11 Jun 2011

Tubuh Suruhanjaya Diraja Siasat IPP! - Ku Li

Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi mengkaji dan menyiasat syarikat pembekal kuasa tenaga kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang didakwa mengaut keuntungan berpuluh kali ganda.

Beliau berkata keadaan itu menyebabkan TNB menanggung kos perbelanjaan yang tinggi dan sekaligus membebankan kehidupan rakyat menerusi tarif baru elektrik yang berkuat kuasa 1 Jun lepas, selepas mendapat persetujuan kerajaan apabila membuat semakan semula harga gas.

"Suruhanjaya berkenaan penting bagi memberi keadilan kepada rakyat walaupun kenaikkan tarif eletrik itu hanya membabitkan 4.4 juta pengguna domestik di negara ini," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Limau Kasturi dekat sini, semalam .

Beliau mahu kerajaan memberi perhatian serius terhadap bebanan hidup rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah termasuk masyarakat kampung di seluruh negara kerana turut menanggung kos sara hidup yang semakin tinggi sejak kebelakangan ini.

“Suruhanjaya itu hendaklah menyiasat dan membuat kajian langkah yang perlu diambil kerajaan terhadap bebanan hidup rakyat hasil daripada kenaikan tarif elektrik ekoran syarikat pembekal kuasa elekrik menjual dengan harga terlalu tinggi," katanya.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang berkata walaupun tidak semua pengguna menanggung beban kenaikan tarif elekrik itu, namun penduduk juga akan turut merasai bebanan terutama kenaikan harga barang.

Katanya ini kerana peniaga besar yang terbabit dengan kenaikan tarif baru elekrik sudah tentu akan menaikkan harga barangan pengeluaran mereka disebabkan kos yang meningkat termasuk juga pengangkutan.

“Kita harus berlaku adil dalam menyelesaikan masalah itu kerana saya melihat sekarang ini syarikat pembekal kuasa tenaga elektrik kepada TNB menopoli keuntungan berpuluh kali ganda disamping mendapat subsidi pula daripada Petronas,” katanya.

Bagaimanapun beliau turut menasihatkan rakyat supaya jangan menuduh kerajaan yang sengaja menaikkan harga barang keperluan di pasaran termasuk gula, minyak masak dan bahan bakar kerana semuanya bergantung kepada harga naik turun di pasaran dunia.

“Kita tidak mempunyai banyak bahan mentah untuk minyak masak dan gula, begitu juga bahan bakar yang terpaksa diimport dari negara luar hingga berlaku kenaikan yang perlu ditanggung bersama,” katanya.-BERNAMA







PAS Hormati & Muliakan Ulamak, UMNO Perbodoh & Pergunakan Ulamak

Mahfuz : Sayap Ulama Umno Hanya Retorik

SHAH ALAM 11 JUN : Cadangan pengarang Utusan Malaysia, Zaini Hassan supaya parti pemerintah menubuhkan sayap ulama Umno bagi mengembalikan sokongan pengundi Melayu Islam yang kononnya hilang keyakinan terhadap PAS dilihat bersifat retorik semata-mata.

Naib presiden PAS, Mahfuz Omar berkata, selama ini kerajaan Umno-Barisan Nasional hanya menggunakan institusi agama untuk menghalalkan setiap tindakan mereka dan bukannya atas tujuan menjaga kebajikan rakyat.

"Pertamanya kegagalan ulama-ulama dalam Umno melalui biro agama Umno telah (berlaku sejak sekian lama), yang keduanya institusi agama di bawah kerajaan gagal memberikan imej yang baik tetapi akhirnya diperalatkan untuk mengeluarkan kenyataan bagi kepentingan politik Umno-BN,"kata Mahfuz kepada Tv Selangor.

Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata demikian bagi mengulas ruangan kolumnis Utusan Malaysia semalam yang bertajuk "PAS hilang arah: Sayap Ulama Umno harus ditubuh segera".

Zaini merupakan penulis sama yang mencadangkan supaya Perdana Menteri Malaysia melancarkan Gerakan 1 Melayu, 1 Bumi ekoran kemenangan DAP di 12 daripada 15 kerusi yang ditandingi parti itu pada pilihan raya negeri sarawak April lalu.

Dalam ruangan yang diberikan nama 'Cuit' itu, Zaini berkata muktamar PAS baru-baru ini menunjukkan PAS mengorbankan dasar mereka dan mengikut telunjuk Parti DAP dan PKR semata-mata mahu memastikan matlamat Pakatan Rakyat ke Putrajaya tercapai.

Berbalik kepada isu sayap ulama Umno, menurut Zaini kesedaran rakyat tentang perjuangan PAS yang kian kendur adalah baik untuk Umno menggunakan peluang yang terbuka ini untuk mendapatkan sokongan Melayu.

Bagaimanapun, Zaini nampaknya lupa bagaimana institusi Islam tajaan Umno mengenepikan prinsip Islam sebenar hingga mengakibatkan rakyat mulai jelek dengan kepimpinan kerajaan.

Perkara ini dapat dibuktikan apabila institusi agama di bawah kerajaan tidak mampu menjalankan tanggungjawab mereka berhubung laporan qazaf ke atas trio "Datuk T" kerana menuduh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan zina.

Walaupun hal itu telah diadukan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), namun ironinya undang-undang syariah Islam seolah-olah tidak diiktiraf, apatah lagi apabila ia melibatkan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.

