2 Apr 2015

Dah Memang Hasrat UMNO BN Pisahkan PAS Dari Pakatan


BN paling gembira jika PAS keluar PR, kata Hanipa Maidin

Mohamed Hanipa Maidin hari ini menolak kenyataan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang PAS sedia bersendirian, menegaskan pihak yang gembira dengan kenyataan itu sebenarnya hanya Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Sepang itu berkata, amat malang apabila Umno semakin lumpuh dan terdedah kepada kehilangan kuasa, wujud suara dalam Pakatan Rakyat (PR) yang masih bercakap mengenai isu keluar daripada PR.

"Sehingga kini BN rasa begitu perit dengan kewujudan PR dan juga perit untuk mempertahankan pemerintahannya yang semakin hari semakin rapuh dengan dikelilingi skandal dan salah guna kuasa.

"Maka satu-satunya pihak yang amat gembira jika PAS keluar PR tidak syak lagi adalah BN," kata ahli jawatankuasa PAS Pusat itu merujuk kenyataan Amar, timbalan menteri besar Kelantan, yang juga rakan sejawatnya dalam PAS Pusat.

"Adakah PAS sanggup menggembirakan BN dengan air mata kesedihan dan kekecewaan rakan-rakannya dan rakyat yang meletakkan kepercayaan kepada PAS pada pilihan raya umum (PRU) yang lepas?" soal Hanipa.

Semalam, Amar dilaporkan berkata PAS mampu berjuang bersendirian walaupun disingkirkan daripada PR, memandangkan parti Islam itu pernah melalui zaman sukar selepas keluar daripada BN, namun mampu bangkit dan menawan Kelantan pada PRU8 pada 1990.

"Jadi kalau kawan-kawan kita (DAP dan PKR) berkeras untuk berpecah, maka kita tidak ada pilihanlah.

"Kita sudah ada pengalaman berbanding orang lain dan kita pernah menang Kelantan ini bersendirian, kita sudah ada rekod itu, bukan kita hendak berbangga," beliau dipetik berkata, mengulas krisis PR susulan penentangan DAP dan PKR terhadap rang undang-undang persendirian berkaitan hudud.

Hanipa dalam kenyataannya berkata, selagi PAS masih berpegang kepada dengan slogannya "PAS for all," soal PAS sedia berjuang bersendirian tidak relevan sama sekali, melainkan ia bersedia mengehadkan pengaruh dan sokongannya hanya di Kelantan sahaja.

"Jika itu pendirian PAS, maka segala usaha dan gerak kerja yang PAS lakukan di negeri-negeri selain Kelantan, khususnya di pantai barat, bagi melebarkan pengaruh dan sokongannya, jika pun tidak sia-sia, akan mengembalikan PAS kepada kedudukan PAS sebelum wujudnya PR.

"Dan jika ini berlaku, bagi saya, ia merugikan sama sekali misi dan visi PAS membawa agenda Islamnya kepada rakyat pelbagai kaum di negara ini," katanya.

Beliau berkata, sebagai parti politik paling kanan di negara ini, beliau yakin pemimpin PAS tidak dengan mudah melupakan realiti politik tersebut dan terpengaruh dengan sentimen dan emosi tertentu yang dilihat seolah-olah cuba melupakan realiti itu.

"Sebagai parti yang matang dan melalui pengalaman politik yang pelbagai rencam di negara ini, sudah tentu suatu yang amat malang PAS ingin mengenepikan atau mengabaikan begitu sahaja segala kebaikan dan faedah yang PAS perolehi hasil permuafakatan politik dalam PR.

"Hanya kerana terpengaruh dengan elemen yang cuba menyempitkan makna agenda Islam yang PAS perjuangkan, kepada satu sudut kecil daripada keluasan makna Islam, atau syariat Islam itu sendiri," katanya.

Hanipa berkata, isu PAS keluar atau dikeluarkan daripada PR tidak timbul sama sekali ketika ini kerana ketiga-tiga parti dalam PR saling perlu-memerlukan satu sama lain.

Ia bagi meneruskan usaha mencapai matlamat yang lebih besar iaitu mengambil alih kekuasaan negara daripada pemerintahan Umno/BN, katanya.

Perjuangan PAS, katanya, yang membawa obor Islam sejak daripada awal, tidak pernah diniatkan untuk orang Melayu Islam sahaja, sebaliknya untuk semua bangsa dan agama di negara ini.

"Perjuangan PAS bukan sekadar untuk memerintah Kelantan atau Terengganu sahaja, sebaliknya PAS bercita-cita mengambil alih kekuasaan di semua negeri, dan Malaysia itu sendiri.

