19 Okt 2012

Begitu Senang Jadi Anak Menteri Boleh Terlepas Begitu Saja

PKR : Penyelesaian Kes Anak Nazri Menyalahi Undang-undang

Kenyataan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menyatakan kes serangan pengawal peribadi anak kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz ‘telah selesai’ disifatkan melanggar integriti sistem keadilan di negara ini.

Menurut Naib Presiden PKR, N Surendran, tindakan Hishamuddin yang juga Menteri Dalam Negeri itu jelas bertentangan dengan dasar awam dan kedaulatan undang-undang negara.

Beliau berkata, sebarang jenayah mahupun salah laku yang dilakukan oleh mana-mana pihak seharusnya dibawa ke mahkamah untuk dikenakan tindakan sewajarnya.

“Di bawah sistem perundangan kita, jenayah tidak boleh ‘diselesaikan secara baik’. Dengan mengambil tindakan sebegitu, Hishammuddin boleh dikatakan mungkin bersubahat. Adakah dia berkompromi hanya kerana kes itu melibatkan anak seorang Menteri Kanan Umno?

“Seterusnya, apakah terma penyelesaian ini menyalahi undang-undang? Orang ramai berhak mengetahui perkara sebenar,” katanya dalam satu kenyataan media.


Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan hasil daripada siasatan terhadap Mohamed Nedim Nazri di bawah seksyen 160 Kanun Keseksaan.

Jelasnya, walaupun Hishammuddin mengakui perkara itu sudah disiasat, namun beliau tidak menyatakan sama ada Nedim dibersihkan daripada kesalahan itu.

“Setiap warganegara, tidak kira berapa tinggi atau rendah kedudukan sosial mereka, mereka adalah sama dari sudut undang-undang. Justeru, pengawal keselamatan yang terlibat dalam kes ini mempunyai hak menuntut keadilan yang adil dan saksama.

“Kami menyeru Menteri Dalam Negeri untuk membuat pendedahan penuh dan berterus terang tentang fakta sebenar kes itu dan membuka semula siasatan berhubung kes serangan ini,” katanya lagi.


Hishammuddin dalam jawapan bertulisnya semalam berkata, kes memukul penyelia keselamatan pada Mac 2012 sebenarnya dilakukan oleh bekas pengawal peribadi Mohamad Nedim dan disiasat mengikut Seksyen 160, Kanun Keseksaan.

Menjawab soalan Gwo-Burne Loh (PKR-Kelana Jaya), menteri dalam negeri bagaimanapun memberitahu, kes itu telah pun diselesaikan secara baik oleh kedua-dua pihak.

Loh meminta Hishammuddin menyatakan hasil siasatan polis terhadap Mohamad Nedim berhubung kejadian memukul penyelia keselamatan di sebuah kondominium mewah di ibu negara dan kematian pemuda bernama Darren Kang di Sri Hartamas sekitar tahun 2004.

Mengenai kes kematian Darren, Hishammuddin berkata Mohamad Nedim didapati tidak terlibat dengan kes tersebut sebaliknya lima warganegara Thailand telah dituduh di mahkamah dan dijatuhi hukuman lima tahun penjara.

Kes anak Nazri 'diselesai secara baik'


Kejadian memukul penyelia keselamatan pada Mac 2012 sebenarnya dilakukan oleh bekas pengawal peribadi Mohamad Nedim Nazri - anak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz, kata menteri dalam negeri dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Menurutnya, kes tersebut telah disiasat mengikut Seksyen 160, Kanun Keseksaan.

Kejadian itu berlaku apabila Mohamad Nedim dan pengawal peribadinya didakwa tidak dibenarkan memasuki kondominium mewah Mont Kiara Mac oleh seorang penyelia firma keselamatan.



"Kes ini telahpun diselesaikan secara baik oleh kedua-dua pihak," kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam jawapan bertulis itu ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh.

Loh meminta menteri dalam negeri itu menyatakan hasil siasatan polis terhadap Mohamad Nedim berhubung kejadian memukul penyelia keselamatan di sebuah kondominium mewah di ibunegara pada Mac 2012 dan kejadian kematian seorang pemuda bernama Darren Kang di Reston Uncle Don di Sri Hartamas pada sekitar tahun 2004.

