26 Jul 2009

Era Najib Altantuya : Kantoi! PR Telah Memerintah Selangor Sebelum PRU 12?

Heboh diperkatakan orang mengenai kewujudan blog membela Teo Beng Hock. Tapi apa yang sebenarnya hanya nak menyiarkan beberapa catatan atau rekod perbelanjaan bagi DUN Sungai Pelek.

Sesuai dengan namanya, beberapa fakta memang pelek. Apakah YB Ronnie Liu pernah menjadi ADUN Sungai Pelek sebelum Pilhan Raya Umum Ke-12? Semak baik-baik salinan penyata yang dimuatkan di blog berkenaan. Lihat dan semak tarikh-tarikh berkaitan. Pelek, memang pelek tapi mungkin tak pelek bagi SPRM..

Blog separuh masak? -marhaen.info




Era Najib Altantuya : Exco Buat Laporan Polis Terhadap Blog Fitnah

Exco Selangor Ean Yong Hian Wah dan Ronnie Liu Tian Kiew memfailkan laporan polis terhadap satu laman blog yang mendakwa mereka memaksa mendiang Teoh Beng Hock melakukan jenayah.

Bercakap kepada media di Ibu Pejabat Polis Shah Alam, Ean Yong yang juga majikan kepada mendiang meminta orang-ramai untuk tidak mempercayai blog itu kerana maklumat yang disediakan adalah salah dan boleh mengelirukan.

"Laman web yang tidak bertanggungjawab itu cuba dikaitkan dengan kematian Teoh Beng Hock dengan tekanan yang diberi oleh saya dan Ronnie Liu, untuk memaksa beliau menjalankan aktiviti- aktiviti yang menyalahi undang- undang. Ini semua adalah tidak benar kerana Teoh Beng Hock tidak pernah bekerja dibawah Ronnie Liu dan Teoh juga tidak terlibat dalam hal ehwal peruntukan DUN sungai Pelek," ujar Ean Yong.

"Kita juga mendapat maklumat bahawa ada pihak tertentu sedang merancang satu komplot untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Mereka sanggup berbuat apa saja termasuk menggunakan jentera- jentera kerajaan diantara DAP, PAS dan PKR," tambahnya lagi.

Beng Hock ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat 14 ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pada Khamis lalu. Mendiang dipanggil sebagai saksi dalam satu operasi besar-besaran agensi itu terhadap kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Selepas disoal-siasat selama lebih 10 jam tanpa henti, mayat mangsa ditemui di bumbung bangunan bersebelahan Plaza Masalam yang menempatkan ibupejabat SPRM kira-kira jam 1.30 petang.

Polis mengklasifikasikan kematian Beng Hock sebagai kematian mengejut, namun Pakatan Rakyat menuduh mendiang adalah mangsa serangan sistematik Umno-BN terhadap kerajaan Selangor.

Pada 23 Julai lalu, blog 'Truth for Teoh Beng Hock' muncul di laman maya dan mencetuskan kontroversi dengan rencana yang menuduh Ean Yong dan Ronnie Liu memaksa mendiang menyelewang wang ringgit dari peruntukan kerajaan negeri.

Ronnie dikatakan Adun Sungai Pelek dan blog itu turut memaparkan dokumen membutirkan 84 projek mencecah RM200,000 yang diluluskan Ronnie Liu kepada pembantunya Wong Chuan How di Dun Sungai Pelek.

Ronnie menjelaskan pengagihan peruntukan kerajaan negeri telah direkodkan dan dokumen menunjukkan maklumat di blog itu adalah palsu. Antara tuduhan berniat jahat yang disebutkan Ronnie adalah peruntukan RM1,000 untuk sambutan Tahun Baru Cina pada September 2008 dan peruntukan RM1,000 untuk hadiah hamper kepada ketua-ketua kampung di Seberang Perai.

Exco Kerajaan Tempatan itu menjawab tuduhan ini jelas sekali berniat jahat kerana Tahun Baru Cina disambut antara Januari dan Mac setiap tahun dan bukan pada bulan September. Manakala peruntukan hamper untuk ketua-ketua kampung juga mustahil kerana pegawai daerah dun tertentu tidak mungkin meluluskan peruntukan untuk dun lain, inikan pula dun di negeri lain.

