18 Mei 2009

PAS UMNO : Tiada Politik Wang Dalam PAS

Jawatankuasa Harian PAS Pusat yang bermesyuarat hari ini mengesahkan amalan politik wang tidak wujud dalam parti itu seperti yang digembar-gemburkan terutamanya menjelang pemilihan Jun depan.

Malah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata jawatankuasa itu juga menafikan sekeras-kerasnya laporan media yang mengaitkan parti itu dengan amalan rasuah dan politik wang.

"Saya telah mendengar taklimat dari Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat dan beberapa pimpinan Pusat yang lain.

"Seteleh kita mengumpulkan maklumat dari semua negeri-negeri, kita dapati tidak ada amalan politik wang dalam PAS," katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media selepas mesyurat itu berakhir.

Minggu lalu Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Mohamed Daud Iraqi mendedahkan bahawa perebutan kuasa dalam PAS semakin ketara sehingga ada individu sanggup memberikan 'hadiah' kepada perwakilan untuk mendapatkan sokongan pada pemilihan parti itu Jun depan.

Mohamed memberitahu, terdapat sesetengah calon yang telah membuat jamuan dan memberi baju kepada perwakilan untuk melobi supaya memenangi jawatan yang bakal ditandingi.

Jawatankuasa Harian PAS Pusat juga mengambil keputusan untuk tidak mengambil sebarang tindakan kepada Mohamed Daud dan beranggapan isu politik wang dalam PAS tidak timbul.

Abdul Hadi juga menyifatkan usaha pihak-pihak tertentu untuk mengaitkan PAS dengan amalan politik wang ternyata tidak berhasil.

"Sebarang usaha untuk menembuskan bahtera PAS melalui politik kotor terbukti selama ini telah gagal.

"Kita yakin PAS tidak akan dapat ditembusi dengan amalan politik wang," katanya.

Dalam pada itu Mohamed Daud ketika ditemui selepas mesyuarat tersebut berkata beliau telah memberi penjelasan secara menyeluruh kepada Jawatankuasa Harian PAS Pusat.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut sama beliau mengemukan sebarang bukti ataupun tidak berhubung dakwaannya sebelum ini.

"Tiada komen... Tiada komen, kalau saya cakap nanti banyak masalah.

"Saya serah kepada presiden parti," katanya ringkas.


UMNO BN Angkat Bendera Putih Di Penanti

Akhirnya UMNO-BN membuat keputusan untuk tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti yang dijadual 31 Mei ini.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Pilihan raya kecil DUN Penanti diadakan berikutan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti 16 April lalu.

Malah PKR juga telah mengumumkan calon mereka untuk bertanding di Penanti iaitu Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Dr. Mansor Othman, 56.

Selain PKR, calon bebas, Aminah Abdullah, 56, bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, turut menyatakan hasrat untuk bertanding.

Najib bagaimanapun sebelum ini pernah membayangkan bahawa BN mungkin tidak akan meletakkan calon pada pilihan raya kecil Penanti yang dijadual pada 31 Mei ini.

Sementara itu Bernama melaporkan pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pulau Pinang telah menjual empat borang pencalonan untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang kawasan Penanti setakat ini, kata pengarahnya Morat Pora.

Beliau berkata sejak SPR mengumumkan kekosongan kerusi itu berikutan peletakan jawatan penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin dariapda Parti Keadilan Rakyat baru-baru ini, empat individu telah datang ke pejabat SPR di Komtar untuk membeli borang berharga RM20 itu.

"Kita tidak tahu borang itu untuk siapa kerana ia boleh dibeli oleh sesiapa sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.



NIZAR MOHON 5 HAKIM DENGAR KESNYA

Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini mengemukakan permohonan bagi mendapatkan panel lima hakim Mahkamah Rayuan untuk mendengar permohonannya mengetepikan keputusan mahkamah itu minggu lepas yang membenarkan penangguhan pengisytiharan Mahkamah Tinggi bahawa beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah, demikian laporan Bernama.

Peguam Leong Cheok Keng, yang mewakili Mohammad Nizar, ketika dihubungi berkata, surat permohonan itu telah dihantar melalui faks ke pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan di sini, pada pukul 4 petang tadi.

Alasan permohonan itu ialah kerana kes tersebut, yang ditetapkan pendengarannya Khamis ini, membabitkan kepentingan awam, selain melibatkan isu dan persoalan perlembagaan, katanya.

Pada 11 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Ab Rahim mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah kerana mendapati Mohammad Nizar tidak pernah mengosongkan jawatan sebagai Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.

Berikutan keputusan itu, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengemukakan permohonan penangguhan pelaksanaan pengisytiharan itu yang telah didengar dan dibenarkan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ramly Ali.