"Kerana itu, PAS wujud di semua negeri di dalam negara ini meskipun kekuatan PAS dan pengaruhnya berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain,"
kata Hanipa.

PAS juga katanya, memahami realiti yang bagi mengambil alih pemerintahan di peringkat Pusat dan negeri, ia tidak boleh bergerak secara sendirian sebaliknya perlukan kerjasama parti politik lain bagi membentuk satu pakatan untuk menjatuhkan Umno/BN.

"Setakat hari ini, jelas yang PR adalah pakatan politik yang paling sesuai, relevan dan 'viable' untuk mencapai hasrat menawan Putrajaya selagi mana PAS memilih kaedah demokrasi dan pilihan raya bagi mencapai matlamat dan memenuhi aspirasi perjuangannya," katanya.

Hanipa berkata, PRU yang lepas memberi isyarat amat jelas yang rakyat negara ini, tanpa mengira bangsa dan agama, buat kali pertama merasa sudah wujud satu pakatan alternatif kepada BN bagi diberikan mandat pemerintahan yang baru.

Beliau juga mengakui, PAS sedar ketiga-tiga parti dalam PR berlatarbelakangkan ideologi berbeza, namun mereka masih berkongsi banyak persamaan, sekali gus mampu sedikit sebanyak meredakan perbezaan tersebut.

"Rakan kongsi dalam PR sedar harapan rakyat yang diterjemahkan dalam sokongan undi popular 52% itu, dan kewujudan pemerintahan PR di beberapa negeri, khususnya Selangor, tidak harus dipandang ringan, dikorbankan atau dikecewakan dalam apa bentuk sekalipun," katanya. -TMI

ULASAN GB

Sama seperti yang GB ulaskan sebelum ini bahawa: (petikan):

Ternyata kenyataan Nik Amar di atas terlalu angkuh dan bongkak. Seolah-olah PAS hanya ada di Kelantan tidak di negeri lain. Seolah-olah PAS kini sudah cukup kuat untuk berjuang sendirian tanpa rakan-rakan dari Pakatan Rakyat. Seolah-olah hanya beliau seorang yang berhak menentukan dasar dan halatuju PAS, bukan ahli-ahli PAS, bukan muktamar.

Apabila muktamar setiap tahun memutuskan resolusi perkukuhkan PAS di dalam Pakatan Rakyat, sepatutnya segala jalan dan segala usaha dilakukan bagi mempastikan PAS tdiak berpisah dan terpisah dengan perjuangan Pakatan Rakyat. Tetapi apa yang berlaku pimpinan tertinggi PAS lakukan adalah disebaliknya. Malah mereka yang bertindak untuk pastikan kesinambungan PAS dalam PR telah dilabelkan barua dan pelbagai label lain seperti Jebon dan seumpamanya.


Tetapi kerana Hanipa adalah dari kumpulan progresif, macam-macam tuduhan akan dilemparkan oleh kumpulan pro-ulamak. Konon beliau jebonlah, liberallah dan segala macam gelaran buruk diberikan kepada golngan progresif di dalam PAS.

Tetapi apabila kena masuk kandang orang salah di mahkamah kerana saman pil kuda, tahu pula cari Hanipa untuk jadi peguambela. Kenapa tak panggil ulamak-ulamak untuk jadi peguambela? Nasruddin Tantawi ker, TITM ker, Nik Abduh ker, Zuhdi Marzuki ker atau Mokhtar Senik ker? Golongan pro-ulamak ini sebenarnya, maaf cakap, bukan saja bangang malah suka memperkudakan orang lain untuk mencapai cita-cita mereka. Nanti kita sambung di lain masa bab ni.

Huh... Bongkaknya Dia...


PAS mampu berjuang sendiri, kata timbalan menteri besar Kelantan

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata PAS mampu berjuang bersendirian walaupun disingkirkan daripada pakatan pembangkang.

Amar yang juga anggota Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata PAS pernah melalui zaman sukar selepas keluar daripada Barisan Nasional, namun mampu bangkit dan menawan Kelantan pada pilihan raya umum ke-8 pada 1990.

"Jadi kalau kawan-kawan kita (DAP dan PKR) berkeras untuk berpecah, maka kita tak ada pilihanlah.

"Kita sudah ada pengalaman berbanding orang lain dan kita pernah menang Kelantan ini bersendirian, kita sudah ada rekod itu, bukan kita nak berbangga," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kota Darul Naim di Kota Baru, hari ini.

Beliau mengulas krisis pakatan pembangkang kini berikutan penentangan DAP dan PKR terhadap rang undang-undang persendirian berkaitan hudud.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebelum ini mengumumkan keputusan parti itu untuk memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berikutan tindakannya yang bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan.