Selain itu, blog itu turut mendakwa Ronnie Liu memperuntukkan RM10,000 kepada Wong untuk sambutan perayaan Deepavali 2008, namun kalendar menunjukkan Deepavali bagi tahun tersebut jatuh pada 28 Oktober.

Ditambah pula dengan kesungguhan blog itu mengaitkan pembantunya dalam penyelewengan ini, tuduhan-tuduhan ini seraya mengkaburkan lagi motif blog tersebut. Dun Sungai Pelek yang kontroversi ini adalah kerusi Dewan Undangan Negeri yang dikuasai wakil rakyat Barisan Nasional, Yap Ee Wah.

"Saya sebenarnya tidak mahu buat laporan polis kerana saya sudah tidak percaya kepada polis dan SPRM. Tetapi rakan- rakan saya berpendapat lebih baik buat laporan untuk mengekang musuh politik memutarbelitkan fakta dengan mengatakan saya takut dan menyembunyikan sesuatu. Sebab itu saya datang buat laporan hari ini," kata Ronnie.

"Saya difahamkan, walaupun tidak mendapat laporan SPRM sudah mula sisatan perkara ini. Nampaknya SPRM sekali lagi menunjukkan ketangkasan mereka dalam menjalankan tugas. Walaupun tidak mendapat laporan. Tetapi kami taidak mahu dengar kes ini tidak boleh disiasat kerana blog ini diwujudkan di Amerika," bidasnya.

Turut hadir memberi sokongan kepada kedua- dua exco kerajaan negeri ini adalah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad. Beliau membidas UMNO Barisan Nasional yang rakus berusaha untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri ini. -TVA

Era Najib Altantuya : Apa Yang Ada Dilakukan Terhadap Cadangan Suruhanjaya Diraja Yang Lalu?

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim mempertikai persoalan mewujudkan Suruhanjaya Diraja (RC) yang hanya untuk menyiasat prosedur pelanggaran hak asasi dan siasatan SPRM.

Sebaliknya isu tragedi kematian Teoh Beng Hock, tidak hanya boleh berpuas hati dengan pengumuman penubuhan Suruhanjaya Diraja oleh kerajaan Barisan Nasional.

"Seolah-olah dengan adanya pengumuman itu, semua masalah akan selesai. Nampaknya ada orang Malaysia sudah lupa dalam soal salah laku polis dan kes-kes kematian semasa siasatan dan sewaktu dalam tahanan. Mereka sudah lupa bahawa cadangan-cadangan pokok yang dibuat oleh Tun Dzaiddin dan Tun Hanif dalam Laporan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) lima tahun lalu masih belum dilaksanakan," katanya.

Mereka juga lupa mengenai cadangan-cadangan Suruhanjaya Diraja yang diketuai oleh Tan Sri Haidar mengenai kes pita video V.K. Lingam, katanya.

Walaupun kandungan laporan itu sudah dimaklumkan kepada umum, dan secara "prima facie" memang ada kes salah laku oleh orang-orang ternama, tindakan susulan yang sepatutnya dilaksanakan oleh Peguam Negara tidak pun berlaku, katanya

Kini satu lagi sejarah hitam berlaku dalam negara ini di mana Teoh menjadi mangsanya, ujar beliau.

Rakyat Malaysia sekali lagi mahu sebuah Suruhanjaya untuk menyiasat kematian Teoh, namun apakah penubuhan itu benar-benar akan menyelesaikan pokok permasalah sebenar, ujarnya.

"Nampaknya sekali lagi kita akan dipermainkan, dan sudah pasti kita akan terus kecewa dan hampa.

