12 Jul 2015

PAS Hipokrit & Tak Bermaruah Jika Kekal Dalam K'jaan Selangor

PAS hipokrit jika kekal dalam kerajaan Selangor, Pulau Pinang, kata Mahfuz

Datuk Mahfuz Omar menyifatkan PAS akan dilihat hipokrit jika masih kekal dalam kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang pada ketika parti itu sudah memutuskan hubungan dengan DAP, sekutu mereka sebelum ini dalam Pakatan Rakyat (PR).

Bekas ketua penerangan PAS itu mengulas mengenai keputusan Majlis Syura Ulama (MSU) PAS yang memuktamadkan untuk memutuskan kerjasamanya dengan DAP pada satu mesyuarat kelmarin.

"Apabila PAS sudah mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan DAP, maka PAS seharusnya tidak bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan Pulau Pinang dan Selangor.

"Jika tidak, rakyat akan melihat PAS sebagai hipokrit kerana masih terus dilihat mempunyai hubungan dalam pemerintahan Selangor dan Pulau Pinang,"
kata Mahfuz yang dipetik dalam akhbar Sinar Harian hari ini.

Kontroversi isu putus hubungan PAS dan DAP tercetus sejak muktamar tahunan parti itu menerima tanpa bahas usul Dewan Ulama tersebut awal bulan lalu.

Susulan keputusan itu, kerajaan DAP Pulau Pinang menyatakan beliau menerima tanpa soal sekiranya ahli PAS dalam kerajaannya mahu meletak jawatan, tetapi mereka enggan atas alasan pelantikan dibuat parti.

Malah, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng juga sudah memberi kata dua kepada ahli PAS yang enggan berganjak daripada kerajaan negeri.

Sementara itu di Selangor, PAS masih lagi berada dalam pentadbirannya walaupun sudah menamatkan kerjasamanya dengan DAP di negeri tersebut.

Mahfuz berkata, langkah seterusnya kini bergantung kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang perlu mengambilkira keputusan yang dibuat Majlis Syura itu untuk menentukan hala tuju di Selangor dan Pulau Pinang.

"Jawatankuasa Kerja PAS Pusat perlu menentukan dengan bijaksana apa yang perlu dilakukan dengan ahli PAS dalam kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang," katanya.

Mahfuz juga mengulangi pendirian PAS perlu berundur daripada kerajaan negeri.

"Saya hanya memberikan pandangan ahli PAS perlu berundur daripada kerajaan.

"Terpulang kepada mereka," katanya.

Dewan Ulama PAS pada muktamar tahunan ke-61 mengusulkan parti Islam itu memutuskan hubungan dengan DAP selepas Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendapat kecaman hebat daripada parti sekular itu.


Pas dinasihat keluar dari kerajaan Selangor

PAS diminta menjelaskan pendirian mereka berhubung penglibatan dalam kerajaan Selangor selepas parti itu memutuskan hubungan tahaluf siyasinya dengan DAP.

Perkara itu dibangkitkan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), yang berpendapat ia perlu dilakukan bagi mengelakan penduduk negeri itu keliru.

“PAS harus jelaskan kenapa mereka masih duduk bersama dengan DAP dalam kerajaan negeri sedangkan mereka sudah memutuskan hubungan dengan DAP.

“Penjelasan ini perlu kerana kita tidak mahu rakyat terus keliru,” kata Timbalan Presidennya, Haji Aminuddin Yahaya.

Katanya, adalah lebih baik sekiranya PAS bersedia untuk meninggalkan Kerajaan Selangor jika DAP masih wujud dalam kelompok itu.

“Jika PAS boleh berbuat demikian, barulah nampak kejantanan PAS,” tegasnya yang dipetik daripada Ismaweb. Ulasnya lagi, PAS membuat keputusan yang tepat erana Isma sudah lama melihat tahaluf antara PAS dan DAP akan mendatangkan mudarat kepada Islam dan Pas sendiri.
-FMT


ULASAN GB

Perangai PAS semakin lama semakin memalukan. Atas apa juga alasan, pengekalan PAS di dalam Kerajaan Selangor adalah amat memalukan tidak bermaruah dan hipokrit.

