambah beliau.

Muhyiddin membidas sikap berhati-hati kerajaan negeri Selangor yang sehingga kini enggan memperkenankan projek mengimport air Pahang, terutamanya penyerahan tanah untuk pembinaan pusat rawatan air Langat 2 bagi projek itu.

Tan Sri Khalid dalam satu pertemuan bersama wakil tenaga-tenaga industri sebelum ini berpendirian bahawa Projek Pemulihan Sungai Klang yang digerakkan Pakatan Rakyat adalah RM38 bilion lebih murah dari projek mengimport air Pahang.

Di Parlimen hari ini, Tony Pua menggesa Muhyiddin untuk menjelaskan mengapa kerajaan BN Selangor sebelum ini memeterai perjanjian penswastaan yang menguntungkan konsesi tetapi membebankan rakyat dengan kenaikan tarif 37 peratus pada 2008, 25 peratus pada 2011, 15 peratus pada 2014 dan 10 peratus setiap tiga tahun bermula 2014. -TVS

Sikap Najib Pertahan Singapura Timbulkan Tandatanya

Tindakan Najib pertahan Singapura timbul syak wasangka

Gesaan Perdana Menteri Najib Tun Razak supaya rakyat Malaysia bersikap terbuka mengenai keputusan beliau membuat pertukaran tanah Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dengan Singapura dan pelaburan di Iskandar Malaysia (IM) menimbulkan kritikan ahli-ahli parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen Jerai Mohd Firdaus Jaafar berkata, selagi Najib tidak menjelaskan sebab sebenar disebalik keputusannya menyerahkan tanah KTMB di Tanjung Pagar itu kepada Singapura dan persetujuan dalam rundingan dengan negara pulau itu berhubung pelaburan di IM, "maka akan sentiasa ada syak wasangka."

Beliau berkata, "Najib mahu kita (PAS) dan rakyat mengamal sikap dan pemikiran terbuka mengenai IM sedangkan beliau tidak mendedahkan kepada umum tujuannya bersekongkol dengan Singapura."

"Maka dengan itu, barulah adil apabila rakyat mempersoalkan tindakan beliau. Kenapa beliau begitu prihatian untuk memelihara kepentingan Singapura wilayah IM itu?" soal beliau.

"Jika anda melihat IM, apa jenis keuntungan rakyat boleh nikmati apabila tanah mereka dijual kepada orang asing? Kenapa Najib menggalakkan campur tangan Singapura di IM?" soal beliau lagi.

Firdaus yang juga Ketua Pemuda Jabatan Pilihan Raya PAS berkata, tindakan Najib, seperti kelihatan menjual kedaulatan negara telah menimbulkan kesedaran di kalangan rakyat, terutama orang-orang Melayu.

Bulan lalu, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat mendakwa keputusan Najib untuk menyerahkan Tanjung Pagar kepada Singapura adalah tidak sah di sisi undang-undang kerana isu ini tidak dibangkitkan di Parlimen dan dibawa kepada pengetahuan Yang di-Pertuan Agong.

Tindakan sewenang-wenang

Firdaus berkata, berdasarkan tindakan sewenang-wenang pihak kerajaan ini maka tiba masanya rakyat mengenepikan perbezaan fahaman politik masing-masing dan menilai tindakan pemimpin-pemimpin secara rasional.

"Telah tiba masanya kita melupakan perbezaan politik dan mempertahankan kedaulatan negara. Kita tidak boleh membiarkan pemimpin-pemimpin tertentu melakukan pengkhianatan terhadap negara untuk tujuan kepentingan peribadi mereka.

"kita hendaklah bersatu, sama ada kita penyokong Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, mengingatkan rakyat supaya mengundi untuk perubahan pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Ketika berucap merasmikan konvensyen para perwakilan Bahagian Umno Pulai di Johor Bahru semalam, Najib menggesa rakyat Malaysia bersikap terbuka dalam menilai keputusan kerajaan persekutuan berhubung rundingan dengan Singapura.

Memetik laporan Bernama, Firdaus berkata, "Najib menyatakan jika kita mahu melihat Iskanda Malaysia dan Johor berjaya, maka kita mesti bersikap terbuka kepada semua jenis pelaburan."

Najib juga berkata, "pelaburan di wilayah komersial IM hendaklah bermotifkan keuntungan, tidak kira sama ada pelaburan itu datang dari Amerika Syarikat atau Singapura."

