15 Apr 2010

Ramai Percaya Tan Wei Shu Dibeli

Tindakan bekas Exco Kedah dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bakar Arang yang mewakili KEADILAN, Tan Wei Shu yang mengumumkan keluar parti hari ini dan menjadi ADUN Bebas tidak akan menjejaskan kekuatan parti atau sokongan rakyat terhadap KEADILAN mahupun Pakatan Rakyat, Suara Keadilan dipetik.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika dihubungi Suara Keadilan berkata tindakan Tan itu telah dijangka kerana beliau tidak berpuas hati setelah parti membuat keputusan untuk mengugurkan beliau daripada jawatan Exco.

"Langkah beliau tidak ada kesan kepada parti kerana sudah kita jangkakan. Beliau banyak merungut setelah digugurkan itu kita tahu. Beliau digugurkan kerana masalah prestasi kerja dan kita mahukan seorang Exco yang mampu memperjuangkan kebajikan dan melakukan yang terbaik untuk rakyat.

"Kita telah melalui banyak proses ini (keluar parti) dan mereka yang berbuat demikian adalah individu yang mempunyai kepentingan peribadi dan komited kepada perjuangan parti. Saya yakin parti akan lebih mantap dan kukuh selepas mengharungi pengalaman pembersihan elemen yang tidak ikhlas dalam perjuangan parti," kata Dr Wan Azizah.

Ditanya sama ada tindakan Tan akan menjejaskan perjalanan kempen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, bekas Ketua Pembangakang wanita pertama negara itu berkata ia sedikit pun tidak mempunyai kesan kepada jentera parti atau sokongan rakyat kepada KEADILAN dan Pakatan Rakyat.

Tan, 54, digugurkan daripada jawatan Exco Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina,Sumber Tenaga Manusia, Pengangkutan 10 Mac lalu dan tempat beliau digantikan oleh ADUN Sidam, Tan Chow Kang.

Beliau merupakan wakil rakyat KEADILAN kedua yang mengisytiharkan keluar parti. Sebelum ini ADUN Lunas, Mohd Radzi Salleh berbuat demikian pada 23 Ogos 2009.

Tindakan mereka dibuat pada ketika Pakatan Rakyat berhadapan dengan pilihan raya kecil masing-masing di Permatang Pasir dan terkini di Hulu Selangor.

Ketua Pengarah Strategik Keadilan Tian Chua menyatakan tindakan Tan Wei Shu keluar dari Keadilan adalah disebabkan beliau kecewa kerana gagal memikul tanggungjawab yang diberikan sebagai exco negeri sehinggakan gagal untuk terus menjawat jawatan tersebut.

Menurutnya lagi, Tan Wei Shu juga tidak mampu menjadi seorang Adun kepada rakyat kerana beliau tidak mampu untuk bertutur fasih dalam bahasa Malaysia mahupun Bahasa Inggeris.

"saya sudah duga beliau akan keluar parti kerana sebelum ini PR telah pun membincangkan kelemahan Adun ini dimana tidak mampu menjalankan tanggungjawab sebagai exco negeri dan ada juga beberapa perkara yang menyebabkan beliau tidak diterima parti.

" Saya percaya bahawa beliau telah mengetahui mengapa beliau kecewa dengan pucuk pimpinan parti dan beliau perlu akur akan kelemahan diri beliau sendiri yang menyebabkan beliau disisihkan,"katanya.

Tian Chua berkata, PR tidak memerlukan pemimpin seperti Adun Bakar Arang yang akan memudaratkan parti berikutan beliau sendiri tidak mempunyai identiti terbaik untuk mewakili rakyat sebagai Adun.

"PR tidak inginkan wakil rakyat yang tidak beribawa dan mampu merosakkan parti.

"PR sentiasa beri laluan terbuka pada pemimpin yang tidak mampu melaksanakan tugas agar meninggalkan parti kerana kelemahan yang ada pada mereka akan membinasakan parti yang semakin kukuh,"katanya lagi.

Tian Chua menyifatkan bahawa Adun Bakar Arang mungkin telah dibeli oleh pimpinan parti Barisan Nasional yang menggunakan para pembelot parti Keadilan untuk bersama-sama bersetolongkol kearah kehancuran.

Ulasan GB

Kan lebih baik Tan Wei Shu berterus terang daripada terus menipu dan berbohong.

Dari pengamatan rakyat Malaysia, kesemua kaki lompat termasuk Tan "membaca teks yang telah disediakan" oleh pihak tertentu.

