14 Sep 2013

Apa Perlu Peserta Ops Bubar Dipenjara Serta-Merta?


Mengapa deraan perlu maksimum dan ditolak penangguhan hukuman? Oleh Ahmad Lutfi Othman

Saya sukar memahami mengapa Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, Norsalha Hamzah yang bukan sahaja memilih untuk menjatuhkan hukuman maksimum penjara dua tahun dan denda RM5,000, tetapi juga telah menolak permohonan untuk menangguhkan hukuman tersebut kepada 13 individu yang terlibat dalam perhimpunan di hadapan Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, 6 Februari 2009.

Dengan itu, 13 rakyat prihatin, Bad Latif Mansor, 47, Suhana Abdullah, 49, Meor Safizal Meor Mohamed Amin, 38; Mohd Faiz Mohd Arshad, 26; Zulhaizam Zulkifli, 29 ; Isha Riduan Ishak, 59; Adi Hilmee Mohd Nasir, 44; Yusoff Jaafar, 48; Idris Mohd Thaib, 48; Mohamad Nazeer Hameed, 48; Khairul Azmi Hassan Basri,48; Mohd Hasri Ismail, 48; dan Mohamed Ismail SM Abdul Kadir, 47 -- yang pastinya cukup terkesan dan terganggu dengan "rampasan kuasa" menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak pimpinan Dato' Seri Nizar Jamaluddin hampir lima tahun lalu -- terpaksa menjalani hukuman penjara berkuat kuasa serta merta.

Mengapa deraan paling maksimum yang dipilih, dan lebih menghairankan, mengapa ia tidak boleh ditangguh sementara menunggu proses rayuan di mahkamah lebih tinggi, seolah-olah mereka semua adalah penjenayah yang wajib dipisahkan daripada masyarakat dalam kadar segera. Lagipun kes itu merupakan kesalahan pertama, termasuk bagi ibu tunggal dan penghidap kanser. Dahsyat, 'kan?

Apakah anda pernah mengikuti kes perbicaraan antara pemimpin tertinggi Umno yang kemudiannya didapati bersalah oleh mahkamah atas tuduhan korupsi tetapi masih dibenarkan bebas sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai, walaupun Mahkamah Rayuan telah menolaknya?

Ataupun memori anda lebih cergas daripada saya, masih mampu mengingati senarai panjang insiden hampir sama, bagi membuktikan bukan saja ada "pendakwaan terpilih" tetapi juga bentuk hukuman "pilih kasih"? Mungkin saja kes rasuah tidak dianggap lebih besar atau berbahaya berbanding "perhimpunan haram".

Penghakiman kes ini hanya menambah-burukkan lagi persepsi negatif rakyat terhadap sistem kehakiman negara. Ia juga boleh merencatkan penghormatan orang ramai terhadap Ops Cantas atau sebarang usaha pihak keselamatan untuk membanteras jenayah, sekali gus menguatkan lagi sangkaan umum bahawa "kes-kes politik" lebih dipandang serius berbanding kesejahteraan rakyat.

Belum reda kejutan pembebasan tertuduh dalam kes pembunuhan Altantuya Shariibuu, keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar itu turut menyegarkan kembali isu rampasan kuasa dan operasi rasuah politik terbesar, yang dipercayai digerakkan oleh Timbalan Perdana Menteri waktu itu, Dato' Seri Najib Razak, mengakibatkan kerajaan pilihan rakyat digulingkan.

Sejak lama saya meyakini bahawa politik wang, sudah tentu membabitkan "pembelian undi" -- apatah lagi apabila wakil rakyat juga dapat disogok untuk mengkhianati parti yang diwakilnya dalam pilihan raya -- merupakan transaksi korupsi paling terkutuk!

Dari sudut lain, episod hitam dan memalukan dalam sejarah politik Malaysia -- termasuk peristiwa Speaker Dun diusung keluar dan sidang Dun Perak di bawah pokok -- akan dikenang semula dan diharap menyemarakkan lagi proses mereformasikan sistem dan proses demokrasi kita.