Mereka menyatakan kononnya mereka menjaaga amanah rakyat yang mengundi PR, jika demikian maka mengapa MSU putuskan hubungan dengan DAP secara semborono? Bukankah sokongan rakyat kepada PAS di dalam pilihanraya sebelum ini adalah kerana rakyat memyokong dan mengundi kerana PR?

Keengganan dan kelengahan PAS Selangor berundur dari kerajaan negeri Selangor adalah jelas satu perlanggaran terhadap keputusan MSU.

Sepatutnya wakil-wakil rakyat PAS yang setuju memutuskan hubungan dengan DAP di seluruh negara perlu LETAK JAWATAN kerana mengkhianati amanah rakyat kerana rakyat telah mengundi berdasarkan mereka adalah komponen PR.

Malah kelmarin sewaktu kenyataan MSU dikeluarkan mengenai putus tahaluf siyasi dengan DAP GB tertanya-tanya mengapa PAS kekal bertahaluf siyasi dengan PKR sedangkan selama ini PAS sendiri menuduh punca segala masalah ialah Langkah Kajang yang dicetuskan oleh PKR?

Mengenai hudud, itu bukan masalahnya sebab DAP ialah parti bukan-Islam. Mereka berhak tolak hudud dimana dan dalam apa cara sekalipun. Kita yang bersalah jika kita yang memaksa pengenaan hukum berkenaan.

Sebenarnya PAS sudah terpengaruh dan diresapi dengan "assabiyah" UMNO. Membangkitkan sentimen membenci bangsa dan agama lain.

GB salin semula ulasan GB sebelum ini:

1) Akhirnya selesai sudah isu tahaluf siyasi dengan DAP. Keputusan MSU di atas memang ditunggu-tunggu. Dan yang pasti, keputusan itu "disambut baik" oleh UMNO yang memang mengharapkan PAS memutuskan hubungan dengan DAP.

2) Tiada nas, bukti atau dalil dikemukakan di dalam kenyataan MSU berkenaan mengenai dakwaan DAP telah "campur tangan dalam aqidah, dasar dan matlamat PAS". Justeru itu keputusan itu dilihat lebih kepada menjaga airmuka "beberapa ulama" yang telah membuat kenyataan-kenyataan melulu sebelum ini yang meminta tahaluf siyasi dengan DAP dibatalkan atau disemaksemula.

3) Tindakan MSU itu juga mengesahkan tindakan-tindakan DAP yang memecat ahli-ahli PAS yang berkhidmat di dalam kerajaan negeri Pulau Pinang. Dan bererti PAS Pulau Pinang sudah tidak layak untuk membangkitkan isu pemecatan di mahkamah.

4) Keputusan MSU itu juga mengesahkan Pakatan Rakyat telah dikuburkan.

5) Pengekalan tahaluf siyasi bersama PKR hanyalah untuk menyelamatkan kepentingan ADUN-ADUN PAS yang menjadi exco dan menyelamatkan kedudukan 5,000 ahli PAS yang sedang berkhidmat dengan kerajaan negeri Selangor.

6) PAS juga dilihat sanggup untuk menerima kekalahan di dalam pilihanraya terutama di pantai barat dimana para pengundinya adalah multi-racial yang sebelum ini pengundi bukan-Islam telah mengundi PAS di atas dasar semangat setiakawan di dalam Pakatan Rakyat.

7) Tindakan MSU itu juga menyebabkan ahli-ahli akar umbi PAS akan terus bersemangat menyokong penubuhan parti Islam yang baharu bagi memperbaharui jalinan tahaluf siyasi bersama DAP dan PKR yang telah terjalin erat sebelum ini dan meneruskan kerja-kerja dakwah kepada rakan-rakan di dalam parti-parti yang ia bertahaluf siyasi dengannya.


