2 Mac 2012

Surat Menyurat Mahathir Dengan Israel Bukti Pengiktirafan Malaysia Terhadap Israel

Ucapan tahniah bukti pendirian Tun M 'pro-Israel'

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan ucapan tahniah yang ditujukan atas pelantikan Ehud Barak sebagai Perdana Menteri Israel bukti pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad selama ini.

Beliau menyifatkan ucapan tahniah itu sama seperti memberi pengiktirafan kepada Israel.

“Terima kasihlah kepada Tun Mahathir yang memberitahu satu Malaysia yang beliau mengiktiraf Israel.

“Mengiktiraf kemenangan pemimpin itu bermakna beliau mengiktiraf pembentukan negara Israel,”
katanya kepada pada sidang media di Ibu Pejabat Pas,

Menurut Mahfuz beliau percaya dasar dan polisi dengan Israel yang dibawa pada zaman Dr Mahathir itu masih diteruskan hingga ke hari ini.

Rabu lalu kerajaan telah mendedahkan tiga surat Dr Mahathir kepada tiga Perdana Menteri Israel yang jelas menunjukkan ketegasan Malaysia terhadap kekejaman Israel.

Bagaimanapun, kandungan surat yang tertulis ucapan tahniah di atas kemenangan pemimpin Israel itu dalam perenggan pertama itu telah menimbulkan pelbagai spekulasi.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, tiga surat itu adalah bagi menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa Kerajaan Malaysia tidak konsisten dalam pendirian dan dasar mengenai Palestin.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, beliau berkata, ia adalah surat Dr Mahathir kepada Yitzhak Rabin bertarikh 21 Disember 1993, kepada Benyamin Netanyahu bertarikh 14 Mac 1997 dan Barak bertarikh 8 Jun 1999. -SH

Surat kepada Israel dedah sikap pura-pura BN

KUALA LUMPUR, 1 Mac: Pendedahan surat-surat yang ditulis Tun Dr Mahathir Mohammad kepada tiga Perdana Menteri Israel – Yitzhak Rabin, Benjamin Netanyahu dan Ehud Barak mengesakan kebenaran dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan membuktikan sikap kepura-puraan Dr Mahathir selama ini.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution berkata, Mahathir sering tampil dengan imej luaran yang mengambil sikap keras dengan Israel dan memfitnah Anwar sebagai ‘pro-Yahudi’, namun secara senyap-senyap rapat dengan pemimpin Zionis.

“Mahathir pula bertemu dan berhubungan dengan PM-PM Israel dan menegaskan berulang kali keinginannya mengadakan hubungan antara Malaysia dengan Israel. Malah hasrat ini dilahirkan menerusi tulisan tangan di dalam suratnya kepada Yitzhak Rabin.

“Pendedahan ini telah mengesahkan apa yang dikatakan PKR selama ini. Mahathir dan Najib harus menghentikan kepuraan ini,“ katanya.

Sebelum ini kata Saifuddin lagi, Anwar diserang teruk oleh pemimpin dan media Umno-BN apabila disoal akhbar antarabangsa Wall Street Journal berkaitan dasar luar negara dan isu Palestin.

Ketika itu, Anwar menegaskan bahawa kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan itu merangkumi hak untuk mendirikan negara sendiri serta tidak terus dizalimi.

Sikap berbaik dengan Israel itu juga kata Saifuddin diteruskan oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang melantik APCO sebagai perunding kerajaan BN.

Sedangkan ujarnya, antara penasihat APCO adalah Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel.

“Kerajaan Malaysia juga selama ini mengambil sikap berat sebelah di dalam isu Palestin dengan hanya mengiktiraf Fatah, tanpa mengambilkira Hamas yang telah dipilih rakyat Palestin.

“Ini membuktikan kerajaan Umno-BN tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat dan Israel,” tegasnya.
-HD



PAS Persoal Kementerian Belia Taja Program Hassan Ali

Mahfuz dakwa kementerian biaya program Hasan Ali

Naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar hari ini menuntut supaya satu audit penuh dijalankan ke atas satu unit strategik di Kementerian Belia dan Sukan yang didakwa telah menyediakan sejumlah dana untuk membiaya program bekas ahli PAS Datuk Hasan Ali.

Mahfuz mendakwa, jumlah sebanyak RM30 juta untuk unit strategik "seperti cawangan Umno" itu telah dikumpul daripada unit lain di kementerian berkenaan.

