12 Mac 2013

Gugurkan 8 Pemimpin Rasuah Ini - PKR Cabar Najib

PKR hari ini mencabar Barisan Nasional (BN) supaya menggugurkan beberapa calon mereka yang terlibat dengan gejala rasuah daripada bertanding pilihan raya umum ke-13 (PRU13) demi menjaga air muka mereka, kata Rafizi Ramli.

Pengarah Strategi PKR itu menegaskan, walaupun beberapa pemimpin BN itu tidak didakwa di mahkamah atas kesalahan tersebut, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seharusnya mengambil inisiatif tidak meletakkan mereka sebagai calon bagi membuktikan keikhlasan beliau melaksanakan slogan politik bebas rasuah.

“Jika Najib benar-benar jujur untuk meletakkan calon yang bersih dan boleh diterima rakyat, maka beliau harus memberi komitmen untuk ‘menggugurkan’ pemimpin Umno ini dari menjadi calon dalam pilihan raya akan datang .... bukan sekadar menghantar nama untuk disemak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” kata Rafizi ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Antara nama yang dikemukan Rafizi sebagai calon yang terpalit dengan tuduhan dan siasatan SPRM bersabit rasuah adalah Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz; dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan.

Antara nama lain adalah Ketua Menteri Sarawak Tan Seri Abdul Taib Mahmud; Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said; Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussin; dan juga Menteri Luar Bandar Datuk Seri Shafie Apdal.

“Jika Umno tidak bersedia untuk menggugurkan pimpinan ini terbukti bahawa Umno tidak serius meletakkan calon bersih dan boleh menang seperti disebut-sebut Najib sendiri,” kata Rafizi kepada pemberita.

Rafizi juga menegaskan, gejala rasuah sememangnya wujud dalam pengurusan balak di Terengganu apabila SPRM mengarahkan siasatan dijalankan, dan badan penguatkuasa anti rasuah itu mengarahkan fail dibuka bagi menyiasat dakwaan tersebut.

Beliau turut mengemukakan dokumen rasmi yang mengesahkan kes itu telah disiasat SPRM serta salinan resit cek yang berupa bayaran yang “terpaksa dibuat syarikat menjadi mangsa membayar deposit bernilai RM1 juta kepada penama yang dipercayai mewakili kepentingan politik Umno di Terengganu.

” “Sehingga sekarang tidak ada sebarang maklumat atau pendakwaan walaupun bukti pembayaran adalah jelas dan perjanjian-perjanjian yabg ditandangani secara jelas mengaitkan pembelian syarikat RM2 dengan tender mengeluarkan balak di Terengganu,” dakwa Rafizi.

Rafizi pada 26 Februari lalu mendesak Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, menjawab berhubung isu skandal penyelewengan dan rasuah dalam pengurusan balak di negeri itu.

Beliau mendedahkan modus operandi wang rasuah bersabit balak di Terengganu, yang melibatkan 12 syarikat pembalakan yang dipaksa memeterai satu perjanjian pembelian saham dengan proksi untuk membeli sebuah syarikat bernilai RM2.

Menurut Rafizi, syarikat itu dijual dengan harga yang cukup tinggi dan tidak berpadanan dengan aset dan kedudukan syarikat yang tidak mempunyai sebarang aktiviti perniagaan.

Menurut Rafizi, pada 17 Julai tahun lalu, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu mengeluarkan surat kelulusan membalak kepada sebuah syarikat bagi kawasan seluas 1,000 ekar di Hutan Simpan Hulu Setiu.

Pihaknya juga jelas Rafizi berjaya menjejaki penama dan syarikat yang terbabit dengan urusniaga pembelian saham, dimana satu perjanjian dikeluarkan kerajaan Terengganu agar syarikat terbabit membayar RM2.5 juta untuk membeli Berkat Seribumi. -TMI

Dr Manuty Dedahkan KPN Akui Pakatan Rakyat Mungkin Tawan Putrajaya

Ketua Polis Negara sendiri akui Pakatan Rakyat ada kemungkinan besar tawan Putrajaya, dedah Pengerusi Biro Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty.

Manuty mendedahkan maklumat tersebut dalam ceramahnya ketika sesi Jelajah Merdeka Rakyat di Lumut, Perak kelmarin.

Katanya, Tan Sri Ismail Omar yang memegang jawatan Ketua Polis Negara sejak 2010, secara terbuka mengakui keupayaan Pakatan Rakyat menawan putrajaya.

Kenyataan Ismail itu dipetik dari ucapannya dalam Kursus Tarbiah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di hadapan 200 orang profesor senior kira-kira tiga minggu lalu.

“Kursus Tarbiah itu turut dihadiri Tun Mahathir, dia (Ismail) beritahu, Pakatan Rakyat ada potensi besar ke Putrajaya dan keadaan akan jadi huru hara.

