26 Feb 2015

Tokeh Lembu NFC Gagal Batalkan Tuduhan Pecah Amanah RM49.7 juta


Pengerusi NFCorp gagal batal dua pertuduhan pecah amanah RM49.7 juta

Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail hari ini gagal dalam permohonannya untuk membatalkan dua pertuduhan pecah amanah membabitkan RM49.7 juta yang dihadapinya.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin menolak permohonan Salleh selepas mendapati kedua-dua pertuduhan itu adalah teratur dan tidak cacat serta terdapat isu yang perlu dibicarakan dalam perbicaraan penuh.

Azman berkata mahkamah itu terikat dengan keputusan Mahkamah Agung yang memutuskan tiada jalan pintas dalam sesuatu kes.

Oleh itu, katanya dalam kes ini, ia perlu menjalani perbicaraan penuh.

"Mahkamah mendapati Hakim Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf pada peringkat ini. Oleh itu, rayuan ditolak dan kes dihantar ke Mahkamah Sesyen untuk perbicaraan penuh," katanya.

Azman bagaimanapun membenarkan permohonan peguam Al-Firdaus Shahrul, yang mewakili Salleh, untuk menangguhkan prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen sementara menunggu rayuan terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Rayuan.

Pada 22 November 2013, Hakim Mahkamah Sesyen Norsharidah Awang menolak permohonan Salleh untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya, selepas mendapati pertuduhan itu tidak cacat dan mempunyai asas untuk didengar melalui perbicaraan.

Salleh, 66, selaku pengarah syarikat NFCorp, didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang RM9,758,140 melalui empat keping cek untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium 'One Menerung' di Parcel BI-1 dan B1-2, Blok B di atas geran nombor 65152, lot no.56454 di Mukim Kuala Lumpur.

Kesalahan itu dilakukan antara 1 dan 4 Disember 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail.

Bagi pertuduhan kedua, di alamat dan bank sama, antara 6 Mei dan 16 November 2009, beliau didakwa melakukan kesalahan sama dengan memindahkan wang RM40 juta melalui satu cek ke dalam akaun syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd bagi kegunaan syarikat tersebut di mana beliau dan seorang daripada anaknya adalah pemilik syarikat berkenaan.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan bagi kedua-dau pertuduhan itu, dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat serta denda.

Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir bertindak bagi pihak pendakwaan. – Bernama

Zahida Rafik Diarah Bayar RM150,000 Kepada Bekas Pemandunya Kerana Memfitnah


Bekas pemandu dianugerahkan RM150,000 sebagai ganti rugi selepas Mahkamah Tinggi mendapati pelakon Zahida Mohamed Rafik (Zahida Rafik) bertanggungjawab memfitnah bekas pekerjanya itu.

Hakim Datuk Hue Siew Kheng berkata, Noor Azman Azemi berjaya membuktikan terdapatnya unsur fitnah dilakukan terhadapnya.

Hue turut menolak tuntutan balas Zahida, yang menuntut bekas pemandunya memulangkan RM200,000 – dikatakan diambil daripadanya.

Zahida juga diperintahkan untuk membayar kos kepada Noor Azman sebanyak RM40,000.

Dalam saman malu yang difailkan oleh Noor Azman pada 27 November 2013, dia mendakwa Zahida menuduhnya melarikan wang sebanyak RM200,000.

Dia mendakwa Zahida memfitnahnya dalam akhbar tabloid Harian Metro berkenaan kehilangan wang berjumlah RM200,000 itu dan pada Mac 2012, pelakon dikatakan dengan niat buruk menawarkan ganjaran RM5,000 kepada sesiapa yang dapat menjumpai Noor Azman.

Zahida sebelum ini juga didakwa mempunyai hubungan romantik dengan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal yang juga merupakan seorang menteri Kabinet.

Menurut Norr Azman dalam dakwaannya sebelum ini beliau gagal mendapat pekerjaan lain dan telah diburu pihak polis, hingga direman empat hari.

Noor Azman pernah membuat laporan polis pada 13 Mac 2012 mengenai kenyataan palsu Zahida terhadap beliau.

Zahida dalam laporan itu juga menjelaskan, Noor Azman diminta oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar, Datuk Shafie Apdal untuk berurusan secara rahsia di mana-mana hotel sekitar Kuala Lumpur setiap minggu dan menyerahkan wang tunai sejumlah antara RM100,000 hingga RM200,000 kemudiannya dimasukkan ke akaun Zahida.

Pada 29 Februari 2012, Azman mendedahkan beliau tidak diberi wang secara tunai dan tidak pernah diberi wang jumlah besar tanpa ditemani Zahida tetapi hanya dibayar RM25,693 untuk membayar dua kereta mewah dan sebuah banglo di Bukit Indah, Ampang milik Zahida.

Azman berkhidmat selama tiga tahun sejak 2009 dan meletakkan jawatan pada 29 Februari 2012 selepas menerima gaji terakhir secara tunai.

Beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, kadar faedah dan injunksi untuk menghalang Zahida menyatakan kenyataan fitnah serta kos lain, namun tidak menyatakan jumlah tuntutan.