Menurut Mahfuz, cadangan wartawan kanan media milikan Umno itu hakikatnya turut menggambarkan kegusaran Umno bahawa kemungkinan undi masyarakat Melayu terus memihak kepada Pakatan Rakyat melalui dasar baru PAS yang mahu membangun Negara Berkebajikan selaras dengan program Buku Jingga.

"Mereka sangat bimbang bahawa orang Melayu akan kembali bersama dengan PAS dan mereka bimbang bahawa PAS mampu melakukan 'swing' undi daripada kalangan Melayu dan inilah yang dibimbangi oleh Umno selama ini dan mereka sedang mencari bagaimana nak mengelak daripada 5 ataupun 7 peratus undi Melayu itu terus pergi kepada PAS atau PR,"katanya. -tvsnews



Ulasan GB

PAS belajar dari ulamak dan memuliakan kaum ulamak. Maka sebab itu di dalam organiasi PAS, seluruh kepimpinan PAS dipandu oleh Majlis Syura Ulamak. PAS sejak awal penubuhannya sudah ada Dewan Ulamak.

Tetapi UMNO hanya memperbodohkan dan memperalatkan ulamak untuk menghalalkan semua tindak-tanduk mereka. Kaum ulamak di dalam UMNO diperkotak-katikkan malah dalam banyak hal kaum ulamak dihinakan oleh para pemimpin UMNO. Imbas kembali apa yang telah berlaku kepada mufti Allahyarham Ishak Baharom dan figur-figur seumpamanya.

Majlis dan Jabatan Agama Islam diwujudkan untuk diperintah oleh UMNO bukan mengikut nasihat dan tunjuk-ajar mereka. Maka hasil daripadanya, hukum dan undang-undang Islam seperti qazaf dan hudud dipersenda dan dipermainkan oleh golongan UMNO.

UMNO masih berpegang dengan konsep sekularisma yang dibawa penjajah, ugama lain kerajaan lain. Sebab itu pemerintahaan UMNO BN tidak terikat dengan necara syariat sehingga akhirnya kemungkaran politik, ekonomi dan sosial semakin menggila di dalam UMNO. Mereka cuba untuk mebetulkan di sana sini, tetapi semakin diperbaiki ia menjadi semakin bernanah. Mereka berlagak seperti doktor yang cuba membedah di pinggiran, sedang mereka sebenarnya sebahagian dari parasit yang menyerang.

Kelisa Rempuh Lori - Seorang Maut

Alor Gajah – Seorang wanita maut dan seorang lagi cedera ringan apabila kereta jenis perodua Kelisa yang dinaiki merempuh sebuah lori yang membawa barang perkakasan rumah di Kilometer 209 Lebuh raya Utara ke arah Selatan, berhampiran restoran jejantas, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, Adeleen Kasim, 37, yang juga ibu tunggal maut serta merta di tempat kejadian dalam perjalanan ke Melaka bersama seorang adiknya yang memandu kereta, Aireen Kasim, 34, dari Kuala Lumpur menuju pulang ke rumahnya di Kampung Pasir Putih, Bachang, Melaka.

Saksi yang enggan dikenali mendakwa, dia menyedari lori terbabit yang pada awalnya berada di laluan paling kiri hendak memasuki ke laluan tengah secara tiba-tiba sementara perodua Kelisa tadi sudah berada dalam jarak yang dekat.

“Saya sendiri menyaksikan lori itu yang tiba-tiba memasuki laluan tengah dan pemandu kereta Kelisa itu brek mengejut dan gagal mengawal kenderaan terpaksa merempuh belakang lori dan penumpangnya terkena pada besi pada lori berkenaan.

“Masa itu saya lihat lori itu terus terbalik dan terseret ke kiri jalan sebelum merempuh penghadang jalan dan berpusing semula ke arah utara dan pemandunya cuba untuk keluar dari lorinya yang sudah terbalik ke sebelah kanan,” kata saksi berkenaan.

Sementara itu, pemandu lori, Wong Loong Fah, 44, berkata, dia dalam perjalanan dari Shah Alam menuju ke Johor Bahru untuk menghantar perkakasan hendak menyusuri laluan kedua lebuh raya dkejutkan dengan rempuhan yang begitu kuat dari arah belakang lorinya sebelum hilang kawalan.

“Saya berada di laluan pertama hendak ke laluan tengah memandu secara perlahan seorangan tiba-tiba dirempuh dengan kuat hingga lori saya bergegar kuat sebelum hilang kawalan memakan ke kanan dan kiri jalanraya sebelum lori saya terbalik beberapa kali.

“Saya sudah tekan brek sekuat hati berharap lori saya tidak merempuh mana-mana kenderaan lain yang masih melalui kiri kanan jalan dan lori saya terbalik terbabas ke kiri melanggar penghadang lebuh raya sebelum berpusing semula ke arah utara.

“Dalam keadaan cemas saya yang sudah terbalik ke sebelah kanan terpaksa keluar mengikut cermin hadapan lori yang sudah pecah dalam keadaan kaki terhenjut-henjut akibat terseret dan menghentam penghadang lebuh raya,” katanya.

Menurutnya, ketika dia mendekati kereta tersebut penumpang di tempat duduk bersebelahan pemandu dalam keadaan tersepit selepas merempuh hingga bahagian hadapan kereta Kelisa itu remuk teruk dan mangsa meninggal dunia serta merta di tempat kejadian.