Kalau yang lepas-lepas isi kandungan teks nya hampir serupa dan berjaya dihidu oleh rakyat, kali ini diubahkan struktur ayat dan bahasa. tetapi menjurus kepada hujjah yang sama : tidak yakin dengan pucuk pimpinan parti.

Broker kali ini menyembunyikan diri setelah dibelasah hebat di dalam beberapa siri sidang media katak-katak yang lalu.

Muhyiddin Pembohong, Calon BN Bukan Anak Tempatan

MIC Hulu Selangor mempersoalkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Isnin lalu menjanjikan bahawa calon “anak tempatan” akan diturunkan bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Hulu Selangor.

“Hari itu (Isnin lalu) timbalan perdana menteri mengatakan anak tempatan... tapi hari ini orang luar dibawa masuk. Apakah ini bukan cakap bohong?

“Kalau mengatakan bahawa hendakkan anak tempatan, dan jika tidak mahu Datuk G. Palanivel juga, lebih baik pilih V. Mugilan atau Balasundram (naib ketua MIC Hulu Selangor,” kata Ketua Penerangan MIC Hulu Selangor Raily Muniandy ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Bahagian itu diketuai oleh Palanivel.

“Kami ada ramai calon anak tempatan, yang berpelajaran... mengapa hendak membawa calon luar, dari Bahagian Selayang... calon yang pernah kalah dalam saingan Ketua Pemuda MIC bahagian (di Selayang),” katanya lagi.

Semalam beliau mewakili MIC Hulu Selangor berkata pihaknya hanya mahukan Palanivel, Ahli Parlimen empat penggal tetapi tewas dua tahun lalu, dikembalikan sebagai calon.

Katanya, jika Palanivel yang disyorkan MIC tidak diterima ahli-ahlinya akan protes.

Semalam mereka menegaskan bahawa mereka tidak akan menerima calon lain yang tidak direstui parti, antaranya Mugilan yang merupakan Timbalan Ketua Pemuda MIC pusat.

Kira-kira 4.30 petang tadi, kemelut calon bakal mewakili MIC berakhir dengan pengumuman rasmi nama Ketua Penerangan pusat parti itu, P. Kamalanathan untuk bersaing di Hulu Selangor.

Dengan pengumuman itu Kamalanathan akan berhadapan dengan calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Pengumuman dibuat oleh Timblan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kita memilih beliau kerana pengundi mahukan orang baru sebagai wakil rakyat.

“Beliau seorang yang kuat bekerja, lurus dah seorang yang pegang janji,” kata Muhyiddin ketika mengumumkan Kamalanathan sebagai calon BN di Bilik Gerakan BN Bukit Sentosa, Bukit Beruntung.

Kamalanathan disahkan sebagai calon tengah hari tadi selepas siri perbincangan dan pertemuan dengan Muhyiddin dan kalangan pemimpin MIC hari ini.

Raily mengakui bahawa beliau secara peribadi kecewa dengan keputusan dibuat oleh MIC pusat dan BN hari ini.

“Bagaimana saya hendak keluar dan menjelaskan kepada mereka supaya mengundi. Kami akan pasang bendera seperti tetapi belum pasti sama ada akan keluar mengundi.

“Saya pun tidak boleh kawal ahli-ahli saya daripada keluar mengundi,” kata beliau beberapa cawangan sudah mula tutup bilik operasi mereka dan begitu bilik operasi utama MIC Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru.

“Pejabat Datuk Palani (ibu pejabat MIC Hulu Selangor) sudah ditutup sejak 12 tengah hari. Kalau pejabat utama sudah ditutup, bayangkan sendiri cawangan-cawangan lain,” katanya. -TMI


Anak tempatan calon BN di Hulu Selangor: Muhyiddin

RAWANG: Calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor adalah anak tempatan di kawasan itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada Majlis Penyerahan Geran Permulaan Prasekolah Swasta di Tadika Wawasan Gemilang, di Bandar Sungai Buaya, Rawang, sebentar tadi.

Minggu lalu, Perdana Menteri yang juga Presiden BN, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan calon BN bagi pilihan raya kecil itu akan diwakili MIC. -BH


Zaid Bertemu Kamalanathan , Bukan Palanivel Atau Mugilan, Jauh Sekali Muhammad Taib

Ketua Penerangan MIC, P Kamalanathan dipilih sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor, demikian diumumkan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin

Nama Kamalanathan memang telah disebut-sebut sebelum ini sebagai calon kompromi selepas pucuk pimpinan BN dikatakan menolak cadangan MIC untuk mencalonkan Datuk G Palanivel bertanding di situ.

