3 Mac 2012

Najib Minta Maaf Tetapi Terus Caci Parti Lawan

Najib Minta Maaf Atas Kesilapan Lalu BN

BALING: Barisan Nasional (BN) akan memperbetulkan kesilapan lalu sehingga kalah banyak kerusi dan beberapa negeri termasuk Kedah dalam pilihan raya umum 2008, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Untuk itu, Perdana Menteri berkata beliau memohon maaf bagi pihak BN atas kesilapan itu tetapi berjanji akan membetulkannya dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Katanya jika pengundi menolak BN seperti di Kedah, sedikit sebanyak adalah kerana BN telah membuat kesilapan.

"Pada saya kita jangan angkuh dan bongkak. Sebab kita mesti tunduk kepada kuasa rakyat dalam demokrasi berparlimen. Kalau rakyat tolak BN dulu mesti ada kesilapan kita.

"Kita minta maaf atas kesilapan kita dulu. Yang menang minta maaf yang kalah pun minta maaf," katanya pada Perjumpaan Bersama Rakyat di Padang Awam, Kuala Ketil, dekat sini, Sabtu.

Perdana Menteri berkata BN akan belajar dan bangkit semula daripada kesilapan itu.

"Daripada runtuhan BN di Kedah kita akan bangkit dan bina mahligai yang kukuh dan kuat. Itu azam kita. kita berazam bahawa kita sudah mempelajari daripada kesilapan kita. Kita beri perakuan, akujanji kepada rakyat bahawa akan datang kita akan laksanakan perkhidmatan yang cukup baik kepada rakyat.

"Yang dulu jadi sempadan jangan dibangkit-bangkit lagi...kita janjikan perubahan untuk rakyat Malaysia dan Kedah. Perjalanan sudah bermula," katanya.

Beliau berkata hanya BN sahaja yang dapat memberikan masa depan yang lebih baik kepada rakyat.

"Kita ada perancangan yang jelas, kita ada agenda yang tersusun rapi, kita ada peta jalan, kita ada fakta dan ada angka.

Perangkaan yang cukup lengkap untuk memacu perubahan, membawa negara ke arah wawasan menobatkan negara sebagai negara maju berpendapatan tinggi. Ini bukan macam Buku Jingga," katanya.

Najib berkata kerajaan mahu memberi isyarat dan gambaran jelas bahawa kerajaan sudah hampir untuk melakukan transfomasi perubahan yang memberi banyak manfaat kepada rakyat.

Antara yang hadir sama pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.- BERNAMA

'Parti Asyik Serabut' Sering Menyusahkan Rakyat - Najib

BALING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata PAS kini menjadi 'Parti Asyik Serabut' yang sering menyusahkan rakyat kerana pemimpinnya kerap mengeluarkan kenyataan yang bercanggah.

Katanya beliau sendiri tidak faham dengan hala tuju perjuangan parti berkenaan dan sering menyerabutkan pemikiran rakyat.

"Mula-mula dia kata negara Islam, kemudian negara berkebajikan dan kata bukan Melayu boleh jadi Timbalan Presiden, tapi Musyidul Am kata tidak boleh. Banyak menyusahkan rakyat, banyak bagi serabut," katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Rakyat di Padang Awam Kuala Ketil, dekat, sini Sabtu.

Katanya dalam isu PAS di Kedah di mana dua Exco tidak mahu dilantik semula, kemelut yang tidak selesai telah menyusahkan rakyat Kedah.

Beliau berkata Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula banyak menimbulkan masalah serta membuat kenyataan tidak tentu arah dan menyifatkannya sebagai "Parti Kalut dan Ribut".

"Masalah video tak selesai, masalah Jabatan Agama Islam Pahang pun tak selesai... DAP pula 'Depa Ambil Peluang', dia cari peluang saja, kalau nak masa depan terjamin lebih senang sokong Barisan Nasional (BN)," katanya.

"Kita (BN) tak pernah lari daripada prinsip perjuangan kita... BN parti yang boleh diharapkan," katanya.

"Bagaimanapun saya lihat kini sudah ada perubahan termasuk di Kedah...angin kencang menjurus kepada perubahan. InsyaAllah kita akan buat perubahan besar kepada negeri Kedah," katanya. - BERNAMA


Ulasan GB

Apa jenis manusia bernama Najib ini?

Minta maaf kepada rakyat di atas kesilapan BN yang lampaum tapi mencaci PAS sebagai Parti Asyik Serabut, PKR sebagai Parti Kalut & Ribut dan DAP sebagai Depa Ambil peluang, sedangkan rakyatlah yang memilih Pakatan Rakyat mengganti BN di kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor.

Ia melambangkan hipokrisi Najib sendiri, menunjukkan ketidak-ikhlasan beliau sendiri meminta maaf kepada rakyat kerana mencaci dan menghina parti-parti yang rakyat sendiri telah pilih untuk gantikan BN di pilihanraya yang lalu.

