12 Mac 2015

Mudah-mudahan Kata-kata Mahathir Ini Jadi Kenyataan...


UMNO BN Boleh Kalah Jika GST Diteruskan

Rakyat patut menggesa kerajaan untuk tidak mengenakan cukai tambahan seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST) jika mereka berpendapat ia akan hanya menambahkan beban.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sebarang cukai tambahan akan menyebabkan harga barang naik, termasuk kos ubat dan rawatan kesihatan.

“Saya rasa rakyat perlu beri maklum balas. Mereka boleh beritahu, jika kerajaan kenakan lebih banyak cukai, mereka tidak akan undi kerajaan itu lagi pada masa depan,” katanya, mengulas isu kos perubatan dan penjagaan kesihatan yang dikhuatiri meningkat selepas GST dilaksanakan, 1 April ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara Perdana University dan University of California, San Diego di sini, semalam.

Selain itu, Dr Mahathir yang merupakan Canselor Perdana University juga tidak bersetuju dengan cadangan pengasingan pendispensan ubat (DS) yang menjadi isu hangat sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, berdasarkan pengalamannya sendiri yang pernah menjadi doktor di klinik swasta, sistem yang diguna pakai sekarang iaitu doktor sendiri memberikan ubat kepada pesakit perlu dikekalkan kerana selain lebih murah, ia juga memudahkan pesakit.

“Orang sakit ini tak ikut masa. Tetapi farmasi kerja tempoh tertentu sahaja jadi kalau kita suruh dapatkan ubat daripada dispensari kadang-kadang susah sikit lah, menjadi masalah kepada pesakit. Saya dulu pun bawa beg dengan ubat, kalau ada sakit bagi (ubat) serta-merta,” katanya.

Sebelum itu, Dr Mahathir dalam ucapannya di majlis itu mendedahkan bagaimana kemajuan dalam dunia perubatan menyebabkan beliau sendiri hilang kelayakan untuk menjadi seorang doktor.

“(Pihak berkuasa) tarik balik sijil saya sebab sejak 40 tahun lalu saya sudah tidak amalkan perubatan dan mereka rasa saya tidak tahu banyak perubatan moden.

“Tetapi saya mengikuti perkembangan dunia perubatan dan telah mendapat manfaat daripada kemajuan bidang penjagaan kesihatan,” katanya di hadapan 100 pelajar perubatan Perdana University yang baharu menamatkan pengajian praklinikal dalam sains perubatan dan kesihatan.

Dr Mahathir yang menyampaikan ucapan bertajuk Pendidikan Penjagaan Kesihatan: Dulu, Kini dan Masa Depan turut berkongsi cerita semasa beliau menjadi pelajar perubatan pada 1950-an bagi mengingatkan pelajar universiti supaya menumpukan kepada pengajian.

Beliau turut menekankan kepentingan mempelajari subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris bagi membolehkan rakyat menguasai bidang perubatan.


[VIDEO] Tengku Puan Pahang Sindir Rosmah Mansor...


Dandan rambut mahal, Tunku Azizah makan nasi bungkus

Selepas Datin Seri Rosmah Mansor merungut membayar RM1200 jika pendandan rambut datang ke rumahnya, Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Maimunah Iskandariah hari ini dilihat menyindir rungutan isteri Perdana Menteri itu.

Tunku Azizah dengan nada sinis hari ini menulis hanya mampu membeli nasi bungkus selepas pendandan rambut mengenakan harga yang mahal.


Tunku Azizah makan nasi bungkus kerana upah dandan rambut mahal

Selepas Datin Seri Rosmah Mansor merungut harga yang mahal jika pendandan rambut datang ke rumahnya, Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Maimunah Iskandariah hari ini dilihat menyindir rungutan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu.

Tunku Azizah dengan nada sinis hari ini menulis hanya mampu membeli nasi bungkus selepas pendandan rambut mengenakan harga yang mahal.

“There goes my diet… Oleh kerana nak bayar hairdresser mahal, saya hanya mampu beli nasi bungkus!,” tulis isteri kepada Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Ibni Sultan Ahmad Shah dalam laman sosial Instagram yang sudah disukai lebih 1,000 pengikutnya.

Kiriman yang memaparkan hidangan makanan tengah hari dalam bekas polisterin itu turut menerima lebih 90 komen yang rata-rata faham sindiran berkenaan.

Seorang pengguna Instagram Sapienshoduken yang mengulas gambar itu berkata: “Perghhh haha caption takde sipi sipi, makan dalam terus @tengkupuanpahang memang thorbaekkk!”

“Inilah bagaimana wanita sebenar berbicara. Halus lagi berkesan,” kata seorang lagi pengguna Instagram kemboja_putih mengulas gambar itu.

“Siapa makan cabai dia la terasa pedas. Kalau tak makan buat apa nak rasa pedas. Beginilah TPP (Tengku Puan Pahang,” kata wan_jaaa mengulas gambar yang sama.