PAS Gagal istiqamah, "GAHARU" Teruskan Perjuangan Islam Yang Syumul

Matlamat parti Islam baharu lebih besar daripada hudud, kata Mujahid

Parti politik baharu yang sedang dipertimbangkan untuk ditubuhkan sekumpulan pemimpin progresif PAS yang "disingkirkan" akan membuat pendirian Islam lebih besar daripada sekadar kanun keseksaan Islam atau hudud.

Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Islam mengajar umatnya mengekalkan keamanan, dan bukannya memaksa pelaksanaan undang-undang.

"Inilah sebabnya bekas Muryidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menangguhkan hudud. Beliau faham sangat. Beliau tahu isunya belum selesai.

"Apakah hudud segala-galanya? Ia hanya undang-undang jenayah,"
katanya kepada The Malaysian Insider dalam satu temu bual di pejabatnya di Parit Buntar.

Ketika ditanya mengenai pendirian parti baharu itu mengenai hudud, beliau berkata, terdapat perkara lebih besar dalam Islam selain hudud, seperti mewujudkan kehidupan lebih baik dan selesa untuk rakyat.

"Untuk melakukannya bukan dengan memperkenalkan undang-undang jenayah Islam untuk membendung jenayah. Anda berjuang umpamanya untuk gaji minimum dan mengurangkan kadar jenayah.

"Semua itu perlu dijadikan sebahagian daripada agenda. Itu pendirian kami apabila berbicara mengenai hudud... sebab itu mereka anggap saya sebagai anti-hudud,"
katanya.

Mujahid, yang juga salah seorang pemimpin PAS paling dikenali dan terlibat dalam usaha antara agama yang menggalakkan perpaduan serta keharmonian antara orang Islam dan bukan Islam berkata, isu hudud perlu dilihat dalam kerangka undang-undang negara.

"Anda perlu mengimbangi antara rangka kerja perundangan dan hudud sebagai keperluan dalam kanun jenayah syariah. Untuk melaksanakan hudud, anda mesti lihat rangka kerja undang-undang. Untuk berbuat demikian anda perlu melalui proses demokratik.

"Bercakap mengenai proses, anda perlu tahu apa kuasa dan bidang kuasa yang ada. Negeri mempunyai kuasa tetapi ia terhad kepada Akta Mahkamah Syariah, yang menyatakan hukuman maksimum yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah negeri ialah penjara 3 tahun, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan," katanya.

"Melihat kepada perkara ini, kita perlu berlaku sangat praktikal dalam mengendalikannya. Kita perlu melalui proses demokrasi dan menerima keputusannya, sama ada ia (hudud) boleh dilaksanakan atau tidak.

"Bagi 'Gerakan Harapan Baharu', kami melihat hudud dalam konteks itu. Bukan hanya retorik, perkara yang emosi atau sensasi," kata ahli Parlimen Parit Buntar itu.

Dalam rang undang-undang hudud untuk meminda Enakmen Jenayah Syariah Kelantan II, antara hukuman yang dinyatakan adalah pemotongan anggota badan dan merejam sampai mati.

Bagaimanapun, baru-baru ini dilaporkan rang undang-undang persendirian yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke Dewan Rakyat untuk meminda Akta Mahkamah Syariah tidak termasuk semua hukuman itu.

Isu hudud adalah punca yang membawa kepada keruntuhan Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP.

Pada Mac, kerajaan PAS di Kelantan membentang dan meluluskan rang undang-undang hudud di Dewan Undangan Negeri dan menimbulkan kemarahan DAP yang sentiasa menentang pelaksanaan hudud.

Selepas saling mengkritik, PAS ketika muktamar tahunannya “menyingkirkan” pemimpin progresif yang mesra PR, menggantikannya dengan kumpulan konservatif, sebelum memutuskan hubungan dengan DAP, yang seterusnya mengisytiharkan gabungan PR terkubur.