Penyokong akar umbi, khususnya dari Umno sejak kematian ahli parlimen Hulu Selangor, Datuk Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu secara terang-terangan menolak Palanivel.
Mereka mendakwa beliau tidak cekap dan gagal membangunkan Hulu Selangor meskipun menjadi ahli parlimen selama empat penggal, malaysiakini dipetik.

Sebaliknya, mereka yang menentang Palanivel mencadangkan timbalan ketua pemuda MIC, V Mugilan sebagai gantinya.

Mugilan adalah anak tempatan di Hulu Selangor tetapi pemimpin atasan MIC tidak merestui cadangan itu.

Ini kerana tidak ramai pemimpin atasan MIC memegang jawatan ahli parlimen ataupun ahli dewan undangan negeri dan jika Mugilan menang dia akan mempunyai kelebihan.

Pada mesyuarat tergempar jawatankuasa pusat MIC yang diadakan malam tadi, MIC berkeras mahukan hanya Palanivel sebagai calon mereka.

Jawatan senator, timbalan menteri

Mesyuarat itu juga mengambil keputusan untuk memecat timbalan ketua Pemuda MIC, V Mugilan sekiranya dia dipilih sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Samy Vellu berjumpa dengan Muhyiddin awal pagi ini di pejabat timbalan perdana menteri di Putrajaya tetapi Muhyiddin dikatakan terus tidak berganjak dan menolak timbalan presiden MIC itu.

Sebagai kompromi, difahamkan Palanivel akan dilantik sebagai senator dan timbalan menteri kerana bersetuju memberi laluan kepada Kamalanathan.

Kamalanathan, adalah ketua perhubungan awam Beras Jati Sdn Bhd, sebuah syarikat peruncitan beras.

Beliau dipertanggungjawabkan oleh pemimpin MIC untuk menjenamakan semula parti itu selepas pilihan raya umum 2008 yang keputusannya memalukan mereka.

Kamalanathan juga adalah seorang blogger, yang seringkali dijemput menghadiri rancangan ehwal semasa dan juga pensyarah sambilan di sebuah kolej swasta.

Meskipun bukan anak tempatan Hulu Selangor, Kamalanathan menetap di Rawang, sebuah pekan yang tidak jauh dari kawasan pilihan raya itu.

Benarkah Tan Wei Shu, ADUN Kedah Yang Keluar PKR Hari Ini Tidak Pandai Berbohong?

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Arang, Tan Wei Shu meninggalkan PKR hari ini.

Beliau sebelum ini merupakan exco kerajaan Kedah sebelum digugurkan dalam rombakan exco pada 10 Mac lalu.

Tempatnya diambil alih oleh seorang lagi wakil PKR, ADUN Sidam, Tan Show Kang.

Pada sidang medianya di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada jam 3.30 petang ini, Wei Shu mendakwa tindakannya itu kerana dipermain-mainkan oleh pemimpin partinya.

"Cakap besar saya tak pandai, cakap bohong saya tak pandai, cakap mengampu saya tak pandai, cakap manis janji saya tak pandai, tapi yang saya pandai, boleh buat atau tak boleh buat dan mahu buat atau tak mahu buat...itu saja saya tahu.

"Saya cuma tahu bercakap benar, tak seperti orang lain bermuka dua dan lidah bercabang," katanya yang membacakan kenyataannya.

Wei Shu juga berkata dia akan menjadi Adun bebas dan berjanji akan terus berkhidmat seperti biasa dan berusaha memenuhi kehendak rakyat.

Pada akhir kenyataannya, Wei Shu berkata pengundurannya itu tidak ada kena mengena dengan perlucutan jawatannya sebagai exco kerajaan negeri Kedah. -mk

Ulasan GB

Anehnya Tan Wei Shu mengumumkan keluar PKR hanya sejam-dua sebelum pengumuman calon BN bagi PRK Hulu Selangor.

Dan Tan Wei Shu menyatakan perletakkan jawatannya tiada kaitan dengan perlucutannya sebagai Exco Kedah.

Beliau menambah .."Cakap besar saya tak pandai, cakap bohong saya tak pandai, cakap mengampu saya tak pandai, cakap manis janji saya tak pandai, tapi yang saya pandai..."

Betulkan kamu tidak pandai bercakap bohong?

Kalau begitu siapa yang berusaha dan mengaturkan perletakan jawatan kamu sehingga membuat pengumuman di saat seluruh negara sedang menyaksikan pertentangan PR dengan BN di Hulu Selangor?

