10 Mac 2015

[VIDEO] K'jaan Pusat Cuba "Rompak" Tanah Selangor, Perjanjian Air Batal - Azmin


MB: Perjanjian batal demi kedaulatan S'gor

Menteri Besar Selangor, Azmin Ali menegaskan bahawa perjanjian penstrukturan air di antara Selangor dan kerajaan Persekutuan lupus secara automatik apabila kerajaan Persekutuan cuba mengambil alih 26,000 kilometer persegi tanah Selangor.

Menurut Azmin, perjanjian yang ditandatangani pada 12 September 2014 sebelum ini hanya melibatkan pemindahan aset air dari Selangor kepada kerajaan Persekutuan, dan bukannya tanah.

Tegasnya, syarat baru yang cuba diperkenalkan oleh kerajaan Persekutuan itu tidak selaras dengan semangat perjanjian itu.

"Percanggahan dari perjanjian utama yang cuba dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan akan menyaksikan kerajaan negeri hilang kedaulatan ke atas tanah dan aset air milik Selangor.

"Kedaulatan Selangor adalah nombor satu," kata Azmin pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.


Kerajaan pusat tuntut tanah, langgar perjanjian air – Azmin

Kerajaan Selangor tidak boleh melaksanakan perjanjian penstrukturan air yang akan menyebabkan negeri itu berisiko hilang kedaulatan ke atas tanah dan aset air yang dimilikinya.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan Selangor pada awalnya menghormati perjanjian yang ditandatangani 12 September tahun lalu, namun tidak boleh membenarkan perjanjian yang bercanggah daripada prinsip yang dipersetujui.

Terdahulu dalam sesi soal jawab di parlimen, Azmin mendedahkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mahu mengambilalih tanah yang menempatkan paip air sepanjang 26,000 kilometer dan dijadikan aset dalam perjanjian konsesi air.

Katanya, Kerajaan Negeri hanya bersetuju menyerahkan aset air yang sudah dinaiktaraf syarikat konsesi dan tidak akan menggadaikan kedaulatan tanah Selangor.

“Antara perkara utama yang dilanggari Kerajaan Persekutuan adalah untuk menyemak semula perjanjian yang termeterai dalam perjanjian utama iaitu Kerajaan Negeri sudah bersetuju menyerahkan aset air milik syarikat konsesi yang dinaiktaraf.

“Tetapi dalam tempoh dua tiga bulan lalu, Kerajaan Persekutuan mendesak bukan sahaja aset yang sudah dinaiktaraf tetapi jajaran tanah yang dilalui aset itu mesti diserahkan sekali. Apakah rakyat dan pengguna Negeri Selangor bersetuju menyerahkan 26,000 km tanah itu?”

“Kedaulatan pemilikan tanah dan aset air bukanlah sesuatu yang boleh diserah milik sewenang-wenangnya,” katanya dalam sidang media di parlimen hari ini.

Menurutnya, belum pernah berlaku syarikat konsesi diberi hak milik tanah yang membolehkan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) mengambil alih tanah berkenaan.

“Mengapa sekarang tanah itu diminta menjadi milik PAAB? Ia tidak pernah berlaku dan kita melihat tindakan Kerajaan Persekutuan ini untuk menggagalkan penstrukturan air,” katanya.

Azmin berkata kerajaan pusat enggan menghormati beberapa prinsip dalam perjanjian utama iaitu:

1. Enggan mengiktiraf pemilikan aset air Negeri Selangor berjumlah RM 14.9 bilion yang bakal disuntik ke dalam Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (“Air Selangor”).

2. Enggan mengiktiraf dan menerima pemindahan RM 2 bilion dari aset air milik Air Selangor bagi tujuan penyediaan dana kepada Air Selangor bagi mengambilalih ke semua konsesi air di Negeri Selangor.

3. Enggan mengeluarkan Lesen Kemudahan kepada Air Selangor sebagai pengiktirafan pemilikan ke semua baki aset air yang dimiliki oleh Air Selangor.