Dahulu anda tuduh pihak parti lawan anda suka mencaci. Sekarang terbukti siapa sebenarnya yang kuat mencaci.

Apa yang dilakukan oleh Najib tak pernah dilakukan ayahnya Tun Abdul Razak. betapa dasyat dan rendahnya moral Najib yang terdesak.

Teruskan caci - kerana apa yang anda beri akan kembali kepada diri anda sendiri, itu Hukum Kebenaran dan Keadilan.

p/s pasal kes lembu, pasal belanja melampau Rosmah, pasal hubungan dagang dengan Israel, pasal Perak, Pasal peretmuan dengan Saiful dan lain-lain bila mau minta maaf?

Laporan SPRM Terhadap Datuk Hafarizam Dan Tun Zaki

Rampasan kuasa yang berlaku di Negeri Perak dilakukan dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan yang telah diperkudakan untuk kepentingan politik Barisan Nasional. Sistem Demokrasi tidak dihormati dan keluruhan perlembagan negara juga telah dicemari.

Dewan Negeri Perak yang mulia juga telah diceroboh oleh pihak polis dan samseng diatas arahan yang diberikan oleh Barisan Nasional.

Krisis Negeri Perak hanya boleh diselesaikan oleh pihak legislatif yang dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya. Tetapi pihak eksekutif telah campurtangan dalam isu dewan perundangan untuk menjatuhkan kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat. Tambahan pula pihak eksekutif telah memperalatkan mahkamah untuk kepentingan mereka. Mahkamah merupakan platfom terakhir kepada rakyat Malaysia untuk menuntut keadilan. Setiap warga negara mengharapkan keadilan yang suci daripada pihak mahkamah. Mahkamah tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Mahkamah harus memberi pengadilan kepada pihak-pihak yang terlibat mengikut lunas undang-undang dan perlembagan negara.

Apa akan berlaku jika pihak mahkamah itu sendiri tidak boleh memberi pengadilan yang sebenar kerana dipengaruhi oleh faktor-faktor lain?

Terdapat beberapa kes penting di negeri Perak. Antaranya ialah kes Dato Seri Nizar vs Dato Seri Zambry, V.Sivakumar vs Dato R.Ganesan, V.Sivakumar vs Jamaludin, Osman & Hee Yit Foong, V.Sivakumar vs SPR, V.Sivakumar vs Zambry & EXCO. Pakatan Rakyat kalah dalam semua kes-kes di atas walaupun banyak kes-kes sebelum ini dan undang-undang negara lebih mirip dan condong kearah Pakatan Rakyat. Kenapa ini boleh berlaku? Kenapa pihak mahkamah kabur melihat undang-undang dan sanggup memberi keputusan berpihak kepada Barisan Nasional? Jawapan untuk soalan-soalan ini akan diperjelaskan satu per satu.

Peguam untuk Barisan Nasional ialah penasihat undang-undang UMNO iaitu Datuk Hafarizam Harun. Ketua Hakim Negara pada masa itu ialah Tun Zaki Azmi. Kontroversi terbaru timbul ekoran pemberian konsesi bernilai RM2.2 billion Lebuhraya Kinrara- Damansara (Kidex) kepada kedua-dua tokoh ini. Konsesi ini diberikan kepada dua orang tokoh yang terlibat secara lansung dalam menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak. Antara perkara-perkara yang perlu dilihat dan diberi perhatian adalah seperti berikut:

1) Datuk Hafarizam adalah merupakan pengarah 2 buah syarikat yang menerima konsesi tersebut iaitu Emrail Sdn Bhd dan Zabima Engineering Sdn Bhd.

2) Nik Sazlina Mohd Zain, Isteri kepada Tun Zaki pula merupakan pengarah Syarikat Emrail.

3) Peguam UMNO dan Isteri Ketua Hakim Negara merupakan pengarah-pengarah dalam syarikat yang sama diberi konsesi oleh kerajaan yang bernilai RM2.2 billion. Terdapat konflik kepentingan yang jelas dalam perkara ini.

4) Emrail tidak mempunyai rekod dalam pembinaan lebuhraya. Syarikat ini hanya berhasrat menjadi syarikat kejuruteraan Rel Utama di negara dan rantau ini.

5) Apakah sebab tender ini diberikan kepada kedua-dua syarikat ini? Apakah kriteria-kriteria yang telah diguna pakai dalam isu pemberian konsesi ini ? Adakah syarikat-syarikat lain juga dipertimbangkan? Adakah tender terbuka dibuat? Apakah terma-terma konsesi? Apakah kadar tol dan perkongsian keuntungan?

6) Hafarizam sendiri mengaku bahawa syarikat-syarikatnya diserang memandangkan mereka adalah antara sebilangan kecil syarikat Bumiputera yang dianugerahkan projek ini.

7) Raja Petra dalam blognya mendakwa bahawa kerajaan Malaysia mengamalkan kroni dalam menganugerahkan konsesi projek lebuhraya ini.