Ini disusuli tindakan drastik DAP Sarawak yang mengumumkan keluar daripada pakatan pembangkang di negeri itu minggu lepas atas alasan sama, manakala PKR dan DAP Sabah turut mengumumkan keputusan sama, kelmarin.

Amar berkata DAP dan PKR perlu belajar bertolak ansur serta menghormati dasar parti rakan dalam pakatan itu.

"Sebagaimana PAS bertolak ansur dalam isu PBT (pilihan raya pihak berkuasa tempatan di Pulau Pinang), maka kita harap DAP pun bertolak ansurlah.

"Menyerang Presiden PAS ini sikap tidak bijaksana dalam hubungan, kita tak serang peribadi dan tidak serang pimpinan DAP," katanya. – Bernama

ULASAN GB

Ternyata kenyataan Nik Amar di atas terlalu angkuh dan bongkak. Seolah-olah PAS hanya ada di Kelantan tidak di negeri lain. Seolah-olah PAS kini sudah cukup kuat untuk berjuang sendirian tanpa rakan-rakan dari Pakatan Rakyat. Seolah-olah hanya beliau seorang yang berhak menentukan dasar dan halatuju PAS, bukan ahli-ahli PAS, bukan muktamar.

Apabila muktamar setiap tahun memutuskan resolusi perkukuhkan PAS di dalam Pakatan Rakyat, sepatutnya segala jalan dan segala usaha dilakukan bagi mempastikan PAS tdiak berpisah dan terpisah dengan perjuangan Pakatan Rakyat. Tetapi apa yang berlaku pimpinan tertinggi PAS lakukan adalah disebaliknya. Malah mereka yang bertindak untuk pastikan kesinambungan PAS dalam PR telah dilabelkan barua dan pelbagai label lain seperti Jebon dan seumpamanya.

GB sudah ulas sebelum ini. Petikan:

Susah payah pimpinan PAS terdahulu terutama Allahyarham Ust Fadzil Noor dan TG Nik Abd Aziz berusaha untuk menyatukan parti-parti pembangkang bermula dengan Angkatan Perpaduan Ummah kemudian diikuti dengan Barisan Alternatif sehingga kahirnya tercetusnya Pakatan Rakyat sehingga UMNO BN hampir ditumbangkan di Parlimen.

Pimpinan PAS terdahulu begitu bersabar untuk memajukan idea dan gagasan hudud.... mengutamakan yang utama iaitu menumbangkan dahulu rejim UMNO BN dan menghapuskan kezaliman. Tetapi malangnya pimpinan PAS yang ada terutama Haji Hadi dan kelompok ulamak tiba-tiba begitu gopoh untuk melaksanakan hudud, sehingga akhirnya Pakatan Rakyat berantakan.

Sepatutnya pimpinan PAS yang ada perlu bersyukur kepada Allah kerana dengan kewujudan Pakatan Rakyat, PAS telah mendapat tempat di hati rakyat termasuk yang bukan Islam. Malah PAS memenangi banyak kerusi samada di peringkat DUN ataupun parlimen hasil dari kerjasama erat parti-parti pembangkang ini. Tetapi mereka tidak bersyukur dengan pemberian Tuhan itu, sebaliknya mencari jalan untuk menghapuskan PR dengan "membarua" mana-mana pimpinan yang berhasrat untuk memperkukuhkan PR.

Hukum kebenaran dan keadilan akan berjalan....kita sama-sama tunggu hukuman Allah itu berjalan... tengok siapa yang bakal terhukum di dalam PRU14 nanti...


Hudud: Mengapa PAS Selangor Boleh Beralasan Tidak Sesuai Di Selangor?


Selangor belum sedia laksana hudud, kata exco agama PAS Pelaksanaan hukum hudud belum sesuai dijalankan di Selangor berdasarkan komposisi kaum dan keadaan semasa negeri ini, kata Exco Selangor dari PAS, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, lapor Selangorkini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi itu berkata, berbeza dengan Kelantan, pelaksanaan hudud di Selangor memerlukan perancangan terperinci dari pelbagai aspek sebelum boleh dipraktikkan.

Katanya, pemahaman dalam perkara berkaitan termasuk penerangan dan pendidikan kepada masyarakat perlu dilakukan supaya ianya difahami sepenuhnya dan tidak disalah ertikan.

“Di Selangor, saya kira kita masih lagi belum bersedia kerana yang penting untuk melaksanakannya ialah memahami sepenuhnya berhubung perkara ini.