"Apa bezanya di antara pelaburan dari Amerika dan Singapura? Tidak ada beza…..selagi kedua-dua menguntungkan (kepada kita)," kata Najib. -FMT

Isu Felda : Najib Atur Mesyuarat Sulit Di Pejabat - Bekas Timbalan Menteri

Dr Tan : Tidak Gentar Disaman

Bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk Dr Tan Kee Kwong langsung tidak gusar apabila namanya diumumkan antara tiga lagi individu yang bakal disaman.

Bercakap kepada Tv Selangor, menurut Dr Tan, sekiranya kes sampai ke mahkamah, maka semakin banyak perkara yang akan terbongkar.

"Sila lah. Saya pun sudah cakap banyak bagaimana Najib aturkan satu mesyuarat sulit di pejabat, pada waktu itu sebagai Timbalan Perdana Menteri. Pada masa itu Pengerusi Felda pun tidak tahu, ketua pengarah pun tidak tahu. Kalau betul-betul melalui cara biasa, sesuatu perubahan plan, mesti mesyuarat dengan ahli lembaga pengarah bukan? ujarnya kepada Tv Selangor.

Semalam, media melaporkan Felda bakal menyaman tiga lagi individu dari Parti Keadilan Rakyat berhubung kes penyiaran artikel dari Suara Keadilan berjudul "Felda Bankrap".

Mereka ialah Dr Tan, Anggota Majlis Tertinggi PKR, Datuk Zaid Ibrahim dan Pengerusi Biro Felda PKR, Suhaimi Said.

Pada 1 Julai lalu, Felda bertindak menyaman lidah rasmi PKR itu sebanyak RM 200 juta.

Dalam pada itu, Dr Tan terus mempersoalkan tindakan kerajaan melabur ratusan ribu ringgit dengan sebuah syarikat di Amerika Syarikat yang menggelarkan diri mereka pakar bio-diesel seperti yang didedahkannya sebelum ini.

"Apa kepakaran syarikat Amerika Syarikat dalam bio-diesel yang ada yang kita tidak ada?".

"Dari hari pertama sampai sekarang sudah tiga tahun, rugi, rugi, rugi" tambahnya lagi.

Zahrain, Kamu Pengkhianat Yang Tidak Bermaruah

Surat Terbuka Americk Sidhu Kepada Zahrain Hashim

Zahrain,

Pertama sekali, cuba fahami beberapa fakta yang akan dibincangkan.

Anda dipilih sebagai Ahli Parlimen oleh majoriti pengundi di kawasan pengundian anda yang bersetuju dan menyokong manifesto parti yang anda wakili pada masa itu.

Ini bermakna majoriti pengundi di kawasan parlimen anda mengundi untuk parti pembangkang bagi mewakili mereka, dan jelas mereka tidak mahu Barisan Nasional mewakili mereka.


Itulah intipati yang sebenar dan bukan susah sangat untuk memahaminya, dan saya harap anda dapat terus bersabar mendengar penjelasan saya.

Tetapi sebaliknya, anda telah mengkhianati kepercayaan para pengundi yang memenangkan anda dengan meninggalkan kesemua prinsip yang anda dokong dahulu dan mengalih sokongan anda kepada BN.

Anda lakukan demikian tanpa meminta izin daripada pengundi yang mengundi anda di kawasan anda. Alasan bahawa anda adalah ahli parlimen bebas yang menyokong BN tidak menjustifikasikan kenyataan bahawa anda telah meninggalkan pengundi yang memilih untuk mewakili mereka, dengan mengabaikan keperluan dan aspirasi mereka ke arah sebuah bangsa dan masa hadapan yang lebih baik.

Biar saya beritahu anda apa seorang yang bermaruah sepatutnya lakukan dalam keadaan ini. Seorang individu yang mempunyai maruah sudah tentu akan mengosongkan kerusinya dan meminta pengundi kawasannya untuk memutuskan siapa patut mewakili mereka, walaupun individu itu telah mengkhianati pengundinya.

Anda tidak berbuat demikian, jadi pada pandangan saya, anda seorang yang tidak bermaruah. Anda kini hanya seorang ahli parlimen dengan alasan palsu.

Pada hakikatnya, anda langsung tidak harus menduduki kerusi di Parlimen kerana Ahli Parlimen patutnya mereka yang berintegriti dan mempunyai kehormatan diri, selain menjadi wakil sah yang dipilih oleh majoriti pengundi di kawasannya.