4. Enggan meluluskan pemeteraian Perjanjian Kemudahan dan Sewaan di antara Pengurusan Aset Air Berhad (“PAAB”) dan Air Selangor bagi penyewaan aset air yang akan dipindahkan kepada PAAB.
-KD



[SYABAS] PAS Kota Bharu Calonkan TITM Cabar Hj Hadi


Langkah ketepikan Hadi bermula, PAS Kota Baru namakan pencabarnya

Usaha mengenepikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bermula secara rasmi malam tadi apabila PAS kawasan Kota Baru mencalonkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai calon presiden parti Islam itu.

PAS Kota Baru menyifatkan pencalonan itu sebagai satu usaha memujuk Hadi agar tidak bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti pada Jun dan menyatukan semula parti yang sedang berpecah.

Mereka percaya pencalonan Tuan Ibrahim akan menenangkan kedua-dua kumpulan dalam PAS yang bertelagah, di antara kumpulan ulama dan profesional.

"Mesyuarat Jawatankuasa malam ini bersetuju untuk mencalonkan Datuk Tuan Ibrahim sebagai calon presiden," kata Yang Dipertua PAS Kota Baru Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah kepada The Malaysian Insider sebaik saja mesyuarat itu selesai.

"Saya penuh yakin presiden akan menerima baik cadangan ini kerana ia bertujuan menyatukan parti.”

Katanya, 11 daripada 13 ahli jawatankuasa yang hadir ke mesyuarat itu menyokong pencalonan Tuan Ibrahim.

"Kami yakin pencalonan Tuan Ibrahim ini satu tokoh yang tidak kontroversi dan mendapat kepercayaan Tuan Guru Haji Hadi sendiri.


“Kami berkeyakinan ulama masih perlu memimpin parti,” katanya.

Wan Rahim juga merupakan timbalan pengarah pilihan raya PAS pusat dan di antara pemimpin yang mahu parti Islam itu terus bersama Pakatan Rakyat (PR).

Katanya, keputusan untuk mencalonkan Tuan Ibrahim dibuat selepas mendapat mandat daripada mesyuarat agung PAS kawasan Kota Baru Sabtu lepas.

Keputusan PAS Kota Baru memilih Tuan Ibrahim berbanding timbalan presiden parti Islam itu, Mohamad Sabu dikatakan kerana percaya Hadi hanya akan berundur sekiranya seseorang dipercayai dinamakan untuk menjadi presiden parti.

Sabtu depan, PAS kawasan Parit Sulong di Johor dijangka akan mencalonkan calon lain untuk mencabar Hadi.

Jika trend ini berterusan, Hadi akan ditentang buat pertama kalinya selepas menang tanpa bertanding setiap kali pemilihan PAS sejak mengambil alih jawatan presiden daripada allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor pada 2002.

PAS akan mengadakan muktamarnya Jun ini di Shah Alam di mana pemilihan pucuk pimpinan parti akan dibuat ketika parti itu dilihat berada dalam dilema sama ada untuk terus kekal bersama PR atau tidak.

Pemimpin PAS yang condong kepada kepimpinan ulama dan konservatif dilihat selalu bermasalah dengan PR khasnya DAP, manakala kumpulan profesional dan progresif termasuk Wan Rahim dilihat mahu kekal kukuh bersama gabungan ditubuhkan pada 2008 itu. -TMI

KB calon Tuan Ibrahim lawan Hadi

Ura-ura bahawa Kota Bharu akan menjadi kawasan pertama PAS mencalonkan pencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk jawatan presiden menjadi kenyataan malam ini.

Perkara itu dimuktamadkan sebentar tadi apabila mesyuarat jawatankuasa kawasan itu bagi memutuskan perkara itu.

Seperti disebut-sebut, Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (bawah) dicalonkan bagi berdepan Hadi yang sudah menerajui PAS hampir 15 tahun selepas pemergian allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Pemimpin kanan bahagian itu ketika dihubungi petang tadi enggan mendedahkan siapa tokoh yang bermain di fikiran mereka tetapi hanya menjelaskan "bukan naib presiden Datuk Husam Musa".