Mengenai kes kematian Darren, Hishammuddin berkata Mohamad Nedim didapati tidak terlibat dengan kes tersebut.

"Dalam kes ini, lima orang warganegara Thailand yang didapati bersalah, telahpun dituduh di mahkamah dan dijatuhi hukuman lima tahun penjara," katanya.

[BERGAMBAR] Konkrit Banglo Depan Rumah Pengerusi SPR Runtuh, Satu Maut 5 Selamat

Shah Alam - Seorang pekerja ubah suai rumah maut manakala lima yang lain selamat dalam kejadian konkrit banglo di Seksyen 7 di sini, yang masih dalam proses pengubahsuaian, runtuh kira-kira jam 4.30 petang semalam.

Bagaimanapun seorang daripada lima mangsa yang selamat terputus kaki dan telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan.

Kesemua mangsa merupakan pekerja dari Indonesia, berusia dalam lingkungan 30-an.

Kejadian berlaku di Jalan JED, 7/5, Seksyen 7, berhadapan dengan Kolej Kediaman Jati, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Mangsa dikeluarkan secara berperingkat sejak jam 4.50 petang tadi dengan bantuan bomba. Kerja-kerja mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Sementara itu, laporan Bernama dipetik berkata, polis mengesahkan mangsa sebenar kejadian runtuhan bumbung konkrit sebuah banglo hanya melibatkan enam pekerja binaan warga Indonesia.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Zahedi Ayob berkata, pada mulanya, pihaknya mendapat maklumat terdapat lapan pekerja terperangkap dalam kejadian itu tetapi kemudian dimaklumkan rakan sekerja mereka dikenali sebagai Supardi bahawa hanya enam mangsa yang terlibat.

Mangsa terakhir dikenali sebagai Kasmuji berjaya diselamatkan pada 10.15 malam dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Dalam kejadian petang tadi, seorang buruh binaan yang dikenali sebagai Totok Mochamad Anthony maut.

Mayat mangsa dikeluarkan pasukan penyelamat kira-kira 6.24 petang dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk bedah siasat.

Empat lagi pekerja binaan berusia lingkungan 30-an yang dikenali sebagai Afifin, Waras, Kabir dan Ghadami, yang putus kaki kanan, turut dihantar ke hospital itu.

Polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada kira-kira 4.29 petang berhubung kejadian di banglo No. 15, Jalan Jed 7/5A, Seksyen 7, milik seorang ahli perniagaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Othman Abdullah berkata, operasi menyelamat dihentikan pada 10.

45 malam selepas mangsa keenam dibawa keluar dari runtuhan.

Beliau berkata, pihaknya menggunakan kren dengan kekuatan 40 tan bagi mengangkat runtuhan konkrit selain membuat terowong secara manual untuk menyalur bantuan gas oksigen kepada mangsa terakhir sebelum dibawa keluar.

"Konkrit agak berat termasuk dengan timbunan batu dan bomba terpaksa memotong beberapa bahagian runtuhan dalam keadaan sempit, kren pertama yang kita gunakan ialah bagi kekuatan 10 tan dan tidak membantu," katanya.

Beliau berkata, pihak bomba memanggil mangsa namun tidak disahut dan tiada sebarang tindak balas bagi mengesahkan masih ada yang terperangkap di bawah runtuhan itu.

Othman juga berkata, kerja pembersihan di kawasan runtuhan itu akan diteruskan sepanjang malam ini.

Operasi menyelamat, yang bermula kira-kira 5 petang, diteruskan walaupun hujan lebat bermula 9 malam.

Selain itu, khidmat anjing pengesan Unit K9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor digunakan sepanjang operasi tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, ketika kejadian beliau sedang membaca akhbar dan mendengar bunyi dentuman kuat dari arah depan rumahnya.

“Mula-mula saya lihat tidak serius, hanya debu sahaja kelihatan. Tetapi setelah melihat bumbung rumah tersebut runtuh.

