11 Mac 2015

TITM Tarik Diri, Ruang Terbuka Luas Untuk Calon Lain Cabar Haji Hadi


Tuan Ibrahim tolak pencalonan sebagai presiden PAS

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini menolak pencalonan beliau sebagai calon alternatif kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang dibuat PAS Kota Baru semalam.

Bagaimanapun, naib presiden PAS itu menyifatkan pencalonan itu membuktikan kesuburan demokrasi dalam PAS, meskipun seringkali parti dipimpin Hadi itu diserang sebaliknya.

Menyifatkan pencalonan itu satu kejutan, beliau berkata: "Seperti yang saya katakan kepada para wartawan yang bertanyakan hal ini hari ini: 'Kalau Datuk Husam (Musa) berkata 10 kali beliau pun tidak padan lagi dibandingkan dengan Hadi, saya yang berketinggian lima kaki dua inci pun mungkin ketinggalan lebih 5.2 kali di belakang Hadi dari segi kepimpinan'."

Beliau berkata, dalam sejarah kepimpinan PAS, jawatan presiden tidak pernah dipertandingkan khususnya, di era kepimpinan ulama.

"Saya melihat alangkah manisnya jika kita yang mendokong kepimpinan ulama, seperti yang dinyatakan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, untuk terus mengekalkan budaya tersebut," katanya merujuk kepada Yang Dipertua PAS Kota Baru.

Tuan Ibrahim berkata, PAS mencapai zaman paling gemilangnya di bawah kepimpinan Hadi sementara di peringkat antarabangsa pula, Kesatuan Ulama Sedunia mengangkat beliau sebagai orang nombor dua.

"Setakat ini tiada siapa yang dapat dipadankan secara dekat dengan kepimpinan dan juga ketokohan Hadi di dalam PAS," katanya.

Beliau juga menegaskan, dalam PAS, jawatan bukan sesuatu yang menjadi rebutan sebagaimana dalam parti lain.

"Pertandingan berlaku hanyalah di atas sifat 'fastabiqul khairat' (berlumba melakukan kebaikan)," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada PAS kawasan Kota Baru atas kepercayaan yang diberi.

Namun katanya, beliau tidak dapat menerima pencalonan tersebut kerana beliau akan terus mendokong Hadi sebagai presiden PAS dan membantunya.

"Biarlah orang lain kata tak setuju dengan ayah kita, tapi jangan pula anak-anak kata begitu,” katanya sebagai tanda menghormati Hadi sebagai pemimpin nombor satu parti Islam itu. – TMI

ULASAN GB

GB memandang dari msudut positif mengenai penarikan diri Tuan Ibrahim Tuan Man (TITM) daripada dicalonkan sebagai Presiden PAS di dalam pemilihan yang akan datang ini.

Pertama, ia melegakan kedua-dua pihak, samada pro-ulama yang menyokong kuat Haji Hadi sebagai Presiden atau golongan professional yang mahu Haji Hadi ditukarkan kerana sering saja bertindak "tidak mengukuhkan Pakatan Rakyat" sepertimana yang diresolusikan olehg beberapa muktamar yang lalu.

Golongan yang menyokong Haji Hadi merasa lega dengan penarikan diri TITM kerana undi mereka sudah tidak pecah lagi, bulat kepada Haji Hadi. Sebab bagi mereka, TITM adalah juga bayangan kepada Haji hadi sendiri. Satu kapal. Satu gengsi. Jika TITM bertanding, alamat susahlah mereka.

Manakala kumpulan professional pula mereka turut merasa lega dengan keputusan TITM itu, kerana peluang untuk mereka mencalonkan calon-calon lain kini terbuka luas. Jika tidak, kumpulan professional tersepit kerana perlu beri laluan kepada TITM. Nama-nama yang menjadi sebutan kini ialah Ustadz Ahmad Awang, bekas ahli majlis Syura PAS dan bekas PJ PAS Perak. Beliau adalah juga bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia. Yang lain-lain yang diwarwarkan juga sebagai pencabar Haji Hadi termasuklah Timbalan Presiden iaitu Muhmmad Sabu, Husam Musa, Mujahid Yusof Rawa dan Salehuddin Ayub.

Yang pasti jawatan Presiden memang akan ada pertandingan. Tiada zon selesa lagi bagi Haji Hadi, tiada menang tanpa bertanding lagi. Di dalam perlembagaan tiada syarat menyatakan Presiden PAS itu mesti dari kalangan ulama. Tiada kesalahan dari sudut apa pun, syariei ataupun moral, jika seseorang itu dicalonkan bertanding untuk jawatan Presiden. Malah Hadith Rasulullah menunjukkan sesiapa pun yang dilantik sebagai Ketua, ia perlu ditaati tanpa mengira dia ulama atau bukan.

