14 Jun 2015

Apabila PAS Mencaci-Maki, Penubuhan Parti Islam Alternatif Satu Kewajipan..


PasMa gerak inisiatif tubuh parti baharu ganti Pakatan

Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) berpandangan, satu parti baharu perlu ditubuhkan menggantikan Pakatan Rakyat (PR) selepas gabungan itu dilihat tidak bersedia untuk berdepan pilihan raya umum (PRU) akan datang. Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, dengan hasrat PAS yang tidak mahu menjalinkan hubungan dengan DAP dan kenyataan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang yang mendakwa PR bersedia untuk dikebumikan, maka pakatan itu dilihat sudah terbubar.

"Kita mengambil pendirian yang sebuah pakatan baharu perlu ditubuhkan dengan suatu persetujuan yang lebih mantap membaiki lagi pakatan yang lepas yang tidak mempunyai struktur, tetapi sekadar satu persefahaman.

"Kita mencadangkan PR baru yang akan diketuai DAP, PKR dan parti baharu yang akan ditubuhkan ini hendaklah mempunyai struktur dan ditubuhkan dan mempunyai struktur kepimpinan yang tetap," katanya pada satu sidang media di Shah Alam hari ini.

Phahrolrazi berkata usaha berkenaan digerakkan kerana PasMa mahu memastikan PR terus kukuh selepas majoriti pengundi menolak Barisan Nasional (BN).

Katanya, PR sudah tidak boleh diselamatkan selepas Lim melontarkan pandangan tersebut dan PAS dipimpin mereka yang lantang mengkritik PR.

“Pasma belum setahun ditubuhkan, tetapi begitu mendapat perhatian sekali kerana menjadi satu NGO yang secara tegas dan jelas menyokong PR.

“Selepas semua negeri dan pimpinan diberi peluang untuk berbahas, maka PasMa hari ini mengambil keputusan sebuah parti politik baharu perlu ditubuhkan dan peranan PasMa dalam parti politik ini mengambil kesinambungan PAS dalam komponen PR, sebagaimana persetujuan sebelum krisis,” katanya.

Beliau berkata parti baharu itu kelak tetap akan menjunjung prinsip yang pernah dipersetujui PAS seperti memelihara hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan agama Islam, hak sama rata semua rakyat, hak memilih agama dan persetujuan yang dinyatakan dalam Buku Jingga.


Katanya, jawatankuasa penaja akan bermesyuarat selepas Aidilfitri ini bagi menentukan hala tuju parti baharu dan menetapkan pimpinan organisasi.

“Pasma akan terus kekal sebagai NGO dan tidak bertukar sebagai parti politik dengan peranan terdahulu.

“Tetapi kali ini menambah tugas bersedia dengan NGO lain yang pro PR dan pimpinan kumpulan progresif yang pemilihan lepas tidak berada dalam pimpinan menaja penubuhan parti baharu yang akan mengambil tempat PAS dalam PR baru,” katanya. -TMI

ULASAN GB

Apabila PAS telah tergelincir dari landasan perjuangan dengan bertukar menjadi sebuah parti yang tidak lagi berakhlak Islam, penuh dengan cacian, makian seperti BARUA, TOLOL, JEBON. ANWARINAS, MUNAFIK HARAKI serta menggunakan pelbagai kaedah yang tidak Islamik untuk menaikkan para ulama dan menyingkirkan golongan profesyenal, maka kewujudan parti Islam alternatif adalah SATU KEWAJIPAN.

Mereka menjustifikasikan caci-maki itu kerana kononnya golongan proofesynal bersekongkol dengan DAP menolak hukum hudud sedangkan apa yang sebenarnya tidak berlaku hal sedemikian.

Golongan pprofesyenal bertindak sama seperti yang disaran oleh ketua Ulama Sedunia, Syeikh Yusof Al-Qardhawi iaitu, [VIDEO] Al-Qardhawi: Tegakkan Kehidupan Islam Dahulu, Bukan Hudud.

Pelbagai pihak mencadangkan mereka yang ditewaskan secara kumpulan dalam pemilihan PAS itu mengambil jejak langkah Reccip Toyyeb Erdogan yang menubuhkan parti baharu iaitu AKP, dan berpisah daripada rakannya dalam parti Refah yang membentuk parti Saadet.

Kini AKP sudah 3 penggal memerintah Turki manakala Saadet hilang daripada Parlimen Turki selepas mendapat undi sekadar 5%.


Malah pemimpin PAS lebih mengutamakan perkara-perkara hukum dalam Islam, berbanding kepada perjuangan menegakkan sebuah negara yang disebut "baldatun tayyibatun warabuun ghaffur".

Ini mengingatkan kita kepada tempelakan Erdogan terhadap pimpinan parti Islam Refah atau parti asalnya.

"Bagaimana kalian mengejar akhirat sedangkan kalian meninggalkan dunia ini...? Kelak kalian akan ditanya di akhirat, mengapa kalian tinggalkan umat di dalam kemiskinan, kedhoifan serta kejahilan sehingga dengan mudah diratah oleh musuh-musuh Islam. Jangan mati sebelum kalian penuhi segala amanah di atas dunia ini untuk menuju akhirat."