“Masa saya turun dari lori dalam keadaan badan sakit dan cedera di tangan kanan saya dapati kereta Kelisa tadi sudah melintang menghalang laluan kedua lebuh raya, mujur semua kenderaan yang memandu laju ketika itu sudah memperlahankan kenderaan.

“Kemudian saya terus berlari ke arah kereta Kelisa yang merempuh lori saya tadi dengan harapan dapat cuba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit tetapi disebabkan mangsa dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ dan saya terpaksa menunggu anggota bomba tiba.

“Pemandu kereta Kelisa itu sudah berada di luar kenderaan dalam keadaan tidak tentu hala sambil meraung meminta bantuan orang ramai namun disebabkan mangsa sudah tenat tiada siapa yang berani menyentuh dan mangsa meninggal dunia tidak berapa lama kemudian,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat, PBK II, Razali Che Ari, ketika dihubungi berkata, seramai tujuh anggota dengan dua jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam mendapati penumpang kereta dalam keadaan nazak.

“Anggota kami tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit selepas menerima panggilan dan mangsa berjaya dikeluarkan dalam masa kurang dari lima minit yang ketika itu mangsa dalam keadaan nyawa-nyawa ikan,” katanya.

Ketua Polis Derah Alor Gajah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan berkenaan.

“Kenderaan perodua Kelisa yang dinaiki dua beradik ini dipercayai dipandu laju menghala ke arah Melaka, setibanya di lokasi kejadian, pemandu kereta ini hilang kawalan hingga merempuh bahagian belakang sebuah lori muatan satu tan itu,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat. -SH

4 Sekeluarga Mangsa Kemalangan Dikebumi Dalam 1 Liang

Kuala Kangsar: Jenazah empat beranak yang terkorban dalam kemalangan ngeri di Kilometer 73 Jalan Kuala Kangsar-Grik di Sauk, dekat sini petang kelmarin, selamat disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kenas, di sini semalam.

Gambar: SUASANA pilu menyelubungi majlis pengebumian empat sekeluarga di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kenas, Kuala Kangsar.

Suasana hiba menyelubungi sebaik satu persatu jenazah iaitu pasangan pesara guru, Allahyarham Zenodin@Zainuddin Abas dan isteri, Azizah Mahmood, masing-masing berusia 69 tahun; anak perempuan mereka, Zalinda, 33, serta cucu yang juga anak Zalinda, Aishah Suffian Afendi, 7, diturunkan ke dalam liang.

Suami Zalinda, Suffian Efendi Ahmad Apandi, 35, yang bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat di ibu negara, hanya mampu menahan sebak menyambut jenazah isteri, anak dan kedua ibu bapa mentuanya sebelum teresak-esak sebaik mula menyiram pusara selepas selesai pengebumian kira-kira jam 11.30 pagi.

Beliau bagaimanapun enggan ditemubual wakil media kerana terlalu sedih dengan tragedi terbabit, malah perasaan sama turut dikongsi sanak saudara terdekat keluarga itu yang berada di tanah perkuburan berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang kelmarin, kereta dipandu Zenodin yang dalam perjalanan pulang dari kampung keluarga isterinya di Pasir Mas, Kelantan ke rumah mereka di Taman Sultan Yusuf, Bukit Chandan, di sini dipercayai terbabas sebelum merempuh besi penghadang jalan yang kemudian tertusuk masuk ke dalam kenderaan.

Seorang lagi anak perempuan Zalinda, Nurul Sarah, 2, parah dan masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Sementara itu, anak kedua Zenodin, Zalita, 42, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata ibu bapanya memang selalu berjalan jauh termasuk ke ibu negara melawatnya dan empat lagi adik beradik, tetapi tidak pernah terbabit dalam kemalangan walaupun arwah bapanya menghidap darah tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Ramly Zahari, berkata laluan menghubungkan Kuala Kangsar-Grik sepanjang kira-kira 200 kilometer itu memang banyak merekodkan kemalangan maut sejak beberapa tahun lalu. -BH


Empat sekeluarga maut apabila besi pengadang tertusuk kereta

KUALA KANGSAR (Perak): Empat sekeluarga terbunuh manakala seorang lagi parah dalam kemalangan ngeri apabila besi pengadang jalan tertusuk ke dalam kereta mereka yang terbabas di Kilometer 73, Jalan Kuala Kangsar-Gerik, di Sauk, dekat sini, kelmarin.

Mereka yang terbunuh dalam kejadian kira-kira 2.40 petang itu ialah pasangan guru pesara, Encik Zenodin@Zainuddin Abas dan isterinya, Cik Azizah Mahmood, masing-masing berusia 69 tahun; anak perempuan mereka, Cik Zalinda, 33 tahun, serta cucu mereka yang juga anak Cik Zalinda, Aishah Suffian Afendi, tujuh tahun.

Seorang lagi anak Cik Zalinda, Nurul Sarah, yang juga adik Aishah, parah dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Ketika kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Bukit Chandan, dekat sini, bagi menghadiri kenduri kahwin selepas menziarahi keluarga Azizah di Pasir Mas, Kelantan.

