11 Ogo 2015

BERSIH 4.0: TITM Buat "U-turn" Untuk Ikut Kehendak Presiden


PAS konsisten menuntut sistem pilihan raya yang adil dan bersih bagi menjamin kelangsungan sistem demokrasi dalam negara ini.

Pelbagai bantahan terhadap penyelewengan dalam pilihan raya seperti penggunaan jentera kerajaan, daftar pemilih yang dipertikaikan, persempadanan pilihan raya dan penggunaan media perdana oleh parti pemerintah sahaja adalah antara sebahagian isu dari pelbagai isu utama yang ada.

Pelbagai bentuk bantahan digunakan bagi melaksanakan tuntutan seperti menghantar memorandum, dialog bersama SPR, perhimpunan aman, dan mengumpulkan tandatangan adalah sebahagian usaha bagi menjayakan tuntutan tersebut. PAS mengambil bahagian dalam semua bentuk tuntutan secara aktif.

Tunggu arahan

PAS akan terus bersama kebangkitan rakyat khasnya anak-anak muda bagi menyatakan bantahan terhadap kemelut ekonomi, politik dan urustadbir negara kini.

Walau bagaimanapun oleh kerana kedudukan PAS kali ini bukan lagi penganjur bersama sebagaimana himpunan Bersih sebelum ini, maka parti telah bersetuju menghantar Naib Presiden PAS, YB Ustaz Idris Ahmad dan Saudara Kamaruzaman Mohamad bagi mendapatkan maklumat lanjut himpunan tersebut. Sebarang arahan kepada ahli akan dikeluarkan setelah kita mendapat gambaran sebenar format himpunan dan tentatif program sepanjang rally yang akan diadakan nanti.

Dalam suasana politik negara yang tidak stabil kini, PAS tidak akan bersetuju dengan apa jua usaha yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang yang ada, kerana ia akan diambil kesempatan oleh parti pemerintah bagi mengalih isu utama kepada tindakan provokasi bagi mencetuskan kegawatan dalam negara.

Sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Presiden, bahawa PAS tidak akan membuat kerahan atau larangan kepada ahli. Kita akan hantar wakil parti bagi mendapat gambaran sebenar format himpunan tersebut.

Kongres Rakyat

Insya Allah, bagi melunaskan maksud mendukung cita-cita perjuangan rakyat yang mahukan perubahan positif dalam negara ini, PAS akan menganjurkan Kongres Rakyat yang menghimpunkan NGO, tokoh-tokoh masyarakat, parti politik, gerakan mahasiswa dan lainnya yang bakal diadakan dalam tempoh masa terdekat bagi meneruskan agenda dan tuntutan rakyat.

Kongres ini adalah kesinambungan pelbagai himpunan parti bersama rakan-rakan NGO yang diadakan sebelum ini. Kongres ini akan dikendalikan oleh Lajnah Penerangan PAS Pusat bersama pelbagai pihak yang akan turut serta sama ada sebagai penganjur bersama atau sebagai peserta. - HARAKAHDAILY 10/8/2015

DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
10 Ogos 2015



PAS kini mula terasa keseorangan selepas dipinggirkan

PAS semakin keseorangan dan terpinggi daripada pakatan pembangkang apabila memutuskan hubungan dengan DAP menerusi usul yang diluluskan di muktamar tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 11 Ogos, 2015.

PAS semakin keseorangan dan terpinggi daripada pakatan pembangkang apabila memutuskan hubungan dengan DAP menerusi usul yang diluluskan di muktamar tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 11 Ogos, 2015.

PAS kini mula terasa keseorangan selepas dipinggirkan apabila satu demi satu program besar yang dianjurkan pembangkang tidak lagi melibatkan mereka, bahkan parti Islam itu terpaksa bersendirian. Terbaru, PAS membuat keputusan menganjurkan himpunan Bersih mereka sendiri dan tidak akan mengerahkan ahlinya menyertai himpunan Bersih 4.0 yang dianjurkan pelbagai pertubuhan termasuk parti pembangkang.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memaklumkan, pihaknya hanya akan menghantar 3 wakil ke perhimpunan Bersih 4.0 kerana ia bukan dikepalai parti itu.