Bagaimanapun, kira-kira satu jam selepas gambar itu dimuatnaik di Instagram, Tunku Azizah mengubah kapsyen gambar itu menjadi lebih ringkas kepada: "There goes my diet." (Habislah diet saya).

Rosmah pada bulan lalu melahirkan kebimbangan tiadanya kawalan bagi caj perkhidmatan di rumah menyebabkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga.

Katanya, ketika ini, caj perkhidmatan di rumah seperti khidmat tempahan baju, solekan dan pendandan rambut mengenakan harga yang sangat tinggi dan tidak masuk akal.

Kebimbangan itu diluahkan Rosmah dalam satu program cukai barangan dan perkhidmatan (GST) apabila mendakwa terpaksa membayar RM1,200 setiap kali menggunakan khidmat pendandan rambut.

"Sekarang ini bila saya nak warnakan rambut dekat rumah, dia (peniaga) dah caj RM1,200, amboi mahalnya.

"Bila kita tanya dia (peniaga) cakap dekat kedai caj berlainan, yang ini mahal sebab 'home service' (perkhidmatan rumah) ini yang anda harus teliti," katanya. –
-TMI



ULASAN GB

GB tertarik dengan pantun dua kerat Pak Samad Said dan sketsa dari kartunis Zunar seperti berikut:


Subky: Bukan Senang Nak Ramaikan Ahli PAS, Yang Ada Nak Dihalau Pula...


Bukan Senang Meramaikan Ahli PAS

Oleh Subky Latif

Sejak saya bergerak kencang dalam PAS hujung tahun 70-an, boleh dikatakan sama banyak tidur di rumah dengan tidur dalam bas dan tempat ceramah. Setiap masa bersedia seperti naik bukit turun bukit untuk memperkenal perjuangan PAS kepada orang ramai, mengajak yang belum berparti dan orang Umno menyertai PAS.

Lebih hebat lagi Almarhum Ustaz Fadzil Noor dan TG Almarhum Nik Abdul Aziz yang lebih lama daripada saya berjuang mengajak orang menyertai PAS. Tinggal TG Haji Abdul Hadi Awang antara yang terus menyambung kerjanya bersama dengan Ustaz Fadzil dan TG Nik Aziz dulu.

Saya teringat ketika terkandas dengan TG Haji Hadi pukul 2 malam di hujung pekan Sungkai kerana tayar Mercedes tuannya pancit dan tayar gantinya juga pancit. Tidur dalam motokar hingga kedai tayar buka pukul 9 pagi.

Ketika saya mula tercebur dalam PAS keahliannya sekitar 200 ribu orang. Amat sakit untuk mencapai keahlian setengah juta semasa menyambut ulang tahunnya ke-40 tahun 1991. Sasaran itu hampir tercapai semasa sambutan jubli emas tahun 2001, tahun kematian Ustaz Fadzil.

Bukan senang untuk dapat seorang dua menyertai PAS dari satu ceramah. Dua hari Ustaz Fadzil meninggalkan rumah di Alor Setar untuk berceramah satu jam di Temerloh. Beribu orang hadir. Belum tentu lima orang menyertai PAS selepas ceramah. Ustaz Hadi jadi tumpuan ramai masa itu. Daripada belasan ribu yang mendengarnya tak sampai 10 masuk PAS.


Demikian limpahan manusia mendengar ceramah TG Nik Aziz dan kemudian besar minat orang kepada ceramah Mat Sabu, belum tentu ramai pendengar mengisi borang PAS. Demikian payahnya unuk mendapat seorang dua daripada ceramah saya yang tidak ramai pendengar.

Kami tiada kuasa untuk menjadikan orang ramai itu menyertai PAS. Kami boleh memberi penerangan. Allahlah yang menggerakkan hati mereka menyertai PAS.

Sekarang keahlian PAS sudah mencecah sejuta. Saya pun tidak tahu bagaimana parti Pak Lebai dulu kini jadi parti sejuta orang dan parti untuk semua orang. Bukan senang untuk dapat menjadi parti orang Melayu/Islam yang bersaing dengan Umno.


Kita tidak arif bagaimana keahlian jadi seramai itu. Tetapi ia adalah parti yang besar dan disegani oleh semua. Sewajarnya ahli-ahli PAS bersyukur kerana parti yang payah dapat seorang dari setiap ceramah kini boleh jadi parti sejuta orang.

Apabila parti itu sudah besar, maka besar jugalah masalahnya. Tetapi dengan besarnya parti itulah yang melayakkannya menggantikan Umno. Itulah kempen PAS sekarang iaitu parti pilihan orang yang tidak mahu dan tidak suka lagi pada Umno.

Tetapi kalau setengah yang berada dalam PAS disuruh keluar pula daripada PAS, maka tidak dapatlah kita menggantikan Umno. Saya tahu susahnya untuk dapat seorang dua ahli, tidaklah wajar setelah ada sejuta, disuruh pula setengahnya tingalkan PAS.


