25 Jul 2013

65% Rakyat Mesir Tolak Rampasan Kuasa Tentera


Kaherah - Mesir. Kira-kira 65 peratus masyarakat Mesir menolak rampasan kuasa tentera apabila masih enggan bersurai dari berhimpun jalanan di sekitar Kaherah sejak 3 Julai.

Penganalisis politik Mesir Hisham el-Batal berpendapat, rakyat menolak rampasan kuasa tentera kerana masih trauma dengan era pemerintahan rejim Hosni Mubarak yang mencatatkan peningkatan jumlah kematian setiap hari.

“Rampasan kuasa itu ditolak jutaan rakyat termasuk pegawai tertinggi ketika era Hosni yang kini masih dipenjarakan,” katanya dipetik Press TV

Menurutnya, demonstrasi itu tidak hanya dilakukan oleh gerakan Ikhwanul Muslimin, ia sebaliknya turut dilakukan oleh kumpulan anti Amerika Syarikat.

“Negara antarabangsa tidak boleh menuduh demonstrasi ini didalangi kumpulan pro Mursi kerana jutaan rakyat termasuk anti Mursi mula mengerumuni Kedutaan AS bagi mendesak negara itu supaya tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran di Mesir,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan yang menyokong penggulingan itu berasa bimbang kerana mengetahui kesan penggulingan tersebut membawa kepada campur tangan AS secara meluas di Kaherah.

Caj Elektrik Tinggi Bila Guna Meter Elektronik, Siasatan DIperlukan


PKR menggesa Kerajaan Pusat melantik satu badan bebas bagi menyiasat dan mengkaji kadar tarif elektrik masakini ditetapkan Tenaga Nasinal Berhad (TNB) yang dikatakan tinggi dan membebankan pengguna.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen berkata, siasatan itu perlu kerana majoriti pengguna sekarang menerima kesannya yang berpunca daripada pemasangan meter elektrik elektronik yang baru menggantikan meter analog lama.

“TNB tidak boleh memberikan alasan dan mesti membenarkan badan bebas dilantik untuk memeriksa dan menguji meter digital ini.

“Kerajaan boleh melantik badan bebas ini, begitu juga Suruhanjaya Tenaga. Ini kerana meter kepunyaan TNB maka kebenaran dari TNB diperlukan bagi membuka meter dan menyiasat.

“Kita juga mahu pihak berkepentingan terlibat termasuk Pakatan Rakyat (PR) dan BN kerana ini adalah isu rakyat,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, PR menerima banyak aduan daripada pengguna mengenai perkara itu yang menyatakan rasa tidak puashati mereka.

Katanya, alasan diberi TNB bahawa bil elektrik tinggi dari meter baru berpunca daripada bacaan meter lama yang tidak tepat adalah tidak munasabah sama sekali.

Berikutan itu, Wong memberitahu, PR menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat dan mengetengahkan isu itu yang dianggotai Naib Presidennya, Datuk Chua Jui Meng; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datuk Dr Tan Kee Kwong, Adun Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar dan beliau sendiri.

“Jawatankuasa ini akan melancarkan satu kempen awam untuk menegaskan kepentingan ketelusan berhubung dengan bil elektrik tinggi.

“Kita juga akan melancarkan laman sesawang minggu depan bagi penglibatan awam dan satu petisyen akan dihantar ke TNB untuk tujuan ini,” katanya yang mendakwa orang ramai menyatakan kesanggupan membayar RM20 bagi kos pemeriksaan untuk mendapatkan bacaan meter yang tepat.

Manakala Chua berkata, tarif elektrik ditanggung rakyat ketika ini begitu tinggi dan satu tindakan segera perlu dilakukan bagi mengatasinya.

“Satu masalah membebankan rakyat, pihak peniaga dan yang lain. Hampir setiap isi rumah mengalaminya dengan kenaikan sampai 100 peratus, 200 peratus atau lebih.

“Jawatankuasa ini akan membantu rakyat bagi penggurangan kadar tarif elektrik kepada satu kadar yang lebih rendah atau hampir dengan bacaan meter lama,” ujarnya.

Kenapa Wan Ahmad SPR Naik Kereta Rasmi K'jaan Terengganu?

Kereta ditahan, Timbalan Pengerusi SPR trauma - Bernama

Lebih 100 penyokong parti PAS bertindak menahan kereta yang dinaiki Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang membuat tinjauan di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu di Kuala Besut hari ini.