"Kita buat keputusan untuk menyertai Bersih tetapi yang Bersih 4.0 ini bukan kita kepalai, orang lain yang kepalai, bukan kita yang buat agenda, orang lain yang buat agenda.

"Jadi, kita hantar wakil saja, 3 orang menyertai himpunan ini. Kita tidak suruh ahli kita pergi.


"Kita akan adakan himpunan yang lain yang dikepalai PAS dan kita akan ajak orang lain datang," kata Hadi dalam ucapan pada majlis himpunan PAS Perak di Ipoh pada Ahad.

Sehingga kini, PAS sudah diketepikan dalam sekurang-kurangnya 3 program besar iaitu mesyuarat parti pembangkang pada 29 Julai, penyerahan memorandum sokongan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 6 Ogos dan himpunan Bersih 4.0 hujung bulan ini.

Mesyuarat pada bulan lalu itu dipanggil ketua pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, namun dibatalkan secara tergesa-gesa kerana DAP tidak mahu menyertainya jika PAS menyertainya.

PAS sebelum itu memutuskan menghantar 3 wakil ke mesyuarat itu iaitu timbalan presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, setiausaha agung Datuk Takiyudin Hassan dan ketua pengarah pilihan raya Datuk Mustafa Ali.

Ketika itu, beberapa pemimpin yang mewakili PAS tiba di pejabat PKR di Petaling Jaya untuk menyertai mesyuarat, namun mendapati ia dibatalkan dan ditukar kepada mesyuarat antara Dr Wan Azizah dengan pemimpin organisasi bukan kerajaan (NGO) saja.

Khamis lalu, pemimpin pembangkang mewakili semua parti hadir ke pejabat SPRM bagi memberi sokongan moral kepada badan pencegah rasuah itu, namun tiada wakil PAS kelihatan.

The Malaysian Insider difahamkan, pemimpin PAS tidak diberitahu atau dijemput untuk menyertainya.

Hasilnya, Pemuda PAS Selangor terpaksa pergi bersendirian menghantar memorandum sokongan pada keesokan harinya, 7 Ogos.

Sementara dalam penganjuran himpunan Bersih 4.0, ketika semua parti politik pembangkang termasuk kumpulan pecahan daripada PAS, Gerakan Harapan Baru (GHB), diajak berbincang untuk menjayakannya, parti yang memutuskan hubungan kerjasama dengan DAP itu tidak dimaklumkan mengenainya.

Ini menyebabkan pihak media tertanya-tanya, apakah PAS akan menyertai himpunan ini atau tidak kerana penyokong mereka adalah yang paling ramai dalam himpunan Bersih sebelum ini.

Di kalangan pemimpin PAS pula berlaku pendebatan hangat apakah mereka patut menyertai Bersih 4.0 atau tidak selepas mereka tidak dijemput secara rasmi membincangkannya.

Namun, menjelang mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat 8 Ogos lalu, jemputan dihantar oleh Bersih 4.0 secara peribadi kepada Tuan Ibrahim untuk menyertai himpunan itu.

Hasilnya, selepas mesyuarat itu, Tuan Ibrahim memaklumkan PAS akan menyertai Bersih 4.0 dan akan menghantar 2 wakil untuk menyertai perbincangan mereka.

Mereka adalah Naib Presiden PAS Idris Ahmad dan setiausaha akhbar presiden PAS, Kamaruzaman Mohamad.

Namun, kenyataan Hadi menjelaskan lagi sikap PAS sebenarnya iaitu hanya menghantar wakil, bukan mengerahkan ahlinya untuk menyertai Bersih 4.0 yang dijadualkan pada 29 dan 30 Ogos di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu.