“Saya terus hubungi bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia untuk maklumkan kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Robengah, Bekas Amah Rais Yatim Mampu Bina Rumah RM100,000



Bekas pembantu rumah Menteri Penerangan, Komunikasi dan kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim didakwa hidup mewah hingga mampu membina rumah dianggar bernilai RM100,000 di negara asalnya.

Koordinator NGO Jingga 13, Fariz Musa mempersoalkan bagaimana Robengah, yang bekerja selama 8 tahun di kediaman Rais mampu membina rumah mewah di Banjanegara, Indonesia.

Sedangkan, katanya, gaji Robengah hanya sekitar RM300 sebulan, sebelum dinaikkan RM500 selepas beberapa tahun.

“Suami Robengah, Sukiman pula lumpuh sebelah kaki dan tidak boleh bekerja, malah mereka ada dua anak bernama Monica dan Tina yang masih bersekolah,” kata Fariz.

Dalam satu kenyataan media dikeluarkan semalam, Jingga 13 turut mendedahkan bukti gambar rumah berkenaan.

“Rakaman video Jingga 13 dengan Robengah juga menunjukkan sehingga kini beliau masih tidak bekerja,” kata Fariz.

Menurut Fariz, adalah tidak masuk akal jika Robengah tidak pernah menghantar wang kepada keluarganya sepanjang 8 tahun hingga mampu membina rumah sebesar itu, sedangkan jirannya memberitahu rumah Robengah sebelum ini sangat daif.

Robengah sebelum ini mendakwa diperkosa majikannya di Malaysia, seperti mana laporan NGO Migrant Care pada 23 Julai 2007.

Bagaimanapun, beliau kemudian menafikan perkara itu dalam surat ditandatangani bertarikh 7 Januari 2011, menyatakan beliau tidak menghadapi sebarang masalah sewaktu bekerja di Malaysia.

Dalam pada itu, Fariz mendakwa, surat yang muncul selepas empat tahun kes itu berlaku secara tidak langsung ‘menyelamatkan’ Rais daripada tuduhan itu.

“Adakah wujud korupsi sehingga Robengah dibiayai dengan cukup lumayan agar menarik balik pengakuan diperkosa oleh Datuk Seri Rais Yatim?”

“Justeru kami desak Rais dengan jujur dan bertanggungjawab jelaskan sumber kemewahan Robengah sehingga mampu hidup sedemikian rupa,” katanya lagi.

Sementara itu, Jingga 13 akan menghantar satu memorandum berhubung perkara itu kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan kebudayaan di Jalan Raja, Kuala Lumpur jam 2.30 petang ini. -kD

[VIDEO] MB UMNO Berlagak Samseng Ajak Orang Asli Bergaduh

Bodoh, bangang: Adnan dituntut mohon maaf

Temerloh - Tindakan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang memperlekeh dan menghina masyarakat Orang Asli (OA) yang berdemo dan menyerahkan memorandum kepada beliau semalam, dianggap tidak profesional dan memalukan.

Malah tindakan beliau yang sanggup mengucapkan perkataan 'bodoh' dan 'bangang' serta telah mencabar seorang OA bernama Ong Chong bergaduh dengannya, jelas memperlihatkan sikap tidak hormat kepada rakyat.

Timbalan Ketua Perhubungan PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid berkata, beliau sangat kesal dan kecewa serta mengecam tingkahlaku Adnan dan menuntut Menteri Besar (MB) itu menuntut maaf dengan OA.

“Ketika OA berdemo dan menyerahkan memorandum kepada MB Pahang semalam, Majlis Peguam telah memantau dan terdapat laporan beliau (Adnan) telah memperlekeh dan menghina masyarakat OA dengan mengeluarkan perkataan 'bodoh' dan 'bangang'.

“Malah beliau telah mencabar seorang OA bernama Ong Chong untuk bertumbuk dengannya. Saya selaku alah seorang panel peguam kepada OA dalam isu tuntutan yang dibuat mereka, sangat kesal dan kecewa serta mengecam tingkah laku MB Pahang yang jelas sangat tidak bertamadun dan langsung tidak punya rasa hormat kepada rakyat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada media mengulas kira-kira 500 OA melalui Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) yang berkampung di pekarangan Wisma Sri Pahang di Kuantan, semalam bagi menyerahkan memorandum mengenai pencerobohan, tuntutan tanah dan wilayah adat kepada MB.

