9 Apr 2010

Hadiah Dari BN : Tarif Elektrik Dijangka Naik Pertengahan Tahun 2010

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin Fah Kui tidak menolak kemungkinan tarif elektrik dinaikkan pertengahan tahun ini.

Ia berikutan terdapat desas-desus bahawa kenaikan tarif elektrik bakal dilaksanakan Jun ini.

"Ia bukan dilakukan dalam masa terdekat, tetapi tahun ini ada kemungkinan tarif elektrik naik," katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today.

Dalam mesyuarat kabinet Februari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan untuk tidak meluluskan usul kenaikan tarif ekoran bantahan pelbagai pihak.

Namun menurut Peter pihaknya masih dalam perancangan untuk membuat semakan semula tarif tarif elektrik itu.

"Kami memang ada rancangan untuk membuat semakan tarif tersebut namun masih belum ada tarikh yang ditetapkan lagi," kata beliau.

Tambahnya lagi,proses semakan tarif perlu kerana mengambil kira faktor-faktor seperti kenaikan permintaan pengguna yang kian meningkat.

"Semakan tarif ini perlu ambil kira faktor seperti permintaan pengguna, kos dan lain-lain," jelas beliau.

Penjelasan beliau mengukuhkan lagi tiada kenaikan dalam masa terdekat, ekoran terdapat rungutan dilontar orang ramai atas kenaikan bil elektrik seperti dilaporkan dalam laman portal berita Harakahdaily.net.

Free Malaysia Today turut mendapatkan penjelasan sumber dalaman Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung hal berkenaan.

Sumber tersebut menjelaskan jika terdapat kenaikan dalam bil elektrik ia mungkin berlaku disebabkan cuaca panas yang melanda negara kini.

"Peningkatan penggunaan ini berlaku kerana melihatkan keadaan cuaca yang panas sekarang. Orang ramai menggunakan barang elektrik seperti penghawa dingin, kipas lebih

daripada penggunaan biasa. Itu yang menyebabkan kenaikan bil elektrik," kata sumber itu.

Malah menurutnya setakat ini tiada sebarang aduan diterima TNB membabitkan perkara berkenaan.

"Setakat ini kami belum menerima aduan mengenai hal ini. Jika ada pengguna menghadapi masalah boleh diajukan terus kepada TNB," katanya. -FMT

Kadir Jasin: Letak Calon MIC Silap Besar BN Di Hulu Selangor

Sistem kuota yang diamalkan oleh Barisan Nasional dalam pembahagian kerusi berkemungkinan menjejaskan peluangnya untuk memenangi pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen P094 Hulu Selangor.

Menurut bekas Ketua Pengarang Kumpulan The News Straits Times, Datuk A. Kadir Jasin walaupun media mewar-warkan bahawa populariti Umno kini kembali pulih dan sokongan kaum Cina bertambah mantap kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, namun keputusan tidak memihak kepada calon Melayu atau Cina untuk bertanding dalam PRK Hulu Selangor.

"Semua indikasi menunjukkan kerusi ini akan sekali lagi diberi kepada MIC, parti yang paling kecil dan lemah dalam gagasan BN pada peringkat federal yang secara kebetulan kalah kepada PKR dalam pilihan raya umum 2008.

"Inilah dilemma BN yang mungkin akan mengorbankan kerusi ini sekali lagi. Bukan sahaja MIC parti yang terkecil dalam kumpulan parti asal di Semenanjung, bahkan ia juga mempunyai pengikut paling sedikit di Hulu Selangor," kata Kadir dalam catatan blognya Isnin lalu.

Kawasan Parlimen tersebut didominasi oleh penduduk Melayu yang merangkumi hampir 54 peratus daripada jumlah pengundi berdaftar seramai 63,000 orang, diikuti oleh pengundi Cina (26.7 peratus) dan India (19 peratus).