Mohammad Nizar kemudian memfailkan permohonan Rabu lalu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Zambry dan Exconya Makan Gaji Haram

Mahkamah Tinggi sudah membuat keputusan bahawa Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah. Cuma keputusan tersebut ditangguhkan oleh Mahkamah Rayuan, menanti perbicaraan.

Keputusan penangguhan oleh Mahkamah Rayuan, tidak memberi makna apa-apa kepada Dato' Dr Zambry Abdul Kadir. Beliau bukan Menteri Besar yang sah dari segi undang-undang.

Keputusan Mahkamah Tinggi jelas menunjukkan bahawa Nizar adalah MB sebenar bukan Zambry, ini tafsiran undang-undang. Mana boleh pada satu-satu masa ada dua MB. Mana boleh Zambry melaksanakan tugas sebagai MB hanya semata-mata keputusan pengesahan Nizar ditangguhkan oleh mahkamah.

Zambry tidak ada pilihan. Beliau harus mengosongkan segera pejabat MB Perak. Beliau tidak boleh membuat keputusan-keputusan yang membabitkan kerajaan. Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang diadakan juga tidak sah.

Lebih buruk daripada itu, ialah selama tiga bulan (semenjak Februari lepas), kerajaan negeri Perak beroperasi secara tidak sah. Perlantikan yang dibuat MB Zambry tidak sah, perbelanjaan-perbelanjaan kerajaan semuanya tidak sah.

Dalam erti kata mudah, Perak mempunyai seorang MB yang sah, seorang lagi tidak sah. Seorang MB yang halal, seorang lagi MB haram.

MB haram ini sudah banyak membuat keputusan dan berbelanja bagi pihak kerajaan negeri. Dan keputusan Mahkamah Tinggi 11 Mei lepas, adalah tempelak yang paling besar terhadap Zambry, Umno dan BN Perak, kerana selama tiga bulan telah melakukan kerja-kerja haram.

Keputusan Mahkamah Tinggi juga memberikan implikasi bahawa semua gaji, upah dan elaun yang wajar diterima Nizar harus dibayar balik oleh kerajaan negeri. Dalam masa yang sama, kerajaan negeri kerugian kerana berbelanja kepada penjawat-penjawat yang haram dari segi undang undang.

Malangnya Zambry dengan muka yang tidak tahu malu, terus memasuki pejabat MB selepas Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pengesahan Nizar sebagai MB.

Sikap 'buruk siku' Zambry ini hanya menunjukkan kepada rakyat Perak, khususnya pegawai-pegawai kerajaan negeri, bahawa beliau memang kemaruk hendak jadi MB.

Biarlah orang hendak kata apa pun, biarlah apa persepsi rakyat kepadanya pun, pedulikan keputusan mahkamah, yang penting Zambry ialah MB. Itulah agaknya kehendak beliau.

Zambry tidak boleh tuduh Nizar kemaruk hendak menjadi MB kerana, hasrat Nizar jelas, beliau mahu Dun dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya diadakan semula.

Jika Nizar tewas sekali pun sebagai Adun, nescaya beliau akan berpuashati kerana beliau telah menyerahkan amanah kembali kepada rakyat secara jujur dan demokratik.

Sebaliknya, jika Zambry tahu malu beliau tidak harus duduk di kerusi MB kerana pada tafsiran undang-undang dan pada hati rakyat, Nizar adalah MB yang sah.

Jika Zambry 'anak jantan' beliau tidak harus takut dengan rakyat, kalau betul dia gentleman, ajak semua Adun-Adun BN pakat-pakat letak jawatan kalau pun tidak ada kuasa untuk membubar Dun.

Janganlah jadi seperti badut-badut sarkas menyolek muka dengan pelbagai warna sambil membuat aksi-aksi lawak untuk membuatkan rakyat tertawa dengan anda.

Buat apa hendak jadi MB jika undang-undang mengatakan anda bukan MB. Buat apa hendak jadi MB jika semua keputusan yang anda buat menyalahi undang-undang. Buat apa hendak jadi MB jika setiap hari anda diherdik dan dicerca rakyat.

Krisis yang berlaku di Perak ini menjadi semakin karut dan kalut. Pegawai-pegawai kerajaan negeri tersepit kerana mereka akan diheret terbabit dalam melaksanakan keputusan MB yang haram.

Bagaimana pegawai-pegawai kerajaan boleh berkhidmat dengan sempurna jika mereka dicemuh rakyat kerana membantu sebuah kerajaan negeri yang haram?

Hakikatnya, krisis politik di Perak yang semakin parah ini adalah angkara kegelojohan pemimpin-pemimpin BN untuk merampas kembali tampuk pemerintahan kerajaan negeri dari Pakatan Rakyat.

