19 Jun 2009

Nizar Vs Zambry : Nizar Minta Kes Didengar 11 Hakim

Datuk Seri Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat mahukan panel penuh 11 hakim Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan beliau untuk membatalkan pengisytiharaan Zambry Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

Menurut Nizar, panel 11 hakim itu amat perlu memandangkan rakyat meletakkan harapan tinggi kepada mahkamah untuk menyampaikan keputusan yang adil dan saksama bagi merungkai krisi Perlembagaan Perak.

Nizar memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan hari ini bagi membatalkan keputusan mengejut Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar.

Tiga hakim berkenaan membuat keputusa itu dalam tempoh lima minit pada bulan lalu dan sekali gus mengejutkan ramai pengamal undang-undang, bekas hakim dan rakyat keseluruhan.

Mereka telah berjanji untuk mengemukakan hujah bertulis bagi menyokong keputusan bingkas itu namun gagal berbuat demikian sehingga menyulitkan rayuan Nizar untuk membatalkan keputusan berkenaan.

Nizar tiba di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan sekitar jam 3.00 petang nanti bersama peguam Leong Cheok Keng.

Rayuan berkenaan akan didengar pada 9 dan 10 Julai depan.

“Saya menggesa Ketua Hakim Negara untuk menampilkan 11 hakim bagi mendengar permohonan ini untuk tidak menghampakan rakyat Malaysia yang meletakkan harapan pada Mahkamah Persekutuan untuk menyampaikan penghakiman yang adil dan saksama,” kata Nizar.

“Rakyat Malaysia mengharapkan kebijaksaan Mahkamah Persekutuan untuk merungkai kemelut antara Zambry dan saya. Kes ini lebih dari pertempuran politik. Keputusan Mahkamah Persekutuan akan memandu halatuju negara dalam tahun-tahun mendatang, kata Nizar.

“Perbicaraan ini membabitkan bukan sekadar negeri Perak, tetapi seluruh negara yang di bicarakan,” tambah Nizar.

Tiga hakim Mahkamah Rayuan sebelum ini menolak keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan Nizar sebagai Menteri Besar yang sah, kerana beliau tidak meletak jawatan atau disabit dengan undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri Perak.

Namun Mahkamah Rayuan mengambil sikap Zambry adalah Menteri Besar sah semata-mata kerana perlantikannya diperkenan oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah.


Nizar kesal dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu tetapi lebih mendukacitakan ialah kegagalan hakim untuk memberi alasan bertulis atas tindakan mereka.walaupun sebulan telah berlalu.

”Amat dikesali kami terpaksa membuat permohonan ini tanpa penghakiman bertulis dari Mahkamah Rayuan. Ini jelas sekali mencemar sistem kehakiman dimana hujah tuntas adalah asas kepada penghakiman,” kata Nizar.

Nizar berkata beliau juga belum diberi hujah bertulis oleh seorang lagi Hakim Mahkamah Rayuan yang paling awal meluluskan permohonan Zambry untuk membeku keputusan Mahkamah Tinggi yang berpihak kepada Nizar.

“Saya masih menunggu hujah tuntas dari Hakim Ramly Ali, hakim yang mendengar rayuan Zambry secara bersendirian dan membekukan keputusan Mahkamah Tinggi. Sehingga ke hari ini beliau juga masih belum mengemukakan penghakiman beliau,” kata Nizar.




PAS UMNO : UG - Muhyiddin Minta Disegerakan, Mahathir dan MCA Bantah

Jika gagasan Kerajaan Perpaduan lontaran Presiden PAS dilhat sebagai pemecah-belah keapda jemaah PAS, kini idea itu juga telah mendapat riaksi yang berbelah-bagi di kalangan anggota UMNO dan Barisan Nasional.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abd Rzak menganggap PAS ikhlas dengan gagasan Kerajaan Perpaduan yang ditimbulkan, manaka Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mahu perbincangan dengan Pas mengenai kerajaan perpaduan disegerakan dan meminta pemimpin Pas melupakan persengketaan lama bagi kepentingan perpaduan umat Islam di negara ini.

“Kita tidak akan tetapkan apa-apa syarat dan kita terima apa saja syarat yang ditetapkan oleh Pas. Bagi saya kita perlu bersikap terbuka,” katanya kepada pemberita pada majlis Perjumpaan Khas Dengan Warga Pendidik di Sekolah Kebangsaan Sungai Sok di sini hari ini.

Tetapi mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir telah melahirkan rasa ketidak-persetujuannya terhadap idea Kerajaan Perpaduan ini kerana baginya Kerajaan Perpaduan dengan PAS akan hanya memburukkan hubungan Umno dengan lain-lain komponen Barisan Barisan.

Beliau berkata pihak kerajaan pula perlu menjelaskan apa objectif mereka dan samada mereka mampu meninggalkan "rakan-rakan” untuk membentuk sebuah kerajaan yang hanya dari kalangan kaum Melayu.

“Say tidak fikir negara ini inginkan kerajaan yang hanya 100 peratus Melayu.”