Berapa banyak kamu telah dibayar?

Kamu tidak pandai berbohong bukan?



Palanivel & Mugilan Berputih Mata, MIC Pilih Kamalanathan Sebagai Calon Hulu Selangor

MIC akhirnya berkompromi untuk menerima calon gantian — Ketua Penerangan pusat P. Kamalanathan (gambar) untuk mewakili parti itu bertanding di Hulu Selangor.

Parti komponen ketiga terbesar itu menerima muka baru itu selepas siri mesyuarat membabitkan pemimpin-pemimpin kanan MIC di rumah Presiden Datuk Seri S. Samy Vellu di sini sejak 10 pagi tadi.

Menurut sumber, Samy Vellu kini dalam perjalanan untuk mengadakan pertemuan susulan dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malam tadi MIC membuat keputusan untuk tidak meletakkan calon jika pucuk kepimpinan BN menolak syor mereka iaitu meletakkan Palanivel dan menyerahkan kerusi itu kepada Umno untuk bertanding.

Dengan keputusan ini MIC berlembut dan mengubah pendiriannya.

The Malaysian Insider difahamkan keputusan untuk berkompromi minit-minit terakhir ini terpaksa dicapai sebagai jalan keluar dan bagi memastikan majlis pengumuman calon di Bukit Sentosa petang ini berjalan dengan lancar, sekali gus membawa kemenangan kepada BN.

Malah, difahamkan pada pertemuan pagi tadi, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN telah menegaskan kepada MIC bahawa pihaknya sanggup menukar Timbalan Ketua Pemuda MIC pusat V. Mugilan dengan calon lain, tetapi bukannya Datuk G. Palanivel yang disyorkan oleh parti itu dua minggu lalu,

Palanivel yang gagal mempertahankan kerusi itu dua tahun lalu dilantik sebagai penyelaras parlimen bagi Hulu Selangor.

Kamalanathan, kelahiran Rawang bandar yang terletak di Bahagian Parlimen Selayang — bahagian jiran dengan Hulu Selangor, merupakan pengarah perhubungan awam syarikat pengedar Beras Jati.

Beliau juga merupakan ahli MIC bahagian Selayang dan penyelaras Pergerakan Putera MIC.

Kamalathan, 44, dilantik sebagai Ketua Penerangan MIC September lalu.

Beliau dan Mugilan telah diteliti oleh pucuk kepimpinan sejak dua minggu lalu walaupun MIC hanya mengemukakan satu nama iaitu Palanivel.

Pengumuman calon BN akan dibuat pukul 4 petang ini oleh Muhyiddin.

Pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor akan diadakan pada 25 April manakala penamaan calon pada 17 April.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lalu.

Daripada 64,500 pengundi, kaum Melayu merupakan pengundi majoriti dengan 34,020 pengundi atau 52.7 peratus manakala kaum Cina dan India masing-masing mencatatkan bilangan 16.964 atau 26.3 peratus dan 12,453 atau 19.3 peratus. -MI

Hulu Selangor tetap milik PR

Pakatan Rakyat (PR) mampu mengekalkan kedudukan di Hulu Selangor dalam pilihan raya kecil itu memandangkan mempunyai kelebihan tersendiri berbanding Barisan Nasional (BN).

Exco Kesihatan, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Insan, Sains & Inovasi, Teknologi Maklumat & Komunikasi, Dr Ismail Salleh berkata, suasana politik masa kini berbeza dengan Pilihan Raya Umum ke-12, dan rakyat sudah sedar akan kelebihan PR berbanding BN.

“Ketika itu terdapat satu gelombang perubahan dalam kalangan orang Cina dan India untuk tidak lagi memberi undi kepada BN. Tetapi mereka masih tidak pasti dengan keupayaan PR, mereka sekadar mencuba mengundi PR,” katanya.

Menurutnya, kepercayaan yang diberikan kepada PR ternyata tidak mengecewakan apabila prestasi dua tahun pemerintahan dikatakan memuaskan walaupun berdepan dengan tekanan dan layanan tidak adil daripada Kerajaan Pusat.

“Saya yakin pada PRU 12 mereka hanya mencuba, tetapi kali ini mereka sudah yakin dengan PR. Begitu juga dengan golongan atas pagar yang kali ini akan memilih PR di atas alasan yang sama,” katanya.

Dr Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu berkata, faktor calon daripada MIC yang diletakkan oleh BN juga dipercayai akan ditolak penduduk Hulu Selangor.