Cik Zalinda dan dua anaknya tinggal di Kuala Lumpur dan mereka pulang ke kampung sempena cuti sekolah sebelum mereka sekeluarga pergi ke Kelantan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Timbalan Superintenden (DSP) Guan Beng Kang, berkata siasatan awal mendapati Encik Zenodin yang memandu dipercayai gagal mengawal kenderaan dan terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan itu.

'Berikutan kejadian itu, tiga daripada mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi maut ketika mendapat rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Sauk. Nurul Sarah pula dihantar ke HRPB bagi rawatan lanjut,' katanya.

Sementara itu, suami Cik Zalinda, Encik Suffian Efendi Ahmad Apandi, yang ditemui di HRPB tidak dapat ditemu bual kerana terlalu sedih dengan kehilangan isteri dan seorang anaknya itu.

Anak perempuan sulung Encik Zenodin, Cik Zaliana, 44 tahun, pula berkata, kali terakhir beliau bertemu ibu bapanya adalah pada Rabu lalu sebelum mereka bercuti ke Kelantan.

'Dalam pertemuan terakhir itu, bapa pernah bertanyakan saya bila mahu pulang ke Kuala Kangsar. Namun, saya tidak menyangka pesanannya itu tanda beliau mahukan kesemua anaknya berkumpul dan melihat jenazahnya buat kali terakhir,' katanya. -- BH


Waspada: Pengguna Kena Caj Hingga RM4 SMS Iklan

Pengguna telefon bimbit di negara ini terpaksa menanggung bayaran antara 20 sen hingga RM4 bagi setiap khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk iklan diterima mereka walaupun tidak pernah mempersetujui untuk memuat turun dan melanggannya.

Antara jenis SMS sering diterima ialah tawaran khidmat seks, pornografi, tilik nasib, pertandingan, permainan serta tawaran hadiah dan cabutan bertuah berdasarkan nombor telefon bimbit atau kad SIM.

Kebanyakan penerima tidak menyedari mereka dikenakan caj dan hanya tahu mengenai perkara itu apabila menerima bil yang merujuk caj berkenaan menggunakan kod ringkas lima angka seperti 33333, sekali gus terpaksa membayar bil tinggi walaupun tidak pernah memohon menerima SMS seperti itu.

Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mewujudkan satu garis panduan yang ketat bagi menyekat penghantaran SMS berbayar seperti itu.

Presidennya, SM Mohamed Idris, berkata SMS terbabit dihantar terus ke telefon bimbit oleh penyedia kandungan menggunakan sistem lima digit, lazimnya untuk pengiklanan dengan paling kerap diterima adalah tawaran hadiah wang tunai yang meminta butiran peribadi termasuk akaun bank penerima.

“Ada yang terpedaya dengan mendedahkan semua butiran peribadi mereka. CAP menerima banyak aduan daripada pengguna yang tidak gembira dan berasa ditipu malah ia boleh dianggap gangguan kerana mereka terpaksa membuka, membaca dan memadamkan pesanan terbabit,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

SM Mohamed berkata, CAP juga mendapati ada SMS dihantar melalui kaedah berangkai termasuk menggunakan nombor telefon bimbit yang berdaftar di negara jiran.

“SKMM dan polis perlu menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan dalang penipuan yang boleh mengakibatkan kerugian besar sekiranya ramai pengguna terpedaya. Kami akan membantu pengguna antaranya dengan menghantar surat rasmi kepada SKMM bagi menangani masalah yang sudah lama berlarutan ini,” katanya. -BH

Pembebasan Peguam Negara Dari Sebarang Tuduhan Salahlaku - Rakyat Bosan Dengan SPRM

Mat Zain: Panel SPRM tiada kuasa bebas AG

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim membidas panel Semakan Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana membebaskan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail daripada sebarang salah laku ketika menunaikan ibadah haji dengan seorang lelaki yang mencurigakan bernama Shahidan Shafie.

Dalam surat terbukanya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bertarikh hari ini, Mat Zain berkata tindakan melepaskan Gani memang sudah dijangkakan dan rakyat kini mulai bosan melihat SPRM yang sanggup berbohong demi menyelamatkan peguam negara daripada didakwa.

Tindakan sedemikian, katanya akan menyebabkan orang ramai hilang keyakinan dengan SPRM dan menyebabkan kerja-kerja baik yang dilakukan oleh agensi berkenaan dianggap hanya sebagai sandiwara sahaja.

“Pada pendapat saya persoalan sama ada Tan Sri Hadenan serta ahli-ahli jawatankuasa beliau berpuas hati atau sebaliknya, berkaitan siasatan SPRM itu tidak timbul, memandangkan beliau tidak ada kuasa untuk berbuat apa-apa sekalipun beliau tidak berpuas hati...

“Saya berpendapat bahawa tindakan Tan Sri Hadenan membuat pengumuman berkaitan pemergian Peguam Negara ke-Mekah sedemikian itu, sekadar merupakan suatu eksesais “white-washing” yang tidak teratur dan sia-sia, bertujuan untuk menyelamatkan Gani Patail daripada dikenakan hukuman jenayah, berdasarkan daripada penerangan yang saya berikan,” katanya dalam surat itu yang salinannya diberikan kepada Malaysiakini, hari ini.

Mat Zain mengulas pengumumkan jawatankuasa itu yang membebaskan Gani berkaitan isu pemergiannya ke Mekah.