BN membuat perancangan yang teliti dengan memerangkap dua Ahli Dewan Undangan Negeri dari Parti Keadilan Rakyat yang kes rasuah dan mempergunakan seorang Adun DAP yang kemaruk jawatan akibat perselisihan dalaman.

Tiga orang Adun yang 'dibadutkan' oleh BN ini mungkin menerima upah lumayan kerana sanggup mengkhianati amanah rakyat dengan melompat parti.

Kegelojohan BN itu mengakibatkan Perak tidak henti-henti dilanda pelbagai krisis yang lebih mencacatkan wajah demokrasi yang diamalkan dalam negara.

Sebenarnya BN takut hendak memperakui bahawa kedudukan mereka dalam kancah politik negara sekarang ini adalah 'bagaikan anjing tersepit.'

BN tahu, jika keputusan mahkamah berpihak kepadanya sekali pun, nama BN akan terus tercemar dan busuk di mata rakyat. Dan jika dibubarkan Dewan Undangan Negeri Perak pun, BN jamin akan kalah besar.

Dalam keadaan sekarang BN tiada pilihan lain. Keadaan politik sekarang tidak memberikan apa-apa keuntungan kepada mereka.

Justeru, daripada malu kerana kalah dijatuhkan rakyat dengan penuh kehinaan, lebih baik BN angkat 'bendera putih' awal-awal. -mohd rashidi

Menggigit Polis Tian Chua Diarah Bela Diri, Sedangkan Kezaliman Polis Dilupai

Rakyat hari ini hairan apabila Mahkamah Majistret di sini mengarahkan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua Chang, 46, membela diri terhadap pertuduhan mencederakan anggota polis Disember 2007.

Majistret Mohd Faizi Che Abu membuat keputusan selepas pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Hanafiah Zakaria berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Mohd Faizi dalam penghakimannya berkata, beliau mengambil kira keterangan yang menunjukkan saksi pendakwaan kedua yang juga mangsa, Konstabel Rosyaidi Anuar, 22, dari Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, tiada niat dan sebab untuk menumbuk Tian Chua kerana mangsa perlu mempertahankan diri dalam satu pergelutan.

Mohd Faizi berkata terdapat dua elemen dalam penghakimannya iaitu mangsa sebagai penjawat awam hanya menjalankan tugasnya ketika dalam operasi itu, khususnya ketika menahan Tian Chua, yang juga Anggota Parlimen Batu, dan bahawa tertuduh juga menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Apa yang pelik ialah bagaimana mudah polis mendapat kerjasama dengan pihak hospital yang menurut keterangan Dr Norzilawati Ahmad, yang merawat Rosyaidi, menyatakan bahawa gigitan yang terdapat pada lengan anggota polis itu adalah kuat sehingga memberikan kesan.

Sedangkan di dalam banyak kes yang melibatkan kekejaman polis sehingga menyebabkan kematian tidak lansung terbelas seperti di dalam kes Kugan.

Tian Chua dituduh menyebabkan kecederaan terhadap Rosyaidi pada 10.45 pagi 11 Dis 2007 di jalan masuk ke Bangunan Parlimen di sini.

Tuduhan adalah mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Apa yang nyata bagi seluruh negara Tian Chua sebelum menjadi Ahli Parlimen Batu telah melalui pelbagai siri kekejaman dan kezaliman polis yang mana polis telah melakukan tindakan-tindakan di luar batas kemanusiaan dan kini Tian Chua pula yang cuba dihukum.

Jika Tian Chua dihukum penjara dihukum penjara selama tidak kurang daripada 1 tahun atau denda tidak kurang daripada RM2000, beliau boleh hilang kelayakan sebagai ahli parlimen dan pilihanraya kecil perlu diadakan untuk kawasan parlimen Batu.

Di dalam ;pilihanraya 2008 yang lalu Tian Chua mewakili PKR memperolehi 29,785 undi mengalahkan Lim Si Pin(BN) yang mendapat 20,330 undi dengan majoriti : 9,455 undi

Jika BN berani untuk berdepan pilihanraya di Batu sekali lagi, bolehlah cuba "arah"kan dan perkudakan hakim tersebut untuk mengenakan hukuman maksima terhadap Tian Chua.




50 ahli UMNO sertai Pas Di Selangor

Ketika UMNO berusaha untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti tersebut, namun rakyat sudah bijak membuat pilihan yang mereka yakini akan membawa perubahan.

Ini dibuktikan dengan penghijrahan beramai-ramai ahli UMNO Cawangan Kampung Melayu Tambahan menyertai Pas dengan berlangsungnya penyerahan borang keahlian Pas baru-baru ini.

Dengan keyakinan baru itu, seramai 50 ahli UMNO menyerahkan borang tersebut kepada Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali dalam satu majlis ringkas tetapi penuh bermakna kepada Pas cawangan Kampung Melayu Tambahan.