PAS pada muktamar tahunannya Jun lalu memutuskan hubungan kerjasama dengan DAP.

Ia menyebabkan akhirnya Pakatan Rakyat yang menggabungkan PAS, PKR dan DAP terkubur.

Ia juga melahirkan GHB secara rasmi, yang berhasrat menubuhkan parti Islam baru sebagai alternatif kepada PAS dan kemudiannya bekerjasama dengan DAP, PKR dan beberapa pihak lain membentuk sebuah gabungan pembangkang baharu.
-TMI


ULASAN GB

Sebelum ini, TITM buat kenyataan bahawa PAS akan sertai BERSIH 4.0 dan akan menghantar tiga orang wakilnya di dalam Jawatankuasa BERSIH 4.0.

Tiba-tiba Tuan Presiden menyatakan:

"Kita buat keputusan untuk menyertai Bersih tetapi yang Bersih 4.0 ini bukan kita kepalai, orang lain yang kepalai, bukan kita yang buat agenda, orang lain yang buat agenda.

"Jadi, kita hantar wakil saja, 3 orang menyertai himpunan ini. Kita tidak suruh ahli kita pergi.

Setiap kenyataan TITM nampaknya tidak sehaluan dengan kenyataan Tuan Presiden akan menggunakan kuasa vetonya menterbalikkan apa yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden.

Sudah beberapa kali berlaku pertentangan pendirian diantara Presiden dan Timbalan Presiden PAS.


Alasan Presiden PAS kali ini:

"Kita akan adakan himpunan yang lain yang dikepalai PAS dan kita akan ajak orang lain datang,"

Kita tak tahu siapa yang dimaksudkan "ajak orang lain datang" sedangkan DAP, PKR, GHB dan NGO-NGO lain sudah memutruskan untuk bersama di dalam BERSIH 4.0.

PAS tidak mahu sertai BERSIH 4.0 kononnya kerana ia dianjurkan "orang lain" bukan PAS. PAS mahu biar dia jadi kepala, bukan orang lain.

Sikap demikian ialah sikap kebudak-budakan dan tidak menampakkan kematangan berpolitik. Bagaimana anda hendak mengharapkan "orang lain" menyertai agenda anda seandainya anda sendiri tidak meraikan agenda orang lain?

Bagaimana anda hendak menjadi ketua sedangkan anda sendiri tidak boleh menjadi pengikut yang amanah dan setia?

Hukum kebenaran dan keadilan sentiasa berjalan.

Anda akan tuai apa yang anda tanam.

Tak lihatkah di dalam perhimpunan GST yang lalu? Siapa "orang lain" yang ada menyertai perhimpunan anti-GST anjuran PAS? Berapa ramai yang menyertainya? Bandingkan perhimpunan anti-GST bukan anjuran PAS:


Demikianlah, apabila keangkuhan dan kesombongan meraja di hati"nya"...






IKLAN BERBAYAR







[MENARIK] Ada Surat Terbuka Untuk Mat Sabu Dari Usin Ceroi Tak Original

Surat Terbuka Untuk Mat Sabu

Ke hadapan mantan Timbalan Presiden Pas, Tuan Hj Mat Sabu.
Terlebih dahulu, Salam Wala' buat tuan.

Maaf tok pinta sekiranya warkah pujangga ini bisa mengganggu tuan di dalam aktiviti tuan untuk mengusahakan Harapan Baru. Ada pun tok terpaksa mengirim warkah ini kerana tok ada terbaca seorang penyokong parti tok iaitu parti lama tuan juga yang mengirim warkah terbuka untuk tuan.