"Perdana Menteri menyediakan dua badan untuk menyiasat kes tersebut. Oleh kerana rakyat mahukan Suruhanjaya Diraja, maka Najib menghadiahkan satu Suruhanjaya tapi ia hanya untuk menyiasat prosedur yang digunakan oleh pihak penyiasat, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Yang menyiasat soal pokok yang lebih besar dan penting, iaitu mengenal punca sebab kematian Teoh yang memang semua orang ingin tahu; Najib menyerahkan tugas yang maha berat itu kepada seorang majistret, iaitu pegawai mahkamah yang paling rendah pangkat dan kedudukannya di bawah kawalan Peguam Negara," katanya.

"Jadi, marilah kita sama-sama fikirkan sendiri, sejauh mana hasil siasatan sa orang majistret dan sama ada kebenaran akan terserlah nanti. Saya jangka satu lagi 'cover up' akan berlaku," ujar Zaid yang juga bekas ahli Parlimen BN Kota Bharu.

Beliau mengingatkan bahawa Suruhanjaya Diraja di bawah undang-undang hanya boleh membuat cadangan-cadangan sahaja.

Sementara tindakan muktamad terhadap orang yang didapati bersalah bergantung kepada Peguam Negara, katanya.

Sekiranya Peguam Negara menyatakan tiada salah laku, maka dengan itu tak wujudlah kesalahan, walaupun Suruhanjaya Diraja mendapati ada kesalahan, ujarnya.

Lihatlah apa yang berlaku dalam kes pita video Lingam, hingga hari ini, yang jelas bersalah masih belum di bawa kamuka pengadilan, katanya.

"Kalau rakyat mahu tahu dengan sebenar-benarnya mengenai bagaimana dan sebab-sebab Teoh, A. Kugan dan 1,500 orang lagi yang mati dalam tahanan sejak 6 tahun lalu, hanya ada satu cara sahaja, kita kena tolak BN. Biarlah Pakatan Rakyat pula diberi peluang memerintah. Itu sahaja harapan kita untuk mengetahui perkara yang sebenar," katanya. -harakahdaily

Era Najib Altantuya : Samy Vellu Buat Dakwaan Palsu - Subra

Bekas Timbalan Presiden MIC Datuk S.Subramaniam menafikan bahawa beliau menawarkan untuk menarik balik injunksi terhadap Maika Holdings Bhd dengan syarat Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu bersikap berkecuali dalam pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden parti September ini.

"Dakwaan palsu ini merupakan contoh apa yang tidak betul dengan politik dalam MIC dan saya menjangkakan perkara ini dan banyak lagi daripada Presiden yang secara bersendirian berazam untuk menghalang sebuah pemilihan yang terbuka dan demokratik seperti yang dihasratkan oleh anggota pengasas MIC," katanya Sabtu.

Subramaniam memberitahu Bernama di sini, injunksi itu diperoleh oleh NESA, iaitu pemegang kepentingan dalam Maika, bagi mengelak kerugian Oriental Capital Assurance Berhad (OCAB).

"OCAB adalah satu-satunya syarikat insurans yang dimiliki oleh kaum India di Malaysia, jika bukan kerana injunksi itu, OCAB mungkin telah pun dijual kepada entiti bukan India tanpa terlebih dahulu dibuat penilaian tentang nilainya yang sebenar," katanya.

Beliau berkata Samy Vellu dan Maika mesti memperjelaskan kepada 60,000 pemegang saham berhubung sebab pengarah Maika begitu bertegas untuk menjual OCAB tanpa mendapatkan penilaian sewajarnya tentang nilainya yang sebenar.

Samy Vellu dipetik oleh sebuah akhbar tempatan sebagai berkata Subramaniam telah menawarkan untuk menarik balik injunksi terhadap Maika Holdings asalkan Samy bersikap berkecuali dalam pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden pada September ini.

Subramaniam berkata Pengarah Maika ketika itu tidak akan menafikan bahawa NESA telah menulis surat kepada mereka sebelum mesyuarat agung tahunan (AGM) pada 31 Ogos 2007 yang menyatakan bahawa sungguhpun NESA tidak membantah penjualan itu, tetapi NESA mahu supaya pemegang saham Maika dimaklumkan mengenai nilai sebenar OCAB sebelum mendapat keizinan pemegang saham dalam AGM yang sama.

