3 Jan 2009

UMNO Guna Sekolah Berkempen

Dari Berita Harian 3 Januari 2009: KUALA TERENGGANU: Barisan Nasional (BN) tidak gentar dengan ramainya bilangan calon bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini akan menjejaskan peluang parti kerajaan untuk mempertahankan kerusi itu, kata Pengerusi BN negeri, Datuk Ahmad Said.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, BN bersedia berhadapan seberapa ramai calon lain yang mahu bertanding kerana yakin calonnya Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mampu memenangi hati pengundi sekali gus mencapai kemenangan dengan majoriti yang lebih besar.

Ahmad berkata, pengundi dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu sudah matang dan tahu calon yang patut mereka pilih ialah calon BN.

"Kita sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya kecil ini dengan matlamat mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu, bukannya membiarkannya jatuh kepada pembangkang," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan jentera pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar, di sini, malam kelmarin.

Hadir sama Wan Ahmad Farid, Timbalan Ketua Umno bahagian Kuala Terengganu, Ahmad Sabri Alwi dan Ketua Puteri negeri, Nordiana Shafie dan Ketua Pemuda bahagian Kuala Terengganu, Badrul Hisham Zaki.

Pilihan raya kecil P36 Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian penyandang Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran pada 28 November. Penamaan calon akan diadakan pada 6 Januari. Dijangkakan lima calon bertanding yang mana tiga adalah Bebas dan masing-masing satu daripada BN dan Pas.

Ditanya kemungkinan bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim bertanding atas tiket Bebas, Ahmad berkata, sesiapa saja bebas menjadi calon dalam pilihan raya kerana Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

Sementara itu, Wan Ahmad Farid berkata, kehadiran lebih 3,000 hadirin di kawasan Pas itu, memberi isyarat bahawa pengundi di DUN Batu Buruk mahu calon BN memperoleh kemenangan dengan majoriti lebih besar.

Memberi contoh kesetiaan pengundi terhadap BN, beliau berkata, seorang warga emas di Kampung Chendering yang menghidap penyakit jantung dan perlu mendapat rawatan di Pusat Penyakit Jantung (IJM) di Kuala Lumpur, sanggup untuk menangguhkan tarikh rawatan kerana mahu mengundi calon BN.

Wan Ahmad Farid berkata, dia terkejut mendapat tahu bahawa warga emas itu sanggup menukarkan tarikh rawatan daripada 14 Januari kepada 20 Januari kerana mahu menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi.

"Saya sudah menasihatkan warga emas itu segera mendapatkan rawatan kerana soal nyawa tetapi dia menolak kerana mahu membalas jasa kerajaan BN yang membantu rakyat," katanya.