Mahfuz juga mendakwa, unit berkenaan akan membantu membiayai aktiviti berkenaan untuk menarik belia supaya menyokong Umno dan BN.

Beliau turut mendakwa bahawa keseluruhan dana RM30 juta itu, atau sekurang-kurangnya sebagian daripadanya telah diperuntukkan bagi tujuan itu. -mk

PAS dakwa kementerian belia seleweng duit untuk politik

KUALA LUMPUR, 2 Mac: PAS menuntut Kementerian Belia dan Sukan menjelaskan kewujudan Cawangan Strategik dan Urat Saraf di bawah kementerian itu yang didakwa digunakan untuk tujuan pilihan raya.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, kewujudan cawangan itu sangat diragui ketelusannya lebih-lebih lagi ia tidak mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menurutnya, cawangan tersebut tiada organisasi khusus, malah peruntukannya diambil daripada bahagian lain dalam kementerian.

"Banyak peruntukan di bawah Kementerian Belia dan Sukan untuk kepentingan belia tapi hakikatnya cawangan ini digunakan untuk tujuan politik, bagi tujuan pilihan raya dengan mewujudkan unit-unit tertentu dalam kementerian.

"Saya angap ini satu penyelewengan apabila mengambil peruntukan dari bahagian lain.

"Semasa pilihan raya Sarawak, cawangan ini bermukim di Sarawak selama tiga bulan dan mengadakan pelbagai program gerak saraf belia yang memakan belanja sehingga RM40 juta. Saya minta Menteri Belia dan Sukan jelaskan perkara ini," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut menambah, Ketua Setiausaha Kementerian juga telah mengarahkan cawangan ini untuk mengadakan program politik di semua daerah lebih iaitu 2,000 program setiap negeri dengan kos RM30 juta untuk Pakar Motivasi, Datuk Dr. Hasan Ali berceramah kepada pengundi muda.

"Nampak sangat Umno guna peruntukan untuk kepentingan politik Umno. Sekarang mereka tak perlu turun padang, hanya guna Hasan Ali sebagai mata kapak dan hulu kapak," katanya.


Selain itu, beliau turut mempersoal "kehilangan RM8juta peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk belia pada Himpunan Sejuta Belia 2011.

Menurut maklumat, hanya RM2 juta diterima oleh Majlis Belia.

"Saya setuju kalau peruntukan untuk pembangunan belia, tapi bukan dalam bentuk program himpunan sehari yang tidak memberi apa-apa kesan, hanya seperti Karnival Jom Heboh dan sebagainya," katanya.

Turut dipersoal beliau, kos yang terpaksa ditanggung kerajaan akibat pembatalan belia kreatif 2012 yang sepatutnya diadakan pada 10 hingga 12 Februari lalu serta sebab pembatalannnya.

"Karnival ini telah diiklan secara meluas di media massa tapi akhirnya dibatalkan. Kenapa program ini dibatalkan dan berapa pula kos yang terpaksa ditanggung kerajaan setelah pelbagai promosi telah dilakukan?" soalnya.

Dalam pada itu, beliau meminta Kementerian terbabit menjelaskan bagaimana projek perkhidmatan kafe di 17 Instititut Kemahiran Belia Negara (IKBN) hanya diberikan kepada sebuah syarikat yang berpangkalan di Kelantan.

"Kalau betul kerajaan ingin membangunkan syarikat bumiputera, kenapa hanya beri kepada sebuah syarikat? Sepatutnya kalau ada 17 IKBN, berilah kepada 17 syarikat," katanya. -HD


[WASPADA] Hendak Wajah Licin, Jadi Menggerutu

Johor Bahru - Seorang suri rumah mengakui terpaksa menanggung kesakitan apabila wajahnya bengkak dan menggerutu selepas menjalani rawatan laser di sebuah pusat kecantikan di Ulu Tiram, di sini, akhir tahun lalu.

Menurut Teng Ann Moi, 49, dua hari selepas menjalani rawatan kecantikan bagi menghilangkan jeragat wajahnya dengan kos sebanyak RM1,888, juru kecantikan berkenaan turut memberikannya sebotol cecair helium untuk digunakan setiap hari.

“Saya hanya menuruti apa yang diarahkan, apabila berasa perubahan menyakitkan, saya menghubungi juru kecantikan berkenaan, wanita itu berjanji datang ke rumah saya keesokan harinya untuk membuat rawatan susulan,” katanya.