"Maika mencuba sedaya upaya untuk meyakinkan mahkamah bahawa permohonan NESA untuk injunksi itu adalah mainan politik oleh saya demi kepentingan diri. Tidak memeranjatkan, dakwaan seperti itu tidak mendapat perhatian mahkamah dan menyebabkan mahkamah membenarkan injunksi yang memihak kepada NESA.

"Jika Samy benar-benar prihatin, beliau sepatutnya bermula dengan memberi penjelasan kepada pemegang saham Maika kenapa Maika tidak mengadakan AGM sejak dua tahun lepas. AGM merupakan mesyuarat yang sangat penting bagi pemegang saham.

"Pemegang saham Maika mengharapkan untuk diberitahu mengenai cara Maika dikendalikan. Ketika AGM Maika berlangsunglah pemegang saham dapat bertanya kepada pengarah soalan berhubung hal ehwal Maika," katanya.

Era Najib Altantuya : Selamat Tinggal BN - Subra (Update)

Dalam kesibukan UMNO BN hendak mempastikan PKR berkubur dengan melakukan konspirasi terhadap Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Parti Keadian Rakyat terus menerima sokongan rakyat dari pelbagai kaum dan lapisan rakyat.

Terkini, Bekas Naib Presiden MIC Datuk SS Subramaniam hari ini menjadi tokoh terbaru menyertai Parti Keadilan Rakyat, seminggu selepas mantan Menteri Kesihatan Chua Jui Meng menyertai parti itu, sekali gus mencerminkan Keadilan sebagai parti yang semakin didokong oleh pelbagai kaum di bawah gagasan Pakatan Rakyat.

Turut menyertai PKR hari ini adik Subramaniam, bersama kira-kira 1,700 bekas ahli MIC dari Petaling Jaya Selatan dan Pekan Meru di Kapar. Penghijarahan mereka ke Keadilan memaksa lebih 10 cawangan MIC ditutup.

Subramaniam, anak kelahiran Johor, adalah pemimpin MIC paling kanan menyertai PKR. Selain pernah menjadi Naib Presiden MIC dan pernah bertanding untuk jawatan kedua tertinggi parti itu. Subramaniam juga bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan bekas ahli Parlimen Segamat.

Kemasukan Subramaniam dan bekas ahli MIC secara beramai-ramai ke Keadilan mencerminkan rasa tidak puas hati kaum India yang semakin memuncak terhadap MIC dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang membelit kaum India seperti kemiskinan, peluang melanjutkan pelajaran, penganggkuran dan kes jenayah.

Ia juga menunjukkan Keadilan semakin didokong oleh kaum India sebagai parti pelbagai kaum yang mampu memperjuangkan nasib mereka sebaris dengan kaum lain yang memerlukan pembelaan.

Subramaniam berkata beliau tertarik dengan politik merentasi perkauman yang di bawa oleh Keadilan dan mengambil keputusan menyertai parti itu walauun di kecam hebat oleh Presiden MIC Samy Vellu.

"Sekarang saya telah memberanikan diri untuk masuk PKR walaupun saya tahu saya dihentam oleh Samy Vellu," kata Subramaniam, disambut tepukuan gemuruh oleh lebih 1,000 orang di Dewan Orang Ramai, Taman Medan Petaling Jaya.

"Saya lihat dasar-dasar Barisan Nasional yang ada sekarang ini telah membawa negara ke belakang 20 tahun. Dasar-dasar ini meminggirkan sebilangan besar rakyat dan hanya memberi tempat kepada orang tertentu sahaja," kata Subramaniam.

"Kita mahu membina sebuah negara maju yang rakyatnya hidup makmur dan bersatu padu," tambah beliau.

"Saya yakin dasar-dasar Keadilan akan membawa kita ke arah itu," ujarnya lagi.

Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu dilaporkan enggan memberi sebarang komen bila ditanya mengenai langkah Datuk SS Subramaniam yang menyertai PKR tersebut.


Era Najib Altantuya : Harussani Dan Zambry Yang Ini Apa Hukumnya?