“Beliau terlupa, bila kita (PR) kata kita nak tawan putrajaya, kita dah sediakan persediaan rapi, kita ada empat orang general terlatih sebagai penasihat keselamatan kita

“Isu huru-hara hanya dicipta untuk takutkan rakyat, tapi tak apalah, yang penting ketua polis sendiri akui kita mampu tawan putrajaya,” Katanya.

Kenyataan beliau dikuatkan lagi dengan kenyataan Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid yang turut mendedahkan persiapan rapi telah di lakukan oleh tentera untuk menghadapi perubahan kerajaan.

“Pelan perancangan strategik telah dirancang oleh pihak polis.

Kalau Anwar jadi Perdana Menteri, macam mana polis nak bawa dia (Anwar) ke Istana Negara untuk angkat sumpah, itu pun sudah ditunjukkan pada saya,” katanya.

Ceramah yang turut dihadiri Ketua Umum KEADILAN, Datuk Sri Anwar Ibrahim turut menyaksikan pemimpin rakyat itu berjalan di bawah sinaran cahaya lampu suluh untuk naik ke pentas.

Walaupun terpaksa bergelap, semua penyokong tetap bersama kontinjen Jelajah Merdeka Rakyat di Perak sehingga berakhir jam 2 pagi.

UMNO Ganas, Pakatan Rakyat Bakal Menang Lebih Besar


Keganasan Umno akan memberi kemenangan lebih besar kepada Pakatan Rakyat, jadi tidak timbul soal bertindak balas, kata Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas keganasan yang mengancam nyawa apabila kayu dan telur dibaling ke arah bangunan ibu pejabat PKR di Damansara, semalam.

Minggu lalu, keganasan juga telah berlaku dalam satu majlis ceramah di Bukit Katil, Melaka yang menyebabkan dua orang hadirin cedera berdarah di kepala.

Katanya, semua keganasan itu berlaku dengan jumlah yang kerap semenjak Umno dan Barisan Nasional dilihat tidak mampu bangkit dari kekalahan PRU tahun 2008.

Menurutnya, keyakinan terhadap mereka untuk terus memerintah terus merundum.

Maka, ujarnya di atas kedudukan getir itu, penyokong Umno tertekan dan mula membuat kacau menyedari mereka masih dipelihara oleh undang-undang.

“SAMM tidak terkejut dengan apa yang berlaku kerana ia telah banyak kali berlaku dan ia juga sebahagian dari proses perubahan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

SAMM juga, kata beliau tidak terkejut mengetahui sebuah balai polis terletak selang dua pintu dari lokasi serangan berlaku dari Ibu Pejabat PKR.

“Bagi SAMM, jika kekacauan seperti ini tidak dibendung, ia akan berlarutan hingga ke musim pilihanraya. Dijangka semakin dekat tarikh PRU pasti lebih banyak lagi keganasan dicetuskan,” ujarnya.

Justeru, katanya tangkapan harus dilakukan ke atas penganjur perhimpunan untuk kekang keganasan seterusnya.

“Juga telah terbukti ia bukan perhimpunan yang aman apabila objek kayu dan telur dilontar membahayakan keselamatan awam. Terdapat beberapa video yang boleh dijadikan bahan bukti,” katanya lagi. -HD


"Kalau Saya Takut, Saya Tak Buat Apa-apa" - Bapa Saiful


Bapa kepada Saiful Bukhari mengulangi kenyataannya sebelum ini mengenai penglibatan Pegawai Khas kepada Datuk Seri Najib Razak sebagai antara dalang konspirasi kes Fitnah II.

“Kenyataan saya jelas. Dalang di belakang kes liwat II ialah Khairil Anas Jusoh,” kata Azlan Md Lazim ketika menjawab soalan wartawan pada sidang media semalam.

Menyifatkan tiada keperluan untuk bersumpah bagi membuktikan kebenaran, Azlan juga sedia mengulangi pendedahannya berkaitan konspirasi berkenaan.

“Dalam Malaysia ini, kita sudah tengok banyak orang bersumpah. Saya tegaskan dalam kenyataan, saya tidak takut. Kalau takut, saya tidak akan buat apa-apa,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, tindakannya mendedahkan hal sebenar berkaitan konspirasi itu bukan bertujuan menganiayai anaknya, Saiful Bukhari.

“Kasih sayang saya tidak berbelah bagi. Sebagai bapa, saya tahu dengan lebih jelas apa yang berlaku di sebalik tabir, apa yang orang tak tahu.

“Terpulang pada masyarakat untuk percaya,” katanya yang menolak tanggapan kononnya pendedahan dan penyertaannya dalam KEADILAN, mengkhianati Saiful Bukhari.

“Bukan bermakna saya menyertai KEADILAN, saya akan sisihkan Saiful dan anak-anak yang lain,” katanya yang turut menyebut nama timbangan anaknya yang lain, ‘Tati’ dan ‘Su’.