“Aku wasiatkan kepada kamu semua supaya bertaqwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla, dan patuh serta taat walaupun yang memimpin kamu adalah seorang hamba Habsyi. (Hadis Riwayat Ahmad, 28/373, no. 17144. Ad-Darimi, 1/57, no. 95. Dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arnauth)

Hal ini ditegaskan oleh kenyataan dari bekas Presiden PAS sendiri, Allahyarham TG Fadzil Noor.



Mengapa Haji Hadi perlu ditukarkan? Boleh baca ulasan GB di dalam entri berikut:

Pil "WALA" Dijaja Semula Sempena Pemilihan...

Petisyen Bebaskan Anwar Dinaikkan Semula, Berjaya Capai Sasaran!


Petisyen pada White House menggesa pembebasan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah dinaikkan semula di talian sejurus sebelum tengah malam, dan berjaya mencapai sasaran mengutip 100,000 tandatangan awal pagi ini



Sehingga jam 8 pagi ini, jumlah tandatangan yang diperolehi untuk petisyen tersebut ialah 106,419 - sehari menjelang tarikh akhir pada 12 Mac, lapor malaysiakini.

Petisyen Pro-Anwar itu diusahakan oleh bekas duta Amerika Syarikat ke Malaysia John Malott, dikeluar dari lamanweb White House semalam kerana "melanggar terma peserta".

Ia telah digantung selama 14 jam ketika ia memerlukan kira-kira 4,000 lagi tandatangan untuk mencapai sasarannya.

Tarikh akhir bagi petisyen itu adalah esok, 12 Mac. Ia memerlukan 100,000 tandatangan untuk mewajarkan tindak balas daripada Presiden Amerika Syarikat.

Petisyen yang dibuat beberapa selepas penghakiman itu turut mendakwa Anwar telah disabit dan dipenjarakan atas tuduhan yang direka-reka dan menambah bahawa kenyataan daripada Rumah Putih yang menyatakan kekecewaan negara Amerika itu sahaja tidak memadai.

Petisyen itu telah dibuat di petitions.whitehouse.gov, sebuah laman web yang membolehkan rakyat Amerika untuk membuat petisyen mendesak kerajaan AS dalam pelbagai isu.

Kenyataan di laman web itu menyebut: "Petisyen ini diwujudkan kerana kerajaan mahu mendengar daripada rakyat Amerika.

"Jika petisyen mendapat sokongan yang cukup, kakitangan White House akan menyemaknya, memastikan ia dihantar kepada pakar-pakar dasar yang sesuai, dan diberikan respon rasmi."

Malott memberitahu Malaysiakini bahawa beliau tidak menerima sebarang pemberitahuan dari Rumah Putih mengenai penggantungan petisyennya.

Manakala petisyen balas yang menggesa pentadbiran Obama supaya tidak campur tangan dalam badan kehakiman Malaysia telah digantung awal pagi ini oleh laman web White House.

Malott berkata beliau tidak meminta petisyen itu diturunkan.

[Menjelang Muktamar] Mengenang Jasa Besar TG Fadzil Mohd Noor


Kasih Fadzil Noor kepada ahli PAS Oleh A Shukur Harun

Merenung situasi di dalam PAS sekarang ini, yang tentunya setiap orang mempunyai tanggapan sendiri mengenai punca krisis yang berlaku ini, saya - mungkin juga sahabat lain - terkenang kembali beberapa pesan dan nasihat bekas Presiden PAS, allahyarham Fadzil Mohd Noor.

Lebih-lebih lagi mengingat Muktamar Tahunan PAS ke-61 akan berlangsung Jun depan, maka ingatan dan nasihat tokoh besar ini semakin segar, bahkan air mata mengalir mengenangkan pesannya itu, ketika PAS dilanda krisis sama sendiri, seoah-olah tiada damainya.

Bayangkan jika allahyarham masih ada hayatnya dan menyaksikan krisis dalaman yang berlaku ini, betapa remuk hatinya dan tentunya mengambil langkah segera mencari punca masalah dan menyelesaikannya.

Ini kerana allahyarham sangat menitikberatkan perpaduan jemaah dan sangat mengasihi semua ahli PAS. Dengarlah apa katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kali Terakhir di Muktamar Tahunan PAS:

"Kalau dapat saya hendak meneruskan lagi ucapan saya di depan hadirin/hadirat ini kerana saya sangat sayangkan ahli PAS semuanya dan saya enggan berpisah dengan anda semua. Tetapi saya terpaksa menamatkan juga ucapan ini."

Ucapannya itu menyebabkan para muktamirin menitiskan air mata, mereka sangat terasa disayangi pemimpin mereka.

Bagi mereka, kesayangan pemimpin kepada semua ahli adalah nikmat yang sangat membahagiakan. Di sinilah hubungan rapat antara pemimpin dan ahli.