Laporan dibuat di SPRM Ipoh untuk menyiasat perkara-perkara kontroversial yang ada kena mengena dengan kemelut negeri Perak. Pada dasarnya, pemberian konsesi ini adalah dilihat sebagai habuan untuk penglibatan kedua-dua tokoh ini dalam ramapasan kuasa negeri Perak. -speakforperak

Laporan sebelum ini
klik untuk baca





Ku Li Gesa BN Selesaikan Royalti Sebelum PRU

Shah Alam - Barisan Nasional (BN) perlu menyelesaikan isu royalti petroleum yang dituntut oleh kerajaan negeri pimpinan Pas sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang disebut-sebut akan diadakan dalam beberapa bulan ini, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Pemimpin politik veteran kelahiran Kelantan ini berkata, perkara itu, yang kini didengar oleh mahkamah, adalah isu utama yang perlu diselesaikan jika BN mahu meningkatkan peluang mentadbir semula Kelantan.

Kerajaan Negeri Kelantan ditadbir oleh Pas sejak 1990. Kerajaan Negeri memfailkan kes tuntutan royalti minyak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 30 Ogos 2010, sehari sebelum negara menyambut ulang tahun sambutan Hari Kemerdekaan.

"Saya nak ingatkan kita tak boleh nak kata ini tuntutan Pas, bukan tuntutan Pas kebetulan saja Pas mendapat mandat dan menubuhkan kerajaan di negeri Kelantan tetapi ramai juga orang yang menyokong Umno di sana," kata beliau dalam temu bual dengan Astro Awani, yang dirakamkan kira-kira seminggu lalu dan disiarkan hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengadakan lawatan kerja satu hari ke Kelantan semalam, dan antara lain meminta rakyatnya memberi mandat kepada kerajaan BN untuk memerintah negeri ini pada PRU13 bagi membolehkan perikatan itu menyelesaikan masalah dihadapi rakyat selama di bawah pemerintahan Pas.

Perdana Menteri berkata, kerajaan BN mampu menyelesaikan masalah rakyat termasuk masalah bekalan air, ladang rakyat, kemudahan asas dan perumahan rakyat.

Najib berkata, kerajaan BN akan mengubah landskap Kelantan dengan pelbagai pembangunan yang menjadikan Kelantan membangun dan maju.

Kerajaan negeri Kelantan memulakan tindakan perundangan dengan memfailkan saman terhadap Petronas mendakwa syarikat petroleum nasional itu tidak membayar royalti dianggarkan RM800 setahun sejak 2005 terhadap hasil minyak diperoleh dari luar pesisir pantai Kelantan.

Menurut kerajaan negeri Kelantan, tindakan Petronas itu bukan sahaja melanggar undang-undang sedia ada, tetapi juga mendakwa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tengku Razaleigh berkata, BN perlu menyelesaikan isu tuntutan royalti minyak memandangkan ia sudah sebati dengan rakyat negeri pantai timur itu.

"Itu satu hal kerana begitu..begitu terlekat di hati orang Kelantan.

"Jadi kalau kita tak layan macam mana kita nak cari dia nak sokong kita, jadi ini satu faktor yang besar, kita tak boleh nak ketepikan kepentingan dia dan tiba-tiba kita nak dia sokong kita,"
kata bekas Menteri Kewangan ini dan juga Pengerusi Petronas semasa perjanjian royalti petroleum ditandatangani dengan Kerajaan Negeri Kelantan pada 1975.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh berpendapat pemimpin Umno perlu mendekati rakyat Kelantan sepanjang masa kalau mahu diterima.

"Jadi kalaulah dekat pilihan raya baru kita nak tunjuk muka saya rasa kita tak laku, apatah lagi ada orang yang berceramah malam siang, selalu dengan mereka, kita hanya datang bermusim susah kita nak mengatasi pengaruh yang ditanam mereka mendekati rakyat umpamanya," katanya yang merupakan Ahli Parlimen Gua Musang sejak 1969.

Malah menurut beliau, politik bermusim hanya menyebabkan hubungan rakyat dan pemimpin renggang.

"Hana" Patuk Lengan Kakitangan Zoo Mini Teruntum Hingga Koma

Hana’ benam taring berbisa

KUANTAN: “Sebelum ini, ‘Hana’ pernah cuba mematuk abang saya, tetapi dia berjaya mengelak. Mungkin sudah ditakdirkan, ‘Hana’ akhirnya membenamkan taringnya di lengan kiri abang hingga menyebabkannya koma di hospital,” kata Abdullah Alim Kamarudin, 22, adik kepada Mohd Sabron Jamil Kamarudin, 24, yang parah dipatuk reptilia berbisa itu di Zoo Mini Teruntum, petang kelmarin. Gambar fail.

Ular tedung selar betina sepanjang kira-kira empat meter itu ditangkap di Sungai Karang Darat, di sini, kira-kira sebulan lalu dan ditempatkan di zoo mini berkenaan.