Dr Hassan, inilah penanda yang cukup baik kepada PAS sebagai persiapan Pilihanraya Umum ke-13 yang akan datang apatah lagi yang menyokong itu datangnya daripada ahli UMNO.

Menurutnya, penghijrahan ini telah menyemarakkan lagi semangat Pas dan beliau yakin akan ramai lagi keahlian baru akan menyertai parti itu selepas ini.

“Apabila kita berjaya menunjukkan contoh dan menampilkan keterampilan bersih, insya-Allah akan ramai lagi akan bersama-sama dengan Pas. Kita juga berharap pada pilihan raya akan datang, Pas bersama Pakatan Rakyat akan mencatatkan kemenangan yang lebih baik lagi supaya akhirnya nanti akan dapat mewujudkan satu sistem pentadbiran yang lebih adil dan baik kepada rakyat.

“Semoga dengan usaha ini, kerajaan negeri akan mengembalikan semula kekayaan negeri kepada rakyat yang mempunyai hak ke atasnya,” kata beliau.

Dr Hassan berkata, setelah setahun memerintah Selangor, Pas turut membuktikan bahawa tiada seorang pun yang terlibat dengan rasuah, skandal mahupun lompat parti dan inilah faktanya iaitu Pas adalah parti yang bersih.

Sebelum itu, satu ceramah ringkas telah disampaikan oleh Dr Hassan kepada orang ramai dalam memperkemaskan semangat ahli parti dan juga ahli baru yang menyertai Pas.

Beliau juga mengingatkan kepada parti supaya memperkemaskan jentera dan bergerak supaya persaudaraan dan ukhuwah dalam Pas sentiasa kuat dan utuh.

“Kita mestilah menghidupkan usrah dan dari sinilah kita akan merasai kehebatan parti ini yang mana tiada satu parti pun pernah mengadakan usrah seperti Pas melakukannya,” katanya. -sinarharian


UMNO BN : Shahidan Kassim Pinjam Ah Long

Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim 'pokai' gara-gara terpaksa menanggung perbelanjaan persatuan itu seorang diri tanpa bantuan kerajaan negeri, demikian dilaporkan oleh akhbar Kosmo hari ini.

Beliau mendakwa kononnya terpaksa menggunakan wang sendiri bagi menyara tiga pasukan yang diselia oleh persatuan itu iaitu skuad Liga Super, Piala Presiden dan KSK Tambun Tulang yang bersaing dalam Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Akibat kesempitan sumber kewangan juga PFA terpaksa menangguhkan sebulan gaji pemain dan hanya membayar separuh daripada gaji tersebut untuk bulan ini bagi menampung kos lain.

Walaubagaimana banyak pihak sangsi dengan dakwaannya.

Shahidan yang juga bekas Menteri Besar Perlis menuduh masalah kewangan PFA semakin kritikal ketika ini berpunca daripada kerajaan negeri yang enggan menyalurkan bantuan kewangan sehingga menyebabkannya hampir 'pokai' apabila terpaksa menghabiskan sehingga RM200,000 sebulan.

"Sekarang saya terpaksa berhutang untuk tanggung PFA, saya sudah keluarkan wang simpanan dan kini saya betul-betul 'kering' dan kena berhutang lagi untuk bayar gaji mereka (pemain dan pegawai).

"Saya menanggung PFA lebih daripada saya menjaga keluarga saya. Akibat tidak cukup wang untuk sara persatuan ini dengan ah long pun saya dah kena pinjam sekarang," katanya pada sidang media selepas perlawanan antara Perlis dengan Kelantan malam kelmarin.

Jelasnya, beliau meminta kerajaan negeri tampil membantu pasukan itu supaya sukan bola sepak Perlis kembali segar untuk sekali lagi mengukir kejayaan dalam kancah Liga Malaysia.

"Kerajaan negeri jangan aniaya pemain, mereka tidak boleh ambil mudah perkara ini, kalau marahkan saya pun janganlah seksa pemain. Kasihan pemain kerana mereka juga ada keluarga dan tanggungan.

"Saya dah cukup sengsara menanggung masalah ini seorang diri, semuanya saya jual cuma tinggal saham saja sikit lagi itu pun tidak boleh jual kerana harga jatuh," ujarnya.

Jelasnya, sehingga kini juga PFA masih belum membayar bonus sebanyak lima kali kepada pemain selepas mereka berjaya sejak awal musim lalu.

Tambahnya, keadaan itu berlarutan sejak beliau tidak diterima sebagai Menteri Besar Perlis selepas Pilihan Raya Umum ke-12 tahun lalu.