Pro-Ulama Beri Imej Negatif Kepada PAS


PAS bukan agama, kata Agus

PAS bukan agama malah ia hanya sekadar sebuah parti politik yang ada kelebihan dan kekurangannya.

Perkara itu dinyatakan penganalisis politik, Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff yang menasihati penyokong tegar parti itu supaya tidak keterlaluan menghukum seseorang yang mengkritik parti itu.

Katanya, penyokong PAS tidak seharusnya menganggap orang yang menegur PAS itu telah terkeluar dari Islamnya.

“Nasihat saya kepada penyokong tegar PAS, jangan menganggap orang yang menegur PAS itu sebagai telah terkeluar dari Islamnya.

Insafilah bahawa PAS itu bukan agama.

“Tetapi janganlah sampai kepada kita mencarut atas nama perjuangan Islam untuk mencari keredhaan Allah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook.

Jelasnya, sikap sesetengah penyokong tegar PAS yang suka melabel orang dan mencarut dengan hal-hal yang tidak perlu akan menjejaskan parti itu.

Katanya, PAS perlu mendakwah secara berhemah jika mahukan sokongan tanpa perlu menuduh sesiapa mengkritik parti itu adalah mempermainkan ulama dan menolak Islam.

“Cumanya saya terkilan apabila ada yang mengaitkan tulisan saya itu sebagai saya menolak Islam, mempermainkan ulama sebagai pewaris Nabi.

“Terlalu mengejar kuasa dunia sehingga lupa dosa pahala, bersekongkol dengan orang kafir, telah diupah untuk menulis cerita yang tidak benar tentang ulama PAS, dan tidak istiqamah dengan akidah perjuangan Islam,” jelasnya.

Ini susulan kenyataannya semalam yang menulis mengenai perbandingan profil parti itu dahulu dan kini.

“Dahulu meraikan perbezaan pendapat, sekarang alergik kepada pendapat berbeza. Menentang pandangan ulama adalah sifat syaitan, kata seorang pemimpin PAS,” katanya. -rakyatpost


Saya tak hormat ‘ulama’ maki hamun, kata AJK PAS Pusat

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan beliau bukan tidak menghormati ulama, tetapi sudah hilang hormat kepada pihak yang menggelar diri ulama tetapi memaki hamun sesama sendiri, apatah lagi sesama jemaah Islam.

"Yang saya tidak hormati ustaz-ustaz yang mengaku ulama tetapi memaki hamun dan kerjanya melabel sesama ahli jemaah dan parti sendiri," kata pengarah eksekutif pusat penyelidikan PAS itu.

Dzulkefly mengulas laporan The Malaysian Insider sebelum ini yang melaporkan beliau berasa sedih dengan apa yang berlaku dalam Multaqa Ulama ke-2 di Serdang baru-baru ini, yang penuh dengan maki hamun sesama PAS.

"Apakah ada lagi ruang untuk penyatuan hati-hati ini?" soal beliau berikutan pelbagai ancaman yang dihamburkan kepada kumpulan yang tidak sealiran pemikiran dengan mereka.

Ekoran itu, Dzulkefly dilaporkan berkata, "Saya tidak takut dengan ancaman mereka, tetapi kalau dahulu saya hormati ulama, sekarang saya sudah hilang rasa hormat itu. Dan saya berazam mengubah (kesilapan) itu."

Kenyataan Dzulkefly itu diputar oleh pihak tertentu seolah-olah beliau tidak menghormati semua ulama.


Satu poster dibuat dengan memetik kata-kata beliau itu dan diletakkan gambar ulama PAS yang kelihatan seolah-olah beliau hilang hormat terhadap mereka.

Dalam Multaqa Ulama anjuran Dewan Ulama PAS baru-baru ini, pelbagai istilah digunakan untuk melabel pihak-pihak yang didakwa menentang kepimpinan ulama dalam PAS, khasnya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pihak paling teruk diserang ialah pimpinan PAS yang didakwa sebagai pro Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang dibentuk untuk melobi agar PAS kekal dengan Pakatan Rakyat.
-TMI


ULASAN GB

Cukup memalukan. Mereka mengaku pro-ulama. mereka membela ulama kerana katanya "ulama pewaris nabi", kerana "untuk mendapat keredhaan Ilahi". Tetapi mereka mencaci, mengutuk malah ke peringkat mencarut dan memaki ... bagus sungguh untuk mendapat keredhaan Ilahi dengan cara sedemikian rupa.. Perasan mereka bagus sangat, perasan hanya mereka masuk syurga yang lain masuk neraka.

GB tak mahu lagi komen panjang-panjang. Hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berjalan. GB sudah menglas sebelum ini:

GB amat yakin golongan pro-ulamak yang melampau batas ini akan tetap menerima hukuman Allah kerana SUNNATULLAH itu tidak berubah, yang melampau batas akan tetap terhukum walaupun PAS Pusat sengaja tidak mengambil tindakan ke atas mereka ini. Tunggu, insyaAllah akan sampai masanya.