Spekulasi yang berlegar ialah calon BN yang kalah iaitu Datuk G. Palanivel yang juga merupakan Timbalan Presiden MIC akan dipilih menjadi calon.

"Seorang yang dianggap baik tetapi hubungan rapat beliau dengan presiden parti, Datuk Seri S. Samy Vellu, juga tokoh dari MIC yang kalah teruk dalam PRU 2008, dilihat sebagai satu liabiliti.

"Meletakkan calon India di yang mempunyai kawasan majoriti Melayu serta komuniti Cina yang besar, dan di mana Pakatan Rakyat melalui Parti Keadilan Rakyat akan menampilkan seorang calon Melayu, akan hanya melemahkan peluang BN untuk mengambil balik kerusi tersebut," jelas Kadir.

Kerusi Hulu Selangor kosong berikutian kematian wakil KEADILAN, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mach.

Pada PRU 2008 Zainal Abidin mengalahkan Palanivel dengan majoriti tipis sebanyak 198 undi. Beliau mendapat 23,177 undi berbanding Palanivel yang memperolehi 22,979 undi.

"Samada Umno atau the BN tidak berani mengakui bahawa kekalahan kerusi itu disebabkan undi protes pengundi Melayu terhadap Umno yang ketika itu dipimpin Tun Abdullah Ahmad Badawi dan ketidakpuasan hati terhadap calon India yang dipilih.

"Demonstrasi besar-besaran oleh pertubuhan haram, Hindraf yang mendakwa penindasan ke atas kaum India serta reaksi MIC telah menyebabkan kemarahan orang Melayu. Akibatnya majoriti calon MIC termasuk Samy Vellu, kecundang dalam pilihan raya," kata beliau lagi.

Tambah Kadir, kelompok Melayu yang tidak berpuas hati tersebut mungkin tekah kembali menyokong Umno di bawah Najib seperti mana yang dicanangkan oleh parti itu.

Persoalannya adakah mereka akan mengundi BN di Hulu Selangor sekiranya gagasan itu masih diwakili oleh MIC?BN kalah kerusi tersebut pada PRU 2008 disebabkan protes oleh penyokong Umno.Mereka juga bencikan pentadbiran Abdullah dan terguris akibat protes kaum India pada 2007 kata pengarang veteran itu.

"Keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor mengatakan segalanya. Peratusan keluar mengundi adalah rendah - hanya 75.24 peratus - dan bilangan undi rosak dan ditolak adalah tinggi – 1,689 - menunjukkan elemen protes yang kuat.

"Saya tidak fikir pandangan dan perasaan ahli dan penyokong Umno terhadap MIC telah berubah kepada suatu yang positif. Mereka masih tidak yakin mengenai kekuatan MIC kerana tampuk pimpinan parti masih kekal dan tidak banyak berubah. Samy Vellu masih kekal berkuasa sementara pada waktu yang sama Umno dan MCA telah melalui proses pertukaran kepimpinan.

"Tambah lagi kesetiaan pengundi India berbelah bagi dengan begitu banyak parti politik dan NGO India berebut-rebut untuk mendapatkan sokongan kaum itu.

"Keputusan PRU 2008 jelas menunjukkan majoriti pengundi India berpihak kepada KEADILAN-DAP-Pakatan Rakyat," ujar Kadir dalam analisis beliau.

Menurut Kadir lagi, terdapat parti berasaskan kaum India lain yang kecil - samada yang menyokong BN atau sebaliknya - seperti PPP, IPF, MIUP, Makkal Sakti, Mindraf, Kimma dan Parti Punjabi Malaysia.

"Jadi, sementara meletakkan calon MIC mungkin dilihat selari dengan semangat BN dan untuk mengukuhkan kedudukan Perdana Menteri dikalangan kaum India, langkah ini dianggap amat payah untuk meyakinkan pengundi Melayu dan Cina untuk menyokong calon kaum India yang berkemungkinan gagal untuk memobilisasi sokongan dari komunitinya sendiri.