Begitupun Shahidan memberitahu, beliau berterima kasih atas komitmen pemain skuad Liga Super Perlis yang berjaya menewaskan Kelantan 2-0 di Stadium Utama, Kangar malam kelmarin, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pendahulu liga.

Beliau berkata, PFA turut menghadiahkan kemenangan itu kepada Raja Perlis sempena hari keputeraan Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang ke-66 semalam.


Nizar Zambry : KSN Digesa 'ambil balik' SUK Perak

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar meminta Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan supaya 'mengambil balik' Setiausaha Kerajaan Negeri (SU) Perak iaitu Dato' Abdul Rahman Hashim (foto) kerana gagal mengikut peraturan dan tidak bertanggungjawab.

Zulkefly berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Mohd Sidek yang mengatakan Menteri Besar Perak yang sah, Dato' Nizar Jamaluddin tiada kuasa untuk mengantung SKN Perak, Abdul Rahman baru-baru ini.

Menurut Zulkefly, Menteri Besar ibarat seorang Ketua Pegawai Ekskutif (CEO) dan adalah menjadi peraturan 'standard' setiap SU harus bertanggungjawab pada kerajaan negeri dan seterusnya melapor diri pada menteri besar.

Malah Abdul Rahman tidak boleh membuat tindakan sesuka hati dan mendahului menteri besar berkaitan dengan pentadbiran kerajaan negeri, katanya.

"Apa berlaku di Perak adalah jelas bahawa Abdul Rahman telah melakukan beberapa perkara yang bertentangan dan melanggar undang-undang.

"Antaranya menghalau Nizar dari pejabat, berpihak kepada Umno- BN, terlibat dalam kemelut Sidang DUN dan menghalang Nizar dari jalankan tugas sebagai menteri besar," jelas Zulkefly.

Berdasarkan tindakan yang dilakukan oleh Abdul Rahman, maka adalah tidak sesuai untuk Abdul Rahman memegang jawatan SU Perak.

"Jika Mohd Sidek berkata bahawa menteri besar tiada kuasa, jadi sebagai ketua kerajaan negeri, apakah kuasa yang Nizar ada jika pegawai kerajaan melangkaui undang-undang dan langgar peraturan?

" Oleh yang demikian saya meminta agar Mohd Sidek mengambil balik Abdul Rahman kerana gagal laksanakan peraturan, tidak bertanggungjawab dan maka tidak layak menjadi SKN Perak," katanya lagi.

Zulkefly turut mengulas bahawa tindakan Abdul Rahman memberi notis Sidang DUN dan kenyataan media adalah tindakan menafikan kuasa Speaker V.Sivakumar.

Maka oleh kerana terlalu banyak salah laku yang dilakukan oleh Abdul Rahman, maka adalah wajar Mohd Sidek 'mengambil semula' Abdul Rahman dari pentadbiran kerajaan Negeri Perak.


TDM: Media Arus Perdana Yang Dikuasai UMNO BN Berat Sebelah

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyelar media arus perdana berhubung cara liputan berita yang tidak berhemah dan berat-sebelah.

Mengakui kekangan ke atas media bermula ketika negara di bawah pentadbiran beliau, Dr Mahathir berkata media arus perdana cenderung mengampu pemimpin dan takut menyatakan kebenaran.

Sikap ini, kata Dr Mahathir, menyebabkan rakyat tidak lagi percaya kepada integriti media arus perdana.

Dr Mahathir berkata demikian di sidang akhbar semalam selepas menghadiri forum Dunia Bloggers Malaysia: Pertembungan Estet Keempat dan Kelima di Subang Jaya.

Kira-kira 150 penulis blog hadir pada forum tersebut yang turut membariskan beberapa penulis dan pengendali blog popular dan wartawan terkenal.

Tambah beliau media arus perdana harus menukar wajah dan lebih berani mengkritik dan mendedahkan kelemahan kerajaan.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyelar media arus perdana berhubung cara liputuan berita yang tidak berhemah dan berat-sebelah.

Nada yang disuarakan Dr Mahathir di forum ini jelas berbeza dari nada autokratik yang sinonim dengan pentadbiran beliau selama lebih dua dekad.

Bekas Perdana Menteri itu turut mengakui beliau cuba menyekat ruang blogging sebelum ini.

Walau bagaimanapun setelah bersara daripada kerajaan beliau melihat blogging sebagai suatu fenomena teknologi yang perlu dan penting.

Dalam forum tersebut Dr Mahathir juga mengambil kesempatan mengkritik bekas Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berasa kesal dan amat marah dengan tindakan Abdullah memberhentikan projek-projek mega yang dirancang dan dilaksanakannya oleh beliau semasa menjadi Perdana Menteri, terutamanya Jambatan Bengkok dari Johor Bahru ke Singapura.