Ketika kumpulan progresif menuju ke arah cita-cita parti baharu mereka, Mujahid berkata perlembagaan parti baharu ini dengan jelas akan menentukan asas dan dasar Islamnya.

Mereka juga akan menghormati Perlembagaan Persekutuan, identiti kaum dan pelbagai budaya serta kepentingan bersama rakyat.

Beliau berkata, walaupun parti itu akan menggunakan Islam sebagai panduan ke arah pembangunan negara, ia akan menjadi lebih inklusif, seperti ditetapkan Islam. "Kami mahu menunjukkan Islam yang berbeza daripada PAS. Isunya sekarang ialah orang melihat PAS dan berasa parti itu tidak lagi mempromosikan aspirasi Islam,"
katanya. –TMI


Hadi: Hudud hanya dilaksana jika cukup syarat


HULU TERENGGANU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata hukum hudud bukan sesuatu yang menjadi keutamaan walaupun ia akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Pembangkang mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Menurutnya, hudud akan dilaksanakan terlebih dahulu kepada umat Islam sementara bukan Islam diberi pilihan (untuk menerimanya atau tidak).

"Bagaimanapun, ia mesti dilaksanakan mengikut proses demokrasi. Kita dahulukan yang mana dahulu, kita selesaikan masalah, atasi kemiskinan dahulu.

"Hukum hudud tidak boleh dilaksanakan, hukum mencuri tidak boleh dijatuhkan sekiranya gaji minimum tidak dilaksanakan.

"Sebagai contoh, gaji minimum kena ada, kalau dia mencuri sebab gaji tak cukup, ia (hudud) tak boleh dilaksanakan sebab tak cukup syarat nak laksana hukum ini, itu kena faham.

"Masalah pengangguran diselesaikan dulu baru (hudud) dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan ceramah Pra-Bubar Parlimen di Kuala Berang, di sini, semalam.
- Bernama


ULASAN GB

Amat jelas sekali bahawa PAS tidak istiqamah. Dahulu Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang menyatakan bahawa Hudud Bukan Agenda Utama. Tetapi kini PAS memperjuangkan hudud seolah-olah perjuangan Islam itu hanya hudud semata-mata sehingga sanggup memutuskan tahaluf siyasi bersama DAP.

Gerakan Harapan Baharu (GAHARU), akan meneruskan perjuangan Islam yang syumul. Bukan bererti GAHARU menolak hudud, tetapi berpegang kepada prinsip bahawa "Islam itu lebih besar daripada sekadar kanun keseksaan Islam atau hudud.".

Hal ini bertepatan dengan "fatwa" Ketua Ulama Sedunia, Sheikh Yusuf al-Qaradhawi, yang menyatkan 'sebelum Nabi SAW melaksanakan hukum hudud, Baginda terlebih dahulu menegakkan Islam secara keseluruhannya, yakni menegakkan kehidupan Islam’.

Jelas tersurat, fakta ini bermakna, perlaksanaan hukum hudud adalah peringkat atau ‘projek’ terakhir dalam agenda perlaksanaan Islam.

Dalam ungkapan yang lebih jelas-seperti yang dinyatakan Qaradhawi- “dasar [berkenaan perlaksanaan hudud ialah] tidak dilaksanakan [hukum] hudud melainkan apabila kita telah melaksanakan-seperti yang telah saya katakan-ajaran-ajaran Islam keseluruhannya yang berkaitan akidah, syariat, akhlak, tata susila dan nilai-nilai [murni], kita bangunkan masyarakat Islam, dalam keadaan ini, kita laksanakan [hukum] hudud”.


Kenyataan Qaradhawi ini secara tidak langsung menidakkan pandangan yang melihat 'perlaksanaan hudud' sebagai 'agenda teratas' dalam sesebuah negara Islam.

Sila rujuk: [VIDEO] Al-Qardhawi: Tegakkan Kehidupan Islam Dahulu, Bukan Hudud