Melalui memorandum berkenaan, sebanyak lapan perkara dibangkit dan dituntut oleh kumpulan berkenaan serta mereka bertegas menyerahkan sendiri kepada MB.

Kumpulan Orang Asli dari seluruh Pahang berkenaan tiba kira-kira jam 11 pagi dengan membawa sepanduk yang antaranya tertera “Batalkan status tanah rizab yang bertindih dengan tanah adat orang asli”, “Iktiraf hak dan tanah adat Orang Asli” dan pelbagai lagi perkara menjurus kepentingan tanah adat kaum mereka.

Ahmad Nizam yang juga peguam kepada komuniti berkenaan, berkata, memorandum yang diserahkan itu adalah penyataan bersama seluruh masyarakat Orang Asli melalui JKOASM sebagai tanda melahirkan kesepakatan supaya kawasan atau tanah dan wilayah diiktiraf.

Menurutnya, sejak kebelakangan ini sering wujud pertikaian antara kerajaan dan masyarakat orang asli mengenai perkara tersebut.

“Tanah yang kaum OA diami sejak dari zaman nenek moyang sering dikatakan sebagai tanah kerajaan, rizab perhutanan, rizab Perhilitan dan rizab Melayu sehingga tanah serta wilayah adat mereka dipindah milik atau diberi kelulusan kepada pihak lain.

“Melalui memorandum berkenaan mereka mahukan segala aktiviti yang sedang berjalan di atas tanah dan wilayah adat OA dihentikan, menarik balik lesen yang telah diberi kepada semua kontraktor yang bekerja di atas tanah wilayah adat dan membayar pampas an sewajarnya di atas kerugian kami alami.

“Selain itu, kerajaan harus membatalkan semua rizab bertindih dengan tanah dan wilayah adat OA bagi membolehkan pengiktirafan atau perlindungan serta mengiktiraf seluruh tanah dan wilayah adat OA mengikut peta komuniti,” katanya.

Memorandum berkenaan turut mengandungi sebanyak 6,000 tandatangan OA mewakili kaum mereka di seluruh Pahang. -HD



Ulasan GB

Masihkah kau ingat peristiwa di bawah ini? Contoh tipikal pemimpin & samseng UMNO.



Hannah : Minta JKR Jelas Siapa Bertanggungjawab Selenggara Jejambat Banjir

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh menuntut Kementerian Kerja Raya untuk menjelaskan kepada umum status projek Subang-Kelana Jaya Link yang mula beroperasi sejak Jun 2009.

Desakan itu dibuat beliau ekoran kejadian banjir di Jejambat Jalan Kemajuan Subang dua hari lalu sehingga menyebabkan sebuah kereta terperangkap.

Hannah memberitahu, respon daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor menyatakan lebuhraya yang menelan kos RM 315.46 juta itu masih belum diserahkan kepada pihak JKR Pusat walaupun tempoh liabiliti kecacatan sudah tamat pada 30 Jun 2011.

Tambah beliau, kontraktor lebuhraya tersebut, Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) juga diberi tempoh sehingga 15 Oktober 2011 untuk melakukan pembaikan beberapa kecacatan.

“Namun difahamkan, JKR masih tidak mengambil alih laluan berkenaan, kenapa (JKR tidak mengambil alih) dan kita juga kini dalam proses mendapatkan senarai kecacatan yang dinyatakan JKR kepada pihak AZRB sebelum ini.

“Kita minta supaya JKR jelaskan beberapa perkara mengenai pihak yang bertanggungjawab menyelenggara laluan tersebut, adakah AZRB dan adakah bayaran penuh dilakukan kepada mereka,” ujar beliau dalam sidang media di pejabatnya di sini pagi tadi.

Mengulas lanjut, Hannah tidak menolak kemungkinan masalah banjir di jejambat tempoh hari berpunca daripada laluan air yang tersumbat.