Nizar : SUK Cuba Halang Saya Bertemu Tuanku

Menteri Besar Perak, Nizar Jamaluddin dalam satu ceramahnya malam tadi berkata Setiausaha Kerajaan Negeri Perak telah menghalang beliau untuk bertemu dengan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah ketika Sidang Dun 7 Mei lalu.

Berkata di hadapan kira-kira 15,000 orang di Shah Alam malam tadi, ketika peristiwa berkenaan, beliau telah mengiringi baginda ke lif namun sebelum masuk kedalam lif, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Abdul Rahman Hashim menghalang Nizar menaiki lif yang sama.

“Dalam perjalanan itu tuanku berkomunikasi dengan saya, sehingga sampai di pintu lif maka terdengar suara sumbang dari Setiausaha kerajaan negeri, Abdul Rahman Hashim. Beliau berkata dengan suara yang lantang, Datuk Seri tidak boleh masuk lif,” katanya lagi.

Tambah Nizar lagi, turut mengiringi Tuanku ketika itu ialah Ahli Dewan Undangan Pangkor, Zambry Kadir - yang menyatakan bahawa beliau adalah menteri besar Perak.

“Perkara ini di dengar oleh tuanku dan baginda berkata kepada saya, Datuk Seri boleh masuk ke dalam lif yang turut berada bersama di dalam itu ialah Zamry. Bila lif ditutup, Dato setiausaha kerajaan negeri tertinggal di luar,”katanya.

Namun kata Nizar, ketika mengiringi Raja Nazrin, Baginda berinteraksi cukup baik dengan beliau sehingga baginda menaiki kenderaan rasmi. -sk



PAS UMNO : Kenapa Anifah Aman Tidak Dikuarantin?

Anifah Aman tidak mahu menarik balik kata-katanya dan mahu bertembung dengan Anwar Ibrahim di mahkamah.

Hari ini 101 penumpang dan lima krew penerbangan AirAsia AK5358 – yang dinaiki penghidap influenca A (HINI) – dari Sepang ke Pulau Pinang pada 13 Mei lalu akan dikurantin di rumah berkuatkuasa serta. Klik disini.

Anifah Aman dan pegawai-pegawainya yang baru pulang dari Washington langsung tidak dikuarantin dan diperiksa. Mengapa?

Apakah kerana dia menteri maka diberi keistimewaan?

Tapi tak mengapalah.

Yang bakal berjangkit virus H1N1 jika dibawa oleh Anifah ialah jemaah Menteri Malaysia dan bukannya rakyat biasa! -amin iskandar



Nizar Zambry : Lagi Lama Krisis Lagi Bagus?

Sewaktu Pilihanraya Umum 1978, BN menggunakan isu 'pakatan sulit PAS-DAP' sebagai strategi untuk menundukkan pembangkang. Kononnya Yang Dipertua Agong PAS, Datuk Asri Muda dan Setiausaha DAP, Lim Kit Siang mengadakan persefahaman untuk tidak bersaing antara satu sama lain dalam menghadapi BN, tulis kolumnis Harakah, Zulkifli Yahya.

Mereka menggunakan semua media talibarut BN menyenaraikan kawasan yang ditandingi DAP dan PAS. Kebetulannya, DAP memilih kawasan majoriti bukan Melayu, manakala PAS pula memilih kawasan majoriti Melayu; berasaskan potensi untuk menang (realiti politik pada masa itu) maka teori kewujudan 'pembahagian kerusi' antara kedua parti tersebut semacam berjaya dibuktikan. Pun begitu, terdapat juga kerusi di mana berlaku persaingan PAS-DAP, tetapi media talibarut BN berjaya menyembunyikannya.

Pembahagian kerusi bukan isu besar, tapi yang mahu dimomokkan oleh BN ialah wujudnya persefahaman antara PAS sebuah parti yang dianggap pelampau Islam dengan DAP sebagai sebuah parti yang dicop pelampau Cina. Orang Melayu sukar menerima DAP, manakala orang Cina menolak mentah-mentah PAS. Maka apabila BN menonjolkan isu 'Pakatan sulit' PAS-DAP ia ibarat satu peluru untuk membunuh dua musuh. Ia sangat berkesan pada masa itu.

Selepas dua puluh tahun berlalu, DAP melakukan satu percubaan untuk menjalin kerjasama dengan PAS melalui gagasan yang dinamakan Barisan Alternatif. Pilihanraya Umum 1999 menunjukkan PAS tidak mengalami apa-apa kecederaan di sebalik kerjasama dengan DAP dari segi mendapatkan sokongan orang Melayu.