Allahyarham adalah presiden PAS (1989-2002), meninggalkan kita pada 2002, bererti 13 tahun meninggalkan kita, namun pesan dan nasihatnya masih segar dalam ingatan.

Allahyarham mengingatkan pendukung PAS:

"Apabila kita bersama memperjuangkan kebenaran dan keadilan maka itu bermakna kita sudah menang. Ahli PAS juga perlu waspada, jika musuh politik PAS memuji PAS dan memberi ruang kepada PAS, terutama di media mereka, maka tentu ada sesuatu yang tidak kena kepada PAS."

Allahyarham juga mengingatkan ahli PAS supaya menjaga kata-kata, jangan melabel seseorang kerana dikhuatiri akan menimbulkan fitnah, tuduhan dan seumpamanya:

"Yang penting, minta ampun dengan Allah walau di mana kita berada. Allah maha mendengar. Kita minta ampun, insya-Allah, Allah akan bagi. Dia bukan zalim atau kedekut. Jangan mencari salah orang lain. Cermin diri sendiri dulu. Diri sendiri pun belum tentu masuk syurga.

"Jangan pertikai latar belakang orang lain. Jangan dok bahas iman orang lain. Jangan dok debat amalan orang lain. Tak pasai-pasai masuk neraka kerana dok sibuk pasai orang lain. Cermin diri kalau nak masuk syurga. Syurga ni bukan hak milik sapa sapa. Jadi, toksah dok nilai iman dan amalan orang lain."


Nasihatnya ini sewajarnya menjadi renungan kepada semua pendukung PAS yang kini mencpai jumlah lebih sejuta orang daripada pelbagai latar belakang, pendidikan, kemahiran dan iklim negeri yang berbeza.

Allahyarham sangat gembira dengan bertambahnya ahli baru pelbagai latar belakang pendidikan, kemahiran dan sebagainya.

Di sini saya memetik kata-katanya dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-45 di Taman Melewar pada Mei 1999 apabila mengumumkan di dalam ucapan dasarnya hasil gelombang perubahan yang berlaku di dalam negara beberapa bulan sebelum itu ahli PAS bertambah.

"Alhamdulillah rancangan kita berjaya. Hari ini bilangan ahli PAS melebihi setengah juta (waktu itu). Saya terharu dengan penyertaan ahli baru yang mencecah lebih 100,000 orang dalam masa beberapa bulan terakhir ini," katanya.

Dengan bangganya allahyarham berkata:"Kita seringkali mendengar rungutan dan kritikan PAS begitu sekali ketandusan sumber tenaga manusia terutama golongan profesional. Bagaimana mungkin untuk PAS mentadbir negara sedangkan mereka tidak mempunyai tenaga profesional? Sekarang kita mempunyai ribuan ahli di kalangan profesional. Apakah kita masih tidak mampu mentadbir negara dan menjadi kerajaan alternatif?" soalnya.

Di sinilah saya memetik kenyataan Jabatan Pendidikan Politik Pemuda PAS Malaysia, Mohd Hasbie Muda baru-baru ini yang menyeru semua pemimpin PAS supaya berlapang dada memikirkan di manakah silapnya apabila ahli yang sebelum ini pernah menjadi lambang kebanggaan kita kini cuba dihambat (dihalau) keluar parti pula.

Gesaan menghambat ahli keluar parti, katanya, perlulah dihentikan serta-merta kerana gesaan ini sangat memalukan. Ia seolah-olah membuat pengakuan terbuka Lajnah Dakwah dan Lajnah Tarbiyyah PAS gagal melaksanakan tugas mendakwah dan mentarbiyyah ahli parti. Hasbie mengingatkan semua pemimpin PAS sebagai sebuah parti politik, kita memerlukan kedua-dua kualiti dan kuantiti pada ahli kita.

"Gesaan menghambat ahli PAS keluar parti berlawanan dengan matlamat kita berpolitik dan berdakwah iaitu untuk mencapai kemenangan di dalam pilihan raya demi mencapai reda Ilahi. Meruntuhkan apa yang dibina dengan bersusah-payah oleh pemimpin PAS terdahulu kerja yang salah. Oleh itu jangan diruntuhkan, kerana membinanya semula sudah tentu akan memakan masa.

Allahyarham pencetus idea baru dalam politik Islam di tanah air, meneroka tahalluf siyasi, membuka ruang ijtihad, menghantar PAS ke dunia politik baru yang sangat mencabar, membuka ruang luas untuk orang ramai, khususnya kalangan bukan Islam, mengenal Islam menerusi PAS dan seterusnya membina jambatan dengan kaum lain. Dengan itu PAS meruntuhkan prejudis kalangan bukan Islam terhadap PAS menyebabkan PAS sangat dihormati pelbagai kaum.