Mesyuarat agung tahunan kawasan itu sebelumnya memberi mandat kepada anggota jawatankuasa pusatnya untuk memutuskan pencalonan jawatan tertinggi untuk pemilihan PAS Jun ini.

Sidang media diadakan malam ini di Pejabat PAS Kawasan Kota Bharu.

Menurut perlembagaan, seseorang anggota PAS memerlukan dua pencalonan untuk melayakkan mereka bertanding.

Sebanyak 27 jawatan peringkat pusat dipertandingkan.

Pemilihan PAS dijadual berlangsung semasa Muktamar PAS ke-61 pada 4 hingga 6 Jun tahun ini.
-mk


ULASAN GB

PAS kini memasuki era kematangan. Zaman untuk "menang tanpa bertanding" telah berlalu. Zaman untuk mengiyakan saja apa yang disuarakan oleh ketua sesebuah organisasi sekalipun salah juga telah berlalu.

GB mengucapkan syabas dan tahniah kepada PAS Kawasan Kota Bharu yang menjadi pelopor dan perintis mencalonkan pencabar kepada Haji Hadi Awang. Bukanbererti kita tidak wala, bukan bererti kita tidak sayangkan presiden. Tetapi sebagai orang beriman dan sebagai ahli jemaah yang komited kepada perjuangan menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan kita meletakkan parti dan jemaaah lebih utama daripada individu.

Dulu lagi di dalam satu tulisan GB pada 7 Ogos 2008 bersempena maal hijrah GB telah menyatakan bahawa parameter adab berjemaah (wala) itu perlu dinilai dan didefinisikan semula.

Persoalan "adab jemaah" yang ditimbulkan oleh beberapa rakan di lingkaran usrah-usrah kini perlu ditafsirkan dengan parameter baru. "Adab jemaah" bukan lagi dengan mengakui keperluan untuk mengkritik secara berbisik atau apa yang dikatakan "mengikut saluran parti". Cara itu sudah terlalu semalam, sudah ketinggalan zaman.

Kini sudah ada istilah-istilah baru yang mengambil tempat yang diterima sebagai "adab jemaah", seperti "wistle-blowing" - satu kaedah di mana ahli organisasi mendedahkan kepincangan yang dikesannya secara terbuka, "pengurusan strategik" di mana penetapan visi, misi dan objektif organisasi dibuat secara telus dan dipacu bersama oleh pemimpin dan ahli serta "etika professional" dimana nilai-nilai sejagat diakui diterima pakai oleh segenap lapisan petugas dan pekerja organisasi. Mereka yang berdiam diri terhadap kepincangan dan berrahsia untuk menutup kelemahan dilihat sebagai "tidak beradab" malah dikira bersubahabat dengan kegagalan organisasi di zaman kontemporari ini.

Bukan mudah untuk PAS Kota Bharu untuk membuat keputusan mencalonkan pencabar kepada Hj Hadi. Persoalan perpaduan di dalam jemaah perlu ditangani sebaik mungkin agar rambut ditarik tidak putus dan tepungnya tidak berselerak.

Perubahan itu perlu untuk PAS menjadi parti yang terus relevan di di dalam arus politik negara.

Mencalonkan Tuan Ibrahim Tuan Man adalah langkah bijaksana kerana Tuan Ibrahim dilihat sebagai sebagai tokoh moderate sekalipun ada yang kurang berpuashati dengan sikapnya yang adakalanya tidak tegas dan dilihat datang dari kem pro-ulama juga.

Tang terlebih penting ialah keperluan dan keberanian untuk berubah. Kita sayang sayangkan parti, kita sayangkan jemaah. Kita tidak lagi berupaya untuk menerima perpecahan dan kekalahan parti kita berterusan. Sudah terlalu banyak airmata mengalir setiap malam kerananya.