Tujuan warkah ini tok kirimkan hanyalah kerana untuk memperkuatkan surat sahabat tok itu yang mahukan tuan memikirkan kembali untuk mewujudkan parti baru dan kembalilah semula kepada kami. Tok ingin mengariskan beberapa faktor dan hujah yang kukuh lagi syarie mengapa tuan wajib kembali bersama jemaah syurga ini. Faktor-faktor tersebut adalah;

1. Tuan tidak perlu risau dan susah hati lagi untuk menjadi wakil presiden setiap kali Mesyuarat PR dan kemudiannya keputusan mesyuarat tersebut ditolak oleh Presiden kerana tuan tidak lagi menjadi Timbalan Presiden. Kini kita akan serahkan kepada Ustaz Tuan pula meneruskan jihad tuan sebelu ini.

2. Kami tetap akan menjemput tuan untuk memberikan ceramah anjuran kami kerana tuan adalah aset untuk memenuhkan tabung2 milo kami yang kini semakin gersang.

3. Tuan tidak lagi perlu bersusah payah memikirkan tentang Hudud kerana isu Hudud ini telah kita serahkan kepada amno untuk mereka lakukan. Kami yakin amno pasti sokong Hudud kerana Adun2 mereka di Kelantan baru2 ini menangis teresak2 dan merengek mahu kepada Hudud. Samada tahun ini Hudud dilaksanakan atau tahun depan hatta sehingga kiamat sekalipun kita redha menanti.

4. Sekiranya tuan kembali ke pangkuan kami, tuan tidak perlu lagi bersusah2 untuk berdemo sehingga ditangkap dan dilokap kerana guru kita telah pun 'menfatwakan' jangan jadi bodoh untuk berdemontrasi. Tuan akan relaks dan tenang nanti.

5. Tuan harus memikirkan dengan serius, apakah yang tuan dapat bila berkawan dengan Dap? Adakah Lim Guan Eng atau Kit Siang itu pernah bermimpi berjumpa Nabi? Tapi sekiranya tuan kembali bersama jemaah kami, tuan mesti berbangga kita mempunyai orang Islam seperti Tar snake yang telah bertemu para2 sahabat Nabi, lebih menggembirakan kita, di dalam kelab penyokong bukan Islam kita pun ada yang telah bermimpi bertemu Nabi berkali2. Ini tiada di dalam Dap atau PKR.

6. Tok ingin ingatkan tuan, seandainya tuan berkeras untuk berada bersama PKR atau Dap atau Harapan Baru, tatkala tuan bertanding di dalam Pilihanraya nanti, tidak mustahil tuan akan dituduh sebagai pengedar pil kuda walaupun nama tuan tidak disebut. Tentulah tuan akan merasa aib, bukan?

7. Adakah tuan tidak yakin akan kekuatan parti tuan yang lama? Tok boleh buktikan bahawa kita kuat. Kita pernah memerintah Terengganu Sepenggal. Kedah juga kita dapat sepenggal. Di Kelantan, kita masih memerintah walaupun di dalam PRU13 yang lalu kita hilang 6 Kerusi tetapi itu tidak menjadi masalah kerana kita hanya perlukan keredhaan Allah.

8. Tok faham tuan mahu lari dari jemaah tok bukan kerana tewas di dalam pemilihan parti kerana tok tahu tuan kerap tewas di dalam pertarungan yang lebih besar iaitu di dalam Pilihanraya dan tuan waktu itu tetap bersama jemaah. Tuan sanggup tinggalkan kawasan atau kubu tuan di Kedah waktu itu untuk bertanding di mana2 saja yang diarahkan oleh guru kita. Guru kita pun tidak pernah berani keluar dari kawasannya di Marang, tetapi tuan berani. Maka, elok benarlah tuan kembali kepada kami kerana mudah untuk kami arahkan tuan bertanding di mana2 seperti dahulu dan ini sedikit sebanyak akan menambahkan pahala jihad tuan. Tidakkah ini menguntungkan tuan?

