26 Mei 2008

Parlimen Kecoh Angkara Kenyataan "Doktor Mempunyai License To Kill"

Ahli Parlimen Mersing yang juga Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Abdul Latif Ahmad pagi ini membuat kecoh di Dewan Rakyat dengan membuat kenyataan bahawa para doktor mempunyai "license to kill" di samping "license to heal".

Bantahan terhadap kenyataannya diutarakan oleh Ahli Parlimen Kuala Krai (PAS), Dr Mohd Hatta Ramli yang membidas bahawa para doktor tidak mempunyai lesen untuk membunuh - kecuaian mungkin berlaku dan kematian juga boleh terjadi tetapi bukan bererti ia lesen kepada para doktor untuk membunuh atau dicapkan sebagai pembunuh.

Beberapa orang ahli Parlimen yang lain turut bangun membantah kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan tersebut termasuklah Ahli Parlimen Titiwangsa (Dr Lo'lo' Ghazali), Kepong Dr Tan Seng Giaw, Lim Kit Siang (Ipoh Timor), Mahfudz Omar (Pokok Sena), Lim Guan Eng (Bagan) dan Dr Dzulkifli Ahmad (PAS-Kuala Selangor).

Perkara itu mula timbul, setelah Dr. Mohd. Hayati Othman (Pas-Pendang) dalam soalan tambahannya meminta sebab mengapa kementerian melanjutkan tempoh latihan amali doktor pelatih daripada setahun kepada dua tahun.

Abd. Latiff menjawab: "Kenapa kita tambah perkhidmatan doktor pelatih daripada setahun kepada dua tahun mulai awal tahun ini kerana kita melihat purata sama ada graduan itu datang dari universiti tempatan atau luar negara.

"Penambahan tempoh latihan ini, bukan sahaja kita menambah kualiti perkhidmatan mereka tetapi seperti Yang Dipertua sedia maklum bahawa mereka ini, pegawai perubatan ini, doktor ini dia ada lesen iaitu 'license to heal' and 'license to kill."

Sebaik sahaja, Abdul Latiff berkata demikian, seorang demi seorang wakil pembangkang bangun dan meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia supaya mengarahkan Timbalan Menteri Kesihatan itu memohon maaf dan menarik balik kenyataannya.

Mereka bukan sahaja bangkit membantah malah ada yang memegang buku Peraturan Mesyuarat.

Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) yang turut bangun kemudian berkata: ''Saya berharap selepas ini dan pada masa akan datang kenyataan-kenyataan seperti ini tidak akan dikeluarkan."

Wakil-wakil pembangkang yang masih tidak berpuas hati terus mendesak Pandikar Amin mengarahkan Abd. Latiff memohon maaf di atas kenyataannya.

Lim Guan Eng (DAP-Bagan) berkata: "Doktor bukannya James Bond, hanya James Bond sahaja yang dikatakan mempunyai lesen untuk membunuh... saya berharap Yang Berhormat akan memohon maaf dan menarik balik kenyataan tadi."

Abdul Latiff bagaimanapun terus mempertahankan kenyataan beliau walaupun dinasihati oleh Pandikar Amin supaya menarik balik kenyataannya.

"Yang Dipertua saya tidak akan tarik balik tetapi tidak akan mengulanginya," kata Abdul Latiff.

Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang turut membantah kenyataan itu kemudian berkata: "Yang Dipertua sekiranya beliau tidak menarik balik kenyataannya maka saya akan berdiri di atas Peraturan Mesyuarat 26 (1) (P) dan memohon supaya Yang Berhormat Mersing dihadapkan ke Jawatankuasa Hak Keistimewaan Parlimen."

Pandikar Amin kemudian sekali lagi meminta Abdul Latiff menarik balik kenyataannya dengan berkata: "Yang Berhormat, tidak salah jika Yang Berhormat kata tarik balik, ia cuma dua perkataan sahaja, cakap sahaja tarik balik."

Sementara itu Gobala Krishnan (KeADILan-Padang Serai) dengan tegas menyatakan insiden yang sama telah berlaku ke atas dirinya minggu lepas sewaktu Dewan bersidang yang mana beliau diarahkan oleh Yang Dipertua untuk menarik balik kenyataannya yang dianggap tidak berdisplin.

"Beberapa hari sudah saya diminta untuk tarik bailk dan atas dasar menghormati Parlimen, saya tarik balik.

"Hari ini berlaku kepada ahli parlimen BN, kenapa tidak diarah tarik bailik? Perlukah saya menghormati Parlimen jika keadaan macam ini," katanya yang sedikit berang.

Ini bukanlah kali pertama timbalan menteri ini menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat. Kali pertama bliau membuat kecoh ialah pada hari pertama persidangan dewan iaitu di hari upacara mengangkat sumpah dimana beliau telah mengangkat sumpah TANPA mengangkat tangan kanannya sepertimana dikehendaki oleh Peraturan Mesyuarat.

Ramai berpandangan tindakannya itu adalah melampau dan memberi impak yang beliau cuba melepaskan diri dari sumpahnya maka itu beliau terlalu berani mengeluarkan kenyataan-kenyataan kontroversi seperti yang dilakukan pada hari semalam.