Sebaliknya DAP yang menerima bencana amat teruk. Ramai pemimpin mereka kecundang, termasuk Lim Kit Siang. Undi rosak di kerusi tradisi DAP sangat besar, menunjukkan orang Cina langsung tidak dapat menerima kerjasama DAP dengan PAS. Ini memaksa DAP keluar Barisan Alternatif dan bersendirian dalam Pilihanraya Umum 2004, yang menyaksikan mereka kembali mendapat sokongan dari pengundi tradisi DAP.

DAP masih takut bersama PAS pada Pilihanraya Umum 2008. Tetapi tanggapan DAP kali ini salah kerana orang Cina sudah boleh menerima PAS. Lalu wujudlah Pakatan Rakyat, tapi harus diingat PR lahir selepas 8 Mac 2008. Ia dimantapkan cuma dalam masa 14 bulan. Sekalipun masa diambil cuma lebih sedikit dari setahun, namun imej PR, khususnya yang melibatkan kerjasama mantap PAS-DAP diserlahkan dengan cemerlang sekali.

Apakah isu yang berjaya menggilap imej PAS begitu rupa di kalangan masyarakat bukan Islam di negara ini? Seluruh pemerhati politik harus menerima hakikat bahawa jawapannya ialah; semua isu yang berlaku di Perak sejak 8 Mac 2008 hingga kini!

Antara paparan menarik yang dilihat rakyat di Perak ialah: Kedua-dua parti boleh bersama dalam keadaan susah dan senang, PAS tidak pernah mengkhianati persepakatan politik, apa yang dimomokkan terhadap PAS selama ini adalah tidak betul, runtuhnya tembok perkauman dan (yang lebih penting) runtuhnya imej perkauman terhadap PAS dan DAP. Pancaran imej ini tersirna di seluruh negara, tidak di Perak sahaja.

Berbalik kepada isu di Perak. Tanpa pembubaran DUN, krisis tidak selesai dengan mudah. Sewaktu rencana ini ditulis Dr. Zamri kembali jadi Menteri Besar selepas 19 jam Nizar berkuasa. Peguam Nizar tidak akan berdiam diri, akan ada episod seterusnya yang memungkinkan Nizar kembali.

Bagi BN, di samping menggunakan mahkamah, mereka akan berusaha adakan sidang DUN untuk mengusul undi tidak percaya terhadap Nizar. Dengan beranggapan bahawa Spekaer DUN sekarang adalah milik mereka dan BN mempunyai majoriti, mudah bagi mereka untuk berbuat apa saja. Soalnya, DUN baru saja bersidang, yang dibuat mesti atas perkenan Sultan. Tidak nampak bagi Sultan untuk berkenan mengadakan sidang DUN secara tergesa-gesa kerana ia mendedahkan baginda terhadap persepsi buruk bahawa Sultan turut terbabit dalam konspirasi politik BN.

Katakan dengan menggunakan khidmat samseng (seperti 7 Mei lalu), R. Ganesan dapat memimpin persidangan DUN dan undi tidak percaya terhadap Nizar pun berjaya dilakukan. Peguam Nizar akan membawa kes speaker haram pula ke mahkamah. R. Ganesan boleh tersingkir. BN dan PR masing-masing ada peguam yang hebat belaka.

Mereka akan guna apa saja peluang di mahkamah. Tidak pelik selepas ini kalau Dr. Zamri dan Nizar silih berganti jadi Menteri Besar. Betullah, macam cerita kartun.
Dunia akan ketawa lihat sandiwara politik tetapi yang susahnya rakyat Perak.
"Susah-susah macam ni bubar saja DUN, biar rakyat kembali buat pilihan."

Itu ucapan yang dibuat oleh pemimpin PR sebelum ini. Ia turut diulang oleh ahli-ahli akademik yang berforum di media-media elektronik. Hari ini ia turut diucapkan oleh golongan atas pagar. Percayalah nanti penyokong-penyokong BN pun akan turut terbawa-bawa dengan ungkapan itu. Tentulah nanti, majoriti rakyat akan menyalahkan BN kerana masih berdolak-dalik untuk mempertahankan kuasa yang rapuh, sedang rakyat yang susah.

Bagi Pakatan Rakyat, semakin lama krisis di Perak ini berlarutan maka ia semakin baik terhadap ‘keuntungan politik’ jangka panjang, di seluruh negara.

BN sudah dapat menduga bahawa mereka akan kalah dalam pilihanraya umum ke 13 di Pusat dan di Perak, serta kalah jika pilihanraya DUN Perak diadakan sekarang. Empat tahun bertenggek di dahan rapuh tentu lebih baik dari hilang kuasa sebelum tiba pilihanraya umum ke 13. -Tarmizi Mohd Jam


UMNO BN Anggap Malaysia Dia Punya

Walau apapun keputusan Mahkamah pada hari Khamis 21 Mei ini, UMNO tetap dengan lagak samseng yang menganggap Malaysia ini dia yang punya. Jika keputusan itu menyebelahinya maka bertambahlah angkuhnya dan bertambahlah merana rakyat Perak.