Mereka yang berkumpul di hadapan pintu pagar sekolah itu dengan membawa poster dan bendera parti, difahamkan bertindak demikian kerana menganggap ada pihak luar cuba mencampuri urusan pengundian memandangkan kereta yang dinaiki Wan Ahmad dan anggota SPR tidak mempunyai logo suruhanjaya.

Ketika diminta mengulas kejadian itu, Wan Ahmad berkata mereka menggunakan kereta kerajaan negeri Terengganu termasuk milik Majlis Daerah Besut kerana kenderaan SPR tidak dibawa ke Kuala Besut.

"Kereta yang digunakan tidak mempunyai logo SPR kerana ia bukan kereta rasmi suruhanjaya dan penumpang juga tidak dapat dilihat dari luar kerana cermin kereta itu gelap.

"Mereka turut tidak mempercayai polis yang cuba menjelaskan bahawa kereta itu membawa saya dan anggota SPR, sebaliknya terus mengerumuni kereta.

"Tetapi saya bernasib baik ada beberapa pemimpin parti itu kenal dan sedar saya berada di dalam kereta kemudiannya menenangkan penyokong tersebut," katanya yang turut melahirkan rasa kesal terhadap kejadian berkenaan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan yang berada di situ untuk berjumpa dengan penyokong parti, berkata kejadian berkenaan tidak sepatutnya berlaku.

"Saya juga berpendapat kekecohan itu dilakukan oleh penyokong luar kerana penduduk Kuala Besut masih mempunyai sifat menghormati pemimpin atau tetamu yang berkunjung ke sini," katanya.

Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut diadakan ekoran kematian penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.

Pilihan raya itu menyaksikan pertembungan calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan calon PAS Endot@Azlan Yusof. - Bernama

Ulasan GB

Adalah tidak wajar dan tidak patut bagi seorang anggota SPR menggunakan kereta rasmi kerajaan negeri Terengganu - kerana ia memberi satu persepsi negatif wujud perancangan dan pakatan di antara SPR dan kerajaan BN Terengganu.

Dari segi undang-undang mungkin tidak salah seorang penjawat awam menaiki kereta rasmi sesebuah kerajaan negeri, tetapi selaku anggota SPR yang sepatutnya bebas dan berkecuali, perbuatan Wan Ahmad itu tidak beretika dan tidak wajar dilakukan.

GB bukan mempertahan tindakan ahli-ahli PAS yang menahan kereta yang dinaiki Wan Ahmad itu, tetapi kebenarannya: Wan Ahmad tidak sepatutnya dan amat tidak beretika bertindak menggunakan kereta tanpa logo SPR. Sedangkan berjuta peruntukan diberikan kepada SPR, nak bawa kereta SPR ke Kuala Besut pun tak boleh?

Apatah lagi Wan Ahmad, anak kelahiran Terengganu yang sebelum ini pun telah diragui peranannya semasa PRU12 (2004) ketika mana di pilihanraya itu, Wan Ahmad dilaporkan sentiasa kelihatan di Wisma Persekutuan (dimana terletaknya pejabat JPN) dan tiba-tiba BN berjaya merampas Terengganu dari tangan PAS pada PRU itu. Kita tidak menuduh sembarangan, tetapi kebenaran itu tetap kebenaran sekalipun terlindung ia dengan kebatilan.

Sepatutnya Wan Ahmad, sebagai anak Terengganu, awal-awal lagi tidak boleh dibenarkan melakukan sebarang kerja semasa PRK Kuala Besut bagi mengelakkan prejudis dan subjudis, tetapi Pakatan Rakyat tidak berbuat apa-apa untuk menghalang beliau. Maka bebaslah beliau untuk melakukan apa saja di atas nama Timbalan pengerusi SPR.

Sekalipun perhimpunan besar-besaran BERSIH dan Black 505 telah dilakukan oleh rakyat yang menuntut anggota SPR itu meletakkan jawatannya, nampaknya sehingga ke hari ini tiada tanda-tanda mereka akan melakukannya, malah bertambah galak untuk terus bersuara mendabik dada memperkecilkan suara rakyat yang ramai itu kerana mendapat sokongan kuat dari PM.

Tidak mengapa, hukum kebenaran dan keadilan akan tetap sampai juga nanti, paling akhir pun mereka tidak mampu menongkat langit dan "mati" itu akan tetap tiba juga. Tolaklah "kematian" itu nanti jika anda betul-betul amat berkuasa!