Bagaimanapun, pada jam 5.30 petang kelmarin, reptilia itu mematuk lengan kiri Mohd Sabron Jamil yang juga penjaga serta kakitangan mini zoo berkenaan.

Akibat patukan ‘Hana’, Mohd Sabron Jamil yang terkenal dengan keberaniannya menangkap reptilia berbisa di sekitar daerah ini, terpaksa bertarung dengan maut selama hampir empat jam apabila Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dikatakan tidak mempunyai stok antivenom untuk menawarkan bisa ular jenis itu.

Mohd Sabron dari Sungai Karang Darat, terpaksa menanggung derita selama beberapa jam sementara menunggu dos penawar bisa ular berkenaan dibawa dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum disuntik ke dalam badannya kira-kira jam 9 malam kelmarin.

Difahamkan, anak ketiga daripada enam beradik yang bertugas dengan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) itu dipatuk ular tedung selar ketika menjalankan rutin hariannya membersihkan sangkar haiwan bisa berkenaan.

Abdullah Alim berkata, Mohd Sabron sendiri yang menghubungi bapa mereka, Kamarudin Abdullah, 56, memaklumkan kejadian yang menimpanya dan ketika itu kecederaan yang dialaminya serius.

“Dengan nada menggigil abang berkata ‘ayah...saya kena patuk ular’. Ketika kejadian ada seorang lagi rakan sekerja abang berada di situ yang cuba menyedut bisa ular berkenaan dari lengan kirinya sebelum sepupu saya tiba dan dia turut melakukan tindakan sama.

“Mereka kemudian membawa Mohd Sabron ke HTAA,” katanya.

Abdullah berkata, sebaik tiba di HTAA, abangnya terus dibawa ke bahagian kecemasan sebelum dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) untuk mendapatkan rawatan lanjut, namun masalah mula timbul apabila hospital berkenaan tidak mempunyai antivenom untuk menawar bisa ular tedung selar.

“Pada mulanya doktor yang merawat abang memaklumkan dia sedang menunggu anti-venom itu diambil kakitangannya dari stor namun apabila sampai, ia bukanlah anti-venom untuk ular tedung selar sebaliknya ular tedung senduk,” katanya.

Katanya, mendengarkan jawapan itu, mereka sekeluarga panik memikirkan keadaan Mohd Sabron yang ketika itu sudah beberapa kali muntah serta pertuturannya juga menjadi tidak berapa jelas.

“Keadaan menjadi lebih kelam-kabut apabila doktor memaklumkan mereka perlu mendapatkan antivenom ular berkenaan dari Kuala Lumpur,” katanya.

Katanya, penawar berkenaan disuntik ke dalam badan Mohd Sabron selepas kakitangan hospital yang membawa antivenom berkenaan dari Kuala Lumpur tiba di HTAA kira-kira jam 9 malam kelmarin.

Menurutnya, keadaan abangnya kini dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan pagi semalam.

Bapa mangsa, Kamarudin berkata, dia kesal dengan kejadian menimpa anaknya kerana HTAA tidak mempunyai antivenom untuk merawat bisa patukan ular tedung selar. -HM

PPIM Dakwa Wujud Amalan Riba Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

PPIM dakwa wujud amalan riba di UIAM

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengamalkan riba dan menindas peniaga universiti itu apabila mengenakan kadar caj tambahan sebanyak dua peratus sebulan bagi tunggakan sewa premis mereka.

Pengerusi Majlis Penasihatnya, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak berkata, tindakan universiti itu dilihat bukan sahaja bermotifkan keuntungan semata-mata, malah dianggap tidak membantu meningkatkan pendapatan peniaga Melayu dan memberi bebanan kepada mereka.

Menurutnya, UIAM yang terkenal sebagai sebuah institusi pengajian berkonsepkan Islamik seharusnya mencerminkan prinsip perniagaan yang dituntut agama.

“PPIM menerima aduan bahawa kontrak perjanjian perniagaan dikeluarkan pengurusan universiti berkenaan sejak mula lagi didakwa berat sebelah dan tidak adil kepada peniaga dalam aspek tertentu termasuk mengenai kadar caj tambahan sewa.

“Di dalam kontrak perjanjian menggariskan, hanya peniaga dikenakan caj tambahan sewa ini yang kononnya digelar ‘caj pentadbiran’ yang mana membebankan peniaga,”
katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, lebih mengejutkan apabila ia tidak termaktub dalam perjanjian terbabit bahawa peniaga juga boleh mengenakan caj sama sekiranya universiti itu berhutang atau lambat menjelaskan bayaran tempahan makanan.

“Kami menerima aduan daripada seorang peniaga di mana, UIAM menerusi penuntutnya ada menempah perkhidmatan makanan di dalam anggaran RM27,000 beberapa bulan lalu namun sehingga kini masih gagal menjelaskan baki hutang sebanyak RM16,600, Tiada caj tambahan dikenakan di atas kelewatan pembayaran berkenaan.