Beliau mendakwa kerajaan sentiasa mengambilkira kaum bukan-Melayu dan beliau memberi amaran akan wujud masalah jika kaum bukan-Melayu dipinggirkan.

“Saya tidak fikir ia satu idea yang baik”.

Sementara itu Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek pula menyatakan jika UMNO dan PAS boleh berbincang bersama maka tidak salah juga untuk MCA berbincang dengan DAP untuk kepentingan negara.

Justeru itu pemerhati politik berpendapat idea Kerajaan Perpaduan yang dilontarkan oleh Presiden PAS tidak mungkin dapat diterima pakai di dalam konteks senario politik kontemporari. Ia akan hanya mempertajamkan hubungan kaum dan menebalkan semangat rasisma di kalangan rakyat.



Tiada Sebarang Hubungan PAS UMNO

Putuskan sebarang perhubungan dengan Umno. Itulah cara yang terbaik untuk menyelesaikan krisis dalaman PAS sekarang.

Pandangan ini disepakati di kalangan pemimpin PAS khasnya dari negeri ini, Kelantan. Menjelang pilihanraya kecil Manek Urai, perkara ini perlu dikuatkuasakan sepenuhnya. Mana-mana pemimpin PAS yang dikaitkan ada hubungan dengan Umno akan disisihkan dari sebarang aktiviti parti di sini.

Dalam pilihanraya kecil Manek Urai, para penceramah PAS patut di‘skrin’ sepenuhnya. Mereka yang dikira menyokong kerajaan perpaduan akan dikeluarkan dari senarai penceramah.

“Kami tidak mahu memberikan signal yang negatif kepada pengundi dan rakyat negeri ini. Ini kerana rakyat tidak boleh mendengar nama Umno sekarang, imejnya terlalu buruk,”
kata seorang penganalisa politik yang juga aktivis PAS di negeri ini.

Ketika ditanya, apakah asas kepada analisa ini dan sejauh manakah ia akan tepat, beliau berkata, “kejayaan PAS mengekalkan kerajaan negeri Kelantan adalah bukti analisa ini betul”.

Bagi beliau, deria ketujuh yang ada kepada pemimpin PAS di Kelantan membuktikan perkara ini betul.

Bagi beliau, pemimpin PAS Kelantan menentang agenda kerajaan perpaduan kerana sedar ia ditolak oleh rakyat.

“Kami dapat rasa penentangan rakyat terhadapnya. Perkara ini juga disedari oleh Tok Guru Nik Aziz. Sebab itu, dari awal lagi, jika ada sahaja unsur kerjasama antara PAS dengan Umno, beliau akan menentangnya,” kata beliau lagi.

Nik Aziz mula menunjukkan penentangan terhadap hubungan dengan Umno sejak timbul isu muzakarah PAS dan Umno lagi. Beliau menekan dengan sungguh-sungguh betapa pentingnya PAS memperkuatkan hubungannya dengan Pakatan.

“Cara nak kuatkan PAS dengan Pakatan adalah menjauhkan diri dari Umno agar ia tidak dicurigai atau disalah anggap PAS cuba mengkhianati mereka,” kata aktivis PAS itu.

Nik Aziz pernah mengkritik secara terbuka Pengerusi Harakah yang juga Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Mustafa Ali kerana dianggap memperlekehkan agenda 16 September yang dibawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendapat sokongan penuh rakyat.

Mustafa kemudiannya telah menemui Nik Aziz dan menyelesaikan perbezaan pendapat antara mereka berdua.

Kini, krisis dalaman PAS dianggap sedang memuncak. Nik Aziz telah meminta Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa agar mengosongkan kerusi Parlimen Bachok dan menyertai Umno jika terus mahu dengan agenda kerajaan perpaduan.

Nik Aziz bukan sahaja menentang kerjasama PAS dengan Umno bahkan kerjasama antara Pakatan Rakyat dengan BN kerana Umno ada di dalamnya.

“Hina sangat ke Umno dan mulia sangat ke DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat itu,” tanya seorang pemimpin Umno.

Memang. Bagi Nik Aziz Umno terlalu hina.

“Masa dia hendakkan kita, dia akan pujuk kita tetapi bila dah tak suka, dia akan tendang sahaja kita,” kata Nik Aziz mengenang kembali bagaimana PAS ditendang dari BN 1978 lalu.

Ketika itu, Nik Aziz yang sudah sekian lama mengajar di Masjid Muhammadi di Kota Baru, juga dihalang dari mengajar di masjid negeri itu lagi.

Sejak itu, difahamkan, Nik Aziz bersumpah tidak akan memijak lagi kakinya ke masjid itu. Beliau mula mengajar di Bangunan PAS, Jalan Dato’ Pati sehinggalah sekarang.

Kini, Nik Aziz bertegas, beliau tidak akan benarkan PAS mengadakan hubungan dengan Umno. Nampaknya, penyokong PAS bersama beliau.