Haji Hadi perlu ruang untuk menjaga kesihatannya, perlu diberikan ruang untuk tidak dibebani dengan masalah-masalah pengurusan dan pentabdiran parti. Kedudukan beliau sebagai Naib Ketua Ulama Sedunia perlu diberikan pengiktirafan oleh parti sendiri dengan meletakkan beliau sebagai Mursyidul Am parti, menjaga dosal-soal dasar parti agar tidak tergelincir dari landasan.

Kita berharap agar pihak yang beriya-iya mahu menegekalkan Haji Hadi sebagai presiden parti agar berlapang dada. Perlu mengikis perasaan taksub tetapi sebaliknya meletakkan kepentingan parti dan jemaah di atas segala-galanya.

Perpindahan jawatan Presiden dari Haji Hadi perlu dilihat sebagai satu proses transisi kepada golongan profesyenal yang bertaqwa sepenuhnya. Sama seperti peralihan jawatan Presiden dari golongan nasionalis-islam kepada golongan ulama, iaitu dari Datok Asri Hj Muda kepada Ustaz Yusof Rawa diikuti dengan Ustaz Fadzil Noor dan barulah sampai ke tangan Haji Hadi, walaupun semasa muktamar di DBP) dulu ada suara yang terus mahukan Haji hadi jadi presiden mengganti Dato Asri. Proses transisi itu berlaku dengan teramat indah.

Bagi mereaka yang ada ainul-basirah, mata hati yang celik, kesemuanya ini adalah dari Allah swt dan ia adalah "real", ia benar-benar ciptaan dan perancanaan Tuhanmu dan Tuhanku yang Maha Esa...

Maha Agong dan Maha Besar Dia!

"Sibghah (pewarnaan/celupan) Allah. Siapakah yang lebih baik sibghahnya dari sibghah Allah. Dan hanya kepadaNyalah kami menyembah." (Surah Al-Baqarah, ayat 138).

Ia adalah evolusi kepimpinan di dalam sebuah jemaah dan proses itu akan terus berjalan.

Kita menunggu hari esok yang lebih cerah, lebih cemerlang dan lebih gemilang untuk Parti Islam SeMalaysia!

Husam: 1MDB - Najib Perlu Disiasat & Letak Jawatan Sebagai Menteri Kewangan


Husam minta Najib letak jawatan menteri kewangan semasa 1MDB disiasat

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa hari ini menggesa Datuk Seri Najib Razak berundur jawatannya sebagai menteri kewangan sepanjang siasatan audit ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, perdana menteri juga harus meletak jawatan sebagai pengerusi lembaga penasihat 1MDB sementara menunggu hasil semakan Ketua Audit Negara ke atas akaun dana pelaburan strategik negara itu.

"Saya menggesa perdana menteri mengosongkan kerusinya di 1MDB dan sebagai menteri kewangan, sehingga siasatan selesai dijalankan bagi mengelak sebarang kerumitan," beliau memberitahu media di luar balai polis Dang Wang hari ini.

Terdahulu, Husam membuat laporan polis mendesak pihak berkuasa menyiasat Najib berhubung satu perjanjian dibuat antara tahun 2009 dan 2010, melibatkan sejumlah AS$1 bilion dalam usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi International.

Menurut kenyataan di Facebook beliau, Husam berkata, beliau membuat laporan polis meminta penyiasatan dilakukan mengikut Seksyen 405 kesalahan Jenayah Pecah Amanah di bawah Akta Kesalahan Jenayah 574.

"Ia meliputi pembayaran AS$700 juta oleh 1MDB kepada Good Star Limited Seychelles.

"Dan siasatan ke atas Najib serta ahli lembaga dan pengurusan 1MDB pada tahun 2009 dan 2010 mengenai pembayaran oleh 1MDB sebanyak AS$1 billion (bersamaan RM3.48 billion mengikut tukaran pada masa itu) kepada syarikat usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi Holdings (Cayman) Limited bernama 1MDB PetroSaudi Ltd tanpa mempunyai profil syarikat rakan usaha sama, tanpa semakan aset yang diisytiharkan yang kemudiannya didapati tidak wujud dan tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan lembaga 1MDB."