Azlan sertai PKR selamatkan Saiful

Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul berkata, penyertaan Azlan Mohd Lazim ke dalam PKR bertujuan membebaskan anaknya, Saiful Bukhari daripada cengkaman Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, Pakatan Rakyat dan PKR telah memberi sokongan kepada Azlan untuk "melawan" fitnah Umno-BN dengan mempergunakan anaknya terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga individu bertanggungjawab memperkenalkan Azlan kepada PKR berkata, penyertaan Azlan juga akan membantu dalam memberi keyakinan kepada rakyat bahawa wujudnya konspirasi politik jahat terhadap Anwar.

"Saya diberitahu oleh Azlan, dia terpanggil untuk sertai PKR adalah kerelaan hati dan untuk membebaskan anaknya daripada BN.

"Azlan juga memberitahu saya, PR dan PKR telah memberi sokongan kepadanya untuk melawan fitnah yang dibuat oleh Saiful.

"Penyertaan Azlan juga membantu kita bagi keyakinan kepada rakyat tentang wujudnya konspirasi jahat terhadap Anwar," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Jumaat lalu, Azlan telah mengejutkan semua pihak dengan kenyataannya kepada media mengenai adanya konspirasi politik jahat terhadap Anwar yang dikaitkan dengan kes liwat kali kedua.

Mengulas lanjut, Johari juga berkata, penyertaan Azlan adalah tepat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

"Ini masa yang tepat, dekat juga dengan PRU13," katanya.

Dalam pada itu, Johari memberitahu, Azlan masih belum membuat sebarang keterangan kepada pihak polis walaupun Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan bahawa pihaknya akan memanggil beliau dalam masa terdekat.

"Belum, belum, belum, belum ada sebarang maklumat dan tindakan," katanya.
-SH

VIDEO-VIDEO Rakaman Macai Pro-UMNO Serang Pejabat PKR


Telor, kayu, batu dan kon plastik berterbangan ke arah bangunan ibu pejabat PKR petang ini, dipercayai dibuat oleh macai pro-Umno.

Ekoran itu, beberapa bahagian bangunan itu pecah dan telor bertaburan di depan pintu masuk pejabat PKR itu.

Serangan ini dipercayai untuk mengukuhkan dakwaan kononnya Tian Chua menghina pasukan keselamatan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pembelot negara ekoran tragedi Lahad Datu.

Setiausaha Kerja Wanita PKR Pusat, Maisuri Zainal, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu sekumpulan 40 orang berbaju merah berhimpun di hadapan pejabat parti itu, di Tropicana.

Difahamkan, kumpulan tersebut diketuai Pengerusi Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwandin Hamzah.

"Kumpulan itu mula berhimpun dengan beberapa sepanduk yang dibawa oleh sekumpulan mat motor yang mengatakan 'Anwar pengkhianat' dan mengecam Tian Chua.

"Ia berkaitan krisis Lahad Datu, kononnya.

Selepas itu, mereka mula membaling telur dan memecahkan papan tanda pejabat kami," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kekesalan kerana tiada sebarang tindakan dilakukan pihak polis yang turut berada di situ, biarpun sedar insiden tersebut.

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat di balai polis berhampiran.

JMM, sebuah NGO yang menyokong Umno sebelum ini juga yang bertindak menghantar kek najis kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.-HD







Laporan sebelum ini
klik untuk baca


Hentikan Segera Bayaran Ufti Kepada Kesultanan Sulu - Karpal Singh


Peguam Karpal Singh berkata kerajaan harus segera menghentikan bayaran penyerahan wilayah tahunan sebanyak RM5,300 kepada individu yang mendakwa diri keturunan Kesultanan Sulu.

Karpal berpendapat bayaran itu adalah suatu kesilapan terutama selepas Sabah mencapai kemerdekaan dan berkata keturunan Kesultanan itu tidak mempunyai locus standi bagi menerima bayaran berkenaan.

"Hanya kerajaan Filipina mengambil beberapa langkah dalam membuat tuntutan ke atas hak wilayah Sabah kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), namun selepas lawatan rasmi bekas Presiden Ferdinand Marcos pada lewat 1960-an dan perlakuan pentadbiran selepas beliau, mereka sudah mengetepikan tuntutan itu.

"Ini boleh dilihat dengan jelas daripada tindakan kedua-dua kerajaan yang bersetuju mempertingkat hubungan diplomatik daripada status konsulat kepada duta, (yang membuktikan bahawa) kemerdekaan Sabah diiktiraf kerajaan Filipina," katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah di sini hari ini.

Karpal juga berkata beliau bersetuju dengan pendirian tegas kerajaan yang tidak mahu berunding dengan penceroboh dan penggunaan kekerasan bagi mengusir mereka dari Sabah.

"Pasukan keselamatan tidak seharusnya membenarkan sebarang kesilapan keselamatan selanjutnya dengan bertindak segera menghapus segala unsur ekstremis yang mungkin masih wujud di Sabah," katanya. - Bernama