Beliau berkata, wanita berkenaan hanya bertindak memecahkan gelembung di wajah Ann Moi menggunakan jarum dan memaklumkan ianya akan sembuh selain menganggap perubahan itu hanya bersifat sementara.

“Selepas 10 hari masih tidak sembuh, saya nekad bertemu pakar kulit profesional untuk mendapatkan rawatan lanjut. Hasil pemeriksaan mendapati kesan laser berkenaan menembusi lapisan bawah kulit menyebabkan ianya membengkak,” katanya.

Ann Moi dinasihatkan mendapatkan rawatan seperti yang disyorkan pakar berkenaan selama tiga bulan dengan kos sebanyak RM23,000. Beliau bersetuju dengan cadangan itu asalkan wajahnya dapat dipulihkan.

“Saya nekad untuk memfailkan tuntutan di Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), bagi menuntut ganti rugi sebanyak RM23,000 kepada pemilik pusat kecantikan terhadap kerugian yang saya tanggung akibat rawatan mereka,” katanya.

Pada prosiding kelmarin, Presiden TTPM, Mohd Nasrim Datuk Mohd Salleh berkata, jumlah tuntutan Ann Moi sebanyak RM23,000 hanya boleh difailkan melalui tuntutan di mahkamah sivil manakala pemilik pusat kecantikan bersetuju membayar ganti rugi sebanyak RM5,000.

Kedua-duanya bersetuju menyelesaikan kes berkenaan secara baik, Mohd Nasrim mengeluarkan perintah bahawa bayaran ganti rugi perlu dijelaskan dalam masa 14 hari dari tarikh award dikeluarkan.

“Saya terima tawaran berkenaan kerana saya tidak mahu ‘turun naik’ mahkamah, saya berharap ianya menjadi pengajaran kepada semua wanita untuk berhari-hati ketika membuat rawatan kecantikan,” katanya kepada Sinar Harian selesai prosiding. -SH

Jurulatih Cabul 8 Pengakap Perempuan Didakwa Di Mahkamah

Didakwa cabul 8 pelajar

PETALING JAYA: Seorang sukarelawan pengakap yang juga peniaga dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas sembilan pertuduhan mencabul lapan pelajar berusia antara 13 dan 16 tahun di sebuah sekolah di Sungai Buloh, dekat sini, tahun lalu.

Tertuduh, Ho Lee Fong, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.

Dia yang hadir memakai kemeja lengan panjang berwarna krim kelihatan tenang di dalam kandang tertuduh ketika pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kesembilan, bapa kepada lima anak itu didakwa melakukan perbuatan mencabul lapan pelajar yang berusia antara 13 dan 16 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sri Damansara 1, Persiaran Perdana, Sungai Buloh, di sini, antara April hingga Jun tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Saphirra Selamat menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan berserta tiga syarat tambahan iaitu pasport ditahan oleh mahkamah, tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran pada setiap bulan dan harus menjauhi ke semua mangsa dengan jarak 50 meter.

Peguam bela Amrit Paul Singh yang mewakili tertuduh kemudian memohon wang jaminan dikurangkan sebanyak RM2,000 bagi setiap pertuduhan berikutan tertuduh mempunyai tanggungan lima anak yang mana semuanya masih bersekolah.

“Saya juga meminta pasport tertuduh tidak ditahan, jika tertuduh ingin melarikan diri ke luar negara sudah lama dia berbuat demikian selepas masalah ini berlaku.

“Kerjasama yang diberikan tertuduh sejak dipanggil polis pada 9 Februari lalu bagi memberikan maklumat mengenai masalah ini meyakinkan saya bahawa dia seorang yang bertanggungjawab dan tidak mungkin akan melakukan perkara seperti ini,” katanya. Nor Afidah membenarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin berserta dua syarat iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap awal bulan dan menjauhi semua mangsa manakala kes ditetapkan semula pada 2 April depan.

Wang jaminan dibayar isteri dan abang tertuduh yang hadir menemaninya.

Pada 16 Februari lalu, akhbar ini melaporkan seorang jurulatih didakwa mencabul lebih 10 pelajar perempuan sebuah sekolah menengah yang menyertai Pergerakan Pengakap dengan memegang payu dara, kemaluan dan punggung mereka.

