8 Jul 2015

Kes Bukit Kepong: Mat Sabu Menang!

Mat Sabu bebas tuduhan memfitnah polis Bukit Kepong

Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini membebaskan bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu yang dituduh memfitnah polis Bukit Kepong dan keluarga mereka.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadap Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu.

Keputusan tersebut disambut dengan sorakan Allahuakbar daripada mereka yang hadir di galeri.

Mat Sabu didakwa membuat fitnah menerusi kenyataannya berhubung kejadian Bukit Kepong pada 1950, yang menyaksikan 25 anggota polis dan keluarga mereka dibunuh oleh komunis.

Beliau didakwa berkata, Mat Indera yang mengetuai serangan itu adalah seorang wira negara dalam melawan British. Beliau dikatakan membuat komen itu pada satu ceramah di Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011.

Beliau juga didakwa mengatakan pengasas Umno Datuk Onn Jaafar dan perdana menteri pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman tidak layak digelar wira negara kerana mereka juga hamba penjajah British, dan pembangkang (Pakatan Rakyat) akan menulis semula sejarah negara ini jika mereka memenangi pilihan raya umum akan datang.

Ucapannya menimbulkan kekecohan terutama di kalangan ahli keluarga polis Bukit Kepong yang terbunuh dalam serangan itu.

Banyak laporan polis dibuat terhadapnya oleh persatuan bekas polis, individu dan badan bukan kerajaan (NGO) membantah kenyataannya.

Bercakap di luar mahkamah selepas itu, Mat Sabu mengucapkan syukur di atas keputusan mahkamah itu dan berterima kasih kepada semua yang menyokongnya selama ini.

Katanya, beliau kini akan memberi tumpuan kepada usahanya menubuhkan sebuah parti dan gabungan pembangkang baharu.



ULASAN GB

Tahniah dan syabas kepada Mohamad Sabu, juga kepada peguamnya Hanipa Maidin yang dari dulu sememangnya professional membela anakguamnya.

Ini petanda baik untuk parti baharu, kerana selepas ini Mat Sabu boleh memberikan tumpuan sepenuhnya kepada penubuhan parti baharu yang amat ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia terutama ahli-ahli PAS yang ramai ingin keluar dari parti itu untuk menyertai parti baharu pimpinan golongan progresif.

[BERGAMBAR] UiTM Cawangan Dungun Terbakar

Dungun - Sebuah blok akademik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Dungun yang menempatkan kira-kira 200 penuntut hangus terbakar dalam kejadian kebakaran lewat petang tadi.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Amri Mohamad berkata, kebakaran itu berlaku, kira-kira pukul 7 petang.

"Kebakaran tersebut disedari oleh pelajar yang sedang membeli juadah untuk berbuka puasa di bazar Ramadan yang tidak jauh dari tempat kejadian.

"Ketika kejadian hujan dan petir melanda di kawasan tersebut dan menurut pelajar kebakaran tersebut berlaku sejurus kilat menyambar salah satu dari bahagian blok berkenaan dan kita tidak menolak kemungkinan kebakaran berpunca daripada itu," katanya.

Katanya, apabila melihat kejadian tersebut, pelajar yang berada di tempat kejadian terus memaklumkan kepada pihak polis bantuan yang berdekatan dan terus menelefon Bomba bagi memaklumkan berkenaan kejadian tersebut.

Tambahnya, sepasukan 10 anggota Bomba bersama sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian dan sebaik sampai api sedang marak membakar keseluruhan bangunan papan terbabit.

"Kebakaran itu memusnahkan keseluruhan bangunan terbabit yang boleh memuatkan kira-kira 200 orang pelajar turut memusnahkan kesemua peralatan pembelajaran di dalamnya,"katanya.

Amri berkata, ketika kejadian kesemua pelajar sedang berada di asrama masing-masing untuk berbuka puasa. Api berjaya dikawal sepenuhnya sejam kemudian dan pihaknya masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian.

"Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan setakat ini dan kerugian masih dalam siasatan," katanya



[VIDEO] Kedegilan Najib Untuk Turun Bawa Padah Kepadanya...

Gerakan harapan Baru serah memorandum mohon Siasatan Diraja dalam isu 1MDB

KUALA LUMPUR: Satu memorandum memohon penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat dakwaan salah guna dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diserahkan Pemuda Gerakan Harapan Baru (GHB) kepada yang DiPertuan Agong pada Selasa.

Memorandum itu antara lain mencadangkan agar dua bekas Ketua Hakim Negara, Tun Hamid Muhamad dan Tun Saleh Abas, mengetuai siasatan ini.

Sesi penyerahan memorandum ini diketuai oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi GHB yang juga Ahli Parlimen Kulai, Dr Mohd Hatta Ramli sekitar pukul 11 pagi.

Dr Mohd Hatta berkata, langkah itu adalah bagi menyiasat kebenaran di sebalik dakwaan yang dibuat media antarabangsa, Wall Street Journal bertarikh 2 Julai lalu.

Memorandum diserahkan kepada Pegawai Istana, Zainal Din.

GHB adalah merupakan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada 16 Jun lalu dan dipengerusikan oleh bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu. -astroawani


Beku Enam Akaun - Syabas TS Ghani, Zeti, Khalid Abu Bakar dan Abu Kasim!