"Oleh itu sekiranya KEADILAN-Pakatan Rakyat berjaya mengekalkan kerusi itu bukan kerana mereka kuat tetapi disebabkan BN masih belum pulih sepenuhnya. Sistem kuota yang masih digunakan dalam pembahagian kerusi antara parti komponen untuk membantu parti minoriti akan menjadi beban kepada BN," kata Kadir.

Kata Kadir Pakatan Rakyat juga mempunyai masalah mereka tersendiri, terutamanya KEADILAN yang tercalar imejnya akibat tindakan melompat parti oleh tiga daripada 31 Ahli Parlimennya.

"Kita mungkin akan melihat ulang tayang tindakan protes oleh pengundi Melayu terhadap BN kerana memilih untuk meletakkan calon yang salah," kata beliau. -SK

Tarik Pengiktirafan Mafrel, Konspirasi SPR - Barisan Nasional

Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak lagi mengiktiraf peranan Badan Pemantauan Pilihan Raya Bebas Malaysia (Mafrel) membayangkan suruhanjaya itu mengikut telunjuk pimpinan Umno Barisan Nasional.

Ia juga menunjukkan pimpinan Umno BN mahu mengelakkan amalan tidak demokratik mereka tidak terbongkar, lebih-lebih lagi ketika di ambang pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April ini.

SPR dalam kenyataan media menggunakan alasan, kononnya Mafrel melanggar syarat pelantikan sebagai badan pemantau pilian raya kerana gagal mengemukakan laporan kerja dalam sembilan pilihan raya kecil sejak Ogos 2008.

Hakikatnya, keputusan itu termaktub sehari selepas kecaman liar Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Noh Omar terhadap Mafrel yang dipaparkan media arus perdana secara meluas.

"Tindakan SPR mengikut telunjuk BN dan melindungi mereka daripada perkara yang tidak demokratik dan bertentangan dengan demokrasi. Ini konspirasi antara BN dan SPR dalam menutup pencabulan yang bakal dilakukan BN," katanya.

Sebelum ini, Mafrel menyifatkan perbuatan pimpinan Umno BN menabur pelbagai janji menjelang pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor sebagai bertentangan dengan syarat pilihan raya yang menghalang aktiviti sebelum hari penamaan calon.

Mahfuz juga mengesyaki tindakan ke atas Mafrel untuk tidak membenarkan proses pemantauan menjadi isyarat untuk menghalalkan pelbagai bentuk ketempangan demokrasi pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

"Demi kepentingan proses pemurniaan demokrasi dan perjalanan pilihan raya yang harus bersih di negara kita ini. SPR harus menarik kembali larangan bagi pengiktirafan," katanya. -TVS

Dr Lo' Lo Buat Laporan Polis, Kesal Parlimen Lulus Bajet Untuk APCO

Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali membuat laporan Polis di Balai Dang Wangi di sini, mengenai pembabitan Kerajaan Malaysia dengan APCO Worldwide.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat turut memohon satu siasatan terperinci dilakukan terhadap APCO Worldwide.

"Saya selaku rakyat Malaysia bimbangkan hubungan secara kontrak dengan syarikat APCO Worldwide Sdn Bhd tersebut mendedahkan maklumat sulit negara dan boleh mengancam keselamatn negara.

"Sebagai seorang muslim juga amat sedih apabila hubungan dengan syarikat ini dilakukan dalam keadaan umat Islam dan bukan Islam ditindas oleh rejim yang ganas tersebut," katanya dalam laporan tersebut.

Mengikut Harakahdaily, beliau juga berkata Perdana Menteri seharusnya mengambil tanggungjawab membuat penjelasan berhubung perkara itu kepada semua ahli Parlimen.

"Saya harap Perdana Menteri mengambil tangggungjawab untuk memaklumkan kepada ahli Parlimen apakah tindakan-tindakan yang telah diambil, bukan membuat kenyataan di luar Parlimen.