“Lebih mengecewakan kandungan kontrak ini turut diketahui, dipersetujui serta diluluskan seorang pegawai atasan universiti dan tindakannya dilihat tidak prihatin dalam membantu menggalakkan usaha peniaga Melayu,” katanya.

Menurut kontrak, jika peniaga gagal membayar sewa dalam tempoh tertentu, pihak universiti akan bertindak menyita barangan perniagaan.

Katanya, perkara tui tidak terkandung dalam kontrak perjanjian.

“Buat masa ini, PPIM sedang membuat siasatan terperinci mengenai perkara ini dan sudah beberapa kali cuba mengadakan perbincangan mengenai isu itu bersama pihak pengurusan universiti yang bertanggungjawab dalam penyediaan kontrak dan pegawai atasan berkenaan bagaimanapun mereka enggan bekerjasama.

“Di dalam Islam, prinsip utama sesuatu perniagaan adalah tiada unsur tekanan, tiada keuntungan melampau, tiada keuntungan melalui manipulasi, tiada kezaliman dan perlu membantu mereka yang susah, tertindas atau berhutang,” katanya.

“Kami minta pihak universiti segera memberikan kerjasama bagi menyelesaikan konflik berkenaan dan menggesa pihak berkuasa berkaitan supaya memandang serius perkara ini dengan mengambil tindakan sewajarnya demi kesucian agama serta membela nasib peniaga Melayu,” katanya. -SH

Bawa Lynas Keluar Negara Atau Himpunan Hijau 3.0

Kuala Lumpur, 3 Mac: PAS dan pelbagai NGO menuntut supaya bahan sisa dari kilang Lynas di Gebeng di bawa keluar dari negara ini.

Ini kerana, sisa itu mempunyai bahan radioaktif yang bakal kekal di bumi Malaysia jutaan tahun dan memudharatkan penduduknya di masa depan.

"Jika tuntutan ini tidak diharaukan, kita tidak menolak Himpunan Hijau 3.0 dianjurkan," kata Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PASA, Zulkefli Mohd Omar kepada Harakahdaily.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan, sisa dari kilang Lynas di Gebeng akan dibuang di tempat lain yang akan dikenalpasti kemudian.

Ia bertujuan untuk menghilangkan kerisauan penduduk tempatan walaupun pihak kerajaan yakin ia selamat.

Anggota Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dalam komennya mencadangkan kepada Najib agar mengumumkan saja tempat baru sisa itu adalah dalam kawasan parlimennya iaitu Pekan.

Hujjah Najib kononnya sisa ini tidak bahaya juga ditolak oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berdasarkan apa yang berlaku kepada kilang ARE yang terletak di Bukit Merah, Ipoh sebelum ini.

Kerajaan terpaksa membuang semua tanah seluruh tapak kilang dan kawasan sekitarnya di Bukit Merah dan di simpan dalam tong dan seterusnya di masukkan ke dalam sebuah bukit di Perak.

Persoalannya, sampai berapa lama 80,000 unit tong drum 200L dan kawasan takungan itu akan selamat dan tidak pecah atau rosak akibat perubahan cuaca dan jenis tanah di kawasan itu.

Sedangkan, separuh hayat kepada bahan radioaktif yang dihasilkan dari Thorium itu akan berumur ribuan tahun kalau tidak jutaan tahun pun.

Menurut laporan sebuah akhbar Cina, Menteri Kesihatan telah mencapai kata sepakat dengan Menteri Perindustrian Antarabangsa agar sisa ini dihantar balik ke Australia atau sekurang-kurangnya luar dari Kuantan.

Namun, Australia telah membuat keputusan tidak akan menerima sisa itu balik ke negara mereka.

Dalam kes kilang ARE Bukit Merah yang dimiliki syarikat Jepun, Mitshubishi, tuntutan juga dibuat agar sisa yang memenuhi sebuah bukit itu dibawa balik ke Jepun.

"Membenarkan Lynas membuang sisa kilang ini di Malaysia adalah satu subsidi besar buat syarikat Australia itu," kata Presiden CAP, S M Mohamad Idris.

Jangkaan pendapatan yang mungkin diperolehi dari kilang ini adalah sebanyak RM30 juta untuk lima tahun.

"Namun, kesan kepada ekonomi, sosial, alam sekitar dan kos kesihatan kepada pekerja, masyarakat sekitar, tanah, air, lautan dan jenerasi akan datang dijangka berjumlah sehingga RM150 juta," kata S M Mohamad Idris lagi. -HD

Isu PAS Kedah: Utamakan Jemaah, Jangan Jadi Penderhaka

PAS akui kemelut di Kedah bantutkan jentera Pakatan

PAS mengakui kemelut politik di Kedah berikutan beberapa pemimpin termasuk exco yang tidak berpuas hati dengan cara Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak mentadbir negeri itu "sedikit sebanyak kesan" terhadap fokus jentera parti dan Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Bahkan, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, pergeseran berkenaan juga mengganggu kerancakan gerak kerja jentera dan 'membantutkan' usaha Pakatan Rakyat memandangkan pilihan raya umum akan berlangsung dalam masa yang terdekat.