“PAS akan sentiasa berada di nombor 2 jika bekerjasama dengan Umno. Kalau kita di luar, kita berpeluang menjadi nombor satu dalam politik negara ini,” kata Datuk Husam Musa, penyokong kuat Nik Aziz.

Husam kalah dalam pertandingan tiga penjuru untuk jawatan timbalan presiden PAS baru-baru ini. Nasharudin Mat Isa menang jawatan itu dan menghantar signal seolah-olah perwakilan PAS menyokong agenda kerajaan perpaduan yang didokong beliau bersama Abdul Hadi.

“Semasa muktamar lalu perwakilan ditipu oleh puak-puak ini dengan agenda menyokong kepimpinan ulama, padahal sebenarnya mereka ini mahu membuat kerjasama dengan Umno,” kata penganalisa politik Kelantan itu tadi.

Dengan keadaan yang ada tiada jalan lain nampaknya. PAS perlu memutuskan sepenuhnya hubungan dengan Umno. Hantarkan mesej yang jelas bahawa tidak ada sebarang hubungan lagi dengan Umno, barulah keadaan dalam PAS akan reda semula.

PAS UMNO : Polis Berdemo Depan Pejabat Agung PAS

Kerana percaya satu demonstrasi akan berlaku di perkarangan Pejabat Agung PAS selepas Jumaat hari ini, lebih 20 anggota polis memenuhi perkarangan pejabat PAS Jalan Raja Laut itu.

Para kakitangan pejabat PAS itu menganggap, anggota polis yang berdemo hari ini kerana tidak ada seorang pun ahli PAS yang berkumpul di situ untuk berdemo.

Demostrasi itu dikatakan akan diadakan sebaik sahaja selesai solat Jumaat hari ini, namun tidak ada sebarang kelibat demonstrasi itu.

Polis yang berpakaian seragam dan preman memenuhi kedai-kedai dan perkarangan kedai di depan pejabat PAS itu.

Turut serta adalah beberapa wartawan dan jurugambar.

Polis dan wartawan mula beredar kira-kira jam 3.20 petang selepas hampir satu jam setengah berkumpul di pekarangan bangunan PAS itu.

Sejak dua hari lepas, SMS yang menyebut satu demo akan diadakan di perkarangan Pejabat Agung PAS tersebar ke merata-rata.

Wartawan juga turut menerimanya menyebabkan ada di kalangan mereka percaya dengannya.

SMS itu berbunyi, "Demo bersih di pejabat PAS jln raja laut pada 19.6.09 selepas solat jumaat."

Ia, kata SMS itu akan dianjurkan oleh Bersih.

Ia telah memarahkan Haji Mohamad Sabu iaitu Pengerusi Jawatankuasa Mobilisasi Demokrasi PAS yang selama ini menganjurkan demo Bersih.

Demo kali ini dikatakan akan dilakukan oleh mereka yang menentang kononnya ada kerjasama sesetengah pemimpin PAS dengan Umno untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.

Tahun lalu, SMS yang serupa juga beredar di kalangan penyokong PAS dan media. Demo dikatakan akan diadakan untuk membantah muzakarah antara Umno dengan PAS ekoran pendedahan mesyuarat sulit antara Umno dan PAS oleh Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi.

Namun, demo itu juga tidak ada. -malaysianinsider


PAS UMNO : Kalau Muhyiddin Ikhlas, Mohon Sultan Adakan Pilihanraya Di Perak

Bernama melaporkan Umno mahukan perbincangan dengan PAS mengenai kerajaan perpaduan disegerakan dan meminta pemimpin Pas melupakan persengketaan lama bagi kepentingan perpaduan umat Islam di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata beliau berharap perbincangan itu berjaya diadakan kerana jika perkara itu dibiarkan berlarutan akan timbul perpecahan dalam kalangan umat Islam.

"Kita tidak akan tetapkan apa-apa syarat dan kita terima apa saja syarat yang ditetapkan oleh Pas. Bagi saya kita perlu bersikap terbuka," katanya kepada pemberita pada majlis Perjumpaan Khas Dengan Warga Pendidik di Sekolah Kebangsaan Sungai Sok di sini hari ini. Muhyiddin adalah juga Menteri Pelajaran.

Demikianlah halnya Muhyiddin memasang perangkap besar untuk PAS supaya termakan umpan itu yang mana katanya "kita terima apa saja syarat yang ditetapkan oleh Pas" akan menyebabkan PAS meliur air lelehnya untuk tidak dapat tidak menyatakan persetujuannya nanti sekalipun ia hanya kata-kata manis bagi mempastikan berlaku satu pertemuan yang nantinya akan memberi kemenangan moral kepada UMNO BN sendiri.

Beliau meminta Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya melupakan sengketa yang pernah berlaku antara PAS dan Umno pada era 70an dahulu sewaktu kedua-dua parti bekerjasama membentuk kerajaan negeri Kelantan tetapi Pas kemudian keluar kerana masalah dalaman.

"Itu zaman lampau. Sebagai umat Islam kita digalak bermaaf-maafan," katanya.