Difahamkan, lelaki itu melatih pelajar berusia 13 dan 14 tahun di sekolah berkenaan sejak 2008. -hm


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Pakatan Janji Tol Hapus Jika PR Memerintah, Najib Mula Mansuhkan Tol

PM umum potongan 50% tol lebuh raya Cheras-Kajang

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemansuhan bayaran tol RM1 menghala ke Kuala Lumpur di Plaza Tol Batu 9 dan bayaran 90 sen di Plaza Tol Batu 11 menghala ke Kajang, berkuatkuasa tengah malam ini. -fotoBernama

Perdana Menteri berkata keputusan kerajaan itu akan mengurangkan beban pengguna yang kerap menggunakan Lebuh Raya Cheras-Kajang sebanyak 50 peratus, atau pengurangan bayaran tol daripada RM3.80 kepada RM1.90 untuk dua hala.

"Ini adalah usaha dan perjuangan kerajaan Barisan Nasional sejak 2009 lagi dan hari ini kerajaan jadikan kenyataan," katanya pada majlis pecah tanah projek Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Bandar Sungai Long di sini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan RM4.5 juta untuk membiayai sebahagian kos pembinaan sekolah berkenaan.

Sekolah itu akan dibina di tanah seluas 2.4 hektar. Ia mempunyai 36 buah bilik darjah untuk kemudahan 1,500 murid di kawasan berkenaan.

Najib menjelaskan bukan mudah untuk memutuskan mengenai pembinaan sekolah tersebut memandangkan kesukaran mendapatkan tapak, disebabkan itu kerajaan bersetuju untuk membina SRJK (C) itu di tanah bernilai RM20 juta.

"Jika pembangkang bising bagilah tapak yang lain, kenapa tak bagi tapak lain sedangkan mereka ada kuasa untuk luluskan tapak lain, mereka tak bagi tapi mereka buat bising, kononnya mereka yang memperjuangkan kepentingan masyarakat di situ," katanya sambil diiringi tepukan gemuruh orang ramai yang hadir.

Beliau menegaskan soal pendidikan bukanlah perkara yang boleh diambil mudah dan dipolitikkan, hakikatnya mesti mencari jalan penyelesaian, yang mana hari ini terbukti kerajaan BN mampu membawa penyelesaian kepada masyarakat Cina di kawasan berkenaan.

"Jika ada kelemahan tertentu, kita bersedia mendengar suara rakyat, saya tidak takut dan saya kata kalau tidak betul InsyaAllah kita akan betulkan tetapi jangan ada pihak menidakkan jasa yang terbesar selama ini ialah jasa yang dibawa kerajaan BN," katanya. - Bernama

Ulasan GB

Sebelum ini Pakatan Rakyat sudah mengumumkan bahawa Tol perlu dihapuskan kerana syarikat konsesi telah mengaut untung yang besar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Noh Mohd Yaakob pula menyatakan bahawa jika tol dihapuskan, negara ini akan muflis.

Lim Guan Eng membantah.

"Saya kata tidak. Malaysia tidak akan muflis. Dan sekiranya dia masih yakin dengan kenyataannya, marilah berbahas berdasarkan fakta dan bukan sekadar serangan yang tidak masuk akal.

"Saya harap beliau tidak takut untuk berbahas tentang isu penting seperi isu ekonomi dan kos hidup rakyat ini. Malah sekiranya tol dihapuskan, inflasi juga akan turun," jelas Lim lagi sambil mencabar Noh Yaakob untuk berbahas dengannya secara terbuka mengenai isu ini.

Kini, Najib pula mengisytiharkan penurunan kadar untuk dua tol.

Membuktikan bahawa dakwaan PR adalah benar dan Pakatan Rakyat perlu diangkat ke Putrajaya untuk menggantikan BN untuk penghapusan tol.


Laporan sebelum ini
klik untuk baca






Abang, Bangun.. Jangan Tinggalkan Saya..

Kereta tiba-tiba 'terbang'

LEDANG – “Mulanya saya nampak sebuah kereta 'terbang' disusuli dengan bunyi dentuman yang kuat. Saya bergegas keluar rumah dan nampak kereta kancil ini sudah masuk dalam parit,” kata saksi kejadian kemalangan maut di kilometer (KM) 1 Jalan Muar-Tanjung Agas, kelmarin.

Saksi, Sa’yon Hamid, 66, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, dia sedang berehat di ruang tamu rumahnya berhadapan jalan terbabit sebelum ternampak sebuah kereta Perodua Kancil dipandu seorang lelaki.