Beliau turut kesal apabila Parlimen meluluskan bajet sebanyak RM28 juta untuk dibayar kepada APCO

"Semalam Parlimen meluluskan bajet perbekalan tambahan, ada bajet RM28 juta kepada APCO. Sampai sekarang tidak ada apa-apa pun pengumuman kepada ahli Parlimen sedangkan ahli parlimen Pakatan Rakyat menolak perbekalan bajet tambahan kerana ada bajet untuk APCO," katanya.

Mengulas mengenai ura-ura kerajaan tidak akan memperbaharui kontrak APCO apabila ia berakhir pada 4 Ogos tahun ini, beliau berharap ia bukan tindakan kosmetik semata-mata.

"Kalau ada tindakan-tindakan seperti itu kita harap ia bukan tindakan kosmetik semata-mata tapi tindakan yang betul-betul. Kita mahu APCO ditamatkan terus kontraknya," katanya.

Mengulas larangan Ketua Polis Negara kepada ahli politik agar tidak menggunakan isu keselamatan negara untuk menarik perhatian rakyat katanya menunjukkan kerajaan takut perkara sebenar terdedah kepada umum.

Mengulas lanjut beliau berkata, kenyataan Tan Sri Musa Hassan itu bagi menghalang rakyat mengetahui perkara sebenar mengenai sikap sambil lewa Kerajaan dalam menjaga keselamatan negara.

"Tindakan Musa itu bagi saya untuk menghalang maklumat sebenar sampai kepada rakyat. Kecuaian dan kelalaian Kerajaan Malaysia dalam isu keselamatan negara tidak sepatutnya berlaku. Rakyat patut tahu perkara ini," katanya.

Musa membuat larangan itu sebagai respon kepada dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat Selasa lepas bahawa terdapat perisik Israel di ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman.

Anwar jmendedahkan beliau mempunyai dokumen perisik Israel itu mempunyai akses kepada maklumat strategik negara melalui sebuah syarikat pengkomputeran yang merupakan subkontraktor bagi projek menaik taraf sistem komunikasi dan teknologi maklumat PDRM yang didaftarkan di Singapura.

Musa bagaimanapun menafikan dakwaan itu sebaliknya mengarahkan pegawainya menyiasat Anwar di atas dakwaan itu. -TVS

AMK Minta ZulKulim Henti Tindakan Ala Syaitannya

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) mendesak Ahli Parlimen (AP) Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin menghentikan sikap dan tindakan ala syaitannya itu.

Berikutan siri 'pendedahan' Zulkifli yang mengaitkan pihak ketiga dalam kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu, media pro-Barisan Nasional (BN) seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian kini galak menyiarkan pendedahan AP Bayan Baru, Zahrain Mohamed Hashim.

Beliau kononnya telah dimaklumkan oleh Zulkifli bahawa pihak ketiga yang dimaksudkan ialah Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

AMK menerusi ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin telah memberikan respon terhadap perkara itu.

"Itu sama sekali berbeza dengan apa yang diceritakan oleh Zulkifli melalui wawancara Suara Keadilan Julai 2007 di mana beliau menegaskan bahawa penarikan diri beliau adalah disebabkan oleh tindakan Azilah yang mahu mengubah strategi pembelaan di saat akhir meskipun sebanyak 12 sesi konsultansi diadakan di antara beliau dan Azilah.

"Strategi Azilah, disifatkan Zulkifli, merosakkan strategi pembelaan yang dirancang lebih awal yang hanya memberi kelebihan dan perlindungan kepada 'pihak ketiga'," ujar Shamsul Iskandar dalam satu kenyataan medianya kepada erapakatan.com.

AMK mengegaskan sikap memutar belit cerita dan menimbulkan keraguan yang tidak munasabah adalah hanya satu unsur munafik yang menghampiri sikap syaitan.