“Pendidikan kepada masyarakat bukan sahaja kepada orang bukan Islam tetapi orang Islam itu sendiri. Mereka perlu faham kenapa kita (PAS) hendak bawa syariat Islam ini,” katanya yang juga Bendahari PAS Selangor sebagaimana dilaporkan lidah rasmi kerajaan negeri, Selangorkini.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan telah meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 pada 19 Mac yang lalu.

Menurut laporan, kesemua 44 anggota dewan meluluskan sebulat suara rang undang-undang berkenaan yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia dilaksanakan kelak di negeri itu.

Langkah Kelantan itu telah menimbulkan konflik dalam Pakatan Rakyat di mana DAP menentangnya manakala PKR tetap dengan pendirian asal, iaitu tidak menyokong berdasarkan prinsip Fiqh Al-Awlawiyyat, Maslahat Ummah dan Maqasid Syariah.

Bagi DAP, hudud akan menghalang PR untuk ke Putrajaya. Namun Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah menjawab, tanpa hudud pada Pilihan Raya ke-13 (PRU13), ia juga tidak membawa Pakatan ke Putrajaya.

Dalam pada itu, Dr Ahmad yakin tidak berbangkit soal PR berpecah ekoran isu hudud ini.

"Saya tidak nampak begitu (pecah), ia tidak selari dalam beberapa isu sahaja tetapi kena lihat persamaaan antara parti itu dan banyak benda-benda yang boleh dibincangkan untuk kefahaman," katanya.

Antaranya, hudud ini hendak dilaksanakan kepada orang Islam sahaja tetapi persepsinya seolah-olah orang bukan Islam juga terkesan dengannya.

"Hudud ini pun lebih kepada pengajaran bukan hukuman, kena lihat aspek ini," kata beliau kepada wartawan.

Beliau juga menjelaskan, "Dalam PAS, hudud inilah satu perjuangan parti Islam itu. Saya yakin, semua umat Islam tidak menolak hudud, cuma perlukan agenda untuk memberikan kefahaman mengenainya."

"Jika rakyat tidak sedia, agenda untuk menjelaskan undang-undang perlu dibuat," kata beliau.

ULASAN GB

Polemik hudud menyerlahkan sikap double standard pimpinan dan ulama PAS dimana mereka yang tidak menyokongnya dilabelkan dengan pelbagai cacian malah ada yang sanggup "mengkafirkan"semata-mata kerana wujudnya perbezaan dari sudut pendekatan.

Ia hukum Allah, maka tak wajar mana-mana umat Islam menolaknya, kata para pendokong tegar hudud.

GB membelek semula kenyataan PAS Selangor yang telah menegaskan "pelaksanaan hukum hudud belum sesuai dijalankan di Selangor berdasarkan komposisi kaum dan keadaan semasa negeri ini, oleh Exco Selangor dari PAS, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi seperti yang dilaporkan oleh Selangorkini, 18 Mac 2015.

Mengapa Presiden dan sekalian para ulama PAS tidak menegur kepimpinan PAS Selangor yang mendakwa "pelaksanaan hukum hudud belum sesuai dijalankan di Selangor"?

Jika hudud belum sesuuai dijalankan di Selangor bererti ia juga belum sesuai dilaksanakan di mana-mana negeri hatta di Kelantan sekalipun, kerana isunya sama: memerlukan perancangan terperinci dari pelbagai aspek sebelum boleh dipraktikkan!

Dan jika itu alasannya, maka bukankah alasan yang sama juga terpakai untuk menolak Private Bill di parlimen jika pindaan enakmen itu diusulkan kerana seluruh Malaysia termasuk Kelantan bermasyarakat majmuk?

Persoalan kini ialah kumpulan pendokong hudud amat keterlaluan "menghukum" mereka yang tidak bersetuju hudud diperkenalkan di Kelantan tetapi apabila di kalangan mereka juga menolaknya di Selangor, mereka membisu dan tidak berkata apa-apa! Alasan apakah untuknya? Kepentingan masyarakat majmuk atau kepentingan menjaga kerusi exco?

Jika hudud itu sesuatu dasar yang tidak boleh dikompromikan oleh PAS, maka sepatutnya PAS Selangor juga mengemukakan pindaan yang sama ke atas Enakmen Kanun Syariah Selangor dan biar ADUN-ADUN Selangor mengundinya samada menyokongnya atau pun tidak. Tetapi ia boleh pula dikecualikan di Selangor dengan pelbagai alasan termasuk "mahu DAP & PKR faham undang-undang Islam sebelum praktis hudud." Boleh pulak "akur dan tunduk" (pinjam istilah golongan pro-ulamak") kepada DAP dan PKR.

Bukankah sikap kumpulan pro-ulamak yang membisu terhadap pendirian PAS Selangor itu merupakan hipokrit darjah tertinggi?