“Tetapi saya hairan apabila kereta ini secara tiba-tiba 'terbang' semasa menghampiri simpang berdekatan kedai makan di sini.

“Saya sangat terkejut lalu keluar rumah dan melihat kereta Kancil ini sudah masuk ke dalam parit berhampiran,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Sa’yon berkata, jarak rumahnya dengan tempat kejadian hanya pada jarak kira-kira 100 meter.

Katanya, setibanya di tempat kejadian, dia melihat pemandu itu berada dalam keadaan lemah di tempat duduk pemandu dengan buih keluar dari mulutnya.

“Mungkin lelaki ini sakit ketika memandu menyebabkan dia hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit.

“Orang ramai mula membanjiri tempat kejadian, lalu salah seorang rakannya menghubungi pihak ambulans Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar tetapi mangsa meninggal dunia beberapa minit kemudian,” katanya.

Isteri mangsa, yang mahu dikenali sebagai Yee, 40-an berkata, dia menganggap insiden yang menimpanya suaminya itu hanyalah mimpi.

“Saya masih tidak percaya dan tidak dapat terima berita ini kerana sebelum kejadian suami tidak menunjukkan sebarang perubahan yang aneh.

“Pagi tadi sebelum keluar bekerja, dia seperti biasa dengan sikap cerianya dan berbual bersama ketika sarapan pagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, mayat mangsa, Low Kia Hin, 51, dari Jalan Kim Kee, Muar dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa berpunca daripada tekanan darah tinggi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -SH

‘Bangun, jangan tinggalkan saya’

LEDANG: “Bangunlah, jangan tinggalkan saya,” kata seorang wanita ketika memeluk jenazah suaminya selepas lelaki berkenaan meninggal dunia akibat kemalangan di Kilometer 1, Jalan Muar-Tanjung Agas di sini, kelmarin.

Kehadiran wanita dikenali sebagai Yee di tempat kejadian menyebabkan orang ramai sedih apabila enggan melepaskan mayat suaminya sebelum dipujuk ahli keluarga lain, kira-kira 30 minit kemudian.

Yee dikatakan bergegas dari rumahnya di Jalan Kim Kee di sini, selepas mengetahui suaminya, Low Kia Hin, 51, meninggal dunia ketika memandu dipercayai akibat serangan darah tinggi.

Menurutnya, dia masih tidak percaya suaminya sudah tiada kerana sebelum keluar rumah, mendiang kelihatan sihat.

“Saya masih tidak percaya dia sudah meninggal dunia. Semua ini bagai mimpi,” katanya.

Saksi kejadian, Sa’yon Hamid, 66, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 petang ketika dia berehat di ruang tamu rumahnya, kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

Menurutnya, pada mulanya, dia melihat sebuah kereta seolah-olah ‘terbang’ disusuli bunyi dentuman kuat.

“Saya terus bergegas keluar dan nampak sebuah Perodua Kancil berada dalam parit.

“Memang pelik kerana kereta itu tiba-tiba terbang ketika menghampiri simpang,” katanya.

Katanya, dia kemudian terus melihat mangsa yang ketika itu begitu lemah dan mulut berbuih.

“Mungkin lelaki itu diserang penyakit ketika memandu menyebabkannya hilang kawalan dan keretanya terbabas sebelum seorang rakan mangsa menghubungi ambulans Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

“Mangsa disahkan sudah meninggal dunia tidak lama selepas itu,” katanya.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tangkak untuk dibedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa berpunca akibat tekanan darah tinggi dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
-hm


[Video] Pimpinan Tertinggi PAS Turun Kedah Malam Esok Selesaikan Kemelut

Krisis Exco: AJK Pas Pusat turun Kedah esok

KUALA LUMPUR - Kesemua ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat akan mengadakan pertemuan khas dengan pemimpin-pemimpin parti peringkat Kedah malam esok bagi menyelesaikan 'krisis Exco' yang dilihat boleh menggugat kerajaan negeri Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 jika gagal ditangani segera. fotoTHESTAR Oleh SAMUEL ONG

Pertemuan itu juga akan membabitkan perbincangan bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Mesyuarat khas malam tadi gagal mencari penyelesaian, sebaliknya memerlukan satu lagi pertemuan dengan barisan Badan Perhubungan Negeri Kedah.