Beliau didapati bersekongkol dengan seorang Shahidan Shafie yang dikatakan sebagai seorang proksi kepada Tan Sri Tajuddin Ramli yang sedang menghadapi penyiasatan SPRM berkaitan skandal MAS. Hubungan erat antara Gani Patail dengan Shahidan seperti ahli keluarga didakwa telah mempengaruhi Gani Patail untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Tajuddin,” katanya. -mk

Kes Sarbani: Kit Siang Mahu Kes Itu Dibahas Di Parlimen

Ahli parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang mahu sidang parlimen yang bermula minggu depan membahaskan isu kematian penolong pengarah Kastam, Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur April lalu.

Menurut Kit Siang, beliau telah menghantar notis kepada Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia mendesak parlimen membahaskan membahaskan kematian kedua yang belaku di premis berkenaan.

Editor Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dalam laporannya sebelum ini mendedahkan polis telah menyiasat aset Sarbani dan mendapati Allahyarham tidak memiliki "kekayaan luar biasa" seperti yang didakwa.

Menurutnya SPRM sengaja mahu memburukkan nama Ahmad Sarbani.

“Isu ini penting untuk dibahaskan di Parlimen dengan menumpukan kepada pendedahan dibuat Raja Petra Kamaruddin yang mana polis telah melakukan siasatan ke atas aset Ahmad Sarbani tapi mendapati beliau tidak memiliki kekayaan luar biasa,” ujar Kit Siang.

Justeru, wakil rakyat DAP itu menggesa polis memenuhi hasrat keluarga Ahmad Sarbani supaya hasil siasatan didedahkan sebelum mengambil tindakan lanjut termasuk inkues atau suruhanjaya diraja.

“Polis sepatutnya dedahkan hasil siasatan kepada keluarga Ahmad Sarbaini dan membenarkan keluarga itu membuat keputusan sama ada mahu diadakan inkues atau suruhanjaya diraja bagi menyiasat punca kematian,” katanya.

Parti Keadilan Rakyat sebelum ini menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara menuntut jawapan berhubung kematian Ahmad Sarbani.

Naib presiden parti itu, N Surendran yang menyerahkan memorandum kepada ibu pejabat polis Bukit Aman mempersoalkan mengapa tiada tangkapa atau pendakwaan berhubung kes tersebut.

Malah ahli parlimen Lembah Pantai yang juga naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar turut menggesa siasatan segera dilakukan.

Ahmad Sarbani, 56 tahun dijumpai mati di tingkat satu ibu pejabat SPRM Kuala Lumpur pada 6 April selepas secara sukarela ke pejabat berkenaan bagi memberi keterangan berhubung siasatan yang sedang dijalankan.

Beliau adalah penolong pengarah di Jabatan Kastam Selangor dan adalah antara 62 orang yang ditahan pada 1 April dalam satu operasi membanteras gejala rasuah yang dijalankan ke atas pejabat Kastam seluruh negara.

Namun balunya, Masiah @ Maziah Manap yang membuat laporan polis pada 2 Mei lalu mendakwa seorang pegawai kastam secara tidak langsung memberitahunya bahawa Sarbani dibunuh oleh seorang pegawai SPRM. -tvsnews




Ulasan GB

Jangan harap BN berani untuk berbuat demikian. Speaker akan menyatakan kes ini di bawah Peraturan Mesyuarat 18 kes tersebut adalah tertentu, berkepentingan ramai namun menolak usul tersebut dengan alasan ia tidak perlu disegerakan.

Itu sudah menjadi jawapan standard speaker bagi apa-apa usul yang dibawa oleh ahli parlimen pembangkang.

Insiden Glenmarie: Polis Perlu Jalankan Keadilan, Heret Anggotanya Ke Pengadilan, Bukan Inkues

Insiden Glenmarie: Keluarga mangsa tolak inkues, gesa anggota polis didakwa

KUALA LUMPUR, 10 Jun — Pemimpin PKR dan aktivis peguam yang mewakili keluarga mangsa hari ini menolak langkah polis Selangor yang mahu mengesyorkan agar diadakan inkues berhubung kematian tiga remaja di Glenmarie dekat Shah Alam Disember lalu, yang mereka dakwa mati akibat ‘tembakan membunuh’ pasukan keselamatan itu.

Sebaliknya mereka mahu anggota polis yang terlibat dihadapkan di mahkamah.

“Merujuk kepada pengumuman Ketua Polis Selangor Tun Hisan Tun Hamzah (semalam) bahawa polis telah memutuskan untuk memanggil satu inkues berhubung kejadian menembak mati Mohd Shamil Hafiz, Hairul Nizam Tuah dan Mohd Hanafi Omar, bagi pihak keluarga mangsa, kami menolak keputusan memanggil pembunuhan ini,” kata dua naib presiden PKR N Surendran dan Nurul Izzah Anwar serta seorang lagi peguam dari Lawyers for Liberty, Fadia Nadwa Fikri dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Surendran juga merapakan anggota Lawyers for Liberty.

Kata mereka, inkues tidak perlu diadakan kerana ada bukti yang jelas dan tidak dapat dipertikaikan bahawa ketiga-tiga mangsa ditembak mati oleh polis.

“Semalam, kami mendedahkan laporan bedah siasat yang secara total bertentangan dengan versi polis,”
katanya lagi.

Kata mereka, laporan bedah siasat itu ditandatangani oleh pakar patologi forensik dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan penemuan tersebut sudah cukup dari segi perundangan untuk membawa tuduhan pembunuhan ke atas anggota polis yang terlibat dalam insiden Disember lalu itu.