Ia bukan cara dan politik menyelesaikan masalah. Jika ada yang tidak mahu TG Haji Hadi jadi pemimpin, biarkan mereka calonkan sesiapa. Tapi saya pun tidak percaya ada yang sedia jadi calon. Adakah dalam PAS Haji Sulaiman Palastine yang sanggup cabar Hussein Onn? Banyak juga undi diperolehnya, tetapi dia kalah.

Pencabar TG Hadi mencatat sejarah. Tapi sejarah itu berakhir hari pemilihan. Yang mencabar itu mungkin ada silap dan betulnya. Tapi jika mereka silap pun, mereka adalah ahli PAS. Sebelum mereka disuruh keluar, PAS beri peluang ikut majoriti seperti Tunku tawarkan komunis menyerah diri. Kerana ramai yang tak menyerah diri, barulah Tunku perang mereka habis-habisan.

Tidak bijak berusaha keras dapatkan ahli Umno jadi PAS tapi suruh pula ahli PAS keluar parti. Jangan jadi politik buluh kasap.


ULASAN GB

GB memang mengikuti tulisan-tulisan beberapa penulis veteran seperti Subky Latif dan A.Shukur Harun sekalipun ada masanya tulisan-tulisan mereka tidak berapa kena dengan citarasa GB.

Biasalah, perbezaan pendapat. Jika sebelum ini GB layan juga membaca tulisan Subky yang banyak membela Haji Hadi (yang GB kata tak sesuai dengan citarasa GB), tetapi tulisan di atas jelas lain nadanya. Dengan lembut beliau mengkritik sikap Haji Hadi yang "menghalau" ahli-ahli PAS yang bergiat di dalam NGO bernama PasMA. Hukum kebenaran dan keadilan berjalan, apa yang GB pegang selama ini nam[paknya benar dan diakui oleh penulis-penulis vetran seperti Pak Syukur dan Subky.

Sebelum ini Pak Shukur telah menulis dengan tajuknya Kasih Fadzil Noor kepada ahli PAS. Tulisnya:

Bayangkan jika allahyarham masih ada hayatnya dan menyaksikan krisis dalaman yang berlaku ini, betapa remuk hatinya dan tentunya mengambil langkah segera mencari punca masalah dan menyelesaikannya.

Ini kerana allahyarham sangat menitikberatkan perpaduan jemaah dan sangat mengasihi semua ahli PAS. Dengarlah apa katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kali Terakhir di Muktamar Tahunan PAS:

"Kalau dapat saya hendak meneruskan lagi ucapan saya di depan hadirin/hadirat ini kerana saya sangat sayangkan ahli PAS semuanya dan saya enggan berpisah dengan anda semua. Tetapi saya terpaksa menamatkan juga ucapan ini."

Ucapannya itu menyebabkan para muktamirin menitiskan air mata, mereka sangat terasa disayangi pemimpin mereka.

Beliau meneruskan dengan memetik kenyataan Jabatan Pendidikan Politik Pemuda PAS Malaysia, Mohd Hasbie Muda :

"Gesaan menghambat ahli keluar parti, katanya, perlulah dihentikan serta-merta kerana gesaan ini sangat memalukan. Ia seolah-olah membuat pengakuan terbuka Lajnah Dakwah dan Lajnah Tarbiyyah PAS gagal melaksanakan tugas mendakwah dan mentarbiyyah ahli parti. Hasbie mengingatkan semua pemimpin PAS sebagai sebuah parti politik, kita memerlukan kedua-dua kualiti dan kuantiti pada ahli kita."

Kini Subky pula menyuarakan hal yang sama.

Tetapi kalau setengah yang berada dalam PAS disuruh keluar pula daripada PAS, maka tidak dapatlah kita menggantikan Umno. Saya tahu susahnya untuk dapat seorang dua ahli, tidaklah wajar setelah ada sejuta, disuruh pula setengahnya tingalkan PAS.

Secara halus, Subky semacam mahu Haji Hadi dicabar di dalam pemilihan nanti walaupun beliau rasa sukar untuk mencari seorang Sulaiman Palestine yang sanggup mencabar Hussein Onn seperti senario di dalam parti UMNO. Tambahnya lagi:

Pencabar TG Hadi mencatat sejarah. Tapi sejarah itu berakhir hari pemilihan. Yang mencabar itu mungkin ada silap dan betulnya. Tapi jika mereka silap pun, mereka adalah ahli PAS....

Berdasarkan tulisannya itu, beliau berharap pencabar kepada Haji Hadi jangan takut, kerana "walaupun mereka silap" mereka tetap ahli PAS dan tidak ada sesiapa yang berhak menyuruh mereka keluar dari PAS.

Di akhir tulisannya agak tajam sindirian Subky terhadap Haji Hadi yang menghalau ahli PasMA keluar dari PAS....

Tidak bijak berusaha keras dapatkan ahli Umno jadi PAS tapi suruh pula ahli PAS keluar parti. Jangan jadi politik buluh kasap.

Ya, politik buluh kasap.... mungkin tepat itulah gaya politik Haji Hadi... masuk angin keluar asap!