Ini sumbangan besar allahyarham kepada PAS, malah kepada dunia Islam seluruhnya. Hari ini kita mengingati kembali pemergiannya, namun pesan-pesan, pandangan dan gagasan politiknya masih segar dalam ingatan kita, malah menjadi panduan dalam gerak kerja PAS menjaga akhlak Islam dalam apa keadaan pun.

Akhirnya mari kita bersama mengingati pesan dan nasihat allahyarham yang sentiasa memancarkan kasih sayangnya kepada semua jamaah PAS tanpa mengira dari golongan manapun mereka datang.


ULASAN GB

Memang dia seorang murabbi ummah. Suaranya yang lembut namun tegas telah berjaya memperkenalkan PAS daripada sebuah parti yang konservatif sifatnya satu ketika kepada sebuah parti yang dihormati oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

Jasanya terlalu banyak untuk disenaraikan. Bermula dengan kerjasama PAS dengan Parti Semangat 46, Angkatan Perpaduan Ummah terbentuk di zaman beliau pada 1989, PAS berjaya menang majoriti kerusi di negeri Kelantan dan kerajaan PAS dibentuk semula di Kelantan pada 1990 semenjak kalah teruk pada 1977.

Ustaz Fadzil Noor dilantik sebagai Pengerusi GERAK (Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia). Gerak ditubuhkan oleh PAS, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan disertai oleh 15 pertubuhan bukan kerajaan dan individu untuk menegakkan keadilan selepas pemecatan dan penahanan DSAI.

Ustaz Fadzil adalah orang yang menubuhkan GERAK, dan dengan GERAK itulah beliau merintis penubuhan Barisan Alternatif yang merupakan satu tahaluf siyasi ke arah pembentukan Malaysia Baru. Waktu itu, DSAI sudah berada di dalam penjara. Di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor, GERAK dilancarkan pada 27 September 1998 di Markaz Tarbiah, Taman Melewar. Puluhan ribu rakyat dan ratusan wartawan dari dalam dan luar negara hadir ke majlis pelancaran tersebut.

Pada 1999, PAS menubuhkan Barisan Alternatif bersama Keadilan dan berjaya mendapatkan semula Terengganu yang terlepas pada 1964. Dengan jasanya menubuhkan Barisan Alternatif itu juga yang menyebabkan Terengganu ditawan semula oleh PAS, rakan ABIMnya, Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu.

Dalam pilihan raya 2008, selepas Barisan Alternatif yang diusahakan oleh Allahyarham Ustaz Fadzil Noor itu digantikan dengan Pakatan Rakyat, telah berjaya menawan negeri Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, di samping mengekalkan Kelantan di tangan PAS.

Di negeri Kedah, BA bersama dengan seorang calon bebas membentuk kerajaan. Ustaz Azizan Abdul Razak, Pesuruhjaya PAS Kedah dipilih sebagai Menteri Besar Kedah.

Di Pulau Pinang pula, DAP dapat menubuhkan kerajaan kerana mendapat majoriti mudah hasil kerjasama dengan PKR. Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP dilantik sebagai Ketua Menteri.

Sementara di negeri Perak dan Selangor pula, gabungan DAP, PAS dan PKR berjaya membentuk kerajaan, dengan Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS) dan Abdul Khalid Ibrahim (PKR) menjadi Menteri Besar.

Dan selepas itu Pakatan Rakyat ditbuhkan. Satu keistimewaan jelas pada Ustaz Fadzil ialah beliau tidak menherdik ahli-ahli PAS, atau menggelar mereka dengan apa-apa gelaran, jauh sekali menghalau ahli PAS yang berbeza pendapat dengannya menyebabkan PAS terus bertambah kukuh dan mantap dieranya dan beberapa tahun selepas pemergiannya.

Kini apabila PAS diambang muktamar, disaat PAS dilanda perpecahan kita tiba-tiba terkenang kembali jasa-jasa Allahyarham di atas. Seperti kenyataan Jabatan Pendidikan Politik Pemuda PAS Malaysia, Mohd Hasbie Muda baru-baru ini yang menyeru semua pemimpin PAS supaya berlapang dada memikirkan di manakah silapnya apabila ahli yang sebelum ini pernah menjadi lambang kebanggaan kita kini cuba dihambat (dihalau) keluar parti pula.

"Gesaan menghambat ahli PAS keluar parti berlawanan dengan matlamat kita berpolitik dan berdakwah iaitu untuk mencapai kemenangan di dalam pilihan raya demi mencapai reda Ilahi. Meruntuhkan apa yang dibina dengan bersusah-payah oleh pemimpin PAS terdahulu kerja yang salah. Oleh itu jangan diruntuhkan, kerana membinanya semula sudah tentu akan memakan masa.

DI ANTARA KATA-KATA DAN PESANAN TG FADZIL NOOR