Bonus Raya: Najib Umum Bantuan RM500, Selangor Umum Sebulan Gaji


PM umum bantuan RM500 kepada penjawat awam

KUALA LUMPUR - [Dikemaskini] Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 sebagai persiapan hari raya kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54.

Perdana Menteri turut mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada 660,000 pesara kerajaan bagi menghargai jasa bakti mereka.

Katanya pembayaran bagi bantuan khas itu akan dibuat pada 31 Julai ini.

Bayaran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan itu masing-masing membabitkan peruntukan kewangan RM670 juta dan RM165 juta, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Di samping bayaran bantuan khas itu, penjawat awam menikmati dua Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) pada tahun ini, katanya.

"Pertama, kenaikan gaji tahunan biasa dan kedua adalah pemberian faedah pemindahan gaji yang diawalkan bersamaan dengan amaun 1KGT mengikut gred gaji masing-masing yang akan diterima esok, sebagaimana yang diumumkan oleh saya dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-13," katanya.

Najib berkata langkah itu berikutan kajian penambahbaikan skim perkhidmatan dan pembetulan struktur gaji yang akan diselesaikan pada Disember ini dalam Sistem Saraan Transformatif.

Katanya, pembayaran KGT ini melibatkan peruntukan kewangan RM1.3 bilion bagi 1.4 juta penjawat awam bagi tempoh enam bulan atau RM3.9 bilion untuk setahun.

"Faedah ini akan diperoleh sepanjang tempoh perkhidmatan. Mereka juga akan menerima faedah pencen yang lebih tinggi berikutan kenaikan dua KGT pada tahun ini," katanya.

Najib berkata kerajaan memperuntukkan RM4.7 bilion bagi pembayaran KGT dan Bayaran Bantuan Khas Kerajaan bagi penjawat awam dan pesara bagi membantu meringankan beban kewangan bagi persiapan hari raya. - Bernama


Kakitangan Awam Selangor Terima Bonus Raya Sebulan Gaji


Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan pembayaran bonus Hari Raya sebanyak sebulan gaji kepada kakitangan awam di negeri itu.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM30 juta dan seramai 21,776 kakitangan tetap, kontrak dan sambilan akan menerima pembayaran bonus berkenaan selewat-lewatnya pada hujung bulan ini.

Abdul Khalid berkata, pemberian bonus ini diharap dapat meringankan tanggungan warga kerja Kerajaan Negeri bagi menghadapi persiapan Hari Raya.

“Kita berharap kakitangan awam berbelanja dengan berhemah dan memperuntukkan sebahagian bonus ini untuk simpanan untuk kegunaan pada masa depan,” kata beliau.

Abdul Khalid mengumumkan perkara itu dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, jika Kerajaan Pusat mengumumkan pemberian bonus sebulan setengah gaji kepada kakitangan awamnya, Kerajaan Negeri juga turut sama mengikutinya.

“Sekiranya kerajaan Pusat mengumumkan pemberian bonus sebulan setengah gaji kepada kakitangan awam, maka kerajaan Selangor akan menambah lagi setengah bulan gaji kepada kakitangan awam di negeri ini,” katanya lagi.
-selangorku



Keputusan Rasmi Kuala Besut: BN Kekal Kerusi, Majoriti 4,000 Tersasar -updated


Keputusan rasmi untuk pilihan raya kecil DUN Kuala Besut baru saja diumumkan sebentar tadi.

Keputusan menunjukkan BN mengekalkan kawasan DUN berkenaan.

Pilihan raya itu menyaksikan pertembungan calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan calon PAS Endot@Azlan Yusof

LANGSUNG

10.15pm: Pengurus pilihan raya kecil DUN Kuala Besut A Rahim Jusoh mengumumkan Tengku Zaihan sebagai ADUN Kuala Besut.

BN - 8,288 undi
PAS - 5,696 undi
Majoriti - 2,592 undi

Ia menunjukkan bahawa BN hanya berjaya menambah 158 undi berbanding majoriti dalam pilihan raya umum 5 Mei.

10pm: Kumpulan penyokong BN bersorak sebaik calon parti itu, Tengku Zaihan tiba ke pusat penjumlahan undi.

Tengku Zaihan diiringi barisan pemimpin parti tersebut - Tan Sri MuhyiddinYassin, Datuk Seri Ahmad Said, Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Ahmad Maslan.

9.02pm: AJK pusat PAS Dr Dzulkefly Ahmad berkata parti itu sedar bahawa BN mendahului dalam pilihan raya umum lagi dengan majoriti 2,434 undi.