Demikian "profesyenalnya" pemikiran Erdogan berbanding dengan jumudnya pemikiran para ulamak di dalam parti Refah yang pernah dianggotainya, malah sebagai ketua Pemudanya!

Justeru itu, apabila PAS bertindak dengan langkah sama seperti parti Refah di Turki dulu, maka sudah sewajarnya sebuah parti Islam lain ditubuhkan supaya perjuangan Islam sebenar itu dapat dimanifestasikan dalam bentuknya yang sebenar dan syumul.

GB tertarik dengan sebuah catatan di lama sosial menerangkan kemunafikan golongan dalam PAS:



Jadi sesuai dengan gelaran yang diberikan terhadap golongan profesyenal yang disingkirkan dari PAS dengan gelaran ERDOGAN, maka sewajarnyalah langkah Erdogan menubuhkan parti baru di Turki dituruti jejak langkahnya demi kesinambungan perjuangan Islam dan biarkan PAS menjadi REFAH yang semakin hilang di persada politik dan perjuangan Islam di Turki.

A Samad Said: "Kenapa Aku Pilih DAP.."


Dinobat ‘Perwira Ubah’, Pak Samad sah sertai DAP

Selepas sekian lama menyimpan hasrat, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said menyertai DAP hari ini bagi meneruskan usaha mendekati rakyat. Ahli DAP baharu yang mesra dengan panggilan Pak Samad itu turut diangkat sebagai “Perwira Ubah” oleh penasihat parti Lim Kit Siang.

"Mereka menganggap tindakan ini akan mencederakan imej sasterawan negara, tetapi bagi saya ia tidak menjadi masalah kerana setiap tindakan pasti ada pro dan kontranya," Samad dilaporkan sebagai berkata.

Pak Samad berkata sudah lama menyimpan hasrat untuk menyertai DAP namun tidak pernah dizahirkan walaupun ada golongan yang berasa kurang senang.

Ketika ditanya The Malaysian Insider mengapa menyertai DAP dan bukannya PKR atau pun PAS, Samad berkata salah satu sebabnya adalah parti sekular itu lebih mewakili rakyat Malaysia.

Katanya, DAP sudah mula menunjukkan kemesraan kepada orang Melayu namun gambaran media sering memberi gambaran sebaliknya.

“Saya fikir mula mesra tetapi biasanya gambaran media yang merosakkan. Kalau kita lihat interaksi pimpinannya, individu yang mewakilinya, ia sangat merangsang bagi saya.

“Saya mahu memberi sumbangan kepada kesejahteraan dan kebahagiaan yang sedapat boleh,”
katanya.

Samad berkata apa yang berlaku kepada Pakatan Rakyat (PR) kini membimbangkan namun beliau perlu meneliti keadaan semasa sebelum dapat memberikan pandangan lanjut.

Ditanya, adakah wujud kebimbangan statusnya sebagai sasterawan negara tetapi menyertai DAP, Samad berkata, “Langsung tak takut.”

Penyertaan tokoh sasterawan negara itu dilihat sebagai usaha membantu DAP menarik lebih ramai penyokong Melayu, memandangkan parti itu sebelum ini menjadi bahan belasahan PAS dan Umno apabila dilabelkan sebagai anti Islam dan Melayu.

Samad, 80, bekas pengarang akhbar Berita Harian dan The New Straits Times memulakan Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang menentang Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2009.

Beliau juga sering dilihat aktif menyertai himpunan dan demonstrasi anjuran PR dan badan bukan kerajaan, memimpin Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) bagi menuntut reformasi pilihan raya. – TMI

ULASAN GB

Berita Pak Samad menjadi ahli DAP ini berlaku disaat suasana hubungan DAP dan PAS begitu tegang.

Presiden PAS terang-terangan sebelum pemilihan di muktamar ke 61 memberi katadua kepada perwakilan, pilih beliau atau calon yang disukai DAP. sebagai pemimpin parti.

Di muktamar pula, Dewan Ulamak membuat usul memutuskan kerjasama dengan DAP dan ia telah diluluskan sebulat suara oleh perwakilan tanpa bahas.

Selepas dari itu berlaku rentetan berbalas-kecaman di antara kedua-dua parti.

Kesan daripada pemilihan juga, tidak sedikit dari ahli-ahli PAS yang bertindak terus mendiamkan (mengasingkan) diri dari menjadi peserta aktif parti malah ada yang lebih keras, bertindak meninggalkan parti sebagai tanda protes penyingkiran golongan progresif dari parti.

Sebagai sebuah negara demokrasi, adalah menjadi hak Pak Samad untuk emilih mana-mana parti yang beliau ingin sertai. Dan berdasarkan pengamatan tajamnya berliau memilih DAP.

Menurut Pak Samad DAP lebih mewakili rakyat Malaysia dan beliau mahu memberi sumbangan kepada kesejahteraan dan kebahagiaan yang sedapat boleh.

Langkah PAk Samad bakal diturut beberapa orang Melayu Islam yang lain dan senario terbaru ini nampaknya akan membantu mengukuhkan DAP sekaligus Pakatan Rakyat berbanding dengan apa yang berlaku kepada PAS.

Hukum kebenaran dan keadilan nampaknya berpihak kepada DAP dan bukan kepada PAS di sebalik krisis DAP-PAS.

Kita sama-sama tunggu dan lihat episod selanjutnya.