“Kami melihat permintaan untuk diadakan satu inkues oleh polis sebagai satu lagi taktik melengahkan (kes) bagi mereda kemarahan orang ramai ekoran pendedahan laporan bedah siasat semalam.

“Kami juga terkejut dan hairan dengan dakwaan polis bahawa siasatan masih belum lengkap lagi,” kata ketiga-tiga pemimpin itu dalam kenyataan bersama mereka.

Kata mereka, memandangkan tujuh bulan sudah berlalu sejak kejadian menembak itu, maka jelas ia satu lagi alasan dan usaha untuk melengahkan tindakan ke atas anggota polis terbabit.

“Kami mengulangi permintaan keluarga mangsa bahawa kesemua anggota polis yang terlibat dalam kes tembakan dicaj di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” kata mereka lagi.

Tegas beliau, Peguam Negara seharusnya memastikan tindakan itu diambil tanpa sebarang kelewatan lagi.

Terdahulu laporan media menyebut polis Selangor akan mengesyorkan agar diadakan satu inkues apabila mengemukakan laporan siasatan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Pada pandangan kami, kami telah berlaku adil dalam mengendalikan kes ini meskipun sesetengah pihak mengatakan sebaliknya.

“Jadi, kami akan serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan,” kata Tun Hisan.

Bagaimanapun Tun Hisan menolak dakwaan bahawa ketiga-tiga mereka ‘dibunuh’ oleh polis.

“Biar saya jelaskan perkara ini, polis tidak pernah tembak untuk membunuh (sesiapa),” katanya lagi.

Semalam, Surendran yang mewakili Lawyers For Liberty mendedahkan dua daripada tiga remaja yang ditembak mati polis di Glenmarie, Shah Alam tahun lalu disebabkan tembakan dari arah dekat.

Surendran berkata, berdasarkan laporan bedah yang diterima beliau dua hari lepas membuktikan kedua-dua remaja itu Mohd Shamil Hafiz Shafie, 16, dan Mohd Khairul Nizam Tuah ditembak ketika berada dalam keadaan melutut.

Bagaimanapun laporan bedah siasatan seorang lagi mangsa Muhamad Hanafi Omar,22, masih belum diterima.

Ketiga-tiga remaja itu mati ditembak polis di Jalan Kerjaya Glenmarie kira-kira pukul 4.15 pagi selepas menyamun sebuah stesen minyak 13 Disember lalu.

Menurut laporan media sebelum ini ketiga-tiga remaja ini disyaki sebagai ahli Geng Minyak dan mati ditembak kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

“Kejadian ini berlaku di Glenmarie dan Timbalan Ketua Polis Selangor (Datuk A Thaiveegan) mengatakan ketiga-tiga remaja ini adalah penjenayah dengan parang dan ditembak ketika cuba menyerang polis.

“Namun berdasarkan kepada keterangan saintifik dan laporan bedah siasat versi yang dikatakan polis itu adalah palsu dan saya ada bukti mengatakan ketiga-tiga remaja ini telah dibunuh oleh pihak polis dengan sengaja.

“Polis kata mereka ditembak kerana cuba menyerang polis dengan parang tapi kalau benar mereka menyerang polis tapi kenapa luka tembakan Mohd Shamil dan Mohd Khairul Nizam berada di dahi dan sisi dahi... kalau mereka menyerang sudah tentu luka tembakan itu dari depan bukan dari tepi kecuali kalau peluru itu boleh melencong,” kata Surendran. -TMI


Tembak mati remaja: Polis cadang tubuh inkues

Polis mencadangkan Pejabat Peguam Negara supaya mengadakan inkues bagi menyiasat kejadian tembakan di Glenmarie pada November tahun lalu yang dikatakan dalam keadaan yang mencurigakansehingga mengakibatkan tiga pemuda ditembak mati.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata polis masih belum menyelesaikan siasatan mereka berhubung perkara itu, meskipun kejadian berlaku lebih enam bulan lalu.

“Tidak wajar bagi polis mengulas lanjut berhubung kes itu kerana kami akan mencadangkan supaya inkues diadakan,” kata Tun Hisan.

“Namun, tindakan polis adalah semata-mata untuk menahan suspek. Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana ia mungkin menjejaskan inkues yang dicadangkan itu,” katanya.

Ditanya mengapa siasatan yang dijalankan sebegitu lama tidak siap, Tun Hisan berkata anggotanya terpaksa mengumpulkan laporan daripada pelbagai jabatan.

Semalam, perwakilan Lawyers for Liberty N Surendran, yang juga naib presiden PKR mendakwa berdasarkan laporan bedah siasat ke atas tiga-tiga mangsa itu menunjukkan mereka dibunuh dari jarak dekat oleh polis semasa sedang berlutut.

Muhammad Hanafi Omar, 22, Muhammad Shamil Hafiz Shapiei, 15, dan Mohd Hairul Nizam Tuah, 20, ditembak mati setelah polis mengejar mereka dengan kereta di Glenmarie, Shah Alam, pada awal pagi 13 November.

Sebelum ini, polis mendakwa pemuda berkenaan cuba menyerbu dan menyerang mereka dengan parang dan tembakan terpaksa dilepaskan bagi mempertahankan diri.