Zulkifli pada 23 Mac 2010 yang lepas mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa beliau ditawarkan ganjaran yang disifatkannya boleh menggoyah iman untuk mengaitkan Perdana Menteri, Najib Razak, dan isteri, Rosmah Mansor oleh 'pihak ketiga' yang tidak didedahkan.

Menurut Shamsul, Zulkifli sebagai seorang peguam, secara jelasnya menghina mahkamah dengan membenarkan kenyataan subjudis yang boleh mengganggu perjalanan mahkamah, dalam keadaan rayuan bagi kes ini masih berjalan.

Bagi Shamsul, apa yang menjadi persoalan adalah kenapa Zulkifli acapkali memberikan kenyataan yang samar dan meragukan?

"Sewajarnya sebagai seorang Muslim yang bertanggungjawab, beliau harus mendedahkan siapa pihak ketiga yang dimaksudkan sedari awal lagi, bukannya mewujudkan dua versi cerita yang berbeza mengikut iktikad politik beliau," menurut kenyataan Shamsul itu lagi.

Zulkifli sebelum ini tidak pernah mendedahkan sebarang nama pun, baik dalam cerita 'pihak ketiga' ini termasuklah seloka 'Firaun Kecil' yang menjadi mainan hujah beliau saban waktu.

Shamsul menyimpulkan bahawa, Zulkifli harus berhenti daripada meneruskan sikap berdolak-dalik seumpama ini. Jangan cemarkan imej Islamik yang dibawa beliau ke sana sini kerana ianya hanya menghampiri sikap syaitan yang sesat lagi menyesatkan umat manusia seluruhnya. -erapakatan

SPR Dan BN Pening Kepala, PRK Di Sibu Pula

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau yang juga anggota parlimen bandar Sibu meninggal dunia di Hospital Selayang, hari ini akibat barah.

Lau, 68, dari SUPP memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 3,235 undi. Beliau menewaskan calon DAP Wong Ho Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang.

Kematiannya akan membawa kepada satu lagi pilihan raya kecil - yang kesebelas selepas pilihan raya umum 2008.

Ia juga merupakan pilihan raya kecil kedua di Sarawak selepas DUN Batang Ai.

Pilihan raya kecil tersebut perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh berlaku kekosongan.

Pada pilihan raya umum 2008, Lau mendapat 19,138 undi manakala Wong mendapat 15,903 undi dan Lim (812).

Lau mewakili parlimen Sibu sejak 1990.

Dalam pilihan raya umum 2008, parlimen Sibu mempunyai 53,679 pengundi, dengan majoriti kaum Cina (60 peratus), Melanau (20 peratus), Iban (18 peratus) dan Orang Ulu (1.1 peratus).

Keluarga Lau memiliki kumpulan KTS - sebuah konglomerat yang terbabit dalam industri pembalakan dan media.

Kumpulan KTS memiliki beberapa akhbar termasuk Borneo Post dan Oriental Daily News. -mk

Ulasan GB

Macamana dielak pun Pilihanraya kecil tetap berlaku. Sekalipun SPR dan BN amat membencinya, namun dah suratan. Mereka perlu menjalankan pilihanraya kecil apabila berlaku sesuatu kematian.

Memang BN sebenarnya telah hampir mati juga.

Hulu Selangor, Tembelang Rasis UMNO Terdedah, BN Menuju Kekalahan

Konvensyen BN Selangor umpama Perhimpunan UMNO
Oleh Wong Shu Qi

Buat kali pertamanya, lima parti komponen Barisan Nasional Selangor mengambil inisiatif untuk mengadakan konvensyen, melaungkan slogan "STOP, Selangor Takeover Plan", menjelang pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Konvensyen ini kononnya untuk menyatupadukan BN Selangor, namun hanya membariskan pemimpin UMNO di atas pentas semasa upacara perasmiannya. Malah, lagu UMNO berkumandang dalam konvensyen, kelihatan seoalah-olah Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung.