Usah biarkan hukuman penjara maksimum serta-merta rakan-rakan kita itu berlalu sia-sia sahaja. fb ALO

Kudeta Perak : bebaskan segera peserta demontrasi

13 peserta demontrasi yang dipenjara ekoran membantah rampasan kuasa oleh Barisan Nasional (BN) digesa dibebaskan segera, tegas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Pengarah Propagandanya, Eddy Noor Reduan berkata, ianya bagi memberi laluan kepada proses rayuan dijalankan di mahkamah rayuan.

“Ketika pembunuh dibebaskan dan perasuah serta pencuri wang rakyat berprofail tinggi diberi hukuman ringan, 13 rakyat biasa menyatakan bantahan terhadap rampasan kuasa di Perak dijatuhkan hukuman berat tidak setimpal.

“Kerajaan pemerintah sebelum ini menjatuhkan kerajaan sah negeri Perak melalui rampasan kuasa, hari ini menunjukkan belang taringnya menggempur rakyat menyuarakan bantahan dan selepas menang PRU13,” kata Eddy.

Eddy Noor menyeru agar rakyat negara bangkit dan memberikan sokongan kepada 13 tahanan itu yang disifatkan hukuman yang tidak adil.

“Semua rakyat khususnya anak muda diseru supaya bangkit dan lawan. Ayuh bersama SAMM Perak, turun ke penjara Tapah memberi solidariti kepada 13 saudara kita yang dianiaya oleh rejim legasi penjajah,” kata beliau.

Sementara itu, Dewan Muslimat PAS melancarkan tabung bagi membantu keluarga 13 peserta demonstrasi yang dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda 5,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala kangsar.

“Sebagai tanda solidariti dan zahirkan keprihatinan Dewan Muslimat melancarkan tabung segera ini bagi meringankan beban keluarga mereka yang pasti belum bersedia menerima keputusan ini.

“Rata-rata mereka isteri tidak bekerja dan anak-anak masih bersekolah. Sokongan dan kasih sayang semua sangat diharapkan,” kata Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS, Aiman Athirah Al-Jundi dipetik Harakah Daily.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank DMPP 564025400711.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui Whatsapp: 0192135353 atau email psu1.dmpp@pas.org.my
-selangorku

Apa Agenda Najib Pertahankan Utusan?

Najib salah guna kuasa arah beli iklan Utusan, kata DAP

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (gambar) secara terang-terangan menyalahgunakan kuasa apabila menggesa semua agensi kerajaan termasuk syarikat milik kerajaan (GLC) membeli iklan dari akhbar rasmi Umno, kata DAP.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, berkata gesaan Najib itu jelas bertentangan dengan janji Perdana Menteri itu kepada rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) yang kononnya akan melakukan transformasi ketelusan dalam pentadbiran negara.

"Gesaan Najib meminta agensi kerajaan, GLC membeli iklan bagi memastikan kelangsungan Utusan adalah satu lagi agenda kerajaan menipu wang cukai rakyat,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Perdana Menteri itu dalam pelancaran bangunan Ibu Pejabat Utusan Melayu yang baru menggesa semua agensi kerajaan, syarikat GLC dan syarikat swasta terutama milik Bumiputera mengiklan lebih banyak dengan akhbar di bawah kumpulan Utusan.

Najib berkata, langkah itu sebagai penghargaan mereka kepada perjuangan Utusan selama ini.

Gesaan itu disokong Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin yang meluahkan rasa terkilan apabila syarikat korporat meminggirkan Utusan.

"Kami dapati perbelanjaan iklan oleh sebahagian GLC dalam akhbar Melayu terutama Utusan lebih kecil berbanding akhbar berbahasa lain, ini tidak adil,"katanya.

Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, gesaan Najib secara tidak langsung membuktikan akhbar Utusan Melayu tidak lagi menjadi pilihan kerana agenda yang sangat rasis terhadap perkauman.

Tony berkata, Najib hipokrit apabila Presiden Umno mempunyai kepentingan sendiri, menggunakan pengaruh mengambil wang rakyat demi parti sendiri.