Muhyiddin berkata pemimpin PAS yang tidak bersetuju harus melihat sengketa lama itu berlaku di bawah kepimpinan yang lama dan kini kepimpinan PAS telah diterajui oleh pemimpin baru yang mempunyai hala tuju dan matlamat baru.

Begitulah ajakan Muhyiddin meminta kita melupakan semua kezaliman yang dilakukan UMNO selama ini malah sehingga kini UMNO terus melakukan kezalimannya terhadap PAS dan Pakatan rakyat.

JIKA GB PEMIMPIN TERTINGGI PAS ATAU PR,INI YANG GB NYATAKAN KEPADA PELAWAAN TPM ITU:

Perak adalah contoh terbaik dan jika Muhyiddin dan UMNO/BN jujur dan ikhlas, kembalikan Perak kepada Pakatan Rakyat atau bersegeralah PM dan TPM pergi menghadap Sultan Perak untuk merafak sembahkan pembubaran DUN dan diadakan pilihanraya semula!

Seterusnyanya, hal lain boleh dibincang kemudian.

PAS UMNO : Beranikah Najib Penjarakan Anwar?

Sekalipun Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan pendakwaan fitnah liwat terhadapnya di Mahkamah tinggi Kuala Lumpur akan menyaksikan beliau dijatuh hukuman dengan segera dan dikembalikan ke penjara Sungei Buloh sekali lagi, keadaan tersebut kemungkinan besarnya tidak akan berlaku.

Perbicaraan atas tuduhan liwat terhadap Anwar akan bermula pada 1 Julai meskipun dua laporan perubatan membuktikan tidak ada tanda-tanda pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan diliwat sebagaimana yang didakwa beliau.

"Senario terburuk yang mungkin saya hadapi ialah mereka menolak permohonan ikat jamin saya dan segera menjatuhkan hukuman," anwar dipetik berkata oleh agensi berita Peranchis, AFP.

Menurut Anwar, beliau menjangkakan bukti-bukti palsu akan dibentangkan di mahkamah oleh pendakawaan sekali lagi sebagaimana yang dilakukan pada perbicaraan 1998 dalam cubaan UMNO-Barisan Nasional menamatkan kareer politiknya.

"Itu adalah cara termudah bagi Umno untuk menghapuskan saya bagi menyelesaikan masalah politik mereka," tambah beliau lagi.

Saya menyatakan kemungkinan besarnya tidak akan berlaku pemenjaraan ke atas Anwar, kerana jika demikianlah konspirasi Najib-Musa Hasan-Gani Patail maka ia adalah langkah silap mereka bertiga di dalam mengaturkan plot konspirasi itu.

Jika Anwar dipenjara, Permatang Pauh akan menghadapi pilihanraya semula. Apakah Najib dan UMNO sedia menyaksikan ia diaibkan lagi di tempat yang telah banyak kali UMNO diaibkan?


Anwar, 61, secara konsisten menolak dakwaan yang dilemparkan ke atasnya oleh Saiful dan laporan perubatan Hospital Pusarawi dan Hospital Kuala Lumour yang disahkan oleh tiga pakar perubatan menguatkan hujah Anwar bahawa tuduhan itu satu lagi rekacipta dan konspirasi politik oleh pimpinan tertinggi UMNO.

Saiful membuat laporan polis kononnya beliau diliwat oleh Anwar beberapa hari selepas bertemu dengan Perdana Menteri Najib Razak.

Najib ketika itu sedang mengarahkan kempen untuk menumpaskan Anwar pada pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh.

Najib menggunakan laporan polis itu sebagai modal politik namun rakyat menolak fitnah berkenaan. Anwar menang dengan majoriti besar di Permatang Pauh dan diangkat menjadi Ketua Pembangkang di parlimen.

Meskipun tuduhan liwat oleh Saiful amat rapuh, Najib merestui tindakan Peguam Negara Gani Patail membawa pertuduhan terhadap Anwar ke mahkamah.

Anwar berkata dua laporan perubatan itu harus cukup untuk menyakinkan mana-mana pihak bahawa pertuduhan terhadapnya tidak berasas sama sekali.

"Kes ini tidak harus diteruskan apabila ia begitu jelas dilaporkan oleh pasukan doktor perubatan... yakni pakar perubatan bahawa tidak ada kesan (saiful) diliwat, jadi mengapa mereka tetap meneruskannya kecuali ia adalah menjadi satu konspirasi politik," tambah beliau lagi.

Anwar berkata Parti Keadilan Rakyat akan mengatur langkah secara terancang dan aman untuk menarik perhatian rakyat terhadap cubaan UMNO-Barisan Nasional sekali lagi memperalatkan institusi-institusi negara untuk memenuhi agenda politik sempit mereka.

"Kita akan lawan dan saya juga kini lebih bersedia, tidak seperti 1998 kerana ketika itu ia berlaku secara mengejut dan tidak sesiapun menjangkakan rancangan jahat sedemikian dirancangkan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Anwar juga berkata beliau bersedia bersemuka di mahkamah dengan Mohd Saiful.