Kira-kira 1,500 perwakilan daripada UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP menghadiri konvensyen yang dimulakan pada 9:30 pagi, semalam. Apabila Pengerusi Barisan Nasional, yang juga Perdana Menteri Najib Abdul Razak hadir di sebelah petangnya, kehadiran menghampiri 2,000 orang.

Namun, dalam upacara perasmian di sebelah paginya, Sekreteriat BN Selangor yang bertanggungjawab untuk mengadakan konvensyen ini hanya menyediakan kerusi untuk empat orang pemimpin UMNO di atas pentas, termasuklah Timbalan Pengerusi BN Selangor, Noh Omar yang mewakili UMNO dan Pengerusi Penganjur Mohd Zin Mohamed, yang juga ahli parlimen Sepang.

MCA keluar dewan

Selain itu, Naib Presiden MCA Donald Lim Siang Chai yang terpilih baru-baru ini, Timbalan Presiden MIC G.Palanivel dan Presiden PPP Kayveas, hanya duduk di bawah pentas untuk mendengar ucapan perasmian Noh Omar dan Mohd Zin Mohamed.

Seterusnya, selepas lagu kebangsaan dan BN dimainkan, lagu UMNO pula yang berkumandang dalam dewan. Ini mencungkil ketidakpuasan 15 orang perwakilan dari MCA Bahagian Kapar, lantas keluar dewan secara senyap sebagai tanda protes, ketika Noh Omar sedang berucap.

Bagaimanapun, Mohd Zin Mohamed mendakwa bahawa dirinya tidak menyedari peristiwa itu, ketika ditanya wartawan kemudiannya. Malah beliau berkata, beliau sudi meminta maaf seandainya beliau sedar bahawa MCA tidak berpuas hati.

Pada masa yang sama, Mohd Zin Mohamed menjelaskan kepada media, "Ini konvensyen pertama BN, disertai MCA, MIC dan parti komponen yang lain. Namun, jawatankuasa majlis ini adalah ahli UMNO terutamanya. Jadi, saya berpendapat adalah sesuatu yang biasa jika dimainkan lagu UMNO pada sebelah paginya. Tapi, hanya lagu BN dimainkan semasa PM datang pada sebelah petang."

Mengkaji faktor kekalahan BN

Walau bagaimanapun, seandainya dilihat pada situasinya sebelum jamuan tengahari, ia seolah-olah Perhimpunan Agung UMNO. Tiga ceramah yang masing-masing bertemakan politik, ekonomi dan sosial, membariskan lapan orang panelis keseluruhannya.

Namun demikian, dalam dua ceramah yang bertemakan politik dan ekonomi, enam orang panelis hampir tidak menyentuh isu teras, atau mengemukakan dasar politik dan ekonomi, tetapi lebih tertumpu untuk mengkaji faktor kekalahan BN dalam PRU ke-12.

Antaranya, Normah Omar dari UiTM menuding jari kepada perang siber Pakatan Rakyat ketika mengupas faktor kekalahan BN di Selangor. Beliau mengambil contoh bahawa seandainya dimasukkan istilah "Ekonomi Selangor", carian di internet kebanyakannya akan menemui laman yang berhubung-kait dengan ahli politik PR.

Jadi, Normah Omar mempertikaikan bahawa BN tidak menggunakan publisiti melalui saluran internet sebaik-baiknya. Pada masa yang sama, beliau menyenaraikan dasar yang diutarakan oleh PR, dan menyeru agar wakil rakyat BN memainkan peranannya untuk memantau kerajaan PR, malah menggunakan informasi internet yang tepat dengan sepenuhnya untuk menangkis serangan PR.