Mengumumkan perkara itu selepas mesyuarat kira-kira tiga jam di ibu negara tengah malam tadi, Naib Presiden Salahuddin Ayub berkata, kesemua ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan terlibat sama dalam pertemuan esok.

"Perjumpaan akan diadakan pada Sabtu, malam Ahad di Kedah... tempat akan diberitahu kelak," katanya pada sidang media sebentar tadi.

Salahuddin berkata, mesyuarat khas yang diadakan ini sebulat suara memutuskan untuk berjumpa dengan ahli Jawatankuasa Kerja Pas Kedah termasuk Menteri Besar.

"Perjumpaan itu akan melibatkan semua ahli tertinggi Pas termasuk Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Perjumpaan di Kedah nanti akan membincangkan dengan lebih meluas tentang permasalahan krisis di sana." katanya pada sidang media.

Jawatankuasa Kerja Pas Pusat mengadakan mesyuarat khas bermula 9 malam tadi bagi mencari penyelesaian ke atas 'krisis' kepimpinan parti peringkat Kedah, yang ketara selepas dua Exco Kerajaan Negeri menolak tawaran untuk dilantik semula ke jawatan itu.

Mesyuarat khas itu berlangsung di ibu pejabat parti di ibu negara dengan dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Mohamed Sabu.

Mesyuarat khas itu diadakan dua hari selepas Salahuddin mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar dan salah seorang Exco Kerajaan Negeri terbabit.

Kelmarin, Salahuddin berkata, beliau ada beberapa formula untuk dibentangkan pada mesyuarat malam ini.

Katanya, mesyuarat ini diadakan khusus bagi membincangkan kemelut yang melanda kepimpinan Pas Kedah.

Dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian yang disiarkan kelmarin, Salahuddin menyifatkan pertemuan beliau dengan dua pemimpin Pas Kedah kelmarin membuahkan hasil positif dan dijangka boleh membantu menyelesaikan kemelut pelantikan semula sebagai Exco.

Salahuddin berkata, beliau sudah bertemu dengan kedua-dua pihak iaitu Azizan dan Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi di rumah masing-masing.

Beliau berharap isu itu dapat segera diselesaikan dengan baik bagi melancarkan urusan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Kehadiran Salahuddin di Kedah bertujuan menjadi perantara bagi menyelesaikan kemelut itu setelah Pas Pusat memutuskan untuk campur tangan agar tidak berlarutan.

Lapan daripada 10 Exco semasa menerima tawaran dikekalkan jawatan. Majlis angkat sumpah berlangsung, Selasa lalu. -SH

Pertemuan mahabbah PAS Pusat, Kedah malam esok

KUALA LUMPUR, 2 Mac: Semua ahli jawatankuasa PAS Pusat akan mengadakan pertemuan mahabbah dengan PAS Kedah malam esok bagi mendengar segala permasalahan di pihak kepimpinan parti negeri itu.

Naib Presidennya, Salahudin Ayub berkata, pimpinan tertinggi PAS termasuk Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan turun ke Kedah bagi bertemu dengan kedua-dua pihak iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Exco, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi.

"Kami mengambil keputusan untuk mengadakan pertemuan pada Sabtu di Alor Setar, Kedah di mana kami akan mengadakan perjumpaan mahabbah di antara kedua-dua belah pihak iaitu Ustaz Azizan dan Datuk Phahrolrazi," kata beliau selepas mesyuarat khas jawatankuasa PAS Pusat yang berlangsung kira-kira empat jam di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut malam tadi.

Mesyuarat kira-kira empat jam itu diadakan bertujuan menyelesaikan kemelut di Kedah selepas Phahrolrazi enggan dilantik semula sebagai exco kerajaan negeri.

Sementara itu, Timbalan Presiden, Mohamad Sabu berkata, PAS Pusat yakin isu tersebut dapat diselesaikan dengan baik setelah mengadakan 'pertemuan mesra' dengan semua peringkat di Kedah.

"Malam ini kami telah mengadakan perjumpaan secara harmoni, dan mengambil berat apa yang berlaku.

"Oleh itu, PAS akan turun bermesra dengan semua peringkat iaitu Dewan Ulama, Pemuda dan perhubungan negeri dan akan dengar semua pandangan dan penyelasain sedang diatur dan saya yakin PAS akan muncul lebih kuat selepas ini," katanya.

Turut bersama pada sidang media, setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali.