Sebagai seorang ahli parlimen dengan tiada integriti dan berpura-pura mempunyai prinsip yang telah mengkhianati pengundi yang memilih anda, saya tidak merasa anda berada dalam kedudukan moral atau berhak mengkritik tindakan ahli parti yang anda khianati. Anda juga pada masa yang sama bersembunyi di balik perikatan palsu yang telah anda cipta untuk diri anda sendiri dengan kumpulan yang dianggap rakyat Malaysia yang waras sebagai jelmaan syaitan.

Lebih mengejutkan, komen anda bahawa KEADILAN telah memasang 'jerat' politik untuk SPRM amat melucukan.

SPRM bertanggungjawab untuk menyoalsiasat P Balasubramaniam dan tidak ada apa-apa 'jerat' dipasang untuk SPRM. Malah merekalah mahaguru 'menjerat', bukan kita.

SPRM yang mula-mula menyatakan ingin menyoalsiasat Bala. Kita, sebagai peguam mewakili Bala telah melakukan segala termampu bagi membantu SPRM dan ini tiada kaitan langsung dengan KEADILAN.

Hanya kerana bukti yang ada pada Bala berpotensi menjejaskan pemimpin parti baru yang anda sokong tidak bererti itu adalah cerita yang dikarang oleh pembangkang. Cerita dongeng sebenarnya dikarang oleh rakan-rakan baru anda dan bukannya Bala.

Daripada kenyataan anda memuji tindakan SPRM membatalkan soalsiasat di London pada saat akhir jelas membuktikan betapa kuatnya sokongan anda kepada golongan yang berniat untuk memesong dan mengekang keadilan. Saya tidak lihat apa-apa sebab lain disebalik kenyataan anda itu.

Anda telah membuat beberapa dakwaan yang serius yang menjejaskan integriti saya sebagai peguam dengan kenyataan sembrono bahawa saya menyediakan skrip untuk dibacakan Bala kepada SPRM. Saya berharap anda mempunyai bukti yang kukuh kerana jika tidak anda akan kelihatan lebih bodoh daripada keadaan yang anda berada sekarang.

Anda nampaknya lebih mengetahui mengenai kecenderungan politik dan hubungan saya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih dari saya sendiri.

Saya tidak pasti apa kredibiliti sumber kamu dan saya cadangkan anda mencari sumber lain kerana maklumat yang anda perolehi semuanya longgar. Saya ingin memberitahu anda bahawa malangnya saya bukan ahli KEADILAN tetapi saya harus mengaku melihat kepada perkembangan yang berlaku kebelakangan ini saya sedang membuat mempertimbangan serius untuk menyertai KEADILAN. Kenyataan anda yang tidak berasas telah menyemarakkan semangat saya menyertai perjuangan KEADILAN dan untuk itu saya ucapkan berterima kasih.

Anda mungkin sedikit kurang waras untuk memikirkan bahawa Zaid dan Anwar mempunyai tanggungjawab bersama untuk memujuk Raja Petra dan Bala kembali ke Malaysia dan 'menghadapi sesiapa pun".

Ini kerana pengalaman lalu di negara ini memperlihatkan sesiapa sahaja yang menjadi ancaman kepada golongan berkuasa akan mendapati diri mereka ditembak dikepala sementara mayat mereka diletupkan menggunakan bahan ledakan gred tentera di kawasan belukar.

Akhirnya Zahrain, apabila anda dan rakan-rakan baru anda memutuskan keluar daripada kepompong di mana anda dan rakan-rakan berselindung, anda akan menyedari bahawa rakyat Malaysia tidak lagi sebodoh yang difikirkan untuk menerima apa sahaja sampah politik yang anda lemparkan tanpa menyoal.

Sungguh malang anda tidak berpeluang untuk hadir pada pelancaran 'Friends of Pakatan Rakyat' di London minggu lalu, kerana ia akan menjadi pembuka minda bagi anda, seperti juga kepada saya.

Kini saya sedar bahawa sejumlah besar warga Malaysia ingin melihat semua kesalahan dan kesilapan yang dilakukan masa lalu dibetulkan kembali, dan aspek yang paling terserlah pada pelancaran tersebut ialah sokongan padu yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia daripada pelbagai bangsa dan latar belakang.

Inilah Malaysia yang diingini semua. Bukan Malaysia yang anda dan rakan-rakan anda telah hancurkan dengan sifat tamak dan mementingkan diri sendiri.
-SK