“Sebelum PRU 12 orang Melayu yang mewakili 53.9 peratus pengundi Hulu Selangor memilih BN walaupun mereka mewakili MIC atau MCA. Tetapi selepas PRU 12 orang Melayu menolak calon MIC dan MCA setelah orang India dan Cina sendiri menolak MIC dan MCA,” katanya.

Menurutnya, majoriti 26.7 peratus pengundi Cina Hulu Selangor akan menolak calon MIC dan hanya 50 peratus dari pengundi India yang berjumlah 19 peratus akan memilih calon MIC.

Dr Ismail berkata, kelebihan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon PR juga diyakini mampu menyatukan semua kaum di situ, kerana beliau dilihat bukan sahaja boleh mewakili orang Melayu tetapi juga disukai orang Cina dan India.

“Fitnah BN juga tidak mengena sasaran malah dapat dijawab dan dibuktikan dengan baik. Isu rasuah lembu korban tidak menjadi, isu rasuah beberapa ahli Exco dan wakil rakyat tersasar malah isu-isu dalaman PR sendiri pun tidak membawa kesan,” katanya.

Menurutnya, rakyat Hulu Selangor juga telah muak dan segala janji yang ditaburkan termasuk projek pembangunan yang diumumkan oleh pemimpin BN dianggap sebagai retorik semata-mata.

“Apa yang mereka buat selama memerintah lebih 50 tahun, malah saya percaya rakyat Hulu Selangor pun sudah terbuka minda dan mata untuk menilai pembangunan yang ada sepanjang tempoh itu,” katanya. -SH

Muhyiddin Bakal "Ditelanjangkan" Di Hulu Selangor, Zaid Cabar Muhyiddin Isytihar Aset

Dalam kempen tidak rasmi hari pertamanya, calon Pakatan Rakyat (PR) Datuk Zaid Ibrahim berkata beliau bersedia untuk mendedahkan kekayaannya tetapi mencabar Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anggota pentadbiran Datuk Seri Najib Razak agar turut berbuat demikian.

Cabaran itu dibuat beberapa jam selepas Muhyiddin mengatakan bahawa Zaid dipilih sebagai calon PR kerana kekayaan beliau, bukannya kerana kemampuan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata sebahagian anggota Kabinet menentang idea mengisytiharkan harta ketika berkhidmat di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Zaid merupakan bekas menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal perundangan dan kehakiman.

Zaid yang malam kelmarin diumumkan sebagai calon PR mengatakan demikian ketika berceramah di sini malam tadi.

Pendirian Zaid itu turut dimuatkan dalam blognya semalam.

Ketika bercakap di hadapan kira-kira 300 orang di dewan serba guna Kampung Sungai Buaya, bekas Ketua Umno Kota Baru dan Ahli Parlimen Kota Baru ini menyangkal dakwaan bekas rakan-rakannya dalam Kabinet bahawa beliau seorang yang mengamalkan rasuah.

“Isunya bukan sama ada kaya atau miskin tetapi sama ada wujud penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Zaid berkata beliau hanya merupakan menteri undang-undang dan kehakiman selama enam bulan.

Ketika itu katanya, beliau tidak pernah menyelia Petronas, tanah, air atau mana-mana sumber lain.

“Saya diberi tanggungjawab terhadap aspek undang-undang dan kehakiman. Jadi di mana ada duitnya,” soal Zaid sambi berseloroh bahawa beliau hanya ada seorang isteri, tiga anak dan hidup sederhana.

Tambah Zaid, banyak dakwaan dibuat berkaitan dengan tahap kekayaan dengana ada yang membuat cerita kononnya memiliki rumh di Dubai, London dan Australia.

“Saya berharap ia betul tetapi saya hanya ada rumah di Kota Baru, yang mana saya beli 15 tahun lalu dan sebuah rumah di Petaling Jaya,” katanya.

Sehubungan itu beliau merayu kepada hadirin, kebanyakannya peneroka Felda supaya memberikan beliau peluang untuk berkhidmat kepada mereka.

“Saya ahli politik sepenuh masa. Saya tiada kerja lain,” katanya dengan merujuk bahawa akan mampu perkhidmatan sepanjang masa jika dipilih.

Semalam Muhyiddin berkata beliau percaya Parti Keadilan Rakyat (PKR) memilih Zaid sebagai calon PR bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor disebabkan kedudukan kewangannya, bukan semata-mata kerana keupayaan boleh berkhidmat.