"Saya tiada masalah berhadapan dengannya. Isunya adalah beliau (Saiful) perlu bersedia dengan semua bukti yang menentang tuduhannya, terutamanya bukti laporan perubatan," tambah beliau lagi.

Anwar berkata perbicaraan itu tidak akan memberi kesan kepada keutuhan Pakatan Rakyat sebagai gagasan berwibawa.

"Pakatan Rakyat bersedia menghadapi hakikat kemungkinan saya dipenjarakan dan sudahpun mengambil langkah yang sepatutnya," tambah beliau.


Najib Jangan Derhaka Kepada Sultan Johor - PAS JB

SSekali lagi isu cadangan pembinaan jambatan ketiga antara Johor dengan Singapura diperkatakan dan kali ini melibatkan titah dari Tuanku Sultan Johor, Sultan Iskandar yang disampaikan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail dalam perasmian sidang Dewan Undangan Negeri Johor semalam.

Sultan Johor menitahkan bahawa Tuanku tidak setuju dengan cadangan pembinaan jambatan ketiga.

Terdahulu sebelum ini Perdana Menteri Malaysia dan Singapura Dato Seri Najib Tun Razak dan En Lee Hsien Loong saling bertukar pendapat dan cadangan tentang jambatan ketiga tersebut dalam lawatan kerja PM Malaysia ke Singapura sebulan yang lalu.

Ianya diperkuatkan lagi dengan kunjungan Menteri Mentor Singapura En Lee Kuan Yew di Putrajaya seminggu yang lalu bilamana beliau juga turut melahirkan hasrat dan minat beliau tentang cadangan pembinaan jambatan tersebut.

Dato Seri Najib dikhabarkan sebelum ini belum mengadap Sultan Johor dan memaklumkan apa-apa kepada Sultan memandangkan kata Dato Seri Najib ianya masih dalam peringkat cadangan sedangkan beliau sendiri sudahpun meminta Tan Sri Mohd Nor Yackop untuk melakukan kajian dan kerjasama dengan rakan sejawat beliau dari Singapura.

Apakah punca yang menyebabkan Sultan Johor tidak setuju dengan cadangan tersebut tidak diketahui kerana Tuanku Sultan Johor semalam menitahkan anaknya Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim untuk mewakili Tuanku Sultan untuk merasmikan Sidang Dun yang turut dihadiri oleh Raja Muda Johor Tunku Ismail Ibrahim.

Sidang Dewan Undangan Negeri Johor ke-12 semalam dirasmikan di Kota Iskandar yang menjadi pusat pentadbiran baru kerajaan negeri, menggantikan Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan, Johor Bahru.

Sudah masanya kerajaan bersifat rasional dalam bantahan-bantahan ini memandangkan manfaat besar tidak ada dalam pembinaan projek ini. Kalau dikatakan ianya boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan Pengerang, Bandar Penawar dan Desaru ianya adalah bersifat sementara.

Ahli parlimen Johor Bahru Datuk Shahrir Abdul Samad sebelum ini juga menyifatkan langkah pembinaan jambatan ketiga antara Malaysia dan Singapura di Timur Johor sebagai tidak wajar.

Kita sudah ada Tambak Johor yang sesak saban hari biarpun Johor mempunyai Kompleks Imigresen & Kastam Iskandar yang indah dan mengambil kira juga jambatan Lingkaran Kedua di Gelang Patah yang tidak dimaksimumkan penggunaannya oleh rakyat yang majoritinya sanggup bersesak di Tambak Johor semata-mata untuk memendekkan. perjalanan dan mengambil kira kos murah masuk dan tol yang kalau dibandingkan dengan Link Kedua yang cukup membebankan rakyat. - pasjohorbahru



PAS UMNO : Haji Hadi Perlu Letak Jawatan Presiden

Gagasan Kerajaan Perpaduan yang diketengahkan oleh Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang kini telah menjadi parasit yang menyerang parti sehingga wujud perpecahan yang begitu menyediihkan di kalangan ahli parti - yang terburuk semenjak zaman PAS dipimpin oleh golongan nasionalis, Datuk Mohd Asri Hj Muda.

Gagasan Kerajaan Perpaduan yang telah ditarik balik beberapa hari sebelum pencalonan jawatan Presiden dan lain-lain jawatan bermula untuk Pemilihan Muktamar kali ke 55 berlansung, telah dihidupkan semula pada hari muktamar, sekalipun tidak disebutkan di dalam ucapan dasarnya, tetapi diwarwarkan kepada pihak media sewaktu ditanya oleh para pemberita.

Haji Hadi mengesani bahawa jika gagasan tersebut dimasukkan ke dalam Ucapan Dasarnya sepastinyalah beliau akan menerima nasib seperti bekas Presiden PAS, Dato Mohd Asri dimana ucapan dasar Mohd Asri telah ditolak oleh perwakilan PAS sehingga Mohd Asri diturunkan dari jawatannya dan digantikan oleh Hj. Yusof Rawa.