Di samping itu, panelis yang lain mengulangi hujah lama, misalnya penjenayahan yang berleluasa, kenaikan harga minyak, masalah rakyat gagal diselesaikan sebelum PRU ke-12. Keadaan menjadi lebih parah ditambah dengan fenomena BERSIH dan HINDRAF.

Najib: Rakyat harapkan perubahan

PM Najib pula menegaskan bahawa pengundi tidak menolak BN, tetapi berharap agar BN akan berubah. Jadi, kekalahan PRU ke-12 hanyalah pengajaran pengundi kepada BN. Menurut Najib, jikalau BN ikhlas untuk berubah, maka pengundi akan kembali kepada BN. Oleh itu, Najib menegur agar parti komponen mengotakan janji dan memperbaiki kelemahan yang sedia ada.

Malah, Najib mengingatkan bahawa segala ini adalah proses perubahan yang perlu dilalui, barulah konvensyen semalam memberi makna, dan rakyat dapat melihat perubahan BN. Apa yang menarik adalah, tema konvensyen semalam ialah "BN mampu berubah".

Jelas, ucapan Najib di sebelah petang meraih sokongan ahli parti komponen BN, yang menyambutnya dengan tepukan dan sorakan. Walau bagaimanapun, beliau tidak menyentuh sebarang isu sensitif. Malah, apabila diajukan soalan dalam sidang media sama ada beliau akan mengikut jejak bekas Presiden MCA, Ong Tee Keat untuk mengumumkan bahawa dirinya "Malaysian first", beliau enggan menjawabnya dengan alasan "ini perangkap pembangkang", dan beliau enggan terjerat ke dalam kontroversi ini.

Konvensyen BN hanya selepas kehadiran Najib

Pada pengamatan wartawan, konvensyen BN Selangor tanpa kehadiran Najib seolah-olah Perhimpunan Agung UMNO. Ketika Noh Omar mengulas isu ekonomi, beliau mempertikaikan mengapa duit zakat digunakan ke atas bukan Islam, dan membuka pintu UiTM kepada bukan Melayu. Walaupun Noh Omar tidak membacakan beberapa soalan dalam power point-nya, tetapi "agenda UMNO" jelas terpampang melalui skrin.

Sungguhpun Najib akhirnya mengumumkan bahawa PRK Hulu Selangor akan ditandingi calon MIC, namun retorik UMNO sepanjang hari tetap kekal dalam ingatan orang ramai. Biarpun dikatakan konvensyen ini adalah cubaan sulung BN Selangor, namun apakah ia akan membawa perubahan untuk BN di Selangor? PRK Hulu Selangor akan menjawab kemudiannya.

*Wong Shu Qi ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

Blogger UMNO Kutuk Najib

Seorang bloger Pro Umno menyifatkan Presiden Umno, Najib Razak sebagai bodoh kerana hanya akan meletakkan calon MIC dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) hulu Selangor yang pengundiannya pada 25 April ini.

Selain perkataan bodoh, Najib yang juga Pengerusi Umno Selangor dilabelkan sebagai ‘bangang’ apabila enggan meletakkan calon Umno kerana pengundi dalam parlimen itu jelas menolak calon dari MIC.

“NAJIB BODOH... hanya itulah perkataan yang sesuai untuk najib yang menolak mentah-mentah suara rakyat hulu selangor, sudah terang-terang rakyat dan pengundi menolak calon mic, najib masih lagi bangang mahu meletakan calon mic disana. sejak bila suara manoriti mengatasi suara majoriti?

Dalam pentadbiran najib yang baru berusia setahun jagung suara mainoriti nampaknaya lebih di utamakan oleh najib,” kata blog itu.

Selain itu, blog itu turut menterbalikan gambar Najib dan memberi amaran bahawa gambar itu akan kekal di situ sehinggalah 15 April ini, dengan syarat Najib meletakkan calon Umno untuk bertanding dan bukannya calon dari MIC.