“Laporan bedah siasat bercanggah dengan versi polis bahawa dalam kejadian itu mereka bertindak mempertahankan diri dan menembak - yang bermakna tembakan mesti dilepaskan dari hadapan,” kata peguam N Surendran.

“Bagaimanapun, menurut laporan bedah siasat sudut peluru menembusi kepala depan adalah dari 45 darjah dan keluar melalui belakang leher dan bagi tembakan di bahagian dada, (peluru) juga melalui 45 darjah di badan.

“Ini menunjukkan mangsa sedang melutut ataupun berada pada kedudukan lebih rendah daripada orang yang melepaskan tembakan,” kata Surendran. -mk


Video Lucah: Pemandu Bas Dipenjara 3 Tahun, Datuk T Bila Lagi?

Ayer Keroh: Pemandu bas ekspres yang menayangkan video lucah kepada seorang penumpang wanita ketika bas itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur, Isnin lalu, semalam dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan akan sekali lagi dibawa ke mahkamah 13 Julai depan untuk perbicaraan kes cuba merogol wanita sama.

P Kanapathy, 38, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah di depan Hakim Mahkamah Sesyen, Zaharah Hussain sambil menyatakan tahu perbuatannya itu salah, sekali gus merayu hukuman ringan kerana terpaksa menanggung isteri dan empat anak berusia antara empat hingga lapan tahun.

Dia yang tidak diwakili peguam dituduh mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dengan sengaja melakukan perbuatan itu bertujuan menawar atau cuba melakukan perbuatan yang menjadi kesalahan terhadap wanita berkenaan, Ni Ketut Remi, 32, pada jam 8.15 malam, 6 Jun lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi pertuduhan, cuba merogol mangsa dalam bas dan hari sama kira-kira jam 10.45 malam. Bagi tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Lelaki berkenaan ditahan dua anggota polis yang terdengar jeritan seorang wanita dari dalam sebuah bas yang ditinggalkan dalam keadaan enjin tidak dimatikan di tepi jalan berhampiran kawasan ladang di Jalan Bukit Kajang, Jasin, Isnin lalu.

Mengikut fakta kes, Kanapathy pada awalnya mengambil tiga penumpang termasuk dua lelaki lain menaiki bas ekspres dipandunya dari Terminal Bersepadu Tasik Selatan, Kuala Lumpur kira-kira jam 7.45 malam, tetapi selepas 30 minit perjalanan, dia mengarahkan dua lelaki itu turun dengan alasan mereka tersilap bas.

Dia kemudian mengarahkan penumpang wanita berkenaan duduk di kerusi sebelah pemandu tetapi mangsa enggan sebelum tertuduh memasang VCD dalam bas tanpa menghiraukan teguran mangsa. -BH

Ulasan GB

Kini precedent sudah terbentuk. Bahawa penayangan video lucah dikenakan penjara maksimum tiga tahun.

Ia hanya mengambil masa dua hari untuk suspek ditahan, ditangkap, di dakwa dan dijatuhkan hukuman.

Sekarang, bila lagi polis mahu tahan dan tangkap Datuk T yang menayang video lucah kepada wartawan di Hotel Sri Carcosa pada 21 Mac 2011? Para wartawan telah dijemput untuk menonton video selama 20 minit itu secara bergilir mengikut kumpulan.

Trio "Datuk T", yang merupakan gandingan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Sharzyl Eskay dan Bendahari Perkasa Shuib Lazim mengaku mendalangi penayangan video lucah tersebut yang sehingga kini belum lagi menghadapi apa-apa tindakan, malah video seks tersebut tersebar luas ke seluruh negara tanpa apa-apa halangan dan sekatan oleh pihak polis.

Mengapa ada double standard di dalam hal ini?

Tiada Sebab PAS Perlu Minta Maaf Kepada UMNO

Kepimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS) menegaskan bahawa tiada keperluan untuk pihaknya memohon maaf kepada Umno berhubung prinsip perjuangan parti itu.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam menuntut PAS meminta maaf kepada Umno kerana melemparkan pelbagai tuduhan, gelaran, termasuk melabelkan parti itu sebagai kafir kerana tidak memperjuangkan negara Islam.

Naib Presiden PAS, Sallahuddin Ayub berkata PAS akan terus memperjuangkan Negara Berkebajikan walaupun ia menimbulkan keresahan Umno yang khuathir pengaruhnya di kalangan pengundi Melayu akan terhakis lagi.

"Tidak ada isu mengapa PAS perlu minta maaf atas kenyataan itu dan kita akan terus dengan konsep ini dan kita akan jadikannya sebagai manifesto kami pada pilihan raya akan datang," tegasnya kepada Tv Selangor.

"PAS tiada sebab untuk minta maaf dengan UMNO kerana Pas tidak pernah lari daripada dasar perjuangan dan konsep gagasan negara berkebajikan ialah intipati daripada sebuah negara yang diidamkan oleh rakyat dan mengandungi prinsip-prinsip keadilan, kesaksamaan yang kita perjuangkan." tambah beliau.

Sallahuddin berkata tuntutan maaf oleh Khaled Nordin mencerminkan Umno semakin terdesak dan tidak memahami konsep negara berkebajikan yang di perjuangkan PAS serta Pakatan Rakyat.

"Saya rasa Umno terdesak, amat gentar, amat risau dengan kepimpinan baru PAS yang baru sahaja dipilih dalam muktamar minggu lepas dan mereka juga sangat tertekan dengan keupayaan PAS dalam menjayakan Negara Berkebajikan,” kata beliau.