Husam berkata, beliau merujuk majalah The Edge, keluaran 9 - 15 Mac 2015, khususnya laporan utama muka depan dan laporan di dalam mengenai perjalanan pelaburan 1MDB.

Beliau turut melampirkan majalah itu bersama laporan polis yang dibuat.

"Jika laporan The Edge itu benar, jelas menteri kewangan pada waktu transaksi itu berlaku tidak berkeupayaan menjaga kepentingan kewangan negara dan mesti bertanggungjawab atas apa yang berlaku.

"Ini menguatkan alasan untuk beliau mengosongkan kerusi menteri kewangan," katanya.

Minggu lalu, pendedahan yang dibuat laman web pemberi maklumat Sarawak Report mendorong pemimpin pembangkang, bekas pemimpin Umno dan badan pencegah rasuah menuntut siasatan menyeluruh ke atas 1MDB dan mengenakan tekanan ke atas Najib yang juga pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Rabu lalu, beliau mengarahkan Ketua Audit Negara "mengesahkan akaun 1MDB secara bebas" dan mengemukakan hasil semakan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Parlimen.

Pada Jumaat, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sebarang usaha menangani isu 1MDB tidak wajar melibatkan tindakan menyelamat (bail out) syarikat tersebut dengan menggunakan dana awam.

Beliau juga berkata, lembaga pengarah 1MDB perlu memberi penjelasan tentang beberapa urusniaga yang kelihatan tidak memberikan keuntungan jangka panjang kepada syarikat dan kerajaan.

Muhyiddin juga mahu Ketua Audit Negara mengaudit akaun 1MDB berhubung tuduhan penyelewengan yang dilemparkan terhadap dana pelaburan strategik itu mengenai urusniaga yang dibuat sejak tahun 2009 yang tidak termasuk dalam tahun kewangan 2013 yang diaudit firma Deloitte.

Husam berkata, beliau menyokong pendirian Muhyiddin supaya laporan audit forensik dilakukan ke atas 1MDB dan semua anak syarikat atau usaha samanya dengan seberapa segera dan satu Kertas Putih dibentangkan di Parlimen.

Terdahulu hari ini, pemimpin Umno peringkat cawangan Syed Rosli Syed Harman Jamalullail menggesa Najib meletak jawatan sebagai menteri kewangan bagi memastikan siasatan lebih telus dan tiada gangguan terhadap semakan akaun secara bebas Ketua Audit Negara.

Sabtu lepas, Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong, juga menggesa Najib meletak jawatan bagi memudahkan siasatan yang telus dan bebas terhadap akaun 1MDB.


1MDB: Muhyiddin patut ganti Najib, kata PAS

Datuk Seri Najib Abdul Razak didesak melepaskan jawatannya sebagai menteri kewangan sementara menunggu selesai siasatan terhadap syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Naib presiden PAS Datuk Husam Musa juga berkata perdana menteri harus berundur daripada jawatannya sebagai pengerusi lembaga penasihat 1MDB, syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang dilanda hutang RM42 bilion, sehingga siasatan itu selesai.

Bercakap kepada media selepas membuat aduan polis terhadap 1MDB di Kuala Lumpur hari ini, Husam berkata penting bagi Najib berbuat demikian bagi melancarkan proses siasatan.

"Dalam tempoh ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin harus menggantikan tempat Najib," katanya di luar balai polis Dang Wangi.

Tambahnya, dalam laporan polis, beliau menggesa pihak berwajib menyiasat bayaran RM2.6 bilion (AS$700 juta) yang dibuat oleh 1MDB kepada syarikat Good Star Ltd di kepulauan Seychelles.

Husam berkata pihak berkuasa harus menyiasat Najib sebagai menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB, dan juga pihak pengurusan syarikat terbabit.
-mk