“Aku akan tegakan kan balik gambar najib kalau 15 (tarikh pengumuman calon oleh BN) hari bulan ini, najib umum calon bn dari umno. Esok akan upload kan klip video suara penduduk hulu selangor yang meminta bn meletakan calon melayu umno dan suara ini bukannya datang dari mulut orang melayu, tapi permintaan dari kaum cina,” kata blog itu lagi. -erapakatan



Amaran SPR hanya ditertawakan

Amaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya berhenti berkempen menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor kerana tempoh kerja-kerja itu belum lagi bermula, sudah pasti akan ditertawakan ramai.

Ini disebabkan meskipun amaran oleh Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar itu kepada semua pihak kerana tempoh rasmi berkempen hanya bermula selepas selesai tempoh penamaan calon iaitu pada 17 April, namun apakah beliau sedar BN sudah menghantar dua orang pembesar negara ke sana untuk berkempen?

Yang melanggar undang-undang SPR dengan berkempen itu pula bukan sebarangan orang, melainkan orang nombor satu dan nombor dua negara!

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Sabtu lalu mengumumkan projek perumahan baru untuk warga Felda di Gugusan Sungai Dusun. Projek bernilai RM32 juta ini membabitkan 2,50 unit, setiap satunya bernilai antara RM42,000 dan RM75,000.

Sehari sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Hulu Selangor akan mendapat empat sekolah baru, dan projek pembinaan banjir bernilai RM2 juta. Muhyiddin juga berkata Kementerian Pendidikan sedang mengenalpasti tapak sesuai untuk membina sebuah sekolah aliran Cina.

Itu belum lagi dikira kempen-kempen dan janji-janji secara bisik-bisik semasa mereka ke sana.

Nah, ini apa ini kalau bukan berkempen? Bukan sekadar berkempen kepada di hadapan penduduk Hulu Selangor, bahkan kempen itu tersiar dalam semua media cetak dan elektronik pro-BN. Apakah semuanya buta dan tuli dan melihat semua itu?

Dan ini bukan kali pertama kempen seumpama ini berlaku, bahkan setiap kali pilihan raya dan kempen pula menggunakan segenap jentera kerajaan dan media.

Pengerusi Badan Pemantau Pilihan Raya (Mafrel), Syed Ibrahim Syed Noh berkata, BN jelas tidak menghormati proses pilihan raya demokratik dan menggesa SPR bertindak tegas terhadap BN.

“Ini satu jenis kempen dan kalau berbalik kepada peraturan pilihan raya, tindakan itu adalah kesalahan mengikut peraturan pilihan raya.

“Jadi, seharusnya SPR memberikan amaran dan mengeluarkan arahan supaya tidak ada apa-apa kempen sehingga hari penamaan calon,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, semalam.

Mafrel berkata, Kerajaan Pusat mungkin mendakwa apa yang dilakukan itu terkandung dalam rangka menjalankan tanggungjawab sebagai penjawat jawatan kerajaan tetapi hakikatnya ia jelas berunsur kempen.

“Kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor sepatutnya belum boleh dimulakan selagi proses penamaan calon pada 17 April belum berlangsung.

“Tindakan BN jelas bercanggah Perkara 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2006) yang menyebut seseorang didapati bersalah jika melakukan sogokan sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung,” katanya.

Jika begitu, jika SPR benar-benar serius dan bermaruah, ada baiknya kita cabar SPR bertindak sesuatu terhadap pemimpin tertinggi negara ini yang jelas dan terang-terang melanggar peraturan dan undang-undang SPR.

Mungkin juga SPR benar-benar insaf dan tidak mahu dipandang seperti ‘ternakan kerajaan’ lagi. Justeru bertindaklah.

Jika tidak, amaran SPR — sampai bila-bilapun — akan hanya dan tetap dianggap sebagai lelucon serta bahan penglipur lara, yang hanya mahu masuk sekadar hiasan di dada akhbar semata-mata! — Harakah Daily