Satu hal yang nyata, gagasan Kerajaan perpaduan ini adalah satu penjenamaan semula terhadap gagasan Kerajaan Campuran yang pernah dilontarkan untuk menyaingi gagasan 16 September yang dibawa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun yang nyata juga, sekalipun gagasan Anwar gagal, namun arus kebangkitan rakyat menunjukkan bahawa sokongan terhadap Anwar dan Pakatan rakyat terus meningkat dengan Pakatan Rakyat memperolehi kemenangan demi kemenangan di dalam setiap pilihanraya kecil yang dijalankan di Semenanjung menjadikan cita-cita untuk menuju ke Putra jaya sebagai sesuatu yang semakin hampir.

Namun gagasan Kerajaan Perpaduan tajaan Hadi, serupa dengan gagasan OneMalaysia tajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak jauh berbeza, sekadar slogan retorik yang amat dimenyampahi oleh rakyat.

Ia tidak bejejak di bumi nyata dan tidak ada perbincangan serius serta komprehensif dilakukan untuk mempastikan gagasan itu dikupas agar ianya menjadi gagasan ideal yang boleh diterjemahkan di alam realiti sepertimana gagasan-gagasan besar negara contohnya Revolusi Mental, Dasar Ekonomi Baru, Wawasan 2020 dan seumpamanya.

"Kerajaan Perpaduan" hanyalah idea peribadi yang belum diseminarkan, tetapi telah menampakkan kesan barah yang terlalu mengerikan sehingga wujud perpecahan yang memberantakkan perpaduan jemaah PAS sendiri.

Gangasan Kerajaan Perpaduan gagal untuk disepakati lantaran ia berpaksi dari tujuan yang tidak murni. Menurut Pengarah Pilihanraya PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman semalam di Parimen, idea ini tidak pernah dibincangkan di dalam Majlis Syura (majlis tertinggi di dalam PAS di dalam soal perlaksanaan dasar dan halatuju parti) yang diketuai oleh Mursyidul Am PAS.

Yang nyata gagasan Kerajaan Perpaduan ini disokong dan disambut penuh kegirangan oleh UMNO - yang mengharapkan bantuan dan sokongan ahli-ahli PAS terhadap survival mereka yang semakin tenggalam di dalam senario politik tanahair.

Sementara di dalam PAS pula, yang menyokong gagasan ini adalah mereka yang menjadi penyokong taksub Haji Hadi di kalangan mereka yang tewas di dalam pilihanraya yang lalu untuk mencari jalan singkat menerima jawatan dan habuan sekiranya Kerajaan Perpaduan menjadi kenyataan.

Justeru itu, idea yang menjadi duri dalam daging ini perlu segera dibuang jauh sebelum duri itu terus membusuk dan merosakkan daging - dan perlukah pelupor yang menyebabkan luka ummah menjadi semakin parah ini turut dibersihkan dari jemaah dengan meminta beliau mengundur diri sebelum nantinya ahli-ahli mengusulkan undi tidak percaya kepada beliau sepertimana tidak disangka-sangka digerakkan hati mereka oleh Allah untuk berdirinya semalam 10 Ahli Parlimen dan sayap parti Dewan Muslimat PAS Pusat secara tegas menolak Kerajaan Perpaduan untuk terus bersama Pakatan Rakyat?

Sementelah lagi di dalam keadaan ummah sedang kecoh berantakan dengan racun Kerajaan Perpaduan ini, Haji Hadi memilih untuk terus berada di luarnegara disaat sepatutnya beliau WAJIB berada di Dewan Rakyat!


Konspirasi Peringkat Tertinggi Diketuai Najib Altantuya Rekacipta Tuduhan Liwat

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan 98 hujah kenapa pertuduhan liwat ke atasnya harus ditolak oleh Mahkamah, termasuk dua laporan perubatan dari hospital swasta dan kerajaan yang mengesahkan tidak ada bukti pengadu Saiful Bukhari diliwat.

Beliau turut menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Ketua Polis Negara Musa Hassan dan Peguam Negara Gani Patail sebagai terbabit langsung dalam konspirasi untuk menjatuhkan beliau dengan mendalangi pertuduhan liwat itu.

Anwar mengemukakan hujah-hujah itu dalam affidavit bagi menyokong permohonan berkenaan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, kira-kira dua minggu sebelum perbicaraan kes liwat itu dijadualkan bermula pada 1 Julai.

Dalam mengemukakan 98 hujah itu, Anwar menegaskan pertuduhan terhadapnya menyalahguna proses mahkamah atas empat sebab utama :

1- Pertuduhan itu adalah konspirasi politik

2- Pertuduhan itu mencabuli hak beliau dibawah perlembagaan

3- Pendakwaan yang dilakukan adalah berniat jahat tetapi diteruskan walaupun ada keterangan pakar-pakar menafikan kejadian liwat dan

4- kegagalan meneruskan pendakwaan terhadap Saiful di Mahkamah Syariah.

