5 Jan 2009

Fitnah Ke Atas Kerajaan Perak

Berita Minggu, melalui tulisan Abu Bakar al-Sidek di muka surat 11 akhbar berkenaam keluaran Ahad, 4 Januari 2009 melaporkan mengenai dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan sebanyak 11,000 pelajar Tadika Kemas di Perak berdepan dengan masalah apabila kira-kira 700 dewan Tadika Kemas dikunci atas arahan kerajaan negeri Perak

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menafikan sekeras-kerasnya tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tersebut dan menegaskan bahawa kenyataan Zahid itu pembohongan semata-mata dan merupakan tindakan ketua UMNO yang tenggelam punca yang akan menerima kekalahan teruk di PRK Kuala Terengganu pada 17 Januari nanti.

Kenyataan dan tuduhan berbau politik ini dibuat bagi mencemarkan nama baik kerajaan Pakatan Rakyat Perak terutama menjelang PRK K Terengganu. Sebenarnya kerajaan negeri Perak tidak pernah membuat apa-apa arahan atau keputusan mengenai penggunaan dewan orang ramai sebagai premis dan kelas Tadika Kemas. Ini sengaja diada-adakan oleh Zahid melalui dakwaan beberapa ketua JKKP barangkali di Bagan Datok, Perak.

Oleh yang demikian saya telah meminta petugas saya membuat laporan polis serta mengambil tindakan mahkamah bagi menjernihkan nama baik kerajaan serta saya sebagai Menteri Besar.

Di Perak ketika ini terdapat sms yang menyatakan beberapa dewan dewan akan sengaja dikunci (oleh orang suruhan ) pada malam ini bagi mencerminkan kebenaran dakwaan Zahid, apabila persekolahan dibuka esok pagi. Persepsi ini bagi mencemarkan imej kerajaan Pakatan Rakyat.

Maka dengan ini sekali lagi saya menegaskan bahawa kenyataan Zahid itu pembohongan semata-mata dan merupakan tindakan ketua UMNO yang tenggelam punca yang akan menerima kekalahan teruk di PRK K Terengganu pada 17 Januari nanti. Saya menafikan dengan tegasnya dawaan dan tohmahan Zahid tersebut. Dia akan menerima padahnya nanti akibat fitnah yang dilemparkanya terhadap saya dan kerajaan Pakatan Rakyat.

Gaza Terpotong Menjadi Dua

Kemaraan tentera darat serta kereta kebal zionis Israel telah bergerak jauh ke dalam Jalur Gaza, memotong wilayah itu menjadi dua bahagian.

Dengan serangan bom dari angkatan laut, udara dan darat, pasukan Israel merebut posisi-posisi di kedua sisi bandar Gaza, dan sepanjang jalan timur-barat.

Selepas melancarkan serangan udara selama lapan hari, awal pagi semalam tentera Yahudi berkenaan telah mara memasuki Gaza dalam fasa kedua pencerobohannya tanpa menghiraukan bantahan antarabangsa dengan angka kematian warga Palestin kini mencecah 500 orang dan 2,500 lainnya cedera.

Seorang ibu Palestin dan empat orang kanak-kanaknya dilaporkan terbunuh dalam satu serangan terbaru rejim Zionis di Gaza pada petang Ahad (4/1/09). Setidaknya 17 orang terbunuh dan 130 cedera ketika roket-roket Israel ditembakkan ke bahagian selatan Gaza.

Menteri Kesihatan Palestin, Dr Fathi Abumoghli, mengatakan tentera Israel mengekang pergerakan ambulans, yang menyebabkan para korban meninggal dunia sebelum mereka mendapatkan perawatan.

Badan amal Inggris, Oxfam, juga mengatakan bahawa seorang perawat yang bekerja untuk organisasi bantuan mereka juga maut dan dua lainnya cedera dalam pengeboman Israel tersebut.

Banyak berita tidak dapat dilaporkan dengan jelas. Israel telah melarang para wartawan antarabangsa masuk ke Gaza dalam usaha mereka untuk menutup hal kekejaman dan kezaliman yang mereka lakukan di sana.