"Najib hanya berpura-pura kononnya akan melakukan perubahan, membawa imej pembaharuan kerajaan kepada masyarakat tetapi apabila perkara melibatkan kepentingan Barisan Nasional (BN) mereka akan mendahulukan kroni,"katanya.

Pada masa sama, Tony menyelar Najib yang tidak teragak-agak memotong subsidi barang keperluan dan perkhidmatan bagaimanapun mengalakkan pembaziran dengan meminta syarikat membeli iklan dalam Utusan. -TMI

ULASAN GB

Utusan yang telah banyak kali kalah di dalam kes-kes mahkamah kerana memfitnah itu kini berada di dalam keadaan nazak jika ia tidak "diselamatkan".

Kita tak tahu apa sebenarnya agenda Najib cuba pertahankan Utusan sekalipun beliau sendiri tahu bahawa akhbar tersebut merupakan akhbar bermata satu dalam negara ini - paling kuat menabur fitnah dan paling kedepan di dalam memain sentimen perkauman.

Atau munkinkah Najib telah perhabiskan berjuta ringgit untuk "membeli" wartawan-wartawan Utusan bagi menggilap namanya seperti yang telah Najib lakukan di peringkat antarabangsa? Maka dengan itu Najib perlu lakukan sesuatu bagi memulihkan Utusan supaya "pelaburannya" itu tidak menjadi sia-sia?

Sebelum ini GB pernah menulis bahawa Utusan tak kisah disaman di mahkamah, agenda fitnah dan sentimen perkauman untuk menarik sokongan Melayu akan tetap mereka teruskan, Mereka tak kisah orang tak mengiklankan dengan mereka kerana sebelum ini mereka berkata: Tok Jib kan ada....

Blogger Mangsa Rompakan Terima Kunjungan Exco


Blogger Omak Kau, Rohani Abdul Hamid, 44 masih trauma berikutan diacu parang ketika rumahnya dirompak sekumpulan lelaki minggu lalu.

Beliau berkata, perasaan takut menyelubungi dirinya ketika malam dan bersendirian biarpun empat lelaki yang merompaknya sudah ditangkap polis semalam.

“Saya berasa seolah-olah diekori. Anak saya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) berusia 17 tahun turut trauma kerana kejadian itu berlaku depan matanya,” kata ibu tunggal itu.

Kejadian itu mendapat perhatian Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah smail yang menziarahinya di sebuah pangsapuri di Bukit Raja di sini, petang semalam.

Rodziah bimbang terhadap kejadian yang menimpa Rohani dan keluarganya dan berharap polis harus mempergiat rondaan supaya kejadian itu tidak berulang.

“Perlu ada tindakan lebih mantap dan fokus dari polis untuk melihat bagaimana perkara itu boleh diatasi, dengan peratus jenayah meningkat saban hari,” katanya.

Turut hadir, wakil Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberi sumbangan bagi meringankan beban Rohani.

Pada 6 September lalu, Rohani yang baru pulang dari program pelancaran buku karya Ikhwanul Muslimin di sebuah hotel di Shah Alam, dirompak empat lelaki bertopi keledar, sekitar jam 2 pagi.

Beliau turut diacu dengan parang selain ada antara perompak itu cuba berkelakuan tidak senonoh terhadap kehormatannya.

Mangsa kerugian lebih RM5,000 berikutan pelbagai barang berharga termasuk komputer riba, televisyen telefon bimbit dan barang kemas dilarikan perompak itu. -selangorku


Apabila Menteri-menteri "Cap Ayam" Bersuara...


Di era Najib menjadi PM. kita dapati sungguh ramai menteri, timbalan menteri dan pegawai-pegawai kerajaan "cap ayam" dilantik dan mereka mengeluarkan kenyataan yang menampakkan taraf akalnya yang dangkal.

en yataan di atas ialah satu kompilasi yang menjelaskan hal tersebut.

Dan yang terkini tersenarai seorang lagi timbalan menteri.

Tmbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan namanya, menyatakan rakyat yang berpendapatan RM3,000 ke bawah membelanjakan cuma RM132 sebulan untuk petrol RON95. Bererti tak sampai RM5 sehari. Lucu, tetapi inilah tahap mentaliti menteri kabinet yang ada kini.