Jika keputusan itu tidak menyebelahinnya, maka jangan dianggap YAB Nizar bersama dengan Pakatan Rakyat dapat tidur dengan lena. Zambry bersama UMNO akan mencari jalan menumbangkan kerajaan 'minoriti' Pakatan Rakyat. Dijangka Zambry akan membawa usul undi tidak percaya kepada YAB Nizar dengan menggunakan Speaker 'haram'.

Jika itu terjadi maka kemelut ini akan berpanjangan. Sudah tentu Pakatan Rakyat akan menggunakan Mahkamah untuk menentusahkan siapa sebenarnya Speaker yang sah, walaupun 1 Malaysia tahu V.Sivakumar adalah speaker yang sah.

Jadi untuk meleraikan segala kekusutan yang berpanjangan ini, pembubaran DUN adalah yang paling tepat.

Wahai UMNO, kalaulah betul rakyat didahulukan, kembalilah kepada rakyat. -al-brangi


PAS Mendahului OneMlaysia UMNO - Buka Keahlian Kepada Bukan Islam

Sesungguhnya suatu nikmat yang Allah kurniakan kepada kita selaku pejuang-pejuang Islam apabila masyarakat bukan Islam mula mendekati kita. Di saat Umno/Bn mula kehilangan arah dalam hala tuju mereka, masyarakat bukan Islam khususnya mulai yakin dengan dasar yang dibawa oleh PAS dan juga rakan-rakan mereka di dalam PR.

Meskipun musuh-musuh Islam terus menjalankan propaganda mereka untuk melumpuhkan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS, namun berkat ketabahan pimpinan PAS dan tidak lupa juga berkat kerjasama rakan-rakan yang lain di dalam PR, PAS kini semakin berkembang dan berpengaruh.

Begitulah hebatnya ketentuan Ilahi yang tidak terfikir kita betapa parti yang dahulunya di cop sebagai parti ideologi Taliban, kini menjadi pilihan masyarakat bukan Islam. Dahulu saya pernah menulis tentang hikmah mengapa DS Anwar tidak menyertai PAS dan menubuhkan Parti KeADILan yang kini dikenali sebagai PKR. Seandainya DS Anwar menyertai PAS, secara teorinya saya jangkakan sokongan masyarakat bukan Islam terhadap PAS tidak sehebat sekarang.

Wujudnya PKR adalah bagi mereka yang tidak lagi yakin kepada Umno/Bn tetapi masih sukar untuk menerima PAS. Mereka ini akan bersama PKR dan PKR pula bekerjasama dengan PAS. Apabila melihat kerjasama yang terjalin di antara PKR dan PAS termasuk juga DAP, mereka ini bertambah yakin bahawa PAS juga menuntut keadilan untuk semua. Apatah lagi mereka telah melihat betapa PAS dapat memimpin Kelantan berbelas tahun dengan adil dan saksama.

Kini, PAS telah mempunyai Kelab Penyokong mereka sendiri. Pada ketika mereka ini sedang bersemangat untuk bersama kita, adalah tidak wajar kita menurunkan semangat mereka. Cuba kita imbas kembali zaman ketika PAS dikenali sebagai parti tok lebai. Terlalu lah sukar untuk mendapatkan hatta seorang yang bukan Islam menyokong PAS bahkan sokongan orang Melayu Islam pun PAS agak sukar juga kecuali di beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah. Kini, di tengah-tengah kota metropolitan pun bendera PAS gagah berkibaran di merata-rata. Bukan mudah untuk memperolehi kenikmatan anugerah Allah ini dan kini kita telah menkmatinya.

Pada pendapat saya, adalah penting untuk PAS mempertimbangkan secepat mungkin agar dapat menerima mereka ini bersama PAS. Saya faham beberapa dasar atau perlembagaan PAS yang mungkin boleh menyekat mereka ini dari turut bersama dalam perjuangan PAS. PAS bukan agama tetapi adalah wadah di dalam menyempurnakan agama Islam itu sendiri. Soal teknikal dan perlembagaan yang boleh ditentukan terhadap mereka yang bukan Islam tetapi menjadi ahli PAS boleh dikaji semula asalkan dasar pokok perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS itu tidak diketepikan. Bagi saya, melengah-lengahkan perkara yang baik tidak akan menguntungkan dan saya bimbang jika pihak lawan akan mengambil kesempatan di atas kealpaan kita mengambil peluang ini. Mudah-mudahan pimpinan PAS dapat membuat suatu keputusan yang bijak demi masa depan perjuangan PAS itu sendiri. -wfauzdin