Peguam Anwar Sivarasa Rasiah dan Amer Hamzah hari ini merujuk kepada laporan perubatan oleh tiga pakar Hospital Kuala Lumpur yang merumuskan tidak ada bukti Saiful diliwat.

Laporan awal oleh doktor Pusat Perubatan Pusrawi juga membuat rumusan sedemikian dan disertakan dalam affidavit Anwar memohon mahkamah membatalkan pertuduhan itu.

Dalam affidavit itu, Anwar berkata Perdana Menteri Najib Razak turut memainkan peranan di dalam konspirasi kes liwat terkini kerana menganggap Anwar sebagai ancaman utama kepada beliau.

“Lantaran itu, pertuduhan yang sengaja diada- adakan terhadap saya dalam kes terkini adalah satu konspirasi untuk memastikan agar saya tidak menggugat kerjaya politik Najib,” kata Anwar dalam affidavit itu.

Anwar juga mengingatkan bahawa Najib telah menafikan pernah berjumpa Saiful tetapi “akhirnya mengaku ada menemui Saiful sebelum beliau membuat laporan palsu terhadap saya.”

“Mengapakan Saiful tidak terus membuat laporan polis serta merta sekiranya benar dia telah diliwat sepertimana yang didakwa? Apakah perlunya untuk beliau berjumpa dengan Najib,” tegas Anwar.

“Saya menegaskan bahawa Najib telah terlibat dalam usaha membuat laporan palsu terhadap saya,” tambah Anwar.

Anwar juga berkata kes liwat terhadapnya kali ini sekali lagi membabitkan Peguam Negara Gani Patail dan Ketua Polis Negara Musa Hassan yang memainkan peranan penting dalam memalsukan keterangan terhadapnya dalam kes-kes 1988 dan insiden mata lebam.

“Gani Patil dan Musa Hassan terlibat dan merupakan sebahagian daripada konspirasi untuk menyediakan laporan polis palsu… berhubung penangkapan saya” pada tahun 1988 kata Anwar dalam afidavit itu.

Kedua-dua mereka juga terbabit dalam konspirasi untuk menyediakan laporan perubatan yang palsu oleh seorang doktor yang tidak pernah memeriksa Anwar dalam insiden mata lebam Anwar dipukul oleh Ketua Polis Negara ketika itu Rahim Nor.

“Saya menegaskan bahawa pertuduhan terhadap saya dalam kes terkini adalah satu taktik untuk memastikan saya akan dipenjarakan atas kesalahan yang tidak saya lakukan dan juga untuk menutup kesalahan mereka (Gani dan Musa) sepertimana yang saya dedahkan,’ kata Anwar.

“Kedua- dua mereka tahu bahawa saya telah memperolehi maklumat mengenai salah laku mereka dan cara terbaik untuk mereka mengalih perhatian rakyat dan menutup kesalahan mereka ialah dengan sekali lagi mencipta pertuduhan baru dan mendakwa saya,” kata Anwar.

Anwar berkata tindakan yang diambil oleh Gani dan Musa mirip dengan perlakuan mereka dalam kes-kes 1998.

“Sejak awal (1998), apabila saya dituduh di Mahkamah secara mala fide (niat jahat), terdapat percubaan dan tindakan memalsukan keterangan terhadap saya dengan memperalatkan institusi kerajaan seperti Polis, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kimia dan lain-lain,” kata Anwar dalam afadivitnya itu.

Dalam kes rasuahnya, Anwar berkata sampel darahnya dicuri untuk ujian DNA oleh pegawai polis Mohd Rodwan Mohd Yusof untuk “satu penipuan yang nyata.”

Dalam kes liwat, Anwar berkata pihak polis dan pendakwaan jelas menggunakan manipulasi dan tipu-helah untuk memperolehi keterangan palsu daripada pengadu Azizah Abu Bakar yang banyak memberi kenyataan bercanggah.

Pembohonan oleh Azizah akhirnya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan yang menerima rayuan Anwar dan membebaskan dari penjara pada tahun September 2004.

Anwar menguatkan hujahnya lagi dengan merujuk kepada cubaan Peguam Negara Gani Patail untuk memeras kenyataan palsu daripada R.Nallakarupan dan penderaan oleh polis terhadap Sukma Dermawan dan Munawar Anees.

Beliau berkata afadivitnya jelas menghuraikan bukti bahawa pendakwaan terbaru terhadapnya adalah pendakwaan terhadap saya dalam kes terkini” berniat jahat dan penyalahgunaan proses undang-undang yang ketara pada peringkat tertinggi.


PAS UMNO : Pemuda PAS Tak Sokong Mursyidul Am PAS?

Tatkala Dewan Muslimat PAS Pusat dan 10 Orang Ahli Parlimen PAS menyatakan pendirian tegas mereka terhadap penolakan kerajaan perpaduan dan sekali gus memberi mandat kepada mursyidul am untuk menangani isu tersebut yang sedang menggelegak dalam parti kini, Dewan Pemuda PAS mengambil sikap berdiam diri.