"Ia sedikit sebanyak memberi kesan dan merencatkan kerancakan gerak kerja (jentera) pilihan raya (yang) menyebabkan semua peringkat dalam parti semua hilang fokus pilihan raya, kepada membincangkan kemelut yang berlaku.

"Bila gangguan itu berlaku kepada jentera pilihan raya, maka sudah tentu masyarakat juga akan terkesan. Sebab jentera fokus dan sentuhan mereka (untuk) menguasai masyarakat.

"Tapi jentera hari ini sendiri pun berada dalam keadaan tidak dapat memberi tumpuan kepada sasarannya (iaitu) pengundi. Maka sudah tentu semua akan 'jam' (terbantut). Ini merugikan PAS dan Pakatan Rakyat,"
katanya.

Bercakap pada wawancara dengan Malaysiakini, Mahfuz berharap isu tersebut dapat diselesaikan dengan segera supaya fokus jentera gabungan itu dapat dikembalikan bagi menghadapi pilihan raya umum kelak.

Khamis lalu, Jawatankuasa PAS Pusat mengadakan mesyuarat khas dan memutuskan untuk bertemu kepimpinan PAS Kedah termasuk Azizan yang juga pesuruhjaya negeri, timbalannya Datuk Phahrolrazi Zawawi dan ADUN Alor Mengkudu Dr Ismail Salleh bagi menyelesaikan kemelut itu.

Dilaporkan kepimpinan PAS Pusat akan bertemu di Alor Setar malam ini untuk menyelesaikan masalah yang berlarutan itu.

Phahrolrazi dan Dr Ismail dilapor enggan mengangkat sumpah semula sebagai exco kerana mendakwa tidak berpuas hati dengan pentadbiran Azizan. Ekoran itu, hanya lapan exco sahaja yang mengangkat sumpah memegang semula jawatan itu baru-baru ini.

Mengulas kemelut yang berlarutan itu, Mahfuz yang juga yang dipertua PAS Pokok Sena optimis masalah itu dapat diselesaikan walaupun mendakwa "tidak begitu tahu dan tercari-cari" apa punca sebenarnya disebabkan beliau “berada di luar kerajaan negeri”.

Katanya, adalah menjadi hasrat Azizan yang juga pesuruhjaya PAS negeri, mahu mengekalkan semua sepuluh exconya tetapi Phahrolrazi dan Dr Salleh enggan menyertainya.

Mahfuz juga menolak tanggapan ketegasan Azizan dalam Akta Universiti dan Kolej Univerisiti (AUKU) atau akta yang mirip dengannya terhadap pelajar Kolej Univerisiti Insaniah (KUIN) menjadi punca permasalahan di negeri itu.

"Kami tidak duduk dalam kerajaan, sebab itu kami mencadangkan (untuk) mengadakan satu pertemuan, untuk mendengar penjelasan kedua-dua pihak. Jadi saya harap pertemuan itu nanti, dapat merungkai permasalahan yang menimbulkan rasa tidak puas hati dan sebagainya," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan sesetengah ahli bahawa Azizan seorang pemimpin tua yang degil dan sukar didisplinkan, Mahfuz berkata manusia harus ada sentuhan seni memahami tabiat, keperibadian dan cara bergaul mengenai seseorang pemimpin.

"Jadi jika orang dapat memahami dari segi seni ini, saya percaya tidak timbul perkara-perkara itu. Sebab itu, kadang-kadang manusia tidak boleh diprovok.

"Kalau ada provok, dia akan menunjukkan satu sikap yang kadang-kadang kita tengok macam sukar untuk didisplinkan. Dia mempertahankan sesuatu yang dia buat,
" katanya sambil menjelaskan bahawa kenyataannya itu tidak merujuk kepada Azizan. -mk

Isu Kedah: Presiden PAS minta ahli bertenang

KUALA LUMPUR, 2 Mac: Seluruh ahli PAS diminta bertenang dan menyerahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan parti menyelesaikan isu yang melanda Kerajaan Negeri Kedah.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, beliau yakin isu tersebut akan diselesaikan secepat mungkin dengan semangat ukhwah yang tinggi.

"Saya menyeru kepada seluruh ahli dan penyokong PAS supaya bertenang dan menyerahkan kepada kepimpinan untuk menyelesaikan beberapa isu yang melanda negeri Kedah mutakhir ini.

"Insya Allah ia akan selesai sehari dua lagi atas usaha kepimpinan dan semangat ukhuwah seluruh pihak yang mendukung perjuangan ini," katanya dalam kiriman mesej ringkas kepada Harakahdaily lewat petang ini.

Presiden PAS itu kini masih di luar negara dan dijangka pulang ke tanah air esok.

Dalam pada itu, seluruh pimpinan PAS Pusat akan turun ke Kedah esok bagi mengadakan pertemuan mahabbah dengan pimpinan parti di negeri itu berhubung kemelut yang melanda.

Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat AJK PAS Pusat malam tadi.

Mesyuarat kira-kira empat jam itu yang dipengerusikan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu diadakan bertujuan menyelesaikan kemelut di Kedah selepas Phahrolrazi enggan dilantik semula sebagai exco kerajaan negeri.

Pada sidang media semalam, Naib Presidennya, Salahudin Ayub berkata, pimpinan tertinggi PAS termasuk Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan turun ke Kedah bagi bertemu dengan kedua-dua pihak iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Exco, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi.

Difahamkan sebelum ini, Mohamad Sabu, Salahudin Ayub dan Penolong Setiausaha Agung, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi telah mengadakan pertemuan hati ke hati dengan Azizan dan Phahrolrazi secara berasingan bagi menyelesaikan masalah mereka.

Hasil pertemuan tersebut dibawa ke mesyuarat malam tadi.

Pada Selasa lalu, lapan daripada 10 Exco Kedah mengangkat sumpah jawatan masing-masing di depan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah.

Dua lagi exco iaitu Phahrolrazi dan Datuk Dr Ismail Salleh dikatakan enggan menyambung jawatannya.
-HD


Isu Kedah : Kenyataan Bersama Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat dan Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah

1. Dewan Ulamak PAS Kedah dengan ini menyokong penuh dialog antara Menteri Besar Kedah, YAB Datuk Seri Diraja Ustaz Azizan Razak dan Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri Kedah, Wakil-Wakil Rakyat PAS Kedah dan Ahli Badan Perhubungan PAS Kedah untuk mendapatkan penjelasan bagi apa sahaja isu yang dibangkitkan akhir-akhir ini. Hal ini berlandaskan arahan Allah Taala bermaksud: "Dan segala urusan mereka berlaku dengan perbincangan sesama mereka." (Surah al-Syura ayat 38)

2. Dewan Ulamak PAS Kedah menegaskan sama sekali tidak menyokong sebarang usaha untuk menjatuhkan Kerajaan PAS Negeri Kedah.

3. Dewan Ulamak PAS Kedah sentiasa istiqamah untuk mempertahankan Kerajaan PAS Negeri Kedah bersama-sama dengan ahli dan kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia.

4. Dewan Ulamak PAS Kedah menyokong penuh sebarang usaha menggantikan mana-mana pemimpin yang sabit penyelewengannya.

YB Datuk Tuan Guru Harun Taib,
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat

Tuan Guru Syeikh Mohamad Abdullah,
Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah.

Jumaat, 2 Mac 2012 bersamaan 8 Rabi'ulAkhir 1433H, 5.30 petang
Madrasah Makarimul Akhlak, Pondok Hj Abdullah Kecil, Langgar, Alor Star, Kedah Darul Aman.


Jangan khianati perjuangan

ALOR SETAR - Sikap beberapa pemimpin dalam Pas Kedah yang bermotifkan kepentingan peribadi dan perbezaan pandangan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak hingga ada kalangan mereka sanggup mengkhianati usaha parti memberi tumpuan dalam memantapkan pentadbiran dan berdepan PRU13 amat dikesali.

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak Pas Kedah, Abdul Wahab Hassan berkata, pihaknya kesal kerana ahli dan jentera parti peringkat akar umbi berusaha memenangkan parti dan membantu menjaga keutuhan kerajaan, namun pemimpin atasan pula berbalahan sesama sendiri.

“Saya ingin menasihatkan mana-mana pemimpin yang ingin menjawat jawatan tertinggi sekalipun, hendaklah menunggu masa yang sesuai.

Saya ingin merujuk kepada nasihat Presiden Pas, Dauk Seri Abdul Hadi Awang melalui sepucuk surat yang ditujukan kepada beberapa tokoh ulama di negeri ini baru- baru ini, yang menegaskan pertukaran jawatan sekarang tidak kena pada tempat dan masanya,” katanya.

Menurutnya, seluruh pemimpin dan pendokong gerakan Islam harus mengelak diri daripada terlibat dalam perbuatan yang boleh digolongkan dalam usaha ‘menebuk bahtera’.

“Fokus kita sekarang harus ditumpukan kepada gerak kerja untuk menang dalam PRU13 dan membina masyarakat yang patuh pada perintah ALLAH SWT,” katanya.

Abdul Wahab berkata, pihaknya menyeru dan meminta semua pimpinan dan ahli Pas di semua kawasan di Kedah supaya wala’ kepada kepimpinan negeri dan Pusat bagi memastikan kemenangan dalam usaha mengukuhkan jentera parti.

Abdul Wahab yang juga Yang Dipertua Pas kawasan Baling berkata, Pas kawasan itu menyokong penuh pendirian dan tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam menyelesaikan kemelut membabitkan dua Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh.

Menurutnya, kesemua ahli Pas kawasan itu berdiri teguh di belakang kepimpinan Azizan dan meletakkan keyakinan penuh dengan pentadbiran cemerlang selama empat tahun menerajui Kedah.