Selasa lalu, Mohamad Sabu, Salahudin Ayub dan Penolong Setiausaha Agung, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi mengadakan pertemuan hati ke hati dengan Azizan dan Phahrolrazi secara berasingan bagi menyelesaikan masalah mereka.

Hasil pertemuan tersebut dibawa ke mesyuarat malam tadi.

Selasa lalu, lapan Exco Kedah mengangkat sumpah jawatan masing-masing di depan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah.

Dua lagi exco iaitu Phahrolrazi dan Datuk Dr Ismail Salleh dijangka akan mengangkat sumpah jawatan mereka selepas ini.

Bagaimanapun, Phahrolrazi dikatakan enggan menyambung jawatannya.
-HD






Ulasan GB

Semuga isu kemelut PAS Kedah dapat diselesaikan secepat dan sebaik mungkin.

GB telah paparkan di blog ini mengenai isu kemelut Kedah yang meruncing sekalipun ada pihak cuba untuk menyapu sampah ke bawah karpet dengan menganggapnya kecil dan kononnya tiada masalah apa-apa yang melanda PAS Kedah.

Kita amat berharap semua tindakan memburuk-burukkan individu terutama ke atas MB Kedah merangkap Pesuruhjaya PAS Kedah, YAB Ust Azizan Abdul Razak dan Exco Negeri, YB Ir Amiruddin Hamzah yang dilakukan oleh pihak tertentu dihentikan sesegera mungkin.

Semua pertikaian hendaklah diselesaikan dengan semangat ukhwah Islamiah dan kembali kepada akhlak jemaah dengan tidak mempertajamkan sebarang jurang perselisihan.

Tulisan GB bernada keras sebelum ini meminta pihak Ir Phahrolrazi & PAS Kuala Kedah supaya menghentikan usaha berterusan mereka menimbulkan keadaan yang tidak tenteram di Kedah berhubungkait dengan perlantikan exco.

Di dalam satu komentar mutakhir GB menulis,

Ahli jemaah yang baik tidak melakukan perkara-perkara sedemikian, sebaliknya cuba untuk menutup keaiban saudaranya, jika terpaksa juga melakukannya maka hendak dilakukan dengan aturan ayat yang mulia dengan tidak mempunyai niat untuk "menjatuhkan" sesiapa terutama ketua. Ini gagal dilakukan oleh PAS Kuala Kedah.

Perit dan pedih di bawah panji Islam adalah lebih baik dan lebih mulia dari senang dan ketawa di bawah panji yang tidak Islam

Tidakkah anda bersyukur dengan nikmat kemenangan yang Allah berikan kepada Parti Islam di Kuala Kedah?

Beratus PAS kawasan-kawasan lain yang meimpikan, malah berdoa siang dan malam dikurniakan nikmat kemenangan, tetap kamu-kamu di Kuala Kedah sudah dikurniakan kemenangan kamu berseliseh dan saling hendak menjatuhkan.

Jangan sampai nanti Allah tarik semula nikmat itu untuk diberikan kepada kaum yang lain.



Transformer TNB Meletup, Rumah Najib Dan Sekitar Putrajaya, Bangi bergelap 1 Jam

Putrajaya, Bangi putus bekalan elektrik

KUALA LUMPUR - Sebahagian besar kawasan di Bandar Baru Bangi dan Putrajaya dekat sini bergelap kira-kira sejam semalam apabila sebuah pencawang elektrik di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi terbakar kira-kira pukul 9.20 malam tadi.

STESEN pencawang TNB di Bandar Baru Bangi terbakar malam tadi menyebabkan bekalan elektrik terganggu di Bangi dan Putrajaya.

Gangguan tersebut turut melibatkan kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana di Putrajaya.

Jurucakap Tenaga Nasional Berhad (TNB) ketika dihubungi memberitahu, bekalan elektrik di dua kawasan tersebut bagaimanapun dipulihkan semula secara berperingkat-peringkat mulai pukul 10.30 malam.

"Gangguan elektrik di kedua-dua kawasan tersebut bermula kira-kira pukul 9.20 malam tetapi bekalan elektrik mula disambung semula secara berperingkat-peringkat 50 minit kemudian," katanya ketika dihubungi Kosmo! malam tadi. -kosmo

Transformer TNB meletup

KUALA LUMPUR — Sebuah transformer Tenaga Nasional Bhd (TNB) di stesen janakuasa Bandar Baru Bangi dekat sini meletup dan terbakar malam tadi mengakibatkan beberapa kawasan perumahan di sekitarnya bergelap.