Kepada Mufti Perak, Harussani Zakaria, Zambry Abdul Kadir dan sekalian media massa dan blogger-blogger UMNO. Perhatikan gambar di atas dan kemudian silalah sebutkan apa hukumnya?

Jangan hanya pandai dulang paku serpih. Mengata orang, pemimpin awak yang TERNYATA lebih.

maklumat -bagindareformasi

Era Najib Altantuya : 1 Ogos Perhimpunan Menentang ISA

Pemuda Pakatan Rakyat dan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) tetap dengan pendirian akan mengadakan perhimpunan aman bagi menyatakan aspirasi rakyat supaya kerajaan Barisan Nasional memansuhkan akta zalim ISA.

Pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh, meminta orang ramai yang ingin menyertai perhimpunan 1 Ogos ini berpakaian hitam atau merah dan bukanya putih.

Pakaian putih kata beliau hanya akan digunakan oleh golongan pro ISA yang mengelar diri mereka Pewaris yang turut akan mengadakan perhimpunan pada hari yang sama tetapi bertujuan meminta kerajaan BN mengekalkan akta itu.

Menurut Syed Ibrahim, GMI tidak akan meminta permit Polis kerana termaktub dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan rakyat berhak berhimpun secara aman.

"Berhubungan dengan perhimpunan kita tegaskan semula berhimpun ditiga tempat iaitu di Sogo, Masjid Jamek dan Masjid negara dan kita akan menyerahkan deklarasi rakyat kepada Istana Negara. Kita serius dalam menyampaikan deklarasi ini dan kita telahpun membuat temujanji dengan Istana Negara dan kita telah menyerahkan surat temu janji baru-baru ini.

Sementara itu pemimpin PAS,Salahuddin Ayub berkata, beliau berharap Perdana Menteri Najib Razak memansuhkan akta zalim berkenaan sebagai menunjukkan beliau komited dengan laungan 1 Malaysia rakyat diutamakan.

"Saya nak sebut pada petang ini ialah Perdana Menteri Najib Razak komited dengan slogan 1 Malaysia dan rakyat diutamakan saya tegaskan bahawa masanya Najib mengambil keputusan memansuhkan terus akta yang zalim ini.

"Apa yang GMI telah rancang ini adalah tindakan mengatasi politik tidak ada kena mengena dengan parti politik, tiada kepentingan mana-mana pihak. Apa yang kita buat pada 1 Ogos ini ialah untuk kepentingan dan masa depan generasi Malaysia," katanya.

Ketua Penerangai PKR Tian Chua berkata, selagi ISA tidak dimansuhkan, apa juga isu yang dibangkitkan rakyat akan ditutup oleh kerajaan dengan cara menggunakan akta berkenaan.

Katanya, Najib perlu mengambil keputusan memansuhkan akta ini kerana banyak parti komponen BN telah menyuarakan hasrat supaya akta berkenaan dimansuhkan.

"Banyak isu-isu yang berlaku kebelakangan ini ada kaitan dengan kuasa yang dipegang oleh kerajaan menggunakan ISa, satu akta yang membenarkan tahanan tanpa bicara terhadap sesiapa. Apa pun isu masyarakat yang kita bangkitkan akan ditutup kerana kerajaan mempunyai kuasa ISA.

"Bekas Perdana Menteri setuju bahawa ISA patut dimansuhkan dan ada banyak lagi parti komponen Barisan Nasional telah menyatakan perkara yang sama termasuk MCA, PPP, Gerakan kita juga mengharap ini bukan perhimpunan yang dihadiri oleh NGO dan rakyat tetapi anggota Barisan Nasional juga dimobilisasikan menyertai perhimpunan aman ini," katanya.

Sementara itu, wakil DAP Ronnie Liu berkata, perhimpunan aman berkenaan merupakan cara rakyat membantu kerajaan untuk membuat keputusan sama ada untuk mengkaji semula atau memansuhkan akta berkenaan.

Perhimpunan berkenaan diadakan bagi menghantar deklarasi kepada Istana Negara untuk memansuhkan ISA, membebaskan tahanan ISA dan menutup Kem Tahanan Kemunting turut disertai oleh Pemuda Gerakan.