" Saya rasa isu itu adalah isu yang dah ketinggalan zaman dan apa yang dihujahkan oleh Datuk Khaled Nordin itu saya ibaratkan sebagai musim kemarau yang panjang bagi Umno,” tambah beliau.

Sallahuddin berkata komen-komen pemimpin Umno menunjukkan mereka tidak dapat menerima keputusan pemilihan PAS sehingga sanggup menabur fitnah.

"Mereka sebenarnya sangat kecewa dengan kepimpinan baru PAS, mereka seperti orang yang hilang pemikiran serta panik dengan pemillihan itu dan sebab itu mereka membuat pelbagai tuduhan-tuduhan tidak berasas dengan kepimpinan barui yang ada pada hari ini.

Pesuruhjaya Pas Negeri Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pimpinan UMNO-BN sepatutnya yang meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana menindas rakyat Malaysia dan mengabaikan kebajikan mereka sekian lama.

Jelasnya lagi, apa juga dasar yang dibawa dan diperjuangkan PAS tiada kaitan dengan UMNO-BN dan apa yang lebih penting ketika ini PAS mesti mengambil alih peranan UMNO untuk menjaga Islam dan rakyat di negara ini.

"Dasar Pas dan sebagainya tidak ada kena mengena dengan UMNO dan UMNO tidak perlu campur tangan dalam urusan parti PAS." tambahnya lagi. -tvsnews


PAS tidak layan Khaled Nordin

"Tiada sebab untuk PAS minta maaf. Tuduhan itu sudah ketinggalan zaman," kata Salahuddin Ayub.

PETALING JAYA: PAS tidak akan meminta maaf kepada Umno seperti yang diminta oleh seorang pemimpin parti itu, tegas Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

“Tiada sebab untuk PAS minta maaf. Tuduhan itu sudah ketinggalan zaman,” kata ahli parlimen Kubang Kerian itu.

Beliau menjawab desakan ketua Umno bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mendakwa PAS telah membuat pelbagai tuduhan liar terhadap Umno.

PAS, menurut menteri pengajian tinggi itu melabelkan Umno parti haram kerana tidak membentuk negara Islam.

“PAS seharusnya meminta maaf kepada Umno kerana semasa memperjuangkan negara Islam menuduh Umno membuat pelbagai kesalahan tetapi ketika ini mereka tidak lagi berjuang membentuk negara Islam kerana tidak ada dalam al Quran tetapi negara berkebajikan,” kata Mohamed Khaled di Kuantan hari ini.

Manakala Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Syed Azman Ahmad Nawawi tuduhan atau kenyataan Mohamed Khaled itu tidak perlu dilayan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam itu, negara kebajikan yang ditawarkan PAS bertujuan untuk menyelamatkan rakyat yang kini dibebani kos hidup yang tinggi, krisis ekonomi dan kenaikan harga barangan.

“Tawaran ini bukan hanya untuk ahli PAS tetapi kepada keseluruhan rakyat Malaysia,” katanya.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang , dalam ucapan di muktamar parti minggu lalu berkata, PAS memfokuskan kepada negara berkebajikan selaras dengan perjuangan pakatan pembangkang.

Hadi juga berkata, negara Islam tidak disebut dalam al Quran. -FMT




Pemimpin Gerakan Akan Turut Serta "Perhimpunan BERSIH" 9 Julai

Pemimpin Gerakan akan hadir perhimpunan BERSIH

Walaupun pengerusi Gerakan Kedah Cheah Soon Hai, semalam, melabelkan perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) sebagai 'lawak bodoh yang tidak bermanfaat', namun rakannya di Pulau Pinang akan menyertai acara itu bersama sekumpulan peguam.

Menurut ketua biro hak asasi dan undang-undang Gerakan Pulau Pinang Baljit Singh, beliau bersama 10 peguam lain dari negeri itu akan menyertai Majlis Peguam memantau perhimpunan pada 9 Julai ini di Kuala Lumpur.


Baljit berkata keputusan menyertai perhimpunan itu bukan kerana beliau menyokong BERSIH dan tuntutannya tetapi kerana perlembagaan persekutuan menjamin demonstrasi aman.

Kumpulan itu akan menyerahkan nama-nama peguam yang akan terbabit dan mereka juga akan membekalkan perkhidmatan perundangan kepada peserta BERSIH sekiranya tangkapan dibuat.

"Setiap orang mesti hormat perlembagaan persekutuan yang membenarkan demonstarsi aman bagi rakyat meluahkan suara mereka,” kata Baljit kepada Malaysiakini.

Perhimpunan besar-besaran itu akan diketuai oleh beberapa NGO dengan tujuan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campurtangan Seri Paduka dalam memulakan reformasi sistem pilihan raya negara. -mk

Ulasan GB

Baljit berkata keputusan menyertai perhimpunan itu bukan kerana beliau menyokong BERSIH dan tuntutannya tetapi kerana perlembagaan persekutuan menjamin demonstrasi aman.

Pemimpin Gerakan Pulau Pinang itu perlu sekolahkan rakan-rakannya dari Pemuda UMNO Malaysia yang sudah sibuk dan bising-bising buat laporan polis mengenai Himpunan Bersih 2.0 yang bakal diadakan 9 Julai ini.