Insiden letupan dan kebakaran kecil itu dilaporkan berlaku pada kira-kira 9.20 malam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Rashid Abdul Wahab berkata, pihak polis yang dimaklumkan mengenai insiden itu telah menghubungi Balai Bomba Bandar Baru Bangi.

Katanya, bekalan elektrik di kawasan terbabit kini telah pulih.

Tiada kemalangan dan kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut. — BERNAMA


Ulasan GB

Sudah ada tanda-tanda pemerintahan BN akan menghadapi zaman kegelapannya di Putrajaya(?)

[Video] Kisah Loo Jo Yee: Gadis Cina 17 Tahun Memeluk Islam

Loo Jo Yee adalah seorang gadis berusia 18 tahun dari etnik Cina di Malaysia. Keluarga Jo Yee merupakan pengikut agama kristian yang kuat. Dan beliau bakal menjadi seorang paderi di sebuah gereja. Disebabkan itu, keluarga beliau sangat bantah hingga menganggap masuk Islam adalah sangat menghinakan bagi keluarganya.

Gambar: Loo Jo Yee ketika ditemubual di TV Al-Hijrah

Loo Jo Yee sebenarnya telah memeluk Islam ketika masih berusia 17 tahun. Disebabkan di Malaysia mempunyai undang-undang untuk memeluk agama Islam bermula umur 18 tahun sahaja, beliau terpaksa menangguhkan dulu permohonan tersebut sehingga umurnya mencecah usia 18 tahun sekarang.

Beliau tiada nama Islam kerana sekarang ini, seseorang muallaf sudah tidak perlu menukar nama kepada nama Islam, dan hanya perlu ber’binti’kan kepada Abdullah serta tak perlu tukar bangsa. Maka namanya kekal Loo Jo Yee binti Abdullah.

Loo Jo Yee mendapat hidayah melalui dua peristiwa yang menarik.

1. Jo Yee mempunyai ramai rakan-rakan yang beragama Islam. Mereka telah berdebat tentang agama masing-masing. Ketika itu, beliau bermatlamat untuk membawa rakan-rakan Islam memeluk agama Kristian. Namun, untuk berdebat dengan rakan-rakan, beliau telah mengkaji Al-Quran, membaca kisah Nabi Muhammad s.a.w dan mengkaji kemunculan Islam untuk mencari kelemahan Islam.

Semakin beliau mengkaji, semakin lama beliau mula tertarik dengan ajaran Islam.

Beliau sendiri mengaku bahawa di dalam Bible banyak perkara yang telah diolah hingga menyimpang dari perkara sebenar. Oleh itu, Jo Yee mengkaji Islam dengan lebih mendalam untuk mencari perkara yang sebenar. Dengan itu, beliau telah mendapat ketenangan jiwa ketika membaca Al-Quran. Itu adalah hidayah pertama Loo Jo Yee.

2. Jo Yee pernah disyaki menghidap penyakit thyroid di bahagian leher. Doktor mengesahkan 90% besar kemungkinan adalah penyakit tersebut. Beliau merasakan ini adalah penamat bagi kehidupan beliau walaupun masih muda. Rakan-rakan Islam Jo Yee banyak memberi galakkan kepada beliau untuk cuba memohon doa kepada Allah Taala.

Beliau cuba dengan menadah tangan, menangis dan hanya berserah kepada Allah.

Keesokan harinya, ketika beliau menjalani medical check-up, doktor mengesahkan penyakit itu bukan kanser. Disebabkan itu, beliau yakin dengan kuasa Allah taala dan beliau terus mengucap 2 kalimah syahadah serta-merta. Subhanallah.. Allahuakhbar!

Selepas bergelar muallaf, banyak dugaan yang Jo Yee terpaksa terima. Beliau dipulau rakan-rakan dan keluarga tercinta. Tapi, beliau sangat bersyukur kerana mendapat keluarga angkat di Ipoh yang mengambil berat terhadap beliau. Beliau juga merasa terharu kerana telah dipilih Allah untuk mendapat hidayah ketika berumur 17 tahun, sedangkan remaja yang seusia beliau sibuk bersuka-ria hingga jauh tersasar. Jo Yee berharap selepas ini dia berpeluang untuk berdakwah kepada remaja-rakan yang seusia dengan cara tersendiri.

* disunting dan dipetik dari laman KBSB.