Namun, BN hanya berjaya meraih tambahan kira-kira 200 undi walau mengumumkan peruntukan RM477 juta semasa kempen tersebut, katanya.

"Kami berpuas hati dan reda, meskipun disogokkan dengan begitu hebat dan juga mereka mengharapkan menang 4,000 undi, tetapi kami berjaya mengagalkan mereka," kata Dzulkefly.

"Kami tahu sukar (untuk capai) menang tapi tidak mustahil dan kami menerima kekalahan. Kami melancar serangan bersungguh-sungguh namun pelbagai sebab (kekalahan) ini," katanya.

Tambahnya, PAS juga tidak melihat bahawa strategi mereka untuk membentuk jumlah kerusi yang sama banyak di DUN Terengganu itu merupakan satu kesilapan.

"Kami tidak menganggap agenda 16:16 satu yang silap, kerana kami telah menjelaskan sejelas-jelasnya, cuma ada rakyat yang faham dan percaya, tetapi tidak boleh memberi undi. Jika dihitung dengan sogokan, ugutan dan sebagainya.

"Kami juga berdepan dengan pengundian (pada hari bekerja), menyebabkan pengundi luar dan penyokong kami tidak dapat balik.

8.50pm: Tak rasmi - BN menang dengan 2,650 majoriti.

8.30pm: ANALISIS - PAS membuka gelanggang dengan menimbulkan isu besar termasuk isu tanah dan juga strategi untuk mencapai jumlah kerusi sama banyak dengan BN - 16:16.

PAS kemudiannya berubah arah dengan menganjurkan program seperti karnival mesra rakyat, cabutan bertuah dan juga pemberian petrol percuma kepada penunggang motosikal.



Pertambahan jumlah majoriti undi BN yang tidak begitu signifikan itu juga menunujukkan bahawa PAS masih dapat mengekalkan pengaruh dari penyokongnya walau tewas.

8.25pm: Setiausaha agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menulis ucapan tahniah kepada parti atas kemenangan di DUN Kuala Besut.

"Tahniah BN, kita menang dengan majoriti lebih baik walau jumlah keluar mengundi 79 peratus, kita menang kesemua pusat daerah mengundi.

"Terima kasih rakyat Kuala Besut (kerana) undi BN," katanya.

8pm: Sumber PAS menyebut, BN mendahului dengan hampir 2,600 undi.

BN pada awal kempen mensasarkan untuk meraih sehingga 4,000 undi majoriti.

PAS - 5,283 undi
BN - 7,882 undi
Majoriti - 2,599 undi
Rosak - 93 undi



BN dahului PAS di Kuala Besut


Berdasarkan keputusan awal yang diperolehi, Barisan Nasional (BN) dijangka menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, bahkan boleh menambahkan majoritinya.

Keputusan awal yang diterima bilik gerakan parti masing-masing menunjukkan calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman berada di depan berbanding calon PAS, Endut @ Azlan Yusof atau lebih dikenali dengan nama Che Long.

Di Pulau Perhentian yang tamat tempoh pengundiannya jam 3 petang tadi, calon BN mendahului calon PAS dengan majoriti yang lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum 13 (PRU13), Mei lalu.

Keputusan tidak rasmi di daerah mengundi ini menunjukkan calon BN menang dengan majoriti 275 berbanding 269 undi dalam PRU13.

Berdasarkan Borang 14 (borang yang menyatakan keputusan kiraan undi yang disahkan oleh wakil kiraan undi setiap parti), calon PAS juga tertinggal di Daerah Mengundi Bukit Puteri padahal dalam PRU13, calon PAS menang dengan majoriti 90 undi.

Keputusan dua saluran mengundi di Bukit Puteri menunjukkan calon BN mendahului calon PAS dengan majoriti 54 undi.

SPR memaklumkan, keputusan rasmi dijangka akan diumumkan kira-kira jam 10.30 malam nanti.

Bilik gerakan PAS dan BN menerima keputusan pilihan raya ini satu persatu berdasarkan saluran mengundi yang sudah selesai dikira.

Sementara itu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menulis ucapan tahniah kepada BN atas kemenangan di DUN Kuala Besut.

"Tahniah BN, kita menang dengan majoriti lebih baik walaupun jumlah keluar mengundi 79 peratus, kita menang semua pusat daerah mengundi.

"Terima kasih rakyat Kuala Besut (kerana) undi BN," katanya.
-TMI