“Saya diberitahu bahawa beliau dipilih kerana mempunyai banyak duit, bukan kerana beliau boleh berkhidmat,” kata beliau ketika ditanya sama ada Zaid menjadi pilihan PKR kerana ketiadaan calon lain.

“Namun, keputusan itu milik mereka. Saya yakin kepada para pengundi, mereka mahukan pembangunan,” tambah Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Zaid anak kelahiran Kelantan telah dipilih secara rasmi sebagai calon PR malam kelmarin.

Ulasan GB

Muhyiddin ni lansung jadi TPM lansung tak layak, tapi nak berlagak.

Beliau hanya layak jadi Gurubesar sekolah , sekolah menengah pun tak layak, hanya sekadar sekolah rendah.

Itu sebab Muhyiddin minta Najib jadi menteri Pelajaran. Tak mahu pegang kementerian lain. Sebab tahap mentalitinya hanya di situ, tahap guru sekolah.

Maaflah kritikan GB di atas melampau agaknya. Tapi itulah hakikatnya.

Perang Siber UMNO Ke Atas PR Kerana Nasihat APCO?

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mempersoalkan jumlah bayaran RM77 juta yang dibayar kepada syarikat perunding antarabangsa Apco Worldwide sambil menyifatkan langkah tersebut mendedahkan kerajaan Malaysia, rakyat dan negara kepada penyusupan anasir Zionis Israel.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mempersoalkan asas yang digunapakai kerajaan untuk membuat jumlah bayaran yang sebegitu besar kepada syarikat yang dikatakan menyediakan dua jenis perkhidmatan kepada kerajaan.

"Saya dapat penjelasan dari menteri bahawa Apco telah dibayar dalam dua jenis perkhidmatan, satu 'public affairs and government services' dan kedua perkhidmatan komunikasi strategik dan 'public relations and press outreach'. Kedua-dua perkhidmatan ini kalau campur berjumlah RM77 juta," kata beliau pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010.

Menurut Tian, menteri berkaitan juga sebelum ini menafikan bahawa Apco bukan dibayar untuk membentuk imej 1Malaysia tetapi menyatakan kepakaran syarikat itu digunakan untuk memperbaiki hubungan Amerika Syarikat dan Malaysia.

"Saya tidak faham apa yang telah rosak sehingga kita kita perlu belanja sampai RM77 juta untuk perbaiki hubungan kita dengan Amerika," soalnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang menyatakan butiran perbelanjaan mengenai perkhidmatan Apco begitu istimewa dan mempersoal perkhidmatan firma tersebut yang turut menyediakan khidmat perundingan media.

"Adalah sesuatu yang bukan rahsia 'cyber trooper' dikhaskan pihak kerajaan bagi perang siber samada dari facebook, blog, twitter dan platform lain di internet. Kita dapat tahu ada orang yang diberi beberapa ribu ringgit sebulan, untuk menjadi cyber trooper sahaja.

"Ini bukan perkara yang strategik melibatkan sekuriti negara, tetapi sekuriti Barisan Nasional. Kita mahu penjelasan memuaskan apa kedudukan ini, mengenai perang siber yang diwujudkan kerajaan BN.

"Ini bukan musuh, kalau kita mahu mereka yang mengancam sistem risikan kita, atau jaringan keselamatan dengan tujuan mensabotaj negara. Ini tidak patut jadi agenda kerajaan BN. Kita tak mahu perkara ini disembunyikan. Kami mahukan harap butiran berapakah jumlah yang, dibelanja setiap tahun, dibawah JPM," tegas Kit Siang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz ketika menjawab soalan itu mengakui perkhidmatan Apco di Malaysia bertujuan untuk memperbaiki hubungan dengan Amerika Syarikat.

"Kita tahu di Amerika ini ada budaya lobi. Sudah tentulah bila kita nak lobi, kalau kita nak jadi kerajaan yang 'nationalistic' jadi kita kena ambil firma tempatan di sana yang juga banyak menjalankan kerja di negara lain," Nazri memberi alasan.

Sementara itu menjawab soalan dari Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar samada hubungan dengan Amerika perlu diperbaiki kerana kegagalan Perdana Menteri sebelum ini yang tidak menjaga hubungan baik itu, Nazri menjawab, setiap Perdana Menteri mempunyai keutamaanya sendiri.

Beliau berkata, semasa era Tun Mahathir keutamaan diberikan untuk menaikkan imej Malaysia di kalangan dunia ketiga dalam NAM dan OIC.