“Tiada sebab untuk kami menentang pentadbiran Azizan. Saya ingin tegaskan kami bimbang perbuatan dan tindakan mengganggu gugat kerajaan dan parti yang sedang berlaku sekarang ini boleh membawa mereka ke dalam golongan Bughah (penderhaka) yang amat berat hukumannya di sisi Islam,” katanya.

Abdul Wahab turut memetik sepotong hadis yang bermaksud: “Akan memerintah belakang daripada Aku oleh beberapa pemerintah. Maka memerintahlah yang baik itu dengan kebaikannya dan yang jahat itu dengan kejahatannya. Dan dengarlah dan taatlah akan kamu dengan pada barang yang betul dan yang sebenar. Kalau mereka itu berbuat baik bagi kamu, kamu juga akan mendapat kebaikan dan bagi mereka itu. Dan jika mereka itu berbuat jahat bagi kamu mendapat balasan kebaikan bagi mereka itu mendapat bala.”
-SH


Ulasan GB

GB dah banyak kali ulas. Walaupun pada awalnya GB cuba untuk pastikan kemelut Kedah ini ditenteramkan dengan menyiarkan berita ini, tetapi ianya tidak diberikan perhatian oleh mereka berdua, maka GB terpaksa menggunakan nada keras bagi mengingatkan mereka supaya jangan dituruti sikap dan gelagat parasait terdahulu melalui ulasan GB di sini .

Pun masih tiada perubahan, malah semakin galak. Maka GB sebutlagi ulasan di sini dan di sini.

Tanpa rasa bersalah dan berdosa, sungguh malang apabila tindakan mereka dilakukan saat kita di ambang menghadapi pilihanraya.

Apa yang disampaikan oleh Yang Dipertua Pas kawasan Baling, Tn Hj. Abd Wahab Hassan yang menasihatkan mana-mana pemimpin yang ingin menjawat jawatan tertinggi sekalipun, hendaklah menunggu masa yang sesuai bertepatan dengan apa yang GB telah kemukakan sebelum ini:

Jangan terlalu angkuh dan sombong walau sebanyak manapun pendapat kita tidak diambil kira apabila berada di dalam sesebuah organisasi.

Itu adalah ujian bagi diri kita samada kita ini bersabar di dalam perjuangan atau hati masih tebal dengan penyakit mazmumah.


Ahmad Lutfi Othman, Ketua Pengarang HARAKAH, mengungkapkan di hujung tulisannya "Mungkin misi BN akan menjadi lebih mudah di Kedah berbanding Selangor" di dalam Bahaya Ribut Dalam Cawan.

Di dalam tulisan Ketua Pemuda PAS di SINI, sepatutnya diterima oleh semua pihak. Ditutup tulisannya dengan memberikan garis panduan dan seruan "Jadilah anggota atau pimpinan jamaah yang baik dan soleh" dengan:

a] Suburkan Amal Tarbawi di dalam organisasi jamaah
b] Cernakan kemurnian spiritual sebagai seorang pejuang.
c] Tutup segala ruang buat syaithan menguasai minda
d] Pelihara adab dan akhlak berjamaah.
e] Patuhi peraturan dan tatacara jamaah.
f] Dengar dan taat arahan pimpinan.
g] Utamakan jamaah mengatasi kepentingan diri.
h] Hormati pandangan sahabat seperjuangan
i] Urus konflik dengan bijak, adil, telus dan jujur.

GB pernah mengungkapkan di dalam entri yang lalu

Di dalam qaedah usul-fiqh pun sepatutnya masing-masing mengetahui bahawa kita sepatutnya mengutamakan kemaslahatan jamaah ke atas kemaslahatan seseorang individu atau peribadi.


Semuga kemelut PAS Kedah ini dapat diakhiri secepat mungkin dan semuga pertemuan malam ini di antara PAS Pusat dan pemimpin bermasalah di dalam PAS Kedah membuka lembaran baru dan memberikan kekuatan PAS Kedah untuk merapatkan ukhwah dan bertindak di dalam satu saf yang terususn rapi mempertahankan kemenangan dengan lebih gemilangan lagi di dalam pilihanraya akan datang ini.

Firmanullah:


وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللّهِ جَمِيعاً وَلاَ تَفَرَّقُواْ وَاذْكُرُواْ نِعْمَتَ اللّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاء فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَاناً وَكُنتُمْ عَلَىَ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya. Ali Imran 103


[Bergambar] Gambar-gambar Pelik, Aneh & Lucu Hujung Minggu II

Dilampirkan lagi gambar-gambar pelik, aneh dan lucu untuk kita hilangkan tekanan setelah sehari suntuk mengikuti isu-isu berat yang berlaku sekeliling kita.

Gambar-gambar ini bersepah ini internet, dikutip untuk paparan di blog GB ini untuk kita segarkan semula minda kita untuk menghadapi isu-isu baru selepas ini. Selamat menyaksikan dan selamat berhibur.

Saksikan:

















Laporan sebelum ini
klik untuk baca