Langkah yang diambil oleh Dewan Pemuda PAS Pusat di bawah pimpinan Ust Nasrudin Hassan Tantawi boleh difahami apabila kita sedia maklum hampir 80% dari ahli jawatankuasa yang menang di dalam pemilihan baru-baru ini adalah terdiri dari kumpulan pro-UG.

Justeru itu mereka merasakan adalah wajar untuk mereka sekadar berdiam diri dan tidak perlu untuk menyokong kepimpinan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang telah menentang gagasan Kerajaan Perpaduan sejak awal lagi.

Pendirian yang di ambil oleh Dewan Pemuda yang beridri teguh mempertahankan gagasan Kerajaan Perpaduan yang dibawa oleh Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang jelas menunjukkan sikap Pemuda yang enggan menerima penjelasan dari dari beberapa pimpinan tertinggi PAS yang lain bahawa idea Kerajaan Perpaduan itu tidak pernah dibincang dan diputuskan di dalam majlis Syura malah oleh jawatankuasa tertinggi PAS sekalipun.

Semalam Dewan Muslimat PAS Pusat dan Ahli Parlimen Muslimat PAS telah sebulat suara menolak sebarang kerjasama politik dengan Umno dan Barisan Nasional.

Sebaliknya sayap parti PAS itu membuat ketetapan mahu PAS bersama Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dan DAP di dalam gagasan Pakatan Rakyat.

Penegasan tersebut kata, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahamud dibuat sebagaimana keputusan muktamar PAS ke-55 pada 5 hingga 7 Jun yang lalu yang sebulat suara mahu PAS bersama Pakatan Rakat.

Beliau yang bercakap dalam satu sidang media di Lobi Parlimen berkata, mereka faham dengan kecelaruan yang berlaku di kalangan ahli-ahli akar Umno serta pimpinan peringkat bawah serta di kalangan penyokong dan pengundi PAS.

"Kami menyeru supaya ahli-ahli PAS, Kelab Penyokong PAS dan penyokong PAS bertenang dan tidak cemas dengan usaha-usaha pihak tertentu untuk memecah belah Pakatan Rakyat dan perpaduan dalam PAS," katanya yang turut ditemani, Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali, Ahli Perlimen Rantau Panjang yang juga Timbalan Ketua Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusuf dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi.

Semalam 10 orang ahli Parlimen PAS telah mengisytiharkan beramai-ramai penolakan kerajaan perpaduan dan sekali gus memberi mandat kepada mursyidul am untuk menangani isu tersebut yang sedang menggelegak dalam parti itu.

Dalam kenyataan ringkas tiga perenggan, mereka sebulat suara menegaskan bahawa idea kerajaan perpaduan seperti disarankan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang "tidak pernah merupakan agenda PAS."

Daripada bancian-bancian yang ada di dalam blog-bog dan portal, dianggarkan 80% ahli PAS menyokong tindakan tegas Mursyidul Am PAS bagi membendung perpecahan di dalam parti serta menentang gagasan Kerajaan Perpaduan yang dibawa oleh Haji Abd Hadi


NIZAR FAILKAN RAYUAN ESOK, HAKIM MASIH GAGAL KEMUKA HUJAHAN BERTULIS

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan memfailkan esok permohonan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, yang mengisytiharkan Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Nizar berkata beliau terpaksa bertindak demikian walaupun panel hakim Mahkamah Rayuan belum mengemukakan hujah bertulis mereka dalam membuat keputusan itu bulan lalu.

Datuk Md Raus Shariff, Datuk Zainun Ali dan Datuk Ahmad Maarop sebelum ini memberi jaminan untuk memberi hujah bertulis bagi menyokong keputusan mereka yang telah mengejutkan pelbagai pihak.

Menurut Nizar, beliau hairan mengapa hakim berkenaan melewat-lewatkan penyerahan ulasan bertulis sedangkan ketiga-ketiga mereka hanya mengambil masa 5 minit untuk menyampaikan keputusan secara lisan.

"Seolah-olah ada unsur ketidakadilan dalam aspek ini kerana rayuan Zambry mengambil masa 24 jam sahaja untuk dilaksanakan tetapi hal ini pula masih tertangguh", kata Nizar yang dilihat sebagai Menteri Besar yang sah dilantik dengan mandate rakyat Perak.

Kerenah hakim terbabit menjejaskan usaha Nizar merayu untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu dengan memberikan alasan-alasan yang setimpal.

Nizar bersetuju dengan kenyataan Ketua hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi menyelar hakim yang melengah-lengahkan keputusan bertulis mereka.


Zaki juga menggesa hakim membuat keputusan dengan telus dan berdasarkan kepada bukti serta undang-undang termaktub.

Sementara itu, Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham turut mendesak hakim terbabit untuk menyegerakan hujah bertulis mereka bagi memberi keadilan kepada pihak yang mempertikai keputusan itu.

“Setiap keputusan hakim perlu disertai dengan fakta yang menyatakan sebab ia di ambil tetapi kegagalan mereka ini member ulasan bertulis adalah tidak mengikut sistem yang betul”, ujar Ngeh. -TVA