Nazri juga mengakui hubungan Malaysia selama lebih 25 tahun dengan Amerika Syarikat 'tidak begitu selesa' dengan memberikan alasan setiap perdana menteri mempunyai prioritinya sendiri terhadap hubungan dengan negara-negara luar, termasuk Amerika.

"Sebagai syarikat yang besar dan sudah tentu ahli lembaganya terdiri daripada orang yang mungkin mempunyai kepakaran itu dan dia menjadi 'board of director'. Kepada kita itu tak menjadi perkara yang mencerobohkan rahsia negara kita.

"Sudah tentu perkara yang dibenarkan untuk mereka lakukan ialah perkara umum. Itu cuma spekulasi dan perkara yang dibangkitkan pihak yang berhormat," katanya.

Perbahasan yang berlarutan hingga ke petang itu menyaksikan Nazri secara angkuh menafikan kepakaran syarikat Malaysia bagi mengambil alih peranan dan perkhidmatan yang dijalankan Apco Worldwide.

Mahfuz bingkas bangun dan bertanya apa perlu mengambil perkhidmatan Apco untuk urusan dalam negara sedangkan ia boleh ditawarkan kepada syarikat tempatan yang ada kepakaran.

"Kita nak satu syarikat yang punyai kepakaran dan pengalaman dan ia diterima Asean. Kalau buat kerja bagus, kalau syarikat di Malaysia bagus, Asean dah ambil dah," jawab Nazri seperti mencemuh syarikat tempatan.

Mahfuz bagaimanapun tidak berpuashati terhadap penjelasan Nazri yang dianggap tidak menghormati dan mengiktiraf keupayaan syarikat-syarikat tempatan.

"Betul, tak ada masalah. Serupa juga saya nak kata pasukan bola sepak Malaysia teruk. Apa masalahnya, memang teruk. Apakah saya berani cakap, ada di Malaysia ni dia punya standard tak sama macam dunia. Bola sepaknya, perangai ahli yang berhormat pun, ada banyak," cemuh Nazri lagi. -SK

Integriti Mahkamah Syariah Hancur Lebur

Banyak pihak melahirkan rasa kesal dan kecewa apabila Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan hari ini menolak permohonan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dijatuhi hukuman qazaf (tuduhan palsu).

Ini bermakna Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak boleh meneruskan permohonannya untuk mengarahkan Ketua Pendakwa Raya Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain mendakwa Mohd Saiful dengan tuduhan qazaf.

"Integriti hakim Mahkamah Tinggi Syariah dipersoalkan apabila menolak permohonan DSAI untuk menghadapkan Saiful yang menuduhnya melakukan liwat supaya dijatuhkan hukuman qazaf. Nampaknya hakim-hakim Mahkamah Syariah juga tunduk kepada kuasa eksekutif dan membelakangkan kebenaran dan keadilan," jelas seorang pensyarah Undang-undang Syariah sebuah universiti tempatan.

"Tercemar keagungan sistem perundangan Islam dengan wujudnya hakim-hakim dunia, hakim-hakim yang tidak takut Tuhan tapi takut kepada kuasa pemerintah," tambahnya lagi.

Dalam penghakimannya semalam, Hakim Muhamad Shukor Sabudin berkata, pihak pendakwa raya adalah sebuah badan bebas dan boleh mendakwa atau menarik balik tuduhan.

Katanya, permohonan Anwar itu dangkal, tidak serius dan boleh mengganggu sistem syariah serta percubaan untuk menjejaskan keadilan dalam Islam.

Seorang pemimpin Parti Islam SeMalaysia berkelulusan undang-undang menyifatkan jawapan hakim berkenaanlah yang dangkal dan tidak lansung mempunyai apa-apa asas dan merit di dalam penghakimannya.

"Bagaimana beliau boleh menyatakan permohonan Anwar itu dangkal, tidak serius dan boleh menganggu sistem syariah sedangkan permohonan Anwar itu lansung tidak dilayan dan dibenarkan untuk diadili?" bentaknya.

Bagaimanapun hakim bersetuju bahawa Mahkamah Syariah atas bidang kuasanya boleh mendengar permohonan itu walaupun perkara ini dibantah oleh menteri dan pihak berkuasa agama.

"Saya tidak menaruh harapan tinggi" – Anwar

Ketika ditemui di luar mahkamah, Anwar berkata beliau tidak terperanjat dengan keputusan itu memandangkan apa yang berlaku dalam sistem kehakiman termasuk Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil di negara ini.