“Kali ini dengan banjir di jejambat, ia sememangnya tidak harus terjadi dan sebab itulah kita perlu tahu pihak yang bertanggungjawab atas laluan ini,” tegas beliau.

Subang-Kelana Jaya Link merupakan lebuhraya bertingkat tertinggi di Subang yang menghubungkan Subang dengan Sultan Abdul Aziz Shah Airport Highway, Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE).

Ia dibina pada tahun 2005 oleh JKR dengan kontraktor utamanya, AZRB dan mula dibuka pada laluan umum pada 2009.

Motorsikal Tersangkut Di Bumbung, Cerita P.Ramlee Jadi Kenyataan - Wajib Tonton

Gempar motosikal terbang, tiga remaja cedera

JENGKA 4 - Penduduk Felda Jengka 4 digemparkan dengan kejadian motosikal terbang dan tersangkut di atas atap garaj salah sebuah rumah milik peneroka tanah rancangan terbabit, petang kelmarin.

Motosikal terbabit yang dinaiki tiga remaja berusia 16 tahun itu dikatakan terbabas sebaik sahaja keluar dari satu simpang kerana gagal mengawal brek lalu merempuh atap garaj rumah milik Ramlah Seman, 55, yang berada dalam kedudukan kira-kira tiga meter lebih rendah dari jalan tersebut.

Ramlah berkata, ketika kejadian, dia dan anak serta cucunya sedang berehat di dapur rumahnya.

“Tiba-tiba saya terdengar satu dentuman kuat seakan-akan bunyi guruh namun tidak mengesyaki apa-apa.

“Tidak lama kemudian saya mendengar riuh rendah di luar rumah memanggil nama saya dan memberitahu ada motosikal tersangkut di atap garaj rumah saya,” katanya.

Sebaik sahaja keluar rumah, Ramlah memberitahu, orang ramai sedang berkerumun di hadapan rumahnya menyaksikan kejadian yang belum pernah terjadi sepanjang tinggal di tanah rancangan terbabit.

“Saya meminta jiran-jiran untuk menurunkan dua orang remaja yang tercampak di atas atap rumah saya,” katanya yang memberitahu jiran-jiran turut membantu menurunkan motosikal tersebut dari bumbung rumahnya.

Suaminya, Mat Yusuf Noh, 66, berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 4.0 petang itu menyebabkan sebahagian atap garaj rumahnya rosak.

“Kejadian ini sebenarnya bukan kejadian pertama menimpa keluarga saya di mana sebelum ini, rumah ini pernah dilanggar sebuah kereta yang terbabas di simpang di hadapan rumah saya ini.

“Sebahagian dinding batu roboh, namun bernasib baik kerana secara kebetulan, tiada kereta diletakkan di bawah garaj tersebut,” katanya.

Penunggang motosikal terbabit, Muhammad Fikri Saridan, 16, yang patah kaki dan tangan, sempat terjun dari motosikal tersebut sebelum tercampak ke atas atap.

Sinar Harian dimaklumkan, dua rakan sebaya Muhammad Fikri yang membonceng motosikal tersebut turut tercampak ke atas atap.

Salah seorangnya patah tangan dan masih di rawat di Hospital Jengka manakala seorang lagi cedera ringan.

Ulasan GB

Seniman Bujang Lapok - itulah nama ceritanya dimana sebuah motorsikal boleh "terbang" ke atas bumbung rumah. Sebuah filem komedi arahan P.Ramlee yang telah diterbitkan puluhan tahun dahulu.... tiba-tiba sekarang sudah ada motorsikal yang betul-betul terbang ke atas bumbung rumah orang.

Sungguh hebat ilham kurniaan Allah swt kepada Allahyarham P.Ramlee dimana apa yang dikisahkan itu seperti seolah-olah beliau telah menerawang puluhan tahun ke hadapan.

B ezanya kalau dulu ia cuma lakonan, mungkin motorsikal terpaksa diangkut naik ke atas bumbung, kali ini betul-betul terbang ke atas bumbung sepertimana cerita itu.

Saksikan..