Terpegun dan bangga - itu perasaan saya selaku rakyat Malaysia pada hari ini, bila kenyataan bersama dari empat agensi tonggak dikeluarkan tengah hari ini.

Sudah lama perasaan itu hilang dari diri saya memikirkan keadaan negara kita yang bertambah buruk dari hari ke hari. Institusi dan instrumen negara seakan hilang integriti dan jati diri berhadapan dengan kemelut pemimpin politik.

Rasanya, itulah juga perasaan yang dikongsikan oleh ramai rakyat Malaysia.

Hari ini, saya merasa sangat bugar.

Masih ada sisa keberanian atas kebenaran demi negara.

Duduknya empat peneraju dari Jabatan Peguam Negara, Bank Negara, PDRM dan SPRM untuk bersama mengeluarkan kenyataan yang begitu ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia - memberikan sinar baru. ia sudah satu keberanian.

Kenyataan TS Zeti selaku Gabenor Bank Negara amat dinantikan atas isu penyaluran dana dan akaun-akaun yang didakwa - yang menjadi bidang tugasnya. Diamnya Bank Negara seakan mengizinkan kesalahan dilakukan atau orang tertentu dizalimi dengan tuduhan yang tidak benar.

Ketelusan dan keteguhan menjunjung kepentingan negara dibimbangi dikorbankan kerana pihak yang terlibat adalah Ketua Eksekutif Malaysia.

Hari ini, kami menyambut kenyataan bersama ini. Ia menunjukkan tindakan-tindakan telah diambil dalam tempoh sebulan yang lalu.

Bagi mana-mana yang terlibat dengan akaun-akaun yang dibekukan, jika anda merasa ada kesalahan telah dilakukan, usahlah mengambil masa yang panjang untuk tampil mengakui kesalahan itu dengan apa jua cara untuk mengelakkan negara menanggung krisis yang berpanjangan.

Husam Musa



3 akaun dibekukan milik Najib

Tiga daripada 6 akaun bank yang dibekukan oleh pasukan petugas khas semalam dimiliki Datuk Seri Najib Razak, ketika siasatan diteruskan terhadap kes wang berbilion ringgit didakwa dipindahkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.

Sumber mendedahkan kepada The Malaysian Insider, 2 daripada akaun itu ialah daripada Ambank dan Affin Bank.

Pembekuan itu berlaku selepas laporan The Wall Street Journal (WSJ) mendakwa Khamis lepas sejumlah AS$700 juta (RM2.67 bilion) daripada syarikat-syarikat berkaitan 1MDB didepositkan ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Terdahulu hari ini, satu kenyataan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara, Bank Negara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan pasukan yang ditubuhkan bagi menyiasat syarikat sarat hutang itu kini membekukan 6 akaun bank dengan perintah pembekuan dikeluarkan semalam.

Menurutnya, pasukan berkenaan turut mengambil dokumen-dokumen berkaitan 17 akaun daripada 2 buah bank bagi membantu siasatan.

Pasukan itu juga mengambil dokumen-dokumen melibatkan isu ketidakpatuhan peraturan-peraturan dan kaedah Bank Negara Malaysia oleh bank terbabit.

Tindakan pihak berkuasa itu dipercayai berkaitan dengan laporan WSJ itu serta laman pemberi maklumat Sarawak Report yang mendedahkan mengenai pemindahan wang berbilion ringgit ke akaun-akaun peribadi Najib.

Pada Sabtu, Gani dilaporkan berkata, pasukan itu sedang meneliti dokumen yang diambil dalam serbuan di premis pejabat SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Tiga syarikat itu juga dinamakan oleh WSJ dalam laporannya.

Najib setakat ini menafikan tuduhan itu, mengatakan ia helah politik dirancang bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang selama ini berusaha mahu menyingkirkan beliau.

Akhbar terbitan New York itu bagaimanapun bertegas mengatakan laporan mereka dibuat berdasarkan dokumentasi yang kukuh.
-TMI





WSJ kemuka 'bukti' aliran wang ke akaun Najib

Wall Street Journal (WSJ) memuat naik dokumen yang mana didakwa perincian bagaimana hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) disalurkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Menurut WSJ, sumber dokumen-dokumen tersebut adalah daripada "Penyiasatan kerajaan Malaysia".

Beberapa butiran antaranya seperti lima digit terakhir bagi akaun AmIslamic Bank Bhd telah disunting.
-mk




ULASAN GB

Pertama, GB ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada GERAKAN HARAPAN BARU yang telah pun berfungsi buat pertama kali hari ini dengan penyerahan memorandum kepada yang DiPertuan Agong dakwaan salah guna dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mengenai hal pendedahan dokumen oleh WSJ sebagai bukti wujudnya aliran wang ke akaun peribadi Najib, ia merupakan satu tamparan keras untuk Najib untuk beliau turun sebagai Perdana Menteri. Apatah lagi dengan kenyataan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara, Bank Negara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyatakan pasukan yang ditubuhkan bagi menyiasat syarikat sarat hutang itu kini membekukan 6 akaun bank dengan perintah pembekuan dikeluarkan semalam.

Demikianlah hukum kebenaran dan keadilan berjalan... GB sudah lama menyatakan sebelum ini bahawa:

Najib degil dan enggan turun secara terhormat. Bererti beliau ingin turun dari jawatannya dengan cara lain... mungkin dengan cara yang dasyat.

Apa yang GB jangkakan semakin menjadi kenyataan.