9. Apalah gunanya tuan bersama YB Khalid Samad? Apakah Khalid samad itu lebih hebat dari Nik Abduh atau Tontowi? Apakah Khalid samad tahu tentang pengadil bola? Tok tahu tuan peminat bolasepak, maka inilah peluang untuk tuan mendapatkan pandangan darihal bola melalui MP Pasir Mas kita yang berkaki lebar itu.

10. Percayalah tuan. Amno yang tuan bencikan sangat itu tidaklah seteruk Firaun. Dap lebih teruk dari Firaun kerana Dap lah yang merampas royalti minyak di dua negeri Melayu iaitu di Kelantan dan Terengganu. Di negeri guru kita sendiri, adakah tuan lupa Dap yang meruntuhkan Masjid Kg Bujal? Kedua2 negeri ini adalah kubu kuat parti kita, mengapa Dap khianat? Mengapa tuan harus bersama Dap? Pembunuhan di Memali, adakah tuan lupa betapa zalimnya Dap? Sewajarnya lah tuan tinggalkan Dap dan kembalilah kita bersama untuk memperkuatkan jemaah kita sekaligus memperkuatkan amno.

Yang Dihormati Tuan Mat Sabu,

Cukuplah setakat ini tok menulis warkah nan usang ini. Bukan niat tok untuk mengguris perasaan tuan, tetapi tok hanya mahu melihat tuan masuk syurga. Tok menulis ini bukan kerana tuan, tok menulis ini adalah jihad. Sekiranya tok mati di dalam keadaan menulis ini, mati tok adalah jihad.

Sekian dulu warkah dari tok, semoga tuan dapat beristikhorah dengan semua yang tok nyatakan di atas. Maafkan tok sekiranya warkah ini bisa membuatkan tuan menitiskan air mata kerana sesungguhnya setiap titisan air mata tuan itu, satu mahligai di syurga, InsyaAllah.

Sekian, Wassalam.

Tok Usin UG Ceroi
Pengarang Kitab "Label Lil Insani"


Mat Sabu: Jika kawan Umno, anda kena keluar

Gerakan Harapan Baru (GHB) tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana anggota gerakan itu yang berkawan atau menyokong seteru politiknya Umno, kata pengerusi jawatankuasa penajanya, Mohamad Sabu.

Ia juga dilihat sebagai satu peringatan tersirat kepada pemimpin PAS, termasuk Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang kini dilihat selesa dengan Umno.

"Sesiapa yang berkawan dengan Umno, anda kena keluar," kata Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, disambut tepukan gemuruh di majlis makan malam Aidilfitri bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Seberang Jaya, malam tadi.

Mat Sabu berkata GHB, yang terdiri daripada bekas progresif dari PAS, dituduh mahu hidup senang apabila mereka mengambil keputusan untuk menubuhkan kumpulan serpihan PAS itu.

Keputusan untuk membentuk kumpulan baru itu dibuat selepas DAP mengisytiharkan Pakatan Rakyat telah terkubur, selepas PAS di muktamarnya yang ke-61, meluluskan usul memutuskan hubungannya dengan DAP kerana memutuskan hubungan dengan Hadi.

Bagaimanapun, Mat Sabu menolak sebarang tanggapan bahawa pemimpin GHB mahu mencari cara mudah selepas kekalahan mereka dalam pemilihan PAS Jun lalu, yang didominasi oleh sayap ulama.

Mat Sabu berkata isterinya mengadu bahawa sepanjang 35 tahun perkahwinan mereka, beliau hanya tinggal di rumah selama setahun.

Katanya, ia kerana beliau kerap ditahan, termasuk penahanan di Kamunting di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Katanya, beliau ingin bebas seperti orang lain, berpegangan tangan dengan isterinya di pantai, sepertimana warga emas di Barat.

Bagaimanapun, selepas melihat keadaan yang tidak menentu di negara ini, isterinya berkata 'walaupun anda tidak pulang ke rumah, teruskan perjuangan anda', " katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.
-mk











IKLAN BERBAYAR