"Apa yang menarik dalam penghakimannya yang panjang ialah hakim berkata ketua pendakwa raya mesti berlaku adil dalam Islam dan tidak tunduk kepada tekanan politik," kata Anwar dalam nada sinis.

Bagaimanpun dalam kes ini ketua pendakwa raya adalah seorang pegawai junior di bawah Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) dan juga menteri. Beliau tidak berani mendakwa.

"Bagi saya, ketua pendakwa raya, pengarah dan menteri lalai dan tidak bertanggungjawab dalam mengendalikan kes ini.

"Saya telah mengarahkan para peguam untuk memfailkan rayuan. Saya tidak menaruh harapan yang tinggi memandangkan sistem politik di negara ini yang bersifat diskriminasi terhadap saya dan malahan peranan Mahkamah Syariah semakin hilang," kata Anwar.

Menurut Anwar, mahkamah Umno hanya menghukum orang-orang miskin dan wanita-wanita yang minum minuman keras.

"Dalam kes yang jelas seperti ini, hak saya telah dinafikan di mana saya telah difitnah berikutan serangan jahat dan tidak bertanggungjawab," katanya.

Anwar berkata, kes ini akan dijadikan senjata dalam kempen PKR pada pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Mohd Saiful yang pernah bekerja di ibu pejabat PKR mendakwa beliau diliwat oleh Anwar pada September 2008 di sebuah kondominium di Jalan Setiabudi, Bukit Bandaraya, di sini.

Mengikut Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, qazaf ialah tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat orang saksi lelaki. Seksyen ini adalah bagi mengelak seseorang menuduh orang lain berzina.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom bersama dua yang lain telah memohon menolak rayuan Anwarsupaya Mohd Saiful didakwa mengikut qazaf.

Selain Jamil Khir dan Shamsuddin, Anwar turut menamakan Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali sebagai responden.

Anwar diwakili oleh Kamar Ainiah Kamaruddin, Mohamad Burok dan Dr Mohd Rafie Shafie, manakala Jamil dan Che Mat diwakili oleh Zainur Rijal Kamaruddin.

Kerajaan Tak Perlu Berdalih Jamin Keselamatan Pornthip

Kerajaan wajar memberi jaminan terhadap keselamatan pakar patalogi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasanand dan seterusnya menyiasat dakwaan bahawa beliau mendapat tekanan dari kerajaan Malaysia supaya tidak hadir inkues kematian Teoh Beng Hock pada 20 April depan.

Menurut Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail dakwaan dan pendedahan pakar berkenaan sebelum ini menunjukkan wujud tekanan ke atasnya sehingga menjejaskan tumpuan dan pergerakan beliau.

"Kenyataan Menteri Dalam Negeri memberikan jaminan terhadap keselamatan Dr Pornthip, tetapi diletakkan syarat supaya membuktikan dahulu tuduhan ke atas beliau. Perkara ini telah pun dinyatakan Dr Pornthip sebelum ini bagaimana beliau diganggu dan dihalang memasuki Malaysia," ujar Saifuddin.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini yang meminta Dr Pornthip mengemukakan apakah ancaman yang dihadapinya supaya kerajaan dapat mengambil tindakan untuk menjamin keselamatan pakar patologi itu.

"Kerajaan perlu beri jaminan yang jelas dan berterus terang, kalau menteri berkenaan mempunyai niat yang betul-betul ikhlas beliau perlu membantu untuk permudahkan peranan Dr Pornthip hadir dalam inkues berkenaan.

"Kita mengulangi gesaan supaya kerajaan beri jaminan keselamatan kepada pakar ini. Selepas beliau (Dr Pornthip) beri keterangan, beliau boleh balik semula ke Thailand," kata Setiausaha Agung KEADILAN itu.

Dr Pornthip sepatutnya memberi keterangan pada inkues kematian Beng Hock 20 April ini dan dijangka akan disoal siasat mengenai penilaiannya terhadap bedah siasat mayat mendiang.

Beliau sebelum ini mendedahkan terdapat kesan pembunuhan ke atas Beng Hock berdasarkan pemerhatiannya.

Kebimbangan mengenai keselamatannya bermula pada November tahun lalu apabila beliau mendakwa diekori sekumpulan lelaki tidak dikenali.

Pada 11 April lalu, Dr Pornthip mendedahkan beliau dihalang daripada masuk ke Kelantan sewaktu urusan rasmi melalui sempadan Thai-Malaysia bulan Januari tahun ini dan menyifatkannya sebagai salah satu "isyarat" tekanan yang dikenakan ke atasnya. -SK